NABI SOLEH AS DAN KAUM THAMUD, DUA DALIL KEAGUNGAN ALLAH & THAMUD MELUAHKAN RASA KECEWA.
Full video : https://youtu.be/BWdcFYZgLWg?si=qlCHRsw2rY4Upl6E
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 61 sehingga ayat 63 dalam juzuk kedua belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kisah Nabi Soleh AS dan kaum Thamud.
Ini adalah kisah nabi yang ketiga yang disebut dalam surah ini dan Nabi Soleh adalah rasul yang kedua dari kalangan bangsa Arab.
Tempat kediaman mereka ialah di al-Hijr dalam perjalanan dari Makkah ke Syam.
400km lebih dari bandar Madinah, masih dalam mantiqah (daerah) Madinah.
Nabi soleh ini datang selepas nabi Hud AS.
Tetapi tamadun & tempat yang berbeza, kaum Thamud ini duduk dalam bukit manakala kaum Ad atas bukit.
Dua kaum inilah yang disebut dalam Surah Quraisy, tinggalan penempatan kemusnahan kaum terdahulu yang derhaka kepada Allah.
Kaum Quraisy akan melaluinya dalam rehlah musim panas (ke Syam) & rehlah musim sejuk (ke Yaman) oleh kaum Quraisy.
- Dalam ayat ini Nabi Soleh menekankan pertama dakwah kepada tauhid & penekanan dua dalil keagungan Allah iaitu:
i- Asal kejadian manusia daripada tanah.
ii- Apabila kamu hidup & berkuasa atas bumi ini; tugas manusia untuk memakmurkan bumi ini dengan Syari’ah Allah SWT.
- Apabila mendengar dakwah Nabi Soleh ini; kaum Thamud meluahkan rasa kecewa kerana ia bertentangan dengan ajaran & amalan tok nenek mereka yang menyembah pelbagai berhala sedangkan Soleh adalah yang diharapkan untuk meneruskan legasi mereka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah Nabi Hud dan kaumnya Ad.
Iaitu kisah nabi yang kedua selepas Nabi Nuh, kisah yang pertama.
ii- Sekarang kita masuk kepada kisah nabi yang ketiga dalam surah ini.
Daripada ayat ini sehingga ke ayat 68 berkenaan kisah Nabi Soleh AS dan kaumnya Thamud.
Nabi Soleh juga membawa dakwah yang sama: iaitu sembah Allah SWT sahaja dan jangan syirik dengan sembah selain Allah SWT.
Kisah Nabi Soleh ini telah disebut dalam Surah Al-A’raf dan banyak lagi surah-surah yang lain.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 61- {DAN KEPADA KAUM THAMUD, KAMI UTUSKAN SAUDARA MEREKA: NABI SOLEH. IA BERKATA: “WAHAI KAUMKU! SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH! SEBENARNYA TIADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. DIA LAH YANG MENJADIKAN KAMU DARI BAHAN-BAHAN BUMI, SERTA MENGHENDAKI KAMU MEMAKMURKANNYA. OLEH ITU MINTALAH AMPUN KEPADA ALLAH DARI PERBUATAN SYIRIK, KEMUDIAN KEMBALILAH KEPADANYA DENGAN TAAT DAN TAUHID. SESUNGGUHNYA TUHANKU SENTIASA DEKAT, LAGI SENTIASA MEMPERKENANKAN PERMOHONAN HAMBANYA”.} (HUD 11:61)
- Nota [353]: Mulai dari ayat ini, Allah Ta’ala menceritakan pula kisah nabi Salih AS dengan kaumnya: kaum Thamud.
Mereka ialah penduduk negeri “Al-Hijir” yang terletak di sebelah utara Madinah.
Bekas-bekas peninggalan mereka terdapat di “Wadi al-Qura” iaitu di mantiqah al-‘Ula atau Madain Soleh dan juga di “Al-Batraa’” (Petra, di negeri Jordan).
Ini adalah antara tempat yang tidak digalakkan untuk kita pergi, kerana tempat kebinasaan kaum yang dilaknat Allah.
Tetapi sekarang telah menjadi tempat pelancongan.
Jika pergi untuk ambil iktibar pengajaran bukan sekadar healing & selfie!
