View Categories

(24) Surah Hud: Ayat 96-99

12 min read

NABI MUSA AS MEMBAWA MUKJIZAT, BERDEPAN DENGAN FIR’AUN & KAFIR DILAKNAT

Full video : https://youtu.be/iUX_h8pgK84?si=ltOMGF1dX48cy-sF

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 96 sehingga ayat 99 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Musa AS, ini adalah kisah ketujuh cerita tentang nabi-nabi dalam surah ini. 
    Allah berikan kepada nabi Musa mukjizat yang boleh membuatkan manusia percaya kepadanya, yang masyhur terdapat 9 ayat atau tanda yang Allah sebut dalam al-Quran. 
  1. Cabaran terbesar nabi Musa ialah berdepan dengan Fir’aun dan pembesar; kuncu-kuncunya yang zalim. 
    Tetapi Nabi Musa tidak takut kepada Fir’aun kerana dia hanya takut kepada Allah!
    Inilah keberanian para nabi & rasul seta para pejuang Islam yang berpunca dari pergantungan & tawakkal mereka kepada Allah SWT sepenuhnya! 
    Apabila kita tahu kita bergantung kepada Allah yang Maha berkuasa lagi Maha gagah perkasa yang pertolongan-Nya akan datang apabila tiba masanya!
  1. Fir’aun sebagai ketua membawa kaumnya ke dalam neraka. 
    Begitulah kesudahan kafir yang dilaknat sejak dari dulu sehingga sekarang.
    Fir’aun menjadi sebutan dan lambang kezaliman sepanjang zaman, begitulah watak-watak seperti Fir’aun akan sentiasa ada.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah beberapa orang nabi lain sebelum kisah nabi Musa ini. 
    Ini adalah kisah yang ketujuh & yang terakhir dalam surah ini.

    ii- Maka dalam ayat ini diceritakan pula kisah nabi Musa & Fir’aun.
    Kisah nabi Musa ini telah banyak disebut dalam perlbagai surah dalam al-Quran.

    Ini kerana kisah nabi Musa AS ini banyak episod dan kisahnya serta watak Fir’aun itu akan sentiasa muncul di sepanjang zaman; maka Allah sebut dan ulang kisahnya di sana & di sini untuk kita ambil pengajaran.
  1. Nota (369) Mulai dari ayat ini diceritakan pula perihal Nabi Musa AS dengan Fir’aun dan kaumnya dengan ringkas.
    Tidak seperti di dalam surah al-A’raf dan surah lain yang diceritakan dengan lanjut dan satu-persatu. 
    Demikianlah halnya kisah nabi-nabi secara umum, disebut di sana dan sini kerana banyak episodnya. 

    Apa yang telah diceritakan di dalam sesuatu surah, diceritakan pula dalam surah yang lain dari segi yang lain dengan cara yang lain untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang balasan orang yang beriman dan balasan buruk bagi orang yang kafir & ingkar!
  1. Antara ayat-ayat lain yang menyebut tentang kisah nabi Musa juga ialah:
    i- Surah Al-A’raf (7) Ayat 103-104: Menerangkan perutusan Nabi Musa kepada Firaun dan mukjizatnya.

    ii- Surah asy-Syuara’- ayat 17 sehingga 28.

    iii- Surah Taha (20) Ayat 1-13: Menceritakan perutusan awal Nabi Musa dan pertemuannya dengan Allah di Bukit Tursina.

    iv- Surah Al-Qasas (28) Ayat 11: Menggambarkan ketakutan ibu Musa.

    v- Surah Al-Baqarah (2) Ayat 49: Menyebut tentang penyelamatan Bani Israel dari Firaun.

    vi- Surah Ghafir- ayat 35- 37.
    Kisah Nabi Musa AS disebut dalam lebih 136 ayat Al-Quran, merangkumi pelbagai peristiwa penting dalam hidupnya, menjadi pedoman utama bagi umat Islam.
  1. Pengajaran dari ayat ini sangat jelas iaitu selamatnya nabi Musa AS dan pengikutnya yang beriman & binasanya Fir’aun dan kuncu-kuncunya yang kufur lagi zalim.
    Begitulah nasib malang mereka yang kafir lagi penuh kerugian jumpa nabi & rasul mereka menentang & tidak beriman.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 96- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENGUTUSKAN NABI MUSA DENGAN MEMBAWA AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, DAN BUKTI (MUKJIZAT) YANG NYATA:} (HUD 11:96)

