View Categories

(13) Surah Ar-Rum: Ayat 58-60

7 min read

Peranan Al-Quran Menjelaskan Aqidah Tauhid, Hati Orang Kafir Tertutup Dari Hidayah & Nabi SAW Diminta Bersabar Dalam Kerja Dakwah.

Full video : https://youtu.be/XZzdPnrMssE?si=dnl6gijBT4oKDkla

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah hari ini dengan siri yang ke-13, tamatlah Surah Ar-Rum yang mempunyai 60 ayat.
  1. Dari awal surah Allah SWT telah membawa beberapa dalil petunjuk kepada manusia tentang kekuasaan dan keesaan Allah SWT, maka pada akhir surah ini sekali lagi Allah SWT menyebutnya.
  1. Tajuk dalam siri ini ialah peranan al-Quran menjelaskan aqidah tauhid, juga bahawa hati orang kafir itu ada yang telah tertutup terus dari menerima hidayah.
  1. Jalan dakwah itu penuh berliku dan ranjau, lebih banyak penentang daripada pengikut, maka seorang pendakwah itu kena bersedia dan kuat secara mental dan fizikal.
  1. Kerana itu Rasulullah SAW diperitahkan supaya bersabar dalam kerja dakwah, begitu juga semua yang bergelar pendakwah, jangan mudah putus asa dan putus harap kepada Allah SWT.

AYAT 58- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH MENGEMUKAKAN KEPADA UMAT MANUSIA BERBAGAI KISAH DAN PERBANDINGAN DI DALAM AL-QURAN INI; DAN DEMI SESUNGGUHNYA JIKA ENGKAU MEMBAWA KEPADA MEREKA SEBARANG KETERANGAN, SUDAH TENTU ORANG-ORANG KAFIR ITU AKAN BERKATA: “KAMU INI TIDAK LAIN HANYALAH ORANG-ORANG YANG MEMBUAT DAKWAAN PALSU”.} (AR-RUM 30:58)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT menyebut lagi bahawa telah dibawa kepada manusia pelbagai contoh mithal perbandingan di dalam al-Quran.
  1. Juga hujjah-hujjah keterangan yang jelas lagi mantap, serta beberapa mukjizat yang zahir lagi nyata dapat dilihat, tetapi orang kafir itu tetap menolak dan menentangnya.
  1. Bahkan mereka membuat pula tohmahan dan tuduhan bahawa Rasulullah itu adalah orang-orang yang membuat dakwaan palsu.
  1. Yakni al-Quran telah membawa segala dalil dan keterangan yang nyata, maka tiada lagi dalil untuk orang kafir berhujjah pada hari Kiamat kelak. al-Quran sudah sampai ke kemuncak dalam membimbing dan memberi petunjuk kepada manusia.

AYAT 59- { DEMIKIANLAH ALLAH METERAIKAN HATI ORANG-ORANG YANG TIDAK MAHU MENERIMA JALAN MENGETAHUI (KEBENARAN).} (AR-RUM 30:59)

  1. Demikianlah Allah SWT telah cop meterikan (tutup dengan kemas) hati-hati orang kafir yang tidak mahu menerima kebenaran.
  1. Bermula dari kafir Quraisy sehingga semua kafir yang ada sehingga ke hari Kiamat nanti, begitulah keadaan mereka.
  1. Kata ulama’: Maksud mereka tidak mengetahui ialah: Mereka tidak akan mengetahui hakikat bahawa dakwah Nabi Muhammad SAW itu adalah dari Allah, yang mempunyai dalil dan pengajaran yang jelas,
  1. Firman Allah SWT: {Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman.} (Al-Baqarah: 6)
    {(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.} (Al-Baqarah: 7)
  1. Tetapi kita manusia tidak boleh mengecop atau menetapkan sesama manusia atau diri sendiri sebagai sudah tetap seseorang itu ahli syurga atau ahli neraka kerana kita tidak mengetahui perkara ghaib dan taqdir pengakhiran manusia. Yang pentinng kita jangan putus asa harapan dan pergantungan kepada Allah SWT selalu.

AYAT 60- {OLEH ITU, BERSABARLAH (WAHAI MUHAMMAD), SESUNGGUHNYA JANJI ALLAH ITU BENAR; DAN JANGANLAH ORANG-ORANG YANG TIDAK MEYAKINI APA YANG ENGKAU SAMPAIKAN ITU MENJADIKAN ENGKAU RESAH GELISAH.} (AR-RUM 30:60)

  1. Selepas melalui pelbagai pahit manis dalam perjalanan dakwah ini, Allah SWT memerintahkan agar Rasulullah SAW bersabar dalam menghadapi segala karenah dan tentangan.
  1. Ini kerana janji Allah itu benar dan pasti akan terjadi, cuma belum sampai masanya lagi untuk berlaku. Sabar itu amat penting dalam apa jua perjuangan, apatah lagi dalam dakwah kepada agama Allah SWT.
  1. Serta jangan biarkan para penentang dan musuh yang tidak beriman dan mengingkari apa yang kita sampaikan itu menjadikan kita resah gelisah, stress dan putus asa dalam berdakwah.
  1. Kita kena yakin dengan janji dan ketentuan Allah SWT bahawa kemenangan untuk mereka yang memperjuangkan kebenaran. Maka teruskan perjuangan, jangan mudah koyak dan kecewa.
  1. Hadis sabda Rasulullah SAW: “Akan ada dalam ummah ini satu kelompok yang berdiri untuk menyampaikan kebenaran.” [HR Bukhari]. Yakni dalam dalam setiap bidangnya pasti ada golongan tertentu yang pakar dan mahir tentangnya.
  1. Kita mesti bertegas dalam keadaan yang tertentu serta berlembut dalam keadaan yang memerlukannya. Bukan sentiasa keras sehingga orang lari atau terlalu berlembut sehingga manusia cuai dan ambil mudah.
  1. Contohnya dalam bab feqah mungkin kita boleh berlembut dan bertolak ansur apabila terdapat banyak khilaf ulama’, tetapi dalam bab aqidah kita tidak boleh berkompromi tanpa nas. Ingat bab Feqah tidak sama dengan bab aqidah!
  1. Dakwah ini memerlukan seni, uslub dan gaya yang pelbagai, maka jangan mudah sentap dan putus asa, tiada perjuangan yang tiada ujian!!!
  1. Muhasabah/ulangkaji dalam dakwah itu penting tetapi jangan sampai kita kecewa dan stress.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 60- {Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar;}-