- Allah nyatakan bahawa telah diutuskan kepada kaum Thamud seorang rasul iaitu saudara mereka Nabi Soleh yang dari kalangan mereka sendiri.
- Dakwah Nabi Soleh juga sama seperti nabi lain sebelumnya iaitu tauhid yang murni, Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
- Nabi Soleh nyatakan dua dalil asas akan keagungan Allah:
i- Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi.
Maka kamu kuat atau tidak, ingatlah hanya berasal dari tanah.
Makanan minuman kita juga berasal daripada bumi.
ii- Serta menghendaki kamu memakmurkannya.
Yakni apabila kamu hidup & berkuasa, jalankan Syari’ah Allah bukan buat kesyirikan!
- Maksud memakmurkan bumi:
Nota [354] Yakni berusaha supaya ramai penduduknya, banyak hasil mahsulnya, dan sejahtera hidup padanya.
Contoh: Lelaki kena kahwin dengan perempuan ikut fitrah kejadian manusia ciptaan Allah, bukan seperti LGBT yang ikut trend kaum Lut!
- Nabi Soleh juga memerintahkan kaumnya agar meminta ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid.
- Nabi Soleh juga menyatakan bahawa: Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.} (Al-Baqarah 2:186)
Inilah prinsip dakwah Nabi Soleh yang murni & tauhid kepada Allah Azza wa Jalla.
AYAT 62- {MEREKA MENJAWAB DENGAN BERKATA: “WAHAI SOLEH, SESUNGGUHNYA ENGKAU SEBELUM INI ADALAH ORANG YANG DIHARAP DALAM KALANGAN KAMI (UNTUK MEMIMPIN KAMI); PATUTKAH ENGKAU MELARANG KAMI DARIPADA MENYEMBAH APA YANG DISEMBAH OLEH DATUK NENEK KAMI? DAN (KETAHUILAH) SESUNGGUHNYA KAMI BERADA DALAM KEADAAN RAGU-RAGU YANG MERUNSINGKAN TENTANG APA YANG ENGKAU SERUKAN KAMI KEPADANYA”.} (HUD 11:62)
- Kaumnya Thamud menjawab dengan melahirkan kekecewaan mereka atas dakwah Nabi Soleh yang menyeru kepada tauhid, supaya mereka hanya menyembah Allah yang Esa.
- Nabi Soleh adalah seorang yang cerdik dan menjadi harapan di kalangan kaumnya, yang diharapkan menjadi ketua meneruskan legasi syirik mereka.
- Tetapi sebaliknya berlaku, Nabi Soleh mengaku menjadi nabi pula, membawa dakwah yang menyeru untuk hanya menyembah Tuhan yang satu, meninggalkan segala sembahan berhala-berhala mereka yang telah lama dianggap Tuhan mereka.
- Mereka persoalkan apa patutkah dia melarang mereka daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek mereka sejak dulu? Sedangkan Soleh diharapkan menyambung amalan mereka itu tetapi tiba-tiba bertukar watak!!
- Mereka juga menyatakan dakwaah Soleh itu menyebabkan mereka berada dalam keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang dia serukan mereka kepadanya.
Begitulah mereka buat tuduhan pula kepada nabi Soleh, mereka tidak percaya akan kebenarannya!
Tuduhan seperti gila, ahli sihir & penyair adalah sinonim kepada para nabi.
AYAT 63- {NABI SOLEH BERKATA: “WAHAI KAUMKU! BAGAIMANA FIKIRAN KAMU, JIKA AKU BERADA DALAM KEBENARAN YANG BERDASARKAN BUKTI YANG NYATA (MUKJZAT) DARI TUHANKU, DAN IA PULA MENGURNIAKAN RAHMAT (PANGKAT NABI) KEPADAKU SEBAGAI PEMBERIAN DARIPADANYA, MAKA SIAPAKAH YANG AKAN MENOLONGKU DARI AZAB ALLAH KALAU AKU MENDERHAKA KEPADANYA? OLEH ITU, KAMU TIDAK MENAMBAH SESUATU KEBAIKAN PUN BAGIKU SELAIN DARIPADA PERKARA YANG MERUGIKAN.} (HUD 11:63)
- Munasabah ayat:
i- Apabila kaum Thamud datang menentang meluahkan kekecewaan mereka atas ajaran dakwah Nabi Soleh itu!
ii- Nabi Soleh menjawab dakwaan & pandangan mereka itu, kerana sebagai seorang yang membawa kebenaran wajib menjawab kekeliruan dan persoalan & menangkis segala tuduhan.
