TIDAK DIBENARKAN BERCAKAP KECUALI DENGAN IZIN, PENJAHAT DICAMPAK KE NERAKA & ORANG BAHAGIA KE SYURGA.
Full video : https://youtu.be/oT3AHn-FsFM?si=y1vgG9H3cS0DIgbd
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 105 sehingga ayat 108 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan keadaan hari Kiamat yang panjang, suasana sunyi sepi, manusia dalam ketakutakan & tiada siapa dibenarkan bercakap kecuali dengan izin Allah.
- Allah bahagikan pengakhiran manusia kepada dua kumplan iaitu orang yang jahat dicampak ke dalam neraka yang menyala melaung dengan geram menunggu ketibaan mereka.
- Manakala orang yang beriman, orang bahagia & bertuah akan dibawa ke syurga serta kekal di dalamnya selamanya.
Ya Allah jadikan kami & semua keluarga yang disayangi sebagai orang yang bahagia dunia Akhirat & layak menjadi ahli syurga-Mu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT telah nyatakan peringatan tentang hari Kiamat dan azab hari Akhirat, juga semua manusia akan dikumpulkan hari pengumpulan sekelian makhluk di suatu tempat yang bernama bumi Mahsyar.
ii- Maka datang ayat ini menerangkan tentang hari Kiamat lagi iaitu pada hari perhimpunan itu manusia bisu tidak dibenarkan bercakap kecuali dengan izin Allah.
Kemudian manusia akan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu sama ada ahli syurga atau ahli neraka!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 105- {(PADA) MASA DATANGNYA (HARI KIAMAT ITU), TIADALAH SEORANGPUN DAPAT BERKATA-KATA (UNTUK MEMBELA DIRINYA ATAU MEMOHON PERTOLONGAN) MELAINKAN DENGAN IZIN ALLAH. MAKA DI ANTARA MEREKA ADA YANG CELAKA, DAN ADA PULA YANG BERBAHAGIA.} (HUD 11:105)
- Pada hari Kiamat kelak manusia tidak akan dapat berkata-kata atau bercakap mengeluarkan suara untuk membela dirinya kecuali dengan izin Allah!
- Itu adalah hari huru-hara yang bukan senang, dalam keadaan menunggu perhitungan dan hukuman Allah!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{(Tambahan pula) pada masa Jibril dan malaikat-malaikat yang lain berdiri bersaf-saf (menunggu perintah Tuhan), tidak ada yang berani berkata-kata (memohon pertimbangan) melainkan yang telah diizinkan baginya oleh Tuhan Yang Maha Pemurah, serta ia berkata benar.} (An-Naba’ 78:38)
- Juga dengan hadis mencari syafaat yang panjang di mana Nabi SAW bersabda bahawa :Tidak boleh bercakap kecuali para nabi pada Hari Kiamat merujuk kepada satu situasi besar di akhirat di mana semua makhluk akan terdiam kerana dahsyatnya hari tersebut, dan Nabi-nabi sendiri hanya akan bercakap atas izin Allah, termasuk Nabi Muhammad SAW yang akan memberi syafaat. [HR Bukhari & Muslim].
- Pada akhirnya manusia akan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu:
i- Antara mereka ada yang celaka {شَقِىٌّ},- orang kafir tulen atau orang yang beriman tetapi derhaka dengan buat dosa & maksiat.
ii- Dan ada pula yang berbahagia{وَسَعِيدٌ}- iaitu orang beriman & bertaqwa itulah orang yang bertuah & bahagia.
Ya Allah jadikan kami dari golongan orang yang bahagia!
AYAT 106- {ADAPUN ORANG-ORANG YANG CELAKA (DISEBABKAN KEINGKARAN DAN MAKSIATNYA), MAKA DI DALAM NERAKALAH TEMPATNYA. BAGI MEREKA DI SITU, HANYALAH SUARA MEMEKIK-MEKIK DAN MENDAYU-DAYU (SEPERTI SUARA KELDAI).} (HUD 11:106)
- Orang yang celaka disebabkan keingkaran dan maksiatnya maka di dalam nerakalah tempatnya.
- Neraka pula seolah mmecap (geram terliur) apabila melihat bakal penghuninya lalu kedengaran suara yang dahsyat memekik-mekik dan mendayu-dayu seperti suara keldai.
AYAT 107- {MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAGI ADA LANGIT DAN BUMI KECUALI APA YANG DIKEHENDAKI OLEH TUHANMU. SESUNGGUHNYA TUHANMU, MAHA KUASA MELAKUKAN APA YANG DIKEHENDAKINYA.} (HUD 11:107)
- Penghuni neraka ini pula terbahagi kepada dua kumpulan:
i- Mereka penghuni neraka yang kafir akan kekal selamanya, selama ada langit & bumi!
ii- Manakala orang yang beriman, tauhid kepada Allah tetapi melakukan dosa maksiat, akan berada di dalam neraka selama yang dikehendaki oleh Tuhan!
