View Categories

(12) Surah Hud: Ayat 36-39

12 min read

NABI NUH AS DIMAKLUM BILANGAN ORANG BERIMAN, BUATLAH BAHTERA & DIPERLI OLEH KAUMNYA.

Full video : https://youtu.be/Mk6LafQF0nE?si=TjIvmP3J-KTl6O6p

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir Surah Hud dengan ayat 36 sehingga ayat 39 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan Nabi Nuh AS diberitahu melalui wahyu Allah bahawa bilangan orang beriman tidak akan bertambah!
    Maka Nuh pun berasa sedih dan setelah pasti begitu Nuh berdoa agar Allah binasakan semua golongan yang tidak beriman itu. Biar hilang spesis kufur itu!
  1. Kemudian Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh AS untuk membuat sebuah bahtera yang besar. Bahtera ini dibuat atas bukit yang tinggi.
  1. Melihat perbuatan pelik Nabi Nuh ini, dia diperli & diejek oleh kaumnya pula. 
    Nuh menjawab sekarang ini kamu perli dan kutuk aku, lepas ini kita lihat siapa yang akan ketawa & akan datang azab yang menghina kamu!!!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang nabi Nuh dibantah & ditentang oleh kaumnya. 
    Nabi Nuh sebagai seorang rasul pastilah mengharapkan agar makin ramai & bertambah orang yang beriman.

    ii- Tetapi apa boleh buat Allah nyatakan mereka itu tidak akan bertambah lagi! 
    Sedihnya setelah sekian lama berdakwah hanya sedikit pengikutnya. 
    Begitulah pengikut seorang rasul itu tidak semestinya ramai untuk menunjukkan kebenaran mereka! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 36- {DAN (SETELAH ITU) DIWAHYUKAN KEPADA NABI NUH: “BAHAWA SESUNGGUHNYA TIDAK AKAN BERIMAN LAGI DARI KAUMMU MELAINKAN ORANG-ORANG YANG TELAH SEDIA BERIMAN. OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA TENTANG APA YANG MEREKA SENTIASA LAKUKAN.} (HUD 11:36)

  1. Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Nuh AS setelah dia berdakwah selama 950 tahun bahawa orang yang beriman tidak akan bertambah lagi bilangannya! 
    Hanya mereka yang telah beriman itu akan beriman!
  1. Mengikut riwayat ulama’ tafsir bilang pengikut Nuh yang beriman : 
    i- Paling ramai mengikut riwayat Ibnu Abbas adalah 80 orang, 

    ii- Bahkan ada riwayat yang kata hanya 6 atau 8 orang!
    Tetapi yang sedikit inilah yang akan selamat di Akhirat.
  1. Hikmah Allah SWT tak sebut & nyatakan bilangan pengikut Nabi Nuh yang beriman kerana bilangan mereka yang sedikit, tak perlu disebut & dibanggakan. 
    Begitulah Sunnatullah, pengikut kebenaran adalah sedikit manakala pengikut syaitan & hawa nafsu adalah ramai!
  1. Allah SWT juga tidak menyebut jenis haiwan yang dibawa naik ke atas bahtera kerana ia bukanlah sesuatu yang penting.
    Yang pentingnya ialah ketaatan Nabi Nuh AS mengikut perintah Allah yang memerintahkannya untuk membawa setiap jenis haiwan; sepasang-sepasang ke atas bahteranya!
  1. Kemudian Allah nyatakan kepada Nabi Nuh agar jangan sedih & dukacita.
    Mereka yang kufur & ingkar ayat-ayat Allah itu; kamu jangan pedulikan mereka yang kafir itu, Aku akan binasakan mereka semuanya!
  1. Maka setelah jelas begitu, Nabi Nuh pun berdoa kepada Allah:
    {Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!} (Nuh 71:26)
    {Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.} (Nuh 71:27)
  1. Maka apabila makin ramai yang sesat, Allah binasakan mereka semua. 
    Kita bina semula negara & masyarakat dengan orang yang beriman kepada Allah.
  1. Tetapi syaitan tidak duduk diam, selepas hanya tinggal orang yang beriman & hapus semua yang kafir, syaitan datang menghasut menggoda manusia lagi untuk menyelewengkan mereka daripada tauhid yang suci!
  1. Maka hasil daripada perbuatan melampaui (ghuluw) dalam mencintai orang soleh, lalu terjadilah semula syirik di atas muka bumi ini hasil dari ajaran & hasutan syaitan kepada manusia yang mudah terpedaya!
  1. Kerana itulah Nabi SAW larang daripada gantung gambar atau buat patung, inilah sebabnya.
    Kita memang kena cintai & hormat orang soleh tetapi ghuluw yang melampau itu bahaya! 

