KAUM MADYAN ANCAM NABI SYU’AIB AS, SYU’AIB JUGA MEMBERI AMARAN & MEREKA DIBINASAKAN.
Full video : https://youtu.be/VmD6VSSAE7M?si=qOkV7xLSIspQYFk3
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 91 sehingga ayat 95 dalam juzuk kedua-belas.
- Ini adalah sambungan kisah Nabi Syu’aib. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan Kaum Madyan ancam Nabi Syu’aib AS apabila beliau melarang mereka daripada perbuatan syirik & amalan buruk.
- Syu’aib sebagai seorang nabi tidak berdiam diri, beliau juga menjawab serta memberi amaran kepada mereka jika tidak beriman azab Allah akan menimpa.
- Tetapi apa boleh buat mereka tetap memilih jalan yang salah di mana akhirnya mereka dibinasakan oleh Allah Azza wa Jalla.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang bahawa Nabi Syu’aib minta mereka beristighfar & taubat, tinggalkan syirik dan amalan buruk mengurangkan sekatan & timbangan.
Melihat Nabi Syu’aib masih istiqomah dengan dakwahnya mereka lalu melawan.
ii- Maka datang ayat ini mereka makin kuat menentang dan mengancam!
Mereka mengatakan mereka tidak faham apa yang dibawa dan diajar oleh Nabi Syu’aib.
Mereka juga mula menggertak dan memberi amaran keras dengan mengatakan Syu’aib adalah seorang yang lemah, tiada pengikut tiada kekuatan; siapakah yang akan membelanya jika mereka ambil tindakan ke atasnya.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 91- {MEREKA BERKATA: “WAHAI SYUAIB,! KAMI TIDAK MENGERTI KEBANYAKAN DARI APA YANG ENGKAU KATAKAN ITU, DAN SESUNGGUHNYA KAMI MELIHAT ENGKAU ORANG YANG LEMAH DALAM KALANGAN KAMI; DAN KALAU TIDAKLAH KERANA KAUM KELUARGAMU, TENTULAH KAMI TELAH MELEMPARMU (DENGAN BATU HINGGA MATI). DAN ENGKAU PULA BUKANLAH ORANG YANG DIPANDANG MULIA DALAM KALANGAN KAMI!”} (HUD 11:91)
- Apabila melihat Nabi Syu’aib tetap istiqomah teguh atas dakwahnya; para ketua kaum yang kufur dan syirik mula bangun mengancam mengugut Nabi Syu’aib.
Mereka mengatakan jikalah bukan kerana mereka malu atau hormatkan keluarga Nabi Syu’aib dari kalangan kaum mereka juga itu, pasti mereka akan menghukumnya rejam sehingga mati!
- Mereka juga mengata dan menghinanya dengan mengatakan dia adalah seorang yang lemah & tiada nilai, bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan mereka!
- Inilah juga satu kelebihan bagi para pendakwah tempatan kerana mereka ada keluarga yang berpengaruh atau disegani.
Sebagaimana Allah beri Abu Talib bapa saudaranya kepada Rasulullah SAW.
Walaupun dia sendiri tidak beriman tetapi dia tetap membela dan menyokong Rasulullah SAW.
Para Quraisy tidak berani & tidak tergamak untuk ambik tindakan keras terhadap Rasulullah SAW sehinggalah selepas kematian beliau!
- Tetapi ketika itu tidak mengapa, lagipun dakwah Islam sudah mula bertapak, pengikut Rasulullah SAW juga sudah agak ramai & terdiri daripada mereka yang kuat dan berpengaruh juga di kalangan Quraisy.
- Sebagai seorang pendakwah jika orang serang atau khianat pribadi, kita mungkin masih boleh berdiam!
Tetapi jika soal agama, soal prinsip yang dipermaikan; kita tidak boleh diam, kena bangun menjawab dan memberi penjelasan & lawannya!
