ISTIQAMAH ATAS ISLAM, JANGAN SOKONG GOLONGAN ZALIM & DIRIKAN SOLAT DENGAN SABAR.
Full video : https://youtu.be/a4We5Fv64do?si=54zaox1N0HLb9y6n
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 112 sehingga ayat 115 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang istiqamah atas Islam.
Allah perintahkan kepada hamba-Nya bermula dari Nabi SAW agar istiqomah, duduk atas jalan yang diredhai Allah, jangan lari selagi hayat dikandung badan.
Istiqomah beribadat & melakukan apa yang diperintahkan Allah SWT bukan ikut apa yang kita nak.
- Dalam ayat ini Allah SWT melarang agar jangan cenderung untuk sokong golongan zalim.
Apatah lagi melakukan kezaliman pastilah lebih teruk.
- Kemudian Allah perintahkan untuk dirikan solat siang malam & lakukan tugas besar ini dengan sabar.
Serta solatlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW, ikut perintah Allah bukan sebagaimana yang kita nak!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa ahli kitab tidak istiqomah.
Mereka terima kitab bukan nak beramal tetapi berbalah dan berikhtilaf.
Ini yang kita tidak mahu, kita baca al-Quran untuk mantapkan iman & ikut perintah Allah bukan nak berkelahi, begitu juga dengan baca hadis Nabi SAW!
ii- Oleh kerana ahli kitab tidak istiqomah; maka datang ayat ini Allah SWT perintahkan kita umat Muhammad SAW untuk istiqomah menerima al-Quran, menerima Sunnah & istiqomah melaksanakan apa yang diperintahkan!
Bukan seperti ahli kitab yang apabila terima kitab berikhtilaf!
Umat Muhammad adalah umat terpilih oleh Allah SWT kerana iku perintah Allah SWT dan ikut ajaran Nabi SAW.
Tetapi malangnya hari ini perbalahan sesama umat Islam kita tidak kurang teruknya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 112- {OLEH ITU, HENDAKLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) SENTIASA TETAP TEGUH DI ATAS JALAN YANG BETUL SEBAGAIMANA YANG DIPERINTAHKAN KEPADAMU, DAN HENDAKLAH ORANG-ORANG YANG RUJUK KEMBALI KEPADA KEBENARAN MENGIKUTMU BERBUAT DEMIKIAN; DAN JANGANLAH KAMU MELAMPAUI BATAS HUKUM-HUKUM ALLAH; SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MELIHAT AKAN APA YANG KAMU KERJAKAN.} (HUD 11:112)
- Allah SWT perintahkan kepada Rasulullah SAW dan semua umatnya untuk beristiqomah & tetap teguh atas agama dan ajaran Islam yang Allah berikan kepada kita ini.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu).} (Fussilat 41:6)
- Hadis yang diriwayatkan oleh Sufyan bin ‘Abdillah al-Thaqafi:
“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak perlu untuk bertanya kepada sesiapa pun selain dirimu.”
Maka baginda menjawab: “Katakanlah: “Aku beriman kepada Allah,” kemudian istiqamahlah.” [HR Muslim].
- Kata Ibnu Rajab : Istiqomah ialah kita ikut jalan yang betul, agama yang benar ini tanpa menyimpang kiri atau kanan, melakukan ketaatan & amalan yang zahir dan batinnya serta meninggalkan larangannya semua sekali!
- Biasanya apabila terlalu nak beristiqomah manusia mungkin akan jadi ghuluw (melampaui), keras atau rigid!
Maka Allah ajar & berpesan beri SOP untuk mengelakkan daripada menjadi ghuluw atau melampaui batas sehingga meninggalkan fitrah.
Ini kerana kita ikut Syari’ah bukan ikut nafsu atau akal kita semata-mata!
- Beberapa hadis Nabi SAW tentang larangan daripada melampaui ini:
i- Anas RA menceritakan ada tiga sahabat yang mendatangi rumah isteri Rasulullah SAW demi menanyakan bagaimana Baginda SAW dalam beribadah.
Setelah mereka bertiga diberitahu perihal perbuatan Baginda SAW, mereka berasa ibadat mereka selama ini sangat sedikit, lalu berkatalah ketiga-tiganya: “Kita ini siapa dibandingkan dengan Rasulullah?! Padahal Baginda seorang yang telah diampuni dosa-dosanya baik yang lalu mahu pun yang akan datang.”
