View Categories

(1) Surah Hud: Muqaddimah

8 min read

Surah Hud – سورة هود
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH, NAMA SURAH, ISI KANDUNGAN SURAH & MUNASABAH DENGAN SURAH YUNUS.

Full video : https://youtu.be/4HVcfLehUb0?si=Za8M0Vhv4RSl9zOl

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Hud – سورة هود, surah yang kesebelas dalam al-Quran & dihujung juzuk yang kesebelas. 
  1. Surah ini diturunkan di Makkah sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah.
    Ijma’ ulama’ tafsir mengatakan : Ia adalah surah Makkiyyah dan mengandungi 123 ayat.
    Ini kerana surah-surah Makkiyyah biasanya mengandungi kisah umat terdahulu sebagai contoh pengajaran bagi memberi motivasi & menenangkan hati Rasulullah SAW dan menguatkan semangat orang Islam yang menghadapi ancaman dan tekanan pada permulaan Islam.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan Surah Hud -سورة هود kerana ada peristiwa mengenai Nabi Hud yang disebut dalam ayat yang ke-50 sehingga ayat 60. 
  1. Dalam surah ini disebut lima kali namanya. Kisah Nabi Hud yang disebut dalam surah ini lebih panjang daripada dalam surah-surah lain.
  1. Juga kaum Ad disifatkan sebagai kaum Nabi Hud.
  1. Juga untuk membezakannya dengan surah-surah lain yang bermula dengan {الٓر}. Tiada nama lain yang diketahui bagi surah ini; baginya satu nama saja!
  1. Dalilnya hadis riwayat dari Uqbah bin Amir RA :
    Aku berkata: Wahai Rasulullah SAW bacakan kepada ku surah Hud & surah Yusuf…”, sehingga akhir hadis.
    [HR An-Nasae’i, Ahmad dan lain-lain dengan sanad yang sahih].

INTISARI KANDUNGANNYA (PIMPINAN AR-RAHMAN):

  1. Allah Ta’ala menerangkan dalam permulaan surah ini, tentang kebenaran Al-Qur’an, sebagaimana yang diwahyukan-Nya kepada Rasul-Nya Muhammad SAW.
    Dan tentang kesempurnaannya sebagai sebuah Kitab Suci yang tersusun ayat-ayatnya, dengan amat rapi dan jelas nyata huraiannya.
  1. Al-Qur’an yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah Ta’ala supaya umat manusia jangan menyembah sesuatupun melainkan Allah.
    Umat manusia dituntut supaya meminta ampun kepada Allah dari perbuatan syiriknya dan segala dosa yang telah dilakukan semoga dengan itu mereka akan diberi rahmat dan hidup senang sentosa di dunia dan di akhirat pula akan beroleh sebaik-baik balasan.
    Sebaliknya orang-orang yang kufur ingkar akan beroleh azab sengsara. 
  1. Dalam ayat-ayat yang lain, Allah Ta’ala menggambarkan tabiat manusia yang apabila diberi kesenangan dan kemewahan hidup, kemudian kesenangan itu ditarik balik maka ada yang segera berputus asa, tidak bersyukur serta tidak mengenang budi sama sekali akan nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya pada masa yang lalu.
  1. Dalam pada itu, ada pula manusia yang bersikap baik dan terpuji, iaitu mereka yang sabar dalam masa ditimpa kesusahan dan taat mengerjakan perintah-perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya pada masa susah dan senang, serta bersyukur akan segala nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya. 
    Orang-orang yang demikian sifatnya, akan diampunkan dosanya serta mendapat pahala yang besar.
  1. Setelah itu diceritakan kisah Rasul-rasul yang telah lalu dan balasan buruk yang telah menimpa kaumnya yang kufur ingkar, supaya peristiwa-peristiwa itu menyedarkan dan mendatangkan iktibar.
  1. Allah Ta’ala menegaskan lagi, bahawa Ia Berkuasa menjadikan sekelian umat manusia beriman menurut ugama yang satu, tetapi Ia tidak merancang berbuat demikian, bahkan masing-masing diberi ikhtiar untuk memilih, setelah mereka dilengkapkan dengan akal fikiran dan diutuskan kepada mereka Rasul-Nya dengan membawa Kitab Allah yang menerangkan kepada mereka mana yang benar dan mana yang salah.
  1. Oleh kerana banyak di antara umat manusia yang menurut hawa nafsu dan membelakangkan petunjuk Allah, maka mereka tetap berselisihan terus menerus (ada yang kafir dan ada yang beriman).
  1. Kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya diperintahkan supaya sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul, dan janganlah mereka bersyubahat ataupun menyetujui perbuatan orang-orang yang melakukan kezaliman dalam segala bentuknya, lebih-lebih lagi orang yang menjadi musuh Islam dan musuh umat Islam.
  1. Di samping itu, hendaklah mereka tetap mendirikan sembahyang yang lima, kerana amal-amal kebajikan terutama sembahyang itu menghapuskan kejahatan. 
    Dan hendaklah mereka bersabar dalam mengerjakan suruhan Allah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Allah nyatakan manhaj (cara) para rasul AS dalam menghadapi & menentang golongan yang mendustakan ajaran Allah & ajarannya.
  1. Nak menetapkan & meneguhkan pendirian Nabi SAW yang diancam diganyang, dikacau khianat oleh puak kafir & mensabarkan Nabi SAW atas ujian yang sedikit itu!
    Sedarlah ujian yang kita hadapi amat kecil jika dibandingkan dengan ujian yang dilalui oleh Baginda Nabi SAW yang disayangi oleh Allah dan disayangi oleh manusia pada awalnya (sebelum) menjadi rasul. 
    Apabila terjebak dengan dakwah mereka berpaling meninggalkannya!
  1. Begitulah manusia ini ada yang terima seseorang tokoh itu tetapi tak terima dakwahnya atau memang mereka akan hentam keduanya sekali; dakwah dihalang & peribadi tuannya pun dikacau!
    Begitulah manusia apabila tidak ada hidayah petunjuk dari Allah SWT.