AYAT 37- {DAN BUATLAH BAHTERA DENGAN PENGAWASAN SERTA KAWALAN KAMI, DAN DENGAN PANDUAN WAHYU KAMI (TENTANG CARA MEMBUATNYA); DAN JANGANLAH ENGKAU MERAYU KEPADAKU UNTUK MENOLONG KAUM YANG ZALIM ITU, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN DITENGGELAMKAN (DENGAN TAUFAN)”.} (HUD 11:37)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah larang Nabi Nuh AS daripada sedih & kecewa dengan perbuatan kaumnya yang tidak mahu ikut & beriman kepadanya selepas 950 tahun dia berdakwah!
    Maka siapa yang kafir itu Allah akan binasakan mereka semua!

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah menegaskan bahawa akan datang pertolongan Allah, Allah akan selamatkan Nabi Nuh & mereka yang beriman, yang naik bahtera bersamanya!!
  1. Maka datanglah perintah Allah untuk Nuh buat sebuah bahtera. 
    Kerana ia sesuatu yang baru (bina bahtera) maka Allah nyatakan dari awal bahawa ia adalah dengan:
    i- Pengawasan serta kawalan Kami, iaitu Allah akan jaga & pantaunya; agar senang Nuh nak buat kerja.

    ii- Dan dengan panduan Wahyu Kami tentang cara membuatnya.
    Yakni Allah akan ajar cara bagaimana cara nak buatnya!
  1. Bagaimana caranya Allah akan tolong & beritahu caranya, kita tidak perlu tahu, mungkin dengan beri ilham wahyu atau malaikat untuk menolongnya, wallahu a’lam! 
  1. Kemudian Allah nyatakan kepada Nuh agar jangan sesekali merayu kepada Allah agar Allah memaafkan puak kafir itu yang telah menzalimi diri mereka dengan kekufuran! 
  1. Ini kerana Allah akan tenggelamkan semua mereka yang kafir itu dengan banjir besar, tidak kira walaupun mereka adalah anak isteri & keluarga terdekatnya! 
    Mereka semua akan tenggelam binasa kerana mereka tidak beriman, tiada jalan untuk selamat & dapat syafaat!
  1. Nota (344)- Setelah puas Nabi Nuh AS menyeru kaumnya supaya beriman & mereka masih juga berdegil; maka Allah perintahkan Nabi Nuh AS membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan dirinya bersama umatnya yang beriman. Ini kerana Allah mahu membinasakan mereka yang kafir itu dengan taufan, bah yang besar. 
  1. Sempena dengan musin hujan & banjir ini; Kita berdoa bermunajat kepada Allah agar selamatkan kita dan negara kita semua dari ribut taufan & hujan banjir yang memusnahkan & memudharatkan. 
    Kita memohon agar Allah lindungi kita semua dari segala bala-bencana & musibah yang akan melanda!

AYAT 38- {DAN NABI NUH PUN MEMBUAT BAHTERA ITU, DAN TIAP-TIAP KALI SEPUAK DARI KAUMNYA MELALUI TEMPAT IA MEMBINA BAHTERANYA, MEREKA MENGEJEK-EJEKNYA. NABI NUH PUN MENJAWAB: “JIKA KAMU MEMANDANG KAMI BODOH (KERANA MEMBUAT BAHTERA INI), MAKA SESUNGGUHNYA KAMI JUGA MEMANDANG KAMU BODOH (KERANA KEINGKARAN KAMU), SEBAGAI (BALASAN) EJEKAN KAMU.} (HUD 11:38)

