ALLAH TIDAK REDHA DISYIRIKKAN, SETIAP ORANG MENANGGUNG DOSANYA & MANUSIA MUDAH LUPA DIRI.

Full video : https://youtu.be/Fca8dKZf0I8?si=rOHXHo4AFmgA2JjN
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan kuasa-Nya, Dia tidak perlu kepada makhluk, jika kamu beriman atau kafir tidak memberi apa-apa manfaat kepada-Nya.
Kerana itu Allah tidak redha kepada sesiapa yang melakukan syirik kepada-Nya.
- Allah SWT juga menegaskan keadilan-Nya iaitu bahawa setiap orang menanggung dosa masing-masing kecuali dosa bersebab.
Kita tidak buat tetapi ada kaitan, maka ia akan mengalir juga kepada tuan penyebab itu! Ini yang kita takut.
Kata orang:”Tuannya mati tapi dosanya tak mati”.
- Juga dinyatakan bahawa manusia itu mudah lupa. Apabila dia senang dan mendapat nikmat tidak ingat kepada Tuhan, tetapi apabila susah baru mencari Tuhan!
- Kita tadabbur ayat-ayat ini untuk menjadi bimbingan dan garis panduan dalam hidup kita insya’ Allah. Menjauhi sifat yang buruk dan cuba sebaik mungkin untuk berbuat kebaikan dan ketaatan kepada lah SWT.
AYAT 7- {KALAULAH KAMU KUFUR INGKAR (TIDAK BERSYUKUR) AKAN NIKMAT-NIKMATNYA ITU, MAKA KETAHUILAH BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK BERHAJATKAN (IMAN DAN KESYUKURAN) KAMU (UNTUK KESEMPURNAANNYA); DAN IA TIDAK REDAKAN HAMBA-HAMBANYA BERKEADAAN KUFUR; DAN JIKA KAMU BERSYUKUR, IA MEREDAINYA MENJADI SIFAT DAN AMALAN KAMU. DAN (INGATLAH) SESEORANG YANG MEMIKUL TIDAK AKAN MEMIKUL DOSA PERBUATAN ORANG LAIN (BAHKAN DOSA USAHANYA SAHAJA). KEMUDIAN KEPADA TUHAN KAMULAH TEMPAT KEMBALINYA KAMU, MAKA IA AKAN MEMBERITAHU KEPADA KAMU TENTANG APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN. SESUNGGUHNYA IA MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG TERKANDUNG DI DALAM DADA.} (AZ-ZUMAR 39:7)
- Jika manusia kufur atau buat maksiat tidak beriman, maka ia tidak memberi manfaat dan mudharat apa-apa kepada Allah SWT.
Allah SWT memberi nikmat dan anugerah, sebagai peluang untuk kita bersyukur dan peluang untuk beriman.
- Isu yang pertama dalam ayat ini: Kita amat berhajat dan memerlukan kepada Allah SWT tetapi Dia sesekali tidak berhajat kepada kita!
i- Ini kerana Allah SWT tidak berhajat kepada iman dan syukur hamba-Nya untuk menjadi sempurna. Tetapi jika mereka bersyukur, beriman, melakukan ketaatan pastilah Allah SWT akan meredhainya menjadi sifat dan amalan mereka!
ii- Firman Allah SWT: {Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.} (Ibrahim 14:8)
iii- Hadis Qudsi: Dari Abu Zar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-Ku, jika orang yang terdahulu dan terkemudian, manusia dan jin bersatu hati atas sesuatu perkara yang tidak baik, tidak akan kurang kekuasaan-Ku sedikitpun!” [HR Muslim].
