View Categories

(7) Surah Sad: Ayat 30-40

14 min read

KISAH NABI SULAIMAN KUAT BERIBADAT, BAGINDA LEKA DENGAN PERTUNJUKKAN KUDA & ALLAH SWT ANUGERAHKAN KERAJAAN YANG BESAR.

Full video : https://youtu.be/JjtNOQCcugY?si=8B1rcJUJdiWlJh_L

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah SWT ceritakan kisah ringkas tentang Nabi Sulaiman AS anak kepada Nabi Daud AS.
  1. Kedua rasul & nabi yang menjadi raja, dua beranak yang hebat dan dipuji oleh Allah SWT sebagai orang yang banyak kembali kepada Allah SWT (أَوَّابٌ).
  1. Kedua nabi yang mulia ini banyak sekali cerita Israiliyyat yang dimainkan kepada mereka yang berkait dengan wanita, seperti Nabi Daud tentang 99 kambing yang menunjukkan tentang 99 isteri kononnya, begitu juga tentang nabi Sulaiman AS ini yang melebihkan seorang wanita.
    Kita akan lihat dan perbetulkannya insya’ Allah.
  1. Ini adalah kisah dan episod tentang Nabi Sulaiman AS, kita ambil satu bab/episod sehingga ayat ke-40.
    Kita berhenti pada setiap stesen dan habiskan episod khasnya, jadi ada siri yang ayatnya banyak, ada yang sedikit ayatnya, yang penting kita habiskan bab dan episod dalam al-Quran, insya’ Allah.

AYAT 30- {DAN KAMI TELAH KURNIAKAN KEPADA NABI DAUD (SEORANG ANAK BERNAMA) SULAIMAN IA ADALAH SEBAIK-BAIK HAMBA (YANG KUAT BERIBADAT), LAGI SENTIASA RUJUK KEMBALI (BERTAUBAT).} (SAD 38:30)

  1. Allah SWT ceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS ini adalah anak kepada nabi Daud AS.
  1. Allah SWT juga memuji nabi Sulaiman AS ini sebagai:
    i- Sebaik-baik hamba kerana dia kuat beribadat (نِعْمَ الْعَبْد).

    ii- Dia juga sentiasa rujuk kembali kepada Allah dengan bertaubat dan menyebut-Nya. (أَوَّابٌ)
  1. Dalam siri yang lepas kita telah baca 10 pujian Allah SWT kepada nabi Daud, maka dalam siri ini Allah SWT akan perkenalkan dan cerita tentang sifat nabi Sulaiman AS pula!

AYAT 31- {(INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA NABI SULAIMAN DITUNJUKKAN KEPADANYA PADA SUATU PETANG, SATU KUMPULAN KUDA YANG TERPUJI KEADAANNYA SEMASA BERDIRI, LAGI YANG TANGKAS SEMASA BERLARI.} (SAD 38:31)

  1. Tetapi Sulaiman AS ini juga melalui beberapa ujiannya dalam hidup.
  1. Pada suatu petang, Baginda begitu terpesona (ralit), kagum melihat satu kumpulan kuda lincah (الصَّافِنَاتُ الْجِيَادُ) sedang berlatih dengan hebat, mengangkat kaki dan berlari dengan tangkas dan laju!

AYAT 32- {(KERANA LEKANYA DENGAN PERTUNJUKAN ITU) MAKA NABI SULAIMAN BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENGUTAMAKAN KESUKAANKU KEPADA (KUDA PEMBAWA) KEBAIKAN LEBIH DARIPADA MENGINGATI (IBADATKU KEPADA) TUHANKU, SEHINGGA (MATAHARI) MELINDUNGI DIRINYA DENGAN TIRAI MALAM\”.} (SAD 38:32)

  1. Kerana terlalu asyik menonton kuda itu dia tidak sedar sehingga matahari jatuh dan tirai malam sudah berlabuh.
  1. Sulaiman AS berasa menyesal dan berkata bahawa: {“Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku kepada kuda pembawa kebaikan lebih daripada mengingati ibadatku kepada Tuhanku}.
  1. Yakni sehingga luput waktu yang dia sepatutnya beribadat dan berzikir kepada Tuhannya (mungkin zikir petang) atau seumpamanya kerana tidak sedar asyik melihat pertunjukkan kuda itu!

