View Categories

(29) Surah Hud: Ayat 116-119

14 min read

PERLU WUJUD GOLONGAN AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR, MANUSIA SENTIASA BERIKHTILAF & BERPECAH.

Full video : https://youtu.be/45Wb6wdVvWY?si=YP5fk6CxmWZm6A6S

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 116 sehingga ayat 119 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan perlu wujud segolongan kelompok yang menegakkan amar makruf dan mencegah segala fasad, nahi mungkar atas muka bumi ini. 
    Jika tidak, kita akan berada di dalam kemurkaan Allah kerana apabila orang buat maksiat tiada siapa yang ingkar, tiada siapa yang cegah & larang! 
    Kita perlu kepada golongan yang peduli ummah!
  1. Kemudian Allah nyatakan manusia ini sentiasa berikhtilaf, berbeza pendapat kecuali mereka yang mendapat rahmat Allah! 
    Orang beriman yang berpegang dengan al-Quran & Sunnah insya’ Allah akan selamat!
  1. Allah nyatakan perpecahan umat ini membuatkan manusia berpecah kepada dua golongan iaitu mereka yang layak ke syurga & mereka yang akan dicampakkanke dalam neraka, wal‘iyazubillah. 
  1. Manusia ini perlukan kawalan dan sudah ada pengawal utama dalam diri manusia iaitu hati!
    Tetapi jika hati tidak beriman & tidak ikut perintah Allah pasti tidak akan bertugas dengan baik dan akan huru-hara, maka kerana itu diperlukan di kalangan manusia yang boleh menyelamatkan manusia dengan keimanan kepada Allah dengan menjalankan amar ma’ruf & nahi mungkar. 
    Jika tidak manusia akan berada dalam ancaman kebinasaan sebagaimana yang berlaku ke atas umat terdahulu!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kaum-kaum terdahulu yang kufur lagi derhaka telah dibinasakan secara menyeluruh tidak tertinggal baka. 
    Tetapi kaum LGBT muncul semula hari ini bahkan mendapat tempat & pengiktirafan di sesetengah negara!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan dua sebab manusia dibinasakan Allah & turunnya bala:
    a- Apabila tiada orang yang boleh melarang dan mencegah kemungkaran.

    b- Orang yang zalim berada dalam kemewahan maka orang lain pun ikutnya!
    Allah nyatakan sebab kebinasaan umat terdahulu ini sebagai pengajaran kepada orang terkemudian, agar kamu jangan buat begitu juga jika tidak kamu akan dibinasakan juga sebagaimana mereka! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 116- {MAKA SEPATUTNYA ADA DI ANTARA UMAT YANG TELAH DIBINASAKAN DAHULU DARIPADA KAMU ITU, ORANG-ORANG YANG BERKELEBIHAN AKAL FIKIRAN YANG MELARANG KAUMNYA DARI PERBUATAN-PERBUATAN JAHAT DI MUKA BUMI TETAPI SAYANG! TIDAK ADA YANG MELARANG MELAINKAN SEDIKIT SAHAJA, IAITU ORANG-ORANG YANG KAMI TELAH SELAMATKAN DI ANTARA MEREKA. DAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MELARANG ITU TELAH MENITIK BERATKAN SEGALA KEMEWAHAN YANG DIBERIKAN KEPADA MEREKA DAN MENJADILAH MEREKA ORANG-ORANG YANG BERDOSA.} (HUD 11:116)

