View Categories

(14) Surah As-Saffat: Ayat 133-138

8 min read

KISAH NABI LUT AS, ALLAH SWT SELAMATKAN DIA DAN KELUARGANYA YANG BERIMAN & ORANG BERAKAL MENGAMBIL PELAJARAN.

Full video : https://youtu.be/jFWFgGmgOac?si=SyF_Vta-KM4Bo_sI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita dengar kisah tentang Nabi Lut AS dan keluarganya yang beriman, yang telah diselamatkan oleh Allah SWT.
  1. Kaum Lut AS ini adalah umat yang telah pupus, telah dimusnahkan akibat perbuatan buruk dan keji mereka. Tetapi kisah mereka berulang, episod geng LGBT ini berulang balik dan muncul semula di akhir zaman ini.
  1. Begitulan syaitan dia akan kitar semula semua penyakit yang ada pada zaman dulu, dibawa dan dihidupkan semula pada setiap zaman. Semoga kita semua terselamat dari kemurkaan Allah SWT.
  1. Munasabah ayat; dalam siri yang lepas diceritakah tentang Nabi Nuh kemudian nabi Ibrahim dan anak cucu Ibrahim, seperti Musa dan Ilyas yang terdiri daripada golongan yang soleh.
  1. Jadi kali ini adalah kisah Nabi Lut AS, dia ini adalah anak saudara kepada nabi Ibrahim, apabila Ibrahim keluar berhijrah dari Babel (Babylon) dulu mereka hanya bertiga saja iaitu Ibrahim, Sarah & Lut AS Hanya mereka ini yang beriman.

AYAT 133 – {DAN SESUNGGUHNYA NABI LUT ADALAH DARI RASUL-RASUL (KAMI) YANG DIUTUS.} (AS-SAFFAT 37:133)

  1. Sesungguhnya Lut AS adalah salah seorang dari rasul yang diutus Allah SWT.
  1. Lut AS ini diutuskan di Qura (negeri) Sadum. Sekarang terletak di dasar Laut Mati setelah dibinasakan dengan diterbalikkan bumi.
    Ia terletak antara sempadan Jordan & Palestin.
    Lut AS berasal dari Babil bersama Ibrahim, cuma diutuskan kepada kaum Sadum.
  1. Perkataan English ‘Sodomy’ mungkin diambil dari asal perkataan nama bangsa/kampung kaum terkutuk inilah, wallahu a’lam. Nisbah kepada asal dan perbuatan mereka.

AYAT 134- { (INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA KAMI SELAMATKAN DIA DAN KELUARGA SERTA PENGIKUT-PENGIKUTNYA SEMUANYA,} (AS-SAFFAT 37:134)

  1. Allah ingatkan kepada Rasulullah SAW kisah apabila nabi Lut AS, keluarga dan pengikutnya yang beriman diselamatkan dari kemusnahan azab yang ditimpakan ke atas kaumnya.
  1. Kisah malaikat yang datang untuk membawa azab kepada kaum Lut AS ini ada dalam kisah Nabi Ibrahim yang lengkap apabila mereka singgah di rumahnya dulu sebelum ke Qura Sadum.
    Apabila mendengar tujuan mereka, Ibrahim terkejut dan mengingatkan mereka akan Lut AS dan keluarganya yang beriman.
  1. Malaikat utusan itu lalu memberi jaminan melalui firman Allah SWT ini:
    i- {(Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ. Maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).} Az-Zariyat 51: 35-36)

    ii- {Sesungguhnya Kami telah menghantarkan kepada mereka angin ribut yang menghujani mereka dengan batu, kecuali keluarga Nabi Lut, Kami selamatkan mereka (dengan menyuruh mereka keluar dari situ) pada waktu jauh malam, Sebagai limpah kurnia dari Kami. Demikianlah kami membalas orang-orang yang bersyukur.} (Al-Qamar 54: 34-35)

    Malaikat lalu pergi dan menyuruh Lut AS bersama yang beriman agar segera keluar dari kampung mereka pada malam itu juga, jangan sesiapa yang berpaling walau terdengar apa-apa bunyi. Ini kerana azab biasanya akan datang pada waktu subuh.
    Antara kisah sedih dalam keluarga para rasul dan nabi ialah nabi Lut AS dan nabi Nuh AS. Kita lihat apa yang terjadi dalam ayat seterusnya.

