SIKAP KAFIR BILA AZAB TAK DATANG, ATAU NIKMAT HILANG & ORANG MUKMIN SENTIASA SABAR.
Full video : https://youtu.be/hePoffZhTIY?si=RLDRzxosHC1wGzLA
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 08 dan ayat 11 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan sikap puak kafir bila azab tak datang, mereka memerli dan memintanya dari Nabi SAW
Itulah kerja mereka perli-main, istihza’ kepada Nabi SAW & Islam.
- Mereka juga apabila Allah uji mereka dengan mendapat nikmat mereka angkuh takabbur; atau apabila nikmat itu hilang atau ditahan; mereka terus kecewa dan putus asa.
- Kemudian Allah puji orang mukmin yang sentiasa sabar dalam semua keadaan, susah atau senang, hujan atau panas sentiasa redha & tenang.
Ya Allah jadikan kami sebagai golongan yang berkerja untuk Islam, beramal kerana Allah serta pencinta al-Quran & Sunnah yang sabar selalu atas segala tohmahan, penentangan & tuduhan, mudah-mudahan Allah beri kita pahala yang besar, layak mendapat syafaat Nabi SAW dan tersenarai sebagai ahli syurga yang dijanjikan untuk orang bertaqwa!!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang feel perangai puak kafir yang apabila kalah, tiada hujjah untuk berlawan dengan Nabi SAW, mereka gunakan tuduhan dan melabel dengan gelaran yang tidak relevan seperti ahli sihir, penyair, gila dan seumpamanya.
ii- Datang ayat ini Allah menegaskan bahawa kerja Nabi bukan menurunkan mukjizat atau mendatangkan azab, itu semua di bawah kuasa & kehendak Allah!
Kamu tunggulah sehingga tiba tempohnya azab akan turun di depan mata kamu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 8- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA KAMI TANGGUHKAN AZAB DARIPADA MENIMPA MEREKA HINGGA KE SUATU MASA YANG TERTENTU, TENTULAH MEREKA AKAN BERKATA (SECARA MENGEJEK): “APAKAH YANG MENGHALANGNYA?” KETAHUILAH! PADA HARI DATANGNYA AZAB ITU KEPADA MEREKA, TIDAK AKAN DAPAT DITOLAK DARIPADA MENIMPA MEREKA, DAN TENTULAH MEREKA AKAN DILIPUTI OLEH AZAB YANG MEREKA TELAH EJEK-EJEK ITU.} (HUD 11:8)
- Allah nyatakan keadaan puak kafir itu apabila Allah tangguhkan tempoh azab ke atas mereka buat beberapa ketika, mereka memerli, mempermain-mainkan ancaman Nabi SAW itu, dengan menyangka azab itu tidak akan datang menimpa ke atas mereka.
- Lalu Allah peringatkan puak kafir; tengoklah apabila azab yang kamu pinta-pinta dan tidak percaya itu datang, tiada siapa yang boleh halang dan menolaknya daripada kamu!!
Sebagaimana Abu Jahal dan gengnya yang sentiasa menyakiti Nabi SAW dan orang Islam dibunuh dan mayatnya dicampak ke dalam telaga buruk!
Begitu juga Abu Lahab yang jasadnya membusuk, Allah tunjukkan betapa mereka hina di dunia & hina pula di Akhirat kelak!
- Azab itu apabila ia datang, ia tidak akan memilih siapa yang akan kena, semua akan kena.
Cuma keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW tidak berlaku kebinasaan yang menyeluruh seperti umat nabi terdahulu.
Hanya sebahagian atau berperingkat secara sedikit saja dulu.
Inilah yang dikatakan Nabi SAW sebagai Rahmatan lil-Alamin, bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada seluruh alam manusia, alam haiwan & tumbuhan juga!!!