  1. Allah kata alangkah eloknya jika ada di kalangan kamu orang yang cerdik dan mempunyai akal yang waras untuk bertugas mencegah, melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi.
  1. Jika tidak; kita hidup dalam bahaya dan menakutkan kerana duduk dalam kemurkaan dan ancaman bala dan azab dari Allah! 
    Jom kita pakat tegur jangan diam kerana jika kita diam akan binasa semuanya.
  1. Dalam masyarakat umat dulu itu bukan tidak ada golongan yang melarang ini tetapi sayang hanya sedikit saja di kalangan mereka yang Allah selamatkan ini! 
    Bahkan para rasul & pendakwah itu pula yang diancam & diugut jika menegur perbuatan buruk kaumnya itu!
  1. Manakala orang lain yang ramai itu, yang tidak melarang dan tidak menghiraukan kemungkaran yang berlaku itu amat mementingkan harta dan lagha lalai dalam segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang makin angkuh, sombong dan akan dianggap sebagai orang jahat lagi berdosa!
  1. Para pemimpin umat Islam, peringkat negeri peringkat negara, besar tanggungjawabnya di hadapan Allah Azza wa Jalla sekiranya mereka tidak menyekat menghalang mungkar & maksiat yang dibuat oleh orang yang tidak baik!
  1. Perkara mungkar ini bukan hanya berjoget atas pentas bercampur bebas lelaki perempuan, ada juga yang kita tidak nampak seolah bukan mungkar seperti amalan yang dikosmetikkan atas nama agama. 
    Seperti bergendang melompat atas masjid atas nama cinta Nabi atau amlan meminta & meggosok kubur dan seumpamanya! 
  1. Kita kena ambil peringatan, inilah perangkap syaitan “talbis iblis” kepada ahli ibadat yang sentiasa membelit ahli ibadat dengan amalan yang mereka lakukan.
    Rasa diri lebih baik, banyak ibadat dan seumpamanya. 
    Juga kita rasa cukup dengan ibadat kita tanpa mempedulikan keadaan atau orang sekeliling! 
  1. Antara kitab yang penting untuk kita baca & murajaah ialah seperti: Ihya’ Ulumuddin atau kitab Talbis Iblis (tipu daya atau penipuan syaitan (iblis)),semua ini kitab tasauf yang muktabar.

AYAT 117- {DAN TUHANMU TIDAK SEKALI-KALI HENDAK MEMBINASAKAN MANA-MANA NEGERI DENGAN SEBAB KEZALIMAN PENDUDUKNYA, SELAGI MEREKA SENTIASA MEMPERBAIKI KEADAAN SESAMA SENDIRI.} (HUD 11:117)

  1. Munasabah ayat:
    i- Kita telah lihat kebinasaan umat dulu kerana tiada muslih yang berdakwah mencegah manusia daripada kemungkaran!

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan bahawa Allah sesekali tidak akan membinasakan sesebuah negeri itu selagi ada di kalangan mereka orang yang soleh dalam amalannya serta muslih yang saling memperbaiki keadaan sesama sendiri!
  1. Yakni dalam masyarakat tidak cukup orang soleh (baik untuk dirinya sendiri saja) tetapi kita kena ada juga muslih, orang yang memperbaiki, membaik-pulih kerosakan yang dibuat orang lain juga!
  1. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
    Jadilah engkau di dunia ini seakan-akan orang yang asing (Ghuraba’).” (HR. Bukhari)

    Dalam riwayat Imam Tabrani dari Sahl RA, Rasulullah SAW ditanya: “Siapakah Ghuraba’ itu wahai Rasulullah?” 
    Baginda SAW menjawab, “Iaitu orang-orang yang melakukan perbaikan ketika orang-orang lain rosak.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    { ذَٰلِكَ أَن لَّمۡ يَكُن رَّبُّكَ مُهۡلِكَ ٱلۡقُرَىٰ بِظُلۡمࣲ وَأَهۡلُهَا غَٰفِلُونَ}
    Maksudnya: {Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.} [Al-An’am 6:131]
    Yakni Allah binasakan mereka dalam keadaan lalai.
  1. Kata Ibnu Jarir at-Tobari tentang ayat ini:
    i- Allah tidak binasakan sesuatu negeri itu dengan syirik saja sedangkan penduduknya orang yang baik-baik (walaupun kafir) tetapi mereka tunaikan hak orang, tidak menipu dan lain-lain. 

    ii- Tetapi Allah akan binasakan mereka apabila mereka zalim sesama manusia!
    Contoh kita tengok terdapat beberapa negara kafir yang aman & baik akhlak penduduknya! 
  1. Ini pandangan Ibnu Jarir dan juga al-Qurtubi: Allah tidak binasakan dengan sebab syirik saja (zalim dengan Allah) tetapi dengan sebab zalim sesama manusia juga! 
    Tetapi jika sudah diutuskan rasul untuk perbetulkan syirik, menyeru mereka kepada tauhid, tetapi mereka tak dengar juga- maka akan dibinasakan juga!

