Iman Para Pemuda Bani Israil, Sangat Takut Dengan Fir’aun & Nabi Musa Tarbiyah Dengan Sifat Tawakkal.
Full video : https://youtu.be/gZeCFUl4keE?si=ULAsUaABhc5PVZ6r
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 83 sehingga ayat 86 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT ceritakan tentang iman sebahagian daripada kaum Nabi Musa AS iaitu bani Israil, khususnya para pemuda, yang lebih mudah terbuka menerima kebenaran berbanding dengan golongan tua.
- Setelah beriman mereka sangat takut dengan Fir’aun dan pembesarnya yang kejam lagi zalim.
- Maka menjadi kewajipan Nabi Musa untuk mentarbiyah mereka yang beriman dengan sifat tawakkal kepada Allah.
Sifat inilah yang menyebabkan Fir’aun tak dapat buat apa sebagaimana kisah ahli sihir sebelum ini, yang paginya kafir tetapi petangnya beriman terus lalu menjadi syuhada’ di sisi Allah SWT.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang ahli sihir tidak akan berjaya & mereka adalah makhluk perosak.
ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan sudah ada dari kalangan kaum Nabi Musa yang beriman.
Walaupun diancam dengan ketakutan kepada Fir’aun tetapi mereka sudah berani mengisytiharkan keimanan mereka!
Ayat ini menenangkan hati Nabi SAW yang ditentang dan didustakan dan orang Islam yang dipukul dan zalimi di Makkah pada waktu itu.
Ini menunjukkan bahawa perjuangan mana-mana nabi tidak akan selamat sehingga akhirnya pertolongan Allah SWT datang!
- Ini adalah episod ketiga dari kisah Nabi Musa & Fir’aun dalam surah ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 83- {MAKA TIDAKLAH ADA YANG BERIMAN KEPADA NABI MUSA MELAINKAN SEBILANGAN KECIL DARI KETURUNAN KAUMNYA, ITUPUN DENGAN KEADAAN TAKUT KEPADA FIRAUN DAN KETUA-KETUA KAUM MEREKA MENYEKSA MEREKA; KERANA SESUNGGUHNYA FIRAUN BERMAHARAJALELA DI BUMI, DAN SEBENARNYA IA DARI ORANG-ORANG YANG MELAMPAUI BATAS.} (YUNUS 10:83)
- Pada permulaan dakwah Nabi Musa tidak ramai yang beriman & membenarkan kenabiannya dan dakwahnya dari kalangan kaumnya iaitu bani Israil.
Apabila disebut Nabi Musa termasuk juga nabi Harun.
- Hanya sedikit dari kalangan bani Israil yang beriman kepada Nabi Musa AS, iaitu dari kalangan anak-cucu mereka atau golongan muda.
Itupun mereka dalam keadaan takut dan bersembunyi-sembunyi dari Fir’aun yang ditakuti.
- Ini berlaku selepas mereka melihat kemenangan Nabi Musa AS ke atas kumpulan ahli sihir & ahli sihir juga beriman kepadanya. Yakni ahli sihir beriman serta ada juga di kalangan penonton yang ada pada hari itu beriman.
- Mereka juga dengan berani mengumumkan keimanan mereka seperti para ahli sihir kerana tidak ada faedah iman kecuali jika dinyatakan & dizahirkan.
Pentingnya untuk kita nyatakan sokongan & persetujuan kepada perkara yang hak.
- Begitulah biasanya yang mudah menerima dakwah ialah syabab atau pemuda sesuatu umat.
Ini kerana mereka lebih terbuka pemikirannya, tidak terlalu taksub dengan pegangan asal dan berani mencuba sesuatu yang baru.
Tidak seperti orang tua yang keras kepala, degil, berpegang dengan adat kepercayaan lama.
- Mereka dalam keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka. Iaitu Fir’aun dan para pembesarnya yang jahat, iaitu penasihat & pegawai sekeliling yang sentiasa ambil kesempatan untuk dekat kepada Fir’aun dengan mengadu tentang musuh mereka yang dibenci.
Sifat ini ada pada setiap zaman, disekeliling mana-mana pemimpin.
- Kebimbangan utama mereka ini ialah jika terfitnah dalam agama
{أَن يَفْتِنَهُمْ} iaitu selepas mereka beriman; akan ditekan, dipaksa keluar semula dari agama dan seumpamanya.