- Yakni sebagai seorang yang bijak & cerdik nabi Soleh wajib menjawab dakwaan & anggapan mereka yang batil & sesat itu!
Tidak boleh orang yang tahu & alim diam apabila berlaku sesuatu yang tidak benar, kerana nanti masyarakat umum atau orang yang jahil akan menyangkanya itu adalah benar!
Tidak boleh hanya diam untuk menyelamatkan diri!
- Nabi Soleh berkata: Wahai kaumku! Tidakkah kamu merasakan apa yang aku bawa ini adalah satu kebenaran, tidakkah kamu lihat tanda-tanda bukti kebenaran & hujjah yang aku bawa??
- Nabi Soleh juga menyatakan jika dia mengikut perbuatan mereka mengikut ajaran tok nenek mereka itu menyembah berhala selain dari Allah itu, tidak menambah sesuatu kebaikan pun baginya selain daripada perkara yang merugikan.
- Yakni bahkan akan membawa kerugian kerana akan akan mendapat kemurkaan dari Allah!
Siapa yang dapat menolongnya jika dia ikut hawa nafsu mereka & mendapat kemurkaan Allah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 61- {Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh.}-
Allah nyatakan Dia telah utuskan kepada kaum Thamud seorang rasul dari kalangan kaum mereka sendiri iaitu Soleh.
Allah ungkitkan kepada kaum Thamud bahawa utusan Allah Nabi Soleh ini adalah saudara mereka dari kaum kerabat mereka sendiri, maka cuba kamu buka mata buka telinga, dengarlah dengan baik apa yang disampaikannya!
Ini kerana biasanya manusia ini bersifat perkauman (asobiyyah), jadi lebih mudah jika pendakwah tempatan yang mengajar di kalangan mereka berbanding dengan orang luar yang datang membawa ajaran baru!
Juga kerana persamaan bahasa, gaya hidup & adat kebudayaan, lebih mudah untuk memahaminya!
Tetapi tidak syarat juga, jika pintu hati telah ditutup dari menerima kebenaran, telinga disumbat; mereka tetap akan ingkar menolak!
Betapa ramai para rasul yang ditentang & ditolak oleh kaumnya sendiri sehingga mereka terpaksa dibinasakan.
Ini adalah pada peringkat awal dakwah yang bersifat local atau tempatan, para rasul diutus kepada kaum masing-masing sahaja.
Tetapi Rasulullah SAW, seorang Arab bangsa Quraisy, al-Quran bahasa Arab diutuskan kepada semua manusia & jin seluruh dunia sepanjang zaman sehingga hari Kiamat sebagai Rahmatan lil-‘Alamin!
Nabi Soleh juga menyeru kaumnya: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
Semua dakwah para nabi satu sahaja iaitu tauhid kepada Allah.
Jika berbeza hanya cabang-cabang dari hukum Syari’ah sahaja.
- Ayat 61- {Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.}-
Nabi Soleh juga menyatakan dua asas utama kejadian manusia.
Iaitu dua hujjah bukti kekuasaan Allah:
i- Allah menjadikan manusia dari bahan-bahan bumi, iaitu bermula dari Adam yang dicipta dari tanah.
ii- Serta menghendaki manusia memakmurkannya dengan menjalankan hukum-hakam Syari’ah Allah, jangan kamu cari yang lain.
Kerana itu dakwah kepada tauhid perlu kepada dalil! Ini supaya orang boleh faham dengan otak mereka, lalu ambil pengajaran & iktibar supaya mereka tidak terumbang-ambing, tidak tahu arah mana mahu dituju!
Juga memakmurkan bumi dengan berkembang biak secara halal iaitu kahwin dengan sah bukan dengan cara yang haram atau LGBT!