- Isu yang kedua: Allah SWT tidak redha, tidak suka akan hamba-Nya yang kufur, yang melakukan syirik, dosa dan maksiat.
i- Firman Allah SWT: {Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.} (Al-An’am 6:125)
ii- Taqdir & Iradah kehendak Allah SWT itu ada dua:
a- Kehendak kauniyyah, semua taqdir yang baik dan buruk atas dunia ini berlaku dengan kehendak Allah SWT.
b- Kehendak Syar’iyyah, Allah mahu semua hamba-Nya beriman. Kerana itu Allah SWT tidak redha kepada hamba-Nya yang kufur.
iii- Maka bila kita dengar ini tidak boleh hanya semata berserah kepada taqdir, kita wajib berusaha mencari jalan bagaimana hendak mendapat petunjuk dan hidayah Allah, bagaimana untuk istiqomah dalam beribadat kepada-Nya, tetap di atas jalan yang benar. Kerana itu Allah beri kita akal dan fikiran untuk mencari jalan yang benar dan bukan sesat.
iv- Maka sesiapa yang syukur, beriman dan melakukan ketaatan, nescaya Allah SWT akan redha, memberi pahala dan rahmat ke atasnya.
- Isu ketiga: Secara asasnya, setiap manusia hanya akan menanggung dosannya sendiri, dia tidak akan menanggung dosa orang lain yang tiada kaitan dengannya. Inilah asas keadilan Allah SWT.
i- Seperti firman Allah SWT ini:
{Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} (Al-Isra’ 17:15)
ii- Hadis riwayat dari Abu Rimthah RA:
انْطَلَقْتُ مَعَ أَبِي نَحْوَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ لِأَبِي: ابْنُكَ هَذَا؟ قَالَ: إِي وَرَبِّ الْكَعْبَةِ، قَالَ: حَقًّا؟ قَالَ: أَشْهَدُ بِهِ، قَالَ: فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَاحِكًا مِنْ ثَبْتِ شَبَهِي فِي أَبِي، وَمِنْ حَلِفِ أَبِي عَلَيَّ، ثُمَّ قَالَ: أَمَا إِنَّهُ لَا يَجْنِي عَلَيْكَ، وَلَا تَجْنِي عَلَيْهِ ، وَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
Maksudnya: “Aku berangkat bersama bapaku menghadap Nabi SAW. Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada bapaku: Adakah ini anakmu? Jawabnya: Ya, demi Tuhan Ka’bah.
Baginda tanya lagi: Benarkah?
Lalu dia menjawab: Aku bersaksi atasnya. Maka Rasulullah SAW tersenyum kerana kemiripanku dengan bapaku dan juga kerana sumpahnya dengan nama Allah atas diriku.
Kemudian Baginda SAW bersabda: Adapun dia, sungguh dosanya tidak engkau tanggung hukumannya dan dosamu tidak membuatnya menanggung hukumannya. Lalu Baginda membaca ayat (ayat 7 ini): {Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain}.” [HR Abu Daud].
- Tetapi ingat dosa yang ada kaitan dan bersebab, serta di bawah tanggungjawab seperti isteri dan bapa terhadap anak isterinya. Wajib bertanggungjawab dengan menasihati, mengajar, memberi didikan, melarang yang munkar dan menyuruh yang wajib dan baik.
- Contoh cara nak faham isu pikul dosa:
Jika anak perempuan sudah baligh umur 25 tahun, keluar rumah tidak menutup aurat, apakah ayahnya akan pikul dosa anaknya tadi?
i- Tidak, si ayah tidak akan pikul dosa si anak, dosa tidak menutup aurat 100% dipikul oleh anak. Ini jika si ayah sudah didik dan nasihat, tegur dan marah, tapi si anak memilih cara hidupnya sendiri, maka si ayah tidak akan berdosa.
ii- Si ayah dan ibu akan dihisab atas dosa CUAI, jika mereka cuai dari mendidiknya, tidak menasihati dan mengingkari perbuatan anaknya sejak dari awal.
{Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.}
- Apabila kita mati, kita akan kembali kepada Allah SWT. Pada hari Kiamat kelak Allah SWT akan mendedahkan kembali kepada kita apa yang telah kita lakukan samada amalan baik atau buruk!