- Mereka takutkan Fir’aun dan kaumnya kerana:
i- Kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dengan sombong angkuh & takabbur, bermaharajalela di bumi Mesir.
Bukan setakat kafir tetapi Fir’aun mengaku jadi Tuhan.
ii- Dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.
Yakni apabila dia ambil tindakan amat kejam, zalim & melampaui batas dalam hukumannya.
Contoh seperti membunuh bayi-bayi lelaki bani Israil kerana takut nanti besar akan melawannya.
Memotong kaki tangan ahli sihir yang beriman secara silang kemudian menyalib mereka!
AYAT 84- {DAN NABI MUSA PULA BERKATA (KEPADA KAUMNYA): “WAHAI KAUMKU! KALAU SUNGGUH KAMU BERIMAN KEPADA ALLAH, MAKA HENDAKLAH KAMU BERSERAH DIRI KEPADANYA, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG ISLAM (YANG BERSERAH DIRI BULAT-BULAT KEPADA ALLAH)”.} (YUNUS 10:84)
- Munasabah ayat:
i- Apabila pemuda bani Israil masuk Islam dalam keadaan takut & sangat gerun kepada Fir’aun;
ii- Maka datang ayat ini menunjukkan Nabi Musa mendidik, mentarbiyah, memberi motivasi kepada mereka agar tidak mudah goyah dan mantap iman serta tawakkal mereka kepada Allah.
Jika Tuhan tidak izin untuk kena tidak akan kena, begitu juga sebaliknya.
- Nabi Musa berkata kepada para pemuda Islam itu:
i- “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, dengan keyakinan yang sebenar, maka hendaklah kamu berserah diri kepada-Nya, percaya kepada janji & kuasa Allah.
Bertawakkal kepada Allah yang Esa akan memberi pertolongan dan menjaga kamu.
ii- Jika kamu betul orang-orang Islam, yang akur, tunduk kepada Allah maka ini adalah jalan yang terbaik iaitu jalan tawakkal, berserah diri bulat-bulat kepada Allah.
- Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini penting kerana bila kita nak bergerak dan berdakwah; orang akan serang kita dengan buat bermacam tuduhan, yang kita tak kata dikatanya kita kata & buat!
Begitulah masalahnya kejahatan cyber troper yang menggunakan fake akaun- buat tuduhan jahat yang orang tak buat!
Kita kata tak apalah dunia ini kecil saja, sampai masanya tunggulah apabila Allah ambil tindakan.
- Sebagaimana kisah pada zaman Rasulullah SAW di mana penulis surat perjanjian (shahifah) kaum musyrikin untuk memboikot Nabi SAW beserta bani Hasyim & bani al-Muttalib yang bernama Baghidh.
Nabi SAW mendoakan kehancuran atasnya, maka lumpuhlah tangannya.
Maka kamu para cyber trooper atau bukan trooper- jangan dok berani sangat buat tuduhan kepada orang- sekali Allah lumpuhkan tangan kamu, apa boleh buat.
Nak minta maaf sudah terketar-ketar tangan, maka tak habis nak makan & tak ada bumi nak dipijak!!!
AYAT 85- {LALU MEREKA BERKATA: “KEPADA ALLAH JUALAH KAMI BERSERAH. WAHAI TUHAN KAMI! JANGANLAH ENGKAU JADIKAN KAMI LANDASAN FITNAH KESENGSARAAN BAGI KAUM YANG ZALIM GANAS.} (YUNUS 10:85)
- Para pemuda bani Israil ini menerima nasihat Nabi Musa agar bertawakkal dan mereka menjawab: Kepada Allah jualah kami berserah. Kami berserah diri kepada Allah dan menyerahkan segala urusan kami kepada-Nya.
- Nabi Musa pun berdoa kepada Allah agar selamatkan mereka yang beriman daripada fitnah dalam agama & kezaliman dunia, iaitu:
i-Jangan membiarkan mereka yang beriman dizalimi oleh Fir’aun & kaumnya yang zalim lagi ganas!
ii- Kedua jangan biarkan mereka (Fir’aun) menguasai mereka kerana apabila mereka berjaya menguasai golongan yang beriman mereka akan mengumumkan mereka yang betul.
iii- Maka golongan yang kalah pasti akan mengangap golongan yang menang iaitu Fir’aun yang betul, maka apakah mereka yang beriman ini tidak benar???
