View Categories

(25) Surah Hud: Ayat 100-104

8 min read

7 KISAH DISEBUT SEBAGAI IBRAH, MENZALIMI DIRI DENGAN SYIRIK & ORANG MUKMIN SENTIASA PEKA.

Full video : https://youtu.be/QScl2MuoV0Y?si=JCJ6KEp05wIE_zx1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 100 sehingga ayat 104 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan 7 kisah yang telah disebut dalam surah ini sebagai ibrah, pengajaran dan iktibar akan kebinasaan umat yang kufur, degil tak dengar kata.
  1. Kemudian Allah nyatakan sebab mereka dibinasakan adalah kerana mereka menzalimi diri dengan syirik terhadap Allah!
  1. Allah peringatkan orang mukmin yang takut kepada azab Allah hendaklah sentiasa peka jangan terlibat dengan perkara yang mungkar & maksiat, serta perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah. 
    Barulah kita aman di dunia & selamat di Akhirat kelak insya’ Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah sebutkan 7 kisah tentang 7 orang nabi iaitu; Nuh, Hud, Soleh, Ibrahim, Lut, Syuaib dan nabi Musa AS cerita mereka yang menentang Allah & rasul itu semuanya sudah binasa. 
    Kisah yang penuh ibrah menjadi pengajaran buat umat selepas mereka. 

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan ada umat yang sudah binasa terus seperti kaum Lut serta ada yang masih kesan peninggalannya seperti Fir’aun & piramidnya serta Madain Saleh.
    Cerita ini apabila dibaca oleh seorang Nabi yang tidak membaca & menulis pasti benarlah ia satu mukjizat yang besar dari Allah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 100- {YANG DEMIKIAN, IALAH SEBAHAGIAN DARI KHABAR BERITA PENDUDUK NEGERI-NEGERI (YANG TELAH DIBINASAKAN), KAMI CERITAKAN PERIHALNYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD). DI ANTARANYA ADA YANG MASIH WUJUD (SISANYA YANG DAPAT DISAKSIKAN), DAN ADA PULA YANG TELAH HANCUR LEBUR (DAN HILANG LENYAP).} (HUD 11:100)

  1. Allah nyatakan dalam surah ini 7 cerita telah disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW tentang kaum nabi dahulu yang telah dibinasakan. 
  1. Ada kaum yang masih ada kesan peninggalannya, ada mereka yang hancur lebur tak tinggal baka & kesan lansung!

AYAT 101- {DAN TIADALAH KAMI MENGANIAYA MEREKA, TETAPI MEREKALAH YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI. MAKA BERHALA-BERHALA YANG MEREKA SEMBAH SELAIN DARI ALLAH ITU TIDAK DAPAT MENOLONG MEREKA SEDIKITPUN PADA MASA DATANGNYA AZAB TUHANMU; DAN PENYEMBAHAN YANG MEREKA LAKUKAN ITU HANYA MENAMBAHKAN KERUGIAN SAHAJA KEPADA MEREKA.} (HUD 11:101)

  1. Allah menyatakan bahawa Allah sesekali tidak menganiayai atau menzalimi penduduk kampung itu ketika membinasakan mereka tetapi mereka sendiri yang menganiayai diri mereka dengan melakukan kekufuran & maksiat.
  1. Inilah sebab mereka berhak menerima pembalasan yang begitu dahsyat! 
    Allah tidak buat setiap perkara tanpa sebab atau begitu saja!
  1. Allah SWT yang Maha Berkuasa telah beri peluang kepada mereka tetapi mereka sendiri pilih jalan yang membawa kebinasaan & kerugian kepada diri sendiri.
    Ini kerana sesungguhnya syirik itu satu kezaliman yang besar dari sudut agama!
  1. Allah juga menyatakan berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun apabila datangnya azab Tuhan.
    Berhala tak boleh buat apa, tiada daya upaya apatah lagi kuasa. Ia tidak dapat memberi manfaat atau mudharat kepada penyembahnya apatah lagi nak selamatkan mereka daripada azab Allah!
  1. Berhala itu tidak menambahkan kepada penyembah & pemujanya kebaikan atau keuntungan!
    Bahkan penyembahan dan pemujaan berhala sangat merugikan, membawa penyesakan tanpa ada kebaikan, rugi di dunia lebihlebih lagi di akhirat kelak membawa mereka ke neraka & azab yang yang tidak boleh dielakkan!
  1. Persoalan kenapa Allah kata: {penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka} sedangkan para berhala itu hanya batu yang tidak bergerak, apa yang ia tambahnya???
    Apa maksudnya ayat ini?
  1. Kata Ibnu Jauzi RHM :
    i- Puak kafir tambah penyembahan ibadat terhadap berhala tetapi berhala tak tambah apa!

    ii- Di Akhirat kelak berhala itu akan marah & pukul puak kafir penyembahnya!
    Ini kerana mereka semua akan masuk ke dalam neraka bersama! 

