KISAH NABI IBRAHIM AS, MULIAKAN TAMU, KHABAR DAPAT ANAK & SIMPATI DENGAN KAUM LUT.
Full video : https://youtu.be/vfbQiYv9fK0?si=kvcR7q9NwYJVOriA
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 69 sehingga ayat 76 dalam juzuk kedua belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Ibrahim AS yang dikunjungi malaikat tetapi dia tak kenal.
Nabi Ibrahim nemuliakan tamunya & menghidang makanan.
Malaikat kemudian memperkenalkan diri mereka serta menyatakan tujuan asal kedatangan mereka.
- Malaikat menyatakan mereka dalam perjalanan ke Qura Sadum untuk membinasakan kaum Lut, puak LGBT pada zaman itu!
Malaikat singgah di tempat Ibrahim untuk memberi khabar gembira bahawa Ibrahim & isterinya Sarah akan dapat anak iaitu Ishak.
- Ibrahim seorang yang berhati lembut berasa simpati dan bimbang akan keselamatan Nabi Lut.
Malaikat menenangkannya agar jangan runsing, bahawa Allah sudah ambil kira semuanya!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Nabi Soleh dan kaumnya Thamud serta tentang unta mukjizat yang keluar dari bukit tanpa ibu & bapa.
ii- Dalam ayat ini dibawa kisah Nabi Ibrahim pula, seorang yang sudah tua, isterinya juga peringkat sudah tidak beranak (menopause belako), tiba-tiba datang malaikat membawa khabar gembira dengan kuasa Allah SWT; bahawa mereka akan dikurniakan anak. Inilah kisah ajaib selepas kisah ajaib yang lalu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 69- {DAN SESUNGGUHNYA TELAH DATANG MALAIKAT UTUSAN-UTUSAN KAMI KEPADA NABI IBRAHIM, DENGAN MEMBAWA BERITA YANG MENGEMBIRAKAN. LALU MEREKA MEMBERI SALAM DENGAN BERKATA: “SALAM SEJAHTERA KEPADAMU (WAHAI IBRAHIM)”. NABI IBRAHIM MENJAWAB: “SALAM SEJAHTERA KEPADA KAMU”. MAKA TIDAK BERAPA LAMA SELEPAS ITU, IA MEMBAWA JAMUAN UNTUK MEREKA: SEEKOR ANAK LEMBU YANG DIPANGGANG.} (HUD 11:69)
- Nota (355)- Ini adalah merupakan kisah nabi yang keempat dalam Surah Hud ini, bermula dengan kisah nabi Nuh, Hud, Soleh & Ibrahim.
Mulai dari ayat ini diceritakan perihal nabi Ibrahim AS yang diutuskan kepadanya makhluk; untuk menyampaikan berita yang menggembirakan bahawa dia akan memperoleh seorang anak serta menerangkan bahawa mereka diperintahkan Allah SWT untuk membinasakan kaum nabi Lut di Qura Sadum (Sodom).
- Biasanya dalam kisah nabi-nabi lain disebut mereka diutuskan, didatangkan kepada kaum mereka; tetapi dalam kisah Ibrahim ini Allah nyatakan telah datang utusan kami iaitu malaikat kepada Ibrahim:{وَلَقَدْ جَآءَتْ رُسُلُنَآ إِبْرَٰهِيمَ}.
- Allah berfirman dalam ayat ini: {Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami…}– Siapakah utusan Tuhan ini?
Ulama’ kata: Mereka adalah malaikat Jibril, Mikail & Israfil, tiga ketua utama malaikat.
Ada kata 10 malaikat semuanya, tambah lagi 7 orang malaikat bersama 3 ketua ini.
- Bilangan malaikat yang datang itu tidak penting; yang penting bagi kita ialah belajar adab bertamu & adab menerima tetamu daripada kisah Nabi Ibrahim & malaikat ini.
- Malaikat datang serta mengucapkan salam {قَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا} kepada Ibrahim, Nabi Ibrahim juga menjawab salam mereka {قَالَ سَلَـٰمٌۭ}.
Inilah adab kita bertamu dan bertemu sesama muslim. Salam dulu sebelum kalam/bercakap. (السلام قبل الكلام).
