View Categories

(27) Surah Yunus: Ayat 74-78

12 min read

Rasul Selepas Nuh Ditentang, Kisah Nabi Musa AS Dan Harun & Tuduhan Fir’aun Kepadanya.

Full video : https://youtu.be/OYqH2a7WBhU?si=JjUuQyGnY7u0EOdv

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 74 sehingga ayat 78 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa Allah akan utus ramai lagi rasul-rasul selepas Nabi Nuh AS tetapi apa boleh buat, bukan senang perjuangan dakwahnya, setipa rasul akan ditentang, dilawan & didustakan oleh kaum mereka!
    Nak menang kena berjuang!
  1. Dalam ayat ini kita mulakan siri pertama bagi kisah nabi Musa AS dan Harun, hiwar atau dialog mereka dengan Fir’aun.
    Ini merupakan kisah kedua dalam surah ini selepas kisah Nabi Nuh AS.
  1. Apabila Nabi Musa tunjukkan mukjizatnya, Fir’aun mendustakannya dan buat beberapa tuduhan Fir’aun kepadanya seperti ahli sihir kemudian sebagai orang yang gilakan pangkat & mahu rampas kuasa Fir’aun.
    Kisah Nabi Musa AS sudah banyak kali berulang, jadi ringkas saja disebut kisahnya dalam surah ini.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bagaimana kisah Nabi Nuh AS, rasul yang pertama selepas Nabi Adam AS.
    Nuh ditentang & didustakan oleh kaumnya lalu Allah SWT membinasakan mereka semuanya!

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan tentang kisah untuk dijadikan iktibar bagi sesiapa yang mendustakan rasul.
    Telah menjadi ketetapan Sunnatullah sesiapa yang lawan rasul akan binasa.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 74- {KEMUDIAN KAMI UTUSKAN SESUDAH NABI NUH, BEBERAPA ORANG RASUL KEPADA KAUM MASING-MASING; LALU RASUL-RASUL ITU DATANG KEPADA KAUM MEREKA DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN YANG NYATA; DALAM PADA ITU KAUM MEREKA TETAP JUGA TIDAK MAHU BERIMAN KEPADA APA YANG MEREKA TELAH MENDUSTAKANNYA SEBELUM ITU. DEMIKIANLAH, KAMI METERAIKAN ATAS HATI ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.} (YUNUS 10:74)

  1. Allah nyatakan selepas Nabi Adam datang Nabi Nuh yang Allah naskan namanya dalam al-Quran.
    Kemudian selepas Nabi Nuh AS telah diutuskan ramai lagi para rasul yang didatangkan khas kepada kaum masing-masing, iaitu bersifat local atau tempatan.
    Manakala Rasulullah SAW sebagai rasul akhir zaman diutuskan kepada manusia seluruhnya sehingga pada hari Kiamat.
  1. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadith daripada Jabir bin ‘Abdillah RA:
    وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً، وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ كَافَّةً
    Maksudnya: “Dan Nabi sebelumku hanya diutus kepada kaumnya saja, sementara aku diutus kepada umat manusia seluruhnya.” [HR al-Bukhari (438)].
    Jangan kata ada yang tak kenal Rasulullah SAW.
  1. Mereka para rasul & nabi itu semuanya datang dengan mukjizat yang nyata, yang Allah anugerahkan kepada setiap nabi & rasul untuk menunjukkan kebenaran mereka!
    Mukjizat ini adalah sesuatu yang pelik, yang di luar kotak pemikiran manusia sebagai bukti kenabian & kebenaran mereka!
  1. Tetapi apa boleh buat kaum yang degil & keras kepala tetap menolak dan mendustakan apa yang dibawa oleh para rasul, sama ada ajaran atau maksiat kerana mereka berkeras berpegang dengan apa yang diajar oleh tok nenek mereka, orang dahulu di kalangan mereka!
    Inilah mindset mereka: Apa yang bercanggah dengan apa yang ada dalam masyarakat dan ajaran orang terdahulu; akan dikira sesat & salah.
  1. Lalu Allah cop, meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas itu.
    Mereka sudah sebati dengan kufur & syirik, mendustakan rasul-rasul walaupun tanda kebenaran jelas di depan mata mereka, tidak memberi kesan kepada jiwa, lalu mereka terus kufur tidak beriman sehingga ke mati!

