NABI HUD AS DAKWAH KAUMNYA, AJAR MEREKA BERISTIGHFAR & AMARAN DARI KAUMNYA.
Full video : https://youtu.be/TWnhhc1dHNc?si=TOPbMfdNo1q4g8so
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 50 sehingga ayat 55 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan Nabi Hud AS diutuskan untuk berdakwah kepada kaumnya, iaitu kaum Ad.
- Nabi Hud berdakwah kepada tauhid iaitu menyembah Allah yang Esa & mengajar kaumnya supaya beristighfar & bertaubat kepada Allah!
- Tetapi pastilah setiap dakwah ada cabaran & penentangannya.
Nabi Hud juga mendapat penentangan yang besar serta mendapat amaran dari kaumnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah nabi Nuh AS yang diutus kepada kaumnya, berdakwah kepada mereka, mendapat tentangan dan akhirnya azab Allah turun di mana kaum yang kafir binasa, Nabi Nuh & mereka yang beriman selamat.
ii- Dalam ayat ini pula adalah kisah nabi yang kedua selepas Nabi Nuh dalam surah ini.
Kisah Nabi Hud telah disebut dalam surah al-A’raf yang lalu dengan gaya bahasa (uslub) yang berbeza.
Nabi Hud adalah nabi pertama yang bercakap bahasa Arab dari keturunan nabi Nuh AS.
[Nota 347]- Mulai dari ayat ini Allah menceritakan tentang kisah Nabi Hud AS dan kaumnya.
Dari peristiwa inilah surah yang kesebelas ini dinamakan surah Hud kerana ia menceritakan perihal nabi Hud AS.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 50- {DAN KEPADA KAUM AAD, KAMI UTUSKAN SAUDARA MEREKA: NABI HUD IA BERKATA: “WAHAI KAUMKU! SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH! SEBENARNYA TIADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. KAMU HANYALAH ORANG-ORANG YANG MENGADA-ADAKAN PERKARA-PERKARA YANG DUSTA (TERHADAP ALLAH).} (HUD 11:50)
- Allah menyatakan bahawa Dia telah mengutus seorang nabi iaitu Nabi Hud; yang diutuskan kepada kaum Ad, dia adalah dari kabilah Ad, yakni dari nasab keturunan mereka sendiri.
- Kaum Ad adalah satu kabilah Arab yang duduk di sebelah Yaman iaitu di al-Ahqaf, sebelah utara Hadral-Maut.
Mereka satu kaum yang kuat, gagah perkasa, kerjanya bercucuk tanam & membela kambing. Mereka tinggal di atas bukit.
- Plot kisahnya juga hampir sama dengan nabi Nuh iaitu dia menyampaikan dakwah tauhid kepada kaumnya, menyatakan dia tidak mengambil upah dari mereka dan kaumnya menentang, yang berakhir dengan kebinasaan kaum Ad yang kafir dan nabi Hud dan mereka yang beriman selamat!
- Dakwah Nabi Hud kepada kaumnya, kaum Ad adalah:
i- Dakwah kepada tauhid iaitu sembah akan Allah yang Esa tanpa syirik kepada-Nya!
Tiada Tuhan yang layak disembah selain daripada Allah.
ii- Apa yang kamu sembah selain daripada Allah itu adalah satu pendustaan kepada Allah!
Kamu mengadakan sembahan itu sebagai perantaraan kepada Allah adalah sesuatu yang batil!
Sedang semua itu tidak dapat menolong kamu dan diri mereka sendiri.
AYAT 51- {WAHAI KAUMKU! TIADALAH AKU MEMINTA SEBARANG UPAH DARIPADA KAMU TENTANG (AJARAN YANG AKU SAMPAIKAN) ITU. UPAHKU HANYALAH DARI ALLAH YANG MENCIPTAKAN DAKU; MAKA MENGAPA KAMU TIDAK MAHU MENGGUNAKAN AKAL (UNTUK MENGETAHUI KEBENARAN)?} (HUD 11:51)
- Munasabah ayat:
i- Setelah Nabi Hud berdakwah kepada kaumnya kepada tauhid kepada Allah & menyatakan batil sembahan lain selain daripada Allah:
ii- Hud juga menegaskan dakwahnya itu bukan kerana nak cari duit minta upah dari mereka, tapi kerana nak menyelamatkan mereka dan menyampaikan risalah dari Allah!
