NABI NUH AS NYATAKAN DAKWAH BUKAN CARI HARTA, TIDAK JAUHKAN ORANG BERIMAN & NABI BUKAN MALAIKAT, TIDAK TAHU PERKARA GHAIB.
Full video : https://youtu.be/NBJf1ayD_yw?si=UHHArqsiNQg-hrTw
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 29 sehingga ayat 31 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam ayat-ayat ini Nabi Nuh AS membalas empat syubhat yang ditimbulkan kaumnya sebelum ini.
Ini adalah jawapan yang kedua dari nabi Nuh iaitu dia menyatakan dia berdakwah bukan cari harta.
- Nabi Nuh juga menegaskan bahawa dia tidak akan jauhkan orang beriman walaupun mereka orang miskin & lemah.
- Nabi Nuh juga menyatakan bahawa para nabi bukan malaikat & mereka tidak tahu perkara ghaib kecuali yang diwahyukan Allah kepada mereka.
- Terdapat beberapa munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT sudah jawab tuduhan jawab puak kafir yang mengatakan pengikut Nabi Nuh adalah orang miskin.
Maka datang ayat ini Allah nyatakan para nabi telah mneyatakan bahawa mereka bekerja untuk dakwah ini bukan kerana nak harta, jika tidak pastilah mereka akan fokus & menujukannya kepada orang kaya.
Tetapi oleh kerana apa yang para nabi sampaikan itu kepada semua manusia & mereka tidak minta duit dengan umat mereka lalu mereka tidak takut & tidak pelik kepada golongan kaya itu.
Kerana mereka yakin rezeki mereka ditangan Allah.
Inilah pentingnya para pendakwah ada pendapatannya sendiri jika tidak, mulut & kaki tangan mereka akan terikat & takut untuk menyampaikan kebenaran kerana takut rezeki mereka tersekat!
ii- Tuduhan puak kafir yang mengatakan para nabi adalah dari golongan miskin, maka tuduhan mereka bila miskin nak cari duit la!
Tuduhan ini tidak berasas sama-sekali kerana tujuan para nabi berdakwah adalah kerana menyampaikan risalah Allah bukan nak cari duit atau upah!
Kaya atau miskin Allah yang akan beri rezeki!
iii- Tuduhan ketiga mereka kata para nabi hanyalah manusia biasa yang tidak ada apa-apa kelebihan ke atas mereka, maka Allah jawab di sini, Allah yang memberi kelebihan bukan manusia yang menentukannya, maka janganlah kamu nilai kelebihan itu dengan pandangan mata kamu!
Maka kita beringatlah jangan jadikan bidang dakwah sebagai lubuk untuk mengaut duit atau mencari kekayaaan! Inilah fenomena yang terjadi ini, iklan besaran meminta derma & bantuan walaupun sekolah atau program yang ada tidak berjalan mana!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 29- {DAN (KETAHUILAH) WAHAI KAUMKU! AKU TIDAK MEMINTA KEPADA KAMU SEBARANG HARTA BENDA SEBAGAI UPAH MENYAMPAIKAN AGAMA ALLAH ITU, TIADALAH AKU HARAPKAN UPAHKU MELAINKAN DARI ALLAH SEMATA-MATA; DAN AKU TIDAK AKAN MENGHALAU ORANG-ORANG YANG BERIMAN (SEBAGAIMANA YANG KAMU MINTA ITU), KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN MENEMUI TUHAN MEREKA (DAN PADA HARI ITU MEREKA AKAN MENUNTUT DAN MENERIMA HAK MASING-MASING); TETAPI AKU NAMPAK KAMU SEMUA, KAUM YANG TIDAK MENGETAHUI APA YANG MESTI DIKETAHUI.} (HUD 11:29)
- Nabi Nuh menyatakan kepada kaumnya bahawa dia sesekali tidak meminta harta & upah dari mereka atas kerja dakwahnya!