AYAT 75- {KEMUDIAN KAMI UTUSKAN SESUDAH RASUL-RASUL ITU, NABI MUSA DAN NABI HARUN, KEPADA FIRAUN DAN KAUMNYA DENGAN MEMBAWA AYAT-AYAT KAMI; LALU MEREKA (FIRAUN DAN KAUMNYA) BERLAKU SOMBONG TAKBUR (ENGGAN MENERIMANYA), DAN MEREKA ADALAH KAUM YANG BIASA MELAKUKAN DOSA.} (YUNUS 10:75)

  1. Kemudian Allah nyatakan selepas ramai rasul-rasul yang datang selepas Nabi Nuh, antaranya Allah utuskan Nabi Musa & Harun AS.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan selepas Nabi Nuh Allah utuskan ramai lagi rasul-rasul yang lain kepada kaum masing-masing.
    Allah tidak sebut nama satu persatu.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan salah seorang rasul yang diutuskan itu ialah Nabi Musa ditemani oleh saudaranya Nabi Harun AS.
  1. Dua rasul ini diutuskan kepada Fir’aun dan kaumnya, dengan membawa ayat-ayat, dalil keteranganya yang nyata jelas; tetapi malangnya Firaun dan kaumnya berlaku sombong takbur, enggan menerima dakwah yang dibawa oleh Musa itu!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.} (Al-A’raf 7:103)
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa Fir’aun & kaumnya adalah kaum yang biasa melakukan dosa besar & melampaui batas, iaitu kerana mereka sombong & takabbur atas muka bumi ini!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.} (Al-Qasas 28:4)

AYAT 76- {OLEH SEBAB ITU KETIKA DATANG KEPADA MEREKA KEBENARAN DARI SISI KAMI, BERKATALAH MEREKA: “SESUNGGUHNYA INI IALAH SIHIR YANG NYATA”.} (YUNUS 10:76)

  1. Munasabah ayat:
    i- Setelah Allah nyatakan tentang Fir’aun yang sombong & takabbur;

    ii- Datang ayat ini dinyatakan cara & sebab yang dibuat oleh Fir’aun bagi menolak dakwah Nabi Musa, iaitu menuduhnya sebagai membawa ajaran sihir!
  1. Cerita yang sama tetapi watak yang berbeza, sebagaimana kafir Quraisy menuduh Rasulullah SAW dengan tuduhan jahat seperti: ahli sihir, tukang tilik, orang gila & juga penyair!
  1. Setelah datang mukjizat yang nyata yang menjadi sokongan dakwah Nabi Musa iaitu:
    i-Mukjizat Nabi Musa yang paling besar ialah tongkatnya menjadi ular yang besar dan ganas,

    ii- Tangannya bersinar seolah bercahaya,

    iii- 9 tanda mukjizat Nabi Musa menghilangkan pelbagai bala & penyakit ujian yang menimpa Fir’aun & kaumnya!
  1. Tetapi mereka tetap menolak dan mendustakan mukjizat itu kerana zalim & sombong dan mengatakannya adalah satu perbuatan sihir!!!
  1. Iaitu sebagaimana firman Allah SWT:
    {“Dan masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat (ini ialah) di antara sembilan mukjizat (yang membuktikan kebenaranmu), untuk dibawa kepada Firaun dan kaumnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik, derhaka.
    Maka ketika keterangan-keterangan mukjizat Kami sampai kepada Firan dan kaumnya dengan jelas nyata, berkatalah mereka: ” ini adalah sihir yang terang nyata!”
    Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.} (An-Naml 27: 12-14)
  1. Inilah indahnya tafsir ayat dengan ayat al-Quran, yang jelas sahih & berkait, tidak perlu kita cari kisah yang pelik-pelik, yang tidak ada sandaran dan dalil yang sahih!

AYAT 77- { (MENDENGARKAN YANG DEMIKIAN), NABI MUSA BERTANYA: PATUTKAH KAMU BERKATA DEMIKIAN TERHADAP SESUATU KEBENARAN KETIKA DATANGNYA KEPADA KAMU? ADAKAH BAWAANKU INI SIHIR? SEDANG AHLI-AHLI SIHIR ITU SUDAH TETAP TIDAK AKAN BERJAYA”.} (YUNUS 10:77)

  1. Apabila mendengar tuduhan Fir’aun itu Nabi Musa AS membantah & mengingkarinya!
    Katanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir?
  1. Nabi Musa juga mencabar Fir’aun dan para ahli shirnya: Sedangkan ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya, maka takkan aku bawa sihir juga???
  1. Nabi Musa AS berani membantah tuduhan mereka itu & mencabarnya lagi kerana apa yang dibawanya bukan sihir & beliau yakin akan kebenaran mukjizat & dakwahnya yang datang dari Allah SWT!
    Pastilah Allah akan memenangkannya untuk menunjukkan kebenarannya.