- Tidak lama Ibrahim terus mengangkat hidangan jamuan untuk tetamunya.
Iaitu kebetulan ia mempunyai seekor anak lembu yang dipanggang.
Dia pun mempersilakan tetamunya untuk makan!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ ٢٤ إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌۭ قَوْمٌۭ مُّنكَرُونَ ٢٥ فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍۢ سَمِينٍۢ ٢٦ فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ ٢٧ فَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةًۭ ۖ قَالُوا۟ لَا تَخَفْ ۖ وَبَشَّرُوهُ بِغُلَـٰمٍ عَلِيمٍۢ ٢٨
Maksudnya:
{Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?
Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!”
Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu!
“(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.
Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).
Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.
(Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka.
(Melihat kecemasannya), mereka berkata: “Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)”.
Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.} [Az-Zariyat 51: 24-28].
- Kisah nabi Ibrahim ini sudah berulang banyak kali di dalam al-Quran dalam beberapa surah lain cuma episodnya berbeza-beza.
Sekali kisah bersama ayahnya, kemudian kisah dia berbalah dengan kaumnya memecahkan berhala sembahan mereka.
Dalam ayat ini tentang malaikat yang dalam perjalanan ke Qura Sadum, singgah ke rumahnya untuk menyampaikan khabar gembira tentang ketibaan zuriat Ishak dan cucunya Ya’kub.
Kelak nanti cerita Ibrahim & anaknya Ismail dalam ayat lain pula!
- Allah sebut kisah nabi Ibrahim ini berbeza uslub ayatnya dengan kisah nabi lain yang diutuskan kepada kaumnnya tetapi Ibrahim ini diutuskan malaikat pula kepadanya untuk membawa khabar.
Inilah hikmah & rahsia bahasa al-Quran, kita lihat perbincangannya nanti.
AYAT 70- {MAKA APABILA IA MELIHAT TANGAN MEREKA TIDAK MENYENTUH HIDANGAN ITU, IA MERASA PELIK AKAN HAL MEREKA SERTA MERASA TAKUT DARI KEADAAN MEREKA. (MELIHAT KECEMASANNYA) MEREKA BERKATA: “JANGANLAH ENGKAU TAKUT WAHAI IBRAHIM, SEBENARNYA KAMI INI DIUTUS KEPADA KAUM LUT (UNTUK MEMBINASAKAN MEREKA)”.} (HUD 11:70)
- Tetapi peliknya, Ibrahim melihat tetamunya tidak menyentuhpun hidangan yang diangkat. Ini menyebabkan dia berasa takut akan keadaan mereka itu.
- Begitukah kita ambil iktibar, jika menjadi tetamu, tuan rumah sudah angkat hidangan kita kena makan juga walaupun sedikit.
Jangan memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah, puasalah, dietlah atau seumpamanya yang boleh menyebabkan tuan rumah menjadi terkilan & ralat.
Jika kita puasa beritahu awal-awal lagi agar tuan rumah tidak buat persiapan.
Kata DDAAM: Menjaga hati lebih utama daripada menjaga body!
- Melihat keadaan Ibrahim yang cemas itu, malaikat tidak membiarkannya lama dalam kecemasan, mereka terus menjelaskan siapa mereka sebenarnya! Iaitu malaikat utusan Allah.
- Mereka dalam perjalanan diutus kepada kaum Lut untuk membinasakan mereka.
Nabi Ibrahim berada di Palestin manakala Nabi Lut di Qura Sadum, (Laut Mati) Jordan hari ini yang bersempadan dengan Palestin.
AYAT 71- {DAN ISTERINYA PADA KETIKA ITU BERDIRI (MENDENGAR), LALU IA KETAWA (KERANA HILANG PERASAAN TAKUTNYA). MAKA KAMI PUN MEMBERIKAN BERITA YANG MENGEMBIRAKAN KEPADANYA (MELALUI MALAIKAT ITU), BAHAWA IA AKAN MENDAPAT SEORANG ANAK: ISHAK, DAN SESUDAH ISHAK, (IA PULA AKAN MENDAPAT SEORANG CUCU): YAAKUB.} (HUD 11:71)
- Isterinya (Sarah) yang mendengar juga berita itu lalu ketawa kerana hilang perasaan takut mereka, kerana sudah tahu tetamu mereka itu adalah malaikat.
