ERINGATAN BUAT PENCINTA DUNIA, TIADA BAHAGIAN DI AKHIRAT & KEBAHAGIAAN BAGI MUKMIN.
Full video : https://youtu.be/u2xMOd_I_pY?si=FTvEgR_7rBHs_aHw
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 15 sehingga ayat 17 dalam juzuk kedua-belas.
Sebagai hamba Allah kita diminta bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan dengan melakukan ketaatan dan ibadat kepada Allah serta memuji-Nya, bukan buat apa yang pelik dan diluar logik akal manusia.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan peringatan buat pencinta dunia, siapa yang nak dunia & sehala dengan perhiasannya sehingga sanggup melanggar batas halal-haram, pijak orang kencing orang pun tak apa semata-mata kerana nak kejar dunia.
- Orang yang kejar dunia itu mungkin dapat habuan dunia tetapi jika mereka kufur syirik semua itu akan meruntuhkan pahala amalan; maka bagi mereka tiada bahagian di akhirat kelak.
Atau jika yang beriman tetapi melakukan apa yang boleh merosakkan pahala amalan mereka akan kerugian juga di Akhirat kelak!
- Kemudian Allah nyatakan orang mukmin yang beriman kepada Allah SWT, yang beriman kepada al-Quran & kitab-kitab yang Allah turunkan, maka kebahagiaan dunia & Akhirat bagi mereka.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan supaya kita tetap teguh & mantapkan pegangan kita, kukuhkan istiqomah atas landasan Islam.
Jangan koyak, jangan goyah jangan mudah lari.
Serta Allah nasihatkan juga orang beriman jangan terikut dengan perangai orang kafir yang meminta pelbagai nikmat dunia sebagai bukti kebenaran Nabi SAW.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan bahawa siapa nak dunia Allah akan berikan kepada mereka tetapi jika mereka melanggar hukum-hukum Allah, maka tiada bahagian bagi mereka di Akhirat kelak!!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 15- {SESIAPA YANG KEADAAN USAHANYA SEMATA-MATA BERKEHENDAKKAN KEHIDUPAN DUNIA DAN PERHIASANNYA (DENGAN TIDAK DISAKSIKAN SAMA OLEH AL-QURAN TENTANG SAH BATALNYA), MAKA KAMI AKAN SEMPURNAKAN HASIL USAHA MEREKA DI DUNIA, DAN MEREKA TIDAK DIKURANGKAN SEDIKITPUN PADANYA.} (HUD 11:15)
- Allah nyatakan sesiapa yang nak dunia dan berusaha semata-mata kerana nak habuan dunia & perhiasannya tanpa mempedulikan apakah ia bertepatan dengan hukum-hakam dalam al-Quran, Allah tetap akan berikan hasil usaha mereka itu!!!
Iaitu seperti kekayaan, kemewahan, kekuasaan dan kesenangan hidup, mendapat kedudukan serta selamat dari bala bencana.
- Kata ulama’ tafsir :
i- Ada yang mengatakan : Ayat ini khas untuk orang kafir yang kerjanya memang mengejar dunia!
ii- Ulama’ seperti Mujahid dan lain-lain ahli tafsir mengatakan : Ayat ini umum untuk orang kafir atau beriman; orang yang kerja buatnya memang nak cari habuan dunia bukan kerana Allah!
- Apatah lagi mereka yang menunggang agama, iaitu kerja-buat nampak macam untuk agama atau keagamaan tetapi niat sebenarnya bukan untuk agama tetapi untuk kepentingan peribadi & duniawi!
Contoh, naik kereta masjid tetapi bukan guna untuk kerja agama!
- Kerja Akhirat ini berat kerana apabila ia masuk melalui saluran dunia, kita akan menanggung satu tanggungjawab yang berat di hadapan Allah SWT nanti!
Ingatlah matlamat tidak menghalalkan cara!! Kita ukurlah kemampuan kita setakat mana yang kita ada!
- Firman Allah SWT :
{Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.} (Al-Isra’ 17:18)
- Maka kita orang beriman berhati-hati, jangan terperangkap sehingga kerja-buat kita yang untuk hasil dunia menggunakan medium agama lalu menjadi penunggang agama!
