Fir’aun Kumpul Ahli Sihir, Musa Berlawan & Golongan Sihir Kalah.
Full video : https://youtu.be/MsweuEhJfik?si=8PhZGalMbyGpx2jm
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 79 sehingga ayat 82 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa walaupun selepas Nabi Musa membawa hujjah & mukjizat yang jelas lagi nyata; Fir’aun tetap menolak untuk beriman dan membuat tuduhan bahawa Musa adalah ahli sihir & gila kuasa untuk merampas kerajaannya.
- Lalu Fir’aun arahkan untuk dikumpulkan semua ahli sihir yang ada di Mesir ketika itu untuk melawan sihir Musa.
- Maka mereka memulakan perlawanan, di mana tongkat Musa memakan semua ular ahli sihir lalu dengan pertolongan Allah, kalahlah golongan jahat, ahli sihir.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang tuduhan Fir’aun bahawa Nabi Musa guna sihir dan buat pengumuman bahawa tidak akan ikut Musa
ii- Maka dalam ayat ini Fir’aun memerintahkan untuk dikumpulkan semua ahli sihir yang hebat yang ada di bumi Mesir untuk datang berlawan dengan Nabi Musa AS.
Sihir lawan sihir pada awalnya kemudian guna akta apabila dah kalah.
Siri ini adalah episod yang kedua bagi kisah Nabi Musa berlawan dengan Fir’aun dalam surah Yunus ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 79- {DAN BERKATALAH FIRAUN (KEPADA ORANG-ORANGNYA): “BAWALAH KAMU KEPADAKU SEGALA AHLI SIHIR YANG MAHIR”.} (YUNUS 10:79)
- Fir’aun memerintahkan tenteranya untuk mengumpulkan semua ahli sihir yang mahir lagi hebat yang ada dalam Mesir itu untuk datang berkumpul dan melawan Nabi Musa.
- Dalam Kitab Bidayah wan-Nihayah oleh Ibnu Kathir mengatakan: Terdapat beberapa riwayat mengatakan terdapat 80 ribu ahli sihir, ada kata 70 ribu dan ada kata lebih daripada 19k, ada kata 12 atau 13k ribu bahkan ada kata 70 orang.
Kita simpulkan boleh jadi 80 ribu itu jumlah keseluruhan yang ada di seluruh Mesir tetapi yang terpilih untuk masuk berlawan dengan Musa di istana mungkin hanya 70 orang sahaja!
- Kata ulama’ seperti as-Sayuti : Menurut Ibnu Abbas RA, Ahli sihir yang datang ke istana untuk berdepan dengan Nabi Musa lebih kurang dalam 70 orang lelaki, yang paginya ahli sihir yang kufur tetapi petangnya adalah para syuhada’ yang beriman kepada Allah, akibat dibunuh oleh Fir’aun!
- Ayat ini disambung dengan firman Allah ini, iaitu apabila ahli sihir datang ke istana:
{Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?”
Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)”.} (Al-A’raf 7:114)
Yakni sebelum berlawan ahli sihir minta kepastian dari Fir’aun apakah mereka akan mendapat upah & habuan jika dapat kalahkan Musa dalam sihir itu.
Fir’aun pun berjanji akan memberi upah yang besar dan akan menjadi orang dekat dengannya!
- Allah sebut tentang kisah Nabi Musa berlawan dengan ahli sihir dalam al-Quran beberapa kali:
i- Dalam surah al-A’raf, bermula dari ayat 109-112.
ii- Surah Yunus ini
iii- Surah Taha
iv- Surah asy-Syu’ara’.
- Allah mengulang kisah ini beberapa kali kerana manusia mudah terpengaruh & percaya dengan kisah yang pelik seperti khurafat, sihir dan seumpamanya begini maka disebut acap-kali agar manusia tidak mudah lupa untuk diambil pengajaran iktibarnya.
AYAT 80- {SETELAH DATANG AHLI-AHLI SIHIR ITU, NABI MUSA BERKATA KEPADA MEREKA:” CAMPAKKANLAH KAMU DAHULU APA YANG KAMU HENDAK CAMPAKKAN (DIRI BENDA-BENDA YANG KAMU JADIKAN SIHIR ITU)!”} (YUNUS 10:80)
- Sebelum mula berlawan, mereka berunding siapa yang akan mencampakkan dulu alat-alat sihinya.
