KAFIR MINTA HARTA, TURUN MALAIKAT, NABI SAW CABAR MEREKA BAWA 10 SURAH MACAM QURAN & TERUSKAN DAKWAH.
Full video : https://youtu.be/3swgGdOyaUI?si=OpLN8VUkzIs3ZFHw
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 12 sehingga ayat 14 dalam juzuk kedua-belas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kepada Nabi SAW untuk terus berdakwah, sampaikan apa yang diwahyukan kepadanya.
Jangan pedulikan puak kafir yang buat onar dengan meminta bukti agar dibawa harta karun dan diturunkan para malaikat berdakwah juga.
- Kemudian apabila mereka tuduh Nabi SAW mereka-reka Quran, Allah perintahkan Nabi SAW cabar mereka bawa 10 surah macam al-Quran, tak cukup puak mereka carilah bantuan dari sesiapa & mana-mana saja tempat!!!
- Jika mereka tak mampu nak buatnya & memang mereka tidak akan boleh buatnya pun; maka ketahuilah bahawa al-Quran itu turun dari Allah SWT dan hendaklah beriman dan sebagai orang Islam tunduk patuh akur kepada perintah Allah jangan peduli & hiraukan karenah puak kafir.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang puak kafir yang apabila lambat turun azab mereka perli main dan mencabar Nabi SAW!
ii- Maka turun ayat ini Allah SWT memerintahkan Nabi SAW jangan tinggal usaha dakwah dan teruskan perjuangan, jangan hiraukan puak kafir yang akan terus memprovokasi, menentang & buat tuduhan jahat kepada Baginda.
Tidak perlu kecewa, stress dan tertekan dengan puak kafir yang memang itulah kerja & sifat mereka!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 12- {JANGAN-JANGAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) TIDAK MENYAMPAIKAN SEBAHAGIAN DARI APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAMU SERTA MERASA SEMPIT DADA UNTUK MENYAMPAIKANNYA DISEBABKAN ORANG-ORANG YANG INGKAR ITU BERKATA: “MENGAPA TIDAK DITURUNKAN KEPADA (MUHAMMAD) PERBENDAHARAAN (HARTA BENDA YANG BANYAK), ATAUPUN DATANG BERSAMA-SAMA DENGANNYA MALAIKAT (UNTUK MENOLONGNYA MENYIARKAN ISLAM)?” KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU HANYALAH SEORANG RASUL PEMBERI AMARAN KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR, DAN ALLAH JUALAH PENTADBIR YANG MENGURUSKAN TIAP-TIAP SESUATU (MAKA BERSERAHLAH DIRI KEPADANYA).} (HUD 11:12)
- Allah SWT menyatakan kepada Nabi SAW agar sesekali jangan:
i- Meninggalkan untuk menyampaikan kepada kaumnya sebahagian daripada al-Quran yang diturunkan kepadanya!
ii- Serta berasa sempit dada dengan perintah Allah ini kerana takut akan tuduhan dan tohmahan jahat puak kafir!
Bimbang akan cabaran puak kafir yang menimbuklakn provokasi dengan serangan psikologi dan penghinaan.
- Maka Allah perintahkan kepada Nabi SAW, Jangan takut, jangan layan karenah jahat mereka itu!!!
Teruskan tugas kamu jangan biarkan mereka berjaya menghalang kamu!
- Kata ulama’ tafsir : Dalam ayat ini Allah guna perkataan {فَلَعَلَّكَ}- dengan makna: {jangan-jangan/ mungkinkah..}- tetapi lebih kepada pertanyaan iaitu: {adakah kamu akan tinggal..} ataupun dengan makna menafikan iaitu tak mungkin Nabi SAW akan tinggalkan dakwahnya kerana takut akan orang kafir!
- Maka sama ada dengan makna pertanyaan atau nafi, keduanya menunjukkna bahawa ia tidak mungkin akan berlaku- iaitu tidak mungkin Nabi SAW meninggalkan dakwahnya kerana takut akan cabaran & permintaan puak kafir yang macam-macam.
