View Categories

(16) Surah Yaasin: Ayat 81-83

8 min read

DALIL KUASA PENCIPTAAN LANGIT DAN BUMI, KUASA MENGHIDUPKAN KEMBALI & KUASA KUN FAYAKUN.

Full video : https://youtu.be/G96x4upWIco?si=VJ3rNXpkQTuZIMoG

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini masih lagi tentang tanda-tanda kekuasaan Allah SWT untuk menghidupkan kembali hamba-hamba-Nya pada hari Kiamat.
  1. Serta balasan yang akan diberi kepada mereka; yang mukmin dan beramal soleh akan mendapat balasan syurga manakala yang sebaliknya akan mendapat azab neraka, nauzubillah!
  1. Kesinambungan ayat; Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah membawa beberapa dalil tentang kekuasaan penciptaan-Nya yang dilangit, di bumi dan di laut!
    Tiba-tiba ada manusia yang bernama Ubai bin Khalaf atau al-‘As bin Wa-il yang datang membawa tulang yang reput kepada Rasulullah SAW mencabar Allah SWT.
  1. Lalu Allah SWT menjawab hujjah mereka itu dengan membawa hujjah tak perlu tengok jauh, tengok saja kepada diri kamu yang dicipta dari setitis air mani saja!
  1. Juga satu lagi dalil di depan mata mereka, dalam ayat 80, tentang pokok hijau yang basah dapat mengeluarkan api apabila digeser untuk kegunaan harian kamu.
  1. Semua ini adalah bukti dalil yang jelas bahawa semuanya ada Pencipta yang Maha Agung dan berkuasa! Iaitu Allah SWT tetapi malangnya manusia tidak menggunakan akal mereka untuk memikirkan semua ini sebagai bukti yang jelas bahawa semua ini ada Pencipta iaitu Allah SWT.
  1. Bila Allah cipta kamu, kemudian dia matikan kamu kemudian dibangkitkan semula untuk hari pembalasan yang agung!

AYAT 81- {TIDAKKAH DIAKUI DAN TIDAKKAH DIPERCAYAI BAHAWA TUHAN YANG TELAH MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI (YANG DEMIKIAN BESARNYA) – BERKUASA MENCIPTAKAN SEMULA MANUSIA SEBAGAIMANA IA MENCIPTAKAN MEREKA DAHULU? YA! DIAKUI DAN DIPERCAYAI BERKUASA! DAN DIA LAH PENCIPTA YANG TIDAK ADA BANDINGANNYA, LAGI YANG MAHA MENGETAHUI.} (YAASIN 36:81)

  1. Tidakkah kamu wahai manusia melihat akan kekuasaan Allah SWT mencipta langit dan bumi yang begitu besar kejadiaanya.
  1. Maka pastilah tiada halangan dan kelemahan bagi Allah SWT untuk menghidupkan semula manusia yang kerdil dan kecil ini! Mengulang balik kejadian Yang pernah diciptakan-Nya dahulu bukan sesuatu yang susah.
  1. Kata Sheikh Az-Zarkashi RHM: Tentang maksudnya ayat {sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu?} (مِثْلَهُمْ) adalah mencipta mereka dahulu, bukan seperti mencipta langit dan bumi sebagaimana ada pendapat setengah ulama’.
  1. Ini kerana orang kafir tidak ingkar tentang kembalinya ciptaan langit dan bumi tetapi mereka ingkar bahawa manusia akan hidup balik! Bagi mereka semuanya akan selesai dan habis setakat di atas dunia saja.
  1. Maka Allah SWT menjawabnya: BAHKAN! (بَلَى) Dialah Pencipta yang tiada bandingan lagi Maha Mengetahui segalanya. Dia mampu untuk mencipta makhluk yang besar dan untuk menghidupkan semula manusia yang mati.
  1. Allah SWT juga memperkenalkan sifat-Nya, Dialah Allah Pencipta (الْخَلَّاقُ) yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui (الْعَلِيمُ)

AYAT 82- {SESUNGGUHNYA KEADAAN KEKUASAANNYA APABILA IA MENGHENDAKI ADANYA SESUATU, HANYALAH IA BERFIRMAN KEPADA (HAKIKAT) BENDA ITU: “JADILAH ENGKAU!” MAKA IA TERUS MENJADI.} (YAASIN 36:82)