Nabi Musa lalu meminta para ahli sihir untuk mulakan dulu dengan mencampakkan alatan sihir mereka!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
i- {Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.} (Taha 20:66)
ii- {Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?”} (Al-A’raf 7:115)
Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya).} (Al-A’raf 7:116)
- Ada setengah ulama’ dalam kajiannya mengatakan : Ahli sihir itu menggunakan raksa dibubuh pada tali & tongkat mereka, iaitu sejenis logam cair yang digunakan dalam thermometer untuk mengukur suhu.
Raksa ini sifatnya mengembang apabila suhu panas & mengecut apabila suhu sejuk, ini penjelasan ikut logik sains macamana ahli sihir itu menyilap mata orang ramai.
AYAT 81- {SETELAH MEREKA CAMPAKKAN (BENDA-BENDA ITU), NABI MUSA BERKATA:” APA YANG KAMU DATANGKAN ITU, ITULAH SIHIR; SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENDEDAHKAN KEPALSUANNYA (DENGAN MUKJIZAT YANG DIKURNIAKANNYA KEPADAKU); SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK AKAN MENJAYAKAN PERBUATAN ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN.} (YUNUS 10:81)
- Setelah ahli sihir campakkan alatan mereka seperti tali-tali & tongkat yang menyihir mata manusia yang melihatnya seolah bertukar menjadi ular-ular kecil yang bergerak.
- Sebagai seorang pendakwah yang hebat Nabi Musa mengambil peluang untuk berceramah menyatakan dakwah & kebenarannya dengan berkata:
i- Apa yang kamu datangkan itu, tali-tali yang bergerak itu, itulah sihir yang sebenarnya;
ii- Sesungguhnya Allah akan mendedahka kepalsuannya, iaitu dengan membatalkan sihir itu kepada orang ramai.
iii- Dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku, iaitu tongkat yang ada ditangannya, yang akan dicampakkan nanti!
Begitulah para pendakwah kena ambil peluang yang ada bila-bila masa & di mana saja untuk menyatakan kebenaran dan menyampaikan ajarannya, sebagaimana Nabi Yusuf berdakwah kepada kawannya dalam penjara.
- Ayat ini boleh kita baca kisahnya yang lengkap selepas Musa selesai bagi tazkirah dan Allah suruh campakkan tongkatnya dalam ayat ini:
{Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.
Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.} (Al-A’raf 7: 117-119)
- Setelah melihat tongkat Nabi Musa menelan habis licin ular sihir mereka; maka para ahli sihir pun tahulah bahawa kuasa yang Musa ada itu bukanlah sihir kerana sesama sihir tidak boleh makan atau musnahkan sihir lain!
Lalu mereka terus insaf & beriman, sujud kepada Allah.
- Di akhir ayat ini Allah berfirman: Sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
- Kata Ibnu Asyur : Fir’aun & para ahli sihir itu dikatakan sebagai orang-orang yang melakukan kerosakan { ٱلْمُفْسِدِينَ } kerana beberapa perbuatan mereka:
i- Kerjanya nak menyesatkan akal manusia supaya percaya & taksub kepada mereka- tanpa manusia tahu apa sebab tali itu bergerak.
ii- Nak menyekat dakwah Nabi Musa dengan sihirnya.
iii- Nak meneruskan amalan syirik yang mereka buat terhadap Allah SWT.
AYAT 82- {“DAN ALLAH JUGA SENTIASA MENETAPKAN PERKARA YANG BENAR DENGAN KALIMAH-KALIMAH PERINTAHNYA, WALAUPUN YANG DEMIKIAN DIBENCI OLEH ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN DOSA”.} (YUNUS 10:82)
- Allah tutup episod ini dengan firman-Nya bahawa Allah akan zahirkan apa yang benar itu sebagai benar & yang batil itu adalah batil dengan kalimah-Nya atau perintah Allah SWT, iaitu melalui al-Quran.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.} (Al-Anfal 8:8)
- Yakni Allah akan tetapkan kalimahnya menyata yang benar itu & yang batil itu batil walaupun dibenci oleh orang jahat lagi berdosa terhadap Allah.
