NABI NUH AS MENGADU HAL ANAKNYA, ALLAH DEDAHKAN HAKIKATNYA & INILAH KISAH GHAIB DALAM QURAN.
Full video : https://youtu.be/JAaY3UMEAyg?si=xDwE4LF7s_fAX72Q
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 45 sehingga ayat 49 dalam juzuk kedua-belas.
- Ini adalah siri terakhir dalam kisah Nabi Nuh AS dalam surah Hud ini.
Dalam siri ini Allah SWT nyatakan Nabi Nuh AS mengadu kepada Allah tentang anaknya yang mati lemas semalam.
- Allah dedahkan bahawa anaknya itu bukan ikut agama Nabi Nuh, maka dia tidak soleh, tak usahlah kamu bersedih hati atas kebinasaannya.
Apabila Nuh mendengar hakikat bahawa anaknya bukan Islam, terperanjatlah Nabi Nuh dan dia terus meminta ampun kepada Allah SWT!
Begitulah juga kita hari ini kena pantau keadaan anak-anak.
- Allah akhiri kisah ini dengan bahtera Nabi Nuh selamat mendarat atas Jabal Jud setelah banjir surut.
Allah nyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa inilah kisah ghaib yang kamu tak tahu sebelum ini, kamu hanya tahunya dari al-Quran yang diwahyukan kepada kamu!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang anak Nabi Nuh yang tenggelam, serta surutnya banjir, bumi serap airnya & langit tidak turun hujan lagi.
ii- Lalu dalam ayat ini menyatakan Nabi Nuh yang termenung menyesali akan kematian anaknya yang tenggelam.
Lalu Nabi Nuh mengadu kepada Allah & bertanya sebabnya kerana Allah telah janjikan keselamatan bagi orang yang beriman!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 45- {DAN NABI NUH MERAYU KEPADA TUHANNYA DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHANKU! SESUNGGUHNYA ANAKKU ITU DARI KELUARGAKU SENDIRI, DAN BAHAWA JANJIMU ITU ADALAH BENAR, DAN ENGKAU ADALAH SEBIJAK-BIJAK HAKIM YANG MENGHUKUM DENGAN SEADIL-ADILNYA”.} (HUD 11:45)
- Apabila air tehenti dan banjir sudah surut, Nabi Nuh berdoa mengadu kepada Tuhan kenapa anaknya sendiri tidak selamat, mati tenggelam dalam air banjir yang diturunkan untuk membinasakan kaum kafir!
- Kata ulama’ : Yakni nabi Nuh AS seolah mengungkit janji Allah yang mahu menyelamatkan semua orang yang beriman & janji Allah adalah benar tetapi kenapa anakku yang adalah dari keluargaku tidak selamat? Kenapa dia tidak naik kapal lalu tenggelam??
- Kata ulama’ : Lagi kejadian ini samada berlaku:
i- Sebelum anaknya tenggelam, ketika dia mengajak anaknya agar naik bahtera bersama mereka yang beriman.
ii- Ada ulama’ kata : Kejadian ini selepas selesai semuanya, kapal berhenti, banjir surut & hanya orang beriman selamat, iaitu seolah satu post-mortem, kenapa anaknya itu tidak selamat????
Kata at-Tobari rayuan Nabi Nuh ini selepas anaknya mati.
- Ulama’ mengatakan : Ini kerana Nuh tidak tahu anaknya itu rupanya tidak beriman, kerana itu dia mempersoalkan kenapa anaknya itu tidak naik kapal & tidak selamat!
- Sedangkan dalam masa yang sama Allah telah janjikan bahawa orang yang beriman akan selamat!
Nuh yang menyangka anaknya beriman, berasa terkejut kenapa dia tidak selamat!
- Tetapi dalam masa yang sama Nabi Nuh melahirkan keimanannya dengan mengatakan bahawa Allah adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.
Yakni bukan nak pertikaikan hukum Tuhan; cuma nak tahu sebabnya, seolah seperti satu post-mortem.
