UNTA BETINA MUKJIZAT NABI SOLEH AS, KAUM THAMUD SEMBELIH UNTA, MEREKA DIBINASAKAN DENGAN LETUSAN SUARA.
Full video : https://youtu.be/Q66KF0jHQFQ?si=Msd2IgTQNSdkG2IT
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 64 sehingga ayat 68 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan mukjizat Nabi Soleh AS, iaitu seekor unta betina yang keluar dari bukit.
Nabi Soleh beri taklimat bahawa mereka kena bergilir minum air perigi dengan unta selang sehari. Pada hari giliran unta mereka tidak boleh ambil air perigi tetapi boleh minum susu unta.
- Tetapi apa boleh buat, kaum Thamud yang keras kepala tak dengar kata, tetap menolak kebenaran di depan mata bahkan mereka sembelih unta tersebut, diketuai oleh seorang yang bernama Qudar bin Salif (قدار).
- Lalu Allah menurunkan azab & mereka dibinasakan dengan tempikan letusan suara yang kuat, yang mematikan mereka semua.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa kebiasaannya orang yang Allah utuskan sebagai rasul & nabi ini dihantar kepada kaumnya yang menyembah berhala.
Maka Rasul akan ajak mereka sembah Allah & isytiharkan bahawa mereka adalah utusan Allah yang mempunyai mukjizat iaitu sesuatu yang diluar kebiasaan adat logik manusia.
ii- Nabi Soleh ini juga mempunyai satu mukjizat yang Allah berikannya iaitu seekor unta betina besar yang keluar dari celah batu atau bukit.
Kaumnya semua dapat minum susu unta ini dan unta akan minum semua air perigi pada hari gilirannya.
- Diceritakan kaum Thamud ini apabila Nabi soleh berdakwah kepada mereka pada hari perhimpunan mereka, mereka cabar Soleh agar keluarkan dari bukit ini seekor unta!
Nabi Soleh pun berdoa kepada Allah lalu terjadilah apa yang mereka pinta!
Nabi Soleh memberitahu kepada mereka, ini adalah unta Allah (نَاقَةُ ٱللَّهِ)- ia dinisbahkan kepada Allah kerana ia tidak diperanakkan ibunya tetapi dikeluarkan dari bukit.
- Kisahnya juga di dalam firman Allah ini:
{Sesungguhnya Kami menghantarkan unta betina (yang menjadi mukjizat) sebagai satu ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan Rasul Kami): Tunggulah (apakah yang mereka akan lakukan) serta bersabarlah (terhadap tentangan mereka).
Dan khabarkanlah kepada mereka, bahawa sesungguhnya air (telaga mereka) terbahagi di antara mereka dengan unta itu, tiap-tiap bahagian air itu dihadiri oleh yang berhak mengambilnya (pada hari gilirannya).} (Al-Qamar 54: 27-28)
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 64- {“DAN WAHAI KAUMKU! INI ADALAH UNTA BETINA DARI ALLAH UNTUK KAMU SEBAGAI TANDA (MUKJIZAT) YANG MEMBUKTIKAN KEBENARANKU. OLEH ITU, BIARKANLAH DIA MENCARI MAKAN DI BUMI ALLAH DAN JANGANLAH KAMU MENYENTUHNYA DENGAN SESUATU YANG MENYAKITINYA, (KALAU KAMU MENYAKITINYA) MAKA KAMU AKAN DITIMPA AZAB SEKSA YANG DEKAT MASA DATANGNYA”.} (HUD 11:64)
- Nabi Soleh berkata kepada kaumnya: Ini adalah keajaiban dalil yang kamu pinta!
Ini adalah unta Allah {نَاقَةُ ٱللَّهِ} sebagai dalil atau bukti akan kebenaran dakwahku!
- Unta ini sebagai satu mukjizat yang istimewa dan Nabi Soleh berpesan kepada mereka agar jangan ganggu unta itu:
i- Kamu tak perlu uruskan makan-minumnya, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah.
ii- Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, jangan sesekali khianat akan unta itu!
- Nabi Soleh memberi amaran kepada mereka agar jangan menyakiti unta itu!
Kerana jika mereka menyakitinya; maka mereka akan ditimpa azab siksa yang dekat masa datangnya!!!