Kerana Allah yang mengutusnya maka pastilah Allah yang akan memberi rezeki & membayar ganjarannya kelak!
- Nabi Nuh juga menegaskan bahawa dia sesekali tidak akan menghalau, mengenepi & menjauhkan golongan miskin yang telah beriman dari sisinya sebagaimana yang dikehendaki oleh golongan kaya & pembesar!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
{Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.} (Al-An’am 6:52)
- Keadaan ini sama sejak zaman Nabi Nuh begitulah pada zaman Nabi Muhammad SAW juga, puak Quraisy membenci golongan miskin & lemah yang beriman!
Maka para pendakwah jangan pilih bulu untuk menyampaikan dakwah & kebenaran.
Semua manusia kaya atau miskin akan menuju & kembali kepada Allah pada hari Kiamat nanti!
- Nabi Nuh juga menyeru kaumnya yang jahil & tidak ada ilmu untuk datang belajar & mencari ilmu agar mereka tahu & mendapat ilmu dan maklumat.
Tetapi mereka enggan & tidak mahu! Inilah masalah yang paling besar sekali, orang jahil tak tahu bahawa dia tak tahu!
AYAT 30- {DAN LAGI WAHAI KAUMKU! SIAPAKAH YANG AKAN MENOLONGKU DARI AZAB ALLAH JIKA AKU MENGHALAU MEREKA? MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU INGATKAN KEKUASAAN ALLAH?} (HUD 11:30)
- Nabi Nuh menyeru lagi kaumnya sambil menyatakan bahawa jika dia menghalau golongan miskin itu dari medan dakwahnya; maka siapakah kelak yang akan dapat menolongnya dari azab Allah atas perbuatannya itu.
- Mengapa kamu tidak mahu berfikir, dengar nasihat, lalu kamu berfikir & mengingatkan kekuasaan Allah dan mengikut kebenaran yang aku bawa ini!
- Tetapi begitulah orang yang degil & keras kepala tetap tidak akan menerima kebenaran walaupun tlh dibawa dalil & hujjah yang nyata di depan mata mereka!
AYAT 31- {DAN AKU TIDAK PERNAH BERKATA KEPADA KAMU: DI SISIKU ADA PERBENDAHARAAN ALLAH, DAN TIDAKLAH AKU MENDAKWA MENGETAHUI PERKARA-PERKARA YANG GHAIB DAN AKU TIDAK MENGATAKAN BAHAWA AKU INI MALAIKAT; DAN AKU JUGA TIDAK BERKATA TERHADAP ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG KAMU PANDANG HINA ITU, BAHAWA ALLAH TIDAK AKAN MEMBERI KEBAIKAN KEPADA MEREKA. ALLAH LEBIH MENGETAHUI AKAN APA YANG ADA DI DALAM HATI MEREKA. SESUNGGUHNYA AKU JIKA BERTINDAK DEMIKIAN, NESCAYA MENJADILAH AKU DARI ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (HUD 11:31)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Nabi Nuh AS telah menolak hujjah & menafikan beberapa tuduhan buruk kaumnya ke atasnya.
ii- Maka datang ayat ini sekali lagi menolak & menafikan tuduhan-tuduhan tersebut secara lebih teliti & terperinci.
- Nabi Nuh AS menyatakan bahawa dia hanya manusia biasa yang duduk bersama kaumnya dalam masyarakat, memahami jiwa mereka dan membimbing mereka kepada Tuhan.
Sesama manusia pun tak sama & setiap tempat ada caranya.
Maka Nabi Nuh AS kata jangan kamu menuduh aku begitu kerana aku memang manusia tetapi aku bukan seperti yang kamu tuduh itu!
- Tuduhan pertama walaupun mereka kata dia orang miskin & nampak miskin: Nabi Nuh mengakuinya dia manusia biasa dan dia tak kata dia memegang Khazanah harta dunia.
