KISAH NABI LUT AS, CABARAN TAMU DATANG, MALAIKAT NYATAKAN TUJUAN & GENG SODOMI BINASA.
Full video : https://youtu.be/z_b3lqqqICU?si=ujJvw48slnYNJokY
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 77 sehingga ayat 83 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Lut AS, kisah nabi yang kelima dalam surah ini.
Iaitu apabila Nabi Lut didatangi malaikat yang berupa sebagai beberapa orang pemuda yang kacak dan cantik rupanya.
- Ini membuatkan Nabi Lut cemas kerana kaumnya adalah kaum LGBT yang gilakan sesama lelaki.
Ini satu cabaran yang berat baginya kerana dia tidak berdaya untuk menjaga keselamatan tamu yang datang.
- Akhirnya untuk menghilangkan keresahan Lut, malaikat memperkenalkan diri mereka dan menyatakan tujuan mereka datang.
Yang mana geng sodomi itu akan dibinasakan dengan segera dengan perintah Allah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kedatangan malaikat yang singah di rumah Nabi Ibrahim dan mereka menyatakan bahawa Ibrahim akan dapat anak & kaum Lut yang rosak akan dibinasakan.
ii- Maka datang ayat ini, malaikat telah tiba di kampung Nabi Lut yang menyebabkan Nabi Lut berasa cemas jika kaumnya puak LGBT mengetahui kedatangan pemuda yang kacak itu lalu dia tidak berdaya untuk mengawal mereka daripada menyerang mereka.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 77- {DAN APABILA DATANG UTUSAN-UTUSAN KAMI KEPADA NABI LUT IA MERASA DUKACITA DENGAN KEDATANGAN MEREKA, DAN MERASA TIDAK TERDAYA UNTUK MENGAWAL MEREKA (DARI GANGGUAN KAUMNYA), SAMBIL BERKATA: “INI ADALAH HARI YANG AMAT MENCEMASKAN”.} (HUD 11:77)
- [359] Mulai dari ayat ini, diceritakan kisah Nabi Lut AS dengan kaumnya.
Nabi Lut ialah anak saudara kepada Nabi Ibrahim AS
Kaumnya penduduk bandar “Saddum” (Sodom) di sebelum timur Palestin telah dibinasakan oleh Allah Ta’ala kerana mereka melakukan perbuatan keji (mengadakan hubungan jenis sesama lelaki dengan meninggalkan perempuan); sebagaimana yang tersebut dalam ayat-ayat 80 – 84, surah Al-A’raf yang lalu.
Utusan-utusan Allah yang telah dihantarkan kepada Nabi Lut (menyamar sebagai tetamu pemuda yang cantik) ialah malaikat.
Jarak antara mereka lebih kurang 4 farsah, di mana satu farsah 5.5km, bererti dalam 20km lebih.
- [360] Pada hari itu malaikat datang ke rumah Nabi Lut dengan menyamar diri sebagai orang-orang lelaki yang cantik parasnya.
Kedatangan mereka menjadikan Nabi Lut berkeadaan serba salah dan cemas kalau-kalau kaumnya yang jahat datang mengganggu tetamu-tetamunya itu, sedang ia tidak dapat mengawal keselamatan mereka.
- Pada hari itu malaikat datang menyamar sebagai pemuda yang kacak lagi hensem.
Nabi Lut berasa sangat cemas jika kaumnya yang fasiq, sukakan sesama lelaki (LGBT) mengetahui kedatangan pemuda-pemudai tu.
- Dikatakan isteri Nabi Lut yang menjadi talibarut, membocorkan rahsia akan kedatangan tetamu pemuda di rumah Nabi Lut. Isteri Lut ini tidak beriman kepadanya.
