View Categories

(11) Surah Hud: Ayat 32-35

10 min read

KAFIR TUDUH NABI NUH AS SUKA BERBANTAH, MINTA SEGERAKAN AZAB & NABI MENOLAK TUDUHAN REKA QURAN.

Full video : https://youtu.be/GGYCWp9i8G0?si=mFF3fWnRugyf4Oxx

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir Surah Hud dengan ayat 32 sehingga ayat 35 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan puak kafir apabila tak mampu nak berlawan hujjah dengan Nabi Nuh, mereka buat tuduhan pula bahawa nabi Nuh AS suka berbantah & berbalah dengan mereka {جِدَٰلَنَا}!
  1. Kemudian oleh kerana mereka tidak percaya kepada dakwah Nabi Nuh; mereka minta segerakan azab pula!
    Nabi Nuh bagi nasihat jangan minta azab nanti binasa!
    Begitulah kedudukan mereka yang tidak mahu ikut & tidak dengar kata!
  1. Pada ayat akhir terdapat tuduhan puak kafir Quraisy yang mengatakan Nabi Muhammad SAW mereka-reka al-Quran dan reka kisah Nabi Nuh ini!
    Lalu Rasulullah SAW menolak tuduhan mereka itu dan menjawabnya jika Baginda tipu dia akan berdosa tetapi mereka jika tak percaya akan celaka!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Nabi Nuh yang telah menolak beberapa tuduhan & syubhat yang dimainkan oleh orang kafir kaumnya ke atasnya.

    ii- Maka datang ayat ini mereka kemukakan kepada Nabi Nuh dua perkara:
    – Pertama dia tuduh Nabi Nuh suka berbalah & berbantah (جدال).
    – Kedua apabila rasa sudah tidak mampu lagi nak berlawan, tiada hujjah & fakta lagi- mereka cabar pula minta disegerakan azab yang dijanjikan ke atas mereka!

    Yakni dari berbantah kepada cabaran!! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 32- {MEREKA BERKATA: “WAHAI NUH! SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH BERTIKAM LIDAH MEMBANTAH KAMI LALU ENGKAU BANYAKKAN SANGAT HUJJAH-HUJJAH SEMASA MENGEMUKAKAN BANTAHANMU KEPADA KAMI; OLEH ITU, DATANGKANLAH AZAB ALLAH YANG ENGKAU JANJIKAN KEPADA KAMI, JIKA BETUL ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (HUD 11:32)

  1. Ayat ini adalah dialog antara kaum Nabi Nuh dengan nabi mereka! 
    Mereka mengatakan nabi Nuh ini adalah:
    i- Telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sanat hujjah-hujjah.
    Tuduh Tuhan mereka & dok kata pegangan mereka tak betul dan seumpamanya.

    ii- Semasa mengemukakan banthan kamu terhadap kami;
  1. Inilah sifat perbuatan puak kafir yang tiada modal nak lawan, tidak ada fakta mereka akan kembali kepada auta atau akta pula! 
    i- Jika tiada kuasa & nak lawan tiada hujjah, lalu guna tohmahan, tuduhan dan seumpamanya.

    ii- Jika ada kuasa mereka akan guna kuasa akta pula! 
    Menangkap & menghukum orang yang tidak bersalah!
  1. Akhirnya mereka mencabar dengan minta azab. 
    Mereka berkata kepada Nabi Nuh: Maka datangkanlah azab Allah yang kalian janjikan kepada kami jika betul engkau dari orang-orang yang benar sebagaimana yang kamu dakwa kamu seorang rasul & utusan Tuhan.

AYAT 33- {NABI NUH MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA ALLAH JUALAH YANG AKAN MENDATANGKAN AZABNYA ITU KEPADA KAMU JIKA IA KEHENDAKI, DAN KAMU TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MELEMAHKAN KUASA ALLAH!} (HUD 11:33)

  1. Nabi Nuh menjawab kepada kaumnya bahawa dia tidak ada kuasa untuk bawa datang azab. 
    Yang boleh mendatangkan azab dan segerakannya ke atas kamu hanya Allah yang Esa!
  1. Apabila Allah nak datangkan azab itu tiada siapa boleh halang & sekatnya lagi! 
    Jangan cari pasal & penyakit kerana kamu semua tidak akan boleh lari dan selamat daripada azab itu!
  1. Azab itu bila datang, nak halang nak sekat tak boleh, nak angkatnya iaitu nak batalkannya pun tidak boleh lagi! Kamu tidak akan dapat lemahkan kuasa Allah!

