View Categories

(3) Surah Saba’: Ayat 7-9

9 min read

GOLONGAN INGKAR KIAMAT PERLI NABI SAW, ALLAH MEMBENARKAN AJARAN NABI SAW & TANDA KEKUASAAN ALLAH DI LANGIT DAN BUMI.

Full video : https://youtu.be/qhV6AJQIsH4?si=RtsTfMIqNm1xhOoH

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini masih lagi tentang golongan kafir, yang masih rasa pelik dan mendustakan hari Kiamat dan Kebangkitan semula walaupun Rasulullah SAW sudah bersumpah tentangnya (ayat-3).
  1. Pendustaan ini semua berpunca kerana perasaan takabbur, sombong dan besar diri (kibriya’).
  1. Allah SWT meruntuhkan keegoan dan kedegilan mereka dengan sekali lagi membawa dalil-dalil yang nyata di hadapan mereka bahawa benarnya apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
  1. Dalam siri lepas Allah SWT telah menyebut tentang dua golongan:
    i- Golongan ahli ilmu yang mengakui benar tentang apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

    ii- Serta golongan kafir yang terus menerus ingkar dan mendustakan ini.
  1. Marilah sama-sama kita teruskan tadabbur dan pengajian kita, insya’ Allah.

AYAT 7- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR PULA BERKATA (SESAMA SENDIRI SECARA MENGEJEK-EJEK): “MAHUKAH, KAMI TUNJUKKAN KEPADA KAMU SEORANG LELAKI YANG MEMBERITAKAN KEPADA KAMU: (BAHAWA APABILA KAMU DIHANCURKAN SEHANCUR-HANCURNYA SESUDAH MATI), SESUNGGUHNYA KAMU AKAN DIHIDUPKAN SEMULA DALAM BENTUK KEJADIAN YANG BARU? ‘ } (SABA’ 34:7)

  1. Puak kafir itu berkata kepada sesama sendiri.
    Ada juga ulama’ kata: Ini perkataaan mereka (musyrikin Makkah) kepada orang yang datang ke Makkah pada musim haji. Semuanya harus, apa yang penting perkataan kaum kafir sesama mereka.
  1. Mereka berkata mahukah kami tunjukkan kepada kamu seorang lelaki; yang mereka maksudkan itu ialah Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak menyebut namanya walaupun mereka kenal dan tahu, kerana dengan maksud mendustakan, mengejek, menganggap mustahil dan penipu.
  1. Iaitu apa yang mereka anggap tidak logik dan pelik itu ialah bahawa Nabi Muhammad SAW telah memberitahu bahawa setelah manusia mati, tubuh telah hancur dan bercerai-berai di dalam kubur, tiba-tiba kita akan dibangkitkan, dihidupkan kembali dalam bentuk kejadian yang baru.
  1. Ini adalah apa yang mereka mahu sebarkan tentang Nabi SAW, bahawa Baginda telah datang membawa sesuatu yang aneh dan tak masuk akal bagi mereka sehingga Baginda menjadi bahan ejekan mereka. Inilah hasil keputusan mesyuarat mereka untuk disebarkan kepada orang ramai yang datang pada musim haji tentang Rasulullah SAW, inilah di’ayah (sebaran) jahat.

AYAT 8 – {“ADAKAH IA BERDUSTA TERHADAP ALLAH, ATAU IA KENA PENYAKIT GILA?” (TIDAK ADA SATUPUN) BAHKAN ORANG-ORANG YANG TIDAK PERCAYA KEPADA HARI AKHIRAT TETAP BEROLEH (DI SANA) AZAB SEKSA YANG SEBURUK-BURUKNYA DAN (DI SINI) TETAP BERADA DALAM KESESATAN YANG JAUH TERPESONG. } (SABA’ 34:8)

  1. Tuduhan yang mereka buat ke atas Rasulullah SAW ialah sama ada dia membuat pembohongan, berdusta terhadap Allah dengan mengatakan bahawa Allah telah mewahyukan kepadanya berita tersebut. Atau telah terkena penyakit gila.
  1. Mereka tiada hujjah untuk melawan hujjah-hujjah Rasulullah SAW yang penuh dengan fakta dan kebenaran itu, ini terbukti selepas mereka merujuk kepada yahudi ahli Kitab. Mereka bukan orang bodoh, pedagang besar berskala antabangsa, hanya tidak membaca dan tidak menulis serta jahiliyyah.
  1. Lalu untuk menyekat dakwah Rasulullah SAW ini dari tersebar mereka membuat tuduhan dan melabel.
    Inilah teknik yang sama, yang digunakan oleh penentang kebenaran atau pengikut ajaran sesat sehingga ke hari ini!
    Apabila ditegur perbuatan pelik mereka, tiada hujjah untuk melawan, terus mereka membuat tuduhan dan memberi label.
  1. Ingat mereka tidak akan selamat!
    Bahkan mereka yang melakukan pendustaan kepada Allah dan Rasul-Nya ini akan mendapat dua perkara:
    i- Azab seksa yang buruk dan pedih di akhirat kelak.

    ii- Kesesatan yang jauh di atas dunia ini.