Nabi SAW akan terus menyampaikan dakwahnya seperti perintah Allah SWT :
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.} (Al-A’raf 7:2)
- Kemudian Allah menegaskan tugas dan kerja Nabi SAW adalah sebagai seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, supaya mereka takut kepada Allah.
Bukan kerja kamu untuk layan puak kafir yang meminta pelbagai benda tak logik sedangkan di hadapan mata mereka sudah ada tanda-tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT sebagai dalil yang jelas lagi nyata!
- Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa Allah jualah pentadbir yang menguruskan, mengawal dan mentadbir tiap-tiap sesuatu.
Allah arahkan malikat mencatat dan menanda setiap amalan hamba-Nya dan akan membalasnya pula di Akhirat kelak apa yang mereka kerjakan di dunia dulu!
Yang baik dibalas syurga yang buruk akan mendapat neraka!
- Maka kamu orang beriman pilihlah yang terbaik jangan jadi yang terburuk!
Iaitu berserahlah diri kepada Allah dengan beramal soleh, taat perintah-Nya, jauhi larangan-Nya.
Ikut Sunnah Nabi SAW dalam larangan dan ajarannya dalam amalan dan pegangan; barulah kita selamat!
- Nabi Muhammad SAW jawatannya adalah seorang rasul ketika Baginda hidup dan juga selepas kewafatannya.
Walaupun Nabi kita sudah wafat, al-Quran masih ada berjalan, Sunnahnya diteruskan, Syari’ah yang diajarnya dimartabatkan!
Kemudian apabila bangkit di Akhirat kelak kita akan bertemu dengan Nabi SAW dan kalau atas dunia ini kita ikut Sunnahnya kita akan ada kelayakan untuk mendapat syafa’atnya insya’ Allah.
- Ada ajaran sesat yang kata Nabi SAW apabila wafat maka wafatlah dan habislah tempohnya!!!
Tidak begitu, al-Quran adalah satu-satunya mukjizat yang kekal sehingga ke hari Kiamat! Jangan kita keliru & terpengaruh.
Yang jahat laginya apa yang orang tak kata; dituduhnya kita kata!
AYAT 13- {BUKAN ITU SAHAJA KATA-KATA MEREKA BAHKAN MEREKA MENUDUH DENGAN MENGATAKAN: “IA (MUHAMMAD) YANG MEREKA-REKA AL-QURAN ITU! ” KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “(JIKA DEMIKIAN TUDUHAN KAMU), MAKA CUBALAH BUAT SERTA DATANGKAN SEPULUH SURAH REKAAN YANG SEBANDING DENGAN AL-QURAN ITU, DAN PANGGILAH SIAPA SAHAJA YANG KAMU SANGGUP MEMANGGILNYA, YANG LAIN DARI ALLAH, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (HUD 11:13)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan orang kafir datang meminta ditunjukkan mukjizat sebagai bukti kebenaran Nabi SAW.
ii- Maka dalam ayat ini Allah suruh Nabi SAW mencabar puak kafir itu; jika kamu hebat, kamu kata al-Quran ini rekaan manusia, maka bawalah 10 surah seperti ayat-ayat Quran.
Kita tengok boleh ke tak boleh kamu buat!!
- Allah menyatakan puak kafir menuduh al-Quran bukan dari Allah tetapi adalah rekaan Nabi SAW. Bukan datang dari sisi Allah, bukan turun dari langit!
- Maka Allah perintahkan Nabi SAW cabar mereka itu: Maka jika kamu kata al-Quran adalah rekaan nabi Muhammad SAW, maka cubalah kamu buat seumpamanya, bawalah 10 surah yang seumpama surah al-Quran.
- Kata Ibnu Jarir : Allah ajar kepada Nabi SAW; cukuplah menjadi bukti & hujjah, benarnya apa yang diajar oleh Nabi SAW itu, iaitu al-Quran yang sudah ada di depan mata mereka.
Jika kamu kata rekaan Baginda SAW maka kamu buat & rekalah juga seumpamanya!!!!
- Allah cabar lagi; dipersilakan cari & bawalah sesiapa saja, sasterawan, pakar bahasa, penulis yang mahir untuk bergabung, membantu kamu jika kamu tidak mampu membuatnya sendiri!
