View Categories

(16) Surah Hud: Ayat 56-60

12 min read

NABI HUD AS BERTAWAKKAL, KAUM AD DIBINASAKAN & AZAB DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/iWL82RkXkgk?si=gS8YY6Gk7le-2q2P

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 56 sehingga ayat 60 dalam juzuk kedua belas.
  1. Dalam siri ini Nabi Hud AS menyatakan dia hanya bertawakkal kepada Allah SWT yang Maha berkuasa & semua makhluk atas muka bumi ini di bawah kuasa-Nya. 
  1. Apabila diberi peringatan, kaum Ad tetap degil, keras kepala, menolak & mendustakan nabi mereka lalu datang azab Allah yang membinasakan mereka sebagaimana Sunnatullah sebelum ini. 
  1. Itu baru azab di dunia, mereka juga akan kena azab di akhirat kelak, dicampakkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bagi orang kafir! 
    Ya Allah selamatkan kami dari neraka!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah nabi Hud sebagai kisah kedua selepas nabi Nuh. 
    Nabi Hud AS telah berlepas diri daripada segala perbuatan puak syirik dan jika mereka tak puas hati Hud cabar untuk mereka ambil tindakan ke atasnya.

    ii- Dalam ayat ini Nabi Hud menyatakan aqidah & kekuatan jiwanya; iaitu dia hanya bertawakkal kepada Allah Azza wa Jalla sebagai Pemilik semua makhluk & yang menyusun atur segala perjalanannya.
    Allah yang akan menjaga & melindunginya serta tidak ada siapa yang boleh memberi mudharat kepadanya tanpa izin Allah!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 56- {“KERANA SESUNGGUHNYA AKU TELAH BERSERAH DIRI KEPADA ALLAH, TUHANKU DAN TUHAN KAMU! TIADALAH SESUATUPUN DARI MAKHLUK-MAKHLUK YANG BERGERAK DI MUKA BUMI MELAINKAN ALLAH JUALAH YANG MENGUASAINYA. SESUNGGUHNYA TUHANKU TETAP DI ATAS JALAN YANG LURUS.} (HUD 11:56)

  1. Dalam ayat ini Nabi Hud menyatakan aqidah & kekuatan jiwanya iaitu tawakkal & pergantungannya yang sepenuhnya kepada Allah SWT! 
    Dia juga dengan yakin & berani mencabar puak kafir yang mahu menentang & menyakitinya untuk cuba memberi mudharat kepadanya! 
    Ini kerana dia yakin mereka semua lemah & tidak akan berjaya tanpa kehendak Allah.
  1. Nota [350] Yakni Allah SWT tetap menjalankan keadilan-Nya iaitu memberikan pertolongan kepada yang benar dan menyiksakan yang bersalah. 
    Oleh itu aku tidak gentar kepada segala tipu daya & ancaman kamu!
  1. Nabi Hud tahu tidak ada sesuatu makhluk yang merangkak melata atas muka bumi ini kecuali semua duduk di bawah kuasa & susun atur Allah. 
    Serta tiada siapa yang dapat melepaskan dirinya daripada kuasa & susun atur Allah! 
    Allah akan mengaturnya sebagaimana yang Dia kehendaki!
  1. Dengan kekuatan aqidahnya itu Nabi Hud yakin tiada siapa yang boleh memudharatkannya kerana dia ada Allah SWT yang Maha berkuasa sebagai pelindung & penjaganya.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: يَأْمُرُنَا إِذَا أَخَذَ أَحَدُنَا مَضْجَعَهُ أَنْ يَقُولَ: 
    “Rasulullah ﷺ mengajar kami apabila salah seorang daripada kami hendak berbaring di tempat tidurnya, hendaklah dia membaca:
    «اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَوَاتِ، وَرَبَّ الأَرَضِينَ، وَرَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالإِنْجِيلِ وَالقُرْآنِ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ ذِي شَرٍّ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، أَنْتَ الأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَالظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَالبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنِّي الدَّيْنَ وَأَغْنِنِي مِنَ الفَقْرِ»:
    Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan langit dan bumi, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, Yang membelah biji dan buah, yang menurunkan Taurat, Injil dan al-Quran. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan setiap makhluk yang Engkau pegang ubun-ubunnya. Engkaulah Yang Maha Awal, tiada sesuatu pun sebelum-Mu; Engkaulah Yang Maha Akhir, tiada sesuatu pun selepas-Mu; Engkaulah Yang Maha Nyata, tiada sesuatu pun di atas-Mu; Engkaulah Yang Maha Tersembunyi, tiada sesuatu pun di bawah-Mu. Selesaikanlah hutangku dan cukupkanlah aku daripada kefakiran.” (Jami al-Tirmizi, hasan sahih)
    Kita boleh tambah masukkan doa kita untuk berlindung dengan Allah daripada apa saja yang kita takuti! 
  1. Sesungguhnya tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.
    Iaitu sesungguhnya Allah itu benar, adil & sesekali tidak menzalimi hamba-Nya. 
    Kita yakin dan percaya bahawa semua hukum, perintah & larangan Allah berhikmah & penuh dengan kebijaksanaan.
    Kita yakin & percaya lalu kita tunaikan semua perintah Allah tanpa main-main & degil.

