KEDUDUKAN AL-QURAN, ISTIGHFAR DAN TAUBAT & RAHSIA KUFUR DIDEDAHKAN.
Full video : https://youtu.be/xyuzUHyOlxY?si=3RhQTU6HiJOWzqVS
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 01 sehingga ayat 05 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kedudukan al-Quran yang mulia.
- Juga arahan agar sembah Allah semata-mata serta sentiasa beristighfar dan bertaubat kepada Allah.
Allah akan berikan limpah kurnia-Nya yang banyak kepada.
- Kemudian Allah nyatakan segala rahsia yang disembunyikan kufur akan didedahkan di Akhirat kelak.
Kerana Allah tahu semua yang zahir & apa yang ada di dalam hati kamu!
Maka sebagai orang beriman kita kena ikhlaskan semua amalan kita kepada Allah SWT.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 1- {ALIF, LAAM RAA’….} (HUD 11:1)
- Surah ini dimulai dengan huruf yang dikenali sebagai huruf al-Muqatto’ah (الحروف المقطعة).
Al-Muqatto’ah adalah huruf yang bersambung tulisannya tetapi dibaca dibaca satu-persatu sebagaimana hurufnya- {الٓر} dibaca (Alif Lam Ra)- iaitu huruf Alif dibaca alif, huruf Lam dibaca lam dan huruf Raa dibaca Raa.
- Allah memulai surah ini dengan huruf Muqatto’ah, sebagaimana beberapa surah lain untuk membuktikan kenabian dan wahyu.
Huruf-huruf ini tidak diketahui maknanya dan hanya Allah ﷻ lebih mengetahui maknanya.
- Ia menunjukkan mukjizat al-Quran yang tidak boleh dilawan dan dicabar oleh manusia & sekelian makhluk sama ada secara bahasa atau isi kandungan.
Ia juga melemahkan makhluk lain untuk menirunya!
Sedangkan huruf biasa al-Quran pun manusia tidak dapat nak cabar & tirunya apatah lagi huruf-huruf sebegini.
[Penjelasan lanjut boleh baca di nota:7 pada awal surah al-Baqarah].
AYAT 1- {…. AL-QURAN SEBUAH KITAB YANG TERSUSUN AYAT-AYATNYA DENGAN TETAP TEGUH, KEMUDIAN DIJELASKAN PULA KANDUNGANNYA SATU PERSATU. (SUSUNAN DAN PENJELASAN ITU) ADALAH DARI SISI ALLAH YANG MAHA BIJAKSANA, LAGI MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA.} (HUD 11:1)
- Allah nyatakan al-Quran adalah sebuah kitab yang tersusun dan teguh ayatnya sama ada teguh dari sudut bahasa, makna & fakta maklumatnya!
Siapa yang cuba nak lawan al-Quran dengan cari kelemahan dan kekurangannya- dia yang akan tersungkur!
- Kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu.
Susunan dan penjelasan itu adalah dari sisi Allah yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya, yakni:
i- Allah teguhkan ayat-ayatnya maka tiada fakta yang silap, maklumat yang batil & tidak ada percanggahan.
ii- Kemudian Allah huraikan dalam al-Quran ini cerita-cerita yang benar, hukum-hakam yang adil sama ada perintah untuk kita buat atau larangan supaya kita tinggalkan!
Semuanya adil & penuh hikmah kebijaksaan!!!
- Ini kerana al-Quran adalah yang diturunkan, datang dari Allah:
i- Yang Maha Bijaksana {حَكِيمٍ} iaitu meletakkan segala perkara pada tempatnya dengan bijak & adil.
ii- Lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, {خَبِيرٍ} yakni pakar yang mengetahui segala perkara, semua dalam ilmu pengetahuan & kuasa-Nya.
- Nota (336):
i- Allah SWT menegaskan bahawa al-Quran ini yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah sebuah kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan rapi & tetap teguh.
Yang tidak akan berubah, tiada siapa yang boleh mengubah atau menukar fakta ayat-ayatnya.