Dia hanya menerima anugerah dari Allah, rezeki dia pun Allah yang beri bukan dia pemberi rezeki.
Jika kata nabi itu mesti kaya, ahli korporat atau bangsawan itu pandangan yang salah!
Nabi Nuh kata dia hanya manusia biasa yang tidak kaya tetapi tidak meminta upah dari orang!
- Tuduhan kedua: Nabi Nuh juga menegaskan bahawa dia tidak pernah mendakwa atau mengaku bahawa dia mengetahui perkara ghaib.
Apa yang dia tahu hanyalah apabila Allah memberitahunya melalui wahyu!
Begitulah para nabi lain pun semuanya!
- Tuduhan ketiga: Nabi Nuh juga tidak mengaku bahawa dia adalah seorang malaikat!
Dia hanyalah manusia biasa yang dilantik Allah sebagai rasul & mendapat wahyu dari-Nya lalu menyampaikannya!
- Keempat, Nabi Nuh juga menafikan bahawa: Aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahwa Allah tidak akan memberikan kebaikan kepada mereka!
Aku juga tidak akan menghalau mereka dari majlisku ini.
Bahkan mereka akan mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT kerana mereka telah berkorban bukan dengan harta tetapi dengan jiwa dan raga mereka!
- Begitulah realiti atas dunia ini perlu kepada kedu-dua orang kaya & orang miskin juga!
Semuanya ada peranan, orang kaya infaq menghulurkan, orang miskin yang menjalankan kerja!
Jika hanya ada orang kaya & pembesar saja, siapa yang nak buat kerja-kerja berat & memerlukan tenaga turun padang??
- Di akhir ayat Allah menyatakan bahawa Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka!
Yakni Allah SWT mengetahui apa yang ada dalam hati orang yang beriman itu sama ada dia kaya atau miskin.
Allah tahu apakah imannya ikhlas & jitu, tauhidnya murni & kefahamannya mantap.
- Kita manusia hanya mampu menjatuhkan hukum yang zahir, manakala hanya Allah yang tahu rahsia yang batin!
Allah yang tahu siapa imannya mantap & siapa yang imannya lemah!
(إنما نحكم بالظاهر والله يتولى السرائر)
Nabi Nuh berkata lagi: Jika aku bertindak sedemikian yakni menghukum orang secara rambang, seolah tahu yang batin atau dalam hati, mengatakan Allah tidak akan beri pahala & kebaikan kepada orang miskin itu, maka pastilah aku telah melampaui batas dan mejadi orang yang zalim.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 29- {Dan (ketahuilah) wahai kaumku!...}-
Ini menunjukkan betapa Nabi Nuh dan nabi-nabi lain AS biasanya apabila bercakap atau menyeru kaumnya mereka menggunakan bahasa yang lembut & lunak, bahasa yang apabila didengar akan menyenangkan hati!
Lihatlah beberapa kali Nabi Nuh menyeru mereka sebagai, {wahai kaumku- وَيَـٰقَوْمِ}.
Pertama dalam ayat 28 kemudian diulang balik seruan ini dalam ayat 29.
Kata ulama’ : Ulangan khitab ini adalah untuk menguatkan contoh bahawa para pendakwah kena guna bahasa yang baik, bahasa yang lunak; kerana para pendakwah adalah pendidik bukan penghukum
Tujuan ayat ini untuk menyatakan bahawa para nabi AS telah isytiharkan dari awal lagi bahawa kerja mereka berdakwah bukan kerana nak cari duit atau habuan dunia.
Kerana itu bagi mereka sama saja orang kaya atau miskin; semua akan didakwah!
Jika nak cari duit & minta upah pastilah mereka akan cari orang kaya & pembesar untuk mendapat ganjarannya!
Tetapi Allah yang memberi rezeki & ganjarannya kepada mereka dan bukan bergantung kepada manusia!