AYAT 57- {DALAM PADA ITU, JIKA KAMU MEMBELAKANGKAN JUGA SERUANKU, MAKA TIDAKLAH MENJADI HAL KEPADAKU KERANA AKU TELAH SAMPAIKAN KEPADA KAMU APA YANG TELAH DIUTUS OLEH ALLAH UNTUK MENYAMPAIKANNYA, DAN TUHANKU AKAN MENGGANTIKAN KAMU DENGAN SUATU KAUM YANG LAIN (SETELAH KAMU DIBINASAKAN); DAN KAMU PULA TIDAK AKAN DAPAT MEMBAHAYAKANNYA SEDIKITPUN. SESUNGGUHNYA TUHANKU MAHA PENGAWAL DAN PEMULIHARA TIAP-TIAP SESUATU.”} (HUD 11:57)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Hud menyatakan pendirian, sikap & aqidahnya tawakkal kepada Allah SWT;

    ii- Maka datang ayat ini Allah perintahkan Hud untuk memberi amaran kepada kaumnya.
  1. Iaitu Nabi Hud menyatakan jika kamu lari juga menolak dakwah yang aku sampaikan kepada kamu, yang penuh dengan dalil & bukti yang jelas nyata; maka tiada lagi bebanan tanggungjawab atas kepala aku jika kamu dibinasakan! Ini kerana aku telah menjalankan tugasku.
  1. Allah tidak akan rugi apa, yang rugi & binasanya kamu. 
    Bahkan allah akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain setelah kamu dibinasakan; dan kamu pula tidak akan dapat membahayakannya sedikitpun.
  1. Allah SWT pengawal dan pemulihara tiap-tiap sesuatu: Apa yang kamu kata, apa yang kamu buat, Allah tahu semuanya! 
    Ini untuk Allah balas atas segalanya; jika kamu buat baik akan dapat balasan baik & jika kamu buat jahat pastilah balasan jahat juga akan menimpa kamu.
  1. Allah akan jaga Nabi Hud daripada rancangan jahat mereka malah rancangan jahat itu akan kembali jatuh ke atas kepala mereka sendiri! 
    Itulah doa kita: Kembalikan perancangan jahat ke atas orang yang merancang itu.
  1. Kita pun bacalah juga doa ini sebagaimana Nabi Hud bacanya: {Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu- إِنَّ رَبِّى عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَفِيظٌ}. 
    Allah-lah yang jaga segala perbuatan & perkataan kita, mudah-mudahan kita selamat di dunia & Akhirat.

AYAT 58- {DAN APABILA DATANG AZAB KAMI, KAMI SELAMATKAN NABI HUD BESERTA DENGAN UMATNYA YANG BERIMAN, DENGAN RAHMAT DARI KAMI; DAN KAMI SELAMATKAN MEREKA DARI AZAB YANG KERAS.} (HUD 11:58)