AYAT 65- {MEREKA KEMUDIANNYA MENYEMBELIH UNTA ITU, LALU BERKATALAH NABI SOLEH KEPADA MEREKA: BERSENANG-SENANGLAH KAMU DI TEMPAT MASING-MASING SELAMA TIGA HARI; TEMPOH YANG DEMIKIAN ITU, IALAH SUATU JANJI YANG TIDAK DAPAT DIDUSTAKAN”.} (HUD 11:65)
- Orang jahat di kalangan kaum Thamud tidak senang dengan keadaan ini lalu mereka berpakat untuk membunuh unta itu dan mencari orang yang sanggup melakukannya!
Inilah perangai manusia yang tidak sabar ketika susah & tidak syukur apabila senang.
Begitulah fitnah itu dimulai oleh jahat, dipercayai oleh orang bodoh & diterima pakai oleh yang tidak berakal!!
- Lalu berpakatlah 9 orang wakil dari kalangan kaumnya dan yang dipilih untuk menyembelih unta itu ialah seorang yang bernama Qudar bin Salif.
Akhirnya matilah unta itu dibunuh oleh mereka!
- Apabila nabi Soleh mendengar berita ini dia terus memberi amaran kepada mereka:
Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; selepas itu azab akan datang, turun ke atas kamu!
- Tempoh yang diberi itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan kerana Allah yang memberikan wahyu kepada Nabi Soleh!
- Begitulah biasanya Allah memberi tempoh selama 3 hari kepada kaum yang akan dibinasakan!
Mereka tidak dibinasakan terus untuk lihat apa yang akan mereka buat, apakah mereka akan insaf ketakutan atau terus sombong angkuh!
- Hanya satu kaum saja yang terlepas daripada azab yang dijanjikan ini kerana mereka segera insaf bertaubat & menyesali perbuatan mereka sebelum azab turun, iaitu kaum Nabi Yunus.
AYAT 66- {MAKA KETIKA DATANG AZAB KAMI, KAMI SELAMATKAN SOLEH BESERTA UMATNYA YANG BERIMAN, DENGAN RAHMAT DARI KAMI, DAN KAMI SELAMATKAN MEREKA DARI AZAB SERTA KEHINAAN HARI ITU. SESUNGGUHNYA TUHANMU, DIA LAH YANG MAHA KUAT, LAGI MAHA KUASA.} (HUD 11:66)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Nabi Soleh sudah larang agar jangan ganggu & menyakiti unta Allah itu, tetapi mereka terus sembelih & bunuhnya!
ii- Maka datang ayat ini, turunlah azab, binasalah kaum Thanud, yang selamat hanyalah Nabi Soleh & kaumnya yang beriman!
- Apabila datang & turunnya azab, Allah selamatkan Nabi Soleh & mereka yang beriman bersamanya dengan limpah kurnia rahmat dari Allah semata-mata.
Allah selamatkan mereka dari bala kehinaan yang menimpa puak kafir!
- Dikatakan dalam Tafsir al-Munir :
Menjadi keadilan Allah Azza wa Jalla ke atas hamba-Nya yang soleh untuk menyelamatkan mereka.
Dikatakan terdapat 4000 orang yang beriman dengannya.
Yang kafir pastilah lebih ramai lagi!
- Janganlah sesekali kamu cuba melawan & menentang Allah kerana Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa!
- Yakni sesungguhnya Tuhanmu itu wahai Muhammad SAW, adalah:
i- Dia lah yan Maha Kuat{هُوَ ٱلْقَوِىُّ}, atas mengambil tindakan, yang gagah yang kuat yang tiada siapa boleh melawan-Nya!
ii- Lagi Maha Kuasa {ٱلْعَزِيزُ} untuk menyelamatkan orang beriman & membinasakan mereka yang kufur!
AYAT 67- {DAN ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU, DIBINASAKAN OLEH SATU LETUSAN SUARA YANG MENGGEMPAKAN BUMI, LALU MENJADILAH MEREKA MAYAT-MAYAT YANG TERSUNGKUR DI TEMPAT TINGGAL MASING-MASING.} (HUD 11:67)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa ditimpakan azab ke atas puak Thamud yang derhaka, yang telah membunuh unta mukjizat nabi Soleh.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan cara atau apakah jenis azab yang turun untuk membinasakan mereka.