AYAT 33- { (KEMUDIAN NABI SULAIMAN BERKATA KEPADA ORANG-ORANGNYA): \”BAWA BALIK KUDA ITU KEPADAKU\”; MAKA IA PUN TAMPIL MENYAPU BETIS DAN LEHER KUDA ITU (SEEKOR DEMI SEEKOR).} (SAD 38:33)

  1. Keesokannya Nabi Sulaiman AS memerintahkan pengawalnya untuk membawa balik kuda-kuda itu kepadanya.
  1. Baginda menggosok leher dan kaki kuda itu seekor demi seekor sambil berkata:
    Kita akan jadikan kuda-kuda hebat ini sebagai kuda perang yang akan berjihad ke jalan Allah.
    Yakni kuda yang dapat membawa kebaikan dunia dan akhirat, bukan hanya sebagai perhiasan.
  1. Ada juga pendapat yang berkata: Sulaiman AS menggosok itu maksudnya dengan pedang yakni memotong kaki dan leher kuda (menyembelihnya) kesemuanya kerana menyebabkan Baginda terlepas waktu ibadat dan zikirnya.
    Tetapi pendapat ini ditolak oleh sebahagian ulama’ Tafsir dan mengatakannya tidak tepat.
  1. Mereka memilih pendapat pertama yang lebih sesuai dan elok untuk seorang Nabi dengan sifat yang mulia dan penuh rahmat! Apa dosa kuda itu untuk dibunuh dengan kejam dan membazir begitu!
  1. Kitab Tafsir yang ada terjemahan yang elok ialah Ringkasan Tafsir Ibnu Kathir RHM, manakala Kitab semasa yang elok dari sudut analisa ialah Kitab Dr Wahbah RHM, Tafsir al-Munir; cuma para penceramah/ustaz kena cek dan rujuk balik matan asal hadis yang dinukilkan.

AYAT 34- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGUJI NABI SULAIMAN (DENGAN SATU KEJADIAN), DAN KAMI LETAKKAN DI ATAS TAKHTA KEBESARANNYA SATU JASAD (YANG TIDAK CUKUP SIFATNYA) KEMUDIAN IA KEMBALI (MERAYU KEPADA KAMI):} (SAD 38:34)

  1. Allah SWT menguji lagi nabi Sulaiman AS. Keterangan yang kuat tentang ayat al-Quran ini ada dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari.
    Jangan kita pandai-pandai menerima cerita Israiliyyat atau hadis yang tidak sahih tentang cerita para nabi ini, wajib hati-hati dan cermat supaya tidak mencemarkan kemuliaan mereka.
  1. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
    قال سليمانُ بنُ داودَ نبيُّ اللهِ : لَأَطوفنَّ الليلةَ على سبعينَ امرأةً، كلهنَّ تأتي بغلامٍ يقاتلُ في سبيلِ اللهِ، فقال له صاحبُه، أو الملكُ: قل إن شاء اللهُ، فلم يقل ونسِي، فلم تأتِ واحدةٌ من نسائِه، إلا واحدةٌ جاءت بشقِّ غلامٍ. فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ: ولو قال: إن شاء اللهُ، لم يَحنَثْ، وكان درَكًا له في حاجتِهِ
    Sulaiman bin Daud pernah mengatakan, ‘Aku akan menggilir (untuk bersama) semua 70 isteriku dalam satu malam ini, kemudian setiap orang isteri itu akan melahirkan anak lelaki, yang nanti akan berjihad di jalan Allah’. Namun Sulaiman lupa untuk mengucapkan ‘Insya Allah.
    Lalu Sulaiman menggilir seluruh isterinya, akan tetapi disebabkan kesilapan itu, tidak ada seorangpun yang melahirkan anak, selain seorang isteri yang melahirkan setengah anak (yang tidak sempurna badannya).
    Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya Sulaiman mengatakan ‘Insya Allah’ maka sumpahnya tidak akan gagal dan akan mendapat apa yang menjadi keinginannya
    .” (HR. Ahmad No. 7715 dan Bukhari No. 5242).
  1. Maksud dari perkataan setengah manusia ialah, manusia yang lahir tidak normal atau cacat. Maka anak yang cacat itulah yang diletakkan atas takhta untuk dilihat oleh Nabi Sulaiman AS.
  1. Dalam hadis riwayat Bukhari yang lain (No. 6720), dan Muslim (No. 4379), disebutkan bahwa Nabi Sulaiman mengatakan, “Di malam ini saya akan menggilir 90 isteri, masing-masing akan melahirkan anak lelaki yang boleh berjihad di jalan Allah. Riwayat lain ada yang mengatakan 100 orang isteri.
  1. Persoalan tentang betapa ramainya isteri Nabi Sulaiman, Allah SWT berfirman:
    ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
    {Itulah kurnia yang Allah berikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki. Dan Allah memiliki karunia yang besar.} [Al-Jumuah: 4].
    Kerana itu, Allah SWT memberikan beberapa kelebihan kepada Nabi Sulaiman untuk urusan dunia atau hukum Syari’ahnya pada masa itu membolehkannya untuk mempunyai isteri atau hamba yang ramai. Wallahu a’lam.
  1. Manakala beberapa lagi cerita Israiliyyat yang TIDAK SAHIH, KARUT & TIDAK BENAR, yang dibuat berdasarkan ayat ini untuk pengetahuan dan kesedaran kita:
    i- Nabi Sulaiman AS telah sakit lalu menjadi kurus dan kecil lalu dia diangkat dan diletakkan atas takhta dalam keadaan dhaif itu.