  1. Apabila datang waktu turunya azab Allah, akan dibinasakan semua puak kafir, tidak tertinggal baka, hapus semua kafir kaum Ad.
  1. Manakala Nabi Hud & orang beriman yang bersamanya akan selamat dengan limpah kurnia dan rahmat dari Allah SWT ke atas mereka.
  1. Semua kita manusia berhajat kepada rahmat Allah semata-mata. 
    Jika Allah tak curahkan rahmant-nya kepada kita, akan binasa kita, tak tau ke mana nak tuju! Sehingga peringkat untuk masuk syurga pun kita perlu kepada rahmat Allah!
  1. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorang pun masuk syurga kerana amalannya. Sahabat bertanya, “Sekali pun engkau wahai Rasulullah?”  Baginda menjawab “Saya pun tidak, kecuali berkat rahmat Allah kepadaku.” [HR Bukhari & Muslim].
    Yakni kita tak boleh nak dakwa bahawa kita masuk syurga semata-mata dengan sebab amakan kita sendiri.  Tetapi dengan sebab limpah kurnia & rahmat Allah kita dapat syurga! 
  1. Kerana itu Allah nyatakan di sini- selamatnya Nabi Hud & orang yang beriman dengan rahmat dari Allah!
  1. Habis tak payah buat amal ke??
    Bukan begitu kerana nak dapatkan rahmat kena ada amalan soleh dan kebajikan.
    Nak dapatkan limpah kurnia Allah kena ada ketaatan.
    Nak masuk syurga kena melalui rahmat Allah, nak dapat rahmat pastilah kena taat & patut kepada Allah! 
  1. Kerana itu orang derhaka tak dapat masuk syurga; kerana nak dapat syurga kena ada rahmat Allah, nak dapatkan rahmat kena taat!
  1. Allah akan selamatkan orang beriman daripada azab yang pedih pada hari Kiamat nanti alhamdulillah.
  1. Nota [351] Dalam Surah “Al-Haqqah” (surah ke-69), ayat 6 dan 7, ada diterangkan jenis azab yang telah menimpa kaum ‘Aad itu iaitu mereka dibinasakan dengan angin ribut, yang menyerang daerah selama tujuh malam delapan hari, sehingga mereka punah ranah.
    Begitulah azab yang Allah hantar pastilah kena bersesuaian dengan tempat keadaan & kedudukan sesuatu kaum itu barulah azab itu dapat dimaksimumkan.

AYAT 59- {DAN ITULAH PERISTIWA KAUM AD MEREKA MENGINGKARI AYAT-AYAT KETERANGAN TUHAN MEREKA, SERTA MEREKA MENDERHAKA KEPADA RASUL-RASULNYA; DAN MEREKA MENURUT PERINTAH TIAP-TIAP KETUA YANG BERMAHARAJALELA, LAGI DEGIL DALAM KEINGKARANNYA.} (HUD 11:59)

  1. Kaum Ad ini mengingkari Ayat-ayat keterangan tuhan mereka yang dibawa oleh rasul mereka Nabi Hud, serta mereka menderhaka kepada rasul-rasulnya.
  1. [352] Sungguhpun hanya seorang Rasul yang diutus kepada mereka, iaitu Nabi Hud AS, tetapi perbuatan mereka menderhaka kepadanya bermakna menderhaka kepada rasul-rasul yang lain; kerana ugama Allah yang disampaikan oleh pesuruh-pesuruh Allah itu semenjak Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW. adalah ugama yang satu, ugama tauhid.
  1. Itulah kaum Ad yang Allah jatuhkan hukuman & azab kerana mereka derhaka kepada rasul mereka iaitu Nabi Hud AS serta mendustakan mukjizat yang dibawa Hud yang datang dari Tuhan.
  1. Mereka derhaka kepada Nabi Hud tetapi mereka ikut ketua penyangak mereka yang jahat, degil keras kepala, ingkar tidak mahu menerima kebenaran! 
    Rakyat marhaen yang ikut ketua yang derhaka ini habis semuanya musnah binasa kena azab bersama.
    Ingat untuk taat kepada ketua pastikan mereka taat kepada Allah, jangan ikut dalam perkara mungkar & maksiat.

AYAT 60- {DAN MEREKA DITIMPA LAKNAT (YANG TIDAK PUTUS-PUTUS) DALAM DUNIA INI DAN PADA HARI KIAMAT. KETAHUILAH SESUNGGUHNYA KAUM AD ITU TELAH KUFUR INGKAR KEPADA TUHAN MEREKA KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA KEBINASAANLAH AKHIRNYA BAGI AD: KAUM NABI HUD.} (HUD 11:60)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah sebut sifat-sifat kaum Ad yang degil keras kepala ingar lawan tidak mahu ikut nabi mereka.