- Iaitu bagi mereka yang derhaka & menyembelih unta itu Allah hantar satu azab yang berupa tempikan suara {ٱلصَّيْحَةُ۟} yang begitu dahsyatl; memecahkan gegendang telinga dan memecahkan otak yang menyebabkan mereka mati bergelimpangan, menjadi mayat yang tersungkur, gguling-bating.
- Sebagaimana yang kita katakan, begitulah jenis azab yang turun itu bersesuaian dan keadaan & kedudukan sesuatu kaum itu.
Oleh kerana kaum Thamud ini tinggal di dalam rumah yang dipahat terus di dalam bukit, jika dihantar angin atau ribut taufan tidak akan memberi kesan.
- Lalu Allah hantar letusan suara yang boleh memusnah mematikan semua.
Manakala letusan suara itu ada ulama’ yang kata : Suara malaikat, suara Jibril atau yang keluar dari langi, wallahu a’lam, Allah tidak menyatakan jenisnya!
- Lalu apabila suara itu sampai kepada mereka, mereka terus jatuh bergelimpangan, ada yang mati terbaring ada yang tertiarap, ada jatuh terduduk melutut- semuanya tersungkur (gguling-bating) di tempat masing-masing.
AYAT 68- {(MEREKA PUNAH-RANAH) SEOLAH-OLAH MEREKA TIDAK PERNAH TINGGAL DI SITU. KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA KAUM THAMUD ITU KUFURKAN TUHAN MEREKA. KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA KEBINASAANLAH AKHIRNYA BAGI KAUM THAMUD.} (HUD 11:68)
- Begitulah azab itu memusnahkan mereka semua kaum Thamud yang tidak beriman itu, seolah-oleh mereka tidak pernah hidup di situ, yakni mereka musnah binasa tidak meninggalkan kesan jejak; seperti tidak pernah wujud sebelum itu di kampung mereka itu !!!
- Itulah akibat orang yang telah kufur kepada Allah, ingkar akan ayat-ayat Allah lalu Allah jauhkan mereka daripada rahmat Allah & ditimpa azan-Nya!
Azab datang memusnahkan mereka semua seolah mereka tidak pernah wujud di al-Hijr itu, tiada kesan kehidupan yang dapat dilihat!
Yang tinggal hanya kesan penempatan rumah-rumah batu yang mereka bina!
- Kita ambil iktibar pengajaran; jangan sesekali kufur & ingkar dehaka terhadap Allah jika tidak mahu jauh dari rahmat-Nya!
Kerana mereka tidak beriman, mendustakan Nabi mereka dan membunuh unta mukjizat lalu kaum Thamud ditimpa azab itu!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 64- {“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku.}-
Nabi Soleh beri taklimat kepada kaumnya!
Tadi kamu minta bukti- sekarang ini adalah unta Allah {نَاقَةُ ٱللَّهِ} yang keluar dari bukit sebagai dalil akan kebenaran dakwahku.
Tentang unta ini:
i- Kamu tidak perlu menguruskan makan-minumnya, biarkan dia bebas mencarinya sendiri.
Cuma air minum kena bergilir dengannya!
ii- Kamu juga jangan sesekali cuba menyakitinya!
Ini adalah satu larangan keras lagi jelas dari Nabi Soleh!
Kita para pendakwah begitu juga kena beritahu, beri peringatan dan amaran tentang dosa maksiat yang bahaya.
Contohnya sekarang ini LGBT, jika bala datang kita semua akan musnah!
Lihat seperti yang beru berlaku sekarang ini banjir & lumpur yang menenggelamkan habis penempatan!
Maka kita ambil iktibar pengajaran bahawa apabila bala Allah datang tiada siapa yang boleh halang & sekatnya!
Unta ini dikira sebagai satu mukjizat yang besar, Allah ciptanya keluar dari bukit tanpa ibu unta yang beranak dan tanpa bapa yang membuntingkan ibu.
Besarnya pula ia minum air sehingga boleh kering telaga dalam satu hari!
- Ayat 65- {Mereka kemudiannya menyembelih unta itu,…}-
Ini adalah satu jenayah yang paling besar!
