View Categories

(30) Surah Hud: Ayat 120-123

11 min read

FAEDAH DARI KISAH AL-QURAN, CABARAN KEPADA KAFIR & ALLAH SWT TAHU SEMUA PERKARA.

Full video : https://yotu.be/NYnDLSRq8Sw?si=_dPNKliOL0l7bWlX

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 120 sehingga ayat 123 dalam juzuk kedua-belas. 
    Ini adalah ayat terakhir dalam surah Hud ini dengan 30 siri kuliah, alhamdulillah.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan faedah amali atau praktikal dari kisah-kisah nabi yang kita dengar dari al-Quran.
    Ia merupakan ibrah, iktibar & pengajaran yang besar supaya kita sedar bahawa punca kerosakan atas dunia ini adalah kezaliman!
    Sama ada zalim ke atas diri sendiri dengan syirik & maksiat kepada Allah atau zalim berbuat jahat ke atas orang lain.

    Inilah punca kebinasaan manusia atas muka bumi ini & azab di Akhirat kelak! 
  1. Allah juga mengajar kita untuk memberi teguran & cabaran kepada puak kafir jika mereka tetap degil tidak mahu menerima kebenaran! 
    Kita sama-sama tengok siapa betul siapa salah nanti!
  1. Kemudian ditegaskan bahawa Allah SWT tahu semua perkara tiada yang tersembunyi dari ilmu-Nya dan kepada Allah-lah kita semua kembali.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT dalam surah ini Allah bawakan kepada kita tujuh kisah para nabi AS.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan pengajaran & ibrah yang boleh diambil dari kisah anbiya’ dan umat terdahulu yang dibinasakan serta segelintir mereka yang selamat hasil dari mereka beriman dan ikut nabi AS.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 120- {DAN TIAP-TIAP BERITA DARI BERITA RASUL-RASUL ITU, KAMI CERITAKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), UNTUK MENGUATKAN HATIMU DENGANNYA. DAN TELAH DATANG KEPADAMU DALAM BERITA INI KEBENARAN DAN PENGAJARAN SERTA PERINGATAN BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (HUD 11:120)

  1. Allah nyatakan bahawa hikmah dari didatangkan kisah-kisa para nabi terdahulu & umat mereka pertama adalah untuk menguatkan hati Nabi SAW dan memberinya semangat kekuatan.
  1. Betapa setelah menghadapi tentangan dan perlawanan dari kaum kafir; akhirnya Allah telah beri kemenangan kepada para anbiya’ & kehinaan bagi kafir yang menentang! 
    Ini adalah contoh tauladan kepada Nabi SAW & umatnya! 
  1. Yakni kena sabar, jalankan tugas dan lawan tetap lawan di mana akhirnya pasti orang yang bertaqwa akan menang! 
    Tetapi kemenangan itu akan datang pada tempohnya betapa para nabi akan selamat.
  1. Cerita & kisah dalam Al-Quran adalah kebenaran tidak ada yang palsu. 
    Yang tidak benarnya adalah yang ditokok tambah seperti cerita Israiliyyat sebagai penyedap cerita dan halwa telinga.
    Kebanyakannya adalah cerita yang tidak logik & tidak sesuai dengan kemuliaan para anbiya’ yang mulia!
  1. Antara nabi-nabi yang paling banyak cerita israiliyyat yang merendahkan martabat mereka ialah Nabi Yusuf, Nabi Sulaiman, Nabi Ayub dan lain-lain.
  1. Hikmah & objektif kedua kisah-kisah ini dibawa dalam al-Quran ialah sebagai pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang beriman.
    Orang mukmin apabila dengar tentang azab & neraka akan takut kerana kita beriman & yakin bahawa ia adalah benar!
  1. Apabila kita dengar ayat-ayat ini kita berhati-hatilah jangan cenderung kepada orang yang zalim serta jangan berani-berani lawan Tuhan.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.} (Yunus 10:57)