AYAT 92- {NABI SYUAIB BERKATA: “WAHAI KAUMKU! (MENGAPA KAMU BERSIKAP DEMIKIAN)? PATUTKAH KAUM KELUARGAKU KAMU PANDANG LEBIH MULIA DARI PADA ALLAH SERTA KAMU PULA JADIKAN PERINTAHNYA SEBAGAI SESUATU YANG DIBUANG DAN DILUPAKAN DI BELAKANG KAMU? SESUNGGUHNYA TUHANKU AMAT MELIPUTI PENGETAHUANNYA AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (HUD 11:92)
- Munasabah ayat:
i- Apabila puak Madyan menekan Nabi Syu’aib dengan ancaman nak rejamnya dalam ayat yang lepas;
ii- Nabi Syu’aib bangkit menjawab dan mengatakan bukan dia atau keluarganya yang mulia tetapi Allah yang paling mulia!
- Inilah tugas para pendakwah tidak boleh diam dalam menyatakan prinsip, kebenaran dan menyampaikan ilmu setiap masa.
Sebagaimana Nabi Syu’aib ini yang bangkit melawan balas ancaman kaumnya!
- Nabi Syu’aib bertanya kepada kaumnya apakah patut bagi mereka, dalam hati mereka bahawa:
i- Kaum keluarganya lebih mereka pandang lebih muda daripada Allah; yakni mereka tak jadi nak rejam nak pukulnya kerana keluarganya!
ii- Serta mereka pula jadikan Allah & perintahNya sebagai sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang mereka.
Mereka tidak peduli sesekalipun akan perintah Allah.
- Jangan sesekali kamu besar kepala, kerana sesungguhnya Allah Amat Meliputi pengetahuanNya.
Allah mengetahui semua perbuatan & percakapan kamu serta akan membalasnya kelak dengan apa yang buat!
AYAT 93- {“DAN WAHAI KAUMKU, BUATLAH SEDAYA UPAYA KAMU (UNTUK MENENTANG AGAMA ALLAH YANG AKU SAMPAIKAN ITU), SESUNGGUHNYA AKU JUGA TETAP BERUSAHA DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH (UNTUK MENGEMBANGKANNYA). KAMU AKAN KETAHUI SIAPAKAH YANG AKAN DIDATANGI AZAB YANG MENGHINAKANNYA, DAN SIAPA PULA YANG BERDUSTA. DAN TUNGGULAH, SESUNGGUHNYA AKU JUGA TURUT MENUNGGU BERSAMA-SAMA KAMU”.} (HUD 11:93)
- Munasabah ayat:
i- Apabila Nabi Syu’aib rasa sudah tidak ada harapan puak kafir itu untuk mendengar katanya & beriman, apabila dia sudah habis berusaha sedaya-upayanya untuk berdakwah, berhujjah & mereka tetap menolaknya;
ii- Maka datang ayat ini Nabi Syu’aib mula memberi amaran dan berlepas diri daripada mereka!
- Yakni apabila sudah habis jalan memujuk dan merayu, jalan dakwah secara lembut & penuh hikmah, sudah habis hujjah dikemukan, sedaya usaha sudah dicurahkan maka cukuplah!
Masing-masing buatkan apa yang mereka nak buat kemudian kita serahkan kepada Allah untuk menilai & memutuskannnya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.} (Al-An’am 6:135)
- Begitu juga keadaan Rasulullah SAW apabila telah habis dakwah & hujjah meyeru kaum Quraisy akhirnya Allah turunkan ayat ini:
{Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!
“Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
“Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
“Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
“Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.} (Al-Kafirun 109: 1-6)
- Para pendakwah muhasabahlah diri, kita lihat isu mana yang lebih utama untuk ditangani, penyakit & masalah apa yang besar dalam masyarakat untuk dicari punca & penawarnya!
Kita lihat masyarakat hari ini ini makin parah & teruk!
- Nabi Syu’aib berlepas diri dari kaumnya, kita tunggu & lihatlah kelak kita akan ketahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta.