AYAT 135- {KECUALI SEORANG PEREMPUAN TUA TERTINGGAL DALAM GOLONGAN YANG DIBINASAKAN.} (AS-SAFFAT 37:135)

  1. Semuanya keluar ikut arahan malaikat itu kecuali seorang perempuan tua yang tertinggal maka dia termasuk dalam golongan yang dibinasakan (الْغَابِرِينَ)!
  1. Siapakah dia? Dia adalah isteri kepada nabi Lut AS sendiri! Yang tak mahu beriman walaupun duduk sekali dengan seorang nabi, serumah. Dia tidak buat perbuatan buruk itu tetapi menjadi talibarut kepada kaumnya, memberitahu tentang kedatangan tetamu lelaki yang muda dan kacak di rumah mereka.
  1. Allah SWT sebut dalam beberapa ayat al-Quran lagi tentangnya dengan jelas:
    i- {Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.} (Al-A’raf 7:83)

    ii- {“Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, “Kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan)”.} (Al-Hijr 15: 59-60)

    iii- {Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.} (At-Tahrim 66:10)

    Dalam ayat ini Allah SWT buat bandingan tentang isteri nabi Nuh & isteri Lut AS yang tidak beriman walaupun isteri para rasul, lalu mereka tidak dapat diselamatkan dan akan menerima azab neraka!
  1. Maka kita sebagai ibu bapa, terutama para suami dan bapa, kena cakna, perhati dan ambik tanggung-jawab akan anak isteri dan sesiapa yang di bawah jagaan kita.

AYAT 136- {KEMUDIAN KAMI HANCURKAN YANG LAIN (DARI PENGIKUT-PENGIKUT NABI LUT).} (AS-SAFFAT 37:136)

  1. Lalu Allah SWT hancur dan musnahkan mereka semua secara total semua sekali. Diangkat dan dibalikkan bumi seluruhnya!
  1. Jika ziarah ke sana kena ingat itu tempat orang yang dilaknat, bukan tempat untuk suka-suka sekadar selfie dan bergambar. Biarlah ada keinsafan dan pengajaran dari setiap kejadian dan kesan yang dilihat itu.

AYAT 137- {DAN SESUNGGUHNYA KAMU (YANG MENENTANG NABI MUHAMMAD): BERULANG-ALIK (MELALUI BEKAS-BEKAS TEMPAT TINGGAL) MEREKA, SEMASA KAMU BERADA PADA WAKTU PAGI.} (AS-SAFFAT 37:137)

  1. Ulama’ tafsir kata: Ayat ini ditujukan kepada puak kafir Quraisy, mereka yang berulang-alik melalui jalan bekas atau kesan tinggalan sejarah kemusnahan kaum terdahulu, pada waktu pagi dalam perjalanan musafir mereka ke Syam.
  1. Kata Ibnu Asyur RHM: Adalah ahli perniagaan Makkah apabila mereka pergi ke Syam, mereka akan melalui Palestin, untuk masuk ke Palestin mereka akan melalui bumi Qura Sadum di Laut Mati, atau mereka pangilnya (Laut Lut – بحيرة لوط). Masalahnya mereka lalu saja dan tengok, tak ambil pengajaran apa.
  1. Kita hari ni pun, jangan begitu, pergi dan lalu tanpa mengambil pengajaran dan berfikir. Maka Allah SWT menegur di akhir ayat ini.

AYAT 138- {DAN JUGA PADA WAKTU MALAM; MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU MEMIKIRKANNYA?} (AS-SAFFAT 37:138)

  1. Adakah kamu tidak ada akal untuk berfikir, mengambil pengajaran ke atas apa yang telah berlaku ke atas kaum yang terdahulu seperti kaum Lut AS ini?
  1. Melihat kepada manusia atau bandar yang binasa patut kita berfikir, jangan berulang dan terjadi lagi benda begini! Sekarang di negara kita puak LGBT ini sudah mendapat tempat dan menjadi seolah satu kebiasaan yang mula diterima masyarakat dan majlis rasmi.
  1. Kita berdoa agar pihak pemerintah negara kita akan mengambi tindakan yang tegas.
    Pihak penguasa Agama juga mesti bertegas jangan biarkan mereka yang dilaknat dan pernah dimusnahkan oleh Allah SWT ini kembali berleluasa dalam negara kita.
  1. Syaitan itu bijak dan tiada kerja kecuali membawa manusia kepada kebinasaan:
    i- LGBT muncul membiak kembali.

    ii- Mengurang sukatan dan timbangan yang zalim wujud kembali.

    iii- Riba dan rasuah menjadi kebiasaan!
  1. Maka Allah sebut; apakah kamu tiada akal untuk berfikir, mengambil pengajaran iktibar yang menyebabkan kamu menjadi takut akan ditimpa azab sebagaimana yang telah ditimpa ke atas kaum Lut AS dan kaum-kaum tedahulu lain, yang telah mendustakan Allah SWT dan rasul-rasul-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 135- {Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.}-

    Ini adalah isteri nabi Lut AS yang binasa bersama puak kafir lain. Ini kerana dia telah menjadi pengkhianat kepada suaminya sendiri. Sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT tadi, [at-Tahrim: 10].
    Maka menjadi tanggungjawab kepada setiap insan untuk mengambil berat, siasat, perhati, tengok dan teliti akan apa yang berlaku, perjalanan hidup dan aktiviti anak isteri dan sesiapa yang di bawah tanggungjawabnya.
    Terutama zaman gajet ada di tangan, dengan mudahnya mengembara ke seluruh dunia maya sekarang ini.
  1. Ayat 137- {Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.}-

    Kata ulama’ tadabbur: Allah SWT bawa kisah ini agar puak kafir Quraisy yang pergi ke Syam melalui tempat-tempat kebinasaan kaum terdahulu ini mengambil pengajaran dan iktibar.
    Begitu juga kita pada hari ini yang pergi melancong dan menziarah tempat-tempat itu!

