View Categories

(22) Surah Hud: Ayat 87-90

13 min read

BANTAHAN KAUM MADYAN, NABI SYU’AIB AS MEMBERI AMARAN & AJAK MEREKA BERISTIGHFAR.

Full video : https://youtu.be/hR85x_4ndAE?si=9EqwyJnzF2NK2EWo

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 87 sehingga ayat 90 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan sambungan kisah Nabi Syu’aib yang telah berdakwah kepada kaumnya agar tauhid kepada Allah. 
    Ini adalah bantahan kaum Madyan yang mengatakan Nabi Syu’aib mengacau amalan mereka. 
  1. Nabi Syu’aib AS tidak berdiam diri, jawab balik dengan memberi amaran dan mengatakan bahawa dia hanya mahu kebaikan untuk mereka.
  1. Dia juga mengajak mereka beristighfar, bertaubat kepada Allah dan tinggalkan perbuatan buruk mengurangkan sukatan & timbangan.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang Nabi Syu’aib mengajak kaumnya beriman & tinggalkan perbuatan buruk mengurangkan sukatan & timbangan dalam muamalat mereka.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan bantahan kaum Madyan terhadap Nabi Syu’aib dan dakwahnya dan memerli (menganying) lagi kepadanya! Mereka mengatakan Nabi Syu’aib mengacau program dan cara hidup mereka yang telah sebati sejak zaman tok nenek lagi!
    Nabi Syu’aib tetap sabar, terus menasihati & berdakwah kepada kaumnya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 87- {MEREKA BERKATA: “WAHAI SYUAIB! ADAKAH SEMBAHYANGMU (YANG BANYAK ITU) MENYURUHMU PERINTAHKAN KAMI SUPAYA MENINGGALKAN APA YANG DISEMBAH OLEH DATUK NENEK KAMI, ATAU SUPAYA KAMI LAKUKANNYA APA YANG KAMI SUKA MELAKUKANNYA DALAM MENGURUSKAN HARTA KAMI? SESUNGGUHNYA ENGKAU (WAHAI SYUAIB) ADALAH ORANG YANG PENYABAR, LAGI BIJAK BERAKAL (MAKA BAGAIMANA PULA ENGKAU MENYURUH KAMI MELAKUKAN PERKARA YANG BERTENTANGAN DENGAN KEBIASAAN KAMI)?”} (HUD 11:87)

  1. Apabila Nabi Syu’aib berdakwah memberi teguran dan nasihat kepada kaumnya agar meninggalkan perbuatan buruk mereka; Kaum Madyan menyeru Nabi Syu’aib dengan kasar dan bertanya apakah ajaran agamanya, solatnya yang menyuruh dia memerintahkah mereka untuk meninggalkan ajaran tok nenek mereka dan mengajar mereka cara untuk menguruskan harta mereka sendiri ??? 
  1. Jika begitu, yakni apa yang Nabi Syu’aib buat itu benar seperti yang mereka tohmahkan, maka mereka kata Nabi Syu’aib seorang yang sabar, lagi bijak sekali kerana menyuruh mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan kebiasaan & ajaran tok nenek mereka!
  1. Jelas ayat ini adalah ayat bantahan dan perlian kaum Madyan terhadap Nabi Syu’aib; bukan pujian atau pengiktirafan akan kesabaran atau kebijakan Nabi Syu’aib yang sebenarnya.
    Tetapi menganying kerana Nabi Syu’aib suruh mereka tinggalkan apa yang mereka buat selama ini!
  1. Kerana itu kita jangan mudah terperangkap dengan pujian atau kata-kata manis. 
    Sekarang ini orang suka mainkan isu, dalam bidang apa saja sehingga menjadi satu fitnah yang dipercayai.
  1. Benarlah kata ahli motivasi : 
    Fitnah itu dimulai oleh orang jahat, disebarkan oleh orang yang bodoh & dipercayai oleh orang yang tak berakal! 
    Apabila terima terus disebar dishare, buat status sehingga viral!