Mereka membunuh unta yang dipanggil unta Allah { نَاقَةُ ٱللَّهِ} oleh Nabi Soleh!
Allah sandarkan sebagai untanya untuk memuliakannya sepertimana masjid dipanggil rumah Allah!
Akhirnya 9 orang daripada kaum Thamud bermesyuarat dan sanggup untuk membunuh unta nabi itu!
Walaupun tukang sembelihnya hanya seorang (Qudar bin Salif) tetapi Allah kata: {mereka menyembelihnya- },kerana perbuatan itu disokong & dibantu juga oleh kaumnya yang lain.
Mereka restu & redha akan perbuatan yang akan dibuat Qudar itu iaitu sembelih unta, akan dikira sekongkol!
Kerana itu kata ulama’ : Walaupun kita tak buat maksiat secara direct, tetapi jika menyokong program itu seperti beri sponsor sumbangan dan lain-lain majlis mungkar & maksiat; walaupun dia tak pergi majlis itu tapi dok di masjid, tetap dikira bersekongkol dan mendapat dosa juga sekali!
- Ayat 65- {… berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari;}-
Apabila mereka menyembelih unta itu; Nabi Soleh lalu memberi amaran kepada mereka!
Kamu duduk & tunggulah selama tiga hari di rumah kamu kerana selepas ini akan datang azab untuk membinasakan kamu!
Begitulah biasanya sebelum datang azab Allah akan beri tempoh 3 hari kepada mana-mana kaum yang akan dimusnahkan itu.
Kecuali kaum Lut, azab terus datang pada waktu subuh keesokan harinya!
Apabila Allah perintahkan Nabi Lut keluar dari Qura Sadum pada waktu malam itu dengan segera kerana azab akan segera pada waktu subuhnya!
Siapa tak ikut & berpaling akan binasa!
Tetapi umat nabi-nabi lain biasanya Allah akan beri tempoh selama 3 hari!
Ulama’ fiqh kata : Ini menunjukkan bahawa angka 3 ini mempunyai nilai dalam hukum feqah.
Seperti apabila kita beli barang, diberi tempoh 3 hari untuk membuat pembatalan jika berubah fikiran.
Tempoh yang diberi Allah sangat baik, tetapi apa boleh buat, mereka semua tetap binasa selepas tempoh itu!
- Ayat 66- {Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami,…}-
Apabila datang bencana, Allah selamatkan nabi Soleh & mereka yang beriman bersamanya, dengan rahmat daripada Allah!
Mengikut kata ahli tafsir : Terdapat dalam 4000 orang yang beriman dari kalangan kaumnya!
Kita semua berada di bawah ihsan & rahmat Allah SWT selama mana kita beriman kepada Allah!
Ini dikira janji Allah yang benar, maka rahmat akan datang!
Siapa yang beriman akan selamat!
Sebagaimana janji nabi Soleh mereka diberi tempoh 3 hari, pada hari keempat datanglah azab secara letusan suara yang memusnahkan semua yang kufur & selamat semua yang beriman bersama Nabi Soleh, dengan rahmat dari Allah!
Ke mana Nabi Soleh bawa kaumnya yang beriman selepas itu tidak dinyatakan.
Terdapat dalam 4000 orang beriman sebagaimana yang nyatakan tadi.
- Ayat 67- {Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi,…}-
Mereka yang zalim iaitu kufur tidak beriman itu telah datang kepada mereka letusan suara yang mengegarkan.
Suara itu ada yang kata seperti tempikan suara malaikat ayau halilintar guruh; yang menusuk ke dalam telinga & otak mereka lalu membinasakan sehingga mati semuanya!
Allah akan selamatkan kita di dunia & Akhirat jika kita beriman & beramal soleh serta tidak ikut perangai kafir!
Tetapi jika ikut perangai kafir sekali dengan kita akan musnah bersama mereka!
Jika orang beriman mati atas dunia ini tidak mengapa, masuk dalam kubur pun sudah dapat rahmat Allah- di Akhirat kelak akan masuk syurga pula!
Tetapi jika kafir yang mati, tak boleh nak buat apa lagi untuk selamatkannya.
Allahu al-Musta’an.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
