NABI MUSA MENCERITAKAN FUNGSI TONGKATNYA, LATIHAN TONGKAT MENJADI ULAR DAN TANGAN MENGELUARKAN CAHAYA & SIFAT ULAR DAN FAEDAH TONGKAT.
Full video: https://youtu.be/N6fmsnhCRt0?si=PzY6Zxu_cdCTQEap
MUQADDIMAH :
- Dalam siri yang lepas adalah episode pertama kisah Nabi Musa AS dalam surah ini. Iaitu perlantikanyna sebagai Nabi dan Rasul di lembah yang suci, Lembah Tuwa, di kaki gunung Tursina.
- Episod kedua bermula dengan ayat hari ini, iaitu persiapadan dan latihan dari Allah SWT untuk nabi Musa AS sebagai persiapan untuk menghadapi Firaun yang zalim kejam, berkuasa dan sangat berpengaruh.
- Kebetulan Firaun dan kaumnya pada masa itu adalah taksub kepada sihir. Maka Allah SWT berikan mukjizay yang seumpamanya kepada Musa AS.
AYAT 17- {“DAN APA (BENDANYA) YANG DI TANGAN KANANMU ITU WAHAI MUSA?”} (TAHA 20:17)
- Untuk menghilangkan takut dan gerun nabi Musa AS, Allah SWT berinteraksi dengan bertanya kepadanya.
- Isyarat pertama ayat ini menunjukkan akan tongkatnya yang menjadi satu mukjizat.
AYAT 18- {NABI MUSA MENJAWAB: “INI IALAH TONGKATKU; AKU BERTEKAN ATASNYA SEMASA, BERJALAN, DAN AKU MEMUKUL DENGANNYA DAUN-DAUN KAYU SUPAYA GUGUR KEPADA KAMBING-KAMBINGKU, DAN ADA LAGI LAIN-LAIN KEPERLUANKU PADA TONGKAT ITU”.} (TAHA 20:18)
- Nabi Musa AS pun menjawab dengan panjang lebarnya sebagai satu peluang untuk bercakap panjang dengan Allah SWT.
- Sebenarnya sudah mencukupi jika dia menjawab: “Ini ialah tongkatku.” Tetapi Musa AS menerangkan pula tentang beberapa kegunaan tongkatnya:
i- Aku bertekan atasnya semasa, berjalan,
ii- Dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku,
iii- Dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu.
- Berdasarkan jawapan Musa AS yang ini, lalu ulama’ membawakan beberapa lagi fungsi kegunaan tongkat:
i- Boleh dipacak sebagai ‘sutrah’ dinding untuk solat.
ii- Sebagai menghalau haiwan.
iii- Sebagai tempat bertongkat apabila berjalan.
iv- Untuk jaga diri daripada tergelincir.
v- Boleh juga dijadikan payung untuk berlindung daripada panas.
vi- Untuk mendekatkan benda yang jauh.
vii- Untuk mengetuk pintu.
viii- Sebagai senjata daripada anjing dan haiwan liar lain.
ix- Untuk dipegang semasa khutbah sebagai satu kerasmian.
- Ada riwayat yang dinisbahkan kepada Ibnu Abbas RA, bahawa dia berkata: Memegang tongkat itu sunnah para anbiya’, maka elok juga untuk para mukmin memegangnya, lebih-lebih lagi yang sudah berumur.
- Kata al-Hasan al-Basri, ciri-ciri keistimewaan tongkat:
i. Sunnah para anbiya’. Gaya hidup para nabi.
ii. Perhiasan orang soleh.
iii. Senjata untuk melawan musuh.
iv. Bantuan untuk orang lemah.
v. Menyusahkan orang munafik. Mereka tidak suka bertongkat.
vi. Menambahkan ketaatan, yakni sebagai bantuan dalam ibadat.
AYAT 19- {ALLAH TAALA BERFIRMAN: “CAMPAKKANLAH TONGKATMU ITU WAHAI MUSA!”} (TAHA 20:19)
- Maka bermula sesi latihan. Allah SWT berfirman, memerintahkan Musa AS untuk mencampakkan tongkatnya.
AYAT 20- {LALU IA MENCAMPAKKANNYA, MAKA TIBA-TIBA TONGKATNYA ITU MENJADI SEEKOR ULAR YANG BERGERAK MENJALAR.} (TAHA 20:20)
- Lalu Musa AS mencampakkannya, tiba-tiba tongkatnya itu bertukar menjadi seekor ular yang bergerak menjalar!!!
- Betul-betul seekor ular yang hakiki, besar dan bergerak laju.
AYAT 21- {ALLAH BERFIRMAN: “TANGKAPLAH AKAN DIA, DAN JANGANLAH ENGKAU TAKUT, KAMI AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADA KEADAANNYA YANG ASAL.} (TAHA 20:21)
- Allah SWT memerintahkan Musa AS yang sedang terkejut itu supaya jangan takut dan untuk menangkap ular itu.
- Allah juga berfirman bahawa ular itu tidak akan memudaratkan Musa AS dan akan kembali kepada keadaannya asalnya sebagai sebuah tongkat apabila ditangkap Musa AS kerana itu jangan takut, ia adalah ular yang berasal dari tongkatnya.
- Boleh dibayangkan bagaiman paniknya nabi Musa AS dalam Firman Allah SWT ini:
{Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): ” Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut.} [An-Naml: 10].
AYAT 22- {“DAN KEPITLAH TANGANMU DI CELAH LAMBUNGMU; NESCAYA KELUARLAH IA PUTIH BERSINAR-SINAR DENGAN TIDAK ADA CACAT; SEBAGAI SATU MUKJIZAT YANG LAIN.}(TAHA 20:22)
- Allah SWT memerintahkan pula Musa AS untuk memasukkan tangan kanannya ke dalam belahan bajunya, kemudian kepit di bawah ketiak kirinya kemudian apabila dibawa keluarnya tangan akan menjadi putih bersinar. Ini sebagai satu mukjizat, bukan putih kerana penyakit sofak atau sebagainya.