  1. Menerangkan tentang hakikat kekuasaan Allah SWT apabila Dia nak mengadakan sesuatu akan dikatakan atau diperintahkan sekali tanpa perlu mengulangnya: Allah kata jadilah-kun (كُنْ) maka terjadilah (فَيَكُونُ) apa yang Allah hendaki itu tanpa ada penangguhan!
  1. Wahai puak kafir, maka menghidupkan orang yang telah mati adalah sesuatu yang mudah, senang dan tidak payah untuk Allah SWT melakukannya.
  1. Ayat ini masih lagi takrir mengulangi hujjah bahawa manusia akan dihidupkan semula di alam yang kedua iaitu alam akhirat.
  1. Firman Allah SWT: {Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: “Jadilah engkau! “, maka menjadilah ia. (كُنْ فَيَكُونُ)} (Al-Nahl 16:40)
  1. Tentang tempohnya pula sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat ini: {Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.} (Al-Qamar 54:50)
  1. Itulah kekuasaan Allah SWT maka puak kafir jika kamu masih mahu berdegil keras kepala tidak mahu beriman maka tunggulah pengadilan hisab di Akhirat kelak!
  1. Sebagaimana kata ulama’: Surat amalan kita, kita sendiri yang menulisnya, maka marilah kita hiasinya dengan yang sebaik-baik amalan yang indah agar kita mendapat pahala kebaikan di akhirat kelak dan termasuk dalam golongan kanan (Ashabul-Yamin).

AYAT 83- {OLEH ITU AKUILAH KESUCIAN ALLAH (DENGAN MENGUCAP: SUBHAANALLAH!) TUHAN YANG MEMILIKI DAN MENGUASAI TIAP-TIAP SESUATU, DAN KEPADANYALAH KAMU SEMUA DIKEMBALIKAN.} (YAASIN 36:83)

  1. Maha Suci Allah SWT, Tuhan pemilik segala perkara yang ada di atas dunia & langit ini, daripada segala sifat aib dan lemah. Dia Yang memiliki & menguasai setiap sesuatu!
  1. Tiada siapa boleh halang dan sekat apa yang Allah mahu serta tiada siapa yang boleh percepat atau perlewatkan yang Allah SWT tetapkan. Dia buat apa dan sebagaimana yang Dia mahu!
  1. Semua perkara di bawah kuasa dan kehendak Allah SWT. Semua perkara di bawah Qada’ & Qadar Allah. Kita sebagai hamba wajib beriman, yakin dan beramal untuk meraih keredhaan Allah SWT, beramal untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan beramal sehingga layak menjadi ahli syurga Allah SWT.
  1. Kita yakin bahawa hidup dan mati kita di bawah kuasa Allah, jangan berani-berani menyangka bahawa kita akan selamat dan boleh keluar dari kuasa Allah SWT, semua perkara di bawah kuasa Allah SWT (بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ).
  1. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk yang kita baca pada setiap malam:
    {Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;} (Al-Mulk 67:1)
  1. Sebuah hadis riwayat Auf bin Malik al-Asyja’i RA:
    Pada suatu malam aku berdiri bersama Rasulullah SAW maka Baginda berdiri dan membaca surat Al-Baqarah, tidak melalui mana-mana ayat rahmat kecuali berhenti dan memohonnya. Dan Baginda tidak melewati ayat siksa kecuali berhenti dan berlindung (darinya).
    Kemudian Baginda rukuk lama seperti waktu berdirinya dan membaca dalam rukuknya: “سبحان ذي الجبروت والملكوت والكبرياء والعظمة”
    (Maha suci (Allah) Yang mempunyai keperkasaan dan kerajaan (penuh) serta kesombongan dan keagungan.)
    Kemudian Baginda sujud lama seperti waktu berdirinya kemudian membaca dalam sujudnya seperti itu juga.
    Kemudian berdiri dan membaca Ali-‘Imran kemudian satu surah, satu surah.”
    [HR. an-Nasa’i, (1132) dan Abu Daud, (873)].
    Bacaan ini ada dalam Perisai Muslim di bawah Bab: Bacaan Ketika Rukuk.
  1. Kemudian Allah SWT tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa manusia semuanya akan dikembalikan kepada Allah, bertemu dengan Allah selepas kita mati dan Dia akan balas kepada kita apa yang telah kita lakukan di atas dunia ini.
  1. Ya Allah dengan limpah kurnia-Mu kami telah khatam Surah Yaasin pada pagi ini, maka jadikanlah al-Quran sebagai garis panduan hidup kami, berikanlah kepada kami keyakinan dan kekuatan iman sehingga kami menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah.
    Hidupkan kami dengan iman berdasarkan Sunnah Nabi SAW, matikan kami dalam husnul-khatimah dan mendapat balasan syurga-Mu nanti.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Kenapa orang kafir bawa kepada Rasulullah SAW tulang yang reput (ayat 79).
    Maka Allah SWT balas dalam ayat itu juga Allah-lah yang akan menghidupkan kembali kamu dari tulang yang telah hancur itu sebagaimana Dia telah mencipta kamu buat pertama kalinya!
    Apa susah nak hidupkan benda yang sudah ada.
    Ulama’ juga kata: Ayat ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa tulang itu hidup, ada nyawa dan rohnya seperti daging dan darahnya, kerana itu tulang haiwan yang tidak disembelih itu najis.
    Kejadian manusia yang kedua ini bukan lagi daripada air mani tetapi dari chip yang ada pada setiap manusia iaitu tulang di hujung sulbi (عَجْبُ الذَّنَبِ،).
    Tulang yang berada di hujung sulbi pada tulang tongkang, dalam istilah anatomi dipanggil sebagai koksiks atau ‘coccyx’ (tulang ekor- tailbone). Banyak kajian sains telah dibuat tentang teori ini. Waalhu a’lam.
  1. Ayat 80- {“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu,}-

    Iaitu pokok yang masih hidup dan hijau, bukan pokok mati. Ini adalah dalil tanda nikmat Allah SWT ke atas kita, pokok hidup boleh mengeluarkan api untuk kegunaan kita.