AYAT 121- {DAN KATAKANLAH KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN: “BUATLAH APA YANG KAMU SANGGUP MELAKUKANNYA (DARI PERBUATAN INGKAR ITU). SESUNGGUHNYA KAMI JUGA TETAP MENGERJAKAN (NASIHAT PENGAJARAN YANG TUHAN BERIKAN KEPADA KAMI).} (HUD 11:121)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas kita telah dengar Allah SWT beri amaran & peringatan, galakan & ancaman!

    ii- Maka datang ayat ini sebagai satu cabaran serta amaran kepada orang kafir, jika kamu tidak beriman kamu juga akan binasa!
  1. Orang yang beriman mesti akan dengar kata, takut & ikut arahan. 
    Tetapi orang tidak beriman pastilah dia tidak takut kerana dia tidak percaya dengan apa yang disampaikan oleh para nabi.
  1. Allah perintahkan Nabi SAW memberi amaran kepada kaumnya yang tidak beirman & tidak menerima dakwah Baginda: Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya dari perbuatan ingkar itu.
    Ini adalah ayat cabaran, buatlah apa yang kamu nak buat yang bertentangan dengan seruan & dakwah Nabi SAW.
  1. Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami walaupun kamu tidak mahu terima & dengarnya!
  1. Maka jangan gaduh & berlorat sesungguhnya orang yang kufur & ingkar akan mendapat kebinasaan!

AYAT 122- {DAN TUNGGULAH (AKIBAT YANG BURUK YANG AKAN MENIMPA KAMU)! SESUNGGUHNYA KAMI JUGA MENUNGGU (AKAN KEMENANGAN DAN KEJAYAAN YANG DIJANJIKAN OLEH ALLAH KEPADA KAMI)”.} (HUD 11:122)

  1. Maka marilah kita sama-sama tunggu & lihat, akibat yang buruk yang akan menimpa kamu.
    Ini adalah ancaman kepada mereka!
  1. Sesungguhnya kami orang beriman juga menunggu akan kemenangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {“Dan wahai kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang agama Allah yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta. Dan tunggulah, sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu”.} (Hud 11:93)
  1. Kita sama-sama tunggu pada hari Kiamat kelak, sekarang ini tak apalah masing-masing ada hujjah & penyokong! 
    Atas dunia mungkin boleh menang & selamat tetapi di Akhirat tidak akan terlepas lagi!
    Ayat ini walaupun ditujukan kepada kafir asalnya, ia juga untuk semua manusia yang beriman.
  1. Tetapi ingat, benci setara mana pun jaga mulut jangan celupar mengatakan orang, jangan mengeluarkan perkataan buruk yang boleh membawa penyesalan dan bala ke atas diri sendiri! 

AYAT 123- {DAN ALLAH JUALAH YANG MENGETAHUI RAHSIA LANGIT DAN BUMI DAN KEPADANYALAH DIKEMBALIKAN SEGALA URUSAN. OLEH ITU, SEMBAHLAH AKAN DIA SERTA BERSERAHLAH KEPADANYA. DAN (INGATLAH), TUHANMU TIDAK SEKALI-KALI LALAI AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (HUD 11:123)

  1. Allah tutup surah ini dengan sifat-Nya yang Agung iaitu:
    i- Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi, serta segala isi kandungannya apa yang ada. 

    ii- Dan kepada Allah-lah kita semua akan dikembalikan & segala urusan akan diperhitungkan. 
    Semua akan menerima balasannya ikut amalan masing-masing!
  1. Maka hanya kepada Allah kita semabah & kita serahkan urusan kita kepada Allah, bertawakkal dan bergantung hanya kepada Allah dengan tauhid yang murni! 
    Jangan sesekali meminta dengan selain dari Allah atas nama apa sekalipun!
  1. Dan ingatlah Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan,
    Ingatlah sebagaimana yang selalu di ulang oleh AAM:
    Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah nanti- kita sendirilah penulisnya! 
    Nak baca yang baik buatlah baik!
  1. Maka biarlah lidah kita sentiasa basah dengan zikir & istighfar kepada Allah, bukan dok mengata, mengumpat dan memfitnah orang, tidak akan selesai masalahnya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 120- {Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya.}-