Nak tukar maksudnya tak boleh, nak tukar fakta tak boleh hatta nak salah pun tulis, akan segera dapat dikesan & diketahui!
ii- Tapi malangnya orang kafir berjaya juga menjauhkan umat Islam dari undang-undang Syari’ah al-Quran.
Kita percaya bahawa semua undang-undang & hukum al-Quran itu baik tetapi nak praktik tak baik, tak sesuai, belum sampai masanya dan pelbagai alasan dicipta!!!
Penjajah berjaya menjajah minda rakyat jajahannya bukan setakat negara saja!
iii- Kandungannya boleh dijadikan berfasal-fasal, dihuraikan satu persatu meliputi kepercayaan tauhid, iktiqad, hukum-hukum Syara’, nasihat pengajaran dan kisah umat manusia & rasul-rasul yang diutusukan kepada mereka dari satu zaman ke satu zaman- berakhir dengan rasul kita Muhammad SAW.
AYAT 2- {(AL-QURAN YANG DEMIKIAN SIFATNYA DITURUNKAN OLEH ALLAH) SUPAYA JANGANLAH KAMU MENYEMBAH SESUATUPUN MELAINKAN ALLAH. (KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA AKU DIUTUS OLEH ALLAH KEPADA KAMU, SEBAGAI PEMBERI AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG (INGKAR), DAN PEMBAWA BERITA GEMBIRA (KEPADA ORANG-ORANG YANG (BERIMAN).} (HUD 11:2)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa al-Quran ini teguh & telah menghuraikan perjalanan hidup.
ii- Maka datang ayat ini menyatakan apa yang utama sekali ialah seorang manusia itu wajib menyembah Allah, iaitu jangan sekali-kali syirik kepada-Nya!
Jangan buat perkara yang menyalahi peraturan Allah & beribadatlah semata-mata kepada Allah bukan kepada yang selain-Nya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu”.} (Al-Anbiya’ 21:25)
Inilah syahadah atau pengakuan pertama iaitu tauhid kepada Allah.
- Kerja utama Nabi SAW adalah serentak: Sesungguhnya Baginda diutus oleh Allah kepada manusia semuanya (walaupun ayat ini adalah untuk orang kafir Quraisy pada ketika itu):
i- Sebagai pemberi amaran (نذيرا) kepada orang-orang yang ingkar;
ii-Dan pembawa berita gembira (بشيرا) kepada orang-orang yang beriman.
AYAT 3- {DAN HENDAKLAH KAMU MEMINTA AMPUN KEPADA TUHAN KAMU (DARI PERBUATAN SYIRIK), KEMUDIAN HENDAKLAH KAMU RUJUK KEMBALI TAAT KEPADANYA; SUPAYA IA MEMBERI KAMU NIKMAT KESENANGAN HIDUP YANG BAIK (DI DUNIA) HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU, DAN (DI AKHIRAT PULA) IA AKAN MEMBERI KEPADA TIAP-TIAP SEORANG YANG MEMPUNYAI KELEBIHAN (DALAM SEBARANG AMAL YANG SOLEH) AKAN PAHALA KELEBIHANNYA ITU; DAN JIKA KAMU BERPALING (MEMBELAKANGKAN TIGA PERKARA ITU), MAKA SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG KAMU AKAN BEROLEH AZAB HARI KIAMAT YANG BESAR (HURU-HARANYA).} (HUD 11:3)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat 2 Allah perintahkan yang utama sekali iaitu tauhid kepada Allah Azza wa Jalla. Siapa tiada tauhid maka dia adalah orang yang syirik!
Orang yang syirik nerakalah tempatnya kekal selamanya.
ii- Maka datang ayat ini mengajar apa yang perlu kita buat untuk kekal tauhid & menolak syirik!
Iaitu tauhid (dua syahadah tadi), istighfar & taubat kepada Allah!