Inilah hikmah beberapa orang nabi AS mengulangi kata-kata yang sama ini!
Aku tidak minta upah atau gaji dari kamu- tetapi Allah yang akan membayarnya dari sisi-Nya!
Begitulah betapa para pendakwah hari ini mengatakan mereka tidak minta upah cuma hanya ambil duit minyak!
Tetapi jika sudah demand dan meletakkan harga atau syarat sedemikian-demikian, kena beringatlah juga.
Atas masjid lah jika ada dana yang banyak boleh aja beri saguhati yang banyak kepada ustaz-ustaz pencermah yang datang jauh dan seumpamanya!
Cuma pihak masjid muhasabah dan periksalah apakah mencapai matlamat dengan kedatangan jemputan itu.
Apakah meningkatkan kesedaran masyarakat, para jemaah bertambah dan nampak mendapat manfaat & keinsafan.
Sebenarnya kita tak perlu keluar berdakwah jauh-jauh, kita cuba dulu usaha ikhtiar agar dapat menambahkan jemaah masjid yang di kawasan kita ini dulu, seorang sebulan pun tak mengapa, insya’ Allah.
Begitulah kerja dakwah mesti sentiasa bergerak dan diteruskan untuk semua khayalak!
- Ayat 29- {… dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana yang kamu minta itu),}-
Nabi Nuh mengatakan dia tidak akan sesekali menghalau keluar golongan miskin yang beriman daripada majlisnya sebagaimana permintaan pembesar kaumnya yang kafir.
Ini menunjukkan pentingnya akhlak para pendakwah, memberi perhatian kepada semua pihak, orang yang kaya atau miskin sama saja bagi kita.
Jika mendapat jemputan sama ada masjid besar atau kecil jika jadual kita mengizinkan terimalah!
Jangan jika dah terima pula apabila ada jemputan baru daripada masjid yang lebih besar & gah sanggup kita tukar atau
batalkannya!
Para pendakwah penceramah muhasabahlah!
Dalam ayat ini dia kata halau, dalam realiti kita tidaklah sampai halau tetapi kita tidak terima jemputan mereka, tidak mahu pergi kerana tempat atau masjid itu kecil!
Ingatlah walaupun masjidnya kecil mungkin ada hati-hati yang benar-benar insaf menerima apa yang kita sampaikan, mendapat hidayah dan berubah menjadi lebih baik.
Manakala masjid besar yang ribu-ribu hadir itu, belum tentu juga ada yang begitu!
- Ayat 29- {… (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.}-
Nabi Nuh AS menyatakan kepada kaumnya bahawa dia takut kepada Allah SWT jika dia menghalau golongan miskin yang beriman nanti mereka akan mendakwanya di sisi Allah SWT nanti!
Kerana itu kita jangan pandang mudah dan ambil ringan akan hak sesama manusia.
Jika terhadap orang kaya kita mungkin takut mereka akan saman kita, hantar LOD dan seumpamanya jika tak kena, tapi orang miskin apa mereka boleh buat atas dunia ini!
Kita kadang-kadang orang lebih takut kepada LOD & saman manusia atas dunia ini daripada LOD & saman dari malaikat di Akhirat kelak!
Kerana itu Nabi Nuh kata, ingat baik-baik, jika kita buat zalim & aniaya terhadap orang miskin, mereka akan dakwa kita di hadapan Allah SWT kelak!!! {إِنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ رَبِّهِمْ}
Begitu juga kita sekarang ini jika ada orang yang buat zalim sama ada dengan buat tuduhan jahat, fitnah kepada kita dan buat perkara yang tidak baik, kita sabarlah jika tak mahu saman atas dunia ini kita tunggu perbicaraan di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak, insya’ Allah! {إِنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ رَبِّهِمْ}
Bila kita letak ayat ini baru kita tahu di mana kita nak pergi dan di mana kita nak berjalan!!!