AYAT 88- {NABI SYUAIB BERKATA: “WAHAI KAUMKU! BAGAIMANA FIKIRAN KAMU, JIKA AKU BERDASARKAN BUKTI YANG NYATA DARI TUHANKU, DAN IA PULA MENGURNIAKAN DAKU PANGKAT NABI SEBAGAI PEMBERIAN DARIPADANYA, (PATUTKAH AKU BERDIAM DIRI DARI MELARANG KAMU) SEDANG AKU TIDAK BERTUJUAN HENDAK MELAKUKAN SESUATU YANG AKU MELARANG KAMU DARIPADA MELAKUKANNYA? AKU HANYA BERTUJUAN HENDAK MEMPERBAIKI SEDAYA UPAYAKU; DAN TIADALAH AKU AKAN BEROLEH TAUFIK UNTUK MENJAYAKANNYA MELAINKAN DENGAN PERTOLONGAN ALLAH. KEPADA ALLAH JUALAH AKU BERSERAH DIRI DAN KEPADANYALAH AKU KEMBALI.} (HUD 11:88)

  1. Sebagai seorang nabi, Nabi Syu’aib tidak mengalah, tetap teguh berdakwah menyampaikan kebenaran semoga ada telinga yang mendengar, ada hati yang terbuka untuk mendapat hidayah. 
  1. Begitulah seorang pendakwah kena sentiasa usaha, tidak boleh mudah kecewa, putus-asa dan lemah semangat!
    Kemudian jika orang terima alhamdulillah, jika orang tak terima kita serahkanya kepada Allah!
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas kaum Madyan mengatakan Nabi Syu’aib membawa ajaran salah & palsu, nak memporak-perandakan masyarakat, nak meruntuhkan ajaran tok nenek yang telah berkurun menjadi amalan serta merka mengatakan Nabi Syu’aib seorang yang bodoh!

    ii- Maka datang ayat ini Nabi Syu’aib menjawab tuduhan mereka itu dan menjelaskan tujuan dakwahnya iaitu menyelamatkan mereka!
  1. Nabi Syu’aib menyeru kaumnya dengan lembut; wahai kaumku- dan terus menasihati mereka:
    i- Cuba kamu fikirkan baik-baik apa yang aku sampaikan ini adalah dari Allah bukan aku reka-rekanya sendiri. 
    Bukan nak sekat rezeki pencarian kamu- cuma mahu mendorong kamu untuk makan rezeki yang halal dan tinggalkan perbuatan yang haram. 

    ii- Nabi Syu’aib perkenalkan dirinya yang dilantik oleh Allah, yang mengurniakan pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya.

    iii- Maka tidak patut sekali aku berdiam diri dari melarang kamu dari perbuatan yang haram.

    iv- Sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya, iaitu aku tidak akan buat apa yang aku larang, yakni Nabi Syu’aib tidak akan sesekali menyalahi apa yang dialarang & suruh!
    Iaitu tak mungkin aku akan cakap tidak serupa bikin.
  1. Hadis, Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid Bin Harithah RA katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:
    Akan didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat kemudian dicampakkan ke dalam neraka. Lalu terkeluarlah isi perutnya dan berpusing lelaki itu dalam neraka seolah-olah keldai memusing kisaran“.
    Lalu ahli neraka berkumpul kepadanya dan bertanya, “Wahai fulan, mengapakah engkau ini? Tidakkah engkau dahulu menyuruh kepada kebajikan dan melarang daripada kemungkaran?” 
    Jawabnya, “ Ya, aku menyeru kepada kebajikan tetapi aku tidak mengerjakannya dan melarang daripada kemungkaran tetapi aku mengerjakannya
    ”. [HR Bukhari & Muslim].

    Dahsyat sekali hukuman untuk orang yang cakap tak serupa bikin, ajar & nasihat orang tetapi dia sendiri tak buat atau tak ikutnya!
  1. Nabi Syu’aib juga menegaskan bahawa dakwahnya bukan untuk memecah-belahkan masyarakat atau berniat menghina melukakan hati sesiapa.
  1. Tujuannya hanya hendak memperbaiki kerosakan yang kaumnya buat iaitu syirik kepada Allah & agar mereka meninggalkan keburukan dan perbuatan haram makan harta orang secara batil. 
    Itulah usaha yang cuba dilakukan sedaya-upayanya!

