View Categories

(8) Surah Hud: Ayat 23-24

10 min read

ORANG BERIMAN AHLI SYURGA, BANDINGAN ORANG BUTA DAN PEKAK & CELIK DAN MENDENGAR.

Full video : https://youtu.be/iZE6KBQXQ1o?si=DOpXzHc3kzvxCwLQ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 23 dan ayat 24 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kepada kita bahawa orang beriman & beramal soleh serta khusyuk tunduk kepada Allah sentiasa, mereka adalah ahli syurga yang kekal abadi di dalamnya tanpa penghujung.
  1. Kemudian Allah nyatakan pula bandingan orang buta dan orang pekak atau tuli dengan mereka yang celik dan mendengar sebagai bandingan kepada orang yang kafir & orang yang beriman!
  1. Pastilah tidak sama kedua jenis golongan ini. Tetapi jika mereka buta sedangkan telinga mendengar masih boleh mendapat ilmu jika mereka nak! 
    Betapa ramai ulama’ yang yang besar buta matanya tetapi hatinya celik & dadanya cerah.
    i- Maka sebagaimana uslub al-Quran apabila ada cerita tentang yang jahat atau negatif; pasti akan dibawa juga cerita tentang orang yang baik & positif agar manusia tidak putus asa dan lalai.

    ii- Maka datang ayat ini Allah sebut pula keadaan orang yang bahagia yang mesti memilik 3 sifat yang mulia iaitu iman, Islam & ihsan. 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 23- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJAKAN AMAL YANG SOLEH, SERTA TUNDUK TAAT MENUNAIKAN IBADAT KEPADA TUHAN MEREKA DENGAN KHUSYUK, MEREKA ITULAH AHLI SYURGA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (HUD 11:23)

  1. Allah nyatakan orang yang mempunyai sifat ini:
    i- Yang beriman, tanpa iman buatlah berjuta kebaikan pun tidak akan dapat pahala & manfaat di Akhirat kelak.
    Mungkin hanya akan dapat pulangan dan kebaikan atas dunia ini.

    ii- Dan mengerjakan amal soleh, beriman saja tetapi tidak buat amal soleh pasti tidak ada pahala juga.
    Serta dalam masa yang sama wajib tinggalkan kemungkaran & maksiat, bukan buat dua-dua baik & jahat! 

    iii- Serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk.
    Amal yang tidak ikhlas & tidak ikut ajaran Nabi SAW, tidak akan diterima Allah.
    Inilah 3 sifat orang mukmin iaitu iman, Islam & ihsan.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    {Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.} (Al-Hajj 22:35)
  1. Kemudian Allah nyatakan balasan bagi mereka yang mempunyai sifat ini:
    i- Mereka itulah ahli Syurga

    ii- Mereka kekal didalamnya, dan tidak akan binasa atau mati lagi.
  1. Ini kerana mati telah disembelih- tidak ada mati lagi selepas mati dimatikan- sebagaimana hadis Nabi SAW:
    عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاءُ بِالْمَوْتِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُ كَبْشٌ أَمْلَحُ زَادَ أَبُو كُرَيْبٍ فَيُوقَفُ بَيْنَ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ وَاتَّفَقَا فِي بَاقِي الْحَدِيثِ فَيُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ وَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ قَالَ وَيُقَالُ يَا أَهْلَ النَّارِ هَلْ تَعْرِفُونَ هَذَا قَالَ فَيَشْرَئِبُّونَ وَيَنْظُرُونَ وَيَقُولُونَ نَعَمْ هَذَا الْمَوْتُ قَالَ فَيُؤْمَرُ بِهِ فَيُذْبَحُ قَالَ ثُمَّ يُقَالُ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ وَيَا أَهْلَ النَّارِ خُلُودٌ فَلَا مَوْتَ قَالَ ثُمَّ قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
    { وَأَنْذِرْهُمْ يَوْمَ الْحَسْرَةِ إِذْ قُضِيَ الْأَمْرُ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ وَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ }
    وَأَشَارَ بِيَدِهِ إِلَى الدُّنْيَا.

    Dari Abu Sa’id RA, Rasulullah SAW bersabda:
    Dibawa datang kematian pada hari kiamat berupa kibasy yang berkulit hitam putih. 
    Lalu diletakkan di antara syurga dan neraka. Lalu diseru “Wahai ahli syurga, adakah kamu kenal siapakah ini?” 
    Lalu ahli syurga mendongak dan melihat lalu menjawab: “ Ya kami kenal inilah kematian”. 

    Lalu diseru pula kepada ahli neraka: “Wahai ahli neraka kamu kenalkah ini?” 
    Mereka semua mendongak dan melihat lalu menjawab: “Ya kami kenal inilah al maut”. 