AYAT 46- {ALLAH BERFIRMAN: “WAHAI NUH! SESUNGGUHNYA ANAKMU ITU BUKANLAH DARI KELUARGAMU (KERANA IA TELAH TERPUTUS HUBUNGAN DENGANMU DISEBABKAN KEKUFURANNYA); SESUNGGUHNYA BAWAANNYA BUKANLAH AMAL YANG SOLEH, MAKA JANGANLAH ENGKAU MEMOHON KEPADAKU SESUATU YANG ENGKAU TIDAK MEMPUNYAI PENGETAHUAN MENGENAINYA. SEBENARNYA AKU MELARANGMU DARI MENJADI ORANG YANG JAHIL”.} (HUD 11:46)
- Allah SWT menjawab terus persoalan Nabi Nuh itu!
Allah katakan bahawa anaknya itu: {..bukanlah dari keluargamu kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya}.
Yakni walaupun anak kandungnya tetapi kerana kufur dikira telah putus hubungan kekeluargaannya- seolah bukan anaknya lagi!
- Pembawaan anaknya bukan perangai atau sifat orang beriman yang beramal soleh!
Allah pesan lagi kepada Nuh: Janganlah kamu memohon kepadaku dalam sesuatu yang kamu tidak ada tahu, yang kamu tidak ada ilmu tentangnya agar kamu tidak mejadi orang yang jahil.
- Sedikit perbincangan; apabila Allah kata: {Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu…}- ada orang yang salah faham mengatakan bahawa rupanya anak itu bukan anak kandung Nabi Nuh yang sebenarnya tetapi anak tak sah taraf!
- Kata Ibnu Kathir RHM : Ramai ulama’ tafsir telah menyatakan adalah SALAH bagi sesiapa yang salah faham tentang ayat ini bahawa anak itu anak hasil perbuatan curang isteri nabi Nuh, kerana itu dia & ibunya (isteri) Nabi Nuh tidak beriman!
- Maka di sini Ibnu Abbas dan lain-lain ulama’ mengatakan: Tidak ada seorangpun isteri nabi yang curang kepada suaminya atau berzina sama sekali!
Tetapi yang tidak beriman ada iaitu seperti isteri Nabi Nuh ini & isteri Nabi Lut AS.
Mereka tidak curang atau melakukan perbuatan keji; cuma tidak beriman!
- Maka maksud Allah dia bukanlah dari keluargamu itu adalahkerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya! Yakni putus hubungan keluarga dengan sebab keimanan.
- Maka anaknya itu tidak termasuk dalam keluarga Nabi Nuh yang akan selamat kerana dia tidak beriman, tetapi dari kalangan orang yang kufur, yang tidak layak untuk selamat daripada kebinasaan sebagaimana orang yang beriman!
Maka jangan ada lagi yang buat pening memahami sebaliknya!
- Allah mengatakan Dia sudah jawab pertanyaan Nabi Nuh tentang sebab kenapa anaknya itu tidak selamat, maka jangan ditanya & dipertikaikan lagi selepas ini!
Kata pepatah Arab : Apabila diketahui sebab, tiada lagi kepelikan (اذا عرف السبب بطل العجب) – Nuh pun faham dan akur apabila tahu sebabnya!
- Allah tutup ayat ini dengan berfirman: Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil.
Yakni Allah bagi peringatan & jelaskan segera isu ini agar Nabi Nuh tahu & tidak lagi jahil tentangnya, maka dia tidak akan tanya & berdoa lagi untuk orang yang tidak beriman walaupun dari kalangan kaum keluarganya sendiri!
- Kata Ibnu Asyur RHM : Pada masa itu tiada larangan lagi ke atas Nabi Nuh untuk meminta ampun kepada orang kafir & Nabi Nuh pun tidak tahu bahawa anaknya itu kafir!
Maka tidak ada celaan ke atas orang yang memang tidak tahu!