Kemudian seorang daripada mereka bertiga berkata: “Kalau begitu aku akan solat malam terus menerus (dan tidak tidur).”
Seorang lagi berkata: “Adapun aku, aku akan berpuasa seharian penuh dan tidak berbuka.”
Seorang lagi berkata: “Kalau aku, aku akan memisahkan diri daripada wanita dan tidak akan menikah selamanya.”
Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah SAW mendengarnya dan mendatangi mereka seraya bertanya:
“Apakah kalian yang tadi berkata demikian dan demikian?
Adapun aku, demi Allah, sungguh aku adalah orang yang paling takut dan bertakwa kepada Allah di antara kalian.
Akan tetapi dalam masa yang sama, aku berpuasa dan aku pun berbuka. Aku solat dan aku pun tidur.
Aku pun menikah dengan wanita. Dan siapa saja yang tidak suka dengan sunnahku, maka dia bukan daripada golonganku.” (HR Muslim)
Nabi SAW letak satu panduan agar jangan melampaui.
ii- Larangan melampaui dalam berwudhu’:
Hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW melalui satu kawasan dan melihat Sa’d sedang berwuduk.
Lalu, baginda SAW bersabda: “Kenapakah berlebihan guna air ini?”
Maka, Sa’d menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat berlebihan, yakni melampaui batas sehingga membazir?”
Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kita berada di sungai yang mengalir.” (HR Ibn Majah)
Atau yang sunat 3 kali tetapi dia buatnya lebih-lebih dan membazir.
- Kemudian ingatlah bahawa sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan, tidak ada apa yang tersembunyi dari amalan kamu yang baik atau buruk dan Allah akan membalasnya mengikut apa yang kamu kerjakan!
AYAT 113- {DAN JANGANLAH KAMU CENDERUNG KEPADA ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM MAKA (KALAU KAMU BERLAKU DEMIKIAN), API NERAKA AKAN MEMBAKAR KAMU, SEDANG KAMU TIDAK ADA SEBARANG PENOLONG PUN YANG LAIN DARI ALLAH. KEMUDIAN (DENGAN SEBAB KECENDERUNGAN KAMU ITU) KAMU TIDAK AKAN MENDAPAT PERTOLONGAN.} (HUD 11:113)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah melarang daripada sifat melampaui tadi kerana ia adalah salah punca dari berlaku kerosakan atas dunia ini.
Sehingga menjadi penyokong kepada orang yang zalim kerana terlalu melampaui.
ii- Maka datang ayat ini Allah mengingatkan agar jangan cenderung kepada orang zalim sama ada dengan menyokong mereka atau redha dengan perbuatan mereka!
Jika tidak kamu akan sama seperti mereka juga dan akan dihumbankan ke dalam maka bersama mereka juga!!!
Sama dengan perbuatan menyalahi Syari’ah lain, walaupun kamu tak buat tetapi jika kamu sokong, sama akan mendapat share dosanya juga!
- Nota [375] Yakni janganlah kamu wahai orang-orang Islam bersahabat, atau bekerjasama, atau bersyubahat, ataupun menyetujui perbuatan orang-orang yang melakukan kezaliman dalam segala bentuknya; lebih-lebih lagi orang-orang yang menjadi musuh Islam dan musuh umat Islam.
- Kata al-Qurtubi : Sama ada zalim dalam bentuk syirik atau zalim terhadap manusia, semuanya dilarang untuk menyokongnya!
Mafhum mukhalafahnya, sokong pun tidak boleh apatah lagi berbuat zalim sendiri.
- Kita orang beriman jangan menyokong sesuatu yang buruk, jangan taksub dan menyokong membuta-tuli jika dibuat oleh orang yang disukainya.
Ini adalah perbuatan buruk!
- Jika kamu telah memberi sokongan kepada orang yang zalim ini; api neraka akan membakar kamu dan tiada siapa yang dapat membebaskan kamu daripada azab Allah kerana kamu telah menyokong mereka!