    Iaitu berhala dan penyembahnya saling salah-menyalahi, kepercayaan yang tidak membawa hasil tetapi memberi kekecewaan dan penyesalan yang tidak berguna.
  1. Kata Ibnu Kathir RHM pula, maksudnya : Berhala itu tidak tambah apa kepada penyembahnya kecuali kekecewaan, penyesalan dan dukacita yang berpanjangan!!

AYAT 102- {DAN DEMIKIANLAH AZAB TUHANMU, APABILA IA MENIMPA (PENDUDUK) NEGERI-NEGERI YANG BERLAKU ZALIM. SESUNGGUHNYA AZABNYA ITU TIDAK TERPERI SAKITNYA, LAGI AMAT KERAS SERANGANNYA.} (HUD 11:102)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan apa yang telah berlaku kepada umat terdahulu yang telah Allah ceritakan.
    Mereka ditimpa azab yang menyeluruh, tidak tertinggal baka!

    ii- Maka datang ayat ini sekali lagi Allah nyatakan sebab mereka dibinasakan iaitu kerana mereka buat maksiat & kezaliman atas diri sendiri!
  1. Sebagaimana Allah ceritakan tentang kaum dahulu yang telah musnah binasa akibat kekufuran & keingkaran mereka; maka begitulah Allah akan binasakan juga mana-mana kaum yang kufur & derhaka buat maksiat kepada Allah!
  1. Hadis dari Abu Musa RA bahawa Nabi SAW bersabda: 
    Sesungguhnya Allah menangguhkan (hukuman terhadap) orang zalim itu (untuk beberapa lama). Sampai tiba masanya Allah menghukumnya, maka Allah tidak akan melepaskannya lagi”.
    Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat:

    {Dan begitulah azab Rabbmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya itu adalah sangat pedih lagi keras.} (Surah Hud, Ayat 102).” [HR Bukhari & Muslim].
  1. Ini pentingnya kita belajar & tahu bahawa kebinasaan yang Allah timpakan ke atas puak kafir sangat dahsyat.

AYAT 103- {SESUNGGUHNYA PADA KEJADIAN YANG DEMIKIAN, ADA TANDA (YANG MENDATANGKAN IKTIBAR) BAGI ORANG YANG TAKUT KEPADA AZAB AKHIRAT, IAITU HARI YANG DIHIMPUNKAN MANUSIA PADANYA. DAN HARI YANG DEMIKIAN IALAH HARI YANG DIHADIRI OLEH SEKALIAN MAKHLUK.}(HUD 11:103)

  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah sebut tentang kaum dahulu yang dibinasakan, itu adalah merujuk kepada azab balasan di dunia.

    ii- Datang ayat ini menyatakan bahawa akan ada lagi azab yang menunggu di Akhirat kelak! 
    Iaitu pada hari perhimpunan yang besar pada hari akan berlaku pembongkaran, pendedahan segala rahsia dan pembalasan segala amalan. 
  1. Apabila Allah nyatakan cerita tentang kebinasaan orang zalim, sepatutnya ia menjadi iktibar dan pengajaran bagi orang yang takut akan azab Allah di Akhirat!
  1. Hari itu ialah hari Allah kumpulkan semua manusia di Padang Mahsyar, hari yang dihadiri oleh semua makhluk, semua makhluk berkumpul di situ sama ada manusia, jin syaitan, malaikat, burung-burung dan haiwan liar atau binatang ternakan!

AYAT 104- {DAN TIADALAH KAMI LAMBATKAN HARI KIAMAT ITU MELAINKAN UNTUK SUATU TEMPOH YANG TERTENTU.} (HUD 11:104)

  1. Hari Kiamat akan berlaku pada waktunya yang telah ditetapkan Allah! 
    Tempohnya ditangguhkan kepada beberapa waktu yang dikehendaki Allah!
  1. Hari Kiamat ialah hari tanpa tarikh, harinya diketahui iaitu hari Jumaat tetapi bila tarikhnya, tiada siapa yang tahu bila akan berlaku kecuali Allah saja! 
  1. Kiamat boleh berlaku bila-bila saja; dalam sebuah hadis Nabi SAW mengatakan bahawa serunai sudah berada di tangan Malaikat Israfil, hanya menunggu arahan Allah bila nak tiupnya! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,
    “Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan, pada hari kiamat yang termaklum.} (Al-Waqi’ah 56: 49-50)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 100- {Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad)…}-

    Allah kata demikianlah cerita-cerita yang Aku sampaikan kepada kamu wahai Muhammad SAW di dalam surah ini!
    Iaitu tujuh cerita kisah tentang 7 orang nabi & kaumnya, ada yang masih wujud kesan peninggalannya (seperti negeri Fir’aun) dan ada yang telah hilang lenyap, hancur hilang tanpa kesan seperti kaum Ad, kaum Thamud dan lain-lain.