- Nabi Hud mengatakan bahawa dia tidak meminta sebarang upah dari kaumnya tentang ajaran yang dia sampaikan itu.
Upahnya hanyalah dari Allah SWT yang menciptakannya & yang menyampaikan wahyu itu!
Yakni kerja dakwah hanya kerana Allah.
- Nabi Hud menempelak mereka dengan bertanya: Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal untuk mengetahui kebenaran lalu menerima dakwahnya & beriman kepada Allah!
Iaitu aku berdakwah kamu semata-mata untuk keselamatan kamu dunia Akhirat bukan kerana nak cari duit nakambil upah!
AYAT 52- {DAN WAHAI KAUMKU! MINTALAH AMPUN KEPADA TUHAN KAMU, KEMUDIAN KEMBALILAH TAAT KEPADANYA, SUPAYA IA MENGHANTARKAN KEPADA KAMU HUJAN LEBAT SERTA MENAMBAHKAN KAMU KEKUATAN DI SAMPING KEKUATAN KAMU YANG SEDIA ADA; DAN JANGANLAH KAMU MEMBELAKANGKAN SERUANKU DENGAN TERUS MELAKUKAN DOSA!} (HUD 11:52)
- Ini merupakan taklif atau perintah yang kedua yang disebut oleh Nabi Hud kepada kaumnya selepas seruan agar mereka tauhid hanya menyembah Allah SWT semata-mata.
- Dakwah Nabi Hud kepada kaumnya yang kedua ini ialah:
i- Agar mereka beristighfar meminta ampun kepada Allah akan dosa-dosa mereka yang lalu;
ii- Bertaubat & kembali taat kepada Allah!
Iaitu berazam tidak akan buat lagi dosa-dosa & maksiat.
- Ini kerana taubat & istighfar mempunyai kelebihan yang besar, iaitu:
i- Supaya Allah menghantarkan kepada mereka hujan lebat; di mana pokok akan tumbuh, haiwan & manusia akan dapat makanan & minuman.
ii- Serta menambahkan kekuatan di samping kekuatan mereka yang sedia ada; jika kamu istighfar & taubat Allah akan tambah lagi kekuatan kamu sama ada dari segi harta & anak-pinak.
- [349] Nabi Hud AS diutus oleh Allah Ta’ala kepada kaumnya, kaum ‘Ad, penduduk negeri “Al-Ahqaaf” di selatan semenanjung Arab. Mereka hidup sebagai kaum tani yang mempunyai kebun-kebun ladang yang luas dan mereka pula terkenal sebagai satu kaum yang kuat gagah.
Sebagai penduduk negeri yang kering kontang, maka hujan adalah menjadi sebesar-besar rahmat bagi mereka
Sebab itulah Nabi Hud AS menyeru mereka beriman dan jangan mereka menyembah melainkan Allah, semoga Allah menurunkan hujan lebat kepada mereka dan menambahkan kekuatan mereka yang sedia ada, untuk menentang pencerobohan musuh
Tetapi mereka tetap kufur ingkar lalu dibinasakan oleh Allah.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
“Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), } (Nuh 71: 10-13)
- Nabi Hud memberi amaran kepada kaumnya agar: {… dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!} jangan lawan aku, jangan syirik & kafir, semua kita kena tauhid kepada Allah.
AYAT 53- {MEREKA BERKATA: “WAHAI HUD! ENGKAU TIDAK MEMBAWA KEPADA KAMI SEBARANG KETERANGAN YANG MEMBUKTIKAN KEBENARANMU, DAN KAMI TIDAK AKAN MENINGGALKAN PENYEMBAHAN TUHAN-TUHAN KAMI DENGAN SEBAB KATA-KATAMU ITU! DAN KAMI TIDAK SEKALI-KALI PERCAYA KEPADAMU!} (HUD 11:53)
- Kaumnya menolak dakwah Nabi Hud AS dengan bangun menjawab, membuat tentangan dan tuduhan terhadap Hud.