    Firman Allah SWT juga:
    {Akhirnya, tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan (dengan cara digesek)?} (Al-Waqi’ah 56:71)
    Tiada orang yang ingkar akan nikmat api itu banyak sekali kegunaannya untuk hidup manusia. Tetapi ada juga manusia yang salah guna nikmat ini dengan menyembah api pula seperti kaum Majusi!!!
  1. Ayat 80- {“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu,}-

    Dalil sempurnanya kuasa Allah SWT untuk mengeluarkan orang yang mati dari kubur dengan dalil mengeluarkan api dari pokok yang hidup!
    Ini kerana mereka yang mengingkari hidup semula mengatakan mati itu sejuk dan kering manakala hidup itu panas dan basah maka bagaimana boleh jadi hidup balik! Maka Allah SWT bawa dalil api dari pokok yang basah ini! Maka pelik apa!
  1. Ayat 80- {“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu,}-

    Ayat ini juga sebagai dalil kepada benda yang besar (mati hidup balik) kepada benda yang lebih simple. Seperti pokok hijau boleh keluar api dengan hidupkan balik manusia!
    Semuanya mudah bagi Allah SWT hanya kun-fayakun!
  1. Ayat 80- {maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.}-

    Allah SWT mahu tetapkan sesuatu benda yang hanya dapat dibuat gambaran dalam kepala dengan sesuatu yang dapat dilihat secara zahir!
    Seperti tumbuh pokok selepas hujan, api keluar dari pokok hidup dan lain-lain yang jelas dan zahir dengan gambaran manusia akan hidup selepas mati.
  1. Ayat 81- {Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.}-

    Bila datang soalan dengan lafaz negatif (bukankah- أَوَلَيْسَ)- kita jangan jawab Ya, kerana ia akan menjadi jawapan (bukan) seolah kita membenarkan soalan penafian itu. Tetapi, kita kena jawab dengan (bahkan- بَلَى) begitulah uslub bahasa Arab. Banyak dalam al-Quran lafaz soalan begini seperti firman Allah ini:
    {Bukankah Allah (أَلَيْسَ اللَّهُ) (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?} (At-Tin 95:8)
    Banyak sekali ayat yang Allah SWT sebut antara Penciptaan-Nya (الْخَلَّاقُ) dengan ilmu-Nya (الْعَلِيمُ), seperti dalam ayat ini; Pencipta Yang Maha Mengetahui.
    Ini kerana Allah SWT mahu kita yakin bahawa Allah SWT mencipta setiap makhluk-nya dengan penuh ilmu dan hikmah, bukan main-main atau dengan cuba-cuba saja, tidak boleh nak kritik dan komen lagi.
  1. Allah SWT sebut dua sifat-Nya di sini.

    Iaitu Dia lah Pencipta (الْخَلَّاقُ) lagi Yang Maha Mengetahui (الْعَلِيمُ) ini isyarat kepada bahawa kuasa Allah SWT penuh dan ilmu-Nya sempurna merangkumi semua perkara.
  1. Ayat 82- {hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau!” Maka ia terus menjadi.}-

    Kata para ulama’: Ayat ini menjadi dalil bahawa al-Quran itu Kalamullah, bukan mahkluk.
  1. Ayat 82- {hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “adilah engkau!” Maka ia terus menjadi.}-

    Ini untuk mengisbatkan bahawa antara sifat Allah SWT itu ialah berkata-kata.
  1. Ayat 83- {Maha Suci Allah (Subhaanallah!) Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.}-

    Maha Suci Allah Yang kuasa di tangan-Nya, kamu percaya atau tidak, beriman atau tidak, Dia tetap Maha Berkuasa dan Suci daripada segala kelemahan dan sifat kekurangan.
    Maka bagi kita yang beriman mantapkan iman dan akidah, kita yakin 100% apa yang disebut dalam Surah Yaasin itu.
    Jadi jangan baca Yaasin sekadar ambil berkat dan apabila ada masalah saja, tetapi ingat Allah SWT tutup surah ini dengan mengingtakan kepada kita: Dia-lah Yang Maha Menguasai dan kita semua akan kembali kepada Allah.
    Mudah-mudahan kita akan kembali kepada Allah dengan hati yang sejahtera, ibadat yang murni dan ikut Sunnah Rasulullah SAW dalam keredhaan Allah swt.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Scroll to Top