NABI MUSA BAWA BANI ISRAEL KELUAR DARI MESIR, FIR’AUN MENGEJAR MUSA DAN TENGGELAM DALAM LAUT QALZUM & BEBERAPA IBRAH PENGAJARANNYA.
Full video : https://youtu.be/hdwEOMRsfsY?si=01EJdYZXvOBf1TcG
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini kita akan mendengar kisah nabi Musa AS dalam episod ke 4. Sebelum ini kita telah lalui 3 episod kisahnya:
i- Episod pertama Allah SWT melantik Musa AS sebagai rasul dan diperintahkan untuk pergi kepada Firaun dan kaumnya.
ii- Episod kedua Musa AS berhadapan dengan Firaun, berlakunya ungkit-menungkit. Kemudian berhujjah dan Musa AS tunjukkan buktinya kepada Firaun dengan campakkan tongkatnya.
iii- Episod ketiga berlaku pertembungan antara nabi Musa AS dengan ahli sihir yang dikumpulkan Firaun, pada hari perhimpunan rakyat Mesir. Kebenaran dan kemenangan bagi Musa AS dan ahli sihir semuanya mengaku dan beriman kepada Allah Tuhan sekelian Alam. Firaun sangat marah dan mengancam untuk membunuh semua mereka.
iv- Hari ini adalah kisah atau episod ke-4 di mana nabi Musa AS diperintahkan oleh Allah SWT supaya membawa Bani Israil keluar dari Mesir bermula ayat ke 52.
- Tentang kisah dalam siri lepas, Nabi Musa AS menyuruh para ahli sihir itu mencampak dulu alat-alat sihir mereka seperti tongkat dan tali, lalu ia berubah menjadi ular-ular kecik yang hidup dan merayap.
- Kenapa Allah SWT sebut, terdetik rasa kebimbangan dalam hati nabi Musa AS apabila melihat ular-ular itu?
Ayat 43- {Nabi Musa berkata kepada mereka: “Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan”.}
i- Ulama’ kata : Bimbang melihat sihir ini kerana takut akan memberi kesan kepada orang ramai yang menyaksikan lalu akan bertambah taksub mereka kepada ahli sihir. Yakni kebimbangan dalam diri bukan takut fizikal atau luaran, kerana dia tahu akan kebenaran dakwah dan mukjizatnya.
ii- Ada ulama’ kata : Takut sungguh kerana terkejut melihat ular-ular yang merayap itu. Wallahu a’lam.
AYAT 52- {(ALLAH BERFIRMAN): DAN KAMI WAHYUKAN KEPADA NABI MUSA: “HENDAKLAH ENGKAU MEMBAWA HAMBA-HAMBAKU (KAUMMU) KELUAR PADA WAKTU MALAM; SESUNGGUHNYA KAMU AKAN DIKEJAR (OLEH FIRAUN DAN TENTERANYA)”.} (ASY-SYU’ARA’ 26:52)
- Kali ini Allah memerintahkan Nabi Musa AS supaya membawa kaumnya Bani Israil keluar dari Mesir, untuk membebaskan mereka dari kezaliman dan perhambaan Firaun.
- Allah wahyukannya untuk keluar pada waktu malam, ke arah tepi laut, secara senyap-senyap dan dengan segera kerana sesungguhnya nanti Firaun dan tenteranya akan mengejar mereka.
- Dikatakan peristiwa ini dekat dengan hari Perayaan kaum Bani Israil, maka sebelum keluar itu mereka ada meminjam perhiasan emas dari jiran-jiran mereka kaum Qibtiyyah. Bilangan mereka ramai tetapi berapa, Allah SWT tidak sebut.
AYAT 53- {(SETELAH MENGETAHUI KEADAAN ITU) MAKA FIRAUN MENGUTUS (ORANG-ORANGNYA) KE BANDAR-BANDAR (NEGERI MESIR), UNTUK MENGUMPULKAN (TENTERANYA),} (ASY-SYU’ARA’ 26:53)
- Apabila mendengar berita bahawa Musa AS telah membawa keluar Bani Israil, Firaun segera mengumpulkan tenteranya dari seluruh pelusuk negeri Mesir. Tetapi dengan takdir Allah mereka tertangguh tidak keluar sehingga ke pagi esoknya.
AYAT 54- { (SAMBIL BERKATA KEPADA MEREKA): “SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG (MUSA) ITU ADALAH SEGOLONGAN KECIL,} (ASY-SYU’ARA’ 26:54)
- Sebelum bertolak Firaun memberi motivasi kepada tenteranya, jangan gentar, Musa AS dan pengikutnya hanyalah golongan yang kecil bilangannya serta lemah.