Inilah fitnah dalam agama yang ditakuti!
- Fir’aun dan kaumnya dipangil sebagai kaum yang zalim {لِّلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ} kerana:
i- Zalim dari segi aqidah kerana mereka syirik & kufur kepada Allah.
ii- Zalim dengan hakikinya dari segi perbuatan mereka ke atas manusia lain, mereka bunuh, sembelih dan siksa orang, apa saja yang dia tak buat.
- Ini kerana kita bimbang jika kita diancam oleh orang zalim kita akan lari dari agama, lari dari perjuangan kerana takut akan kezaliman orang kafir!
AYAT 86- {” DAN SELAMATKANLAH KAMI DENGAN RAHMATMU DARI ANGKARA KAUM YANG KAFIR”.} (YUNUS 10:86)
- Kemudian Nabi Musa berdoa lagi agar Allah selamatkan mereka dengan rahmat-Nya daripada kejahatan kaum Fir’aun yang kafir.
- Inilah dua permohonan & doa Nabi Musa dan kaumnya yang beriman:
i- Minta selamat daripada fitnah dalam agama.
ii- Selamat daripada fitnah kehidupan dunia ini seperti kena ancam, kena aniaya, siksa atau dibunuh!
- Kata ulama’ tadabbur : Kita akan lalui dalam hidup ini dua jenis ujian, iaitu:
i- Ujian dalam agama, maka kita utamakan permohonan berdoa minta Allah selamatkan daripada ujian dalam agama.
Ini kerana jika kita tewas dalam ujian agama, terpelanting keluar daripada agama, kembali kepada syirik, habis binasa semuanya tiada nilai lagi & akan kekal dalam neraka, wal-‘iyazu billah!
ii- Ujian dalam kehidupan, tetap juga kita tak mahu, tak nak kerana ia juga menakutkan & menyakitkan, siksa itu berat, tetapi pengakhirannya adalah kematian, apabila Fir’aun bunuh.
Kita pun berpindah dari alam dunia ke alam barzakh.
Ketika itulah orang yang mati syahid akan mendapat kedudukan yang besar di sisi Allah SWT.
Kedua fitnah ini kita tak mahu dan berdoa minta perlindungan dari Allah SWT !
- Ayat ini kita boleh jadikan doa dengan mulakannya:
{ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلۡنَا رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةࣰ لِّلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِینَ (٨٥) وَنَجِّنَا بِرَحۡمَتِكَ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ (٨٦) }
[سُورَةُ يُونُسَ: ٨٥-٨٦]
Maksudnya: “Kepada Allah jualah kami berserah.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.
Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir.”
Doa ini lengkap iaitu minta Allah selamatkan kita dalam kehidupan agama dan kehidupan dunia juga.
- Ini sangat penting untuk kita meneruskan dakwah, kerana bimbang jika kita diancam, disiksa, dizalimi oleh orang kafir kita akan lari dari perjuangan, lari dari menegakkan kebenaran semata-mata kerana takut kepada orang kafir.
Wal-‘iyazu billah.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 83- {Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya…}-
Dalam ayat ini Allah sebut bahawa tak ramai yang beriman dengan Nabi Musa kecuali sedikit daripada keturunan kaumnya {ذُرِّيَّةٌۭ}- yakni golongan muda.
Apakah hikmah Allah sebut bahawa yang beriman hanya golongan muda??
Ini kerana orang muda lebih mudah untuk menerima kebenaran & lebih cepat akur kepada fakta & hujjah yang mereka dapat.
Berbeza dengan orang tua yang telah sebati dengan syirik & ajaran tok nenek, tenggelam dalam kebatilan & aqidah yang fasiq lebih lama maka lebih susah untuk berubah & menerima pembaharuan!
Bukan semua orang tua begitu tetapi kerana Allah sebut daripada keturunan kaumnya {ذُرِّيَّةٌۭ}- yakni golongan muda.
Kesimpulannya ini menunjukkan orang muda lebih cepat menerima dakwah Nabi SAW, kerana lebih mudah menerima perubahan & pembaharuan daripada golongan tua.
Ayat ini sekaligus menenangkan hati Rasulullah SAW bahawa Nabi Musa pun tak ramai pengikutnya, yang ikut hanya para pemuda yang sedikit bilangannya.