AYAT 47- {NABI NUH BERKATA: “WAHAI TUHANKU! SESUNGGUHNYA AKU BERLINDUNG KEPADAMU DARIPADA MEMOHON SESUATU YANG AKU TIDAK MEMPUNYAI PENGETAHUAN MENGENAINYA; DAN JIKA ENGKAU TIDAK MENGAMPUNKAN DOSAKU, DAN MEMBERI RAHMAT KEPADAKU, NESCAYA MENJADILAH AKU DARI ORANG-ORANG YANG RUGI”.} (HUD 11:47)
- Setelah jelas kepada Nabi Nuh akan isu ini, Nabi Nuh terus menerima penjelasan Allah, meminta ampun kepada-Nya serta berjanji tidak akan buat & tanya lagi benda pelik, perkara yang dia tiada ilmu pengetahuan tentangnya!
- Nabi Nuh bermunajat kepada Allah mengakui kesilapan dan kesalahannya!
Mengatakan jika Allah tidak mengampunkan dosa & kesalahannya, dia akan menjadi orang yang rugi kerana buat perkara yang tidak sepatutnya dibuat!
- Begitulah betapa berliku dan sedihnya perjalanan dakwah seorang Nabi yang mendapat tentangan dan perlawanan dari kaumnya sendiri.
Lebih berat & dahsyat lagi apabila ditentang oleh kaum keluarga terdekat & anak beranak sendiri!
AYAT 48- {ALLAH BERFIRMAN: WAHAI NUH! TURUNLAH (DARI BAHTERA ITU) DENGAN SELAMAT DAN BERKAT DARI KAMI KEPADAMU DAN KEPADA UMAT-UMAT YANG BERSAMA-SAMAMU. DAN (DALAM PADA ITU) ADA UMAT-UMAT DARI KETURUNAN MEREKA YANG KAMI AKAN BERI KESENANGAN KEPADANYA (DALAM KEHIDUPAN DUNIA), KEMUDIAN MEREKA AKAN DIKENAKAN AZAB DARI KAMI YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA”.} (HUD 11:48)
- Setelah surut banjir Allah berfirman kepada Nabi Nuh agar turun daripada bahtera itu bersama pengikutnya yang yang beriman, dengan selamat & berkat dari Allah SWT.
- Nota (346): Yakni orang-orang beriman yang turut bersama nabi Nuh AS di dalam bahtera itu kemudiannya berkembang-biak zuriat keturunan mereka menjadi umat yang berbilang bangsa dan bahasa.
Kerana itu Nabi Nuh AS dikira sebagai bapa manusia yang kedua juga selepas Adam AS. Kerana mereka bina semula tamaddun manusia.
- Tetapi selepas daripada itu ada pula mereka yang kufur!
Syaitan itu laju buat kerjanya, selepas pembersihan etnik kafir dan yang tinggal hanya manusia beriman, muncul dan tumbuh balik manusia yang kafir!
- Begitulah selepas waktu senang, semua orang beriman akan muncul pula golongan yang kafir.
Ramai dari kalangan umat manusia ini yang senang di dunia tetapi tidak beriman juga; maka Allah akan masukkan mereka ke neraka.
- Jika kita berfikir dengan otak kita sepatutnya tak wujud dah kafir atas dunia ini.
Bilangan manusia beriman yang selamat hanya sedikit dalam 80 orang sahaja; tetapi tak boleh nak buat apa dah, begitulah Sunnatullah, roda dunia ini berputar watak lama muncul kembali!
AYAT 49- {(KISAH NABI NUH) ITU ADALAH DARI PERKARA-PERKARA YANG GHAIB YANG KAMI WAHYUKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), YANG ENGKAU DAN KAUM ENGKAU TIDAK MENGETAHUINYA SEBELUM INI. OLEH ITU, BERSABARLAH. SESUNGGUHNYA KESUDAHAN YANG BAIK (YANG MEMBAWA KEJAYAAN DI DUNIA DAN KEBAHAGIAAN DI AKHIRAT) ADALAH BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (HUD 11:49)
- Allah nyatakan kisah Nabi Nuh ini adalah kisah orang terdahulu yang sebelum kamu, Nabi Muhammad SAW belum ada lagi.
Kami wahyukannya kepada kamu agar kamu tahu, baca dan ceritakan kepada umatmu lalu dapat ambil pengajaran daripada apa yang berlaku!