AYAT 118- {DAN KALAULAH TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGHENDAKI, TENTULAH IA MENJADIKAN UMAT MANUSIA SEMUANYA MENURUT AGAMA YANG SATU. (TETAPI IA TIDAK BERBUAT DEMIKIAN) DAN KERANA ITULAH MEREKA TERUS-MENERUS BERSELISIHAN.} (HUD 11:118)

  1. Munasabah ayat:
    i- Orang terdahulu dibinasakan kerana mereka zalim & tidak ada orang menasihati (muslih) maka berlakulah kezaliman.

    ii- Datang ayat ini Allah nyatakan jika Dia mahu, boleh saja Dia menjadikan manusia ini satu (Islam) dan bersatu semuanya, tetapi apa boleh bukan begitu ketetapan Allah! 
    Tuhan sudah tetapkan bahawa manusia ini sentiasa akan berikhtilaf masing-masing dengan pendapat dan kecenderungan sendiri.
  1. Allah nyatakan jika Dia mahu & kehendaki tentulah:
    i- Allah akan menjadikan umat manusia semuanya sama dan satu jenis saja, satu bangsa, satu warna kulit dan satu bahasa.

    ii- Serta menurut agama yang satu saja, semuanya Islam tidak ada yang kafir & ingkar!
  1. Sebagaimana firman Allah ini:
    {Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?} (Yunus 10:99)
  1. Untuk membaca tentang ikhtilaf & perbezaan manusia dalam beberapa sudut boleh baca buku ini,
    ISLAM ADALAH CARA HIDUP.
    Terdapat beberapa bab tentang ikhtilaf:
    https://dartaibah.com/…/*NEW-Buku-Islam-Cara-Hidup…
  1. Perpecahan di kalangan manusia memang berlaku bahkan makin hari makin parah sama ada dalam sudut agama atau kehidupan!

AYAT 119- {TETAPI ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERI RAHMAT OLEH TUHANMU, (MEREKA BERSATU DI DALAM AGAMA ALLAH)); DAN UNTUK (PERSELISIHAN DAN RAHMAT) ITULAH ALLAH MENJADIKAN MANUSIA. DAN DENGAN YANG DEMIKIAN SEMPURNALAH JANJI TUHANMU: “SESUNGGUHNYA AKU AKAN MEMENUHI NERAKA JAHANNAM DENGAN SEKALIAN JIN DAN MANUSIA (YANG BERDOSA)”.} (HUD 11:119)

  1. Manusia akan terus menerus berselisih, kecuali orang yang mendapat rahmat dari Allah; mereka bersatu di dalam agama Allah.
  1. Sebagaimana kata-kata hikmah:
    i- Ikhtilaf di kalangan umat yang alim ini adalah satu rahmat.

    ii- Kata Khalifah Umar Abdul Aziz: Aku suka juga jika kalangan sahabat berbeza pendapat dalam perkara furu’ (cabang) kerana ia akan menjadi luas. 
  1. Orang yang diberi hidayah & rahmat oleh Allah; akan beri hidayah untuk beriman dan ikut ajaran Rasulullah SAW; mereka tidak akan berbalah walaupun berbeza pendapat.
  1. Hadis Nabi SAW tentang ikhtilaf ini:
    i- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
    Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan.
    Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan
    . [Riwayat Abu Daud (4596)]

    ii- Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufian RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    أَلَا إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ افْتَرَقُوا عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ: ثِنْتَانِ وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

    Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 atau 73 golongan. 
    Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jemaah
    .” [Riwayat Abu Daud (4597)]

    iii- Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً، قَالُوا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟
    قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

    Maksudnya: “Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. 
    Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. 
    Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? 
    Nabi SAW menjawab: Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku
    .” [Riwayat at-Tirmizi (2641)]
  1. Kemudian Allah kata Dia akan tetapkan dan sempurnalah janji-Nya untuk memenuhkan neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia yang berdosa.
  1. Nota [376]: Yakni janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad melihat banyak manusia yang ingkar.
    Tuhanmu berkuasa menjadikan mereka sekaliannya beriman menurut agama Allah yang satu, tetapi Ia merancang tidak membuat demikian, malah masing-masing diberi ikhtiar untuk memilih, setelah mereka dilengkapkan dengan akal fikiran dan diutuskan kepada mereka Rasul-rasul-Nya dengan membawa Kitab Allah yang menerangkan mana yang benar dan mana yang salah. 

    Oleh kerana banyak di antara umat manusia yang menurut hawa nafsu dengan membelakangkan petunjuk Allah, maka mereka tetap berselisihan terus-menerus, ada yang kafir dan ada yang beriman.
  1. Yang jelas perpecahan manusia yang terbesar ialah perpecahan manusia di Akhirat: Terbahagi kepada dua golongan akhirnya, iaitu satu golongan ke syurga satu golongan lagi ke neraka!
    Itulah ketetapan Allah SWT manusia ada yang ke syurga ada yang ke neraka!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 116- {Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi..}-

    Jika ada di kalangan kaum terdahulu itu orang yang cerdik melarang kaumnya sebelum mereka dibinasakan!
    Ayat ini ayat pukul anak sindir menantu. Cerita orang dahulu tetapi untuk kita umat Muhammad sekarang ini juga.