    ii- Sulaiman AS ada seorang isterinya yang bernama Jaradah, dan Sulaiman AS melebihkannya! Dikatakan keluarga jaradah ada isu dan masalah tetapi nabi Sulaiman AS kerana cenderung kepada keluarganya menyebabkan dia berhukum dengan tidak adil!

    iii- Nabi Sulaiman AS ada sebentuk cincin cop mahar. Bila nak masuk tandas dibukanya, lalu dikatakan isterinya Jaradah tadi atau syaitan curi cincin itu dan memakainya dan duduk di atas takhta Baginda, yakni menyamar sebagainya.
    Bila Sulaiman AS datang orang tidak kenal lagi dia dan menyangka syaitan itu raja, kerana ada cincinnya, maka dia pun dihalau keluar istana dalam keadaan merempat dan lemah!
    Ingat semua ini tidak benar dan tidak sahih!

AYAT 35- {KATANYA: “WAHAI TUHANKU! AMPUNKANLAH KESILAPANKU, DAN KURNIAKANLAH KEPADAKU SEBUAH KERAJAAN (YANG TIDAK ADA TARANYA DAN) YANG TIDAK AKAN ADA PADA SESIAPAPUN KEMUDIAN DARIPADAKU; SESUNGGUHNYA ENGKAULAH YANG SENTIASA MELIMPAH KURNIANYA “.} (SAD 38:35)

  1. Nabi Sulaiman AS terus insaf dan menyedari kesilapannya! Terus bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT, lansung berdoa kepada Allah SWT! {” Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku رَبِّ اغْفِرْ لِي }
  1. Doanya juga: Agar Allah SWT mengurniakan kepadanya sebuah kerajaan yang tidak ada taranya dan yang tidak akan ada pada sesiapapun yang selepas daripadanya yang akan ada kerajaan sepertinya!
  1. Hadis Rasulullah SAW tentang 3 permintaan Nabi Sulaiman AS:
    Dari Abdullah bin Amr bin Al-‘Ash RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Sulaiman bin Daud AS. setelah membina Baitul-Maqdis, berdoa meminta kepada Allah tiga perkara dan diberikan dua, dan kami berharap agar beliau mendapatkan yang ketiga.
    Doanya ialah:
    i- Beliau meminta agar diberi hikmah kebijaksanaan dalam pentadbiran, keadilan dalam memutus dan menjatuhkan hukuman agar selari dengan hukum Allah.

    ii- Dia meminta kerajaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun setelahnya. Ini bukan kerana hasad atau tamak, tetapi sebagai satu mukjizat khas untuk membuktikan kebenaran risalahnya sebagai seorang nabi & rasul.

    iii- Ia juga memohon kepada Allah agar sesiapa yang keluar dari rumahnya, datang bersolat di Baitul-Maqdis, maka dia keluar dari dosa kesalahannya, seperti mana keluarnya bayi yang baru dilahirkan ibunya.
    Permintaan pertama dan keduanya diqabulkan Allah SWT. Manakala kami berharap agar Allah SWT mengabulkan permintaanya yang ketiga
    .” (HR. Ahmad & Ibnu Majah).

