View Categories

(7) Surah Hud: Ayat 18-22

12 min read

Kafir Melakukan Pembohongan, Menyekat Dari Jalan Iman & Merekalah Golongan Yang Rugi.

Full video : https://youtu.be/TfxVVlVtHD0?si=OjHrHtbdi2Chl_kV

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 18 sehingga ayat 22 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan puak kafir melakukan kezaliman dengan membuat pembohongan ke atas Allah dengan menuduh-Nya ada pasangan, anak dan seumpamanya. 
  1. Mereka bukan hanya tidak beriman tetapi juga menyekat orang lain dari jalan iman dan menghalangnya!
  1. Maka Allah nyatakan bahawa merekalah golongan yang rugi; celaka di dunia yang sementara dan celaka di Akhirat, kekal di dalam neraka selamanya jika tak dapat pelepasan!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa puak kafir ini mempunyai adab & gaya yang pelbagai. 
    Jalan hidup mereka juga berbeza; 
    a- Ada mereka yang sangat tamak loba kepada dunia maka Allah nak didik kita orang beriman jangan jadi tamak begitu. 
    Sebagaimana dalam ayat 15 surah Hud.
    b- Ada daripada mereka yang mengingkari jawatan rasul & nabi, mereka tolak kenabian Rasulullah SAW.
    Lalu Allah batalkannya dengan ayat 17.
    c- Mereka telah membuat satu sangkaan buruk kononnya berhala mereka itu sebagai pemberi syafaat atau partner Tuhan, maka Allah batalkan dengan ayat 18 ini.
    Ini adalah satu tuduhan & sangkaan yang amat buruk!

    ii- Maka datang ayat ini Allah nak batalkan ketiga-tiga hujjah, pegangan & sangkaan puak kafir itu! 
    Kerana berhala itu lansung tiada kuasa dan upaya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 18- {DAN TIDAK ADA YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG-ORANG YANG MEREKA-REKA PERKARA-PERKARA DUSTA TERHADAP ALLAH! ORANG-ORANG YANG DEMIKIAN SIFATNYA AKAN DIBAWA MENGADAP TUHAN MEREKA, DAN PADA HARI ITU AKAN BERKATALAH SAKSI-SAKSI (DARI MALAIKAT-MALAIKAT, NABI-NABI, DAN ANGGOTA-ANGGOTA TUBUH MEREKA SENDIRI): “INILAH ORANG-ORANG YANG MEMBUAT-BUAT DUSTA TERHADAP TUHAN MEREKA”. KETAHUILAH (SESUNGGUHNYA) LAKNAT ALLAH TERTIMPA KEPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM!} (HUD 11:18)

  1. Allah nyatakan tiada manusia yang lebih zalim selain daripada mereka yang menbuat tuduhan jahat ke atas Allah! 
    Puak kafir ini menuduh Tuhan ada anak. 
    Kita sekarang sudah mendekati dengan perayaan puak yang meyambut kelahiran anak Tuhan! Ini adalah syirik yang nyata! 
  1. Tuduhan dan sangkaan buruk kedua mereka ialah mengatakan ada sekutu bagi Allah dalam ibadat.
    Iaitu sembah Allah serta dalam masa yang sama boleh sembah berhala dan lain-lain sembahan.
  1. Tuduhan ketiga ialah mereka kata al-Quran itu bukan dari Allah tetapi hanya rekaan Nabi SAW.
  1. Tuduhan keempat mereka menafikan kenabian Nabi Muhammad SAW hanya gembala kambing dari Makkah bukan rasul atau nabi!
    Inilah beberapa tuduhan jahat puak kafir terhadap Allah SAW!
  1. Maka mereka yang membuat tuduhan jahat itu Allah akan bawa & bentangkan perbuatan zalim mereka itu di Akhirat kelak untuk dibicarakan di hadapan Allah, Allah akan hisab dan membalasnya!
  1. Kemudian Allah membawa beberapa saksi atas perkara ini iaitu:
    i- Para malaikat yang menulis dan mencatat amalan mereka akan menjadi saksi;

    ii- Para nabi AS yang telah menyampaikan dakwah mereka akan menjadi saksi;

    iii- Orang beriman akan menjadi saksi bahawa para nabi telah menjalankan tugas menyampaikan dakwah, para ulama’ & pendakwah juga telah menjalankan tugas mereka!

    iv- Serta anggota badan manusia sendiri akan menjadi saksi semuanya.
  1. Sebagaimana firman Allah SWT:
    Maksudnya; {Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.} (Ya Sin 36:65)
  1. Semua itu bersaksi bahawa kumpulan inilah kumpulan yang jahat yang berbuat dusta dengan mereka-reka tuduhan dan fitnah jahat ke atas Allah SWT atas dunia dulu!
  1. Sebuah hadis riwayat Ibnu Umar RA: 