- Sebagaimana firman Allah SWT :
{Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): “Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)”.} (At-Tahrim 66:10)
AYAT 78- {DAN KAUMNYA PUN DATANG MELURU KEPADANYA (DENGAN TUJUAN HENDAK MENGGANGGU TETAMUNYA), SEDANG MEREKA SEBELUM ITU SUDAH BIASA MELAKUKAN KEJAHATAN. NABI LUT BERKATA: “WAHAI KAUMKU! DI SINI ADA ANAK-ANAK PEREMPUANKU MEREKA LEBIH SUCI BAGI KAMU (MAKA BERKAHWINLAH DENGAN MEREKA). OLEH ITU TAKUTLAH KAMU KEPADA ALLAH, DAN JANGANLAH KAMU MEMBERI MALU KEPADAKU MENGENAI TETAMU-TETAMUKU. TIDAKKAH ADA DI ANTARA KAMU SEORANG LELAKI YANG BIJAK BERAKAL (YANG DAPAT MEMBERI NASIHAT)?”} (HUD 11:78)
- Apabila mereka mengetahui tentang tetamu itu, mereka datang meluru kepadanya dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya dengan perbuatan jahat!
Begitulah sifat mereka sebelum itu pun, ada budaya songsang mereka sudah biasa melakukan kejahatan itu.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira.
Nabi Lut berkata: “Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku”.
“Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku”. (Al-Hijr 15: 67-69)
- Walaupun dalam keadaan gawat itu Nabi Lut tetap menyampaikan nasihat dan peringatan kepada kaumnya di mana saja ada peluang seperti Nabi Yusuf yang terus berdakwah walaupun semasa di dalam penjara.
- Nabi Lut menyeru kaumnya agar meninggalkan perbuatan keji suka sama jantan itu dan menasihatkan bahawa di kampung mereka itu ada ramai anak-anak perempuannya, di mana mereka lebih suci bagi kaum lelaki itu, maka berkahwinlah dengan mereka.
- Ulama’ tafsir memberi penjelasan bahawa : Maksud Nabi Lut {Di sini ada anak-anak perempuanku…}, adalah anak perempuan kaum atau kampung mereka yang ramai bukan anak kandungnya sendiri yang pasti tidak ramai!
Perempuan adalah lebih baik & betul perjalanan fitrahnya untuk mereka menjalinkan hubungan perkahwinan berbanding sesama lelaki!!
- Nota [361] Nabi Lut, sebagai seorang Rasul, maka anak-anak perempuan dari umatnya, juga dikira sebagai anaknya sendiri.
- Beberapa ulama’ menjelaskannya :
i- Mujahid dan Qatadah dan banyak lagi berkata, “Mereka bukan puteri-puterinya, akan tetapi mereka adalah dari umatnya, dan setiap nabi adalah sebagai bapa bagi umatnya.”
ii- Ibnu Jarir berkata : “Lut memerintahkan mereka untuk mengahwini perempuan, tidak menawarkan mereka pelacuran.”
iii- Sa’id bin Jabir berkata : “Yang dimaksud bahawa perempuan-perempuan mereka adalah anaknya, dan dia sebagai bapak bagi mereka.”
- Nabi Lut memberi amaran lagi agar mereka: Takutlah kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku dengan buat keburukan kepada tetamu-tetamuku.
- Nabi Nuh menasihati lagi: Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal yang dapat memberi nasihat dan mendengar nasihatku ini agar tidak melakukan buat keji ini.
- Timbul persoalan lagi : Ulama’ berbincang bolehkah beri anak perempuan orang beriman kepada orang kafir lagi jahat itu???
- Jawapannya ada beberapa.
Kata ulama’ :
i- Mungkin Syari’ah Nabi Lut pada awalnya boleh kahwin campur begitu.
ii- Jika nak kahwin pastilah kena masuk Islam dulu atau;
iii- Sekadar nasihat kerana Nabi Lut tahu mereka tidak akan menerima tawaran itu!
Ini kerana manusia apabila tabiat sudah buruk tidak akan suka yang baik lagi!
Seperti ayam yang biasa patuk najis tidak akan terliur kepada beras atau padi lagi.