    Sama seperti suasana kita hari ini, apabila kita nak ajar masyarakat dengan amalan yang warid daripada Nabi SAW, seperti zikir selepas solat contohnya; terus dikatakan cuba nak mengacau keharmonian masyarakat menganggu amalan asal dan seumpamanya.
  1. Kemudian Nabi Syu’aib mengatakan: {..dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.}- yakni tidak akan dapat dia membimbing dan mendorong seseorang untuk buat kebaikan & ikut jalan Syari’ah yang diredhai Allah kecuali dengan taufiq hidayah dari Allah.
  1. Sebagaimana yang sering kita nyatakan, Hidayah itu ada dua:
    i- Hidayatul irsyad (هدايةُ الإرشاد) iaitu tugas menyampaikan, memberi bimbingan ke arah jalan yang benar itu adalah tugas para nabi dan pendakwah semuanya. 

    ii- Hidayah taufik (هدايةُ التوفيقِ) yang membuka dada, melapang hati orang untuk menerima itu hanya dari Allah dan di bawah kuasa-Nya.
  1. Kerana itulah Nabi Syu’aib berkata begini dalam mahu memperbtulkan orang ini; dia takut terbabas dari sudut niat atau seumpamanya, bahawa semua itu dari Allah; jika orang terima alhamdulillah, jika orang tak terima kita serahkanya kepada Allah!
  1. Nabi Syu’aib akhiri ayat ini dengan menegaskan bahawa; kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. Bertaubat, melakukan ketaatan, istighfar minta ampun & berdoa kepada Allah sentiasa begitulah seharusnya sikap para pendakwah semua.
  1. Kita tetap bergantung, bertawakkal & berserah diri kepada Allah kerana siapa akan menolong kita jika bukan Allah! 
    Kita bukan ada pengikut atau follower yang ramai berjuta untuk menyokong, maka tetaplah kita bertawakkal kepada Allah, insya’ Allah akan sampai masanya Allah akan buka kepada siapa yang Dia mahu! 

AYAT 89- {DAN WAHAI KAUMKU! JANGANLAH PERMUSUHAN KAMU TERHADAPKU MENYEBABKAN KAMU DITIMPA BALA BENCANA SEBAGAIMANA YANG TELAH MENIMPA KAUM NABI NUH, ATAU KAUM NABI HUD, ATAU KAUM NABI SOLEH. DAN KAUM NABI LUT PUN TIDAKLAH JAUH DARI KAMU (KAMU SEDIA MENGETAHUI APA YANG TELAH MENIMPA MEREKA).} (HUD 11:89)

  1. Munasabah ayat:
    i- Nabi Syu’aib telah menyatakan kepada kaumnya bagaimana dakwah & tugasannya.
    Serta menjawab tuduhan-tuduhan kaumnya terhadapnya itu, semuanya tidak betul belaka.

    ii- Maka dalam ayat ini Nabi Syu’aib masuk pada langkah ketiga iaitu memberi amaran peringatan agar kaumnya sentap, tidak terus dalam penentangan & perlawanan itu.
  1. Nabi Syu’aib mengingatkan kaumnya agar janganlah kerana ajaran dakwahnya berbeza dengan amalan mereka, jangan kerana sikap permusuhan & kebencian terhadapnya mendorong mereka untuk semakin banyak melakukan dosa, kekufuran dan pelbagai kerosakan yang biasa mereka lakukan sebelum itu.
  1. Yang mana akan membuatkan mereka mendapat kemurkaan Allah lalu menyebabkan mereka ditimpa bala bencana sebagaimana yang telah menimpa kaum terdahulu.
  1. Nabi Syu’aib menyuruh kaumnya mengambil pengajaran daripada kaum terdahulu yang telah dibinasakan Allah iaitu sebagaimana yang telah menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud, atau kaum Nabi Soleh dan kaum Nabi Lut.
  1. Mereka itu tidaklah jauh dari kamu & kamu sedia mengetahui apa yang telah menimpa mereka!