- Jika kamu tak percaya kamu tunggulah azab Allah datang, sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu!
AYAT 94- {DAN KETIKA DATANG (MASA PERLAKSANAAN) PERINTAH KAMI, KAMI SELAMATKAN NABI SYUAIB BESERTA DENGAN UMATNYA YANG BERIMAN, DENGAN RAHMAT DARI KAMI; DAN ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU DIBINASAKAN OLEH LETUSAN SUARA YANG MENGGEMPAKAN BUMI, LALU MENJADILAH MEREKA MAYAT-MAYAT YANG TERSUNGKUR DI TEMPAT MASING-MASING.} (HUD 11:94)
- Apabila azab sudah turun, Allah selamatkan Nabi Syu’aib & kaumnya yang beriman bersamanya dengan limpah kurnia Allah SWT.
- Manakala orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, seolah tempikan yang begitu dahsyat!
- Lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing, iaitu ketika sedang berjual-beli atau lain-lain urusan; ada yang jatut tersungkur di atas muka atau mati berlutut, semua keras kejung tidak bernyawa lagi.
AYAT 95- { (MEREKA PUNAH-RANAH) SEOLAH-OLAH MEREKA TIDAK PERNAH TINGGAL DI SITU. KETAHUILAH! KEBINASAANLAH AKHIRNYA BAGI PENDUDUK MADYAN, SEBAGAIMANA BINASANYA KAUM THAMUD.} (HUD 11:95)
- Maka jadilah mereka musnah, hancur binasa tidak meninggalkan kesan seolah mereka tidak pernah wujud atau tinggal di Madyan itu!
- Kebinasaanlah pengakhiran bagi kaum Madyan yang jahat & kafir ini sebagaimana binasanya kaum Thamud sebelum ini yang juga jauh dari rahmat Allah!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 91- {Mereka berkata: “Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu,…}-
Kaum Madyan mengadu kepada Nabi Syu’aib bahawa mereka tidak faham apa yang dia katakan itu, kerana itu kononnya mereka tidak terima!
Sedangkan Allah sudah nyatakan bahawa Allah hantar kepada ahli Madyan seorang rasul dari kalangan mereka sendiri. Sama bangsa, bahasa, kampung asal dan kaum keturunan! Tiada yang lain & tak faham!
Apa yang mereka tak faham itu ialah kerana mereka tak mahu terima, bukan tak faham dengan sebenarnya, tetapi degil keras kepala!!
Seolah ada penutup dalam telinga mereka, ada sekatan dalam hati mereka untuk menerima kebenaran!
Sebagaimana puak kafir Quraisy berkata kepada Nabi SAW :
{Dan mereka berkata: “Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk agamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! “} (Fussilat 41:5)
Sesiapa yang blok, sekat otaknya dari awal daripada menerima kebenaran; dia tidak akan terbuka untuk menerima kebenaran!
Kerana itu kata ulama’ tadabbur tentang ayat ini : Sesiapa yang tadabbur ayat-ayat Allah yang menyebut tentang orang kafir dalam al-Quran, semuanya mengatakan bahawa: {Kami tidak faham, hati kami tertutup!}, maka tak usah cakap apa bendalah!
Yakni mereka menafikan kefahaman, mendustakan ayat-ayat Allah, kerana mereka sudah menutup hati, minda, mata tak mahu menerima kebenaran!
Inilah punca kerosakan kita hari ini juga.
Sebagaimana dalam tafsir al-Munir ini- ia memanggilnya sebagai Fiqhul-Hayah;
Fiqhul-Hayah ayat ini sama dengan kehidupan kita hari ini, apabila kita baca al-Quran, ini hadis Nabi SAW, ini huraian para ulama’ & imam tafsir yang muktabar; mereka yang tutup mindanya, larang jangan dengar malah baru diletak link kuliah pun sudah marah & terus menolaknya!
Sedangkan mereka sendiri tak dengar pun lagi apa yang ditakuti & yang ditolaknya itu!