- Yakni sebelum turunnya wahyu Allah dengan al-Quran ini Nabi Muhammad tidak tahu apakah kisah sebenarnya tentang Nabi Nuh ini.
Mungkin kamu pernah dengar, tetapi hanya apa yang kamu dengar dari kata-kata orang yang tidak pasti kebenarannya, seperti kisah Israiliyyat dari ahli kitab!
- Di akhir ayat Allah memberi nasihat & kata-kata peransang kepada Rasulullah SAW agar bersabar menghadapi kejahatan, tentangan & pendustaan kaumnya!
Sabarlah sebagaimana sabarnya Nabi Nuh AS dan lain-lain rasul sebelum ini!
- Betapa Nabi Nuh telah berdakwah & bersabar selama 950 tahun.
Nabi Muhammad SAW walaupun hanya sebentar berbanding Nuh; hanya 23 tahun tetapi banyak juga cabaran, ujian & tentangan yang dihadapinya!
Terdapat lebih daripada 60 kali peperangan & pertempuran yang besar & kecil yang dilalui oleh Baginda SAW dan para sahabat.
- Tetapi tetaplah akibat yang terpuji di dunia & Akhirat bagi mereka bertaqwa kepada Allah.
Maka jika nak selamat; ikutlah arahan Allah dan jauhi larangan-Nya agar selamat di dunia & Akhirat.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 45- {Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar,..}-
Nabi Nuh AS mengadu kepada Allah SWT tentang anaknya!
Nabi Nuh mengadu ini sebelum dia tahu sebab kenapa anaknya tidak selamat & binasa bersama orang kafir.
Begitulah seorang bapa pastilah akan mempunyai rasa kasih-sayang, simpati & kasihan terhadap anaknya!
Tetapi setelah mengetahui sebab, seseorang tidak boleh lagi bersedih atau mempertikaikannya!
Kata ulama’ : Ikatan agama lebih besar daripada ikatan keturunan atau keluarga!
Walaupun dia anak Nabi Nuh tetapi kerana dia tidak beriman; dia binasa!
Ayat ini menyentap kita semua, ingatlah walaupun kita anak Syeikh, anak tuan guru, anak ustaz atau anak pendakwah masyhur; semua itu tidak menjamin kemuliaan & kedudukan di sisi Allah!
Setengah orang berbangga dengan kedudukan datuk neneknya tetapi keadaannya sendiri tidak boleh dibanggakan dari sudut agama!
Kita hanya boleh berbangga dengan ilmu dan kedudukan kita sendiri dalam agama!
Persaudaraan dalam agama lebih mantap & kuat daripada nasab keturunan!
Persaudaraan dalam agama tidak akan putus sedangkan kerana keturunan boleh putus.
Berbeza agama boleh menyebabkan bapa & anak tidak boleh saling mewarisi!
Firman Allah SWT : {Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.} (Al-Hujurat 49:10)
Maka kita jagalah anak kita, kaum keluarga kita biar bersama semua dalam kehidupan beragama.
Sebagaimana projek yang sering disebut Abu Anas: Kita nak masuk syurga sekeluaraga!
Bukan kita sorang sahaja!
- Ayat 46- {Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya);…}-
Allah kata dia bukan anakmu dari sudut keimanan kepada Allah!
Seperti yang kita bincangkan di atas tadi, ayat ini tidak menafikan bahawa anak itu bukan anak Nabi Nuh AS.
Cuma dikira bukan keluarga dari sudut keagamaan.
Ulama’ tafsir seperti Ibnu Abbas RA dan lain-lain telah menegaskan bahawa : Tidak ada isteri seorang nabi yang berzina atau melakukan perbuatan fahisyah (keji).
Ada yang tidak beriman, sebagaimana jelas nas dalam al-Quran- iaitu isteri Nabi Nuh & isteri Nabi Lut.
Tetapi berzina tidak, kerana Allah SWT menjaga nasab para anbiya’nya.
Dunia hari ini semua bercampu, gaul habis dengan sebab pergaulan bebas dan pengaruh kafir!