    «يُدْنَى الْمُؤْمِنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ، حَتَّى يَضَعَ عَلَيْهِ كَنَفَهُ، فَيُقَرِّرُهُ بِذُنُوبِهِ، فَيَقُولُ: هَلْ تَعْرِفُ؟ فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ أَعْرِفُ، قَالَ: فَإِنِّي قَدْ سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا، وَإِنِّي أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ، فَيُعْطَى صَحِيفَةَ حَسَنَاتِهِ، وَأَمَّا الْكُفَّارُ وَالْمُنَافِقُونَ، فَيُنَادَى بِهِمْ عَلَى رؤُوسِ الْخَلَائِقِ هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللهِ».
    [صحيح] – [متفق عليه] – [صحيح مسلم: 2768] 

    Maksudnya: “Pada hari kiamat, orang mukmin didekatkan kepada Allah SWT lalu Dia meletakkan tabir-Nya kepadanya dan mengingatkannya dosa-dosanya.
    Allah bertanya, ‘Apakah kamu mengetahuinya?’ Dia menjawab, ‘Tentu, wahai Tuhanku! Aku tahu.’ 
    Allah berfirman, ‘Sungguh Aku telah menutupinya padamu di dunia dan sungguh hari ini Aku mengampuninya untukmu.’ 

    Lantas ia diberikan catatan kebaikan-kebaikannya. 
    Adapun orang kafir dan munafik, mereka dipanggil di hadapan makhluk: Mereka itu adalah orang-orang yang mendustakan Allah.
    ” [Muttafaq ‘alaihi] & [Sahih Muslim – 2768]
  1. Di akhir ayat Allah tegaskan bahawa sesungguhnya laknat Allah akan tertimpa pada orang-orang yang zalim, iaitu mereka yang syirik dan melakukan maksiat kepada Allah!

AYAT 19- {ORANG-ORANG YANG MENGHALANG DIRINYA SENDIRI DAN ORANG LAIN DARI JALAN AGAMA ALLAH DAN BERUSAHA SUPAYA JALAN ITU MENJADI BENGKOK TERPESONG, SEDANG MEREKA PULA INGKARKAN HARI AKHIRAT;} (HUD 11:19)

  1. Dalam ayat ini Allah menjelaskan siapakah orang zalim yang mendapat laknat Allah itu!
  1. Mereka adalah orang kafir yang;
    i- Yang menghalang dirinay sendiri dari kebenaran;

    ii- Dan menghalang orang lain dari Jalan Agama Allah.

    iii- Dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, yakni cuba pesongkan ajaran agama.

    iv- Sedang mereka pula ingkarkan hari Akhirat; tak percaya kepada hari Akhirat & ada kebangkitan semula selepas mati!

AYAT 20- {MEREKA ITU TIDAK AKAN DAPAT MELEMAHKAN KEKUASAAN ALLAH DARIPADA MENIMPAKAN MEREKA DENGAN AZAB DI DUNIA, DAN TIDAK ADA PULA BAGI MEREKA, YANG LAIN DARI ALLAH, SESIAPAPUN YANG DAPAT MENOLONG MELEPASKAN MEREKA DARI SEKSANYA. AZAB UNTUK MEREKA AKAN DIGANDAKAN (KERANA MEREKA SANGAT BENCIKAN JALAN AGAMA ALLAH), SEHINGGA MEREKA TIDAK TAHAN MENDENGARNYA, DAN TIDAK PULA SUKA MELIHAT TANDA-TANDA KEBENARANNYA.} (HUD 11:20)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan amaran kepada puak kafir, jika tak dengar kata, tak hirau kepada apa yang Allah nyatakan ini!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan kudrat-Nya, tiada siapa boleh halang apabila Allah nak jatuhkan hukuman, tiada penolong yang dapat melepaskan kamu daripada azab Allah.
  1. Mereka tidak akan dapat lari daripada azab Allah. 
    Apabila Allah kata kena, akan kena & mereka tiada penolong selain daripada Allah! 
    Semua makhluk ini lemah & di bawah kuasa pemerintahan Allah.
    Mereka tiada kuasa untuk melawan & menghalang azab Allah!
  1. Kemudian Allah akan gandakan azab ke atas mereka kerana mereka sangat bencikan jalan agama Allah!
    Apakah maksudnya ini?
    Kata Ibnu Kathir RHM : Allah gandakan & tambahkan azab ke atas mereka.
  1. Allah telah memberikan kepada mereka pendengaran & penglihatan tetapi hati mata telinga itu tidak berguna. 
    Allah jadikan semua pancaindera itu tertutup tidak berfungsi; sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.
  1. Itulah yang terjadi apabila hati telah tertutup, akan tertutup & tidak mampu daripada melihat & menerima kebenaran! 
  1. Begitulah tujuan penjajah kafir apabila masuk ke negara Islam mereka cuba nak cabut usul (asas) iman daripada hati orang mukmin.
    Mereka mahu menghapuskan agama Islam, amalannya & kafir mahu orang Islam ikut gaya hidup mereka!
  1. Mereka mungkin tidak berjaya mencabut benih iman daripada hati orang Islam, tetapi berjaya mengubah penghayatan agama dan menyelewengkan amalan dan gaya hidup mereka. 