- Perbincangan:
Ada ayat yang mengatakan : Nabi disuruh minta satu surah, ada ketika diminta 10 surah bahkan ada juga hanya 1 ayat. Macamana itu?
- Kata ulama’ : Semua ayat-ayat Ini tidak bercanggah, ia mengikut siyaq (keadaan) yang berlaku ketika ayat-ayat itu diturunkan.
Kafir dicabar untuk untuk bawa 10 surah atau 1 surah seumpama al-Quran, yang semestinya mereka tidak mampu untuk membuatnya!
AYAT 14- {OLEH ITU, JIKA MEREKA (PENOLONG-PENOLONG KAMU) TIDAK DAPAT MELAKSANAKAN PERMINTAAN KAMU (UNTUK MEMBUAT SURAH-SURAH YANG SEBANDING DENGAN AL-QURAN), MAKA KETAHUILAH BAHAWA AL-QURAN ITU DITURUNKAN HANYALAH MENURUT PENGETAHUAN ALLAH, DAN BAHAWA TIDAK ADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH. SETELAH (TERBUKTI HAKIKAT YANG DEMIKIAN) MAKA ADAKAH KAMU MENGAKUI ISLAM DAN MENURUT ATURANNYA?} (HUD 11:14)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat 13 Allah SWT cabar kafir untuk bawa sesuatu seperti al-Quran, dengan beberapa kali cabaran.
Tidak kiralah kadang-kadang minta 1 surah atau 10 surah atau 1 ayat sekalipun, yakni cabaran itu berkali-kali.
ii- Maka datang ayat ini sebagai penutup cabaran, Allah putuskan, jika mereka tak mampu untuk bawa sesuatu yang seumpama al-Quran seperti yang kamu minta; maka kamu ketahuilah dan yakinlah bahawa al-Quran itulah wahyu yang turun dari sisi Allah kepada Rasul-Nya yang mulai, dibawa oleh wakil yang paling amanah iaitu malaikat Jibril yang mulia!
- Al-Quran itu lengkap merangkumi semua perkara! Dalam al-Quran ada arahan Allah, suruhan & larangan-Nya. Ada kisah umat terdahulu, ada cerita-cerita, ada peristiwa hatta perkara yang akan berlaku pada hari Kiamat nanti!
- Maka kamu kena kenal, kena tahu & kena akur bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah, dipuja-puji kecuali Allah SWT semata-mata!
- Maka wahai kaum kafir sekarang apakah kamu akan akur & beriman, bertauhid kepada Allah ikut melakukan ketaatan; selepas sabit hujjah ke atas kamu!
Iaitu kamu tidak mampu untuk membawa walaupun satu surah pun apatah lagi 10 surah seumpama al-Quran yang kamu tuduh sebagai rekaan Nabi SAW itu!
Tunduk dan akurlah terima perintah Allah SWT!
- Tetapi apa boleh buat mereka yang keras kepala, degil dan sombong itu tetap ingkar menolak dan mendustakan kebenaran yang jelas di depan mata!
Yang tak dapat hidayah tetap begitu akan putar belit pula membenarkan kepercayaan mereka!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Katakanlah: “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”} (Al-Anbiya’ 21:108)
- Kita berdoa kepada Allah agar kita menjadi orang muslim yang tunduk akur patuh kepada perintah Allah dalam semua perkara.
Dalam aqidah pegangan kita, dalam ibadat kita, akhlak kita, kerja-buat kita dan muamalat kita dengan manusia.
- Kata ulama’ salafi : Ketahuilah jika kamu lihat seseorang itu mahu menegakkan Islam dengan maki hamun tanpa hujjah & fakta yang benar, maka dia bukan nak membela agama & kebenaran; tetapi hanya mahu mengangkat dirinya sendiri, mengkafir dan menuduh orang.
- Ya Allah jadikan kami dari golongan yang berakhlak mulia sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [HR Ahmad (8952)]
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 12- {Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit…}-
Mungkin, apakah kamu rasa nak tinggal dakwah ini?!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini memberi panduan & bimbingan bahawa tidak layak bagi mana-mana pendakwah yang diberi amanah, yang diberi ilmu oleh Allah SWT untuk takut & lemah dalam berdakwah, takut nak nyatakan kebenaran, takut menjolok sarang tebuan, semata-mata untuk selamat dan jaga diri & periuk nasi, yakni kerana nak jaga habuan dunia!