Apabila sudah tahu sebab, hilang pelik & takut!
- Nota [356] Isteri Nabi Ibrahim yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Sarah, yang pada masa itu sudah tua.
Ia merasa hairan mendengar berita yang ia akan mengandung dan melahirkan seorang anak – Ishaq, dan akan mendapat pula seorang cucu – Ya’qub.
Yakni panjang umur puak mereka ini.
- Yakni sebab isteri Nabi Ibrahim ketawa gembira itu mungkin kerana beberapa sebab mengikut kata ulama’:
i- Kerana hilang takutnya apabila mengetahu mereka adalah malaikat utusan Tuhan.
ii- Kerana berita gembira akan dapat zuriat iaitu anak serta cucu juga.
iii- Kerana kaum Lut yang derhaka itu akan dibinasakan Tuhan.
Kita gabungkan semuanya pun tidak bertentangan.
AYAT 72- {ISTERINYA BERKATA: “SUNGGUH AJAIB KEADAANKU! ADAKAH AKU AKAN MELAHIRKAN ANAK PADAHAL AKU SUDAH TUA DAN SUAMIKU INI JUGA SUDAH TUA? SESUNGGUHNYA KEJADIAN INI SUATU PERKARA YANG MENGHAIRANKAN”.} (HUD 11:72)
- Mendengar berita itu, Sarah mengatakan ini suatu perkara yang sungguh ajaib dan menghairankan!!
- Ini kerana padahal dia merasakan bahawa:
i- Dia adalah seorang wanita yang sudah tua { وَأَناْ عَجوزٌ };
ii- Dan suaminya ini juga lelaki yang sudah tua {وَهٰذا بَعلي شَيخًا}.
- Sekali lagi isteri Nabi Ibrahim berkata: Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan dan tak masuk akal!!!
AYAT 73- {MALAIKAT-MALAIKAT ITU BERKATA: “PATUTKAH ENGKAU MERASA HAIRAN TENTANG PERKARA YANG TELAH DITETAPKAN OLEH ALLAH? MEMANGLAH RAHMAT ALLAH DAN BERKATNYA MELIMPAH-LIMPAH KEPADA KAMU, WAHAI AHLI RUMAH INI. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA TERPUJI, LAGI MAHA MELIMPAH KEBAIKAN DAN KEMURAHANNYA”.} (HUD 11:73)
- Malaikat menjelaskan kepadanya, tak perlu kamu merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah.
Ini kerana rahmat Allah dan berkat-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah Ibrahim.
- Nota [357] Malaikat menolak perasaan hairan yang dilahirkan oleh Sarah itu, kerana ia sebagai seorang isteri Nabi yang terdidik di rumah Nabi, tidak sepatutnya merasa hairan tentang hal itu, kerana Allah Ta’ala Maha Kuasa melakukan segala apa jua yang luar biasa.
- Isteri nabi Ibrahim berasa pelik & hairan itu bukan kerana dia tidak percaya akan kekuasaan Allah untuk mengadakan apa saja yang dikehendaki-Nya; tetapi kerana dia berasa amat teruja & tidak percaya bahawa dia akan hamil & mendapat anak yang dinantikan selama ini. Seolah mimpi menjadi kenyataan!
- Di akui sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya!
AYAT 74- {MAKA APABILA HILANG PERASAAN TAKUT DARI HATI NABI IBRAHIM, DAN SAMPAI KEPADANYA BERITA YANG MENGEMBIRAKAN ITU, (MULAILAH) IA MEMBANTAH (UTUSAN-UTUSAN) KAMI TENTANG (AZAB YANG AKAN MENIMPA) KAUM NABI LUT.} (HUD 11:74)
- Setelah hilang rasa takut dari hati Nabi Ibrahim serta telah sampai berita gembira bahawa dia akan dapat anak lagi dan mengetahui tentang tujuan utama malaikat untuk memusnahkan kaum Lut, dia membantahnya.
- Nabi Ibrahim menyatakan bantahannya akan azab itu kerana Nabi Lut ada di kalangan mereka itu dan dia bimbang jika Lut juga terkena tempias azab Allah itu.