AYAT 9- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! JIKA KAMI RASAKAN MANUSIA SESUATU PEMBERIAN RAHMAT DARI KAMI KEMUDIAN KAMI TARIK BALIK PEMBERIAN ITU DARIPADANYA, MENDAPATI DIA AMAT BERPUTUS ASA, LAGI AMAT TIDAK BERSYUKUR.} (HUD 11:9)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Dia nak uji manusia untuk lihat siapakah di antara kamu yang baik amalannya.
Kemudian Allah nyatakan apabila ditangguhkan azab mereka sombong dan angkuh ingat selamat!
ii- Datang ayat ini Allah nyatakan mereka ini apabila dapat nikmat, mereka angkuh takabbur manakala apabila ditahan nikmat ke atas mereka terus kecewa putus-asa.
Begitulah sifat buruk orang kafir yang keras kepala.
Ayat ini nak menceritakan kepada kita buruknya orang yang sedemikian sifatnya!!
- Nota [339]- Dalam ayat suci ini Allah Ta’ala menggambarkan tabiat manusia.
Apabila ia diberi kesenangan dan kemewahan hidup, kemudian kesenangan itu ditarik balik, maka ia segera berputus asa untuk mendapat kembali kesenangan yang seperti itu dari kurnia Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan tidak bersyukur serta tidak mengenang budi sama sekali akan nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya pada masa yang lalu.
Kita jangan jadi manusia yang berikut; waktu senang sombong, ketika susah terus kecewa.
- Allah nyatakan keadaan & sifat manusia, semua jenis manusia apa saja, orang apa termasuk semua (kecuali orang utan):
i- Jika diberikan nikmat seperti senang hidup, rezeki yang luas & kaya, hidupnya bahagia, kesihatan yang baik; mereka akan sombong, angkuh takabbur dan tidak mensyukuri nikmat itu!
ii- Juga apabila Allah tarik nikmat itu, diberi ujian kesusahan, kesakitan dan seumpamanya; mereka akan terus kecewa, putus harap, stress, depression (nnungging nyor), tidak sabar menghadapi ujian yang Allah beri itu!
Inilah sifat buruk yang kita kena jauhi!
AYAT 10- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KALAU KAMI MEMBERINYA PULA KESENANGAN SESUDAH IA MENDERITA KESUSAHAN, TENTULAH IA AKAN BERKATA: “TELAH HILANG LENYAPLAH DARIKU SEGALA KESUSAHAN YANG MENIMPAKU”. SESUNGGUHNYA IA (DENGAN KESENANGANNYA ITU) RIANG GEMBIRA, LAGI BERMEGAH-MEGAH (KEPADA ORANG RAMAI).} (HUD 11:10)
- Begitu juga manusia ini apabila mendapat kesenangan sesudah menderita kesusahan diperluaskan hidupnya sesudah sempit ia akan berbangga dan bermegah-megah kepada orang lain!
Dia juga akan kufur nikmat & akan lawan Tuhan.
- Munasabah ayat:
i- Manusia ini apabila diberi kesusahan dia kecewa & putus-asa!
ii- Datang ayat ini menyatakan keadaan manusia apabila diberi kesenangan dia kufur nikmat pula!!!!
- Yakni apabila diberi kesenangan selepas kesempitan & kesusahan, dia dengan penuh kegembiraan menjadi sombong angkuh, berbangga menunjuk kepada orang ramai,
{لَفَرِحٌۭ فَخُورٌ}
angkuh & tidak bersyukur kepada Allah!
Lupa & tidak sedar diri akan kesusahannya dulu!
- Dia lupa akan perjalanan hidup atas dunia ini yang sentiasa bertukar ganti, pagi petang siang malam, sejuk panas dingin hujan; semuanya silih berganti tiada satupun yang kekal atas dunia ini!
- Dia lupa untuk mencari nikmat yang kekal, iaitu bahagia yang berterusan di Akhirat kelak!