AYAT 90- {DAN MINTALAH AMPUN KEPADA TUHAN KAMU, KEMUDIAN KEMBALILAH TAAT KEPADANYA. SESUNGGUHNYA TUHANKU MAHA MENGASIHANI, LAGI MAHA PENGASIH”.} (HUD 11:90)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Nabi Syu’aib memberi amaran kepada kaumnya, ancaman akan azab Allah yang akan menimpa jika mereka terus kufur & menentang!

    ii- Maka sebagaimana biasa uslub al-Quran yang pasti ada negatif & positif seiring- dalam ayat ini dibawa pula galakan atau beri peluang. 
  1. Yakni jika kamu tersalah langkah, tersasar, buat sesuatu yang tidak betul, tidak mengapa, kita masih ada lagi peluang iaitu meminta ampun kepada Tuhan kamu, supaya Allah hapuskan dosa kita & hilangkan segala kemurkaan-Nya terhadap kita!
  1. Dalam ayat ini Nabi Syu’aib menggalakkan kaumnya untuk bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha iaitu:
    i- Menyesali perbuatan yang lepas, 

    ii- Berazam tidak akan buat lagi pada masa akan datang,

    iii- Segala kejahatan kepada orang minta maaf & diperbetulkan.
  1. Begitulah uslub para nabi & pendakwah:
    i- Jika kita tengok orang tu keras kepala tak dengar kata, diberi amaran untuk menyedarkannya.

    ii- Tetapi jika nampak ada peluang, hati boleh terbuka, ada sinar di hujung terowong, kita masukkan rayuan dan galakan utk bertaubat.
  1. Nyatakan bahawa sesungguhnya Allah SWT itu sifatnya:
    i- Allah Maha Mengasihani {رَحِيمٌۭ}- kasihan belas lagi rahmat terhadap orang yang bertaubat serta;

    ii- Lagi Maha Pengasih {وَدُودٌۭ}- sayang kepada orang yang bertaubat!
  1. Kita manusia biasanya boleh memaafkan tetapi tidak boleh melupakan dan memadamkan ingatan akan kesalahan itu, maaf tetapi tetap benci & tak suka, maaf tetapi tak akan sayang lagi! 
    Tetapi Allah SWT yang Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih, tidak begitu sifat-Nya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 87- {Mereka berkata: “Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau….. sehingga akhir ayat.}-

    Sebagaimana yang kita nyatakan di atas tadi, ayat ini adalah ayat perli, ayat nganying atau sarcastic!
    Mendengar Nabi Syu’aib berdakwah mereka bertanya: Apakah solatmu & agamamu yang mengajarmu untuk menyuruh kami meninggalkan agama tok nenek kami, meninggalkan perbuatan amalan turun-temurun kami, mengajar kami cara untuk menguruskan harta kami??!! 

    Kemudian mereka perli pula Nabi Syu’aib: kamu ni orang bijak, orang cedik, tetapi kami tak dapat nak ikut kamu! 
    Yakni puji untuk hentam bukan puji dengan kebaikan pun, yakni perli; kerana kamu ini terlalu bijak, kami tak dapat nak ikut ajaran kamu!

    Cara puak dia guna panggilan pun kasar & tidak hormat: Wahai Syuaib! Menunjukkan tidak minat dan tidak suka, sebutan yang keras & tidak mesra!
    Ini menunjukkan orang yang tidak baik hilang adab & hilang akhlak, tidak hormat kepada orang yang ada kedudukan.
  1. Ayat 88- {Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku…}-

    Nabi Syu’aib berdialog lagi dengan kaumnya.
    Wahai kaumku! Apa pandangan kamu jika aku ini adalah orang yang memang benar, mempunyai bukti yang nyata lagi jelas dari Tuhanku!
    Allah beri rezeki jawatan yang besar kepadaku dengan melantik aku sebagai nabi & rasul. 
    Aku buat semua ini bukan kerana nak lawan kamu & aku tidak buat apa yang aku larang kamu daripadanya!

    Jawapan Nabi Syu’aib ini menunjukkan bahawa seorang yang berakal, sebagai seorang da’ei- apabila mahu amar ma’ruf & nahi mungkar, 
    3 tonggak asas ini kena ada:
    i- Ajak orang untuk menunaikan hak Allah (حق الله) iaitu tauhid kepada Allah.

    ii- Jaga hak diri kita (حق النفس) iaitu kehormatan diri kita, mesti ada prinsip & pendirian, mesti istiqomah dan perbuatan mesti sebanding dengan perkataan, jangan cakap tak serupa bikin!

    iii- Hak sesama manusia (حق العباد)- jangan dok menzalimi, khianat hina perli orang.
    Jangan buat fake akaun untuk buat fitnah tuduhan terhadap orang!
    Itu bukan dakwah yang diajar oleh Nabi SAW tetapi dakwah yang diajar syaitan! 