- Firman Allah SWT tentang kisah ini juga:
{Dan ketika datang (malaikat) utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang mengembirakan), mereka berkata: “Sebenarnya kami hendak membinasakan penduduk bandar ini), sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim”.
Nabi Ibrahim berkata: “Sebenarnya Lut ada di bandar itu”. Mereka menjawab: “Kami mengetahui akan orang-orang yang tinggal di situ. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya), kecuali isterinya, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan”.} [Al-Ankabut 29: 31- 32].
- Nota [358] Bantahan Nabi Ibrahim AS yang dimaksudkan di sini ialah yang tersebut pada ayat 31 dan 32, Surah Al-Ankabut.
Dalam ayat-ayat itu dinyatakan, semasa Nabi Ibrahim mendengar berita dari malaikat bahawa mereka diutus untuk membinasakan negeri kaum Lut, ia terkejut mendengarnya lalu berkata: bagaimana negeri itu hendak dibinasakan padahal Nabi Lut masih tinggal di situ?
Malaikat menerangkan: bahawa mereka mengetahui hal itu, dan mereka akan menyelamatkan Nabi Lut dan keluarganya, kecuali isterinya yang telah memihak kepada kaum yang berdosa itu.
Isteri Lut tidak buat jahat tetapi dia bersimpati dengan kumpulan itu.
AYAT 75- {SESUNGGUHNYA NABI IBRAHIM, PENYABAR, LEMBUT HATI (BERTIMBANG RASA) LAGI SUKA KEMBALI KEPADA ALLAH DENGAN MENGERJAKAN AMAL BAKTI.} (HUD 11:75)
- Bantahan ini juga secara spontan kerana Nabi Ibrahim seorang yang penyabar, lembut hati, bertimbang rasa, lagi suka kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.
- Yakni bukan kerana Nabi Ibrahim tidak setuju penduduk Qura Sadum dibinasakan tetapi kerana dia bimbangkan keadaan Nabi Lut & pengikutnya yang beriman!
Sebagai seorang yang lembut hati dia bimbang jika Lut juga musnah binasa bersama kaumnya!
AYAT 76- { (MALAIKAT-MALAIKAT ITU BERKATA): “WAHAI IBRAHIM! JANGANLAH DIHIRAUKAN HAL INI. SESUNGGUHNYA TELAH DATANG PERINTAH TUHANMU (MENGHUKUM MEREKA), DAN SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN DIDATANGI AZAB YANG TIDAK AKAN DAPAT DITOLAK (OLEH BANTAHAN ATAU DOA PERMOHONAN)”.} (HUD 11:76)
- Munasabah ayat ini:
i- Dalam ayat yang lepas, Nabi Ibrahim yang lembut hati menyatakan kebimbangannya akan Nabi Lut yang berada di kalangan kaumnya yang kafir.
ii- Maka datang ayat ini malaikat mengatakan tak boleh buat apa lagi apabila perintah Allah datang, penduduk Qura Sadum mesti dibinasakan!
- Yakni malaikat menyatakan kepada Nabi Ibrahim agar bertenang dan jangan hiraukan perkara ini kerana:
i- Kami lebih tahu daripada kamu siapa yang ada di sana, Lut & pengikutnya yang beriman.
Sesungguhnya telah datang perintah Tuhanmu (menghukum mereka),
ii- Dan sesungguhnya mereka akan didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh bantahan atau doa permohonan.
Yakni apabila datang azab tiada siapa yang boleh selamat darinya!
- Tetapi pastilah Allah akan menyelamatkan Nabi Lut & mereka yang beriman bersamanya, kamu jangan bimbang Ibrahim, semua itu sudah dalam pengetahuan dan pertimbangan Allah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 69- {Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. …}-
Dibawa kisah Nabi Ibrahim dulu sebelum kisah Nabi Lut kerana malaikat dalam perjalanan ke Qura Sadum, singgah di tempat Ibrahim dulu!
Kerana itu dalam ayat ini Allah nyatakan: {Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim- وَلَقَدْ جَآءَتْ رُسُلُنَآ إِبْرَٰهِيمَ}- Kerana kisah Ibrahim bukanlah kisah utama dalam ayat ini.
Tujuan utama malaikat turun dari langit, diutuskan Tuhan adalah kerana membawa misi khas untuk memusnahkan kaum Nabi Lut di Qura Sadum!