AYAT 78- {MEREKA PULA BERKATA: “ADAKAH ENGKAU DATANG (WAHAI MUSA) UNTUK MEMESONGKAN KAMI DARI PENYEMBAHAN BERHALA YANG KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI MELAKUKANNYA, DAN UNTUK MEMBOLEHKAN KAMU BERDUA MEMBOLOT KEKUASAAN DI BUMI (MESIR)? DAN (KETAHUILAH) SEBENARNYA KAMI TIDAK AKAN BERIMAN KEPADA KAMU BERDUA”.} (YUNUS 10:78)

  1. Fir’aun dan kaumnya menjawab balik dengan membuat tuduhan lain pula:
    i- Apakah kamu bawa sihir kamu itu kerana mahu kami terpesong, sesat & pecah-belah kami dari agama tok nenek kami serta tinggalkan berhala-berhala kami dengan menyembah satu Tuhan saja???

    ii- Kemudian mereka kata Musa juga bawa ajaran itu kerana mahu membolot kekuasaan di Mesir dan merampas kerajaan daripada Fir’aun.
  1. Fir’aun akhirnya menutup perbincangan (mmati awas) dengan kata-kata yang sombong lagi angkuh: Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua.
    Kamu bawalah dalil bukti apa sajapun!
    Habis dialog & tak perlu berhujjah berbincang lagi dengan orang yang degil keras kepala begini!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

    Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.
    (Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.

    Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu”.
    (Tuhan berfirman): Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya,} (Al-A’raf 7:135)
  1. Begitulah orang yang keras kepala menutup mata telinga & hatinya!!
    Kamu royatlah rimau gajah pun, mereka tidak akan lari! Yakni kamu cakaplah apa saja pun mereka tidak akan beriman, kecuali apabila azab di depan mata baru mereka nak beriman, tetapi taubat & iman waktu itu tiada guna & tak akan diterima lagi!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 74- {Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka….}-

    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menjadi isyarat menunjukkan bahawa Nabi Nuh adalah rasul yang pertama selepas Nabi Adam AS.

    Dalilnya hadis syafaat yang panjang iaitu:
    Rasulullah SAW menjelaskan dalam sebuah hadis sahih bahawa ketika berada di Padang Mahsyar, semua orang sibuk dengan dirinya sendiri & manusia akan menunggu dengan penuh ketakutan dan kesengsaraan.
    Baginda bersabda: “Pada hari kiamat, manusia akan berdiri dalam waktu yang sangat panjang sehingga ada yang berkata, ‘Marilah kita pergi mencari seseorang yang dapat memberi syafaat kepada kita kepada Tuhan kita.’”
    Ketika itu, manusia akan merasakan waktu berlalu begitu lama, seperti ribuan tahun.
    Mereka akan bergerak mencari syafaat, bermula dengan mendatangi Nabi Adam AS, bapa manusia.
    Namun, Nabi Adam akan menyatakan bahawa beliau juga pernah melakukan kesalahan, yakni memakan buah larangan.
    Maka beliau akan meminta mereka pergi kepada Nabi Nuh AS sebagai rasul pertama yang Allah utuskan kepada umat manusia di bumi…..
    sehingga akhir kisahnya
    . [HR Bukhari dan Muslim].

    Yakni selesailah persoalan bahawa Nabi Nuh adalah rasul yang pertama selepas Nabi Adam AS.
  1. Ayat 75- {Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat Kami;…}-

    Kenapa Allah sebut dalam ayat ini seolah Nabi Musa & Harun diutus khas kepada Fir’aun dan kaumnya saja?
    Sedangkan Nabi Musa AS bukan diutuskan kepada Fir’aun saja tetapi umum kepada semua kaum yang ada di Mesir pada zamannya itu, bani Israil, Qibti dan lain-lain.
    Mereka semua diperitahkan untuk beriman kepada Allah & meninggalkan taghut.
    Jawapan:
    Ini kerana Mesir pada ketika itu berada di bawah kuasa Fir’aun, maka jika beriman Fir’aun pastilah semua rakyatnya akan betul & beriman juga.
    Zaman bila-bilapun, apabila mahu buat sesuatu, orang tak pergi cari yang kecil & orang bawahan- orang cari yang kepala atau besar, kerana apabila dapat pegang kepala, badan & ekor semuanya akan ikut sekali.
    Yakni apabila dapat pegang ketua, semua projek akan masuk, bajet-bajet akan turun & berjalan lancar.