- Ini merupakan janji Allah kepada orang yang beriman dan bahawa kita akan diberi kelebihan oleh Allah.
Iaitu sesiapa yang yang menegakkan kebenaran, yang berpegang dengan al-Quran & Sunnah ini insya’ Allah walaupun ditentang dihalang, akan terserlah juga kebenaran akhirnya.
- Tetapi mereka yang tak dapat hidayah seperti Fir’aun & pengikutnya akan binasa dalam kesesatan.
Tetapi ahli sihir Fir’aun yang dapat melihat kebenaran bahawa mukjizat Nabi Musa bukan sihir, terus beriman dan mengiklankan keislamannya.
- Begitulah pentingnya keyakinan yang dibawa oleh para pendakwah dengan apa yang mereka bawa!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 79- {Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir”.}-
Oleh kerana Fir’aun menuduh Nabi Musa sebagai ahli sihir, maka untuk melawannya, Fir’aun dengan kekuasaan & keangkuhannya terpaksa mencari & mengumpulkan para ahli sihir mahir yang ada pada waktu itu.
Seperti yang telah kita bincangkan di atas bahawa ahli tafsir seperti Ibnu Kathir mengatakan : Terdapat dalam 80 ribu orang ahli sihir dalam negeri Mesir pada waktu itu.
Manakala menurut riwayat Ibnu Abbas RA : Ahli sihir terpilih yang dapat masuk istana untuk berlawan dengan Nabi Musa adalah sekitar 70 orang.
Kata ahli fikir :
i- Fir’aun pada awalnya nak lawan hujjah dengan hujjah, iaitu apabila dia tuduh Musa tukang sihir, maka caranya adalah dengan panggil sihir juga untuk berlawan sesama sihir!
ii- Tetapi apabila dia sudah kalah & terhina, iaitu para ahli sihir yang nampak kebenaran Musa & dapat hidayah; terus mengisytiharkan keimanan mereka dan turun bersujud kepada Allah, Tuhan sekelian Alam, Tuhan kepada Musa & Harun di depan Fir’aun & khalayak ramai.
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).
Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,
Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam, “Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun”.} (Asy-Syu’ara’ 26: 45-48)
iii- Lalu apabila melihat ahli sihir tajaannya kalah & berpaling tadah; Fir’aun terus mengeluarkan akta yang zalim dan kejam ke atas mereka!
Firman Allah SWT Maksudnya:
{Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya”.} (Asy-Syu’ara’ 26:49)
Fir’aun terus mengugut ahli sihir yang beriman untuk menyiksa mereka dengan siksaan yang kejam lagi zalim!!!
Kata ahli fikir : Fir’aun pada awalnya guna fakta, guna hujjah untuk lawan hujjah tetapi apabila kalah, dengan kuasa yang dia ada mula tukar kepada akta nak bunuh semua orang!!!
Begitulah kebiasaan taghut, orang jahat yang pengecut di mana saja atas dunia ini; apabila dia kalah terus guna akta untuk menegakkan fahaman salahnya dan menyekat lawan!
- Ayat 80- {Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan…}-
Ini menunjukan pentingnya perundingan dalam perlawanan atau perbincangan!
Hikmah Nabi Musa menyuruh ahli sihir melemparkan dulu tali sihir mereka nak suruh mereka yakin dan berasa berani nak lawan, kerana jika mereka lihat dulu ular Nabi Musa yang besar itu pasti mereka akan sedar kekurangan mereka dan mungkin lari ketakutan.
Ini juga kerana Nabi Musa yakin akan kebenarannya mukjizatnya & kebatilan dan kelemahan sihir mereka!
Allah gunakan perkataan campakkan {أَلْقُوا} kerana begitulah amalan para ahli sihir pada masa itu, campak-campak alatan sihir mereka seperti tali, batu atau kayu.
Begitulah cara untuk kita berdebat dan berhujjah dengan ahli batil atau mereka yang menentang, biarkan mereka bercakap & keluarkan hujjah mereka dulu kita dengar untuk balas & lipat balik hujjah batil mereka itu!