AYAT 9 – { (SETELAH MEREKA MENGEJEK-EJEK DAN MEMBUAT TUDUHAN-TUDUHAN ITU) TIDAKKAH MEREKA MELIHAT APA YANG ADA DI HADAPAN MEREKA DAN YANG ADA DI BELAKANG MEREKA DARI LANGIT DAN BUMI (DAPATKAH MEREKA MELARIKAN DIRI)? JIKA KAMI KEHENDAKI NESCAYA KAMI TIMBUSKAN MEREKA DI BUMI, ATAU KAMI GUGURKAN ATAS MEREKA KETUL-KETUL DAN SERPIHAN-SERPIHAN DARI LANGIT (YANG AKAN MEMBINASAKAN MEREKA). SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN MENGANDUNGI SATU TANDA (YANG MEMBERI KEINSAFAN) BAGI TIAP-TIAP HAMBA ALLAH YANG MAHU KEMBALI KEPADANYA (DENGAN TAAT DAN BERBAKTI). } (SABA’ 34:9)

  1. Selepas mereka mengejek dan membuat tuduhan itu Allah SWT bawa ayat ini untuk memberi amaran dan menyedarkan mereka.
  1. Tidakkah mereka lihat di sekeliling mereka, atas, bawah, kiri-kanan, depan atau ke belakang, nescaya mereka akan nampak langit dan bumi, ciptaan dan aturan Allah SWT yang amat besar.
    Ke mana saja mereka hadap wajah dan mata, langit tetap dan bumi tetap tidak lepas dari pandangan.
  1. Jika kamu masih berdegil, jika Allah SWT kehendaki, Dia boleh memerintahkan bumi menimbus mereka, sepertimana berlaku terhadap Qarun sebelum ini. Atau Allah perintahkan langit menggugurkan kepingan-kepingan, ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit sebagai azab yang akan membinasakan mereka. Peringatan untuk ingat sebagaimana kaum yang lalu dibinasakan disebabkan kezaliman dan kekufuran mereka. Mereka tidak akan dapat melarikan diri ke mana pun!
  1. Sesungguhnya dalam semua yang berlaku dan ciptaan yang ada seperti langit, bumi, bukit bukau, adalah menjadi dalil, tanda yang zahir. Yang akan memberi keinsafan bagi setiap hamba Allah yang mahu berfikir, kembali kepadanya dengan taat dan berbakti. Orang yang kenal Allah akan nampak dalil ini.
  1. Orang yang beriman dan berilmu akan mengait dan mengembalikan semuanya kepada kuasa dan taqdir Allah SWT. Ia menjadi tanda kehebatan susun atar Allah SWT. Bukan hanya bencana alam yang tidak disandarkan kepada Allah SWT.
  1. Jika berlaku bencana dan ujian, adalah dengan kehendak Allah, tetapi dalam masa yang sama kita hendaklah muhasabah, memeriksa diri kita juga. Semua cerita dan tanda yang Allah SWT tunjukkan itu menjadi tanda keagungan, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Menyusun atur makhluk cipataan-Nya. Maka Jika berlaku kebaikan dan nikmat, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 7- {Dan orang-orang yang kafir pula berkata (sesama sendiri secara mengejek-ejek): “Mahukah, kami tunjukkan kepada kamu seorang lelaki yang memberitakan kepada kamu: } –


    Ayat ini menunjukkan bahawa golongan kafir tidak hanya berpada dengan mengiklan bantahan dan keingkaran mereka terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, bahkan mereka pergi lebih jauh dengan membuat sebaran (di’ayah), mencela dan tuduhan merosakkan nama Rasulullah SAW, yakni untuk menyekat orang ramai dari awal lagi dari mendengar dan mendekati Baginda SAW.

    Dari awal lagi sekat jalan seperti hari ini juga, jangan dengar Kuliah si fulan si fulan, takut terpengaruh sedangkan apa yang diajar berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
  1. Ayat 7- { (Bahawa apabila kamu dihancurkan sehancur-hanurnya sesudah mati), sesungguhnya kamu akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian yang baru? ‘ } –

    Orang kafir kata manusia nanti akan bangkit menjadi kejadian yang baru.
    Ini tidak benar kerana manusia yang mati itu hanya dibangkitkan semula, ulang balik kita yang ada ini, setiap manusia ini ada chip khas dalam tubuhnya yang memang kekal dan tidak hancur, ilmu sains hari ini akan dapat memahaninya.

