View Categories

(9) Surah Hud: Ayat 25-28

10 min read

DAKWAH NABI NUH AS, BANTAHAN DARI KAUMNYA & JAWAPAN NABI NUH AS

Full video : https://youtu.be/Np1wR8I5cbk?si=AnSoU6Hxu2e9nmT0

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Hud dengan ayat 25 sehingga ayat 28 dalam juzuk kedua-belas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan cerita tentang utusanya Nabi Nuh AS, dan dia telah berdakwah kaumnya kepada tauhid & meninggalkan syirik!
  1. Maka terus timbul bantahan dari kalangan pembesar kaumnya, dengan menimbulkan 4 isu iaitu: 

    i- Nabi Nuh hanya manusia biasa,

    ii- pengikutnya dari kalangan orang lemah, 

    iii- Nuh tiada kelebihan apa, hanya orang kampung 

    iv- dan mereka sangkakan Nabi Nuh adalah seorang pembohong! 
  1. Apabila dakwahnya ditentang Nabi Nuh tak boleh diam dia memberi jawapan & hujjah yang mantap. 
    Tetapi begitulah puak kafir tidak akan nampak kebenaran itu dan terus melawan!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Telah mejadi kebiasaan uslub al-Quran apabila Allah bawa kisah puak kafir, Allah akan bawa pula kisah & cerita sebagai contoh untuk menjadi penguat kepada dalil itu dan penenang kepada hati Nabi SAW. 
    Maka Nabi SAW & para pendakwah kena sabar kerana laluan dakwah ini tidak mudah & ia tidak akan terhenti di tengah jalan. 
    Akan ada ujian & tentangan yang berat! 

    ii- Maka kisah pertama dalam ayat ini Allah SWT bawa kisah tentang Nabi Nuh AS & kaumnya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 25- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH UTUSKAN NABI NUH LALU IA MEMBERITAHU KAUMNYA DENGAN BERKATA: “SESUNGGUHNYA AKU INI SEORANG RASUL PEMBERI AMARAN YANG NYATA KEPADA KAMU.} (HUD 11:25)

1. Allah nyatakan bahawa Dia telah melantik Nabi Nuh sebagai rasul-Nya dan mengutuskannya kepada kaumnya! 

2. Tugas utamanya sebagai seorang Rasul ialah memberi amaran & peringatan yang nyata kepada kaumnya!

AYAT 26- {“IAITU JANGANLAH KAMU MENYEMBAH MELAINKAN ALLAH; SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG (JIKA KAMU MENYEMBAH YANG LAINNYA), KAMU AKAN DITIMPA AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA PADA HARI PEMBALASAN”.} (HUD 11:26)

  1. Allah utuskan Nabi Nuh kepada kaumnya dan dakwahnya hanya satu iaitu tauhid kepada Allah! 
    Jangan kamu sembah selain daripada Allah SWT! 
    Jika tidak kamu akan menjadi syirik!
  1. Jangankah kamu berani sembah selain daripada Allah semata-mata dan jangan lawan dakwah aku ini, ini kerana aku bimbang kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan!
  1. Nota (**) setelah Allah SWT nyatakan perihal Nabi Muhammad SAW yang diutuskan sebagai rasul utusan Allah dan menerangkan dalil-dalil & bukti akan kebenaran kerasulannya dan bukti kebenaran al-Quran yang diwahyukan kepadanya; maka bermula dari ayat ini Allah ceritakan pula perihal nabi-nabi lain yang diutuskan kepada kaum masing-masing. 

    Dan akibat orang yang kufur ingkar sebagai memberi semangat kepada Nabi Muhammad SAW untuk berjuang terus menyiarkan Islam & menyebarkannya dan jangan lagi hirauklan golongan yang menentangnya. 
    Juga memberi contoh tauladan bagi umat manusia untuk mengambil iktibar pengajaran dan insaf. 