    Jika tiada 3 perkara ini; tiada guna & nilai dakwah kita, muhasabahlah diri kita jangan mudah-mudah & bermain-main, ingatlah hadis Nabi SAW tentang orang yang tarik tali perutnya di dalam neraka tadi!
  1. Ayat 88- {… (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya?}-

    Nabi Syu’aib menegaskan bahawa dia sesekali tidak akan buat apa yang dia larang kaumnya.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menjadi isyarat kepada para pendakwah, para imam, para ustaz dan semuanya; apabila kita mahu orang dengar apa yang kita cakap; kiat kena buat dulu baru orang ikut!

    Kena, Walk the talk!
    Jika tidak orang akan kita hanya pandai bercakap sahaja, tetapi dari sudut amali tidak nampak!
    Para pendakwah kena ada kemuliaan jiwa, kena tunjukkan apa yang Sunnah dalam perbuatan kita jangan sama seperti orang biasa yang lain, supaya kita tidak jadi bahan mainan orang! 
  1. Ayat 88- {Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.} –

    Nabi Syu’aib kata, kerja dia hanya nak membaik pulih kaumnya sebaik mungkin setakat mana yang dia mampu! 
    Dia juga tegaskan bahawa semua yang dia buat itu, tidak akan berjaya kecuali dengan pertolongan & taufiq dari Allah SWT!
    Kerja kita memang nak berdakwah, nak menolong orang agar mendapat mendapat petunjuk tidak akan jadi tanpa hidayah & pertolongan Allah!

    Ini pentingnya untuk ingat agar kita tidak terbabas, tidak lari channel dan berasa hanya aku, aku saja yang buat semua itu!
    Jangan hanya bising cakap saja full house; tetapi orang tengok watak tidak ada apa yang istimewa!
  1. Ayat 90- {Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih”.}-

    Ayat ini dalil bahawa tanda kita taubat & menyesal perbuatan yang lalu ialah istighfar kepada Allah! 
    Siapa yang banyak istighfar maka dia akan mendapat banyak manfaat dari Allah SWT!
    Banyak kita lihat nabi-nabi terdahulu menyuruh umatnya untuk beristighfar! 
    Jangan tunjuk sombong, berkata untuk apa aku istighfar sedangkan aku tidak buat dosa!

    Kata ulama’ : Istighfar & taubat kena seiring:
    i- Istighfar dengan mulut & lidah 

    ii- Manakala taubat secara amali.
    Taubat pula:
    i- Pertamanya bermula dengan hati, 

    ii- Menyesal perbuatan yang lalu, 

    iii- Kemudian berazam tidak akan buat lagi pada masa depan.

    iv-Serta jika berkait dengan hak orang selesai & kembalikannya!

    Nabi Syu’aib menyebut dua sifat Allah SWT secar berkembar:
    i- Maha Mengasihani {رَحِيمٌۭ }- akan menerima taubat & mengampunkan hamba-Nya yang kembali kepada-Nya.

    ii- Lagi Maha Pengasih {وَدُودٌۭ}- Allah juga bukan setakat menerima taubat tetapi memaafkan, mengampunkan serta bagi rahmat & sayang kepada orang yang bertaubat!
    Maka jika kita insaf & benar-benar bertaubat akan dapat tiga kebaikan iaitu apabila kita bertaubat Allah akan beri: Pengampunan {غفور}, rahmat & kasih sayang Allah! {رَحِيمٌۭ وَدُودٌۭ}

    Barulah sempurna kemaafan dan keampunan dari Allah! 
    Bukan kata maaf yang tak solid, kerana luka masih berdarah!

    Ya Allah kami mohon supaya Engkau curahkan kepada kami segala rahmat-Mu, terimalah taubat kami & curahkan kasih sayang kepada kami & kedua ibu bapa kami. 
    Jadikan kami semua hidup sebagai orang beriman, jauh daripada sebarang persengketaan, hidup dalam aman & matikan kami dalam husnul-khatimah!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top