    Yakni Rasulullah SAW tidak menta’kid doa yang ketiga ini diterima atau tidak, cuma mengharapkannya diterima.
  1. Hadis Rasulullah SAW ingin menangkap jin Ifrit dan memperlihatkannya kepada manusia. Namun, Rasulullah membatalkan niatnya itu.
    Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW bersabda:
    إِنَّ عِفْرِيتًا مِنَ الْجِنِّ تَفَلَّتَ عَلَيَّ الْبَارِحَةَ – أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا – لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلَاةَ فَأَمْكَنَنِي اللهُ مِنْهُ فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ: رَبِّ )هَبْ لِي مُلْكًا لا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي( [ص:35] قَالَ رَوْحٌ: فَرَدَّهُ خَاسِئًا

    Sesungguhnya Ifrit dan bangsa jin malam tadi menampakkan diri kepadaku, atau dengan kalimat lain seperti itu, untuk mengacau solatku. Maka, Allah memberikan kuasa kepadaku untuk menangkapnya, aku ingin mengikatnya pada salah satu tiang dari tiang-tiang masjid sehingga waktu pagi agar kamu semua dapat melihatnya.

    Tapi, aku teringat ucapan saudaraku Sulaiman (dalam doanya), “Ya Allah! Ampunilah aku dan berilah aku kerajaan yang tidak layak bagi seorang pun setelahku. “Maka, aku pun melepaskan kembali jin Ifrit dalam keadaan hina.”
    (H,R Al Bukhari).
  1. Hadis dari Abu Said al-Khudri RA, bahawa Rasulullah SAW bangun pada suatu malam untuk solat subuh, Abu Said ada di belakangnnya.
    Sedang Baginda membaca ayat al-Quran tiba-tiba terdiam sekejap. Selepas solat Baginda berkata kepadanya:
    Jikalah kamu nampak Iblis yang datang mahu mengacauku. Lalu aku cekik leher iblis sehingga keluar air liurnya membasahi tanganku dan masih dapat aku rasakan kesejukannya.
    Jikalah tidak aku ingat akan doa saudaraku Sulaiman AS, aku akan ikat jin itu di tiang masjid ini sehingga budak-budak Madinah dapat melihat dan bermain-main dengannya. Oleh itu jika salah seorang dari kamu mahu solat, maka hendaklah dia letakkan sutrah agar tidak terganggu solatnya
    .” [HR Ahmad].
  1. Nabi Sulaiman AS menutup doanya dengan berkata: {Sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurnia-Nya إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ- }

AYAT 36- {MAKA (KAMI KABULKAN PERMOHONANNYA LALU) KAMI MUDAHKAN BAGINYA MENGGUNAKAN ANGIN YANG BERTIUP PERLAHAN-LAHAN MENURUT KEMAHUANNYA, KE ARAH MANA SAHAJA YANG HENDAK DITUJUNYA;} (SAD 38:36)

  1. Selepas nabi Sulaiman AS berdoa ini Allah SWT terus mengatakan bahawa doanya itu dikabulkan.

    Antara 5 anugerah nikmat Allah kepadanya ialah:
    i- Allah permudahkan baginya untuk menggunakan angin sebagai kenderaan yang dapat membawanya ke mana-mana, mengikut perintahnya.
    Angin itu dapat dikawal oleh Sulaiman AS sama ada mahu bergerak laju atau bertiup perlahan dan berjalan dengan slow.
  1. Firman Allah SWT: {Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.} (Al-Anbiya’ 21:81)

AYAT 37- {DAN (KAMI MUDAHKAN BAGINYA MEMERINTAH) JIN SYAITAN; (IA MEMERINTAH) GOLONGAN-GOLONGAN YANG PANDAI MENDIRIKAN BANGUNAN, DAN YANG MENJADI PENYELAM (BAGI MENJALANKAN KERJA MASING-MASING).} (SAD 38:37)

  1. Allah SWT juga beri kuasa kepada Nabi Sulaiman AS kuasa untuk mengawal dan memerintah jin syaitan sebagai pekerjanya yang dapt diarah dan diperintah mengikut arahannya!
  1. Jin-jin ini mengikut arahan Sulaiman AS, ada yang menjadi:
    i- Pekerja mahir membina bangunan besar dan tinggi;

    ii- Ada pula yang menjadi penyelam, menyelam di dasar laut mencari khazanah yang indah seperti Mutiara dan coral.
  1. Firman Allah SWT tentang ini juga:
    i- {Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya).} (Al-Anbiya’ 21:82).