- Ayat ini sama seperti firman Allah ini juga:
{Dan (ingatlah) sesungguhnya apabila Kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya, kerana) sesungguhnya manusia itu sangat tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya.} (Asy-Syura 42:48)
- Nota (340)- yakni pada saat dia lupa daratan sehingga dia lalai daripada bersyukur kepada Allah yang telah memberinya kesenangan.
Bahkan ia berlaku sombong bongkak memandang rendah terhadap orang lain!
Inilah sifat manusia yang sombong & angkuh, lupa daratan & lupa Tuhan!
Kita orang beriman kekallah dalam keadaan bersyukur dan sabar atas sebarang ujian yang Allah berikan!!
Jangan lari daripada landasan ini mudah-mudahan kita selamat dunia Akhirat.
AYAT 11- {KECUALI ORANG-ORANG YANG SABAR DAN MENGERJAKAN AMAL SOLEH MAKA MEREKA ITU AKAN BEROLEH KEAMPUNAN DAN PAHALA YANG BESAR.} (HUD 11:11)
- Manakala dalam ayat ini Allah nyatakan sifat orang mukmin adalah:
i- Orang yang sabar,
ii- Serta beramal dengan amalan yang soleh (sabar) ketika senang atau susah.
- Bagi mereka ini akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
- Ayat ini ditafsirkan juga dengan satu surah ini:
{Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.} (Al-‘Asr 103: 1-3)
- Ya Allah jadikan kami orang yang sabar, yang berkerja menegakkan kebenaran, orang yang bergerak untuk menyampaikan Sunnah Nabi SAW kepada masyarakat, orang yang akan mempertahankan agama ini daripada diceroboh oleh mana-mana ajaran yang menyerleweng daripada ajaran ahli Sunnah wal-Jama’ah!
- Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib RA, Rasulullah SAW bersabda:
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ
إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman.
Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” [HR Muslim (7692)].
Ya Allah jadikan kami daripada golongan yang bersabar ketika susah & bersyukur kepada-Mu ketika senang!
- Nota (341)- Dalam pada itu, ada juga manusia yang bersikap baik dan terpuji, iaitu mereka yang sabar semasa dalam masa ditimpa penderitaan serta taat menjalankan perintah Allah pada masa susah & senang.
Serta bersyukur atas segala nikmat yang Allah dikurniakan kepadanya!
Orang yang demikian sifatnya akan diampunkan dosanya serta mendapat pahala yang besar & balasan syurga!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 8- {Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek):…}-
Apabila Allah beri tempoh, tangguhkan dulu azab yang dijanjikan ke atas orang-orang kafir; mereka terus memerli, mepermain-mainkan, mendustai dan berkata secara mengolok-olok meminta untuk disegerakan, “Apa yang menghalanginya?
Atau apa yang menyebabkan lewatnya azab ini atas kami?” (mereka nganyi).
Lalu Allah nyataka bagi setiap waktu itu ada tempohnya, sesuai dengan sunnah dan hukum serta hikmah Allah SWT.
Firman Allah SWT : {Untuk setiap masa ada kitab (tempoh tertentu).} (ar-Ra’d: 38)
Ada orang yang sangat jahat tetapi tak kena musibah yang membuatkan dia bangga dan merasai dia yang terbaik & disayangi Allah.
Dia buat jahat, hina orang, fitnah orang pun tak kena apa-apa, tak ada masalah, lalu dia makin angkuh dan sombong menyangka Allah merestui perbuatannya itu!
Orang yang buat jahat, hina, fitnah, tuduh orang ini, patutnya apabila dinasihat dan dibacakan hadis Nabi SAW ke atas mereka sudah memadai untuk mereka insaf berfikir dan muhasabah.
Tetapi tidak, mereka tetap merasakan dia benar dan terus mengata menuduh orang.
Lalu dia makin sombong makin angkuh kerana terlepas atas dunia ini, tak terima LOD atas dunia ini, tetapi ingat di Akhirat takkan lepas, jangan sombong, sekejap je hidup atas dunia ini!