AYAT 27- {MAKA BERKATALAH KETUA-KETUA YANG KAFIR DARI KAUMNYA: “KAMI TIDAK MEMANDANGMU (WAHAI NUH) MELAINKAN SEBAGAI SEORANG MANUSIA SEPERTI KAMI; DAN KAMI TIDAK NAMPAK GOLONGAN YANG MENGIKUTMU MELAINKAN ORANG-ORANG KAMI YANG MISKIN HINA, LAGI BERFIKIRAN SINGKAT; DAN KAMI JUGA TIDAK MEMANDANG KAMU (SEMUA) MEMPUNYAI SEBARANG KELEBIHAN YANG MENGATASI KAMI, BAHKAN KAMI MENGANGGAP KAMU ORANG-ORANG PENDUSTA”.} (HUD 11:27)

  1. Lalu terus bangkit dan berkatalah para ketua dari golongan kafir di kalangan kaumnya!!!
    Iaitu para pemegang kuasa dari kaumnya yang degil lagi keras kepala!
  1. Munasabah ayat ini:
    i- Apabila nabi Nuh berdakwah mereka cuba mengorek mencari kelemahannya untuk dijadikan isu bagi menjatuhkan Nabi Nuh AS.

    ii- Lalu mereka mereka-reka dan membawa beberapa isu bagi menimbulkan keraguan syubhat supaya orang tidak percaya kepada Nabi Nuh AS.
  1. Empat isu syubhat yang mereka timbulkan itu ialah:
    i- Kamu hanyalah manusia seperti kami, kamu bukan malaikat atau manusia istimewa.
    Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?”} (Al-Isra’ 17:94)
    Lalu mereka memandang lekeh & tidak ambil peduli dengan dakwah yang dibawanya.

    ii- Dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat;
    Yakni yang beriman dan menjadi pengikut nabi Nuh hanyalah golongan miskin lagi hina & tiada fikiran bijak!
    Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Mereka menjawab: “Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?”} (Asy-Syu’ara’ 26:111)

    Begitu juga sebagaiman hadis yang panjang mengenai kisah Abu Sufyan bin Harb apabila Heraclius menerima rombongan dagang Quraisy, yang sedang mengadakan ekspedisi dagang ke Negeri Syam. 
    Heraclius memanggil mereka untuk bertanya tentang Nabi SAW.

    Dimana setelah bertanya beberapa soalan yang dijawab okh Abu Sufyan, Hercules telah membuat kesimpulan dan berkata:
    Dan aku juga telah bertanya kepadamu, apakah yang mengikuti dia orang-orang yang terpandang atau orang-orang yang rendah?” Kamu menjawab orang-orang yang rendah yang mengikutinya. Memang mereka itulah yang menjadi para pengikut Rasul.” [HR Bukhari].

    iii- Dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat;
    Mereka mengatakan ini kepada pengikut Nabi Nuh yang lemah & miskin. 

    iv- Bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta, akhirnya mereka menuduh Nabi Nuh sebagai pendusta!

AYAT 28- {NABI NUH BERKATA: “WAHAI KAUMKU! JIKA KEADAANKU BERDASARKAN BUKTI YANG NYATA DARI TUHANKU, SERTA IA MENGURNIAKAN PANGKAT NABI KEPADAKU DARI SISINYA, KEMUDIAN BUKTI YANG NYATA ITU MENJADI KABUR PADA PANDANGAN KAMU (DISEBABKAN KEINGKARAN KAMU YANG TELAH SEBATI), MAKA ADAKAH KAMU NAMPAK ADA GUNANYA KAMI MEMAKSA KAMU MENERIMA BUKTI ITU SEDANG KAMU TIDAK SUKA KEPADANYA?} (HUD 11:28)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas kaumnya telah melemparkan syubhat kepada Nabi Nuh dengan empat isu.

    ii- Maka datang ayat ini Nabi Nuh menjawabnya dengan hujjah yang mantap dan dalil yang jelas akan tuduhan mereka itu.
  1. Nabi Nuh tidak berdiam diri tetapi menjawab tuduhan syubhat yang dilemparkan oleh kaumnya yang kufur itu.
  1. Hujjah pertama Nabi Nuh ialah tentang isu kemanusiaan; tidak semesti semua manusia ini sama saja- pasti ada yang kaya & ada juga yang miskin. 
    Ada orang yang miskin tetapi cerdik, ada yang kaya tetapi tak cerdik!
    Ada juga juga dari kalangan manusia yang Allah pilih sebagai rasul jadi kenapa kamu mahu pertikaikannya!!!
  1. Nabi Nuh menyuruh kaumnya berfikir baik-baik, jika aku ini seorang rasul yang dilantik oleh Allah dan telah aku tunjukkan kepada kamu dalil & bukti akan kebenaran dakwaanku ini dengan mukjizat yang nyata. Dakwahku ini mengajak manusia untuk beriman kepada Allah semata-mata & Allah bawa kepadaku rahmat dari sisi-Nya.
  1. Tetapi mereka tidak nampak kebenaran itu kerana mereka tidak mahu buka minda & lapangkan dada untuk menerimanya kerana Nabi Nuh adalah dari kalangan orang miskin!!!
    Inilah bahayanya apabila kita hanya menerima sesuatu kebenaran itu berdasarkan orang bukan kerana hujjah & fakta.
  1. Nabi Nuh menyatakan dia tidak akan memaksa kaumnya untuk menerima apa yang mereka tidak suka! 
    Tugasnya hanya menyampaikann dakwah & memberi peringatan agar mereka tidak kecundang & celaka di Akhirat kelak!
  1. Firman Allah SWT juga: {Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)}. (Al-Baqarah 2:256)- jika kamu terima kamu selamat- kamu kufur kamu yang cari pasal!!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 25- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu ia memberitahu kaumnya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu.}-