    ii- Maka Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa akan ditimpakan azab ke atas mereka yang tidak putus & membinasakan.
  1. Allah ingatkan bahawa mereka yang derhaka & ingkar ini akan ditimpa bala yang berterusan, tidak putus di dunia & Akhirat. 
    Atas dunia kena laknat, di Akhirat akan dihumban ke dalam neraka.
  1. Kaum Ad yang kafir & derhaka itu dilaknat Allah, jauh dari rahmat & redha Allah dan kebinasaanlah bagi mereka semua!
    Adapun kaum Ad yang beriman & ikut Nabi Hud akan selamat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 56- {“Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu!}-

    Penegasan Nabi Hud tentang aqidahnya, aku hanya bertawakkal kepada Allah Tuhan aku & Tuhan kamu.
    Kata ulama’: Apabila kita nak berdakwah kita kena ungkit kepada yang didakwah, nyatakan kita semua lemah, semua makhluk ini berada di bawah kekuasaan Allah SWT! 
    Setiap nabi menyakatan bahawa dia duduk di bawah kuasa Allah Azza wa Jalla & setiap makhluk juga di bawah kuasa Allah!
    Kita orang beriman mesti kena nyatakan tawakkal & pergantungan hati yang sepenuhnya kepada Allah SWT! 
    Tiada guna pergantungan & harapan kepada manusia, kerana jika percaya & harapkan kepada orang, kita akan ditinggalkan kawan.
    Tetapi berharap & bergantung kepada Allah, Allah tidak akan sia-siakan harapan hamba-Nya yang beriman! 
    Sifat orang beriman ialah bertawakkal kepada Allah sepenuhnya tanpa bergantung kepada yang lain atau buat perantaraan sebagai orang tengah kepada Allah! 
    Kita betulkan aqidah umat ini agar selamat di dunia & di Akhirat! Kita bukan nak mengkafirkan orang tetapi bimbang jika membawa kepada kekufuran!
    Tuhan kita sentiasa menyuruh agar bertawakkal dan berserah diri sepenuh kepada-Nya.

    Nabi SAW bersabda:
    يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِن أُمَّتي سَبْعُونَ ألْفًا بغيرِ حِسابٍ، قالوا: مَن هُمْ يا رَسولَ اللهِ؟ قالَ: هُمُ الَّذِينَ لا يَسْتَرْقُونَ، ولا يَتَطَيَّرُونَ، ولا يَكْتَوُونَ، وعلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
    Maksudnya: “Tujuh puluh ribu dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah (dengan ruqyah yang syirik), tidak mengamalkan tatayyur, tidak menggunakan pengubatan dengan besi (yang dilarang) dan mereka selalu bertawakkal pada Rabbnya.” [HR al-Bukhari (5752) dan Muslim (220)]
  1. Ayat 56- {Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.}-

    Kita kena yakin bahawa Tuhan kita sentiasa menyeru mengajak & menyuruh hamba-Nya ke arah kebaikan.
    Semua yang Allah buat ada maslahat, faedah & hikmahnya serta adil. 
    Jangan kita pertikaikan hatta dalam kejadian babi, tikus atau nyamuk sebagai contohnya!
    Kita juga yakin apabila Allah letak taklif, tanggungjawab ke atas kita untuk solat puasa dan lain-lain ibadat, ini kerana Allah nak lihat siapa yang patuh taat & siapa yang ingkar.
    Kayu ukur perjalanan hidup kita ini betul atau tidak, lihat kepada ketaatan kita kepada Allah Azza wa Jalla. 
    Allah memang tidak akan siksa hamba-Nya yang beriman kepada Allah, tetapi kita mungkin akan diuji iya. Orang yang paling kuat & besar ujiannya adalah para anbiya’ & mereka yang paling kuat imannya.
    Ia juga kerana Allah nak beri pahala & naikkan darjatnya!
    Apabila diuji kita sabar maka naik darjatnya & besar pahalanya. 
    Apabila kena ujian kita down & stress maka rendah darjatnya!
  1. Ayat 57- {Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya,..}-