AYAT 34- {DAN TIDAK ADA GUNANYA NASIHATKU KEPADA KAMU, JIKA AKU HENDAK MENASIHATI KAMU, KALAU ALLAH HENDAK MENYESATKAN KAMU (KERANA KAMU TETAP BERDEGIL); DIA LAH TUHAN KAMU DAN KEPADANYA KAMU AKAN KEMBALI”.} (HUD 11:34)

  1. Kemudian Nabi Nuh masukkan elemen tauhid dalam ucapan & nasihatnya kepada kaumnya!
    Iaitu untuk mengajar aqidah kepada kaumnya!
  1. Sedarlah bahawa tiada manfaat & tidak ada gunanya apa yang aku nasihat dan ajar kepada kamu, ibarat mencurah air ke atas daun keladi, hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri, jika begini keadaan kamu tutup pintu hati & berterusan mendustakannya! 
  1. Iaitu apabila Allah tidak mahu memberi hidayah petunjuk kepada kamu, apabila Allah hendak menyesatkan kamu kerana kamu tetap berdegil dan membantah serta mendustakan nabi! 
    Maka masuklah kesesatan & kelaghaan dalam hati mereka lalu bertambah sesat & jauh dari Tuhan!
  1. Yakni hanya Allah yang berkuasa memberi petunjuk & hidayah. 
    Tetapi Allah beri kepada kita akal dan dalil-dalil ayat Allah yang boleh kit alihat & baca untuk kita berfikir & memilih jalan yang selamat!
  1. Kita semua juga akan kembali kepada Allah. Dia lah Tuhan kamu dan kepadaNya lah kamu akan kembali, yang baik akan kembali dalam iman lalu mendapat keredhaan Allah & balasan syurga-Nya! 
  1. Bukan setakat kembali, Allah juga akan membalas semua amalan yang telah kita buat atas dunia ini sama ada yang baik atau buruk! 
  1. Kata ulama‘ : Setiap benda itu akan ditimbang mengikut jenisnya.
    Contoh gandum, beras dengan kilo atau tan, manakala barang mahal seperti emas & perak akan ditimbang dengan gram. 
  1. Tetapi apabila datang amalan, Allah akan mengiranya dengan zarrah atau atom, satu jisim yang paling kecil sekali, yang tidak boleh lihat dengan pandangan mata biasa.
  1. Hadis UM Aisyah sedekah sebiji tamar. Iaitu apabila seorang peminta sedekah datang ke rumah UM Aisyah RA untuk meminta makanan. 
    Lalu Aisyah menyuruh pembantunya mencari apa yang dapat diberi, tetapi tidak didapatinya. Maka Sayyidah Aisyah menyuruhnya pergi cari lagi, akhirnya dia jumpa sebiji buah tamar!
    Pembantunya malu untuk memberi sedekah dengan hanya sebiji tamar!
    UM Aisyah RA lalu berkata: Berilah, dalam sebiji tamar itu sudah ada berapa banyak zarah pahala jika Allah SWT menerima sedekah kita itu! [HR Baihaqi].
  1. Maknanya apa yang mahal bukanlah gandun, beras atau emas permata tetapi amalan kita!! 
    Kerana itu jangan pandang lekeh kebaikan & kebajikan, buat saja kerana semua itu akan ditimbang dikira!
  1. Maka kita nak bahagia kita perbanyakkan buat amalan yang baik-baik, nak celaka buatlah amalan yang buruk, na’uzu billah!

AYAT 35- {(MEREKA TERUS BERDEGIL), BAHKAN MEREKA MENUDUH DENGAN MENGATAKAN NABI NUH SENGAJA MENGADA-ADAKAN SECARA DUSTA: BAHAWA TUHAN MENGURNIAKAN PANGKAT NABI KEPADANYA. NABI NUH DIPERINTAHKAN MENJAWAB DENGAN BERKATA: “KALAU AKU YANG MEREKA-REKA WAHYU ITU MAKA AKULAH YANG AKAN MENANGGUNG DOSA PERBUATANKU ITU, DAN SEBENARNYA AKU BERSIH DARI DOSA KESALAHAN KAMU MENUDUHKU”.} (HUD 11:35)