  1. Allah menyatakan Dia telah mengutus nabi Musa sebagai seorang rasul serta diberikan kepadanya kekuatan mukjizat yang luar biasa sebagai tanda dan bukti yang nyata.
    Yang paling masyhur ialah tongkat menjadi ular & tangan yang bercahaya!
  1. Ada ulama’ kata : Ayat atau tanda itu ialah kitab Taurat.
  1. Ada ulama’ yang mengatakan : Ia adalah benda. 
    Allah SWT beri kepada Nabi Musa AS 9 tanda yang menunjukkan kebenarannya sebagaimana yang disebut dalam al-Quran: 
    i- Tongkat menjadi ular besar: Tongkat Nabi Musa berubah menjadi ular besar yang menelan ular-ular sihir para ahli sihir Firaun.

    ii- Tangan menjadi putih bersinar: Tangannya menjadi putih bersih bersinar tanpa penyakit ketika dikeluarkan dari bajunya.

    iii- Banjir besar melanda, Sungai Nil melimpah banjir.

    iv- Belalang (Jaraad): Hujan belalang menyerang tanaman dan makanan mereka.

    v- Kutu (Qummal): Hama kutu menyerang tubuh dan ternak.

    vi- Katak (Dafadi’): Katak-katak memenuhi rumah-rumah mereka.

    vii- Darah (Dam): Air menjadi darah, bau busuk dan darah di mana-mana.

    viii- Kemarau (Qatt): Kekeringan yang melanda Mesir.

    ix- Kekurangan(Naqs): Sama ada harta, zuriat & buah-buahan berkurang secara drastik.
    Ini semua menunjukkan keagungan Allah SWT yang diturunkan melalui Nabi Musa AS.
  1. Walaupun sedemikian banyak tanda-tanda, tetapi apakan daya Fir’aun & kuncunya tetap sombong angkuh, degil keras kepala, hati mereka telah tertutup daripada menerima kebenaran. Sebagaimana kata orang- bawalah rimau gajah pun tak hirau, walaupun malaikat turun dari langit pun mereka tetap tak percaya!
  1. Begitulah hati manusia ini susah; bila dia dah terima sesuatu jenis dia tak akan terima yang lain! 
    Susah untuk dibuka supaya dia terima & tilik kepada dua-dua agar boleh buat penilaian dan pilihan dengan tepat- yang mana lebih betul, yang mana lebih dekat kepada al-Quran & Sunnah.

AYAT 97- {KEPADA FIRAUN DAN KAUMNYA; LALU KAUM FIRAUN MENURUT PERINTAH FIRAUN, SEDANG PERINTAHNYA ITU BUKANLAH PERINTAH YANG BETUL.} (HUD 11:97)

  1. Allah utuskan nabi Musa AS dengan tanda-tandanya {بِـَٔايَـٰتِنَا} kepada Fir’aun dan pembesar kaumnya yang taksub dan taat setia mengikut perintah Fir’aun yang sesat lagi zalim!
  1. Sedangkan ajaran & perintah Fir’aun itu bukanlah sesuatu yang betul, contohnya Fir’aun mengaku jadi Tuhan; mereka tetap percaya dan mengakuinya! 
  1. Begitulah setiap ajaran sesat itu walaupun jelas tak logik bagi akal yang sihat; tetap ada pengikut yang mempercayainya! 
    Seperti, Mengaku jadi nabi, mengaku solat di Makkah tak payah solat lagi dan lain-lain.
  1. Fir’aun itu adalah penuh dengan kekufuran,kejahatan, kesesatan, bukan setakat kufur tetapi mengaku jadi Tuhan dan kezaliman terhadap bani Israil! 

AYAT 98- {FIRAUN AKAN MENGETUAI KAUMNYA PADA HARI KIAMAT KEMUDIAN TETAPLAH IA AKAN MEMBAWA MEREKA MASUK KE NERAKA. DAN SEBURUK-BURUK TEMPAT YANG DIMASUKI IALAH NERAKA.} (HUD 11:98)

  1. Ayat ini jelas munasabahnya:
    i- Apabila Fir’aun sesat;

    ii- Maka nerakalah tempat pengakhirannya!
  1. Allah nyatakan bahawa di hari Kiamat kelak- Fir’aun & geng-gengnya akan mengetuai delegasi golongan kafir, membawa mereka semua masuk neraka.
  1. Ayat ini jelas mensabitka bahawa Fir’aun masuk neraka, dia seorang kafir, tidak beriman kepada Allah.
    Ini menolak pandangan yang mengatakan Fir’aun sempat beriman di akhir hayatnya.
  1. Itulah tempat paling buruk yang akan dimasuki manusia iaitu neraka! 
    Na’uzubillah minhu!
    Kerana itu sentiasa kita berdoa minta perlidungan dengan Allah dari neraka plaing 3 kali! 
    اللَّهُمَّ أَجِرْنِا مِنْ النَّارِ
  1. Selepas berdoa kepada Allah, kita perbetulkan channel hidup, murnikan tauhid & ibadat kita, perbaikkan akhlak kita, apa yang Allah haramkan jangan senang-senang dilanggar.
    Lakukan perintah Allah & tinggalkan segala bentuk maksiat!