  1. Maka Nabi Nuh pun mula membina kapal sebagaimana perintah Allah. 
    Setiap kali kaumnya yang tidak beriman itu melalui tempat Nuh sedang membina bahtera itu mereka mengejek-ngejeknya.
  1. Kata al-Qurtubi : Sebab mereka perli ini kerana ada dua sebab :
    i- Kerana Nabi Nuh itu membinanya di atas daratan & bukit yang tinggi pula! 
    Biasanya orang bina kapal ini dekat air iaitu sama ada di tepi laut atau sungai.

    ii- Ada ulama’ kata : Sebab mereka tak pernah kenal & lihat lagi kapal atau bahtera sebelum itu.
    Lalu mereka berasa pelik apabila melihat Nuh buat & kata dia nak bina sebuah rumah (kapal) yang boleh berjalan atas air! Maka mereka memerli mengejeknya sebagai sesuatu yang aneh!
  1. Nabi Nuh menjawabnya: “Jika kamu memandang kami bodoh kerana membuat bahtera ini, maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh kerana keingkaran kamu, sebagai balasan ejekan kamu.”
  1. Kata ulama’ tentang maksudnya ejekan balik ini :
    i-Kata Ibnu Jarir : Mereka akan diperli di Akhirat kelak kerana mati dalam kafir.

    ii- Kata Ibnu Atiyah : Kami akan perli kamu bila datang azab atas dunia ini.

    iii- Kata al-Qurtubi : Mereka akan diperli ketika tenggelam dalam air banjir nanti!

    iv- Kata ulama’ tafsir mutaakkhir : Kafir akan diperli ketika dua-dua keadaan inilah! 
    Ketika tengelam & lemas atas dunia &
    dan ketika dibangkitkan di Akhirat kelak!
    Begitulah perangai buruk orang kafir suka perli orang beriman sedangkan di Akhirat kelak mereka akan diperli & yang kerugian sebenarnya!

AYAT 39- {MAKA KAMU AKAN MENGETAHUI SIAPAKAH YANG AKAN DIDATANGI AZAB YANG MENGHINAKANNYA DI DUNIA, DAN YANG AKAN DITIMPAKAN PULA DENGAN AZAB YANG KEKAL PADA HARI AKHIRAT KELAK”.} (HUD 11:39)

  1. Para nabi ini orangnya sabar tetapi apabila kaum yang kufur itu melampau dalam mendustakan & mengingkari mereka akan membalas menjawabnya & akan mendoakan azab ke atas mereka! 
  1. Maka Nabi Nuh menjawab lagi ejekan kaumnya dengan memberi amaran kepada mereka: Kamu jangan main-main, gembiralah kamu atas dunia ini! 
    Kelak kamu akan mengetahui:
    i-Siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia,

    ii- Dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak!!
  1. Begitulah sikap para nabi yang perlu dicontohi oleh para pendakwah; jangan mudah putus asa & kecewa, sabar atas tentangan & penolakan kaum sendiri. 
    Tetapi jika mereka telah melampau dalam ejekan & pendustaannya kita boleh bangkit membalasnya dengan penuh hikmah & fakta berhujjah.
  1. Atas dunia ini kita buka dua fail:
    i- Pertama fail meraih pahala hasil dari orang kutuk, fitnah label kita atas apa yang kita tak buat.

    ii- Di Akhirat kelak biar malaikat buka fail ke atas mereka dengan segala catatan yang mereka ada!
  1. Maka di Akhirat kelak tempat terakhir bagi orang yang kafir & ingkar ialah neraka!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 36- {Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman…}-

    Allah wahyukan kepada Nuh bahawa tidak akan ada lagi yang akan beriman dari kaumnya kecuali yang mana ada ini!
    Tempoh Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya adalah 950 tahun, dan maksimum yang dikatakan oleh ahli tafsir tentang bilangan pengikutnya adalah 80 orang!

    Ayat ini mengajar kepada kita tentang qadha’ & qadar. 
    Apabila Allah taqdirkan begitu akan begitulah juga jadinya!
    Kerana Allah telah nyatakan kepadanya bahawa tidak akan ada lagi orang yang beriman, maka Nabi Nuh berani berdoa kebinasaan untuk mereka yang kafir itu!