ISU PENTING DALAM SURAH (TAFSIR MUHARRAR):

  1. Menyatakan kehebatan & kedudukan al-Quran dan menegakkan dalil bahawa ia turun dari Allah bukan rekaan Nabi SAW!
  1. Menyatakan bahawa Allah SWT memerhati & lihat semua rahsia manusia ini apa yang ada dalam hati mereka, sama ada yang dizahirkan atau yang disembunyikan tiada beza bagi Allah. Allah juga menjamin rezeki bagi semua makhluk atas muka bumi ini!
    Tetapi kena usahalah bukan hanya menunggu rezeki jatuh ke riba!
  1. Menetapkan kebangkitan semula & kita semua akan dibalas oleh Allah SWT Yang baik alhamdulillah yang buruk celakalah!
  1. Menyatakan keadaan manusia ketika susah & senang! 
    Ada manusia ketika susah ingat Tuhan apabila senang lupa Tuhan atau ada yang sebaliknya! Kita orang beriman nak dalam semua keadaan ingat Tuhan.
  1. Untuk menetapkan pendirian & menenangkan hati Nabi SAW daripada kata-kata buruk puak kafir & dari apa yang mereka cadangkan & tuntut untuk Nabi SAW bawakan sebagai bukti kebenarannya- iaitu tuntutan dunia & kebendaan semata-mata!!
  1. Menyatakan keadaan sekumpulan puak kafir & kumpulan orang yang beriman dan Allah buat bandingan antara dua pihak tersebut.
  1. Allah menyebut beberapa kisah beberapa orang nabi & mendetailkan sebahagian kisah mereka. 
    Antara nabi yang ada ceritanya dalam surah ini ialah: Nabi-Nuh , Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Ibrahimm Nabi Syuaib dan Nabi Musa, selawat dan salam ke atas mereka semua & selawat ke atas Nabi kita SAW. 
    6 kisah yang ada dalam surah ini.
  1. Bimbingan, petunjuk & ajaran supaya kamu selamat di dunia & aman di Akhirat iaitu mestilah beragama dan istiqomah atas Islam. Jangan bersekongkol & berminat untuk menyokong orang zalim. 
    Serta untuk melengkapkan kehidupan kamu wajib menunaikan solat! 
    Mesti lengkap, baik dengan Allah & baik juga dengan manusia!
  1. Allah nyatakan faedah disebut setiap kisah dalam dalam al-Quran. 
    Semua kisah dalam al-Quran ada kelebihan, faedah, iktibar dan pengajaran tertentu yang boleh diambil. 
    Faedah utama disebut kisah-kisah rasul lain adalah untuk menenangkan hati Nabi SAW.
  1. Ditutup surah ini dengan arahan supaya bertawakkal kepada Allah dalam semua keadaan.
    Inilah sepuluh isu yang dibincangkan dalam maqasid surah ini alhamdulillah.