Begitulah sifat puak kafir ini bila lambat turun azab dia perli Nabi SAW, berasa sombong & angkuh!
Maka Allah beri ingatan, jangan dok perli menganying, apabila turunnya azab tiada siapa boleh halang & sekat dan selamat daripadanya, mati habis bergelimpang sana sini.
Kamu sombonglah atas dunia ini sebelum mati! Sesiapa pun nak khianat kepada orang berpada-padalah- sekali didoakan oleh orang yang dizalimi, tak habis nak makan, tak cukup bumi nak lari.
- Ayat 9- {Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami..}-
Jika manusia itu mendapat nikmat dan berada dalam kegembiraan- kemudian Allah tarik balik nikmat itu- maka terus dia menjadi manusia yang kecewa, putus asa lalu kufur kepada nikmat Allah SWT!
Kata ulama’ tadabbur : Allah nyatakan dalam ayat ini sifat manusia yang tercela, sama ada dia kafir atau beriman iaitu tidak sabar!
Walaupun dia beriman tetapi jika tidak sabar tak baiklah!
Contoh: Allah beri kepadanya nikmat sihat, nikmat rezeki, nikmat keamanan, nikmat anak cucu yang ramai, tiba-tiba Allah sentap dan tarik segala nikmat itu, yang sihat jadi sakit, yang kaya jatuh miskin, anak ramai hilang dan seumpamanya; apa yang terjadi???
Dia menjadi manusia yang kecewa, tidak redha & kufur nikmat!
Kita orang beriman bukan begitu sifatnya! Sebagaimana hadis tadi, ajaib sekali keadaan orang mukmin iaitu apabila diberi nikmat dia syukur manakala apabila ditimpa ujian dia bersabar!!!
- Ayat 10- {Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata:…}-
Ini adalah sifat buruk kedua, keadaan sebaliknya pula, jadi tengah-tengah senang datang kesusahan!
Susah dulu baru senang iaitu selepas hidup menderita dalam kesusahan & ujian Allah lalu angkat semua itu dan memberinya kesenangan & nikmat kemewahan!!!
Sekarang sudah sihat, senang & kaya raya; lalu dia menjadi manusia yang sombong angkuh,menyangka dia senang, kaya & berjaya kerana kehebatan dan kebijakan dia dalam mencari harta atau berkerja, nasib yang baik dan seumpamanya!
Lupa untuk bersyukur dan kembali kepada Allah!
Yakni sudah ada sifat keqarunan dalam dirinya!
Qarun, hamba yang keras kepala & angkuh selepas kaya-raya pada zaman Nabi Musa AS.
Kita sangat bimbang dengan perangai-perangai buruk yang ada dalam masyarakat kita hari ini, manusia yang tidak sabar & angkuh takabbur!
- Ayat 9- {Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia…}-
Dalam ayat ini Allah kata: {Jika Kami rasakan manusia, وَلَئِنْ أَذَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ}
Kenapa Allah gunakan perkataan, beri rasa ini (taste- ذوق), seperti kita rasa sedikit makanan untuk test manis atau tawar dan seumpamanya.
Jawapan:
Allah gunakan perkataan rasa (أَذَقْنَا) di sini untuk menunjukkan manusia ini walaupun dapat nikmat sedikitpun bukan banyak macam Qarun atau Fir’aun pun; akan terus mula nak lupa diri & angkuh sombong, mula nak derhaka kepada Allah SWT.
Allah ulang kalimah ini dua kali dalam kedua ayat 9 & 10 ini:
i- Yakni beri rasa susah selepas senang & nikmat:
{ وَلَئِنْ أَذَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ مِنَّا رَحْمَةًۭ ثُمَّ نَزَعْنَـٰهَا مِنْهُ}-
ii- Beri rasa senang & nikmat selepas susah: { وَلَئِنْ أَذَقْنَـٰهُ نَعْمَآءَ بَعْدَ ضَرَّآءَ}-
Untuk menunjukkan bahawa manusia walaupun kena ujian yang sedikit akan terus lupa diri, lupa daratan, lupa itu lupa ini kerana dia adalah manusia yang gagal untuk sabar!