- Mereka mengatakan bahawa:
i- Nabi Hud tidak membawa kepada mereka sebarang keterangan yang membuktikan kebenarannya, atas apa yang didakwahnya.
ii- Dan mereka tidak akan meniggalkan
iii- Dan mereka sekali-kali tidak percaya kata Hud!
AYAT 54- {“KAMI HANYA BOLEH BERKATA BAHAWA SETENGAH DARI TUHAN-TUHAN KAMI TELAH MENGENAKANMU SESUATU PENYAKIT GILA (DISEBABKAN ENGKAU SELALU MENCACI PENYEMBAHAN KAMI ITU)”. NABI HUD MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA AKU MENYERU ALLAH MENJADI SAKSI TENTANG KEBENARANKU, DAN KAMU JUGA SAKSIKANLAH BAHAWA AKU BERSIH DARI DOSA PERBUATAN SYIRIK KAMU -} (HUD 11:54)
- Mereka membuat tuduhan jahat mengatakan bahawa nabi Hud telah menjadi gila dengan sebab sumpahan tuhan-tuhan berhala sembahan mereka!
- Yakni mereka kata akibat dari nabi Nuh mencaci dan mengata kepada tuhan sembahan mereka, larang dari sembah berhala itu maka Hud kena bala dengan sebab sumpahan berhala itu lalu menjadi gila!
- Nabi Nuh lalu bertegas menjawab: Aku menyeru Allah agar menjadi saksi tentang kebenaran dakwahku ini dan kamu semua juga menjadi saksi bahawa aku berlepas diri daripada perbuatan syirik kamu semua!
Yakni perbuatan kamu sembah selain daripada Allah itu aku tidak ikut & tidak meredhainya!
AYAT 55- {“MENYEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH. MAKA RANCANGKANLAH TIPU HELAH KAMU SEMUA TERHADAPKU, KEMUDIAN JALANKAN TERUS, JANGANLAH KAMU BERI TEMPOH KEPADAKU MEMPERTAHANKAN DIRI.} (HUD 11:55)
- Munasabah ayat:
i- Apabila nabi Hud mengisytiharkan bahawa dia telah berlepas diri daripada segala perbuatan syirik mereka, pastilah mereka akan buat sesuatu ke atasnya.
Iaitu mereka tuduh nabi Hud kena sumpah oleh tuhan berhala mereka!
ii- Nabi Hud lalu mencabar mereka untuk berpakat dengan tuhan sembahan & berhala mereka itu untuk mencari jalan & merancang tipu-helah ke atasnya!
- Yakni Nabi Hud mencabar kaumnya yang kafir itu mengenakan mudharat & tipu-daya ke atasnya dengan bantuan tuhan yang mereka sembah itu.
Jalankan terus rancangan mereka tanpa memberi tempoh atau masa baginya untuk mempertahankan diri.
- Nabi Hud berani mencabar mereka dengan tegas ini kerana dia tahu & yakin segala berhala dan sembahan mereka itu lemah tidak kuasa & upaya.
Apatah lagi untuk melawan Allah SWT, Tuhan yang Maha Berkuasa.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 50- {Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka:…}-
Allah nyatakan bahawa Nabi Hud diutuskan kepada saudaranya kaum Ad.
Ini bermaksud bahawa Hud adalah dari kaum Ad juga, kaum keluarga & anak beranak mereka juga, orang tempatan.
Ini untuk menjadikan mereka lunak, terbuka hati sesama kabilah sendiri, nak ambil ilmu dari Nabi Hud, supaya mereka celik mata & buka telinga menerima dakwah nabi Hud AS.
Tetapi apa boleh buat manusia apabila keras kepala, tidak kira, walaupun anak beranak, bab perjuangan & pegangan, masing-masing ada pilihan!
Persoalan:
Allah sifatkan di sini Nabi Hud sebagai saudara kaum Ad.
Iaitu saudara dari segi keturunan bukan agama!
Dalam ayat yang lepas apabila Nabi Nuh mengadu kepada Tuhan tentang anaknya Kan’an yang mati lemas kerana tidak mahu naik bahteral; Allah mengatakan:
{قَالَ يَـٰنُوحُ إِنَّهُۥ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ} –
{Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargau}.