    Kamu umat nabi Muhammad SAW, jika kamu nak aman dan nak selamat, maka tugas amar ma’ruf nahi mungkar jangan dilupakan! 
    Kena ada orang yang baik-baik (soleh) yang membaik-pulih (muslih) kerosakan yang dibuat oleh manusia lain!
    Orang yang menginfaqkan dirinya untuk dakwah, tidak kira bergaji atau tidak- semua kita mesti bersihkan bumi ini daripada kerosakan, mungkar, maksiat dan segala yang tidak baik!
    Ini kerana tali keamanan (tali keledar, safety belt) itu duduk pada amar ma’ruf nahi mungkar, tiada yang ini akan binasa.
    Pentingnya tugas amar ma’ruf nahi mungkar; jangan pendang remeh tugas yang mulia ini!
  1. Ayat 116- {Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi…}-

    Dalam ayat sebelum ini Allah menyuruh bersabar dan Allah tidak akan sia-siakan pahala orang yang baik!
    Maka datang ayat ini Allah nak peringatkan para sahabat Nabi SAW untuk menjalankan tugas ini menjadi orang yang berakal serta bersabar dalam menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar.

    Maka pada zaman kita ini para pendakwah dan umat Nabi Muhammad SAW hari ini adalah pengikut para Salafus-Soleh ikut jejak mereka menjalankan tugas ini dan sabar dalam melakukannya!

    Tanpa kesabaran kita tidak boleh berjalan kerana tidak mungkin manusia ini hidup begitu saja tanpa sabar dalam perjuangan.
    Ini kerana para pejuang kebenaran tidak akan hidup atas hamparan permaidani merah tetapi atas darah yang merah.
  1. Ayat 117- {Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.}-

    Allah tidak akan binasakan sesuatu kaum dengan sebab kezaliman syirik mereka sahaja. Jika mereka baik dalam hubungan dengan manusia, buat kebaikan tidak menipu & khianat orang.
    Maka Allah akan biarkan mereka hidup dulu atas dunia ini sehingga datang rasul yang berdakwah membawa kebenaran & peringatan, maka jika mereka ingkar, barulah mereka akan dibinasakan.

    Lihat saja umat Nabi Nuh AS sebelum dibinasakan tenggelam dalam air berapa lama mereka syirik!
    Dalam hadis Ibnu Abbas mengatakan jarak antara Nabi Adam & Nabi Nuh ialah 10 kurun, syaitan ajar mereka perlahan-lahan jadi syirik hasil dari ghuluw melampau dalam dalam memuliakan orang alim. Tidak binasa lagi.
    Jadi berapa lama mereka dalam keadaan syirik sehingga datang Nabi Nuh AS. 
    Nuh berdakwah pula selama seribu tahun sehinggalah tiada lagi yang akan beriman lalu mereka dibinasakan!

    Jadi Allah tegaskan sesuatu kaum itu tidak akan dibinasakan kerana syirik semata-mata selagi mereka tidak zalim & buat jahat khianat sesama manusia. 
    Allah mula binasakan apabila mereka menyelewang dalam muamalat, zalim sesama manusia dan melakukan kerosakan atas muka bumi! 
    Maka tidak kira dia kafir atau Islam, semua akan dibinasakan!
    Ayat ini bukan nak menyedapkan hati orang Islam untuk buat sewenang-wenang; tetapi nak ingatkan bahawa jika orang kafir boleh hidup tenang-tenang tetapi jika dia zalim akan binasa!

    Maka kamu orang beriman lebih-lebih lagi tidak sepatutnya buat zalim kerana di hadapan kamu ada al-Quran, ada Sunnah ada para rasul & nabi.
  1. Ayat 118- {Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.}-

    Jika Allah mahu Dia boleh buat saja manusia itu menjadi satu jenis & satu agama.
    Tetapi memang telah ditaqdirkan manusia tidak akan satu atau bersatu, mereka akan berterusan berikhtilaf berbeza pandangan kecuali orang yang menapat rahmat Allah! 