AYAT 21- {MEREKALAH ORANG-ORANG YANG MERUGIKAN DIRI SENDIRI, DAN HILANG LENYAPLAH DARI MEREKA APA YANG MEREKA ADA-ADAKAN.} (HUD 11:21)

  1. Mereka adalah orang yang merugikan diri sendiri kerana mereka menyembah apa yang tiada kuasa, yang tidak dapat menolong & memberi manfaat kepada mereka!
    Bahkan segala berhala dan sembahan mereka seperti batu kayu itu akan dicampakkan ke dalam neraka bersama penyembahnya- kecuali Nabi Isa, Uzair & Malaikat, yang tidak meminta untuk disembah!
  1. Orang yang syirik ini telah mensiakan peluang keimanan yang Allah beri & pahala yang dijanjikan dan mereka telah membinasakan diri dengan azab Allah SWT.
  1. Hilang habis kepercayaan mereka. 
    Apa yang mereka sangkakan itu seperti Allah ada anak, ada partner dan seumpamanya; semua hilang terbukti salah semuanya & penyesalan mereka tidak akan ada guna lagi kerana masa sudah tamat! 

AYAT 22- {TIDAK SYAK LAGI, BAHAWA SESUNGGUHNYA MEREKALAH YANG PALING RUGI, PADA HARI AKHIRAT KELAK.} (HUD 11:22)

  1. Mereka adalah orang yang akan kerugian serugi-ruginya dan celaka di Akhirat kelak.
  1. Ini kerana:
    i- Allah ajak jalan ke syurga mereka pilih jalan ke neraka.

    ii- Allah ajak kepada jalan keredhaan-Nya mereka pilih jalan kemurkaan-Nya!

    iii- Allah ajak suruh ikut Nabi SAW mereka pilih Abu Lahab & Abu Jahal.
  1. Tamatlah secara ringkas tafsir ayat yang mulia ini dan esok Allah akan bawa cerita tentang orang yang baik pula!
    Begitulah uslub al-Quran yang sentiasa seimbang dan lengkap sempurna.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 18- {Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah!}-

    Manusia yang paling jahat atas dunia ini ialah orang yang mereka-reka tuduhan jahat ke atas Allah!
    Ulama’ tadabbur kata : Ayat ini menunjukkan bahawa mereka-reka tuduhan jahat & palsu ke atas Allah SWT itu adalah satu kezaliman yang amat besar!

    Mereka ini akan dibentangkan di hadapan Allah segala kejahatan mereka di hadapan orang ramai secara terbuka. 
    Mereka akan dikutuk secara berdepan-depan.

    Manakala orang mukmin ada peluang untuk dibicarakan secara tertutup dan sembunyi, tidak didedahkan keburukannya di hadapan khayalak ramai bukan seperti puak kafir! 
    Kita minta perlindungan, hidayah & kasih sayang Allah sentiasa.
  1. Ayat 18- {Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah!}-

    Kata ulama’ : Ayat ini walaupun ditujukan kepada puak kafir, ia juga boleh dikenakan kepada orang Islam yang menyeleweng dari ajaran Rasulullah SAW, menyeleweng dalam memahami nama-nama & sifat Allah! 

    Tetapi orang kafir pastilah lebih dahsyat & teruk daripada orang yang beriman!
    Ayat ini tidak termasuk bagi ulama’ yang berijtihad dengan ilmu tetapi tersalah! 
    Jika tidak, tidak akan ada ulama’ yang berani untuk berijtihad kerana jika tersalah akan berdosa.

    Sebagaimana hadis Nabi SAW:
    إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ‏‏ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
    Maksudnya: “Apabila seorang hakim melakukan hukum lalu dia berijtihad dan kemudiannya dia benar maka untuknya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad, kemudian dia tersilap maka baginya satu pahala.” [HR al-Bukhari (7352) dan Muslim (1716)].