- Persoalan apakah maksud firman Allah: {selagi ada langit dan bumi}– langit manakah yang dimaksudkan sedangkan selepas Kiamat langit dan bumi sudah hancur dan digulung semuanya???
- Jawapan, kata Ibnul Jauzi RHM dalam tafsirnya : Ada dua pendapat tentang persoalan {selagi ada langit dan bumi}- ini:
i- Ada ulama’ kata : Langit & bumi dunia ini kita ini!
Kata ulama’ bahasa : Ini kerana kata orang Arab apabila nak tunjukkan sesuatu yang panjang atau lama akan bersumpah dengan beberapa perkataan Seperti selagi ada malam & siang atau selagi ada langit dan bumi.
ii- Ada ulama’ kata : Langit dan bumi syurga di Akhirat kelak, tiada lagi hubungan dengan dunia ini!
Pendapat ini yang kita terima, kerana tiada kaitan lagi kehidupan Akhirat dengan dunia yang sudah hancur sesudah Kiamat.
- Ini bertepatan dengan sebuah hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ أُرَاهُ فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ
“Di syurga itu ada seratus tingkat. Allah menyediakannya untuk para mujahid di jalan Allah.
Jarak antara keduanya seperti antara langit dan bumi.
Oleh itu, jika kalian meminta kepada Allah, mintalah Firdaus, kerana sesungguh dia adalah syurga yang pertengahan dan tertinggi.
Di atasnya terdapat Arsy Allah Maha Pengasih, dan daripadanya terdapat sumber sungai-sungai syurga.” (HR Bukhari 2790).
- Nota [370]: “Selagi ada langit dan bumi”, yakni mereka kekal di dalam neraka selama-lamanya.
Langit dan bumi yang dimaksudkan di sini ialah langit dan bumi pada hari akhirat, kerana langit dan bumi yang ada sekarang tidak kekal selama-lamanya, bahkan akan diganti dengan langit dan bumi yang lain, seperti yang tersebut dalam ayat 48, surah Ibrahim.
- Kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu: [371] Yakni kecuali sebarang perubahan yang dikehendaki Allah, maka tetaplah ia akan berlaku.
- Iaitu orang yang masuk neraka tetapi apabila tiba tempohnya akan keluar dari neraka dengan izin Allah, khas hanya untuk orang yang beriman sahaja, orang kafir akan di neraka selamanya!
- Sesiapa yang ada kenalan apatah lagi kawan baik yang bukan Islam, pernahkan berdakwah kepada mereka, mengenalkan mereka kepada Islam agar terselamat dari neraka di Akhirat kelak?
Jika benar kita sayang kepada mereka pasti kita tidak mahu mereka kekal di azab selamanya!
- Begitu juga orang bukan Islam yang baik dalam bidang kebajikan & kemanusiaan kita doakan semoga mendapat hidayah dari Allah dan masuk iman dalam hati mereka, dari syirik kepada beriman dari fasiq kepada muti’, lalu segala amal kebaikan mereka tidak menjadi sia-sia seperti debu bertebangan dan mereka akan selamat dari neraka!
- Hadis- dari Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Akan dikeluarkan dari neraka orang yang mengucapkan ‘Laa ilaaha illallah’ (لا إله إلا الله) sedangkan dalam hatinya terdapat iman seberat biji gandum”. [HR Bukhari & Muslim].
Ini yang pentingnya bersyahadah, ikrar & membenarkan dengan hati, sebagai kunci untuk keluar dari neraka!
- Hadis, orang yang masuk neraka dan sudah terbakar rentung, dibawa keluar lalu dicelup dalam sungai kehidupan… [HR Bukhari & Muslim].
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ يَقُولُ اللَّهُ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ فَأَخْرِجُوهُ فَيَخْرُجُونَ قَدْ امْتُحِشُوا وَعَادُوا حُمَمًا فَيُلْقَوْنَ فِي نَهَرِ الْحَيَاةِ
فَيَنْبُتُونَ كَمَا تَنْبُتُ الْحِبَّةُ فِي حَمِيلِ السَّيْلِ أَوْ قَالَ حَمِيَّةِ السَّيْلِ
وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَمْ تَرَوْا أَنَّهَا تَنْبُتُ صَفْرَاءَ مُلْتَوِيَةً
“Jika penghuni syurga telah memasuki syurga, dan penghuni neraka memasuki neraka, Allah berfirman, “Siapa yang dalam hatinya ada sebiji sawi iman, keluarkanlah dia dari neraka.” Maka merekapun keluar setelah mereka terbakar dan menjadi abu. Selanjutnya mereka dimasukkan ke sungai kehidupan (nahrul hayaah), lalu mereka akan tumbuh sebagaimana biji-bijian tumbuh di tepi aliran sungai.”