AYAT 114- {DAN DIRIKANLAH SEMBAHYANG (WAHAI MUHAMMAD, ENGKAU DAN UMATMU), PADA DUA BAHAGIAN SIANG (PAGI DAN PETANG), DAN PADA WAKTU-WAKTU YANG BERHAMPIRAN DENGANNYA DARI WAKTU MALAM. SESUNGGUHNYA AMAL-AMAL KEBAJIKAN (TERUTAMA SEMBAHYANG) ITU MENGHAPUSKAN KEJAHATAN. PERINTAH-PERINTAH ALLAH YANG DEMIKIAN ADALAH MENJADI PERINGATAN BAGI ORANG-ORANG YANG MAHU BERINGAT.} (HUD 11:114)
- Ayat ini adalah arahan dari Allah SWT untuk melakukan ibadat yang paling besar iaitu solat dan akhlak yang paling mulia iaitu sabar.
Yakni orang yang tidak melampui batas & tidak membela orang yang zalim kemudian melakukan solat dengan sabar, adalah orang yang bertaqwa.
- Sabab Nuzul ayat:
i- Hadis tersalah cium perempuan jumpa di tepi jalan
عن ابن مسعود رضي الله عنه مرفوعاً: أن رجلاً أصاب من امرأةٍ قُبْلَةً، فأتى النبي صلى الله عليه وسلم فأخبره، فأنزل الله تعالى : (وأقم الصلاة طَرَفَيِ النَّهَار وزُلَفًا مِنَ اللَّيلِ إِنَّ الحَسَنَاتِ يُذْهِبنَ السَّيِئَات) [هود: 114] فقال الرجل: ألي هذا يا رسول الله؟ قال: «لِجَمِيعِ أُمَّتِي كُلِّهِم ».[صحيح] – [متفق عليه]
Maksudnya: Seorang lelaki mencium seorang wanita (secara haram) dan kemudian pergi kepada Nabi (ﷺ) dan memberitahunya.
Allah menurunkan ayat:
{Dan dirikanlah solat dengan sempurna pada kedua-dua hujung siang dan pada sebahagian daripada malam (iaitu lima solat wajib). Sesungguhnya! perbuatan baik menghapuskan (membatalkan) perbuatan jahat (dosa kecil).} (11.114).
Lelaki itu bertanya kepada Rasulullah (ﷺ): “Adakah ia untuk saya?”
Baginda bersabda: “Ia adalah untuk semua pengikutku.” [Sahih al-Bukhari 526].
Yang tersalah melakukan dosa kecil.
Ulama’ kata: Ayat ini turun di Makkah tetapi apabila berlaku peristiwa ini di Madinah, ia diturunkan sekali lagi di Madinah.
ii- Hadis versi yang lebih detail:
Dari Abu al-Yasar, Ka’ab bin Amr:
Seorang wanita datang kepada aku menjual kurma.
Aku berkata kepadanya: ‘Ada kurma yang lebih baik daripada ini di rumah.’ Jadi dia masuk ke rumah dengan aku. Aku ada keinginan terhadapnya jadi aku mula menciumnya. (tetapi tidak sampai berzina).
Aku pergi jumpa Abu Bakr dan beritahu dia, jadi dia kata: ‘Tutup apa yang kau dah buat, bertaubat, jangan beritahu sesiapa, dan jangan buat lagi.’
Jadi aku pergi jumpa ‘Umar dan beritahu dia. Dia kata: ‘Tutup apa yang kau dah buat, bertaubat, jangan beritahu sesiapa, dan jangan buat lagi.’
Kemudian aku pergi jumpa Nabi (ﷺ) dan beritahu dia.” Baginda bersabda: ‘Adakah ini cara kau menjaga isteri orang yang sedang berperang di jalan Allah?”.
Sampai dia berharap dia belum terima Islam sampai masa tu, dan dia fikir dia mesti salah seorang ahli neraka.”
Rasulullah (ﷺ) menundukkan kepalanya untuk masa yang lama, sehingga Allah menurunkan kepadanya:
{Dan dirikanlah solat, pada kedua-dua hujung siang dan pada sebahagian daripada malam. Sesungguhnya, perbuatan baik menghapuskan perbuatan jahat. Itu adalah peringatan bagi orang yang berfikir.} (11:114).
Abu Al-Yasar berkata: “Jadi aku pergi jumpa dia dan Rasulullah (ﷺ) membacakannya untukku. Seorang sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah! Adakah ini khusus, atau untuk orang ramai secara umum?”
Baginda bersabda: “Malah ia untuk orang ramai secara umum.” [HR at-Tirmizi].
- Allah perintahkan Nabi SAW untuk solat pada:
i- Dua bahagian siang pagi dan petang iaitu solat fajar & asar,
ii- Dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam iaitu maghrib & isya.