Syaitan ini tidak duduk diam, semua yang maksiat & dosa menjadi satu kebiasaan!
- Ayat 47- {Nabi Nuh berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya;…}-
Nabi Nuh berdoa minta ampun kepada Tuhan.
Kerana sekarang dia telah tahu sebab kebinasaan anaknya, dia berjanji tidak akan meminta lagi sesuatu yang menyalahi, tidak akan bercakap lagi tentang sesuatu yang dia tidak tahu!
Hakikat taubat itu ada dua:
i- Untuk masa depan, iaitu kita berazan untuk tidak buat lagi benda itu!
ii- Taubat untuk sesuatu yang telah lepas, iaitu kita menyesal atas apa yang telah berlalu.
Yakni Allah nyatakan setelah Nabi Nuh tahu hakikat sebenar & kesalahannya, dia pun akur dan menerima apa yang terjadi!
Taubat & akur dengan apa yang terjadi ini akan menyelamatkan kita & dosa-dosa yang lepas akan diampunkan Allah Azza wa Jalla yang Maha Pengampun!
Dalam ayat Allah ini nyatakan bahawa Dia larang Nabi Nuh daripada mempersoal apa yang terjadi kepada anaknya sebelum Nabi Nuh tahu sebabnya, lalu Allah memaafkannya!
Kemudian apabila tahu sebabnya Nabi Nuh terus meminta ampun & maaf.
Serta menyesal dengan mengatakan jika Allah tak ampunkannya maka dia akan menjadi orang yang rugi!
- Ayat 47- {… dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.} –
Jika para nabi pun beristighfar meminta ampun kepada Allah, apatah lagi kita orang yang beriman yang bukan nabi ini!
Jika kita tidak mahu istighfar maka adalah sesuatu yang sangat pelik.
Rasulullah SAW yang maksum, tidak berdosa itu pun sentiasa berisighfar.
Sabda Rasulullah SAW: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR Muslim).
Dari Abdullah ibnu Umar RA:
Kami pernah menghitung (istighfar) Rasulullah SAW dalam suatu majlis sebanyak 100 kali: رَبِّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ علي إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
“Wahai Tuhanku! Ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengampun.” (HR Abu Daud).
Maka kita yang banyak dosa ini, tidak mahu istighfar pula!
Dalam ayat ini Allah nyatakan Nuh berkata: {… dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi”.}.
Ini menunjukkan bahawa uslub untuk kita meminta ini adakalanya dengan:
i- Permintaan sebenar, secara direct minta ampun minta selamat.
ii- Dengan cerita, seperti dalam ayat ini, Nabi Nuh cerita tentang kesalahannya dan jika Allah tak ampun maka dia akan rugi!!!
Sama seperti kisah doa Nabi Yunus AS:
لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبْحَـٰنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
{Tidak ada Tuhan (yang dapat menolong) selain Engkau (Ya Allah!), Maha Suci Engkau. Sungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang menganiaya diri sendiri.} (al-Anbiya ayat 87)
Kedua-dua inilah uslub doa yang menarik yang digunakan dalam bahasa Arab.
Kita boleh guna keduanya, inilah tadabbur yang indah.
- Ayat 49- {(Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.}-
Allah perintahkan kepada Nabi Nuh untuk bertenang, sekarang ini semua orang kafir sudah binasa atas dunia ini, yang adanya hanya orang beriman.
Orang beriman ini walaupun susah atau senang pada awalnya, akhirnya pekerjaannya Allah akan beri kemenangan atas dunia ini kepada mereka.
Pertolongan Allah & kemenangan pasti akan datang, cuma lambat atau bangat saja!
Yang penting para pendakwah kena sabar, tekun buat kerja & merancang strategi bagaimana untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat!
Orang tak terima tidak mengapa, sabar dulu, kita cuba ubah cara & strategi sehingga orang lembut & dapat menerimanya!
Sabarlah, dengan kita sabar Allah akan beri kejayaan kepada orang yang bertaqwa & sabar, yang ikhlas kerana Allah!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