- Yakni untuk menjaga aqidah daripada dikacau orang maka hendaklah sentiasa istighfar & bertaubat kepada Allah.
- Jelas dalam ayat ini Allah perintahkan hendaklah kamu wahai manusia, beristighfar meminta ampun kepada Tuhan kamu dari perbuatan syirik.
- Yakni kita minta:
i- Agar Allah ampunkan dosa-dosa kita, maafkan kesalahan kita yang telah lepas dan tidak ambil tindakan ke atas kita juga sapu, hilangkan terus rekod itu agar tidak dibentangkan di Akhirat kelak.
ii- Kemudian kita bertaubat juga untuk kembali ke jalan yang Allah benar bagi umur kita yang masih berbaki!
Yakni untuk yang akan datang agar tidak terpesong lagi.
- Ingatlah dunia ini bukan tempat tinggal manusia yang kekal tetapi tempat meninggalkan nama & amalan sama ada yang baik atau buruk!
Jangan kita lagha hidup atas dunia ini tetapi sentiasa bertaubat untuk perjalanan seterusnya!
Sentiasa muhasabah periksa (puspakom diri) apakah amalan kita yang zahir ini bertepatan dengan al-Quran & Sunnah Nabi SAW, barulah diterima Allah SWT!
- Kita istighfar dan bertaubatlah atas dosa-dosa & kesalahan yang telah kita lakukan, kita bertaubat kepada Allah untuk masa depan dengan tiga syaratnya:
a-Meninggalkan dosa yang lalu,
b-Menyesali perbuatan yang lepas
c- Berazam untuk yang akan datang iaitu tidak melakukannya lagi untuk masa depan!
Jangan rasa hebat sangat.
- Hadis Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” [HR Muslim].
- Hadis ini menggalakkan umat Islam untuk sentiasa bertaubat, meskipun Nabi Muhammad SAW adalah insan maksum dan dijamin syurga.
Siapa kita berbanding dengan Rasulullah SAW sehingga malas nak bertaubat & beristighfar.
Kenapa kita sombong begitu sedangkan Nabi SAW amat tawadhuk!
- Antara bacaan yang diajar oleh Nabi SAW & di panggil Sayyid al-Istighfar yang amat besar kelebihannya ini:
Dari Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ:
Maksudnya: “Sayyid (penghulu) al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ،
أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ،
وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau.
Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu.
Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku.
Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.
Sabda Baginda SAW lagi akan kelebihannya:
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ،
وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga.
Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni syurga”. [HR al-Bukhari (6306)]
Bacalah apa yang diajar oleh Nabi SAW kerana ia mempunyai autoriti lagi asli serta kita yakin akan pahalanya apabila ia sahih.
- Orang yang tauhid, istighfar & bertaubat, Allah akan berikan kepadanya kesenangan hidup, rezekinya luas, hidupnya bahagia, keluarga yang baik, hidup dalam afiyah & aman sehingga mati!
- Jika ada orang mengadu dia sentiasa istighfar dan bertaubat tetapi tetap dapat penyakit bermacam-macam dan lain-lain ujian!
Kita nasihatilahnya hatta Nabi SAW orang yang paling baik & mulia, dekat kematiannya tetap ditimpa sakit dan demam panas yang amat.
- Manakala ujian ke atas seseorang itu pula mungkin kerana tak cukup banyak pahalanya yang lain lalu Allah nak angkat darjat & beri pahala kepadanya dengan diberi ujian atau sakit; lalu dia sabar, tenang, redha atas ujian itu maka pahala berganda-ganda menunggunya!
Ingat apabila sakit tak salah untuk pergi ke hospital, jumpa doktor, berubat ikhtiar cari penyembuhnya dengan cara yang ikut Syari’ah.
- Orang yang baik, Allah akan beri kelebihan kepadanya.
Kelebihan itu ada bermacam cara, harta, kesenangan, anak isteri yang soleh, kawan-kawan & keluarga yang baik, kesihatan dan seumpamanya.