    Bersabda Rasulullah SAW; “Lalu diperintahkan kematian itu disembelih”. 

    Kemudiaan diseru: ‘Wahai ahli syurga kekallah kamu semua dan tiada lagi kematian.“ 
    Lalu diseru pula kepada ahli neraka: “Kekallah kamu semua dan tiada lagi kematian”. 
    Lalu Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam membaca ayat dari surah Maryam yang bermaksud
    :

    {Dan berilah mereka peringatan tentang hari penyesalan, (yaitu) ketika segala perkara telah diputus dan mereka dalam kelalaian dan mereka tidak (pula) beriman.} [Maryam: 39].
    Baginda SAW pun mengisyaratkan dengan tangannya pada dunia. [HR Muslim, 5087].

AYAT 24- {BANDINGAN DUA GOLONGAN (YANG KAFIR DAN YANG BERIMAN) ITU SAMALAH SEPERTI ORANG YANG BUTA SERTA PEKAK, DENGAN ORANG YANG CELIK SERTA MENDENGAR; KEDUA-DUA GOLONGAN ITU TIDAKLAH SAMA KEADAANNYA. (SETELAH KAMU MENGETAHUI YANG DEMIKIAN) MAKA TIDAKKAH KAMU MAHU MENGAMBIL PERINGATAN DAN INSAF?} (HUD 11:24)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas kita telah mendengar tentang orang zalim yang membuat tuduhan dan pendustaan kepada Allah.

    ii- Maka datang ayat ini untuk kita buat analisa, berfikir untuk memilih jalan yang terbaik. 
    Setiap hidup ini bukan ikut arus begitu saja, setiap perjalanan pasti ada matlamat & tujuannya! 
    Setiap pekerjaan kena ada niat yang baik!
  1. Kemudian Allah buat bandingan antara golongan yang kafir dan beriman
    i- Iaitu samalah seperti orang yang buta serta pekak(kafir), iaitu mereka tidak nampak perkara yang benar walaupun di depan mata mereka tanda keagungan Allah yang besar. 
    Mereka tengok dunia tak ingat Akhirat, tengok keagungan alam tak nampak kehebatan Pencipta!
    Mereka tak tengok kebenaran maka mereka tak nampak hidayah, tidak mendengar yang hak lalu tidak mendapat manfaat!! 

    ii- Dengan orang yang celik serta mendengar(beriman); jika tahu saja tetapi tak buat maka itu bukan bijak! 
    Orang yang berakal ialah mereka yang tahu kebenaran lalu buat, sebar & amalkannya!

    Orang beriman tengok yang benar lalu dia ikut & dia dengar yang benar lalu dia mengambil manfaat darinya.
    Semoga kita menjadi golongan ini!
  1. Kemudian Allah bawa soalan yang sentap: Apakah sama keadaan dua golongan ini? Jawapannya kedua golongan ini pastilah tidak sama keadaannya!!!
  1. Maka apakah kamu masih belum ambil pengajaran & insaf! 
    Tidak berfikir akan keadaan orang kafir & beriman maka kamu tinggalkan kekufuran & maksiat- beriman kepada Allah & beramal dengan amal yang soleh! 
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    i- {Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).} (Al-Hasy-r 59:20)

    ii- {Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?} (Al-Qalam 68:36)

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 23- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk,…}-

    Allah nyatakan sifat orang yang beriman, beramal soleh dan tunduk khusyuk kepada Tuhan.
    Kata ulama’ tadabbur seperti asy-Syarbini : Ayat ini menekankan satu sifat setelah beriman & kamu beramal soleh, ada satu lagi sifat yang lain iaitu amalan hati. 
    Iaitu khusyuk, tenang, khudu’, tunduk akur patuh kepada Allah SWT.

    Inilah maksudnya qalbun salim iaitu hati yang sejahtera yang akan memberi manfaat besar di Akhirat kelak. 
    Tanpa ikhlas & khusyuk tidak akan ada manfaat di sisi Allah. 
    Jika kamu beriman tetapi hati takabbur, dulu sebelum masuk syurga!

    Amalan soleh yang dibuat tidak akan meberi pulangan besar di Akhirat kecuali dengan amalan hati yang ikhlas iaitu khusyuk & khudu’ kepada Allah.