Begitulah sifat orang yang tutup pintu hatinya, perangai yang tak mahu buka minda, tak mahu lapangkan dada untuk mendengar dulu sebelum menilai, tak mahu nilai dulu kebenaran ini amat susah.
Sebagaimana kata orang: Mereka ini jika turun malaikat dari langit memberitahunya pun tak akan terima juga!!
Dia hanya akan pegang yang dia sahaja, melangit-langit puji walaupun sesuatu yang pelik & logik akal!
Ya Allah kita minta berlindung dengan Allah dari tertutup hati kita daripada menerima kebenaran!
Taufiqkan kami untuk menerima kebenaran yang yang jelas daripada al-Quran & Sunnah serta huraian para ulama’ yang soleh.
- Ayat 91- {Mereka berkata:…. dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati).}-
Puak Madyan menghina Nabi Syu’aib, mengatanya lemah & tiada kuasa untuk melawan mereka!
Cuma ada kaum keluarga yang mereka kenal saja, jika tiada keluarga ini pasti mereka tidak akan teragak-agak merejam bunuh Nabi Syu’aib!
Kata ulama’ tadabbur : Allah SWT menolong, membela hamba-Nya yang beriman dengan sebab-sebab yang pelbagai, yang tidak terfikir atau terjangkau akal pada awalnya!
Akan ada pembela yang kita yang tak tahu & tak menyangkanya!
Adakalanya Allah bela dengan sebab kabilah atau anak beranak.
Contohnya seperti Rasulullah SAW yang dibela oleh bapa saudaranya Abu Talib, ditentang oleh bapa saudaranya juga Abu Lahab, dikacau oleh Abu Jahal dan disokong dan dibela sepenuhnya oleh Abu Bakar RA.
Inilah pentingnya kita orang beriman berbuat baik dan berinteraksi dengan semua orang sekeliling secara berhikmah.
Kena ada usaha untuk melembutkan hati orang-orang yang mungkin akan menjadi pembela kita & dakwah kita, yang boleh membuka ruang untuk kita masuk berdakwah. Semoga Allah buka hati mereka untuk menerima hidayah juga!
Allah SWT bawa pembela kepada para pendakwah ini sama ada melalui jalan anak-beranak dan seumpamanya, jika sesiapa yang ikhlas & beriman dia akan mendapat pahala yang sewajarnya!
- Ayat 92- {Nabi Syuaib berkata: “Wahai kaumku! (Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum keluargaku kamu pandang lebih mulia dari pada Allah…}-
Nabi Syu’aib mempersoalkan kaumnya apakah mereka anggap kaum keluarganya lebih mulia daripada Allah.
Nabi Syu’aib mengatakan bahawa dia tidak bergantung & bersandar kepada keluarganya, jika kaum keluarganya tiada pun dia tidak takut dan akan meneruskan dakwahnya kerana pergantungan & tawakkalnya hanya kepada Allah!
Maka kata ahli tadabbur : Kita orang beriman jangan bangga kecuali dengan Tuhan.
Jangan rasa kaya ada pembela & penyokong yang cukup untuk membantunya tanpa kuasa Allah!
Orang muslim tidak taksub kepada keluarga & kaum kerabat, kita taksub & hanya bergantung kepada Allah SWT!
Yang besar & berkuasanya hanya Allah, Nabi Syu’aib sesekali tidak heran kepada yang lain!
Begitulah para pendakwah ini dijaga dengan pelbagai cara adakalanya melaui anasir keluarga & anak-beranak!
Tetapi ingat jika tiada semua sokongan itupun kita ada Allah Yang Maha Kaya lagi Berkuasa.
- Ayat 93- {“Dan wahai kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Allah yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya).}-
Ini satu lagi ayat motivasi kepada para pendakwah!
Dari ayat ini ulama’ tadabbur mengatakan : Para pendakwah jangan lemah semangat!