- Firman Allah SWT : {Mengapa kamu mendatangi jenis laki-laki di antara manusia (berbuat homoseks), dan kamu tinggalkan (perempuan) yang diciptakan Tuhan untuk menjadi isteri-isteri kamu? Kamu (memang) orang-orang yang melampaui batas.] (Asy-Syu’ara: 165-166)
AYAT 79- {MEREKA MENJAWAB: “SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAHPUN MENGETAHUI BAHAWA KAMI TIDAK ADA SEBARANG HAJAT KEPADA ANAK-ANAK PEREMPUANMU, DAN SEBENARNYA ENGKAU SEDIA MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMI KEHENDAKI.”} (HUD 11:79)
- Mereka menjawab dengan bangga & tanpa segan silu: Wahai Lut, kamu bukan tak tahu, kami tidak mempunyai selera, keinginan atau syahwat terhadap kaum wanita, kami hanya suka dan mempunyai keinginan terhadap kaum lelaki!
- Yakni nasihat, ancaman & ugutan Nabi Lut AS itu tidak ada gunanya bagi mereka.
Maka kegelisahan Lut AS semakin bertambah dan cemas!
AYAT 80- {NABI LUT BERKATA: “KALAULAH AKU ADA KEKUATAN UNTUK MENENTANG KAMU, ATAU AKU DAPAT BERTUMPU KE SESUATU TEMPAT BERTAHAN YANG KUAT (DARI PENYOKONG-PENYOKONG, TENTULAH AKU AKAN MEMBINASAKAN KAMU)”.} (HUD 11:80)
- Nabi Lut bergumam dengan sedih jikalah aku ada kekuatan atau mempunyai pengikut yang ramai pasti aku akan melawan dan menyekat kamu semua sehingga binasa!
- Nota [362]- [362] Nabi Lut AS berkata demikian, kerana mengenangkan dirinya tidak mempunyai penyokong-penyokong yang dapat membantunya sama ada dari kaum kerabat yang ramai atau pengikut-pengikutnya yang beriman.
Nabi Lut berasal dari negeri Babylon dan datang ke Palestin bersama-sama dengan bapa saudaranya: Nabi Ibrahim.
Ia kemudian tinggal di bandar “Sodom” lalu diutus oleh Allah Ta’ala untuk memimpin penduduk bandar itu dan daerahnya menurut ugama Allah.
- Sebagaimana yang diceritakan tadi Lut anak saudara Nabi Ibrahim, adalah penduduk luar Qura Sadum yang datang dari Babylon, maka pastilah dia tiada penyokong akar umbi yang dapat dia bersandar!
- Hadis Nabi SAW yang memuji sikap Lut yang tetap teguh walaupun tiada bantuan dari manusia:
“Semoga Allah beri rahmat kepada Nabi Lut kerana dia telah bersandar pada tiang yang kukuh (yakni hanya pada kekuasaan Allah dia berpegang apabila mahu diserang oleh kaumnya apabila malaikat menjadi tetamunya)“. [HR Bukhari & Muslim]
AYAT 81- {(MENDENGARKAN YANG DEMIKIAN TETAMUNYA BERKATA: “WAHAI LUT! SESUNGGUHNYA KAMI (ADALAH MALAIKAT) UTUSAN TUHANMU. KAUM ENGKAU YANG JAHAT ITU TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MELAKUKAN KEPADAMU (SEBARANG BENCANA). OLEH ITU, PERGILAH BERUNDUR DARI SINI BERSAMA-SAMA DENGAN KELUARGAMU PADA TENGAH MALAM, DAN JANGANLAH SEORANGPUN DI ANTARA KAMU MENOLEH KE BELAKANG. KECUALI ISTERIMU, SESUNGGUHNYA IA AKAN DITIMPA AZAB YANG AKAN MENIMPA MEREKA (KERANA IA MEMIHAK KEPADA MEREKA). SESUNGGUHNYA MASA YANG DIJANJIKAN UNTUK MENIMPAKAN AZAB KEPADA MEREKA IALAH WAKTU SUBUH; BUKANKAH WAKTU SUBUH ITU SUDAH DEKAT?”} (HUD 11:81)
- Melihat Lut yang kecemasan dan penuh kesedihan, malaikat tidak membiarkan lama, terus memperkenalkan diri mereka sebagai malaikat utusan Tuhan yang datang untuk membinasakan kaumnya itu!