AYAT 99- {DAN MEREKA DIIRINGI OLEH LAKNAT YANG TIDAK PUTUS-PUTUS DI DUNIA INI, DAN PADA HARI KIAMAT. (SEBENARNYA) LAKNAT ITU ADALAH SEBURUK-BURUK PEMBERIAN YANG DIBERIKAN.} (HUD 11:99)

  1. Munasabah ayat juga jelas:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan Fir’aun akan mengetuai rombongan golongan masuk ke dalam neraka!

    ii- Dalam ayat ini pula Allah nyatakan atas dunia lagi mereka akan dihina Allah & dikutuk manusia seluruhnya! 
    Mati tenggelam dan mayatnya diusung menjadi bahan kajian!
  1. Atas dunia ini lagi orang laknat Fir’aun, laknat kuncu-kuncunya, laknat segala watak-watak Fir’aun yang ada pada zaman masing-masing. 
  1. Walaupun Fir’aun telah mati tenggelam dalam laut, tetapi dia masih lagi dikutuk oleh manusia tidak putus-putus atas dunia ini. 
  1. Manakala pada hari Kiamat di Akhirat kelak akan dapat laknat lain pula iaitu masuk ke dalam neraka sebagai seburuk-buruk tempat pengakhirannya!
  1. Di akhir ayat Allah kata: {laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan}, iaitu dua perkara buruk kena atasnya; laknat atas dunia & laknat di Akhirat iaitu neraka.
    Kita minta berlindung dengan Allah SWT dari segala kejahatan dunia & Akhirat, lalu mendapat keredhaan & restu Allah SWT.

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 96- {Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata:}-

    Allah utuskan nabi Musa kepada Fir’aun dengan bukti & mukjizat yang nyata! Tetapi apa boleh semua itu tidak memberi faedah kepadanya.
    Allah juga nyatakan perangai Fir’aun, diikuti orang walaupun tak cerdik, orang taat kepadanya walaupun dia derhaka kepada Allah! 

    Maka timbullah pengajaran dari ayat yang mulia ini:
    i- Sepanjang zaman & tempat, akan ada dan akan munculnya watak seperti Fir’aun yang menggoda manusia, menyekat dari jalan Allah & mengajak manusia menyembahnya, walaupun bukan sembah secara fizikal tetapi secara ideologi.
    Lalu manusia akan taat kepada watak Fir’aun ini, mereka tidak akan dapat hidayah & petunjuk dari al-Quran walaupun al-Quran dekat dengan mereka! 

    ii- Allah sudah nyatakan bahawa Fir’aun itu tidak cerdik maka orang yang taat & ikutnya pastilah lebih tidak cerdik & tidak menggunakan akal fikiran yang sewajarnya!

    iii- Apa yang Fir’aun bawa dan ajak kamu ikut itu tidak betul bahkan ia akan membawa kamu ke neraka! 
    Maka jangan sesekali kamu ikut & terpedaya dengan Fir’aun-Fir’aun yang ada pada zaman ini.
    Fir’aun zaman dulu menekan manusia, jika sekarang ini mungkin begitu juga, watak Fir’aun mempunyai kuasa & menekan manusia jika di negara kafir.

    Maka kita kena jaga prinsip hidup kita, setakat mana kita boleh lepaskan diri daripada kesyirikan, mungkar & maksiat. 
    Maka wajib kita hindari & usaha, agar iman & diri kita selamat; jangan kata nak buat macamana, dah negara kafir ikut aje lah!
    Watak Fir’aun ada di mana-mana sepanjang zaman, pengikut & pemikirannya maka kita hati-hatilah!
  1. Ayat 97- {… lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul.}-

    Ulama’ mengatakan di sini bahawa : Mengikut prinsip Islam:
    i- Perbuatan individu jika berkait dengan ketua akan jadi perbuatan grup atau kumpulan, yakni berkait sama. 
    Jika kita duduk dalam kumpulan atau circle yang toksik pastilah kita akan turut jadi orang yang toksik juga! 

    Untuk membersihkannya kita kena keluar dari kelompok yang tak baik itu! 
    Jika kita sudah duduk bersama dalam sesuatu kumpulan itu, sebagai ahli atau membernya, kita tak boleh lagi berlepas diri dengan mengatakan itu pandangan mereka bukan pandangan saya- sedangkan kita duduk bersama mereka! 