AYAT 55- {“DAN SESUNGGUHNYA MEREKA MELAKUKAN PERKARA YANG MENYEBABKAN KITA MARAH;.} (ASY-SYU’ARA’ 26:55)
- Kata-kata semangat Firaun lagi kepada tenteranya bahawa mereka kejar bani Israil itu kerana sesungguhnya mereka telah melakukan perkara yang menyebabkan kemarahan:
i- Bawa lari hamba-hamba mereka.
ii- Bawa lari barang-barang kemas mereka.
AYAT 56- {“DAN SESUNGGUHNYA KITA SEKALIAN, SENTIASA BERINGAT DAN BERJAGA-JAGA”.} (ASY-SYU’ARA’ 26:56)
- Mereka adalah orang yang berjaga-jaga dan siap sedia, yakni tentera yang bersedia dan lengkap, maka takut apa lagi.
AYAT 57- {DENGAN SEBAB ITU MAKA KAMI JADIKAN MEREKA (FIRAUN DAN TENTERANYA) KELUAR MENINGGALKAN KEBUN-KEBUN DAN MATAIR,} (ASY-SYU’ARA’ 26:57)
- Malangnya Allah jadikan keluarnya Firaun dan tenteranya itulah keluar yang terakhir, pergi yang tidak akan kembali lagi, meninggalkan segala harta kemewahan kebun-kebun dan mata air yang subur.
AYAT 58- {DAN JUGA KHAZANAH-KHAZANAH KEKAYAAN SERTA TEMPAT TINGGAL YANG MULIA.} (ASY-SYU’ARA’ 26:58)
- Juga harta emas kekayaan dan istana-istana yang mulia serta gedung tempat tinggal yang mewah, semuanya ditinggalkan.
AYAT 59- {DEMIKIANLAH KEADAANNYA; DAN KAMI JADIKAN SEMUA PENINGGALAN FIRAUN DAN TENTERANYA MILIK BANI ISRAIL SEBAGAI PUSAKA.} (ASY-SYU’ARA’ 26:59)
- Semua harta/rumah peninggalan Firaun dan kaumnya menjadi kosong dan menjadi milik bani Israil. Termasuk barang-barang kemas pinjaman yang mereka bawa tadi.
- Yakni walaupun begitu angkuh sombong Firaun akhirnya semua miliknya ditinggalkan dan menjadi milik golongan hamba yang ditindasnya sebelum ini.
AYAT 60- {MAKA FIRAUN DAN TENTERANYA PUN MENGEJAR MEREKA KETIKA MATAHARI TERBIT.} (ASY-SYU’ARA’ 26:60)
- Maka setelah matahari terbit keesokannya, Firaun dan tenteranya keluar mengejar Musa AS dengan menuju ke arah matahari terbit (timur). Iaitu ke arah Teluk Suez, Laut Merah hari ini.
AYAT 61- {SETELAH KEDUA-DUA KUMPULAN ITU NAMPAK SATU SAMA LAIN, BERKATALAH ORANG-ORANG NABI MUSA: “SESUNGGUHNYA KITA AKAN DAPAT DITAWAN”.} (ASY-SYU’ARA’ 26:61)
- Ayat ini adalah ayat yang mencemaskan. Apabila Musa AS dan kaumnya tiba di tepi laut, mereka pun nampak ketibaan tentera Firaun yang besar di belakang mereka yang semakin mendekat.
- Bani Israil pun berkata dengan lemah dan takutnya: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan”
AYAT 62- {NABI MUSA MENJAWAB: “TIDAK! JANGAN FIKIR (AKAN BERLAKU YANG DEMIKIAN)! SESUNGGUHNYA AKU SENTIASA DISERTAI OLEH TUHANKU (DENGAN PEMULIHARAAN DAN PERTOLONGANNYA), IA AKAN MENUNJUK JALAN KEPADAKU”.} (ASY-SYU’ARA’ 26:62)
- Tetapi Nabi Musa AS menjawab dengan yakin dan tegas: كَلَّا “Tidak sekali-kali! Jangan fikir akan berlaku yang demikian!” Inilah jawapan yang penuh dengan keimanan dan keyakin seorang pemimpin dan rasul kepada pertolongan Allah SWT.