Pastilah mereka tidak akan dapat menyakiti malaikat yang datang!
- Mendengar penjelasan itu legalah Nabi Lut dan tidak bimbang lagi!
Malaikat pula menyuruhnya bersiap untuk keluar meninggalkan kampungnya itu bersama keluarga & pengikutnya yang beriman dengan segera sebelum tiba azab!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: “Janganlah engkau takut dan janganlah berdukacita, sesungguhnya kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu), kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan.
“Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk bandar ini azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)”.} (Al-‘Ankabut 29: 33-34)
- Malaikat juga menyatakan bahawa isteri Lut itu seorang yang tidak beriman maka tinggalkanlah dia bersama kaumnya yang kufur itu!
Dia akan ditimpa bala sebagaimana kaumnya yang buat perkara keji itu!
- Ini kerana dia jahat bersekongkol, bersimpati dan sokong kaumnya walaupun dia sendiri tidak buat perkara keji (LGBT) itu.
Ini kerana Allah jaga zuriat keturunan para nabi.
- Sesungguhnya waktu yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; sekarang sudah tengah malam, bukankah waktu subuh itu sudah dekat. Lalu Lut dan mereka yang beriman pun segera keluar tanpa berpaling kepada kampung mereka!
- Allah nyatakan bahawa:
{Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit.} (Al-Hijr 15:73)
AYAT 82- {MAKA APABILA DATANG (MASA PERLAKSANAAN) PERINTAH KAMI, KAMI JADIKAN NEGERI KAUM LUT ITU DITERBALIKKAN (TERTIMBUS SEGALA YANG ADA DI MUKA BUMINYA) DAN KAMI MENGHUJANINYA DENGAN BATU-BATU DARI TANAH YANG DIBAKAR, MENIMPANYA BERTALU-TALU.} (HUD 11:82)
- [363] Bekas negeri kaum Lut yang telah dibinasakan oleh Allah Ta’ala itu masih ada hingga hari ini menjadi sebuah laut di Palestin, yang terkenal dengan nama “Laut Mati”.
- Apabila tiba masanya untuk melaksanakan azab itu, Allah perintahkan malaikat itu untuk membawa dua jenis azab secara serentak:
i- Jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan lalu tertimbus segala yang ada di muka buminya.
ii- Dan menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpa ke atas mereka bertalu-talu.
AYAT 83- {BATU-BATU ITU DITANDAKAN DI SISI TUHANMU (UNTUK MEMBINASAKAN MEREKA), DAN IA PULA TIDAKLAH JAUH DARI ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU.} (HUD 11:83)
- Batu-batu dari tanah yang dibakar, yang ditimpa ke atas mereka bertalu-talu itu pula ditandakan di sisi Tuhanmu untuk membinasakan mereka.
- Ulama’ menafsirkan ayat ini dengan mengatakan : Batu-batu yang dilemparkan itu telah ditanda untuk azab mereka.
Ada juga yang kata yakni telah ditulis nama setiap orang dari mereka, khas setiap orang setiap batunya!
- Yakni selagi orang tidak mati setelah dijatuhkan ke dalam bumi, Allah SWT menghujaninya dengan batu-batu dari sijjiil iaitu tanah yang membatu yang kuat dan keras.
- Di akhir ayat Allah juga berfirman: {… dan ia pula jatuh tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu}.
- Nota [364] Yakni negeri yang telah dibinasakan itu tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim (kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW, bahkan mereka dapat menyaksikannya semasa berulang-alik melalui daerah itu, untuk mengambil iktibar dan kembali ke jalan yang benar.
- Ayat ini menunjukkan bahawa batu-batu yang dilontarkan itu akan kena juga kepada sesiapa yang zalim, yang buat kerja keji sama seperti puak Sadum ini; bala akan datang juga kepada mereka! Tidak kira dengan apa jua cara sekalipun!