Hanya ini cara solat yang disebut dalam al-Quran.
- Tetapi secara amali & detailnya telah ditunjukkan dan diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita.
Baginda pula telah diajar oleh Jibril AS cara & waktunya dengan terperinci dan amali.
- Amal kebaikan seperti solat ini akan menghapuskan keburukan, yakni akan menghapuskan dosa-dosa kecil.
Manakala ingat dosa besar memerlukan kepada taubat nausha kepada Allah!
- Hadis Nabi SAW buat bandingan solat seperti seperti mandi sungai 5 kali sehari: Daripada Abu Hurairah RA katanya:
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
‘Andai kata di depan pintu rumah seseorang di antara kamu ada sebuah sungai dan dia mandi di situ sebanyak lima kali dalam sehari, apakah masih ada kekotoran yang masih tertinggal dibadannya?’
Para sahabat menjawab: Pasti tidak ada kekotoran sedikit pun yang tertinggal dibadannya.
Baginda bersabda: ‘Demikianlah bandingan solat lima waktu, dengan mengerjakan semua itu Allah akan menghapuskan semua dosanya dan kesalahannya.’ (HR al-Bukhari dan Muslim)
- Apa yang Allah sebutkan semua ini, iaitu perintah solat & larangan daripada buat maksiat adalah peringatan bagi orang yang mahu ambik peringatan.
Mereka inillah yang akan dapat kebaikan; jika tidak, tidak akan memberi apa-apa kesan kepada orang yang mendengarnya!
- Ingatlah perbuatan orang beriman bukan nak menuduh menfitnah orang, mengata orang itu ini, mengata orang & mengelirukan masyarakat! Tetapi kerja orang beriman ialah mengajar manusia supaya takut kepada Allah Azza wa Jalla!
AYAT 115- {DAN SABARLAH (WAHAI MUHAMMAD, ENGKAU DAN UMATMU, DALAM MENGERJAKAN SURUHAN ALLAH), KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENGHILANGKAN PAHALA ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN.} (HUD 11:115)
- Munasabah ayat:
i- Apabila Allah perintahkan untuk istiqomah, tetap pendirian dalam melakukan perintah Allah;
ii- Maka Allah tutup ayat ini untuk bersabar!!!
- Iaitu hendaklah kamu semua bersabar dalam:
i- Melakukan ketaatan.
Istiqomah dalam melakukan kebaikan memerlukan kesabaran yang tinggi.
ii- Sabar meninggalkan maksiat, termasuk tidak menyokong orang yang buat maksiat & zalim!
iii- Sabar ketika menghadapi ujian!
Tengok kepada keadaan ada orang sabarnya tinggi ada yang tidak sabar.
- Jika kamu bersabar dalam semua keadaan ini, ingatlah sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan, orang yang taat dan orang yang sabar!
- Pahala yang Allah berikan kepada orang yang sabar adalah tanpa limit- lihat kepada keadaan & kesabarannya!
Mudah-mudahan kita termasukk dalam golongan yang mendapat pahala yang besar tanpa limit, yang sabar dalam semua situasi!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 112- {Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian;..}-
Hendaklah kamu tetap pendirian melakukan apa yang dieprintahkan Allah.
Kata ulama’ tadabbur: Ayat ini menjadi dalil wajib ikut dalil nas-nas al-Quran & Sunnah dalam perkara agama!
Wajib ikut dalil bukan ikut orang!
Kerana ia adalah tapak tempat kita bergantung!
Kita hendaklah istiqomah, tetap duduk atas agama ini dan jangan ubah perjalanan agama ini sebagaimana yang diturunkan kepada Nabi SAW dan kita terima darinya.
Contoh istiqomah:
i- Apabila nak solat Allah suruh basuh muka, tangan dan seterusnya!
Ini menunjukkan tertib amali mesti ikut apa yang disebut nas sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah atau di ajar oleh Rasulullah SAW.
Maka cara berwudhu’, mesti tertib anggota wudhu’ bukan boleh kita basuh kaki dulu atau lainnya!
Hukum zakat, bayar ikut apa yang telah diperintah Allah & diajar oleh Rasulullah SAW. Seperti bayaran unta, lembu dan kambing ada nilainya yang khas tak boleh kita reka-reka sendiri!
Kata ulama’: Istiqomah ini ialah kena berpegang dengan nas, jika tiada nas kita wajib rujuk kepada ulama’ yang telah mengerahkan tenaga & usaha mereka dalam melakukan tugas yang besar ini!