Firman Allah SWT: {“Dan masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat (ini ialah) di antara sembilan mukjizat (yang membuktikan kebenaranmu), untuk dibawa kepada Firaun dan kaumnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik – derhaka.} (An-Naml 27:12)
- Ini adalah mukjizat dan latihan amali kedua Musa AS sebagai persediaan untuk menghadapi Firaun dan kaumnya.
AYAT 23- {“(BERLAKUNYA YANG DEMIKIAN ITU) KERANA KAMI HENDAK MEMPERLIHATKAN KEPADAMU SEBAHAGIAN DARI TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI YANG BESAR.} (TAHA 20:23)
- Ini adalah untuk memperlihat kepada nabi Musa AS tanda-tanda dalil kekuasaan Allah, diberikan mukjizat sebagai tanda persiapan alat untuk menerima arahan-Nya.
- Allah SWT lantik Musa AS kemudian diberi taklimat dan latiham. Yakni boleh dikatakan sebagai satu latihan dan taklimat akan bidang tugas Musa AS selepas dilantik menjadi seorang nabi dan rasul.
- Untuk membuktikan benarnya kerasulan yang dilantik ini lalu menenangkan hati Musa AS.
- Supaya Musa AS yakin dan percaya dengan janji Allah SWT untuk menjaga dan memberi pertolongan kepadanya, sebagai hujjah kepada dakwahnya nanti.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 17– {“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?”}-
Apa faedah Allah SWT bertanya kepada Musa AS:
Sedangkan Allah, Dia Maha Mengetahui segalanya?
Ulama’ kata ada 4 sebab:
i- Tujuannya supaya Musa AS jawab apa yang ada ditangannya adalah sebatang tongkat kayu. Supaya Musa AS sedar bahawa apa yang akan berlaku sekejap lagi adalah dengan kekuasaan Allah SWT. asal kayu jadi ular.
ii- Allah SWT mahu tenangkan hati Musa AS yang sedang berdebar dan hilangkan ketakutan, seorang diri dilembah yang sunyi.
iii- Supaya Musa AS mengakui apa yang ada ditangannya adalah sebatang tongkat kayu yang tidak boleh bergerak.
iv- Untuk menunjukkan satu hujjah dalil bahawa Allah SWT berkuasa melakukan apa saja, dari tiada kepada ada. Ini kerana Musa AS akan menghadapi kaum kafir yang tidak menerima kebangkitan dan hidup semula.
- Allah SWT hanya tanya sepatah sahaja, apa ada di tanganmu. Tetapi kerana soalan itu boleh mempunyai banyak jawapan, nabi Musa AS beradab dengan Allah SWT, lalu menjawabnya penuh dan terperinci.
- Soalan pendek tetapi diberi jawapan yang lengkap adalah satu sifat yang penting bagi seorang pendakwah. Contoh jawapan Rasulullah SAW apabila ditanya tentang hukum air laut. Sabdanya:
“Air laut itu suci, (dan) halal bangkainya.” [HR Abu Daud, Tirmizi, an-Nasâ-i].
- Ayat 19- {Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!”}-
Kenapa ketika Musa AS sedang beribadat Allah SWT menyuruh ini:
Kerana sebagai satu latihan dan ajaran amali untuk nabi Musa AS supaya dia tidak kekok nanti apabila menghadapi musuhnya Firaun dan kaumnya.
Bagi pendakwah sepanjang zaman juga; inilah pentingnya latihan amali dalam dakwah, supaya tidak kekok dan yakin bila berdepan dengan masyarakat.
- Jenis dan sifat ular: Ada tiga sifat yang disebut dalam al-Quran tentangnya.
i- Firman Allah SWT:
Ayat 20- {Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.}
حَيَّةٌ تَسْعَىhayyah- ular kecil yang menjalar pada awalnya.
ii-Firman Allah SWT: {Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.} [Al-A’raf: 107]. ثُعْبَانٌ مُبِينٌ
Sekarang berubah pula menjadi seekor ular besar (Thu’ban mubin) yang jelas dan nyata.
iii- Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): ” Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa takut.} [An-Naml:10] كَأَنَّهَا جَانٌّ
Seekor ular besar yang bergerak cepat tangkas.
Yakni sifat ular daripada tongkat nabi Musa AS itu amat pelik; pada awalnya ular kecil (hayyah) berkembang menjadi ular yang besar (thu’ban} , tetapi walaupun besar bergerak pantas (jaann) dan boleh melompat seperti ular yang kecil.
Ini kerana ia adalah mukjizat, bukan sihir biasa yang diamalkan
- Ayat 21- {… dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.}-
Maksudnya janganlah engkau takut, ular itu akan kembali menjadi tongkat semula.
- Memang naluri manusia takut dan geli kepada sesuatu benda yang menyakiti, membahayakan dan menjijikkannya.
- Kata ulama’ beberapa kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada Musa AS:
i- Dilahirkan tongkat menjadi ular. Tongkat itu ada ditangannya, bila-bila masa dia perlu boleh digunakan.
ii- Mukjizat ini telah dicuba, diuji, terbukti bila campak akan terus jadi ular. Allah SWT permudahkan urusan Musa AS.
iii- Allah mahu supaya nabi Musa AS tenang dan yakin untuk berlawan dengan Firaun nanti kerana dia sudah ada kepakaran yang Allah SWT beri.
Sekali lagi menekankan betapa pentingnya latihan amali dakwah. Bukan sekadar teori tetapi amali juga.
Wallahu a’lam.