MUNASABAH ANTARA SURAH HUD INI DENGAN SURAH YUNUS SEBELUMNYA:

  1. Surah Hud ini Makkiyyah dan diturunkan selepas surah Yunus dan keduanya dari sudut isu dan point perbincangan adalah lebih kurang.
    i- Pertama keduanya bermula dengan {الر} kemudian diceritakan tentang al-Quran:
    Surah Yūnus bermula dengan:
    ﴿ الر ۚ تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ ﴾

    Surah Hūd pula dibuka dengan ayat yang hampir sama:
    ﴿ الر ۚ كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ ﴾

    ii- Penutup keduanya serupa iaitu dengan disifatkan dengan Islam, al-Quran atau Rasul. Gandingan keduanya mantap & dekat.

    iii- Isi kandungan keduanya mengajak manusia kepada beriman kepada ajaran yang dibawa Nabi SAW.

    iv- Cuma surah Hud lebih terperinci menjelaskan apa yang disebut secara ringkas dalam surah Yunus sebelumnya. 
    Seperti dalam perkara aqidah, mengisbatkan wahyu, tauhid bangkit semula, pahala dan dosa, janji baik & janji buruk, hukuman & hisab,
    Mukjizat al-Quran & ayat yang teguh serta mencabar puak kafir yang menentang al-Quran, jika berani sila bawa seumpamanya!!!

    v- Surah Hud menyebut kisah enam orang nabi iaitu; Nuh, Ibrahim, Hud, Soleh, Lut dan Syu’aib AS.
    Manakala surah Yunus sebelum ini bawa kisah Nuh, Musa & Harun dan kisah Nabi Yunus AS sendiri.

    vi- Surah ini mempunyai beberapa amaran & ancaman keras terhadap puak kafir sebagaimana disebut dalam kisah para nabi ingkar akan binasa, 
    Sekaligus Allah arahkan Nabi SAW agar istiqomah atas ajaran yang disampaikan kepadanya.

    Hadis riwayat Ibnu Abbas RA : 
    عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ

    Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, dia berkata; Abu Bakr رضي الله عنه berkata; 
    Wahai Rasulullah, aku telah beruban. 
    Baginda bersabda: “Aku telah dibuat beruban oleh Surat Hud, Al Waqi’ah, Al Mursalat, ‘Amma yatasaa aluun, serta wa izasysyamsu kuwwirat.” 

    [Abu Isa berkata; hadis ini adalah hadis hasan gharib.] (Jami’ Tirmizi (3297) Status: Sahih

    Ini kerana arahan Allah agar Baginda SAW kuat semangat, istiqomah terus lawan jangan lemah jangan lembik, selagi mana mereka tentang Islam kamu lawan!!!

PENUTUP :

  1. Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada surah Hud ini.
  1. Insya’ Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya. 
  1. Antara kitab yang suka dibaca oleh AAM tentang kisah nabi-nabi ialah 
    (القصص القرآني عرض وقائع وتحليل أحداث ; مؤلف: صلاح الخالدي) 
    Bertajuk: Qasasul-Qurani susunan oleh almarhum Syeikh Solah al-Khalidi yang ada 4 jilid dan telah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu. 

    Ditafsirnya ayat-ayat Quran dan al-Quran dan tidak ada kisah-kisah Israiliyyat yang tiada sumbernya.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top