- Ayat 112- {… janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah;}-
Allah melarang dari melampaui batas.
Allah ajar kepada kita dalam ayat ini:
Jika kamu nak istiqomah, kamu kena berpegang dengan nas dan jangan melampaui pula.
Contoh sebagaimana hadis tiga pemuda yang nak ibadat ikut Nabi SAW di atas tadi.
Begitulah kadang-kadang orang yang baru jumpa agama ini ghuluw sedangkan agama ini ada SOP dan caranya!
Jika tidak ia akan menjadi payah dan menyusahkan hidup sebagai manusia biasa.
Kata ulama’ al-Hasan al-Basri:
Allah letakkan agama ini antara batasan dua {لا} iaitu:
i- Jangan melampaui {وَلَا تَطْغَوْا۟}.
ii- Jangan terlalu cuai & lemah {وَلَا تَرْكَنُوٓا۟}, lembik tiada pendirian- orang kafir sokong, orang zalim pun sokong!
- Ayat 113- {Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim…}-
Kamu jangan cenderung berminat untuk menyokong orang zalim.
Ini kerana jika kamu redha menyokong kekufuran boleh membawa kepada kekufuran!
Redha dengan maksiat akan membawa kepada maksiat, menyokong orang zalim akan membawa kezaliman, inilah kaedahnya!
Walaupun dia tidak pergi ke tempat maksiat bahkan duduk di masjid tetapi memberi sokongan; maka tetap dapat dosa & dikira ahli maksiat seperti mereka itu juga!
Begitu juga pahala, sebagaimana hadis kisah perang Tabuk- sahabat yang tidak dapat hadir perang kerana sakit, Nabi SAW kata mereka akan dapat pahala seperti sahabat lain yang hadir perang juga.
Kata ulama’ tadabbur: Kalaulah amaran ini hanya melarang dari cenderung menyokong orang yang zalim maka bagaimana pula jika orang zalim itu sendiri pastilah lagi dahsyat!
Maka ayat ini adalah ayat yang paling keras dalam melarang melakukan kezaliman!
Kerana cenderung atau menyokong saja sudah dilarang & berdosa dan diazab api neraka, apatah lagi melakukan kezaliman sendiri!
Ayat ini juga menjadi dalil bagi para ulama’ akan larangan kepada orang Islam dari meminta pertolongan orang kafir dalam peperangan dan menggunakan mereka dalam menjaga kemaslahatan orang Islam.
[Imam as-Sayuti: Kitab al-Iklil].
Ayat ini juga menjadi dalil untuk menyekat dari keburukan kerana jika kita cenderung kepada orang zalim kita akan jadi zalim juga!!
- Ayat 114- {Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang),…}-
Ayat ini menunjukkan bahawa solat itu ada waktunya; Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya!
Tidak boleh kita main-main atau buatnya ikut suka!
Apabila melakukan solat kena jauhkan maksiat!
Tanda solat yang berkesan akan dapat menghalang pelakunya dari mungkar & maksiat!
Orang yang melakukan solat dengan sempurna akan berkesan dan menjaganya itulah orang yang istiqomah.
Allah sebut dua cara untuk menghapuskan dosa-dosa kecil iaitu:
i- Kebaikan yang kita buat.
ii- Tinggalkan dosa besar.
- Ayat 115- {Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.}-
Ayat ini begitu cantik tertibnya!
Apabila Allah suruh solat, Allah suruh sabar!
Nak ibadat kena sabar, nak tinggal maksiat kena sabar, nak apa saja kena sabar!
Orang yang sabar Allah akan beri pahala yang tidak putus-putus.
Ini kerana sabar itu satu perkataan yang mudah tetapi bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan!
Kerana itu kita berdoa kepada Allah semoga kita tergolong dalam orang yang sabar melakukan ketaatan, sabar meninggalkan maksiat & sabar jika ditimpa ujian musibah!
Barulah kita mendapat pahala penuh!
Sesungguhnya Allah akan balas pahala orang yang sabar tanpa had!
Semoga kita termasuk dalam golongan yang istiqomah, boleh tengok kuliah ini tips untuk istiqomah semoga mendapat manfaat:
Istiqamah
https://youtu.be/7MemQh1Ai0E?si=78yP0EoC9pk4t-o1
Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.
Wallahu A’lam.