    Allah kata dibawakan kisah-kisah para nabi terdahulu untuk menguatkan hati Rasulullah SAW
    Agar Baginda kuat semangat tidak mudah kecewa dan patah hati dalam kerja dakwah.
    Mendengar kisah-kisah dalam al-Quran Ini akan menguatkan hati kita serta kental jiwa untuk terus berjuang pada jalan Allah! 
    Sebagaimana yang disebut dalam surah ini ada dua hikmahnya iaitu untuk menguatkan hati Nabi SAW serta sebagai rasul.

    Kita kena sabar dalam menanggung kesusahan serta jangan takut!
    Tidak mengapa kita hilang kepentingan & harta atas dunia ini asalkan kita tidak hilang keredhaan & kasih sayang Allah! 
    Hidup atas dunia ini hanya sementara sama ada kita tinggalkan dunia (mati) atau dunia yang tinggalkan kita (kerana benda itu rosak)!
    Boleh baca buku ini untuk mengetahui tentang 10 cara bagi meraih mahabbah Allah:

    Musafir Menuju Allah SWT
    https://dartaibah.com/…/*New-Musafir-Menuju-Allah-Oleh…
  1. Ayat 120- {… Dan telah datang kepadamu dalam berita ini kebenaran.}-

    Ulama’ tadabbur mengkaji lagi:
    Kenapa Allah kata dalam ayat ini: {.. datang kepadamu berita yang benar.}- sedangkan- bukankah ayat-ayat dalam al-Quran itu semuanya benar. 
    Kenapa Allah fokuskan kepada ayat ini {ٱلْحَقُّ}?
    Ada beberapa analisa ulama’ tentangnya:
    i- Kerana ayat ini ada amaran kepada orang kafir & cabaran kepada penentang Islam, maka kita nak suruh dia celik mata buka telinga! 
    Cerita itu betul dan benar, kenapa kamu nak lawan juga??!! Telah terserlah kebenaran.

    ii- Kerana ia adalah cerita tentang para nabi juga cerita tentang syurga & neraka, maka ia adalah benar!

    iii- Cerita dalam al-Quran itu semua betul tetapi kerana banyak kisah dalam surah ini, maka Allah sebut ianya benar untuk memuliakan surah Hud ini.
    Dalam surah lain pun disebut juga tetapi ini khas bagi surah ini!

    Semoga Allah memberi taufiq kepada kita untuk memilih yang terbaik & dapat memberi lebih banyak kefahaman kepada para pendengar. 
    Jika bercakap dari hati insya’ Allah ia akan turun & masuk ke dalam pendengar.
  1. Ayat 121- {Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman: “Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari perbuatan ingkar itu).}-

    Allah suruh Nabi SAW mencabar puak kafir, buatlah apa yang kamu nak buat dari keingkaran itu jika kamu tak mahu ikut juga. 
    Kata ulama’ tadabbur seperti Ibnu Asyur: 
    Allah perintahkan Nabi SAW untuk berkata kepada puak kafir untuk buat apa yang mereka nak buat! 
    Kelak di Akhirat kita akan bertemu di hadapan Allah.

    Ini kerana apabila kita yakin akan sesuatu perkara atau pegangan; kita mesti mempertahankannya. 
    Seperti sekaran, biarlah orang kata apapun apabila kita yakin apa yang kita belajar ini adalah berdasarkan al-Quran, Sunnah Nabi SAW & tafsiran para ulama’ salaf; kita kata tak mengapa kamu cara kamu (berdasarkan mimpi atau wasiat tok guru), kita cara kita dengan
    (قال الله وقال الرسول)!
    Tetapi ingat kita tak akan sudah di sini atas dunia saja, kita sama-sama tunggu dan lihatlah siapa yang benar di Akhirat kelak!