    Nabi Nuh AS telah menerima jawatan.
    Allah utuskan, bangkitkan Nabi Nuh kepada kaumnya untuk memberi amaran keras kepada kaumnya akan kepentingan tauhid kepada Allah.
    Jelaslah dalam ayat ini tentang pengutusan nabi Nuh kepada kaumnya dengan tugasan memberi amaran yang nyata.
    Pelantikan Nabi Nuh adalah dari Allah, bukan suka-suka atau atas pilihannya sendiri. 
    Allah yang pilih & lantiknya!
    Kita perhatikan biasanya dalam ayat-ayat lain Allah nyatakan tugas seorang rasul itu adalah sebagai pemberi khabar gembira & pemberi amaran (بشير و نَذِيرٌۭ). 
    Tetapi dalam ayat kita ini hanya satu tugas disebut; iaitu sebagai pemberi amaran. 
    { إِنِّى لَكُمْ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌ}
    Kenapa Allah hanya sebut satu tugas saja untuk Nabi Nuh dalam ayat ini, tak sebut sebagai pembawa khabar gembira???

    Jawapan:
    Ini kerana pada permulaannya Nabi Nuh telah menyeru mereka agar beriman dan taat kepada perintah Allah. 
    Tetapi kerana mereka tak dengar maka amaran lebih baik dari teguran.
    Yakni Nuh memberi amaran kepada kaumnya tentang azab Allah jika mereka tetap kufur.

    Begitulah uslub dakwah kena ada keduanya. Pertama tegur dengan kasih sayang tetapi ada waktu kena bertegas. 
    Pendakwah kena tegas mengikut suasana tidak boleh berlembut atau lembik tidak bermaya sentiasa.

    Kisah ini adalah kisah rasul yang pertama,
    Dan kata para ulama’ tafsir : Nabi Nuh adalah rasul pertama kepada kaum musyrikin.

    Ini kerana pada zaman Nabi Adam tiada lagi orang kafir, kafir datang selepas nabi Adam & Nabi Nuh selepas 10 kurun kata Ibnu Abbas.
    Kisah ini adalah supaya Nabi SAW tenang dan bersabar atas ujian & tentangan kaumnya!
  1. Ayat 26- {“Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.}-

    Jelaslah dakwah nabi Nuh adalah dakwah kepada tauhid, jangan sembah kecuali Allah.
    Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya, Hendaklah meninggalkan syirik, jangan sembah berhala & tinggalkan segala kepercayaan karut-marut. 

    Jika masih berdegil, tak dengar kata & tidak beriman; aku bimbang kamu akan ditimpa azab pada hari kiamat.
  1. Ayat 27- {Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak….}-

    Puak kafir cepat & laju pantas meberi respon dengan mencela, menuduh Nabi Nuh AS dengan berbagai tuduhan jahat.
    Mereka bawa syubhat keraguan untuk membalas balik hujjah Nabi Nuh AS. 

    Mereka dengan cepat mencantasnya kerana takut lebih ramai masyarakat awam akan terpengaruh dengan dakwahnya!
    Begitulah yang dilakukan oleh musuh yang tiada hujjah terhadap orang yang bawa kebenaran.

    Kita pun kena belajar & guna ilmu respon dengan pantas jika ada dakyah & tuduhan kafir yang jahat.
    Ini perlu ada dalam menyampaikan dakwah dan membela agama!
    Isu syubhat yang mereka timbulkan adalah empat perkara ini iaitu:
    i- Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; tiada keistimewaan berbanding kami!

    ii- Dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat;

    iii- Dan kami juga tidak memandang kamu semua mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami,

    iv- Bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta. Habis cerita!
    Pengajaran yang kita dapat, para pendakwah jangan diam bila agama dipermainkan. 
    Tetapi jika orang tuduh peribadi kita, boleh lagi untuk bersabar tetapi jika hak agama diserang jangan kita diam!!!