- Tetapi ingat!! Jika kamu berpaling lari daripada menerima agama & dakwah ini, takut nanti kamu akan diazab Allah SWT pada hari Kiamat yang besar nanti!
- Katakan: Nauzubillahi minal-khuzlan —
نعوذ بالله من الخذلان
Yakni kita minta perlindungan dari Allah SWT daripada dibiarkan Allah hidup terumbang-ambing tanpa panduan & bimbingan dari Allah Azza wa Jalla!
AYAT 4- {KEPADA ALLAH JUALAH KEMBALINYA KAMU, DAN IA MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU”.} (HUD 11:4)
- Ayat ini sambungan kepada kenyataan akan tugas Nabi SAW yang memberi peringatan dan khabar gembira kepada manusia.
- Semua itu sehingga kita kembali kepada Allah, tiba ajal kita matilah kita di atas dunia ini!
Semua kita akan kembali kepada Allah kelak!!!
- Kita akan berjalan kembali kepada Allah kelak seorang diri, perjalanan yang amat menakutkan bermula dari dalam kubur, nak undur balik tak boleh, nak ke depan pun tak boleh!!!
Kemudian Allah akan dedahkan segalanya pada hari Kiamat kelak!
- Firman Allah SWT :
{Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.} (Al-Maidah 5:105)
- Kemudian Allah nyatakan bahawa: Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu: Tiada siapa boleh lepas, tiada siapa boleh bebas daripada hukuman Allah!!
Hanya kepada Allah kita kembali & kepada-Nya tempat kita minta tolong!
AYAT 5- {KETAHUILAH! SESUNGGUHNYA MEREKA YANG INGKAR ITU MEMBONGKOKKAN BADAN MEREKA UNTUK MENYEMBUNYIKAN (PERASAAN BURUK YANG ADA DALAM DADA MEREKA) DARIPADA ALLAH. KETAHUILAH! SEMASA MEREKA BERSELUBUNG DENGAN PAKAIAN MEREKA SEKALIPUN, ALLAH MENGETAHUI APA YANG MEREKA SEMBUNYIKAN DAN APA YANG MEREKA ZAHIRKAN; SESUNGGUHNYA IA MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG ADA DI DALAM DADA.} (HUD 11:5)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah kata jika kamu berpaling tak mahu terima agama Islam;
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan Allah tahu semua apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan; yang baik yang buruk, yang zahir yang batin, semua itu di bawah ilmu & kuasa Allah.
- Kerana itulah Allah kata:
i- walaupun puak kafir itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan perasaan buruk yang ada dalam dada mereka, syirik yang ada dalam hati mereka, keburukan yang ada dalam perasaan mereka, nak sembunyikan permusuhan mereka kepada Nabi SAW.
ii- Walaupun mereka bersembunyi berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, yakni berselindung di sebalik pakaian seperti Nabi SAW & orang yang beriman;
- Tetapi Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; kerana sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala isi hati yang ada di dalam dada manusia!
- Maka jika aqidah kita betul, tauhid kita murni, hati kita hanya bergantung kepada Allah; Allah tahu.
Tetapi jika hati seseorang itu masih bergantung kepada berhala atau dewa-dewa dan seumpamanya, Allah tahu juga!
Semua perkara di bawah ilmu Allah SWT!
- Kata Ibnu Kathir : Yang menukilkannya dari Ibnu Abbas RA :
Kisahnya orang Arab dahulu mereka tinggal di dalam khemah, rumah mereka tiada atap hanya di buat pagar begitu saja sebagai dinding & terbuka dari atas.
Jadi apabila mereka buang air, bersama isteri dan sebagainya akan nampak dari atas langit lalu mereka berasa malu kepada Tuhan.
Jadi Allah menyatakan tak perlu malulah, jika kamu tutup dengan kain atau atap sekalipun Allah tahu & akan nampak semuanya!
Yang penting jangan buat benda karut yang dilarang Allah, jika yang diizinkan Allah silakan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1- {Alif, Laam Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. }- Alif, Laam Raa’-
Banyak sudah kita tafsirkan dan nyatakan kelebihannya.