- Ayat 61- {Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid.}-
Nabi Soleh juga menyeru kaumnya supaya banyak beristighfar & bertaubat kembali kepada Allah!
Sebagaimana kita telah bincangkan sebelum ini:
i- Istighfar dengan lidah;
ii- Taubat dengan hati & amalan anggota.
Allah kembarkan dua ini istighfar & taubat kerana kita perlikan dua ini.
Pada akhir ayat ini Allah nyatakan juga bahawa:
{Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.}-
Allah itu dekat dengan kita & akan merpekenankan permohonan hamba-Nya.
Apabila Tuhan itu dekat kita tidak perlu bertempik melaung untuk berzikir atau berdoa kepada-Nya.
Maksud Allah dekat itu juga ada dua dimensi:
i- Allah dekat dengan kita secara umumnya, kerana semua perbuatan kita Allah tahu.
Kamu buat apa, kamu kata apa, kamu niat apa; semuanya Allah tahu!
Yakni dekat secara umum dengan semua makhluk atas dunia ini, kafir atau beriman, tidak ada yang tersembunyi dari ilmu & pengetahun Allah SWT.
ii- Allah dekat secara khas dengan hamba-Nya yang sentiasa berdoa, beribadat kepada-Nya & yang cintakan-Nya.
Yakni dekat secara khas untuk ahli ibadat, orang yang soleh dan baik-baik!
Tetapi ingat baik-baik, walaupun Allah SWT dekat dengan kita; jika kita tidak minta (berdoa) Allah tidak akan beri.
Kerana itulah kita kena banyak meminta dengan Allah!
Sebagaimana kata bijak pandai:
Banyak meminta dengan makhluk akan dimarahi;
Tetapi dengan Allah jika tidak meminta itu akan dimurkai!
- Ayat 62- {Mereka menjawab dengan berkata: “Wahai Soleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dalam kalangan kami (untuk memimpin kami);…}-
Ayat ini adalah luahan perasaan puak Thamud yang melahirkan kekecewaan mereka atas perubahan sikap Nabi Soleh.
Ini kerana Nabi Soleh adalah seorang cerdik yang menjadi harapan mereka untuk menjadi pemimpin meneruskan legasi syirik penyembahan berhala mereka.
Tetapi sebaliknya yang terjadi, Soleh menyeru kepada tauhid, menyembah Allah yang Esa dan meninggalkan semua sembahan mereka yang dulu!
Soleh mendakwa ajaran tok nenek mereka itu salah dan menyuruh meninggalkannya!
Maka mereka amat terkejut & kecewa.
Inilah contoh agama atau amalan tok nenek yang diperjuangkan oleh sebahagian manusia.
Kita yang belajar & ada ilmu jangan dok main gini, agama bukan ikut-ikutan, mimpi atau ajaran tok nenek turun-temurun tetapi agama & amalan berpaksikan dalil al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
Cuma kita kena guna pendekatan yang baik untuk menegur masyarakat jangan terlalu keras dan rigid, manusia jika hatinya bersih akan mudah terkesan dan akan menerima teguran yang baik & ikhlas!
Dakwah itu kena ada seninya!
- Ayat 63- {Nabi Soleh berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran yang berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripadaNya..}-
Nabi Soleh masih lagi berlunak berdakwah kepada kaumnya!
Wahai kaumku! Bagaimana jika aku bawa dalil yang jelas, hujjah yang mantap, nyatakan bukti & maklumat yang jelas tentang dakwahku ini, apakah kamu akan percaya & terima??
Seboleh mungkin dakwah kita menggunakan hujjah agar masyarakat boleh terima.
Bukan guna paksaan seperti akta dan lain-lain. Kena usahakan agar orang boleh faham & terima apa yang kita bawa.
Nabi Soleh menggunakan pendekatan yang lunak & mesra tetapi apa boleh buat kaumnya tetap menentang & mendustakannya, puak kafir tidak mahu menerima kebenaran walaupun telah jelas dalil & hujjah yang dibawanya!
Jadi kita boleh buat kesimpulan puak Thamud ini menolak dakwah Nabi Soleh bukan sebab tak betul, tetapi kerana bercanggah dengan amalan tok nenek mereka!
Allahu al-Musta’an.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