    Begitu juga Rasulullah SAW terdapat beberapa isu apabila orang minta minta Baginda doakan kebinasaan ke atas kaum tertentu, Baginda hanya meminta agar mereka diberi hidayah dan akan datang ke Madinah untuk beriman!
    Adakala juga bagi orang yang terlalu jahat Nabi SAW doakan kebinasaannya tetapi ini amat jarang berlaku.

    Maka kita ambil pendekatan yang sederhana & lunak, tidak berdoa agar dibinasakan orang. Tetapi jika orang buat jahat yang melampau kita berdoa kepada Allah agar sekat kejahatan mereka itu dari terkena ke atas kita! 
    Pandailah Allah buat cara untuk menghalangnya sama ada dengan keinsafan atau sebagainya!
  1. Ayat 36- {… Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.}-

    Allah kata wahai Nuh, kamu jangan sedih, kecewa & dukacita kerana kamu telah menjalankan tanggungjawab.
    Kata ulama’ : Ayat ini menunjukkan sesuatu yang berat & bahaya! 
    Apabila kita buat sesuatu perkara kita mahu lihat satu kesan & hasil yang baik.

    Seperti jika kita buka sekolah pastilah kita mahu lihat para pelajar kita menjadi orang yang soleh, berguna & berjaya dunia Akhirat. 
    Nabi Nuh setelah berdakwah beratus tahun, tiba-tiba Allah kata sudah tidak ada orang nak beriman- lalu Allah kata kamu jangan sedih & kecewa dan putus asa.
    Ayat ini memberi vitamin harapan & penenang kepada hati kita!
    Kita pastilah berharap orang yang paling rapat dengan kita, orang yang kita sayangi, murid kanan untuk ikut berjuang atau meneruskan perjuangan dakwah kita. 

    Tetapi apa boleh buat ada yang tak ikut, ada yang ikut saja tetapi tidak beramal dengan ajaran itu! 
    Betapa kita berasa sedih kaum keluarga kita, anak beranak kita, kita ajar dan cerita tentang Sunnah tetapi mereka tidak beramal dengannya!
    Apa yang penting kita teruskan tugas kita, jalankan tanggungjawab kita, yang selebih & hasilnya kita serahkan kepada Allah Azza wa Jalla.
  1. Ayat 37- {Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya);…}-

    Allah SWT perintahkan Nabi Nuh AS untuk buat sebuah bahtera.
    Begitulah orang beriman, dia akur & patuh kepada wahyu & perintah Allah walaupun perintah pelik yang diberi oleh Allah- iaitu buat kapal atas darat/bukit & menjadi perlian ejekan kaumnya!
    Kerana dia yakin apabila perintah Allah pastilah ada sebab & hikmahnya, air pasti akan sampai walaupun di atas gunung yang tertinggi.

    Allah juga perintahkan Nabi Nuh agar jangan peduli akan ejekan & nasib mereka yang kafir itu, mereka pasti tenggelam.
    Tetapi Nabi Nuh pastilah bimbang & risaukan akan orang yang tersayang & dekat dengannya, keluarga & kaumnya lebih-lebih lagi kerana ada di kalangan isteri & anaknya yang masih tidak beriman!!
    Tetapi Allah telah beri amaran dan peringatan agar jangan kamu Nuh hiraukan dan runsingkan lagi akan nasib mereka yang ingkar itu, jangan sibuk, jangan cuba pertahankan mereka kerana mereka akan dibinasakan Allah SWT !

    Begitu juga kita para pendakwah, setelah menjalankan tugas & dakwah, buat kerja yang benar, hasil apa yang kita dapat- dapatlah manakala apa yang kita tak dapat terlepaslah. 
    Kita harapkan Allah beri pahala kepada kita & agar beri hidayah kepada orang yang kita sayangi, setakat itu sajalah kemampuan kita!

    Orang tersayang yang paling berjasa kepada Nabi SAW & Islam, akhirnya mati tanpa beriman, apa boleh buat!
    Setelah kita buat kerja jalankan tugas; jika nampak orang itu masih selewang tidak mahu terima, serahkanlah mereka kepada Allah, tak perlu nak bela pertahankan mereka lagi!