- Sesungguhnya Allah SWT tahu akan segala isi hati yang terkandung dan terlindung dari pandangan mata manusia lain. Tetapi tidak ada rahsia dan perlindungan dari Allah SWT.
- Maka muhasabahlah diri kita, apa yang telah kita isi hari ini kita setiap 24 jam!
Apa yang telah kita tulis untuk kitab amalan kita nanti, manakah yang lebih banyak, amalan baik atau amalan buruk???
Allahu Akbar!
AYAT 8- {DAN APABILA MANUSIA DISENTUH OLEH SESUATU BAHAYA, IA SEGERA BERDOA KEPADA TUHANNYA DENGAN KEADAAN RUJUK KEMBALI BERTAUBAT KEPADANYA; KEMUDIAN APABILA ALLAH MEMBERIKANNYA SESUATU NIKMAT (SEBAGAI KURNIA) DARIPADANYA, LUPALAH IA AKAN SEGALA BAHAYA YANG MENYEBABKANNYA MERAYU KEPADA ALLAH SEBELUM ITU DAN IA PULA MENJADIKAN SEKUTU-SEKUTU BAGI ALLAH, UNTUK MENYESATKAN DIRINYA (DAN ORANG LAIN) DARI JALAN ALLAH. KATAKANLAH (KEPADANYA): “BERSENANG-SENANGLAH ENGKAU DENGAN KEKUFURANMU ITU BAGI SEMENTARA, SESUNGGUHNYA ENGKAU DARI PENDUDUK NERAKA.} (AZ-ZUMAR 39:8)
- Dikisahkan tentang manusia yang apabila mendapat bahaya atau kesusahan, maka dia segera berdoa kepada Allah, kembali bertaubat dan merayu memohon pertolongan kepada Allah SWT.
- Kita wajib ingat kepada Allah SWT pagi petang, siang malam dalam setiap detik hidup kita. Bukan ketika senang lupa kepada Allah, ketika susah baru merayu-rayu mencari Allah!
- Seperti firman Allah SWT tentang puak kafir ini:
{Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).} (Al-Isra’ 17:67)
- Yakni apabila mereka nikmat, mereka lupa akan segala rayuan dan permohonan mereka kepada Allah dulu.
Inilah yang perangai yang dikatakan kenal masjid ketika susah sahaja, sebelum ini tidak pernah nampak batang hidung di masjid!
- Mereka juga menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah untuk disembah dan juga menyesatkan orang lain dengannya dari jalan Allah!
- Maka Allah katakan kepada mereka, ayat mencabar dan perli- “Berseronok dan bersuka-sukalah kamu dalam kekufuran kamu yang sementara dan dalam tempoh yang tidak lama. Tunggulah bila sampai masanya nanti!”
- Ayat ini memberi amaran dan ancaman kepada puak kafir, berseronoklah kamu, apabila habis tempohnya kamu akan menjadi penghuni neraka! Iaitu balasan kepada perbuatan yang kamu lakukan di atas dunia ini, yang kamu seronok dan gembira itu!
- Firman Allah SWT: {Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan manusia dari jalanNya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka”.} (Ibrahim 14:30)
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 7- {Dan (ingatlah) seseorang yang memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).}-
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjadi peringatan yang besar bagi manusia. Kita kena tahu dan sedar semua pergerakan, amalan kita, perjalanan hidup kita ini, baik atau buruknya, akan kembali kepada kita semuanya.
Maka buatlah persiapan dan persediaan supaya kita selamat di Akhirat nanti.
Hanya dua tempat kembali di Akhirat kelak iaitu sama ada ke Syurga atau ke neraka- na’uzubillah!
Tetapi kenapa seolah bertentangan dengan maksud ayat ini, iaitu manusia memikul sebahagian dosa orang lain.