- Ayat 81- {Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.}-
Ketika mengambil peluang berdakwah ini Nabi Musa nyatakan tiga perkara kepada Fir’aun dan ahli sihir semua yang ada.
Nabi Musa berkata selepas ahli sihir mencampak alatan mereka & nampak seolah ular:
i- Apa yang ahli sihir buat itu, itulah sihir;
ii- Sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepada Musa iaitu tongkatnya akan menjadi ular besar yang akan memakan semua ular sihir mereka itu!
iii- sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
Yakni Allah tidak akan memberi kemenangan atau menjadikan baik perbuatan orang yang jahat & yang buat kerosakan {ٱلْمُفْسِدِينَ} atas muka bumi ini.
Kata ulama’ tadabbur : Al-Muslihun lawannya al-Mufsidun.
Maka jika kamu bawa kerosakan atas muka bumi ini maka aku sebagai pendakwah akan islah, baikinya!
Bukan senang untuk berceramah di hadapan Fir’aun & khalayaknya, Musa pandai mengambil peluang itu.
Maka begitulah juga kita para pendakwah, jika ada peluang pergilah berjumpa dengan sesiapapun, sampaikan Islam yang benar kepada manusia supaya agama Allah ini dapat ditegakkan dengan baik!
- Ayat 80- {Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan…}-
Apabila ahli sihir bertanya siapa nak mula dulu; Nabi Musa suruh ahli sihir campakkan dulu.
Dalam ayat ini Allah tidak sebut dan kisahkan pun jenis sihir para ahli sihir, tali atau apa dan berapa ramai ahli sihir dan lain-lain yang tidak berkaitan dengan kisah ini.
Manakala gambaran bentuk sihir yang ditentang oleh Nabi Musa AS yang kita baca tadi adalah dalam ayat dari surah lain.
Allah ringkaskan kisahnya kerana dalam surah ini tujuannya Allah mahu tunjukkan kedegilan & keras kepalanya Fir’aun yang masih terus mahu berlawan walaupun sudah tewas dalam perlawanan yang dijanjikan.
Hanya mahu takrirkan sifat Fir’aun yang degil, keras kepala tak mahu mengaku kalah walaupun kebenaran jelas di depan mata.
Ahli sihir sendiri akhirnya telah beriman kepada Allah, tetapi Fir’aun tetap mendustakan dan mengambil tindakan kejam terhadap mereka.
Akhirnya kerana kezalimamnya itu Allah jatuhkan hukuman yang begitu dahsyat iaitu tenggelamkan Fir’aun & pengikutnya dalam laut Qalzum.
- Ayat 82- {“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.}-
Ayat ini sebagai penguat jiwa & penenang hati kepada para pejuang Islam bahawa Allah janji kebenaran itu akan terserlah & menang, walaupun dibenci oleh orang kafir!
Kita sebagai pejuang Islam kena yakin bahawa jika berjuang untuk menegakkan kalimah Allah; cepat atau lambat pertolongan Allah pasti datang.
Tetapi dengan syarat kena cukup SOPnya untuk mendapat pertolongan Allah, jika tidak tak jadi!
Begitu juga para pendakwah yang nak ajak orang kepada al-Quran & Sunnah, kepada akhlak yang mulia, pentingnya jaga SOP akhlak dan pribadi yang baik, tujukkan contoh teladan yang baik.
Jika kita lihat ada orang yang menyalahi apa yang kita nak, jangan kutuk & mengata dengan melampaui batas.
Jaga mulut, jaga tangan, ingatlah dakwah kita berkembang dengan akhlak yang baik, jangan sampai kedua pihak sama je dalam sudut tidak menjaga akhlak dan etika berinteraksi.
Belajarlah ilmu akhlak & ikhlas dalam berdakwah agar orang terima dakwah kita.
Dan jika orang tak terimapun biarlah Allah tulis bahawasanya kita ini ikhlas dalam berdakwah, di dunia ini tidak mendapat tempat, terbuang dan disekat sana sini.
Tidak mengapa kita kata: Biarlah terbuang di dunia tetapi terbilang di Akhirat di sisi Allah SWT, insya’ Allah.
Allah beri keyakinan kepada kita bahawa Allah akan tolong orang yang berjuang, melakukan kerja dan berdakwah untuk Islam.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