- Hadis, sabda Nabi SAW : Allah tidak zalim kepada orang mukmin- semua kerja baik yang dibuat, Allah akan beri balasan di dunia dan akan diberi pahala pula di Akhirat juga!! [HR Muslim].
- Yakni siapa yang buat kebaikan Allah akan beri kesenangan dan ketenangan hidup atas dunia ini & di Akhirat kelak akan mendapat balasan pahala yang menjamin syurga insya’ Allah.
- Manakala orang kafir yang buat kebajikan dan kebaikan atas dunia ini mungkin Allah akan berikan kepadanya balasan segera atas dunia ini dengan mendapat kekayaan, kesenangan, ketinggian kedudukan atas dunia ini; tetapi di Akhirat kelak dia tidak akan ada bahagian lagi!
Kerana itu kita berdoalah kepada Allah agar mereka yang bukan Islam yang banyak buat kebajikan dan kebaikan hatta untuk orang Islam agar terbuka pintu hati mereka mendapat hidayah menerima kebenaran Islam, agar Allah beri anugerah terbesar kepada mereka lalu mereka akan dapat pahala & ganjaran Akhirat juga!!!
- Hadis, tentang tiga orang buat amal tetapi tidak ikhlas lalu kena campak dalam neraka. 3 golongan yang kelihatan soleh di dunia tetapi dicampak ke neraka akibat tidak ikhlas:
Berjuang sehingga syahid semata-mata mahu digelar gagah berani.
Mengaji dan mengajar semata-mata mahu digelar alim ulama’.
Menderma semata-mata mahu digelar pemurah.
3 golongan ini gagal dalam perbicaraan di mahsyar.
Muka-muka mereka diseret seterusnya dihumban ke neraka.
[Mafhum hadis riwayat dari Abu Hurairah, rekod Sahih Muslim]
- Maka orang yang bekerja semata-mata untuk dunia akan dapat ganjaran penuhnya di dunia tetapi di Akhirat kelak tiada bahagiannya.
AYAT 16- {MEREKALAH ORANG-ORANG YANG TIDAK ADA BAGINYA PADA HARI AKHIRAT KELAK SELAIN DARIPADA AZAB NERAKA, DAN PADA HARI ITU GUGURLAH APA YANG MEREKA LAKUKAN DI DUNIA, DAN BATALAH APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (HUD 11:16)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah ceritakan mereka yang usaha untuk dunia itu akan dapat ganjarannya di dunia.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan mereka akan gagal-segagalnya!!!!
- Allah tegaskan keadaan & balasan bagi mereka yang melakukan kerja yang baik tetapi untuk dunia & kehidupannya saja tidak untuk Akhirat; maka di Akhirat kelak mereka akan dicampakkan ke dalam azab neraka & gugur segala amalan!!!
- Ayat ini harus kita kita tadabbur & hayati, menjadi peringatan untuk kita di saat kita rakus inginkan dunia, kita bacanya, senang di dunia tetapi celaka di Akhirat apa faedahnya!
- Hadis:
بشر هذه الأمة بالتيسير والسناء والرفعة بالدين والتمكين في البلاد والنصر فمن عمل منهم بعمل الآخرة للدنيا فليس له في الآخرة من نصيب
“Telah diberi khabar gembira kepada umat ini dengan kemudahan hidup, kedudukan dan kemuliaan dengan agama dan keamanan hidup di muka bumi dan pertolongan.
Maka barangsiapa dari mereka itu yang beramal dengan amalan akhirat kerana tujuan dunia, maka dia tidak akan mendapat satu bahagian pun di akhirat nanti. [HR Ahmad].
- Nabi SAW memberi peringatan yang besar lagi:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا
Daripada Abu Hurairah RA,sabda Rasulullah SAW :
“Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat”. [HR Abu Daud dan lain-lain.]
Yakni sesiapa yang belajar ilmu agama dengan niat nak masyhur di dunia, dia tak akan dapat bau syurga di Akhirat kelak.
- Ada orang yang sombong tak boleh ditegur berasa dia sudah masyhur dengan ramai follower dan pengikut!!