Sedangkan dunia ini cepat berlalu, bahawa dunia ini hanya sekejap seperti orang yang bermimpi sahaja!
Kerana itu Allah kata rasa, yakni sedikit sahaja!
Allah juga guna perkataan hari (يَوْمَ) dalam ayat ini, {Pada hari datangnya azab itu kepada mereka- أَلَا يَوْمَ يَأْتِيهِمْ}- yang maksudnya tempoh, iaitu datangnya azab!
Azab itu datang sekejap sahaja sama ada malam atau siang!
Sekali malaikat datang bertempik terus binasa semua!
Sebagaimana yang terjadi kepada kaum Thamud yang binasa dengan letusan suara yang memecahkan habis gegendang telinga mereka lalu musnah!
Kita minta berlindung dengan Allah daripada sifat buruk ini, kita mahu jadi orang yang dalam ayat di bawah ini.
- Ayat 11- {Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.}-
Allah nyatakan dua sifat orang beriman iaitu bersabar dan mengerjakan amal soleh!
Allah nyatakan kelebihan orang sabar yang akan mendapat:
i- Keampunan dan
ii- Pahala yang Besar
Sabar itu pula ada 3 kategori:
i- Sabar dalam melakukan ketaatan.
ii- Sabar dalam meninggalkan maksiat.
iii- Sabar di atas menghadapi ujian.
Ya Allah jadikan kami daripada golongan orang yang sabar, apa orang nak kata, apa orang nak tuduh kepada kita biarlah Allah Azza wajalla yang membalasnya, moga kita dapat bersabar!
Kisah pengajaran; pesanan dari Syeikh Ali Tantawi :
Para penceramah hendaklah berhati-hati, kerana kadang-kadang keterlaluan dalam mengecam kemungkaran menjadi iklan dan promosi untuknya!
Dan antara kisah lucu namun penuh pengajaran tentang segelintir para penceramah yang terlalu bersemangat, ada satu kisah yang terjadi meskipun tempatnya bukan di sini.
Salah seorang syeikh kami, datang kepadanya seseorang lalu berkata :
“Wahai tuan guru, penyanyi Munīrah al-Mahdiyyah sedang menyanyi dan menari di al-‘Abbāsiyyah!”
Maka terpancarlah kemarahan Syeikh dalam pengajiannya di Masjid Umayyah (al-Umawī). Beliau berseru dengan
lantang: “Bagaimana mungkin wanita itu menari di hadapan para lelaki, dengan tubuh terbuka dan aurat terdedah? Di manakah agama? Di manakah maruah dan kehormatan lelaki?”
Orang ramai pun terkejut dan berkata:
“Na‘ūzu billāh!
Benarkah begitu, wahai tuan guru?
Di mana dan bila perkara itu terjadi?”
Beliau menjawab dengan tegas:
“Di al-‘Abbāsiyyah, malam ini, selepas solat ‘Isyā’!”
Maka pada malam itu, setiap tempat duduk di kelab tersebut dipenuhi!
Padahal sebelum itu setengah daripada kerusinya kosong.
Demikianlah, para penceramah hendaklah berhati-hati, kerana kadang-kadang keterlaluan dalam mengecam kemungkaran menjadi iklan dan promosi percuma untuknya!
Begitulah benda yang buruk jika kita terlalu promosi dan mengecamnya membuatkan orang ramai jadi ingin tahu & nak tengok sendiri! Maka beringatlah.
Begitu juga orang yang kena fitnah, kena tuduh dengan sesuatu tuduhan yang tidak benar; akan membuatkan orang yang tak kenal sebelum ini ingin mengenali dan mengetahuinya sendiri lalu akan terserlahlah kebenaran dan kepalsuan tuduhan jahat itu, insya’ Allah!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