Atau ia mengatakan dengan riwayat lain “dalam permukaan aliran sungai”, dan Nabi SAW bersabda, “Tidakkah kalian melihat bahawa biji-bijian itu tumbuh kuning melingkar?” (HR. Bukhari No. 6560 Fathul Bari)
- Hadis orang-orang beriman yang diazab dahulu di neraka sebelum masuk syurga, saat dimasukkan ke syurga, penduduk syurga akan menamai mereka dengan Jahannamiyun.
Hal ini diceritakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis:
يَخْرُجُ قَوْمٌ مِنْ النَّارِ بَعْدَ مَا مَسَّهُمْ مِنْهَا سَفْعٌ فَيَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ فَيُسَمِّيهِمْ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَهَنَّمِيِّينَ
“Akan keluar suatu kaum dari api neraka setelah mereka dibakar dalam api neraka, lalu merekapun masuk kedalam syurga, maka penduduk syurga menamainya sebagai Jahannamiyyun (mantan penduduk neraka jahannam).” (HR. Bukhari, hadis Anas bin Malik)
- Kemudian Allah tutup ayat ini dengan: Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Tiada siapa boleh menyekat menghalang atau lari dari apa yang Allah kehendaki!
AYAT 108- {ADAPUN ORANG-ORANG YANG BERBAHAGIA (DISEBABKAN IMANNYA DAN TAATNYA), MAKA DI DALAM SYURGALAH TEMPATNYA. MEREKA KEKAL DI DALAMNYA SELAGI ADA LANGIT DAN BUMI KECUALI APA YANG DIKEHENDAKI OLEH TUHANMU SEBAGAI PEMBERIAN NIKMAT YANG TIDAK PUTUS-PUTUS.} (HUD 11:108)
- Munasabah ayat ini jelas:
i- Setelah Allah menceritakan tentang golongan yang celaka dan mendapat azab di dalam neraka;
ii- Allah ceritakan pula tentang orang bahagia dan beruntung.
Inilah uslub al-Quran yang tidak akan bawa kisah negatif saja; pasti ada positifnya agar kita tidak menjadi kecewa dan putus harap dalam hidup ini.
- Ayat ini menceritakan pula tentang orang yang bahagia dan beruntung kerana keimanan & ketaatannya yang tidak berbelah bagi kepada Allah dan mengikut ajaran Nabi SAW!
- Mereka ini dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, selama-lamanya kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu.
Iaitu apa yang Allah mahu tambah dari nikmat-Nya kepada mereka ikut kehendak-Nya.
- Mereka akan mendapat balasan dari Allah sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus, nikmat syurga yang kekal abadi selamanya!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 105- {(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah….}-
Pada hari Akhirat kelak manusia & jiwa manusia, yang baik atau yang jahat semuanya diam ketakutan dan tidak akan dapat berkata-kata untuk membela diri mereka dengan kuasa Allah!
Kecuali orang yang diizinkan Allah seperti para nabi & rasul yang berdoa meminta syafaat!
Dalam ayat ini Allah mulakan dengan menyebut golongan yang jahat {شَقِىٌّۭ} dulu baru yang baik {وَسَعِيدٌۭ}- {Maka di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.} kerana ayat ini adalah satu ancaman dan peringatan untuk menjelaskan suasana hari Kiamat yang dahsyat menakutakan!
- Ayat 105- {(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah.}-
Tiada orang yang dapat bercakap kecuali dengan izin Allah.
Perbincangan:
Kenapa ayat ini seolah kontra dengan beberapa ayat lain yang menunjukkan manusia bercakap pada hari Kiamat kelak:
i- {(Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka itu pada hari kiamat), hari tiap-tiap diri datang membela dirinya semata-mata, dan tiap-tiap diri disempurnakan balasan apa yang ia telah kerjakan (sama ada baik atau jahat), sedang mereka tidak akan dianiaya sedikit pun.} (Al-Nahl 16:111)
ii- {Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: “Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.} (Al-An’am 6:23)
Jawapan:
i- larangan bercakap ini daripada memberi alasan yang menipu untuk melepaskan diri. Yakni tidak bercakap perkataan yang tidak memberi faedah.
ii- Hari Kiamat itu panjang waktunya; maka ada waktu diam ada waktu boleh bercakap diizinkan untuk menjawab soalan malaikat.