- Ayat 31- {Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah,…}-
Nabi Nuh mengatakan dia tidak pernak mengaku ada Khazanah harta di sisinya!
Jangan kita mendakwa kita ini pendakwah lalu mendapat rezeki yang banyak dari Allah, pemegang Khazanah dan seumpamanya!
Nabi Nuh juga juga mendakwa tidak tahu perkara ghaib!
Memang kadang-kadang ada orang yang mengikut ajaran sesat menggunakan ilmu sihir dan permainan silap mata serta dakwa tahu perkara ghaib supaya orang percaya kepada mereka!
Jadi nabi ajar kepada kita agar jangan mengaku sebagai pemegang Khazanah Allah, tahu benda ghaib atau mengaku sebagai malaikat.
Ada setengah ulama’ kata : Oleh kerana para nabi mengatakan mereka bukan malaikat, ini menunjukkan bahawa malaikat itu lebih mulia daripada nabi kerana malaikat itu sentiasa berhubung & beribadat kepada Allah SWT.
(Ini adalah satu perbincangan).
Tetapi ada ulama’ lain kata tidak : Walaupun malaikat tidak pernah buat salah, sentiasa patuh & taat, menjalankan tugas dengan sempurna & baik, mereka tidak ada nafsu; maka tidak ada pertembungan dalam jiwa mereka!
Maka para anbiya’; adalah lebih mulia daripada malaikat!
- Ayat 31- {… dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka.}-
Kata ulama’ : Kelebihan yang hakiki bagi seorang manusia itu kembali kepada tiga perkara”
i- Ilmu (العلم)- kena ilmu
ii- Ada kemampuan (القدرة) untuk bertindak bergerak!
Jika ada ilmu tetapi lemah tidak guna juga!
iii- Kekayaan (الغنئ) yang menyebabkannya tidak berhajat kepada orang, tidak semestinya kaya raya seperti jutawan atau korporat, mungkin juga kekayaan jiwa!
Tiga perkara ini yang sempurnanya hanya pada Allah SWT :
Allah Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Berkuasa & Yang Maha Kaya!
Tetapi para nabi AS juga mempunyai kelebihan ini tetapi bukanlah sempurna seperti Allah SWT!
Nabi SAW juga telah diperintahkan untuk tidak mendakwa memilik tiga perkara ini, inilah yang diajar kepada semua nabi lain juga:
i- Memiliki Khazanah dunia
ii- Mengetahui perkara ghaib
iii- Atau mengaku malaikat!
Inilah yang diajar oleh Allah SWT kepada semua para anbiya’-Nya!
Untuk Rasulullah SAW sendiri, Allah telah mengajarnya melalui ayat ini:
{Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”} (Al-An’am 6:50)
Manakala untuk Nabi Nuh AS sebagai rasul ulul-azmi pertama yang diutuskan kepada musyrikin diingatkan melalui ayat 31 ini!
Kedua-dua rasul ulul azmi yang pertama (Nuh AS) & rasul ulul-azmi yang terakhir (Muhammad SAW) ini telah berlepas diri & menafikan 3 perkara yang diingatkan Allah ini!
Tugas mereka adalah berdakwah & menyampaikan risalah kepada semua manusia tidak kira miskin atau kaya, mereka bukan pemegang khazanah kekayaan, mereka bukan malaikat & mereka tidak tahu perkara ghaib!
Jika Allah nak beri kepada nabi boleh menjadi kaya tetapi Nabi SAW tidak memilih cara itu!
Kerana itu kata ulama’ : Tidak menjadi syarat seorang rasul itu untuk mengetahui semua perkara.
Tetapi mereka akan tahu apabila diberitahu oleh Allah melalui wahyunya dan dengan mukjizatnya.
Seperti apa yang Nabi SWT tahu apa yang akan berlaku di akhir zaman, apa yang berlaku di alam kubur dan seumpamamnya, semua itu kerana Allah SWT memberitahunya.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