Ingat, kebenaran bukan duduk dengan ramai orang atau pengikut; tetapi kebenaran duduk pada apa yang kamu sampaikan!
Jika kita sampaikan yang benar kita akan selamat, tetapi jika orang tegur kita tidak mahu muhasabah dan periksa maka itu sombong & takabbur.
- Bagi orang yang tidak ikhlas dalam amalannya, pada hari Kiamat kelak gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, kerana kerja agama mereka buat untuk dunia!
- Juga terbatallah apa yang mereka telah kerjakan dari amal kebaikan dan mereka tidak akan mendapat manfaat di sisi Allah SWT.
- Hadis riwayat Umar RA : Sabda Nabi SAW :
Sesungguhnya amalan itu dengan niat...! [HR Bukhari].
- Sebagaimana yang sering kita katakan, amalan itu tidak akan diterima kecuali dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT dan ikut ajaran Nabi SAW.
AYAT 17- {JIKA DEMIKIAN, ADAKAH SAMA MEREKA ITU DENGAN ORANG-ORANG YANG KEADAANNYA SENTIASA BERDASARKAN BUKTI YANG TERDAPAT DARI (BENDA-BENDA YANG DICIPTAKAN OLEH) TUHANNYA, DAN DIIKUTI OLEH KITAB SUCI AL-QURAN MEMBERI KENYATAAN – SEBAGAI SAKSI DARI PIHAK TUHAN MENEGUHKAN BUKTI YANG TERSEBUT; DAN SEBELUM ITU, KENYATAAN YANG SERUPA DIBERI OLEH KITAB NABI MUSA YANG MENJADI IKUTAN DAN RAHMAT (KEPADA UMATNYA)? ORANG-ORANG YANG BERKEADAAN DEMIKIAN, MENGAKUI – MENERIMA AL-QURAN; DAN SESIAPA INGKAR AKAN AL-QURAN ITU DARI KUMPULAN-KUMPULAN KAUM KAFIR, MAKA NERAKALAH DIJANJIKAN MENJADI TEMPATNYA. OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENARUH PERASAAN RAGU-RAGU TERHADAP AL-QURAN, KERANA SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU ADALAH PERKARA YANG BENAR DARI TUHANMU, TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK PERCAYA KEPADANYA.} (HUD 11:17)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang sebelumnya Allah katakan siapa yang nak dunia saja akan dapat dunia saja, sesiapa yang nak Akhirat saja akan dapat keduanya!
ii- Maka datang ayat ini menyatakan penutup bagi dua orang ini tidak sama, nampak macam sama tetapi tidak!
Orang yang nak dunia dapat dunia saja tetapi tidak akan dapat bahagian Akhirat!
- Allah SWT nyatakan apakah orang yang duduk atas keterangan yang begitu jelas, ikut al-Quran, ikut ajaran Nabi SAW serta ikut saksi-saksi yang datang dari Allah melalui beberapa dimensi.
- Ulama’ menfasirkan maksud saksi-saksi {شَاهِدٌ} ini dengan beberapa tafsiran :
i- Iman di dalam hati
ii- Ilmu yang bermanfaat melalui al-Quran & Sunnah.
iii- Fitrah salimah, iaitu fitrah manusia yang mengakui adanya kekuasaan Allah yang Esa.
iv-Kita juga beriman dengan kitab-kitab yang terdahulu seperti Taurat & Injil.
- Kita juga beriman dengan Allah, dengan Nabi SAW & dengan al-Quran yang dibawanya—insya’ Allah kita adalah golongan yang selamat.
- Manakala golongan kedua yang ingkar & kufur, siapa yang tidak percaya kepada Allah, kufur dengan al-Quran, ingkar kepada Nabi SAW, daripada mana-mana pengikut agama atas dunia ini- maka nerakalah tempat kembalinya, tempat dicampak mereka nanti!
- Hadis riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
“Demi yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, tidaklah seorang jua dari umat ini yang mendengar tentang aku, baik Yahudi mahupun Nasrani, kemudian dia mati tanpa beriman kepada apa yang aku diutus dengannya (Islam) melainkan dia menjadi dari kalangan ahli neraka”. [HR Muslim].