  1. Ada ulama’ yang mengatakan : Ayat ini adalah ayat selingan (Jumlah mu’taridhah- جملة معترضة)- iaitu di tengah-tengah ayat cerita Nabi Nuh AS datang satu ayat cerita tentang Nabi Muhammad SAW. 
    (Ini mengikut tafsir lain, walaupun dalam Tafsir Pimpinan ini ia tetap menyatakan ia adalah kisah Nabi Nuh AS).
  1. Ulama’ berpendapat : Ayat ini kembali kepada Nabi Muhammad SAW & yang berkata itu Quraisy. Mereka yang Menuduh dengan mengatakan Nabi SAW:
    i- Sengaja mengada-adakan secara dusta bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Yakni mengaku jadi Nabi.

    ii- Mereka-reka wahyu iaitu al-Quran.
  1. Datangnya ayat begini kerana Allah mahu kita nampak para nabi AS itu dakwah mereka semuanya adalah sama iaitu:
    i- Tauhid kepada Allah SWT.

    ii- Cabaran dan ujian yang dilalui adalah lebih-kurang juga, menghadapi tentangan dari kaum sendiri, kena tuduh fitnah dan seumpamanya.
  1. Datang zaman pendakwah ini setelah ketiadaan nabi, mereka juga akan dituduh sedemikian!
    Maka sabarlah para pendakwah Islam, kita semua akan diadili di hadapan Tuhan kelak!
  1. Faedah ayat ini juga untuk memberitahu kepada ahli kitab, bani Israil yang baca kitab Taurat, baca kitab Injil; bahawa al-Quran juga sama, berasal dari sumber yang satu iaitu Allah Azza wa Jalla.
  1. Ayat ini menyatakan puak Quraisy menuduh bahawa Nabi SAW mereka-reka al-Quran, serta reka-buat sendiri kisah Nabi Nuh AS ini.
    Pandangan ini dibawa oleh Ibnu Jarir at-Tobari & Ibnu Juzai. Majoriti ulama’ tafsir mengambil pendapat ini, sebagaimana dikata Ibnu Kathir & Ibnu Asyur.
  1. Manakala Tafsir Pimpinan yang mengekalkan bahawa ayat ini adalah masih dalam kisah Nabi Nuh & kaumnya, bukan kisah Nabi Muhammad SAW; mengambil pendapat pandangan Imam al-Qurtubi, Abu Hayyan dan asy-Syaukani.
  1. Begitulah ulama’ tafsir berbeza pandangan tentang dhomir kembali kepada siapa ayat ini.
    Tetapi ia tidak menjadi masalah & tidak mengganggu makna & tafsiran ayat ini. 
    Bahkan ia memberi pengajaran & iktibar yang baik! 
    Bahkan kita juga boleh mengumpulkan keduanya!
  1. Nabi SAW menjawab jika aku mereka-reka & cipta al-Quran seperti yang kamu sangka; maka pastilah aku seorang yang akan mendapat dosa kerana menipu kamu semua & menisbahkan kepada Tuhan perkara yang tidak benar!
  1. Tetapi ingat jika aku betul daripada apa kamu tuduh itu, maka aku berlepas diri daripada dosa-dosa kamu semua yang melakukan syirik, kufur & pendustaan terhadap Allah & pendustaan terhadap makhluk! 
    Kamu bertanggungjawab sendirilah, kerana aku sudah sampaikan & nyatakan kepada kamu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 32- {Mereka berkata: “Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah…}-

    Kaumnya menuduh Nabi Nuh ini suka sangat berdebat dan berbantah mengata kepada Tuhan mereka & amalan tok nenek mereka semuanya tak betul! 
    Kata ulama’ : Ayat ini menjadi dalil bahawa debat itu ada dua kategori:
    i- Berdebat yang disyari’atkan Allah SWT. Adakalanya wajib, adakalanya sunat ke atas kita. 
    Contoh yang wajib ke atas kita, seperti apabila orang kafir cabar kita bahawa Tuhan itu tidak ada, wajib ada yang bangun melawan, jika sudah ada yang lawan tak perlu semua bangkit berdebat, sudah memadai ada yang pandai berhujjah dan berdebat & jadi fardhu kifayah.

    ii- Debat yang dilarang oleh Syara’ ialah debat yang batil, dia tahu dia salah tetapi nak lawan juga, berkeras nak tegakkan benang basah.
    Atau dia tidak ada ilmu untuk berdebat, hanya akan merosakkan agama! 

    Firman Allah SWT :
    {Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.} (Al-Nahl 16:125)

    Yakni kena berdebat & menyampaikan dakwah dengan bijak & penuh hikmah!
  1. Ayat 32- {… datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.}-

    Puak kafir ini kerana mereka tidak percaya kepada Nabi Nuh, tidak percaya kepada Akhirat maka mereka berani meminta di datangkan azab ke atas mereka!
    Apabila mereka tidak mampu untuk berhujjah & berbahas mereka gunakan bantahan, tuduhan dan label-melabel. 