Kamu jangan berhenti berdakwah kerana takut pada ugutan atau celaan orang, tuduhan yang direka, apatah lagi fitnah rekaan, apa yang kita tak kata dikatakan kita kata!
Begitulah keadaan kita hari ini, pendakwah dicela, dituduh, difitnah; maka kita sabarlah, ingat keadaan Rasulullah SAW yang dituduh sebagai penyair, ahli sihir dan gila!
Juga para ulama’ sebelum ini yang menghadapi pelbagai tentangan dan ujian yang lebih berat. Bertahan demi kebenaran itulah perjuangan yang telah dilalui oleh para rasul dan nabi Allah!
Ada seorang ulama’ salaf apabila diberitahu bahawa orang sedang menghina dan mengutuknya, dia menjawab :
Alhamdulillah, Allah memberi kepadaku pahala dengan amalan yang aku tidak buat!
Kita pun ambil contoh ini: Apabila orang tuduh dan kata yapa yang kita tak buatnya; kita kata alhamdulillah, Allah nak angkat darjat kita, nak ampunkan dosa dan nak beri pahala kepada kita yang kurang dan sedikit amalannya ini!
Bersabarlah atas perjuangan menyebarkan al-Quran & Sunnah ini!
- Ayat 12- {… merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?” }-
Allah SWT perintahkan Nabi SAW agar jangan berasa sempit dada (وَضَآئِقٌۢ) dengan tentangan dan cabaran karut puak musyrikin Quraisy kepadanya, minta Allah turunkan harta & malaikat untuk menguatkan risalahnya!
Ada setengah riwayat ahli tafsir mengatakan : Kafir yang meminta itu ialah: Abdullah bin al-Mughirah
Allah SWT mengunakan kalimat {وَضَآئِقٌۢ} dan bukan kalimat dhayyiqun (ضيّق) yang dari sudut bahasanya bermakna sempit, lemas atau ketat dada!
Ini kerana supaya ia selari dengan irama kalimat {تَارِكٌۢ} yang datang sebelumnya.
Betapa indahnya dan tertibnya susunan ayat al-Quran.
Juga kerana adh-dhaa’iqu, {وَضَآئِقٌۢ} (orang yang merasa sempit) terjadi secara sementara sahaja bukan lama atau berlanjutan.
Ini sesuai dengan sifat Nabi SAW sebagai seorang yang paling tenang dan paling berlapang dadanya, tetapi sekali kena serang dibimbangi Baginda terkedu juga walaupun sekejap dan berasa sempit dadanya, tetapi ianya tidak lama.
Begitu juga para pendakwah, Allah ajar kepada kita, sekali orang buat fitnah tuduhan, cela kita; mungkin kita akan terasa down sempit dada sekejap apabila terlalu ditekan ditentang tetapi kita kena bangkit semula ingat kita ada Allah kita ada Akhirat.
Terkedu sebentar itu biasa tetapi tidak perlu dilayan, teruskan beri peringatan, kerana ingatlah Allah akan bantu perjuangan ikhlas. Juga kerana tugas & kerja kita hanyalah sebagai seorang Rasul atau pendakwah adalah sebagai pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar.
Jangan takut, jangan bimbang Allah akan jaga kamu maka kepada-Nya-lah kita bertawakkal!
Firman Allah SWT juga:
{Dan sungguh, Kami mengetahui bahwa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan.} (al-Hijr: 97)
- Ayat 13- {Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu!”..}-
Allah nyatakan bahawa orang kafir itu menuduh Nabi SAW yang mereka-reka al-Quran itu!
Kata ulama’ tadabbur : Jika orang tuduh kamu reka al-Quran, menunjukkan bahawa itulah risalah yang benar kerana kafir mula takut & goyah.
Maka Allah cabar mereka untuk bawa sesuatu seperti al-Quran, yang ada ini!
Sedangkan mereka tidak akan mampu sama-sekali!