- Kamu jangan syak lagi wahai Nabi Muhammad dan semua yang dengar ini bahawa al-Quran itu datang dari Allah SWT!
Siapa yang syak nerakalah tempatnya!
Kamu yakinlah bahawa al-Quran itu datang dari Allah!!!
- Tetapi malangnya nasib tidak beruntung; ramai kalangan manusia yang tidak beriman dengan Allah SWT atau dengan al-Quran dan dengan Nabi SAW.
- Ini sama ada kerana:
i- Dia memang jahil, tetapi jika dia tahu dia jahil mudah nak ajar!
ii- Atau sombong keras kepala tak mau terima kebenaran walaupun tidak jahil!!
Allah-lah yang boleh menolong kita untuk memahami Kalamullah dan beriman sepenuhnya dengan al-Quran & berpegang dengan ajarannya.
Biarlah kita menjadi golongan yang sedikit tetapi selamat bukan yang ramai tetapi binasa!!!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 15- {Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia…}-
Allah kata siapa nak dunia Allah akan berikan kepadanya.
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah akan berikan kepada mereka pengejar dunia, pendamba dunia yang gilakan dunia.
Mereka bekerja kuat tersungkur, tersemban, pagi petang, siang malam mengejar dunia maka Allah akan berikan apa yang mereka kejar itu!
Tidak salah mengejar dunia tetapi dalam masa yang sama jangan lupkan Akhirat.
Manakala orang yang kerjanya nak kejar dunia semata-mata, Allah akan berikan juga, kaya-raya mereka ini, harta bertimbun banyak- ini akan menyusahkan mereka di Akhirat kelak juga!!
Kerana itu kata ulama’ : Ayat ini dikembarkan dengan hadis Nabi SAW :
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ –
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat. [HR Bukhari].
Contoh:
i- Orang yang tak makan tetapi tak niat puasa untuk Allah- tak dapat pahala.
ii- Orang yang ambil wuduk basahkan badan untuk sejuk bukan kerana Allah, tak dapat pahala juga!
Betapa ramai orang yang berjogging berjalan niat nak sihat tetapi ke tangga masjid tak sampai, maka rugilah langkahnya itu.
Langkah yang terbaik, yang diberkati Allah, antaranya:
i- Langkah ke masjid
ii- Untuk penuhkan saf depan
iii- Nak ziarah orang, ahli keluarga.
iv- Menziarahi ibu bapa
v- Mendamaikan orang berbalah
vii- Melangkah nak sampaikan ilmu dan lain-lain.
Semua ini akan dapat pahala tetapi jika kita langkah saja-saja hanya akan keluar peluh tetapi tak dapat pahala!
- Ayat 15- {…. maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia,…}-
Yakni Allah akan berikan hasilanya kepada mereka yang bersungguh berusaha atas dunia ini.
Kata ahli fikir : Orang yang betul-betul berazam, berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya itu, insya’ Allah, Allah akan beri kepadanya.
Sama ada dunia & Akhirat, yang nak dunia saja akan dapat dunia saja tetapi jika kita niat baik akan dapat juga pahala Akhiratnya.
Sabda Nabi SAW : Sesiapa yang bercita-cita untuk mati syhaid, Allah akan berikannya darjat mati syahid walaupun mati di atas tilam di rumahnya!
Begitu juga sesiapa yang datang belajar di pondok ini atau mana-mana pusat pengajian: Dengan niat nak belajar agama, tauhid feqah tafsir dan lain-lain, nak belajar al-Quran, nak khatam al-Quran, nak solat jemaah dan lain-lain niat yang baik, insya’ Allah, Allah akan beri pahala kepada kita mati dalam menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad!!
Yakni orang yang betul-betul gilakan dunia Allah akan berikan kepadanya dunia & orang yang betul-betul nak Akhirat insya’ Allah dapat juga!
- Ayat 15- {Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya),…}-
Dalam ayat ini juga Allah nyatakan kelebihan qasad iaitu niat!