    Kerja kita bukan pertahankan semua orang tetapi kerja kita pertahankan kebenaran! 
  1. Ayat 38- {Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya.}-

    Apabila tengok Nabi Nuh buat kapal; puak kafir pakat gelak & mengejeknya!
    Begitulah perangai puak kafir suka perli & mengejek!
    Maka ingatlah perlian dan ejekan ini mainan golongan kafir & munafiq terhadap para pendakwah!

    Zaman kita ini orang perli cara kita, mereka buat poster, mereka pangkah atas muka, mereka tulis, buat fitnah & beri label seumpamanya.
    Maka Allah ajar kepada nabi Nuh AS, tidak mengapalah hari ini mereka perli kamu tak mengapa suatu hari nanti kamu akan perli mereka pula!
    Antara tanda-tanda kecerdikan seorang pendakwah ialah tidak melayan ejekan & isu yangg remeh-temeh. 

    Orang perli kita nak balas, orang ejek kita nak ejek juga!
    Tak perlulah kerana ia hanya akan membuang masa & tenaga!
    Baiklah kita guna masa yang ada untuk mendidik masyarakat, untuk mengamalkan Sunnah, buat amal soleh dan seumpamanya.

    Ini kerana ada juga orang yang memang lapar glamour & cari kemasyhuran dengan melanggar & menghentam orang yang sudah masyhur & dikenali. 
    Jadi orang akan nak baca & nak kenal mereka!
    Mereka yang tidak dikenali ini apabila kita layan mereka akan jadi dikenali pula!
    Maka usah layanlah!
  1. Ayat 39- {Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak”.}-

    Kamu akan tahu nanti ke mana hala-tuju, orang yang derhaka kepada Allah semuanya akan tahu nanti!
    Ulama’ tafsir membincangakan : Tentang tempoh pembinaan kapal Nabi Nuh itu, ini tiada sumber yang sahih semuanya:
    i- Dalam tafsir Munir kata : Selama 2 tahun.

    ii- Ada yang kata 30 tahun

    iii- Bahkan ada yang kata 100 tahun.
    Ada pula yang kata panjangnya 300 hasta atau kaki & lebarnya 50 hasta, ini semua bukan fakta yang sahih, hanya dikatakan!
    Nabi Nuh & orang beriman telah selamat dengan menaiki bahtera ini bersama 3 orang anak lelakinya iaitu Sam, Ham & Yafith 
    ( سام, حام & يافيث) dan isteri-isteri mereka! 
    Kesimpulannya para pendakwah kena jalankan tugas kita ajak manusia kepada Allah & Sunnah Nabi SAW, jika orang perli jangan peduli tetapi jika nampak melampau kena jawab juga sebagaimana kisah Nabi Nuh ini!

    Sebagaimana kisah Rasulullah SAW dan Ubai bin Khilaf, salah seorang musuh utama Rasulullah SAW yang sering mengejek serta menghina Baginda. 

    Ubai ini pernah bersumpah untuk membunuh Rasulullah SAW dengan kudanya. 
    Namun, Rasulullah membalas, “Bahkan aku yang akan membunuhmu, Insya Allah,” seperti yang diriwayatkan dalam kitab sirah. 
    Ketika Perang Uhud, Ubai bin Khilaf maju untuk mencari dan membunuh Rasulullah SAW.
    Dalam pertempuran tersebut, Rasulullah SAW membalas dengan tombaknya dan melukai leher Ubai bin Khilaf hingga ia jatuh dari kudanya.

    Ubai bin Khilaf yang terluka, kembali kepada pasukannya sambil mengeluh: “Muhammad telah membunuhku!”
    Meskipun para sahabatnya mengatakan itu hanya luka kecil, Ubai bin Khilaf meyakini bahwa kematiannya disebabkan oleh Rasulullah SAW.

    Ubai bin Khilaf akhirnya meninggal di tempat yang bernama Sarif, dalam perjalanan pulang ke Makkah, kerana luka yang dideritanya.
    Mukjizat Rasulullah: Kisah ini menggambarkan mukjizat Rasulullah SAW sebagai utusan Allah.
    Meskipun Ubai bin Khilaf memakai baju besi, Rasulullah SAW berhasil menikamnya dari celah kecil di antara baju zirahnya (besi).
    Pendakwah kena tenang, sabar tetapi apabila orang melampau kita kena jawab juga!!!!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top