    Mereka menamakan apa yang Nabi Nuh janjikan dari segi dosa-pahala, syurga-neraka itu sebagai satu janji yang digunakan untuk menghina Nabi Nuh! 
    Apa yang kamu janjikan sebagai janji buruk kepada kami itu, mananya, iaitu sebagai satu perlian & bantahan, cabaran yang tidak percaya!
    Kita orang beriman jangan sesekali minta bala, Nabi SAW melarangnya!
  1. Ayat 34- {Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu,…}-

    Nabi Nuh kata tiada faedah lagi nasihat & teguran ke atas mereka, tiada guna usaha Nuh untuk mereka beriman! 
    Ini kerana apabila otak telah tersumbat, hati telah tertutup, telinga telah tuli, tiada guna lagi nasihat yang baik! 
    Sebelum ini bukan Nabi Nuh tidak beri nasihat, habis nasihat sudah diberikan & Nabi Nuh telah berdakwah kepada kaumnya selama 950 tahun!

    Cara lembut & nasihat telah diberi tetapi mereka tetap begitu.
    Kita pendakwah jangan mudah putus asa & kecewa, usaha kena ada, kena teruskan berjuang, jangan lari di tengah jalan kerana kita tidak tahu apakah taqdirnya! 
    Jangan putus asa & kecewa buat pendakwah, perjuangan perlu diteruskan!

    Jangan kita anggap nabi Nuh lari & mendoakan kebinasaan ke atas kaumnya, tunggukan jawapannya dalam ayat 36 nanti!
  1. Ayat 34- {… jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); ..}-

    Jika Allah nak sesatkan puak kafir tiada siapa yang dapat beri hidayah kepada mereka! 
    Kehendak Allah itu ada dua:
    i- Iradah Kauniyah (إرادة كونية)- iaitu kehendak Allah mencipta seluruh makhluk atas dunia ini terjadi semua dengan kuasa & kehendaknya. Allah kata hujan di sini maka hujanlah. Kemarau di sana maka kemaraulah!
    Ini iradah Allah untuk menjadikan apa yang atas dunia ini terjadi semua, tak akan berlaku atas dunia ini kecuali dengan kehendak Allah.

    ii- Iradah Syar’iyyah (إرادة شرعية), kehendak Allah mengikut Syara’ ialah Dia mahu semua orang beriman; tetapi apa boleh buat kehendak kauniyyah telah mendahului bahawa mereka tidak beriman!
    Maka kata ulama’ : Apabila Allah nak binasakan tiada siapa boleh halang, apabila Allah nak sesatkan tiada siapa boleh halang.

    Tetapi kita manusia yang tidak tahu apakah masa depan kita yang ditetapkan bagi kita; wajib berusaha untuk mencari yang terbaik agar kita selamat dunia Akhirat. 
    Bukan hanya mengikut arus menunggu nasib baik atau malang!
  1. Ayat 35- {(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya.}-


    Sebagaimana yang telah disebut tadi ada ulama’ mengatakan : Ayat ini adalah ayat mu’taridhah.
    Iaitu ayat selingan; di celah-celah cerita nabi Nuh AS tiba-tiba ada cerita Nabi Muhammad SAW. 

    Ayat ini adalah selingan agar tidak terputus, apabila kafir Quraisy mendengar kisah Nabi Nuh AS & mereka mendakwa itu semua adalah kisah lama, tiba-tiba ada cerita tentang mereka dan teguran terhadap mereka.

    Ini penting, begitu juga kita hari ini apabila kita baca al-Quran tentang kisah-kisah umat terdahulu, jangan lupa kita kaitkan dengan kehidupan kita sekarang! 
    Kisah-kisah yang Allah bawa dalam al-Quran mempunyai banyak ibrah & pengajaran sebagai panduan buat umat Nabi SAW.
    Kita memilih pandangan pertama yang mengatakan : Ayat ini adalah ayat selingan ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu jumlah mu’taridhah 

    Ayat ini juga sekaligus memberi amaran kepada puak kafir agar jangan berani-berani buat perkara yang tidak baik!
    Setiap manusia akan bertanggungjawab atas perbuatan & perkataannya! 
    Jika kita bercakap benar, buat perkara yang baik insya’ Allah kita akan meraih pahalanya insya’ Allah! 

    Begitu juga jika buat sebaliknya, dosa akan jatuh atas kepala kita! 

Alhamdulillah, tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top