    Sebagaimana kata Sayyidina Ali RA: Kebenaran itu bukan terikat dengan seseorang tokoh atau personaliti seseorang tetapi apabila kamu tahu yang benar itulah kebenaran.

    Masalahnya sekarang ini ada orang yang terlalu mensucikan orang yang dikagumi sehingga jika buat salah pun tidak dianggap salah! 

    Tetapi jika orang yang dibenci, tak buat salah pun dikatakan bersalah!
    Inilah kepincangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini, Allahu al-Musta’an.
  1. Ayat 28- {Nabi Nuh berkata: “Wahai kaumku! Jika keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Ia mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian…}-

    Nabi Nuh bertegas dan menjawab isu syubhat yang ditimbulkan. 
    Tetapi Nabi Nuh AS tidak terus marah & melenting- bahkan Baginda menjawab dengan lembut dan berhemah- {wahai kaumku…}- bukan aku yang mengaku tetapi Allah yang pilih & lantik aku sebagai rasul yang diutuskan kepada kamu!
    Jadi apabila Allah yang lantik, kamu nilaikan & timbanglah dengan segala dalil, hujjah dan bukti yang aku bawa di mana salahnya. 
    Bukalah minda dan lapangkan dada kamu semua untuk melihat kebenaran lalu menerimanya.

    Begitulah kita juga pada zaman kita ini- bagaimana keadaan masyarakat yang sekian lama belajar & menadah ilmu dari seorang guru, mereka tahu & dapat menilai apa yang diajar dan dibawanya tidak ada yang tidak betul atau bertentangan dengan ajaran al-Quran & Nabi SAW.

    Tetapi tiba-tiba sekali datang tuduhan dan tohmahan, kena pandang & nilai dengan ilmu basiroh, dengan ilmu yang kita belajar & dengan tuduhan yang dibuat.

    Ini tidak, sekali datang tuduhan terus terima, percaya & lari, Allahu Akbar di manakan sifat adil dan pertimbangan waras kita???
    Ini kita kena belajar!

    Sebagaimana kaum Nabi Hud yang minta bukti mukjizat, apabila Allah hantar unta yang keluar dari bukit, mereka sembelihnya pula!!!

    Begitulah perangai orang yang ingkar & keras kepala!
    Begitulah para pendakwah kena ada uslub tertentu & gunalah pendekatan yang baik, perkataan yang lunak, prinsip mesti jelas & jangan mudah kecewa!
  1. Ayat 28- {Nabi Nuh berkata: …. maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?}-

    Ayat ini menjelaskan bahawa tiada paksaan dalam agama. 
    Kita tidak boleh paksa orang untuk menerimanya, tetapi kita boleh bawa hujjah dan bukti bahawa dakwah kita ini betul, berdasarkan dalil dari al-Quran & Sunnah Nabi SAWserta pendapat ulama’ yang muktabar!

    Kata ulama’ tadabbur : Para anbiya’ tidak pernah menggunakan paksaan ke atas manusia dalam dakwahnya! 
    Jika dipaksa manusia tidak akan menerima atau beriman dengan ikhlas!

    Jika digunakan undang-undang yang keras untuk memaksa orang menerima & mengikut kita- otak manusia tidak akan patuh kepada akta itu! 
    Mungkin secara luaran sahaja terima kerana terpaksa, takut kepada akta!

    Para pendakwah mesti menangani isu dalam dakwah seperti ini dengan baik, menggunakan hujjah ilmiah, kasih-sayang, toleransi & keterbukaannya!
    Sebagaimana kata orang : Anak kita jika masih tinggal bersama kita; masih ada lagi peluang untuk kita ajar, tegur & nasihat. 
    Tetapi jika kita sudah halau dia keluar dari rumah maka dia akan bebas tanpa ikatan, seperti layang-layang terputus tali dan kita tidak ada peluang untuk pantau & tegurnya lagi!
    Para pendakwah juga, jika dikumpulkan & berbincnag, jika ada khilaf dimuzakarahkan insya’ Allah boleh jadi lembut & toleransi, muhasabah & pemulihan!

    Tetapi jika hanya dengan sekatan & halangan, serta tindasan dan fitnah- tidak akan habis & selesai isunya. 
    Kerana manusia tidak akan terhalang untuk mencarinya sendiri pula. 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top