Yakni anak dia yang mati itu bukan dari keluarganya, bukan anaknya!
Mengapa begitu pula???
Sedangkan dia memang anak Nabi Nuh cuma kafir & tidak beriman!
Ini untuk menunjukkan bahawa kaum kerabat & keturunan tidak akan dapat memberi syafaat & manfaat jika tidak ada hubungan agama.
Jadi macamana kita nak faham kerana:
i- Dalam ayat 46 itu Allah nyatakan bahawa anak nabi Nuh yang kafir bukan lagi dikira kaum keluarga atau anaknya kerana berbeza agama!
ii- Tetapi dalam ayat ini Allah mengatakan kaum Ad yang kafir itu sebagai saudara Nabi Hud AS apa perbezaannya???
Jawapan:
i- Maksudnya daripada ayat ini iaitu Allah menyatakan Nabi Hud adalah satu keturunan dengan kaumnya iaitu kaum Ad, saudara dari keturunan nasab mereka walaupun berbeza agama.
ii- Ini kerana Allah mahu memikat hati Quraisy yang sangat menentang dakwah nabi Muhammad SAW sedangkan Baginda adalah keturunan mereka seorang Arab Quraisy dari Makkah!
Bahakan Abu Lahab itu bapa saudaranya, kenapa keras sangat!
Jadi untuk menghilang rasa jauh & terasingnya Nabi Muhammad SAW dengan kaumnya, kaum Quraisy, Allah nyatakan bahawa Nabi SAW adalah dari keturunan mereka juga.
iii- Juga untuk menyatakan bahawa rasul itu Allah yang pilih & lantik.
Bukan manusia atau sesuatu kaum itu sendiri yang pilih!
Maka Allah nyatakan wahai kaum Ad, nabi Hud itu Tuhan yang pilih untuk menjadi rasul di kalangan kamu.
Maka jangan degil keras kepala & menolaknya!
- Ayat 50- {Nabi hud ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.}-
Nabi Hud mennyeru kaumnya kepada tauhid iaitu menyembah Allah SWT yang Esa!
Ini untuk menyatakan bahawa dakwah semua para nabi itu satu & sama sahaja; iaitu tauhid kepada Allah & tidak meminta upah & bayaran dari kaumnya!
Ayat 51- {Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu.}-
Nabi Hud juga menyatakan ini untuk menghilangkan sangkaan buruk orang ramai yang mengatakan kononnya dia berdakwah untuk mencari habuan kewangan.
Bukan menunggang agama untuk kesenangan hidup dan mencari harta!
Dakwah para nabi & pendakwah itu adalah untuk memberi nasihat, menyelamatkan kaum mereka, untuk kebaikan mereka bukan untuk kepentingan diri mereka sendiri.
Mereka berdakwah kerana perintah Allah & ikut wahyu.
Ingatlah, para pendakwah tidak akan berjaya jika tidak ikhlas, jika hati mereka tamak kerana nakkan harta dunia.
Kita minta perlindungan Allah daripada sifat ini!!
- Ayat 50- {Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi hud ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.}-
Setiap pendakwah kena nyatakan prinsip, halatuju & dakwahnya untuk dibawa ke mana.
Di sini Nabi Hud jelaskan bahawa prinsip dakwahnya adalah kepada tauhid iaitu menyembah Allah SWT semata-mata.
Dakwah kita pun begitu juga kena fokus kepada tauhid jangan bercampur dengan perkara lain.
Inilah pentingnya kita belajar ilmu aqidah & tauhid yang berpaksikan kepada al-Quran & Sunnah, akan mudah & tenang hidup. Tujuan kita adalah menghayati & mengenali Allah Azza wa Jalla bukan nak berbalah bedebat.
Cukuplah sebagaimana yang diajar oleh para ulama’ Islam, ulama’ Salafus-Soleh bagaimana caranya untuk mengenal Allah & mengenal Rasulullah SAW.
- Ayat 50- {… Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah).}-
Kamu wahai orang kafir yang mereka-reka tuhan dengan batu, dengan kayu, dengan besi hatta dengan makanan seperti tamar!