    Alhamdulillah ini adalah kelebihan & nikmat dari Allah kepada umat kita ini.
  1. Ayat 18- {… dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): “Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”.}-

    Pada hari itu berkatalah para saksi. 
    Siapakah saksi-saksi ini?
    Kata ulama’ tafsir saksi-saksi itu ialah :
    i- Malaikat

    ii- Para nabi & rasul.

    iii- Orang yang beriman

    iv- Dan anggota badan manusia itu sendiri!
    Persoalan: Apakah faedah adanya saksi itu sedangkan Allah SWT sudah tahu semuanya?
    Jawapan:
    Untuk membesarkan isu, jika kamu buat tak betul- anggota kamu sendiri, orang berimanm rasul & para malaikat akan menjadi saksinya!

    Serta tiada peluang lagi untuk kamu melepaskan diri atau nak menolak pertuduhan ke atas kamu kerana semua orang telah menjadi saksi ke atas kamu!
    Ini kerana Allah nak menunjukkan keadilan & ketelusan perbicaraannya dihadiri oleh para saksi, tidak akan ada orang yang akan dizalimi atau teraniaya!

    Ulama’ juga kata : Berdusta ke atas Allah adalah lebih zalim & dahsyat daripada berdusta ke atas makhluk.
    Berdusta sesama makhluk sudah berdosa apatah lagi ke atas Allah!
  1. Ayat 18- {Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!}-

    Laknat Allah SWT ke atas orang yang zalim! 
    Ini kaedah yang digunakan oleh para ahli Sunnah mengatakan bahawa :
    Jika seorang itu terkenal dengan kezalimannya tetapi dia pada zahirnya adalah seorang Islam; Contohnya seperti al-Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi, seorang pemimpin yang zalim & ganas tetapi dia tetapi seorang Islam.

    Maka kita tidak boleh laknat ke atasnya secara spesifik, secara ain atau zahir, tetapi kita melaknat dan berkata sebagaimana Allah kata: Laknat Allah ke atas orang zalim, bukan laknat ke atas si fulan, fulan!! 

    Kita sesama manusia & orang mukmin tidak diajar & tidak boleh melaknat ke atas orang lain secara zahir dan atas kepala mereka.
    Diriwayatkan dari Umar bin Al-Khattab bahawa terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi SAW yang bernama Abdullah yang diberi gelaran himar (keldai). Beliau pernah membuat Rasulullah SAW tertawa.

    Pada suatu hari, beliau dibawa kepada Nabi SAW kerana meminum arak. 
    Nabi SAW memerintahkan agar beliau disebat. Lalu beliau pun disebat. 
    Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah sering dia dibawa kepada Nabi SAW untuk disebat.” 
    Maka Nabi SAW bersabda, “Janganlah melaknatinya. Demi Allah, tidaklah saya mengetahui (mengenainya) melainkan beliau mencintai Allah dan Rasul-Nya.” [HR Bukhari]

    Di dalam hadis di atas ini, Nabi SAW melarang orang yang melaknatinya daripada mengucapkan kata-kata laknat meskipun kepada seseorang yang bersalah melakukan dosa besar kerana minum arak. 

    Bahkan, Nabi SAW menyebutkan satu sifat yang ada pada diri Abdullah iaitu beliau mencintai Allah dan Rasul-Nya.

    Tujuannya adalah untuk membantu dan memberikan harapan kepada Abdullah untuk meninggalkan dosa meminum arak. 
    Tidak dibenarkan laknat secara mu’ayyan (spesifik); tetapi boleh laknat ke atas sifatnya.
    Ini kerana apa kita melaknatnya kita telah meletakkan keburukan besar ke atas seseorang itu.
    Sedangkan kita tidak tahu apa akan terjadi di akhir hayatnya, bila dia akan bertaubat, atau ditimpa musibah lalu dia insaf & bertaubat.

    Ini sama seperti perbuatan sebahagian orang hari ini yang memangkah wajah & poster ustaz-ustaz yang dia tak suka atau melabelnya dengan label yang jahat dan tuduhan yang sesat! 
    Inilah pegangan ahli Sunnah tidak boleh mengkafirkan atau menyesatkan orang lain secara spesifik kecuali setelah ditegakkan hujjahnya!
  1. Ayat 20- {Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah…}-

    Allah kata mereka ini tidak akan mampu nak sekat apa yang Allah jatuhkan hukuman! 
    Tak mampu nak halang keputusan dan azab Allah.
    Cuma timbul persoalan kenapa Allah kata: {dengan azab di dunia}?

    Jawapan:
    Untuk menunjukkan bahawa di atas dunia ini lagi mereka tak mampu nak melawan atau menghalang kuasa Allah! 
    Dengan segala wang, kuasa & harta yang mereka ada, barisan peguam yang handal, dengan segala pengawal, pegawai pembela yang mereka ada atas dunia ini; tetapi apabila Allah nak ambil tindakan tiada siapa boleh halang!

    Apatah lagi di Akhirat kelak tiada siapa boleh lari & selamat, di mana anak & bapa, suami isteri yang saling mencintai tidak akan dapat menolong & membela satu sama lain!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top