    Begitulah pentingnya strategi dakwah, kita kena cari ketua & orang besar yang diikuti kaumnya dulu untuk didakwah!
    Barulah pengikutnya akan ikut juga & mudah untuk didakwah!
  1. Ayat 76- {Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami,…}-
    Allah tegaskan bahawa dakwah & ajaran itu datang dari Allah, Nabi Musa adalah rasul yang diutuskan untuk menyampaikannya kepada Fir’aun dan kaumnya serta bani Israil.

    Allah kata ia adalah dari sisi-Nya, Allah yang berinya kepada Musa bukan dia buat atau reka sendiri!
    Musa bukan pereka tetapi penyampai atau penggerak.

    Allah yang beri mukjizat sehingga tongkat Musa boleh bertukar menjadi ular yang hidup. Tongkat Nabi Musa pada asalnya hanyalah kayu biasa yang digunakannya untuk menghalau kambing gembalaannya.
    Sebagaimana dalam firman Allah ini:
    {“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?”
    Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa, berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”.

    Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!”
    Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.
    Allah berfirman: “Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal.} (Taha 20: 17-21)
    Allah kata {dari sisi Kami – مِنْ عِندِنَا}- maka dengan penegasan ini, satu jenayah besar sesiapa yang mengingkari mukjizat Nabi Musa AS kerana Musa bukan = pereka tetapi hanya pembawa, pelaksana & penjalan tugas yang diperintahkan Allah!
  1. Ayat 77- { (Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya:…. Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”.}-

    Nabi Musa menafikan dia ahli sihir dan mengatakan ahli sihir itu tidak akan sesekali menang, berjaya atau bahagia!
    Ini membuktikan bahawa Nabi Musa bukan ahli sihir, sebab kalau dia ahli sihir juga; takkan dia nak mengata kepada dirinya sendiri dan dia berani mencabar ahli sihir bahawa mereka tak akan menang!
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menjadi peringatan bahawa sihir adalah sesuatu yang rosak tidak memberi kebaikan apa serta buruk kesannya ke atas pengamal sihir.
    Ini menunjukkan dalil bahawa Nabi Musa adalah bukan ahli sihir kerana jika dia sendiri ahli sihir takkan Musa berani nak kutuk & kondem ahli sihir dan sihirnya!
    Kerana itu, orang yang tak ada prinsip dia takkan mampu beristiqomah!
  1. Ayat 78- {Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)?}-

    Apabila Fir’aun tiada fakta dan hujjah lagi; akhirnya dia tolak dakwah Nabi Musa dengan membuat tuduhan jahat pula!
    Kononnya Nabi Musa datang nak pesongkan ajaran mereka, nak mengganggu-gugat agama mereka, menggoyangkan kestabilan kaum mereka- Mereka dah elok-elok sembah berhala kenapa kamu datang kacau wahai Musa???
    Kata ulama’ : Hujjah yang digunakan oleh puak kafir ini, kita orang beriman jangan guna hujjah yang sama!!!
    Contoh: Jangan kacau adat-istiadat lama yang telah dibuat orang!!
    Maaf kita bukan nak kacau tetapi kita nak perbetulkan mana yang tidak tepat dengan al-Quran & Sunnah, yang tidak selari dengan kitab feqah yang muktabar, itu saja!

    Jika orang nak tegur, nak baiki dituduh pengacau, sama seperti Nabi Musa yang dituduh Fir’aun!
    Apakah kita nak ikut jejak langkah, perbuatan Fir’aun juga??
    Fir’aun nyatakan dua sebab mereka tolak ajaran Musa AS:

    i- Firaun mendakwa bahawa Musa nak memesongkan mereka daripada ajaran nenek moyang, iaitu adat dan budaya turun-temurun. Kerana mereka nak kekalkan amalan tok nenek, tak mahu ubah kepercayaan yang mereka pegang selama ini lalu menolaknya!
    Kita orang beriman jangan buat perangai begini, alasan nak berpegang dengan ajaran tok nenek, kerana tak mahu terima agama baru walaupun ia adalah kebenaran.

    ii- Sebab kedua Fir’aun kata Musa & Harun nak membolot kekuasaan dan nak rampas kedudukan di bumi Mesir.
    Ayat ini menunjukkan bahayanya orang yang gila kepada dunia & sayang kepada kerusi kuasa, semata-mata kerana nak berebut beberapa kerusi yang kosong, lalu membuat tuduhan palsu & fitnah terhadap orang yang membawa kebenaran.

    Inilah hujjah yang dipegang oleh golongan kafir setiap zaman; menolak kebenaran dengan alasan mempertahankan adat tradisi dan ajaran datuk nenek.
    Sebagai orang beriman kita mesti menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan, bukan adat atau budaya tok nenek semata.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top