    ii- {Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.} (Saba’ 34:12)

    {Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): “Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.} (Saba’ 34:13)

AYAT 38- {DAN JIN-JIN SYAITAN YANG LAIN DIPASUNG DALAM RANTAI-RANTAI BELENGGU.} (SAD 38:38)

  1. Manakala jin-jin yang nakal dan jahat, Sulaiman AS juga yang memerintahnya dengan mengurung dan memasung mereka dalam rantai-ranta belenggu!
  1. Yang ikut arahan menjadi pekerja berkhidmat kepada Sulaiman AS, manakala yang nakal dan degil terus diikat dibelenggu.

AYAT 39- {(SERTA KAMI KATAKAN KEPADANYA): “INILAH PEMBERIAN KAMI (KEPADAMU), MAKA BERIKANLAH (KEPADA SESIAPA YANG ENGKAU SUKA), ATAU TAHANKANLAH PEMBERIAN ITU; (TERSERAHLAH KEPADAMU) DENGAN TIDAK ADA SEBARANG HITUNGAN (UNTUK MENYALAHKANMU) “.} (SAD 38:39)

  1. Allah SWT juga beri kuasa mutlak kepada nabi Sulaiman AS untuk menggunakannya. Dia juga diberikan kuasa untuk memberikan pula kuasa itu kepada sesiapa yang dia suka dan kehendakinya atau menahannya. Semuanya bebas dan terpulang kepada Sulaiman AS. Tiada orang lain dapat menghalang atau memaksanya kecuali Allah SWT!

AYAT 40- {DAN SESUNGGUHNYA IA MEMPUNYAI KEDUDUKAN YANG DEKAT LAGI MULIA DI SISI KAMI, SERTA TEMPAT KEMBALI YANG SEBAIK-BAIKNYA (PADA HARI AKHIRAT KELAK).} (SAD 38:40)

  1. Anugerah kelima ialah sesungguhnya Sulaiman AS mempunyai kedudukan yang dekat lagi mulia (لَزُلْفَى) di sisi Allah SWT.
  1. Juga pada hari akhirat kelak dia akan mempunyai sebaik-baik tempat kembali (حُسْنَ مَآبٍ) iaitu syurga dan segala nikmatnya, sama seperti janji dan pujian Allah SWT terhadap bapanya nabi Daud AS dalam ayat sebelum ini.
  1. Sesungguhnya Sulaiman AS mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Alllah SWT!
  1. Seorang ulama’ yang memberi kesan besar kepada AAM dalam mengenal dan mula menapis cerita-cerita Israiliyyat ini adalah AL-MARHUM SHEIKH DR. SOLAH ABDUL FATTAH AL-KHALIDI dari Jordan yang baru saja meninggal dunia pada hari Jumaat lepas. Beliau sangat terkenal sebagai seorang yang sangat mengambil berat tentang tafsiran yang sahih dan sangat menentang kisah Israiliyyat yang tidak berasas sama sekali!
  1. Syeikh Dr Solah telah memberi kesan dan semangat kepada AAM untuk menolak dan melawan kisah Israiliyyat dan berpegang dengan kisah yang sahih dalam Tafsiran al-Quran terutama tauhid kisah para anbiya’ dan rasul.
    Dalam Maktabah Abu Anas juga ada koleksi penuh Kitab susunan dan tulisan Syeikh ini.

    Semoga segala kerjanya menjadi amalan ibadat yang akan memberatkan timbanganya. Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan pengampunan yang luas terhadapnya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 30- {Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak bernama) Sulaiman ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).}-

    Allah SWT ceritakan bahawa Dia anugerahkan seorang anak kepada Nabi Daud AS. Seorang anak yang soleh, hebat dan sebaik-baik hamba seperti bapanya juga!
    Sesungguhnya anak yang kita dapat itu adalah anugerah dari Allah SWT. Maka kita syukurinya dengan cari nama yang baik, sempurnakan aqiqahnya, memberi pendidikan dengan sebaik-baiknya.