- Ayat 107- {Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu.}-
Allah nyatakan orang yang kafir akan kekal di dalam neraka selamanya!
Kecuali dengan izin Allah: Iaitu mereka yang ada iman dalam hati mereka akan dikeluarkan dari neraka dengan izin Allah apabila tamat tempoh siksaan & hukum ke atas mereka!
Sebagaimana dalilnya dalam dua hadis Nabi SAW di atas tadi:
i- Ahli neraka yang beriman ini selepas menjalani hukuman dan hangus rentung terbakar akan dibawa keluar dari neraka, dicelup dalam sungai kehidupan lalu pulih kembali dan dapat masuk syurga juga akhirnya.
ii- Mereka ini akan dipanggil oleh ahli syurga sebagai; “Jahannamiyun”, bekas ahli neraka jahannam atau bekas banduan neraka.
Wal, ‘iyazubillah kita tidak mahu jadi bekas banduan apa sekalipun, apatah lagi neraka!
- Ayat 108- {Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.}-
Orang yang baik & bahagia akan menjadi penduduk syurga selama-lamanya, tidak akan keluar & nikmatnya tidak putus-putus.
Ayat ini menjadi dalil bahawa syurga kekal selamanya, tidak akan berakhir, tidak akan rosak & punah.
Jadi semasa atas dunia ini kena cerdik- apakah kita nak pilih yang kekal atau yang tidak kekal?
Yang kekal itu pula kita nak pilih nikmat atau azab yang tidak pengakhirannya?
Orang yang beriman akan masuk syurga dengan sebab tauhidnya kepada Allah!
Cuma jika dia derhaka dia kena masuk neraka dulu sebagai hukuman kemudian akan dikeluarkan.
Orang selamat ialah orang yang taat. Orang yang taat akan mendapat pemberian nikmat yang tidak putus-putus dari Allah SWT!
Orang yang taat ialah yang buat amal ibadat & sembah Allah mengikut apa yang Allah suka & apa yang Nabi SAW suka!
Iaitu berpandukan al-Quran & Sunnah Nabi SAW yang sahih.
Kita nak ibadat bukan ikut apa yang kita suka, kerana kita akan ikut nafsu.
Huru-hara dunia ini jika kita nak beribadat ikut apa yang kita suka kerana kita akan buat bid’ah yang tidak sepatutnya!
Semoga Allah bantu kita memahami dan menjadi hamba yang taat.
- Ayat 108- { kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu..}-
Semua perkara adalah dengan kehendak Allah, dua kali Allah ulang ayat ini semasa untuk ahli neraka & untuk ahli syurga!
Apa yang Allah nak buat tiada siapa boleh halang atau sekat!
Yakni Allah nyatakan:
i- Orang celaka yang ada benih iman, akan dapat keluar dari neraka dengan rahmat & kehendak Allah!
Yang tiada iman tidak akan dapat keluar, kekal di dalamnya selama-lamanya.
ii- Manakala orang yang masuk syurga & mendapat nikmat juga dengan kehendak Allah. keduanya dengan kehendak Allah.
Setiap keputusan & setiap perkara yang berlaku adalah dengan kehendak Allah Azza wa Jalla!
Kita manusia mesti akur & terima dengan qadha’ & qadar Allah.
Adalah penting untuk kita belajar tentang Allah & tentang Rasul, untuk memahami keadaan kita, kerana kita manusia mesti terima dengan qadha’ & qadar Allah.
Tetapi kena faham; Bukanlah kita kena redha dan terima semua yang Allah timpakan ke atas kita, tanpa berusaha menghilangkannya!
Contoh, apabila sakit kena usaha ikhtiar berubat bukan tunggu mati sahaja.
Miskin & susah, kena usaha kerja ikhtiar cari rezeki bukan hidup kemiskinan tanpa kerja.
Tak pandai atau jahil kena usaha iktiar belajar & cari ilmu.
Yakni bukan apabila kena timpa sesuatu ujian atau kesusahan kita berserah dok diam tanpa usaha ikhtiar buat apa-apa!
Kita terima qadar Allah tetapi dalam masa yang sama kita kena usaha ikhtiar bukan pasrah berserah begitu saja.
Hikmah daripada Allah bawa cerita ghaib & pelik dalam al-Quran:
i- Untuk beritahu bahawa al-Quran ini mukjizat! Bukan Nabi SAW yang reka dan cari sendiri cerita itu.
ii- Untuk menyatakan peranan tugas para nabi adalah sama, dakwah kepada tauhid, beriman & taqwa kepada Allah.
Siapa yang ingkar mendustakan akan terima padahnya!
Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.
Wallahu A’lam.