Kemudian dalam perjalanan mereka singgah di rumah Nabi Ibrahim untuk memberikannya beberapa khabar & maklumat.
Kerana itu kisah ini uslubnya tidak sama dengan kisah Nabi lain yang dinyatakan bahawa mereka diutuskan kepada kaumnya, seperti:
{Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh – وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَـٰلِحًۭا}.
- Ayat 69- { Lalu mereka memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)”. Nabi Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu”.}-
Malaikat memberi salam & Ibrahim menjawab salam mereka itu.
Begitulah pertemuan mereka itu dimulakan dengan salam kepada tuan rumah & Ibrahim sebagai tuan rumah menjawab salam mereka itu juga!
Lihat pula kepada uslub salam yang digunakan:
i- Malaikat memberi salam kepada Ibrahim dengan ucapan {قَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا};
ii- Nabi Ibrahim menjawabnya {قَالَ سَلَـٰمٌ}- iaitu apabila jawab salam kita kena tambah & jawab dengan yang lebih baik!
Begitulah kaedahnya:
Salam sebelum Kalam (السلام قبل الكلام).
- Ayat 69- {Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.}-
Nabi Ibrahim sebagai seorang yang pemurah terus membawa keluar hidangan untuk dijamu kepada tetamunya.
Begitulah kita pun jika ada tetamu secara spontan, apa yang ada di rumah, apa yang ada di dapur kita itulah yang kita bawa keluar kepada tetamu.
Juga jangan banyak tanya, sudah makan ke? Nak makan di sini ke??
Soalan yang boleh menyebabkan tetamu berasa segan dan malu.
Para tetamu pun jangan menyusahkan tuan rumah, makan saja apa yang diangkat, jika puasa atau sudah kenyang tak mahu makan, nyatakan terus dari awal.
Memuliakan tetamu adalah adat yang mulia dalam Islam.
Apatah lagi jika tetamu yang kita jemput, kena pastikan cukup makanan dan layanlah mereka dengan baik, seperti dalam majlis kenduri dan seumpamanya.
Jangan sampai tetamu tiba jam 3, makanan sudah habis!
Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.” [HR Imam al-Bukhari dan Muslim].
- Ayat 71- {Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.}-
Malaikat nyatakan khabar gembira kepada isteri Nabi Ibrahim bahawa dia akan mendapat anak yang telah diberi namanya iaitu Ishak, dan sesudah Ishak, ia pula akan mendapat seorang cucu bernama Yaakub.
Ulama’ buat persoalan kenapa dalam ayat ini, Allah fokuskan khabar gembira tentang akan dapat anak ini kepada isterinya Sarah, tidak bersama Ibrahim?
Jawapan:
Ini kerana Sarah tak pernah ada anak sebelum ini sedangkan Ibrahim sudah ada anaknya dengan isterinya yang lain, Hajar iaitu Ismail.
Oleh kerana Sarah yang akan hamil & melahirkan anak, maka khabar gembira ini adalah khas untuknya yang tidak pernah ada anak sendiri lagi sebelum ini!
- Ayat 73- {Malaikat-malaikat itu berkata: “Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini.}-
Dari ayat ini kita dapat dua faedah:
i- Malaikat menyatakan kepada Sarah isteri Nabi Ibrahim:
{“Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah?}-
Kenapa kamu berasa pelik akan urusan Allah. jika Tuhan nak bagi anak umur beribu tahun pun boleh aje!
Yakni sebagai seorang isteri Nabi tak perlulah kamu berasa pelik akan mukjizat yang Allah kurniakan!
ii- Kemudian malaikat mendoakan kebaikan & rahmat Allah ke atas ahli keluarga Nabi Ibrahim- {.. rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini.}
Kata ulama’: Ayat ini menunjukkan harus untuk berdoa dengan rahmat walaupun ke atas para nabi, ini kerana rahmat Allah itu luas.
Kita masuk syurga pun dengan rahmat Allah!
Yang terakhir malaikat menyatakan kepada Nabi Ibrahim tujuan sebenar perjalanan mereka ialah untuk memusnahkan kaum LGBT di Qura Sadum.
Kita nantikan kisah sepenuhnya dalam ayat yang akan datang insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