    Maka di sini ulama’ tafsir seperti Ibnu Asyur berkata: Ikhtilaf itu ada dua:
    i- Ikhtilaf yang mazmum (yang dicela) iaitu ikhtilaf dalam usuluddin- usul agama! 
    Tidak terima Islam, itulah manusia celaka sampai bila-bila atas dunia & Akhirat.

    ii- Tetapi jika ikhtilaf dalam perkara furu’ (cabang) yang boleh memberi keluasan itu tidak mengapa.
    Kita dalam Islam hari ini telah ditaqdirkan oleh Allah Azza wa Jalla terbahagi kepada 4 mazhab, dalam perkara furu’ Syar’iyyah, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafe’i & Imam Ahmad serta disokong oleh pengikut masing-masing. 

    Jika boleh bertoleransi insya’ Allah kita akan damai, menghormati pendapat masing-masing jangan saling tuduh menuduh dan berbalah.
    Kerana itu kita kena berhati-hati, jangan angkat bendera tuduh sana sini, menyesatkan orang itu orang ini, maka akan punahlah keharmonian.
    Sebab itu kita mengharapkan para pendakwah jangan celupar sangat, jaga mulut, jaga lidah dan jaga hati! 

    Jangan apabila dapat duduk di meja kuliah, boleh masuk kampung: mula mengata dan menghentam, menuduh orang tanpa berlapik & tabayyun!
    Tarbiyahnya nak suruh orang berbalah!

    Begitulah Allah telah tetapkan bahawa manusia ini berbeza; ada yang ke neraka ada yang ke syurga!
    Ada yang ikut Sunnah, ada yang tak ikut Sunnah, ada orang yang baik ada orang yang buruk, ada orang mulut baik ajak orang ikhlas ibadat & murnikan tauhid, ada mulut huduh mengata menuduh orang tanpa bukti! 
    Kerana itu kena sabar.

    Apabila Allah sebut ikhtilaf dalam al-Quran ada dua wajah:
    i- Semuanya mazmum buruk- seperti dalam firman Allah ini: 
    {… dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).} (Al-Baqarah 2:176)

    ii- Ikhtilaf ada dua jenis; ada yang mengikut kebenaran, ada yang batil sebagaimana firman Allah SWT ini:
    {Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.} (Al-Baqarah 2:253)

    Jadi kata ulama’ tadabbur: Apabila disebut ikhtilaf saja ia pergi kepada yang mazmum- seperti dalam ayat mereka ahli kitab berikhtilat tentang kitab yang diturunkan kepada mereka.
    Manakala ikhtilaf yang kita bincangkan adalah ikhtilaf dalam bab furu’, ia bukan mazmum dengan syarat ikut dsiplin, ikut SOP-nya jangan berbalah, ikut adab ikhtilaf.

    Manusia ini akan terjadi sebagaimana yang telah ditetapkan Allah.
    Kata Imam Qatadah : Orang yang ikut jamaah Muslimin, ikut perjalanan Nabi dan para sahabat, walaupun berbeza kedudukan jasadnya; jika mereka ikut manhaj Nubuwwah, mereka adalah ahli rahmah, orang yang akan mendapat rahmah.
    Manakala orang yang celaka ialah mereka yang berpecah, walaupun duduk dekat dalam satu negeri sekalipun, mereka tetap berpecah! 
  1. Ayat 119- {Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”.}-

    Allah kata dengan ketetapan Allah- Dia akan penuhkan neraka Jahannam itu dengan orang jahat dari kalangan jin & manusia! 
    Kata ulama’: Maka jelaslah ayat ini (sorih) bahawa:
    i- Allah ciptakan hamba-Nya ini untuk ke syurga dengan rahmat-Nya, (اللهم اجعلنا منهم) lalu Allah beri hidayah & taufiqkan mereka untuk beramal dengan amalan ahli syurga.

    ii- Kemudian ada juga Allah cipta manusia sesat kufur & syirik, lagi jahat, merekalah orang yang layak ke neraka (نعوذ بالله من النار)!
    Jelaslah bahawa manusia tidak akan jadi satu & bersatu, kafir dengan Islam sentiasa berbalah, ahli Sunnah & tidak ahli Sunnah saling berebut mengaku sunnah.
    Jangan berebut, kita kembali kepada apa yang dipegang oleh para sahabat Nabi SAW RA yang disambung oleh ulama’ tabi’e.
    Kita berbincang dengan baik, bawa kembali ke belakang insya’ Allah kita akan selamat!

    Kata ulama’ juga: Sepakat ulama’ mengatakan yang kafir dan jahat di kalangan jin akan masuk neraka juga sebagaimana manusia yang jahat akan masuk neraka- wallahu a’lam.

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top