    Cerita para nabi dan kaum mereka ini pastilah mempunyai kesan-kesan dan pengajaran tertentu yang harus dijadikan ibrah oleh umat terkini. 
    Yang penting kita baca dalam al-Quran & ambil iktibar darinya!
  1. Ayat 101- {Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.}-

    Allah nyatakan Allah jatuhkan azab ke atas mereka itu bukan saja-saja nak menzalimi mereka tetapi mereka sendiri yang menzalimi diri mereka dengan melakukan syirik & kufur.

    Segala tindakan Allah penuh hikmah dan mempunyai sebab. 
    Umat yang diazab dan binasa itu kerana mereka zalim pada diri sendiri dan kezaliman terbesar adalah melakukan syirik terhadap Allah. 
    Maka mereka berhak diazab dengan segera atau diberi tempoh.

    Maka orang yang kufur wajib kena azab cepat atau lambat, hanya tungu masa saja.
    Walaupun mungkin atas dunia dia selamat & tak kena apa-apa ujian.
  1. Ayat 101- {.. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu;}-

    Segala berhala sembahan mereka itu tidak dapat memberi apa-apa faedah & perlindungan kepada mereka dari azab Allah!
    Jika orang kafir minta dengan berhala- sebahagian orang Islam pula dok percaya kepada dewa-dewa & kubur itu juga satu kesalahan besar! 
    Buat apa minta dengan orang mati sedangkan kita sendiri masih hidup!!!

    Semua orang yang minta perlindungan & pertolongan selain daripada Allah, tidak akan dapat faedah apabila datangnya bala Allah! 
    Pergantungan dan penyembahan selain daripada Allah, tidak akan dapat faedah & adalah satu perbuatan sia-sia.
  1. Ayat 102- {Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya,…}-

    Orang dahulu diazab & binasa dengan sebab zalim iaitu kufur kepada Allah!
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menceritakan kisah orang terdahulu tetapi dalam masa yang sama ia sebagai amaran kepada orang yang terkemudian juga!
    Jika orang dahulu diazab & binasa hancur lebur dengan sebab kufur, maka kamu jka tidak beriman apakah akan selamat??? 
    Kamu jika kufur akan akan diazab dibinasakan sebagaimana orang terdahulu!
    Ini ayat amaran kepada orang kafir & juga orang yang beriman! 

    Orang beriman yang melihat kekufuran & tidak mencegahnya maka apabila azab Allah turun dia akan kena juga! 
    Apabila bala datang, kebinasaan buat semua, jika amar ma’ruf & nahi mungkar tidak dilaksanakan.
    Cuma bezanya jika orang yang beriman akan selamat daripada azab kubur.

    Semasa kejadian banjir di Acheh baru-baru- ini diceritakan bahawa sebuah masjid telah menjadi penyelamat kepada sebuah kampung dari musnah teruk. 
    Iaitu apabila kayu-kayu balak yang hanyut berhenti tersekat kawasan masjid itu sahaja. Allah nak tunjukkan kuasanya satu kampung selamat dari dilanyak kayu balak yang memusnahkan itu!

    Kita orang beriman kena ingat, jika masjid dapat menjadi benteng untuk menyelamatkan manusia daripada bencana atas dunia ini, maka masjid juga akan menjadi benteng untuk menyelamatkan kita daripada azab neraka di Akhirat kelak! 

    Ini jika kita adalah ahli jemaah masjid, solat & iktikaf, sering ikuti kuliah di masjid dan seumpamanya!
    Ingat masjid adalah tempat ibadat bukan sekadar tempat selfie!
  1. Ayat 103- {Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat,..}-

    Orang yang beriman kena ambil iktibar pengajaran dari kisah kebinasaan umat terdahulu!
    Jika kita orang beriman tengok saja, selfie saja, tak ambil iktibar & pengajaran maka kita juga akan menjadi manusia yang rugi!

    Kerana tiada apa yang dapat memberi kekuatan kepada kita selain dari keimanan kepada Allah Azza wa Jalla dan taat kepada-Nya, pada hari perhimpunan manusia kelak!
    Ingat juga: Allah beri tempoh kepada orang kafir & orang zalim atau mana-mana kaum, bukan kerana Allah sayang atau redha kepada mereka!

    Tetapi kerana Allah mahu mereka terus hanyut lagha dalam kekufuran, kezaliman & maksiat dan apabila azab Allah datang ia amat dahsyat!
    Allah beri tempoh juga untuk beri peluang mereka insaf & bertaubat kembali kepada Allah!

    Semoga Allah selamatkan kita semua di dunia & aman di Akhirat. 

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top