Ulama’ kata : Betapa teguhnya keyalinan Nabi Musa AS jika dicampak kalimah كَلَّا ( TIDAK) Nabi Musa AS ini ke atas bukit, akan hancur bukit itu!
- Nabi Musa AS memberi keyakianan lagi: {Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku dengan jagaan dan pertolongan-Nya, Ia akan menunjuk jalan kepadaku}.
AYAT 63- {LALU KAMI WAHYUKAN KEPADA NABI MUSA: “PUKULAH LAUT ITU DENGAN TONGKATMU”. (SETELAH DIPUKUL) MAKA TERBELAHLAH LAUT ITU (KEPADA BEBERAPA BAHAGIAN), LALU MENJADILAH AIR TIAP-TIAP BAHAGIAN YANG TERBELAH ITU TERANGKAT SEPERTI GUNUNG YANG BESAR.} (ASY-SYU’ARA’ 26:63)
- Lalu Allah SWT perintah nabi Musa AS untuk memukul laut di hadapannya dengan tongkatnya.
- Ini adalah kali keempat Musa AS menggunakan tongkatnya sebagai satu kuasa mukjizat:
i- Kali pertama semasa Allah SWT ajar cara gunanya.
ii- Tunjukkan kepada Firaun.
iii- Berlawan dengan ahli sihir.
iv- Belah lalut.
v – Pukul batu untuk keluarkan air.
- Maka nabi Musa AS dengan penuh keyakinan melakukannya, setelah dipukul maka terbelahlah laut itu kepada beberapa bahagian (ada kata 12 lorong), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Yakni seolah lorong di celah antara dua gunung.
AYAT 64- {DAN KAMI DEKATKAN GOLONGAN YANG LAIN ITU KE SITU.} (ASY-SYU’ARA’ 26:64)
- Yakni didekatkan kumpulan tentera Firaun, semakin hampir juga ke tepi laut itu.
- Lalu selepas melihat kaum Musa AS masuk berjalan di lorong itu, Firaun dan tenteranya ikut masuk juga ke dalam laut itu!
AYAT 65- {DAN KAMI SELAMATKAN NABI MUSA SERTA ORANG-ORANG YANG BERSAMA DENGANNYA, SEMUANYA.} (ASY-SYU’ARA’ 26:65)
- Maka nabi Musa AS dan pengikutnya selamat sampai di seberang laut semuanya (termasuk Samiri yang akan menimbulkan masalah selepas ini).
- Firman Allah SWT: {Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam”.} [Surah Taha: 77].
AYAT 66- {KEMUDIAN KAMI TENGGELAMKAN GOLONGAN YANG LAIN (YANG MENGEJARNYA).} (ASY-SYU’ARA’ 26:66)
- Manakala Firaun dan tenteranya tenggelam musnah dalam laut itu apabila Allah SWT menutup kembali lorong itu, air bercantum kembali menenggelamkan Firaun dan semua kumpulan tenteranya.
AYAT 67- {SESUNGGUHNYA PADA PERISTIWA YANG DEMIKIAN, TERDAPAT SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN ALLAH); DAN (DALAM PADA ITU), KEBANYAKKAN MEREKA TIDAK JUGA MAHU BERIMAN.} (ASY-SYU’ARA’ 26:67)
- Semua peristiwa ini adalah satu dalil dan bukti untuk menunjukkan kekuasaan Allah SWT serta kebenaran nabi Musa AS dan semua rasul-rasul selepasnya.
- Tetapi dalam pada masa yang sama, kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman:
i- Masih ramai lagi dari kalangan kaum Firaun yang tidak beriman pada masa itu.
ii- Begitu juga kaum Rasulullah SAW pada masa itu, yang mendengar dan melihat semua tanda yang ada, tetapi masih tetap juga ramai yang ingkar dan tidak beriman.
AYAT 68- {DAN SESUNGGUHNYA TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD), DIA LAH SAHAJA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (ASY-SYU’ARA’ 26:68)
- Allah SWT menegaskan sekali lagi kepada Rasulullah bahawa Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.} {وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيم}
- Dalam surah ini saja Allah SWT ulang ayat ini {Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.} sebanyak 8 kali; iaitu dalam ayat 9, 68, 104, 122, 140, 159, 175 dan 191. Semuanya sebagai penutup kepada kisah para nabi yang disebut dalam surah ini.