Kita boleh lihat gejala LGBT ini semakin berleluasa dalam dunia hari ini, di mana saja bahkan ada negara yang mengiktirafnya!
Na’uzu billahi min zalik!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 77- {Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: “Ini adalah hari yang amat mencemaskan”.}-
Apabila datang utusan Allah dalam rupa yang rupawan Nabi Lut berasa cemas dan susah hati.
Ini kerana penduduk kampung itu yakni kaumnya adalah mereka yang bernafsu songsang sukakan sesama lelaki (homoseks), mengamalkan budaya LGBT!
Jadi nabi Lut berasa gusar jika mereka datang menyerang tetamunya sedangkan dia tidak berdaya untuk membela dan menghalang kejahatan kaumnya!
Nabi Lut hanya meluahkan perasaan bimbangnya jikalah dia ada kekuatan & kuasa; tetapi sebagai seorang nabi, jiwanya tetap kental bertawakal kepada Allah dan yakin akan kuasa & pertolongan Allah!
Begitulah Allah hantar ujian kepada setiap nabi-nabi itu adalah berat.
Nabi Lut AS menerima ujian dan cabaran dari kaumnya & isterinya yang jahat.
Kita kena beringat keluarga terdekat juga boleh menjadi ujian, duduk dalam rumah yang sama tetapi jika tidak sama fikrah boleh menjadi bala.
Kerana itu sebagai nasihat; keluarga terdekat seperti suami atau isteri kena mengaji belajar ilmu di tempat yang sama!
Jangan pula suami belajar Sunnah manakala isteri belajar di tempat pelik, nak berzikir kena cari pokok atau seumpamanya, rosak jika begitu!
Nabi Lut menasihati kaumnya supaya takutlah kepada Allah & menjaga air mukanya, iaitu agar jangan menyakiti tetamunya lalu memalukannya!
- Ayat 78- { Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka).}-
Nabi Lut memberi tawaran kepada kaum lelaki kaumnya untuk memilih anak-anak perempuan kaumnya yang mana lebih suci kepada puak Sodomi itu.
Sebagaimana telah kita bahaskan dalam tafsir- maksud {Disini anak-anak perempuanku, هَـٰٓؤُلَآءِ بَنَاتِى}- bukannya anak perempuan kandung Nabi Lut sendiri kerana anak perempuannya jika adapun hanya berapa orang sahaja sedangkan puak LGBT itu ramai.
Tetapi kata ulama’ tafsir : Yang dimaksudkan {anak-anak perempuanku,} ialah perempuan atau wanita dalam kampung mereka itu semuanya!
Yang mana mereka ini (kaum perempuan) tidak menjadi pilihan puak yang rosak fitrah itu, mereka lebih memilih untuk bersama kaum lelaki!
Ini adalah hasutan syaitan yang amat jahat, jika wujud perasaan pelik-pelik sedemikian, cepat-cepatlah istighfar dan lari daripada keadaan yang boleh menjerumuskan ke arah mainan syaitan yang akan dilaknat Allah!
Manakala lafaz (anak-anak perempuan itu lebih suci & lebih baik- هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ ۖ) lebih baik digunakan sebagai sifat anak-anak perempuan itu, bukan sebagai satu perbandingan.
Yakni bukan bererti LGBT itu baik, kemudian anak perempuan lebih baik!
Tidak sesekali satu perbandingan antara dua kebaikan!
Yakni berkahwin dengan perempuan itu lebih baik (bukan LGBT itu baik) tetapi mereka tidak mahu & menolaknya.
Ini sebagaimana dengan firman Allah SWT ni:
{Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?} (As-Saffat 37:62)
Tidak boleh dibandingkan lansung antara ahli syurga yang mendapat segala nikmat dengan ahli neraka yang memakan pokok Zaqqum sebagai azabnya!