    Kata ulama’ lagi:
    i- Orang yang cerdik ialah orang yang mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku kepada orang lain.

    ii- Orang yang tak cerdik ialah yang dijadikan iktibar oleh orang lain!
  1. Ayat 135- {Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.}-

    Sesungguhnya orang yang dekat nabi, wali, orang soleh, tuan guru, wali atau sesiapa yang dekat dengan Allah, tidak akan mendapat apa-apa manfaat jika dia tidak belajar dan mengambil faedah dari ilmu yang ada, serta tidak ikhlas dan yakin dengan apa yang dia belajar.

    Dalam al-Quran ada dua manusia yang Allah SWT sebut namanya:
    i- Abu Lahab, bapa saudara Rasulullah SAW sendiri, kerabat terdekat, tetapi menjadi orang yang dilaknat dalam surah al-Masad kerana kekufuran dan kejahatannya.

    ii- Zaid bin Harithah RA, hamba yang dimerdekakan, yang dipuji dan menjadi contoh yang baik. Sedangkan dia adalah orang yang tiada apa-apa pertalian kerabat dengan Rasulullah SAW.
    Begitulah dalam dakwah ini kadang-kadang kita tidak boleh mengharapkan orang yang dekat untuk memberi bantuan dan sokongan. Kadang orang yang jauh dan tiada kaitan itu yang datang memberi pertolongan dan sokongan!
  1. Ayat 137- {Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.}-

    Menjadi isyarat bahawa manusia apabila melihat dengan mata kepalanya sendiri akan lebih memberi kesan daripada hanya mendengar ceritanya sahaja.
    Puak Quraisy ini sudah melihat kesan Madain Saleh, kesan tinggalan kemusnahan kaum Thamud, kemudian Laut Mati di Qura Sadum pula, pada waktu pagi dan petang dalam perjalanan mereka ke Syam dan Palestin.

    Ulama’ kata:
    i-Jika sesuatu yang kita dengar saja cerita itu kemudian kita yakin betul-betul, itu adalah ilmul-yaqin (علم اليقين).

    ii- Manakala yang kita tengok sendiri betul-betul depan mata kita, maka itu adalah ainul-yaqin (عين اليقين)
  1. Ayat 138- {Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?}-

    Dalam ayat ini Allah SWT sound direct; wahai kaum Quraisy, mengapakah kamu tidak berfikir, mengapa kamu tidak guna akal???!!!!
    Beberapa fakta tentang akal menurut ulama’:
    i- Akal adalah sesuatu alat atau hakikat yang mengajak manusia untuk melakukan kebaikan atau meninggalkan sesuatu keburukan.

    ii- Akal itu juga tidak bermakna cerdik atau bijak, kerana berapa ramai orang yang dikatakan bijak tetapi jika tidak guna akal akan tetap buruk akhlak dan perangainya. Maka itu akal satu hal, cerdik itu satu perkara lain.

    iii- Kerana itu setiap orang yang mendustakan dan sombong tidak menerima ajaran Nabi SAW, dia dikira orang yang tidak berakal walaupun dia paling cerdik dari sisi manusia lain, tetapi dia tidak berakal dari sudut keimanan!

    iv- Ataupun seperti orang yang cerdik tinggi pangkat dan kedudukan tetapi jika tidak menerima kebenaran, dikira tidak berakal walaupun ada kedudukan.
    Demikianlah Allah SWT tegur bani Israil dulu yang menyuruh orang buat baik dan baca Kitab tetapi mereka tidak buatnya maka Allah SWT tanya: {Apakah kamu tidak berakal?}.

    Kerana itu ulama’ kata: Akal lain, cerdik itu lain! Orang yang cerdik tidak semestinya berakal, Islam menilai manusia itu dengan iman, taqwa, akal dan cerdik yang digunakan untuk mengenali Allah, menerima kebenaran dan mendekatkan diri kepada Allah.
    Marilah kita gunakan akal kita untuk beriman dan mendekatkan diri kepada Allah SWT!

Wallahu A’lam.

Rujukan: (Catatan Tafsir Anas Madani – By NZNY) – LINK

Powered by BetterDocs

Scroll to Top