Firman Allah SWT :
{Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.} (Al-Isra’ 17:88)
Maka kita tahu & yakinlah bahawa al-Quran itu dari sisi Allah SWT!
Jika bukan dari Allah sudah pastilah orang lain boleh cabar & tirunya!
Sebagaimana pertandingan penulisan buku, kita boleh dibuat sama ada di peringkat sekolah, negeri negara bahkan peringkat dunia antarbangsa.
Sesiapa saja boleh buat dan memenanginya! Tahun ini orang lain menang, tahun depan orang lain pula!
Contoh Pada 1978 (1399 H), Persatuan Rabitah Alam Islami telah buat satu pertandingan menulis kitab Sirah Nabi Muhammad SAW, dalam bahasa Arab, dan yang memenanginya adalah penulis dari India iaitu Syeikh Safiyyur Rahman Al-Mubarakfuri (1943-2006), dengan kitabnya yang masyhur sehingga hari ini: Ar-Raheeq-ul-Makhtum
(الرحيق المختوم).
Tetapi al-Quran tidak begitu, yang menunjukkan ciri keistimewaan al-Quran yang tidak ada pada benda lain!
- Ayat 13- {… dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.}-
Allah cabar kamu panggillah sesiapa saja untuk menolong kamu; selain daripada Allah!
Cabaran ini bukan cabaran biasa.
Kata ahli fikir ini : Ini adalah cabaran yang begitu besar, tidak terhad dan amat terbuka!
Allah kata mintalah pertolongan sesiapa saja ikut kemampuan kamu KECUALI dari Allah
{ مِّن دُونِ ٱللَّهِ}! Kerana jika kamu minta pertolongan Allah bermakna kamu beriman!
Sekarang ini kamu keluar daripada daerah keimanan dan berada dalam kekufuran.
Maka pergi carilah untuk minta tolong dengan sesiapa saja, manusia atau jin syaitan mana sekalipun!
Itulah keistimewaan al-Quran, yang melemahkan orang lain untuk menirunya kerana ia datang dari Allah.
Sedangkan musuh-musuh Nabi SAW adalah mereka yang fasih, para pakar bahasa, ahli sasterawan tetapi mereka tak mampu melawannya!!!
- Ayat 14- {Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah…}
Jika mereka orang tak mampu untuk respon terhadap cabaran kamu itu wahai Nabi SAW, maka terbuktilah dengan pasti & jelas bahawa al-Quran itu dari Allah!
Siapakan Allah?
Allah yang tiada Tuhan yang berhak disembah dipuja dipuji selain dari-Nya.
Kata ulama’ : Ada beberapa bukti yang menunjukkan kekuatan & mukjizat al-Quran:
i- Dari segi kekuatan bahasanya seperti:
*mantiq (منطق) iaitu keutuhan hujah dan kekuatan logik yang tersusun.
*balaghahnya (بلاغة) iaitu keindahan susunan dan gaya bahasa yang tinggi.
ii- Fasih dan tersusun ayatnya, tidak akan menjadikan pembacanya tergagap-gagap dan terlekat-lekat untuk membacanya.
iii- Maklumatnya mengandungi perkara ghaib, peristiwa yang lepas & akan datang, yang akal biasa manusia tidak dapat menjangkaunya!
iv- Perundangan hukum-hakam yang adil.
v- Akhlak yang mulia & terpuji.
vi- Mengandungi ilmu & maklumat sains & teknologi yang bertepatan dengan kajian & penemuan sains moden.
Tiada teknologi & ilmu sains atau perubatan yang dapat mencabar al-Quran yang diturunkan 1400 tahun lalu!
Tiada saintis yang dapat cabar ilmu & maklumatnya.
Ya Allah jadikan kami semua orang yang cintakan al-Quran & Hadis Nabi SAW.
Cerahkan dada kami untuk menerima yang benar, mati dalam husnul khatimah yang melayakkan kami bertemu dan mendapat syafaat Nabi SAW, layak mendapat keredhaan-Mu dan menjadi ahli syurga-Mu.
Ya Allah ampunkan dosa kedua ibu bapa kami & rahmatilah mereka.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