    Jika tak mahu terpalit dengan pegangan atau pandangan mereka itu, keluarlah dari grup atau circle mereka itu!
    Jika tidak, kita akan dipertanggungjawab juga dengan apa yang mereka sebarkan, dengan apa maksiat yang mereka buat! 
    Kerana itu kita orang beriman tidak boleh menjadi seperti lalang, condong ke arah mana saja angin tiup, ke hilir atau ke hulu!

    Orang beriman wajib ada prinsip & teguh pegangannya, di mana prinsip kita halal haram, prinsip al-Quran & Sunnah, prinsip ikut para ulama’ yang muktabar! 
    Tidak boleh kluk-klik, berdolak-dalik sekali begitu sekali begini!

    Pengikut Fir’aun tadi begitulah, tidak tahu apa pegangan & tidak ada prinsip, hanya ikut apa yang Fir’aun suruh.
    Tetapi mereka tidak boleh menggunakan alasan hanya ikut Fir’aun untuk melepaskan diri, kerana mereka tetap akan di pertanggungjawab atas perbuatan mereka itu!
  1. Ayat 98- {Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.}-

    Fir’aun akan mengetuai rombongan delegasi ke neraka!
    Para ulama’ tadabbur berkata : Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Fir’aun itu mati dalam keadaan kafir!
    Kerana jelas lagi nyata Allah sebut dalam ayat ini Fir’aun yang mengetuai {يَقْدُمُ} ahli neraka masuk dalam neraka, maknanya dia masuk juga!

    Kita pun sudah yakin, pengakuan Fir’aun beriman kepada Tuhan Musa & Harun ketika nak mati lemas itu sudah terlambat kerana pintu taubat sudah tertutup kerana nyawanya sudah di halkum!
    Begitulah Fir’aun sebagaimana di dunia pengikutnya ikut dia, di Akhirat kelak dia akan mengetuai pengikutnya masuk neraka pula! Wal‘iyazu billah!

    Kita pun hati-hatilah jangan mudah terpengaruh apabila lihat orang yang hebat, ini kerana neraca timbangan kita duduk di betul ikut Quran & Sunnah. 
    Jika tidak betul maka jangan ikut-kita perbetulkan! 
    Jangan kira orang lain buat belaka- agama kita tidak begitu!
  1. Ayat 98- {Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.}-

    Ayat ini memberi peringatan kepada kita akan perjalanan akhir kita manusia di Akhirat nanti!
    Setiap manusia itu sama ada dia bersyukur atau kufur, maka begitulah balasannya. 

    Allah sudah tunjukkan jalan yang benar kenapa kamu pilih jalan yang salah!!!
    Sebagaimana firman Allah SWT :
    i- {Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).} (Al-Insan 76:3) 

    ii- {Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka;} (As-Sajdah 32:20) 
    Ayat ini menunjukkan setiap perjalanan akan berakhir & pengakhirannya hanya ada dua iaitu sama ada syurga atau neraka! Kita pilihlah yang terbaik untuk kita!

    Maka kita usahalah agar dapat yang terbaik & yang selamat!
  1. Ayat 99- {Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat.}-

    Ulama’ kata : Sebelum mendapat azab neraka di Akhirat, terlebih dahulu mereka akan dihina dan mendapat laknat sejak di dunia lagi! 
    Ini kita dapat lihat hakikatnya seperti Fir’aun, mayat tak masuk kubur, dihina dijadikan bahan ujikaji! 

    Kemudian dia juga dikutuk & dibenci orang, semua orang sepanjang zaman memperkatakan kejahatan dan kezalimannya!
    Begitu juga kaum lain yang jahat & kafir disebut kejahatan mereka dilaknat oleh semua orang beriman seperti kaum Ad, Thamud apatah lagi kaum Lut!

    Contohnya juga Abu Righal yang mejadi spy & talibarut penunjuk jalan kepada Abrahah yang nak masuk menyerang Ka’bah.
    Dia dibenci dan dilaknat oleh orang Arab. 

    Puak jahiliyyah apabila mereka pergi buat haji di Makkah mereka akan cari kuburnya untuk dikencing & dilaknat! 
    Inilah laknat di dunia lagi.

    Para pemimpin & ketua, peringkat mana sekalipun; buatlah yang terbaik agar disayangi rakyat! 
    Jangan buat zalim & aniayai orang, sombong dan angkuh! 

    Kerana kita tidak mahu sebelum dibicarakan di hadapan Allah di Akhirat kelak, atas dunia lagi sudah dibenci & dilaknat manusia dan orang-orang soleh dan para malaikat!
    Marilah kita jadi orang baik agar tidak dibenci & dilaknat! 

    Kita ambillah kisah-kisah ini sebagai ibrah pengajaran, watak Fir’aun tidak akan mati, ia akan muncul sepanjang zaman!

Alhamdulillah tamatlah tafsir kita secara ringkas, semoga bertambah kefahaman dan keimanan.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top