Kita mesti lawan serangan & tohmahan dengan berhikmah, mesti nyatakan pendirian kita.
Prinsip jangan sesekali dikacau kerana itulah pergantungan kita dengan Allah!
Cabaran itu kena ada, kena tunjukkan kekuatan jangan tunjuk kita ini lemah!
Yakni dalam dakwah ada tempat untuk kita berlunak, tidak menunjukkan kekerasan, ada tempat kena lawan dengan kekuatan!
- Ayat 94- {… dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi,…}-
Apabila tiba masanya bala turun dan ahli Madyan yang zalim dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi.
Sebagaimana kita telah sebut di atas; azab ke atas kaum Thamud itu disebut dalam al-Quran dengan pelbagai cara:
i- Dalam ayat 95 ini tempikan atau letusan suara {ٱلصَّيْحَةُ}.
ii- Dalam surah al-A’raf ayat 91, Allah hantar goncangan bumi lalu menjadilah mereka mayat-mayat tersungkur, {Maka mereka dibinasakan oleh gempa- ٱلرَّجْفَة۟}
iii- Manakala dalam surah asy-Syuara’ ayat 189- Allah kata {lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung;- عَذَابُ يَوْمِ ٱلظُّلَّةِ ۚ}!
Perbincangan:
Sedangkan mereka ini satu umat sahaja, kenapa ada tiga cerita jenis azab ke atas mereka???
Kata ulama’ tadabbur seperti al-Imam asy-Syanqiti RHM :
Pada hari bala datang ketiga-tiga perkara ini berlaku!
Setiap ayat itu Allah ceritakannya mengikut apa yang berlaku sesuai ikut plot ayatnya.
Kita lihat satu-persatu plotnya:
i- Dalam surah al-A’raf, mereka kata akan halau Nabi Syu’aib jika tak berhenti berdakwah kepada mereka:
{Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini…}.
Maka Allah hantar goncangan bumi: {Maka mereka dibinasakan oleh gempa- ٱلرَّجْفَة۟}- mereka yang kena goncang keluar dari bumi itu bukannya Nabi Syu’aib!
ii- Dalam surah Hud ini; apabila mereka jahat perangai buruk adab, mereka menghina mengata pelbagai tohmahan terhadap Nabi Syu’aib tadi- maka sesuailah untuk keadaan ini Allah bawa azab dalam bentuk tempikan atau letusan suara {ٱلصَّيْحَةُ} yang melenyapkan mereka!
iii- Dalam surah asy-Syuara’, dalam ayat 187 sebelumnya mereka cabar Nabi Syu’aib supaya bawa azab dari langit: {Oleh itu, gugurkanlah atas kami ketul-ketul (yang membinasakan) dari langit, jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”}- maka Allah hantar kepada mereka azab yang datang dari langit, iaitu awan yang mendung yang gelap menakutkan {عَذَابُ يَوْمِ ٱلظُّلَّةِ}.
Ini menunjukkan Allah jawab azab itu mengikut setiap plot cerita yang berlaku antara Nabi Syu’aib dan kaumnya- amat menarik tadabbur ini.
Satu lagi penjelasan:
Kaum Nabi Syu’aib ini disebut dalam ayat ini sebagai kaum Madyan (مَدْيَنَ) dan dalam ayat lain satu lagi sebagai Ashabul-Aikah (أَصْحَـٰبُ ٱلْأَيْكَةِ)- maka apakah Nabi Syu’aib ini diutus kepada dua kaum???
Kesimpulan yang dibuat oleh ulama’ tafsir seperti al-Imam asy-Syanqiti :
Hanya satu kaum yang sama sahaja, cuma perbezaan namanya adalah kerana:
i- Madyan, nama kampung Nabi Syu’aib & nama kaum mereka yang mendiami Madyan itu.
ii- Aikah, nama pokok yang mereka sembah, lalu mereka dipanggil Ashabul-Aikah!
Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.
Wallahu A’lam.