Kitab {كِتَـٰبٌ} iaitu kitab al-Quran ini, Kalamullah yang Allah turunkan daripada sisi-Nya bukan makhluk, dari Allah kepada Allah dan merupakan milik Allah!
Allah sifatkan al-Quran sebagai sebuah Kitab yang teguh, mantap kukuh ayat-ayatnya, tiada siapa boleh cabar, lawan dan challengenya!
Jika ada nak lawannya mereka ini akan jatuh kecundang dihadapan peraturan Allah SWT!
Firman Allah juga: {(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah.}- kemudian Allah perintahkan agar kamu tidak sembah kecuali Allah! inilah tujuan besar al-Quran diturunkan!
- Ayat 3- {Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya;…}-
Dalam ayat ini Allah nyatakan arahan untuk istighfar & taubat
{وَأَنِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ}.
Dalam ayat ini Allah nyatakan sesiapa yang banyak istighfar Allah akan jadikan hidupnya yang sempit luas, dukacita kepada tenang, susah kepada mudah, miskin kepada kaya. Sama ada kaya harta atau kaya jiwa!!
Jika kaya harta saja tetapi jiwa tak kaya, masih kupit atau bakhil, tamak, hasad dengki kepada orang; tak akan bahagia & tak akan tenang juga hidupnya!
Maka Allah beri jaminan bagi orang yang istighfar:
i- Allah akan berikan hidup yang baik
{يُمَتِّعْكُم مَّتَـٰعًا حَسَنً}.
ii- Allah akan curahkan limpah kurnia-Nya yang luas {وَيُؤْتِ كُلَّ ذِى فَضْلٍۢ فَضْلَهُ}!
Apabila Allah curahkan limpah kurnia-Nya kepada kita yang luas tidak ada siapa yang boleh sempitkan hidupnya lagi!
Dakwah kepada istighfar ini ialah pertama sekalinya meminta ampun daripada syirik kepada Allah SWT!
Sama ada syirik besar atau kecil, syirik khafi (tersembunyi) atau syirik jali (nyata)!
Kemudian bertaubat kembali kepada Allah, lalu bermulalah langkah amal untuk menuju kepada Allah.
Kata orang: Permulaan bertaubat untuk kembali kepada Allah adalah dengan istighfar & taubat kepada Allah, jangan lari dari Allah , ini untuk Akhirat.
Untuk dunia pun begitu juga.
Hadis, Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.” [HR Bukhari & Muslim].
Dalam ayat ini Allah SWT kata: {… hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), KEMUDIAN hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya;
-وَأَنِ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْه}-
yakni Allah guna perkataan {ثُمَّ} dengan makna KEMUDIAN bukan DAN.
Maksud (Kemudian) ini bukan terjadi serentak seperti (dan) tetapi ada turutan iaitu diikuti dengan … iaitu Allah suruh istighfar dulu KEMUDIAN baru taubat.
Yakni menunjukkan amalan itu kita kena ucapkan dulu kemudian diikuti dengan amalan perbuatan yang baik seterusnya.
Iaitu orang yang bertaubat itu kena mulakan dengan:
i- Minta ampun dulu;
ii- Kemudian tinggalkan segala dosa yang lepas;
iii- Kemudian mulakan hidup baru yang berpandukan Syari’ah sepenuhnya iaitu dengan bimbingan wahyu Allah & Sunnah Nabi SAW!
Ingat jangan pertikaikan:
Puak kafir & ahli maksiat yang kaya-raya dan senang atas dunia ini yang sombong & tak pernah istighfar kepada Allah itu, bukan kerana Allah redha atau sayang; tetapi adalah satu istidraj dari Allah! Allah beri kemewahan dan kuasa agar mereka bertambah lalai dalam kekufuran, kelalaian dan dosa maksiatnya!