    Kerana itu kita kena belajar dalam kitab adab atau tasauf, kita kena beramal untuk sucikan jiwa dan hati. 
    Boleh baca & tadabbur kitab Penawar Bagi Hati yang telah disyarahkan secara ringkas oleh AAM.
    Boleh didapati di: www.dartaibah.com
  1. Ayat 23- {Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan mereka dengan khusyuk,…}-

    Dalam ayat ini Allah sebut sifat orang mukmin.
    Ulama’ tadabbur kata : Allah sebut sifat orang mukmin, yang tidak lengkap kecuali dia telah beriman secara zahir & batin. Iaitu:
    i- Iman adalah perkara yang terpahat dalam hati & orang tak nampak.
    Maka ia adalah satu sifat yang batin.

    ii- Amalan zahir iaitu mengerjakan amal soleh yang boleh dilihat seperti solat, puasa, tutup aurat dan lain-lain. 

    iii- Maka yang melengkapkan sifat ini ialah khusyuk dan perasaan takut kepada Allah SWT!
    Tetapi jika buat amal ibadat secara solid tetapi hatinya penuh dengan sifat riya’ & takabbur, maka adalah sia-sia!
    Sifat tiga serangkai ini: Iman, Islam & Ihsan tidak boleh dipisahkan, jika pisahkan akan rosak!
    Begitulah amalan zahir & batin kena serentak kerana:
    i- Ada iman tanpa amal, ini adalah sifat murji’ah.

    ii- Buat amal tanpa iman, ini adalah sifat munafiq!

    iii- Ada iman & amal tanpa ikhlas- maka rosak juga!
  1. Dari sudut tertib dan munasabah ayat; sangat cantik Allah susun. 
    Bila Allah sebut kepada kita tentang golongan jahat yang mereka-reka buat tuduhan jahat ke atas Allah SWT, menyekat manusia dari jalan Allah; kita dengar dengan penuh rasa sakit hati & perasaan mengecewakan!

    Kerana fitrah manusia ini suka mencari-cari; manakah pula jalan yang benar & betul apabila yang dia dengar tentang jalan yang sesat & salah. 

    Maka kena ada dua-dualah pro & kontra, positif & negatif untuk manusia buat pilihan.
    Lalu setelah menyebut empat ayat tentang orang kafir dan sifat buruk mereka; maka Allah datangkan ayat ini yang walaupun hanya satu ayat, tetapi ayat yang lengkap tentang sifat orang yang baik iaitu- iman, Islam & ihsan.

    Alhamdulillah ini kerana orang yang tenang dada, yang lapang jiwa inilah pemilik qalbun salim. 
    Orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera itulah orang yang selamat di Akhirat kelak!
  1. Ayat 24- {Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya.}-

    Allah bawa bandingan dua kumpulan manusia.
    Ini kerana Allah SWT mahu kita lihat & berfikir bahawa setiap perkara itu ada pro & kontra, ada positif & negatif. 

    Maka dibuatnya bandingan:
    i- Orang yang beriman sebagai orang yang mendengar & melihat;

    ii- Manakala orang kafir sebagai orang yang buta & tuli! 
    Ini kerana walaupun mata mereka celik tetapi mereka tidak lihat keagungan & kekuasaan Allah SWT. 

    Walaupun telinga mereka mendengar- mereka tidak dengar dalil-dalil & bukti yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT, maka mereka ini dikira sebagai orang yang buta & tuli! 
    Tetapi orang beriman, hatinya celik, telinganya lapang terbuka molek, apabila mendengar ayat-ayat Allah gementar hati mereka!

    Tidak mungkin untuk kita tinggal atau lari tanpa mengambil ibrah pengajaran daripada ayat-ayat Allah yang besar ini. 
  1. Ayat 24- {… kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?}-

    Di akhir ayat Allah nyatakan tidak sama dua golongan ini.
    Maka setelah buat kajian & analisa apakah sama atau tidak dua golongan ini, maka apakah kamu masih lagi tidak ambil peringatan & pengajaran! 

    Tidak memberi keinsafan dan 
    Allah beri satu peringatan akhir bahawa buta mata hati, tuli telinga & hati mati masih boleh diubati dengan beriman kepada Allah, memohon hidayah dari Allah, buka mata, telinga serta hati dengan tadabbur ayat-ayat Allah sama ada ayat maqru’ah yang dibaca atau ayat manzurah yang boleh dilihat! 
    Yang mana kedua ini boleh mencelikan mata hati kita.

    Apabila kita berjalan dan mengembara lihat kejadian alam yang pelik-pelik, bukit-bukau yang tinggi hebat, salji yang sejuk lagi indah, pokok yang rimbun atau bunga yang indah berkembang; maka kita tadabbur dan muhasabah diri kita barulah kita rasa diri kita ini kerdil di hadapan Allah.

    Allah SWT yang maha kaya & maha berkuasa- Dia jadikan semua atas dunia ini sebagai dalil & tanda-tanda keagungan Allah SWT bagi orang yang beriman!

    Ya Allah jadikan kami orang yang beriman, yang beramal soleh, yang celik mata hati, tidak buta & tuli, yang dapat melihat & mendengar ayat-ayat Allah dengan mata & telinga yang lapang.
    Mudah-mudahan kita mendapat kasih-sayang & keredhaan Allah SWT.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkat-Nya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top