    Jadi semua orang akan dibangkitkan semula dalam kejadiannya yang asal, cuma kembali lebih kuat, sempurna (tidak tua dan uzur), kekal selamanya bukan lemah seperti di dunia dulu.
    Apatah lagi penghuni syurga yang muda sebaya lagi kacak jelita.
  1. Ayat 8 – {“Adakah ia berdusta terhadap Allah,} –

    Adakah kamu tuduh Nabi Muhammad buat tuduhan/rekaan terhadap Allah? Ayat ini menunjukkan betapa keji dan buruknya tuduhan dan rekaan ke atas Allah SWT, puak kafir itupun tidak dapat menerimanya.
    Ini termasuk juga rekaan ke atas Nabi SAW! Tetapi manusia hari ini dengan mudah dan beraninya buat ajaran sesat dan rekaan tehadap Allah dan Rasulullah SAW!
  1. Ayat 9 – {(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka..} –

    Ayat ini menjadi dalil wajib seorang hamba itu melihat kepada dalil, bukti yang ada di langit dan di bumi.
    Kata ulama’: Ahli Sunnah jika orang meminta dalil dari kita tentang akidah kepercayaan, tidak diterima jawapan jika jawab; sebab mak ayah atau orang dulu yang beritahu. Taqlid (ikutan) dalam aqidah diolak. Wajib ada dalil seperti; lihat kepada alam ciptaan-Nya ini.
    Persoalan ini sebagai satu soalan mencela untuk orang kafir itu, kamu tak tengok ke?
  1. Ayat 9 – {(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka} –

    Dalam ayat ini Allah SWT sebut dua sahaja; depan & belakang, kenapa tidak disebut juga kanan-kiri sebagaimana dalam ayat al-Quran lain?
    i- Firman Allah SWT: {“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.} (Al-A’raf 7:17).

    ii- Ulama’ kata: Dua ayat ini berbeza kerana ia disebut secara umum, juga jika tiada keperluan untuk disebut maka tidak perlu disebut, yakni jika sesuatu itu dapat difahami dengan contoh yang sedikit maka tidak perlu sebut banyak-banyak atau semuanya!
    Ini kerana langit itu akan nampak dan boleh dilihat dari mana saja, cukup lihat kepada dua arah itu.

    Manakala azab dalam surah al-A’raf itu kerana Allah SWT mahu menunjukkan betapa dahsyat dan ngeri azab yang datang itu dari segenap penjuru, tidak ada harapan untuk lari lagi!
  1. Ayat 9 – { Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit} –

    Ayat ini amaran untuk orang kafir agar jangan angkuh dan bercakap besar.
    Kata ulama’: Setiap bala bencana yang berlaku seperti banjir, gempa bumi, tsunami, covid-10 dan lain-lain adalah dengan kehendak dan kuasa Allah sebagai satu hukuman kepada manusia sebab banyaknya berlaku maksiat dan mungkar. Untuk menolak fahaman puak yang mengatakan semua adalah bencana alam adalah semulajadi yang terjadi dengan sendiri.
  1. Ayat 9 – {Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit} –

    Ayat ini menunjukkan bukti bahawa semua benda yang berlaku adalah dengan kehendak dan kuasa Allah Azza wa Jalla. Tidak boleh ikut persaan dan kemahuan kita.
  1. Ayat 9 – {(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi} –

    Menunjukkan bahawa langit dan bumi serta apa yang ada pada keduanya, adalah semuanya sebagai bahan atau tempat untuk kita mencari tanda bukti kekuasaan Allah SWT yang besar yang kecil semuanya ada. Terserlah dari semua tanda itu dalil untuk menguatkan keimanan kita kepada Allah SWT.
  1. Ayat 9 – {Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti). }-

    Allah SWT mengungkit kembali nikmat-Nya agar hamba-Nya yang munib, عَبْدٍ مُنِيبٍ iaitu hamba yang banyak kembali kepada Allah SWT agar berfikir mencari kebenaran. Allah ungkit agar kita sedar akan nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita lalu bertambah keimanan.
  1. Ayat 9 – {Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).}-

    Ayat ini sekaligus mengajak manusia agar kembali dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
    Orang inilah yang akan mendapat faedah setelah melihat segala tanda dan dalil yang dibawa, kejadian langit dan bumi, kematian yang terjadi dan seumpamanya. Akan yakin bahawa kita akan dibalas oleh Allah SWT dalam semua perkara, Allah SWT Pemilik kepada hari Pembalasan.
    Apabila kita kembali kepada Allah SWT dengan taubat dan keinsafan, semoga kita selamat insya’ Allah.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top