Ayat ini bermaksud ahli syurga adalah yang terbaik dan lebih baik- bukan perbandingan yang bererti ahli neraka itu baik dan ahli syurga lebih baik daripada mereka!
Sighah tafdhil (bandingan, تفضيل) bagi perkataan {lebih baik} yang digunakan dalam bahasa Arab & al-Quran, membawa maksud sifat bukan bandingan antara dua perkara!
Contoh,
i- Berkahwin dengan perempuan itu lebih baik bukan bermakna LBGT itu baik!
ii- Duduk dalam syurga itu lebih baik bukan bermakna makan Zaqqum dalam neraka itu baik!
Sebagaimana kisah semasa perang Uhud- Abu Sufyan melaung dari atas bukit bahawa Tuhan berhala mereka adalah yang terbaik!
Nabi SAW menjawabnya dan mengatakan: TIDAK! Allah yang paling tinggi & yang paling baik!
Yakni bukan bermakna berhala itu baik!
Tidak ada bandingan antara Allah & berhala.
Ayat ini adalah ayat berlawan bukan bandingan atau ukuran.
- Ayat 80- {Nabi Lut berkata: “Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)”.} –
Nabi Lut berkata, sekiranya ia ada kuasa & kekuatan ia akan melawan perkara itu serta Nabi Lut menasihati kepada kaumnya
Ayat ini mengajar kepada kita erti semangat & kekuatan, jiwa kita jangan lemah!
Kerja dakwah kena ada usaha & berterusan!
Walaupun kita tidak ada kuasa atau kekuatan untuk sekat atau larang sesuatu perbuatan buruk; tetap kena luahkan perasaan tidak senang atau benci akan perbuatan itu!
Nyatakan bahawa perbuatan itu adalah sesuatu yang buruk & yang tidak baik!
Tidak boleh dengan tangan (kuasa) dengan mulut (perkataan) tidak mampu juga bantah dengan hati!
Apabila perkara mungkar jangan diam, wajib kena lawan & benci dengan mana-mana cara!
Seperti jika kita lihat wanita muslim yang berpakaian tidak menepati Syari’ah boleh kita tegur dengan baik, atau jika malu hulurkan saja pamphlet atau apa-apa yang sesuai untuk dia sedar apa yang dia buat itu tidak baik.
Lihat perkara mungkar jangan sesekali diam; wajib mengingkarinya paling tidak mampu dengan hati yang tidak redha akannya.
- Ayat 81- {Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang.}-
Allah perintahkan Nabi Lut & semua keluarga & pengikutnya yang beriman agar
i- Keluar meninggalkan kampung mereka dengan segera.
ii- Dan jangan sesekali berpaling ke belakang!
Hikmah larangan daripada berpaling ini ialah:
i- Untuk tidak menjadi lengah dan melambatkan perjalanan.
ii- Untuk menguatkan semangat nak tinggalkan kampung mereka agar tidak goyah perasaan dan berasa sedih.
Siapa yang berpaling akan kena azab juga seperti isteri Nabi Lut: {Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka).} Itulah taqdirnya.
Azab itu pula datang pada waktu subuh: {Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?”}.
- Ayat 82- {Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.}
Azab ke atas kaum Lut ini pelik & luar biasa iaitu:
i- Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya: Iaitu diterbalikkan bumi dan ditimbus mereka di dalamnya! Satu azab & hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka yang terbalik & songsang, lawan tabi’i & fitrah manusia!
ii- Menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar: Ini kerana hukuman asal penzina & LGBT mengikut pendapat beberapa orang ulama’ seperti (Imam Syanqiti) ialah rejam dengan batu, maka amat sesuai hukuman ini ke atas mereka juga!
Sayyidina Ali juga berkata : Sesungguhnya hukum ke atas puak Lut ialah direjam dengan batu!
Ada khilaf ulama’ tentang : Tukum liwat tetapi kita nak ambil tafsiran untuk ayat ini.
Iaitu kaum Lut ini Allah rejam mereka dengan batu kemudian dibalik bumi yang menimbus mereka!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu a’lam.