Firman Allah SWT:
{(Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.} (Al-Nahl 16:25)
Penjelasan:
i- Orang yang sesat sendiri, akan tanggung dosanya sendiri sahaja iaitu dosa pribadi.
ii- TETAPI jika dia menyesatkan orang, seperti menjadi penganjur kepada program maksiat dan mungkar, tidak bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan orang di bawahnya seperti anak isteri, pekerja yang dia ada kuasa kepadanya dan lain-lain, maka dia akan dipertanggungjawab atas kuasa yang dia ada dan salah guna.
Hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun.
Barangsiapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun.” [HR Muslim].
Setiap ajaran yang dibawa oleh seorang TG atau pendakwah yang diikuti, sedangkan ianya tidak ada dalam ajaran al-Quran atau Nabi SAW, maka jika ibadat rekaan itu dibuat dan ikuti oleh orang lain, maka dia juga akan bertanggungjawab atas amalan yang tidak sahih itu dan menanggung dosanya jika salah!
- Ayat 7- {Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Ia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan.} –
Maka wajib kita membuat persiapan untuk bertemu dengan Allah SWT.
Apakah persiapan itu?
i- Tambah ilmu tentang Allah, Rasul, Akhirat, ilmu halal-haram dan lain-lain.
ii- Meningkatakan taqwa dan ketaatan.
iii- Meninggalkan maksiat dan dosa.
Maka mulakan hari kita bermula dari bangun tidur dengan membaca doa yang diajar oleh Rasulullah SAW, sepanjang hari cuba melakukan kebaikan dan ketaatan kepada lah SWT.
- Ayat 7- {Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.}-
Ayat ini menjadi isyarat bahawa hisab kita ini paksi atau asasnya duduk di dalam hati kita.
Sebagaimana firman Allah SWT: {Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati), Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat, dan lain-lainnya),} [At-Tariq 86: 8-9].
Marilah kita bertaubat segera ketika masih ada masa ini, Ya Allah tutuplah aib kami pada hari disedahkan segalanya!
Manakala atas dunia ini, amalan kita dikira secara zahir iaitu setakat apa yang nampak, kerana kita manusia tidak tahu apa yang ada didalam hati orang lain.
Kerana itu Rasulullah SAW bermuamalat dengan kaum munafiq seperti kaum muslimin juga.
Kerana mereka menzahirkan Islam dan iman, walaupun Rasulullah SAW kenal dan tahu, tetapi tidak boleh beramal dengan apa yang batin.
Maka marilah kita perbaikkan hati kita, kerana sebagaimana hadis yang masyhur, hati yang baik akan menjadikan seluruh anggotan badan yang lain baik juga, tetapi jika hati rosak dan tidak baik, maka sakitlah juga anggota yang lain!
- Ayat 8- {Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya;}-
Ayat ini mencela dan mencerca mereka yang hanya ingat kepada Tuhan pada waktu susah sahaja!
Orang mukmin akan ingat kepada Allah SWT 24 jam, pada setiap masa dan keadaan. Syukur dan ingat kepada Allah SWT apabila di dalam kesenanngan dan mendapat nikmat, nikmat harta disyukuri dengannya.
Kata ulama’: Hamba yang hanya mencari Tuhan ketika mudharat saja, tidak akan memberi banyak manfaat kepadanya!
- Ayat 8- {Ayat 8- {Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya;}-
Kata ulama’: Dalam ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT perkenankan doa orang yang benar-benar berhajat dan terdesak. Doa dari hati yang terdesak dan ikhlas kepada Allah SWT, pada waktu itu tiada pergantungan lagi selain daripada Allah, Allah SWT akan kabulkan insya’ Allah!
Sebagaimana dalam hadis tentang doa orang yang dizalimi walaupun dia orang kafir!
Sabda Rasulullah SAW:
وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ الله حِجَابٌ
Ertinya: “Dan berhati-hatilah terhadap doa orang yang dizalimi, kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah.” (H.R. Bukhari dan Muslim).
Wallahu A’lam.
Rujukan: (Catatan Tafsir Anas Madani – By NZNY) – LINK