Sedangkan tiada Tuhan bagi seluruh manusia selain dari Allah!
Dalam ayat ini Allah nyatakan apa-apa perbuatan sebelum rasul diutuskan tidak dikira. Kerana yang baik & buruk semuanya menggunakan akal semata-mata.
Tetapi apabila rasul datang bawa risalah, tidak boleh lagi hanya guna otak & logik!
Semuanya kena ikut wahyu yang dibawa oleh para rasul yang diterima dari Allah!
Dalam ayat ini Allah ceritakan tentang Nabi Hud AS berdepan dengan kaumnya yang mereka-reka agama sebelum datangnya Nabi Hud.
Apabila Nabi datang bawa tauhid kena ikut, siapa yang lawan akan binasa. Wahai kaumku sembahlah Allah tiada Tuhan yang wajib disembah selain dari-Nya!
Ayat ini juga menyatakan perkara wajib yang pertama sekali ialah beriman kepada Allah SWT! Awalludin makrifatullah! Asas agama kena kenal Allah & Rasulullah SAW.
Inilah kunci dakwah para rasul seluruhnya dan dakwah kita semua iaitu tauhid kepada Allah SWT!
- Ayat 52- {Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya,…}-
Dakwah Nabi Hud yang kedua dalam ayat ini ialah supaya beristighfar & kemballi bertaubat kepada Allah!
Apabila kamu istighfar kepada Allah, Allah akan berikan kepada kamu:
i- Sumber rezeki kamu yang utama iaitu air. Kerana bila ada sumber air ada tanaman, ada haiwan bertambah sumber harta & keturunan kamu.
ii- Bila bertambah semua rezeki itu maka akan bertambah jugalah sumber kekuatan kamu & kekayaan kamu.
Mereka ini memang sudah terkenal sebagai kaum yang gagah perkasa.
Ini kerana kemuncak nikmat dunia yang dikehendaki manusia ialah: ada keturunan, ada harta, ada pangkat kedudukan & kekuasaan!
Hasil istighfar Allah akan hantar hujan yang bawa air sebagai satu nikmat & kekuatan kamu kepada kamu!
Nak dapat nikmat & kekuatan kena istighfar & bertaubat sentiasa kepada Allah SWT.
ISTIGHFAR SEBAB DITURUNKAN HUJAN.
Kisah pada zaman Sayyidina Umar RA apabila musim kemarau melanda dan manusia dikumpulkan untuk melakukan solat istisqa’. Dalam khutbahnya Sayyidina Umar menyuruh manusia beristighfar.
Diriwayatkan dari Al-Sya’bi, dia berkata, “Umar bin Al Khattab RA suatu masa meminta diturunkan hujan, namun dia tidak membaca lebih dari sekadar istighfar sehingga dia kembali.
Lalu ada yang berkata kepadanya, ”Kami tidak melihatmu meminta hujan.”
Saidina Omar pun mengatakan, “Aku sudah meminta diturunkan hujan dari langit”.
Kemudian Umar membaca ayat, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat” (Surah Nuh: 10-11)
Umar lantas berkata, “Wahai kaumku, mintalah ampunan (Istighfar) daripada Rabb kalian. Kemudian bertaubatlah kepadaNya, nescaya Dia akan menurunkan pada kalian hujan lebat dari langit.” (Riwayat Al Baihaqi 3/352)
Itulah kuncinya istighfar & taubat.
Terdapat banyak ayat al-Quran yang berkembar antara istighfar & taubat.
Istighfar adalah dengan mulut atau lidah manakala Taubat adalah dengan hati & anggota lain.
Kita menyesal akan dosa yang lepas serta dalam masa yang sama berazam untuk menjadi baik pada masa yang akan datang. Anggota lain juga beramal dengan perbuatan soleh kepada Allah!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
P/S: Sebuah buku susunan DDAAM yang baru terbit bertajuk- Hakikat Dajjal.
Boleh dapatkannya di:
https://dartaibah.com/…/*Buku-Baru-Dajjal-Hakikat…
Wallahu A’lam.