Sebagaimana kata ahli fikir tadi yang menghalang manusia daripada mengikut kebenaran ini ada dua sebab:
i- Jahil tak mahu belajar, memang susah untuk menerima kebenaran.
ii- Niat tidak betul, seperti takabbur & sombong.
Dalam ayat-ayat yang kita baca sebelum ini Allah kata bagaimana untuk menghilangkan kejahilan, Allah cabar untuk bawa al-Quran lain atau jika tak ada maka ikutlah al-Quran ini!
Manakala untuk membetulkan niat yang tidak betul, Allah SWT bawa ayat ini.
Dua perkara ini menghalang nikmat iman & nikmat ikut Nabi SAW iaitu kerana sombong dan jahil tak mahu belajar!
Contoh, apabila orang ajar Sunnah Nabi yang sahih- mereka kata jangan kacau amalan lama yang orang tua ajar, yang sudah sebati dalam masyarakat.
Jika nasihat dianggap sebagai pengacau maka tak dapatlah manfaat ilmu yang disampaikan!
- Ayat 16- {Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.}-
Orang yang kejar dunia semata-mata tanpa ikut Akhirat, maka hilang & gugurlah pahala amalannya atas dunia ini!
Gugur pahala ini ada dua keadaan sama ada :
i- Hilang terus iaitu seperti orang syirik yang tiada bahagian lansung di Akhirat kelak.
ii- Orang riya’ yang nak menunjuk kepada orang, kerja Akhirat tapi buat kerana dunia; hilang pahala yang dibuat semasa itu, usulnya ada lagi.
Tetapi tetap rugi amalannya kerana rosak di tengah jalan!
- Ayat 16- {Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.}-
Allah nyatakan bahawa al-Quran ini menjadi saksi dari Allah {شَاهِدٌۭ مِّنْهُ} kepada orang yang beriman!
Kerana kita orang yang beriman akan ikut al-Quran, berdasarkan al-Quran kata, hadis yang sahih beritahu, kemudian ikut huraian ulama’ yang muktabar yang kata begini!
Jangan pula kata apabila orang kata nak ikut al-Quran & Sunnah, kamu tak mahu pakai ulama’!!!
Mana kita boleh faham tanpa huraian ulama’ yang membimbing, mana kita reti tanpa tunjuk ajar mereka; cuma sumber pengambilan hukum kita daripada al-Quran sebagai asasnya, daripada Sunnah Nabi SAW, bukan daripada sumber lainnya, al-Quran kata begini tetapi kita nak ikut mimpi orang pula!
Allah kata: Diikuti oleh saksi darinya; kerana tujuan kita adalah untuk beriman kepada Allah, maka al-Quran datang sebagai bukti, dalil & saksi untuk kita mengenal Allah!
Bagaimana kita nak beramal tanpa al-Quran tak mungkin!
Kerana itu kata ulama’ :
i- Sesiapa yang beriman tetapi tak sempat nak kenal al-Quran, insya’ Allah akan dapat manfaat!
Bukan tak mahu mengaji tetapi tak sempat!
Seperti seorang sahabat yang baru mengucap syahadah pada waktu pagi- terus gugur syahid petangnya tanpa pernah solat dan belajar al-Quran tetapi ahli syurga!
Kerana dia mati syahid fi-sabilillah setelah berimannya.
ii- Tetapi orang yang ada al-Quran, yakni tahu tentang & kenal al-Quran tetapi tidak beriman, tidak akan memberi manfaat & faedah lansung!!
Seperti kaum munafiq yang sentiasa bersama Nabi SAW, mendengar dan baca al-Quran bersama Baginda, mereka kenal al-Quran tetapi malangnya mereka tidak beriman kepadanya!!!!
Begitu juga puak orientalis yang kaji al-Quran, mungkin mereka pandai bacanya; tetapi mereka tidak beriman kerana tidak masuk kefahaman dalam hati mereka.
Yang terbaik & solidnya adalah mereka yang beriman & belajar al-Quran lalu berpegang teguh dengannya & dengan Sunnah Nabi SAW serta beramal dengannya.
Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan orang yang beriman dan beramal soleh, hidupkan kami dengan iman & al-Quran, matikan kami dalam husnul khatimah, menjadi orang yang layak mendapat syurga-Mu.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