    Ayat ini sebagai satu motivasi kepada Rasulullah dan seluruh pendakwah. Ingatlah sukar di dunia akan senang dan menang di akhirat nanti jika tidak berjaya di aats dunia ini.
  1. Ayat 60- {dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.}-

    Ayat ini mengajar kepada kita erti kuat semangat dalam agama, jangan lemah, jangan mudah goyah!
    Firman Allah SWT tentang kemantapan iman ahli sihir Firaun: {Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.} (Taha 20:72)
    walaupun baru beriman dan tidak sempat banyak belajar mereka sudah yakin teguh.
  1. Ayat 60- {Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar;}-

    Ayat ini menyuruh kirta bersabar kerana kita kena yakin kesusahan yang kita lalui sekarang ini akan membawa kejayaan di akhirat nanti.
  1. Ayat 60- {Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar;}-

    Sesiapa yang menunaikan hak sabar, dia tidak akan peduli lagi dengan cabaran dan ujian yang datang.
  1. Ayat 58- {Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al-Quran ini;}-

    Ayat ini menjadi suatu amaran kepada orang yang ingkar bahawa tiada keuzuran lagi di hadapan Allah SWT nanti. Para rasul telah menjalankan tugasnya cuma kamu yang tidak mahu terimanya.
  1. Ayat 59- { Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).}-

    Ayat ini sekali lagi sebagai hujjah ke atas golongan muktazilah yang mengatakan hidayah dan petunjuk itu bukan dari Allah tetapi manusia sendiri yang memilihnya. Kita mengatakan memang manusia yang memilihnya tetapi dengan kehendak dan hidayah dari Allah SWT.
    1. Ayat 58- {“Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan palsu”.}-

      إِنْ أَنْتُمْ Allah gunakan lafaz antum (kamu ramai) untuk memuliakan Rasulullah SAW. walaupun nabi seorang sahaja yang bercakap itu
    1. Ayat 59- { Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).}-

      Menunjukkan kejahilan dan bahawa orang kafir itu tidak tahu apa-apa dan tidak mempunyai ilmu dalam bab tauhid dan syirik.
    1. Ayat 60- {Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad)}-

      Diperintahkan kepada Nabi SAW agar bersabarlah wahai Muhammad SAW jika mereka masih tidak mahu meneriman dan beriman walaupun kamu telah membawa pelbagai dalil, bukti dan keterangan yang nyata.
    1. Perhatikan di antara permulaan ayat surah ini dengan akhirnya:
      i- Pada permulaan surah ini Allah SWT telah menjanjikan akan kemenangan kerajaan Rom ke atas kaum Parsi serta kemenangan kaum Islam ke atas kaum musyrikin.
      Dari ayat 1 sehingga Ayat 6- {Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janji-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).}

      ii- Allah SWT tutup surah ini dengan sekali lagi supaya bersabar kerana janji Allah itu benar, Dia tidak akan memungkirinya, maka hendaklah kamu semua bersabar menghadapi segala ujian.
      Ayat 60- {Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar;}.

      iii- Contoh hari ini kita lihat bagaimana kebetulan pada setiap akhir Ramadhan umat Islam di Gazzah, Palestin diserang oleh yahudi laknatullah serta bagaimana umat Islam di seluruh dunia, Makkah-Madinah. Penuh masjid dan jalanan seluruh dunia mendoakan mereka pada setiap malam Ramadhan dan pada hari Raya. Tetapi tiada apa-apa azab atau bala bencana yang turun menimpa yahudi; seolah Tuhan tidak peduli dengan keadaan orang Palestin itu. Jangan kita berfikir begitu, kena ingat dan sabar bahawa janji Allah itu benar, hamya masanya belum tiba.
      Keadaan dan kesabaran orang Palestin yang terus berjuang menentang yahudi, walaupun menghadapi serangan dengan senjata dan bom canggih, mereka tetap tidak putus asa walaupun hanya menggunakan batu dan apa saja senjata yang ada. Jika dikira logik dengan kecanggihan senjata yahudi yang hanya dilawan dengan anak batu oleh anak-anak Plestin sepatutnya sudah pupus lama kaum Palestin. Tetapi walaupun kemenangan belum tiba, mereka yakin dengan janji Allah SWT!

    Alhamdulillah tamatlah surah kita hari ini, semoga Allah SWT memberkati ilmu yang kita terima dan mendapat manfaat dunia akhirat.
    جزاكم الله خيرا يا أستاذ

    Wallahu a’lam.

    Powered by BetterDocs

    Scroll to Top