    Tetapi adab ikhtilaf kita kena jaga, jangan berbalah kita usaha setakat yang kita mampu.
    Kita pendakwah kena yakin dengan apa yang kita bawa berdasarkan dalil yang ada, bukan ikut nafsu!
    Hubungan awal atau kepala surah dengan akhir surah amat dekat:
    i- Pada awal surah dinyatakan kamu jangan sembah selain daripada Allah & Allah nyatakan peranan & tugas para rasul ialah memberi amaran (نذير) kepada orang kafir dan memberi khabar gembira (بشير) kepada orang beriman!
    Siapa yang tauhid dia selamat, siapa syirik akan binasa!

    ii- Maka di akhir surah Allah nyatakan siapa yang dengar dakwah para nabi alhamdulillah, siapa yang tak dengar juga Allah cabar, buatlah apa yang kamu nak buat!!! 
    Ini menunjukkan bahawa al-Quran itu datang dari sumber yang satu iaitu dari Allah yang Esa!

    Bukan setakat awal ayat dengan akhir ayat, bahkan awal surah dengan akhir surah pun indah kesinambungannya!
  1. Ayat 123- {Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.}-

    Ayat terakhir dalam surah ini mengandungi beberapa sifat dan janji Allah kepada orang beriman.
    Ulama’ tadabbur seperti Abu Hayyan berkata dalam ayat ini ada lima point:
    i- {Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi}-
    Allah mengetahui semua perkara- yang besar yang kecil yang zahir atau batin.

    ii- {dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan}-
    Menunjukkan kuasa Allah mutlak; tiada siapa boleh halang & lawan.

    iii- {Oleh itu, sembahlah akan Dia}-
    Kita sembah & beribadat secara zahir & batin hanya kepada Allah yang Esa dan tunggal.

    iv- {serta berserahlah kepadaNya.}-
    Kita berserah diri, tawakkal hanya kepada Allah SWT.

    v- {Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.}-
    Allah tidak lalai tidak lupa tentang apa yang kamu buat.
    Maka kamu jangan bimbang jika kita ikhlas dalam ibadat walaupun tiada siapa yang tahu; pahala dan balasan tetap akan diberi dengan adil di Akhirat kelak!

    Kerana itu Allah kata sembah Allah & tawakkal kepada Allah.
    Tawakkal saja tidak akan memberikan hasil- kena ada sebab & usaha seperti ibadat dan seumpamanya.

    Mukjizat dari sudut bilangan ayat dalam surah Hud ini:
    i- terdapat 28 ayat yang berakhir dengan huruf (ya & nun- ي & ن ) seperti perkataan { مُّبِينٍ, لِلذَّٰكِرِينَ, ٱلْمُحْسِنِينَ};

    ii- dan 28 ayat juga yang berakhir dengan (wau & nun- و & ن) seperti {مُصْلِحُونَ, تَعْمَلُونَ, عَـٰمِلُونَ}.
    Semua ini berjumlah 56 ayat- separuh-separuh. 
    Betapa para ulama’ tadabbur begitu teliti mengkaji dan mencari keistimewaan dalam al-Quran.

    Doa;
    Ya Allah Ya Tuhan kami; kami memohon dengan nama-Mu yang maha indah dengan sifat-Mu yang maha tinggi.
    Ya Allah kami telah khatam Surah Hud dalam 30 siri kuliah.

    Ya Allah cerahkanlah hati kami lapangkanlah dada kami masukkanlah ibrah dan pengajaran daripada ayat yang kami baca.
    Jadikanlah kami ini orang yang cinta kepada Al-Quran dan Ahli Quran.

    Serta berikanlah kami taufiq dan hidayah untuk mengambil pengajaran dan iktibar daripada ayat-ayat yang kami baca, untuk beramal dengan isi kandungannya, untuk berpegang dengan Quran dan Sunnah. 

Alhamdulillah tamatlah tafsir surah Hud ini secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top