    Jika anugerah anak ini menjadi orang yang soleh dan hamba yang taat, maka itu anugerah di atas anugerah, alhamdulillah. Sebagaimana Daud dan Sulaiman AS.
  1. Ayat 31- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari.}-

    Ulama’ kata: Ayat ini menunjukkan bahawa mana-mana perkara atau benda yang melaghakan kita dari mengingati Allah SWT maka dikira ia sesuatu yang buruk atau tidak baik, maka tinggalkanlah ia!

    Dalam kes Nabi Sulaiman AS ini, kerana dia telah dilaghakan oleh kuda-kudanya dari ibadatnya, maka dia jadikan semua kuda yang hebat itu sebagai kuda perang yang berjuang di jalan Allah, yakni menjadikannya sebagai sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada agama juga!

    Kita pun berhati-hatilah jangan sampai harta atau gajet-gajet yang kita milik menjadikan kita lagha daripada beribadat kepada Allah SWT sebagaimana rutin kebiasaan kita. Jadikan harta dan nikmat yang kita miliki sebagai alat atau wasilah yang dapat dapat mendekatkan kita kepada Allah, menambah pahala dan kebaikan, bukan sebaliknya!
    Pesanan untuk diri sendiri juga!!
  1. Ayat 35- {Katanya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan,} –

    Dalam ayat ini nabi Sulaiman AS minta ampun dulu kepada Allah SWT kemudian baru minta kerajaan.
    Begitulah kita pun jika mahu berdoa dan meminta dari Allah SWT, wajib utamakan urusan akhirat atau agama dulu baru minta yang dunia.

    Kata ulama’: Meminta ampun adalah asas atau dasar untuk mendapat anugerah nikmat dari Allah SWT! Seolah minta ampun sebagai kunci kepada kebaikan dunia.

    Sebagaimana kisah yang masyhur pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab, setelah menunaikan solat Istisqa’ minta hujan, beliau berdoa dengan minta ampun dan beistighfar kepada Allah SWT. dengan bersungguh-sungguh tidak sebut pun minta hujan. Apabila ditanya; Katanya ini kerana kunci untuk hujan itu sudah ada ditanganku (iaitu istighfar) maka aku gunakannya untuk itu.

    Begitulah juga kita jangan hanya pandai meminta anugerah dan berdoa memohon nikmat sahaja kepada Allah SWT tetapi bertaubat dan beristighfarnya tidak!
  1. Ayat 36- {Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendaK ditujunya;} & Ayat 37- {Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan;} –

    Ulama’ kata: Allah SWT anugerahkan segala nikmat yang amat besar dan ajaib ini kepada nabi Sulaiman AS selepas dia menginfaqkan kuda-kudanya yang hebat dan mahal itu fi sabilillah!
    Kuda yang telah menyebabkah dia lagha dan lalai sedikit itu diinfaqkan kepada jalan Allah allau Allah SWT gantikan kepadanya angin yang lebih laju daripada kuda.

    Kata ulama’: Satu kaedah yang masyhur: Sesiapa yang meninggalkan perkara yang tidak baik kerana Allah SWT, bukan kerana manusia atau dunia, Tuhan akan menggantikan kepadanya dengan yang lebih baik insya’ Allah!
  1. Kisah dua orang Nabi yang mulia ini kita kena ambil pengajaran betul-betul! Apabila mereka ini melakukan kebaikan yang yang banyak, sentiasa kembali kepada Allah SWT, (Allah menyebut-Nya sendiri (إِنَّهُ أَوَّابٌ) {Sesungguhnya dia seorang yang kembali kepada Allah}) –

    Maka Allah SWT akan anugerahkan kepada mereka nikmat yang besar dan banyak, hasil dari ketaatan itu.

Para nabi ini sentiasa beristighfar dan kembali kepada Allah SWT bukan kerana mereka banyak dosa dan salah, bahkan mereka itu ma’sum iaitu terpelihara daripada dosa dan kesalahan agama. Tetapi kerana mereka suka untuk kembali dan mengingati Allah SWT. Jika mereka ada tersilap pun Allah SWT akan terus menegur menasihatinya lalu mereka akan segera bertaubat dan kembali kepada-Nya tanpa bertangguh!

Wallahu A’lam.

Rujukan: (Catatan Tafsir Anas Madani – By NZNY) – LINK

Powered by BetterDocs

Scroll to Top