Kata imam al-Hasan al-Basri :
Jangan kamu dengki dengan orang yang mendapat nikmat Allah kerana:
i- Jika Allah beri kemulian kerana dia baik, maka kenapa kita nak dengki dengan orang yang baik & mulia!
ii- Jika Allah beri kepada orang kafir maka mereka itu ahli neraka; maka buat apa kita nak dengki dengan ahli neraka!!!
- Ayat 3- { ; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu,..}-
Allah beri jaminan akan beri kesenangan dan nikmat untuk kamu atas dunia ini buat sementara!
Kita kata walaupun sementara kita nak juga kehidupan yang baik & senang atas dunia ini; buat apa nak hidup susah.
Tetapi ingat semua itu hanya sementara dan ada tempohnya!
Panjang setara mana atas dunia hanyalah sementara & pendek berbanding dengan alam kubur & alam Akhirat.
Maka tak perlu kita dengki kepada orang kafir yang dapat kesenangan atas dunia ini kerana jangan lupa bahawa:
i- Allah beri kesenangan atas dunia ini kepada orang yang dia sayang & juga kepada orang yang Dia tak sayang!
ii- Tetapi Allah tak akan beri kebaikan di Akhirat kelak kecuali kepada orang yang Dia sayang dan redha!!!!!
Maka kita letakkan diri kita di dalam kategori orang yang Tuhan sayang, insya’ Allah!
Boleh baca buku Musafir Menuju Allah yang mengariskan 10 lorong untuk mencapai kasih sayang Allah.
Ia dekat dengan kita jangan kita buat payah dan cari yang lain!
Buku ini dalam proses cetak-semula nanti siap akan dimaklumkan insya’ Allah!
- Ayat 4- {Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.}-
Kita semua akan kembali kepada Allah, tak sir atau tak nak kita akan mati & kembali kepada Allah!
Kemudian pada hari itu Allah akan dedahkan segala rahsia kita; yang baik kita buat kita akan dapat pulangan yang baik, jika kita buat tak baik- kita akan terima padahnya juga!
Kata ahli fikir dan sering diulang oleh AAM :Suratan amalan kita di Akhirat kelak kitalah penulisnya!
Kita nak baca apa di depan Allah kelak, kita nak baca yang baik kelak buatlah kebaikan sebanyaknya, berani nak baca yang buruk buatlah yang buruk!!!
Kerana itu cukup-cukuplah menjadi penyebar fitnah, membongkar yang tidak baik atau keaiban orang!
Jika benar menjadi ghibah (mengutuk mengata) jika tak betul menjadi fitnah pula, yang mana keduanya mengundang dosa yang besar dan penyakit di Akhirat kelak!
Apabila ada orang mengata kita sedangkan kita tak kenal pun dia; tak mengapa Allah tahu & malaikat kenal dia!
Kita hantar LOD melalui malaikat, yang tidak akan lepas, tak perlu berbalah atas dunia ini kita serahkan urusan ini kepada Allah.
اللَّهُمَّ اكْفِنِا شرهم اللَّهُمَّ اكْفِنِا شرهم اللَّهُمَّ اكْفِنِا شرهم
Ya Allah, amankanlah & peliharalah kami dari kejahatan mereka.
Apabila Allah ambik tindakan-Nya, tiada siap yang boleh selamat!
- Ayat 5- {Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah.}-
Allah kata mereka sembunyikan watak mereka tetapi Allah tahu semuanya; yang zahir yang tersembunyi, yang baik atau buruk!
Allah tegaskan bahawa Dia tahu apa yang ada dalam hati kamu!
Maka jika kita tahu Allah tahu semuanya maka janganlah kita buat & cari perkara yang boleh menyusahkan kita di Akhirat kelak!!!!
Kerana apabila dah sampai di Akhirat tak boleh buat apa lagi, akan didedahkan dan dihisab semua perkara!
Semoga Allah beri kita kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk kita khatam pengajian al-Quran, memahami Kalamullah melalui tafsiran yang ringkas ini insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