PENUTUP & FAEDAH :
- Allah SWT katakan bahawa dia mengeluarkan Firaun dari kemewahan istana, kebun-kebun dan mata air yang subur di negerinya. Ayat 57- {Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,}
Ini sebagai satu amaran kepada semua para pemimpin dan penguasa atas dunia ini bahawa semua kuasa dan nikmat yang mereka ada dan pegang itu akan hilang dengan sebab kekufuran mereka.
Tengok dengan mata lebih menambahkan keyakinan daripada hanya mendengar dengan telinga. Begitulah tanda-tanda bukti kekuasan Allah SWT akan lebih dirasai dengan melihatnya sendiri. Contoh:
i- Nabi Musa AS apabila melihat mukjizat tongkatnya.
ii- Pengikut Nabi Musa AS apabila melihat sendiri mukjizat laut terbelah.
- Kata Nabi Musa AS AS dalam firman Allah ini: {Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”.} Yakni Allah SWT akan memberi kedua jalan kepada orang yang beriman, sebagaimana dia tunjuk jalan maknawi iaitu petunjuk hidayah yang akan menyelamatkanya dari sesat dan di akhirat, Dia juga akan tunjuk jalan hissi (fizikal) iaitu jalan yang akan menyelamatkannya di dunia juga. Allah datangkan Syariat-Nya agar buat benda baik dan tinggalkan benda haram.
- Biasanya musuh Allah SWT itu akan dikalahkan di tempat yang mereka tidak pernah terfikir akan kalah:
i- seperti Firaun yang menyangka dia akan dapat mengalahkan Musa AS dihadapan para pengikutnya pada hari perlawanan sihir, tetapi dia yang kalah pada hari itu.
ii- Abu Jahal dan rombongannya yang sombong menyangka mereka akan menang dan berpoya-poya di Badar, kerana bilangan kaum muslim sedikit dan lemah pada pandangan mereka. Lalu mereka pergi juga walaupun rombongan kafilah mereka telah selamat. Tetapi di situlah mereka tewas, dan terbunuh kebanyakannya.
Kerana itu kena banyak pergantungan kepada Allah SWT jangan over confident, jangan rasa sudah cukup kekuatan dan sokongan.
- Firman Allah SWT: {“Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan berjaga-jaga”.} Kita kena sentiasa ambil langkah berjaga-jaga dan mencegah dari awal. Contoh jika kita tahu orang ramai yang taksub kepada seseorang atau sesuatu yang tidak benar, maka kita kena sekat dari awal sebelum ianya berlaku lebih parah dan tidak terkawal. Seperti juga kerajaan yang mengambil langkah dan strategi lock-down untuk mencegah penyebaran covid-19, sebagai langkah berjaga-jaga, kemudian jika tak berjaya tukar dan cuba strategi lain pula.
- Antara azab Allah SWT itu ialah apabila ditariknya nikmat yang diberi sebelum ini.
- Hukuman azab yang datang selepas nikmat adalah lebih dahsyat dan memberi kesan yang besar. Jika seseorang itu pernah merasa kekayaan, kesenangan dan kuasa, jika kehilangannya akan lebih menderita dan dirasai.
- Harta perbendaharaan, semua harta yang tidak dibayar zakat ulama’ kata dipanggil “Kanz” – Kunuz. كُنُوزٍ
- Bagaimana hukum harta Firaun dan kaumnya yang dikuasai/diambil oleh bani Israil? Sedangkan Syariat kaum dahulu tidak boleh ambil ghanimah (harta rampasan perang)? Jawapnnya; boleh kerana mereka tidak berperang atau berlawan pun, jadi bukan termasuk dalam kategori ghanimah, jadi hartanya menjadi harta peninggalan.
- Apabila dalam keadaan cemas dan tersepit, pemimpin yang beriman jangan mudah menyerah dan gelabah, kena yakin dan tegas seperti Musa AS yang menenangkan pengikutnya apabila tersepit di antara tentera Firaun dan laut.
Firman Allah SWT: Ayat 62- {Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)!
Yakin dan tawakkal kepada pertolongan Allah SWT tetapi dalam masa yang sama kena ada langkah mengambil sebab, seperti Allah suruh nabi Musa AS memukul laut dengan tongkatnya. Boleh saja jika Allah buat laut itu terbelah dengan sendirinya, tetapi untuk mengajar manusia supaya ada usaha dan ikhtiar dalam perjuangan dan hidup ini.
Contoh; ibu bapa yang mendoakan minta anak-anak jadi baik dan soleh tetapi dalam masa yang sama tiada usaha untuk mendidik dan memberi bimbingan, solat subuh pun tak kejut bangun!!
Wallahu a’lam.