    Jika apa yang aku ajar ini kamu tak mahu dengar, tak mahu ikut, tetap degil keras kepala; maka aku berlepas diri dari kamu kerana aku telah jalankan tugas.
    Para pendakwah, para ulama’ & pencinta ilmu, kita kena teruskan tugas dakwah, jangan berhenti di tengah jalan, jangan takut kepada orang! 
    Ini kerana apabila kita telah jalankan tugas, Allah kira sudah bertugas & tak akan tanya apakah kamu berjaya atau tidak dalam dakwahmu!
    Tetapi jika tidak menyampaikan, Allah akan tanya apa yang kamu buat dengan ilmu-mu!
    Jika kita boleh jawab bahawa kita gunanya untuk ajar orang & sampaikannya kepada Allah, alhamdulillah!
    Sebagaimana kisah sedih Imam Bukhari  yang terbuang masa hidupnya tetapi terbilang selepas kematiannya. 
    Begitulah nasib para ulama’ yang ditentang golongan yang tidak dapat menerima kebenaran.
    Nabi Hud menegaskan bahawa dia sudah menjalankan tugasnya, menyampaikan risalah dakwah kepada kaumnya!
    Jika mereka lari, tak mahu ikut maka itu bukan tanggungjawabnya lagi jika mereka dibinasakan!
    Inilah bahayanya ikut nafsu tak ikut wahyu!
  1. Ayat 57- {Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan);}-

    Jika kamu tak mahu ikut, Allah akan gantikan kamu dengan kaum yang lain!
    Firman Allah SWT juga: {Jika kamu lari, Allah akan gantikannya dengan kaum yang lain} [Muhammad].
    Jadi kita sekarang ini kerja berdakwah, kerja ketaatan, kerja buat kebaikan semua itu adalah untuk diri kita sendiri atau untuk orang lain? Jika kamu mahu untuk kamu maka buatlah! Jika kamu tak mahu orang pula yang akan buatnya!
    Kadang-kadang Allah akan uji kita dengan orang lain yang buat apa yang sepatutnya kita buat. 

    Contoh:
    i- Masjid atau pusat pengajian/pondok di sesuatu tempat, jemaah yang menghidupkannya bukan orang di kampung itu tetapi orang lain dari luar kampung atau daerah itu, bukan orang tempatannya.

    ii- Penduduk Ghazzah, Palestin baru-baru ini yang ditindas dalam kepungan yahudi, dengan hasil insiatif idea dan fikrah seorang perempuan muda bukan muslim, misi Sumud Fotilla yang cuba menghantar bantuan kemanusian kepada Palestin terhasil! 
    Yakni sebelum orang Islam bangkit orang kafir juga yang buat kerja!
    Maka dalam bab dakwah ini kita kena ke depan jangan beri kepada orang lain!
    Tetapi apa boleh buat Allah sudah nyatakan bahawa jika kamu tak mahu orang lain akan ambilnya, Allah akan gantikannya dengan kaum yang lain! 
    Allahu al-Musta’an.
  1. Ayat 59- {Dan itulah peristiwa kaum Ad mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.}-

    Begitulah sifat kaum Ad yang perangainya begitu; lalu Allah binasakan mereka dengan sebab mereka degil keras kepala & mengingkari rasul mereka Hud.
    Orang kafir akan diazab dua kali; satu azab di dunia ini kemudian di Akhirat akan diazab lagi di dalam neraka kelak.
    Kita orang beriman kena ingat, jika banyak kena ujian atas dunia ini, insya’ Allah kita selamat di akhirat kelak.
    Kata ulama’: Siapa yang banyak menagis atas dunia kerana takut kepada Allah insya’ Allah, dia akan gembira di Akhirat. 
    Manakala sesiapa yang banyak ketawa lagha tak tau apa atas dunia ini akan menangis di Akhirat!

    Kesimpulannya: Keadaan kaum Ad ini bahayanya mereka kerana 3 sifat:
    i- Menentang ayat-ayat Allah.

    ii- Derhaka kepada rasul mereka nabi Hud.

    iii- Dok ikut ketua yang kafir dan derhaka kepada Allah! 
    Lalu mereka juga semuanya dilaknat Allah SWT atas dunia ini lagii.
    Kita nak selamat kena taat kepada Allah, ikut ajaran Rasulullah dan patuh kepada pemimpin yang baik dan tidak memudharatkan agama.

MAKLUMAN: 

Terdapat perlakuan jahat, di mana ada orang buat fake akaun atas nama Datuk Abu Anas, meminta derma atau nak bahagi derma kononnya.
Sila hati-hati & alert semua jangan mudah terpedaya.
Sebarang iklan dan makluman, DAAM hanya akan iklankan dalam kuliah livenya sahaja. 
Kita minta perlindungan dengan Allah daripada kejahatan & tipu daya para scammer.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top