Walaupun Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat yang jelas lagi nyata tetapi tidak beriman hanya sendiri daripada keturunan kaumnya {ذُرِّيَّةٌۭ}- yakni golongan muda.
Ini penting untuk kita belajar dan ketahuinya untuk dakwah kita.
Dalam sirah Nabi SAW, juga menyebut golongan yang beriman dengan cepatnya adalah syabab, golongan pemuda.
Manakala orang tua ramai yang ikut Abu Jahal dan gengnya kerana mereka telah sebati dalam syirik.
- Ayat 83- {… kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi,…}-
Yang dimaksudkan bumi di sini ialah bumi Mesir, bukan bumi dunia seluruhnya.
Kenapa Mesir di namakan sebagai satu bumi???
Ini kerana di Mesir pada waktu itu banyak kemudahan, kemajuan teknologi, pembangunan maka seolah dia adalah sebuah bumi tempat tumpuan.
Fir’aun bukan menguasai dunia, dia hanya memerintah kerajaan Mesir saja.
Tempat lain raja & penguasa lain pula yang memerintah seperti Yaman, Syam dan lain-lain.
Dia akhir ayat Allah sebut juga Fir’aun seorang {ٱلْمُسْرِفِينَ}- iaitu yang boros dan melampaui batas.
Ayat ini ditafsirkan dengan ayat ini pula:
{… dan sebenarnya orang-orang yang melampau kejahatannya itu, merekalah ahli neraka.} (Ghafir 40:43) |
Kata ulama ‘: Dua ayat ini jelas menunjukkan bahawa Fir’aun adalah ahli neraka!
Ini juga untuk menolak dakwaan sebahagian orang Islam yang mendakwa bahawa Fir’aun sempat beriman sebelum mati lemas & tak masuk neraka bahkan ahli syurga!
Fahaman ini amat bahaya dan tak kena, kerana Fir’aun yang kafir & syirik bahkan mengaku Tuhan, amat jahat, zalim dan kejam ke atas sesama manusia, apabila dia beriman di saat akhir pula tu- terus masuk syurga!
Satu fenomena upgrade yang tak tepat- orang yang sepanjang hidupnya lagha, tidak taat perintah Allah, hidup dalam maksiat, pakaian mendedahkan aurat melampau, pekerjaan yang amat bertentangan dengan agama, perangai yang amat buruk, tetapi apabila dia mati, orang dok tonjol dia mati dalam keadaan baik, mati hari Jumaat, buat charity sana sini, bantu rumah anak yatim, pelihara anak angkat anak yatim & miskin dan lain-lain.
Jadi kita seolah tak nampak dah dosa, kemungkaran maksiat yang dia buat sepanjang hidupnya sebelum itu, harta yang dia dapat pun hasil hiburan yang bertentangan dengan Syari’ah, tiba-tiba menjadi suci bersih cukup dengan dia taja rumah anak yatim- contohnya!
Bahayanya fahaman & gerakan liberal seperti ini kepada perjalanan agama.
Nanti orang kata tak mengapa, muda-muda ni kita enjoy dulu- nanti tua bertaubat kita berhijrah duduk di pondok!
Akhir sekali suci bersih dipanggil muhajirin, apabila berhijrah, letak serban atas kepala, pakai jubah & tudung- sudah boleh masuk semua masjid beri ceramah & bercakap tentang agama!
Kita tidak menafikan semua orang layak untuk bertaubat & insya’ Allah taubat nasuha diterima Allah.
Tetapi satu fenomena nak tunjukkan bahawa ahli maksiat pun disaat akhirnya diangkat begitu tinggi.
Manakala orang yang sudah lama dalam bidang agama, bidang dakwah ini dianggap sebagai penunggang agama, serta bermacam tuduhan pula.
Sekarang ini pelbagai gelaran dilabel atas dahi para pendakwah tertentu yang cuba nak islah ummah.
- Ayat 84- {Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya…}-
Dalam ayat ini Allah ceritakan kepada kita tarbiyah Nabi Musa AS, iaitu agar bertawakkal kepada Allah SWT.
Unsur kekuatan untuk menguatkan bilangan yang sedikit bagi berdepan dengan penguasa yang sangat zalim- tiadalah selain iman dan bertawakkal.
Setelah kamu beriman maka kamu kena tawakkal kepada Allah!
Orang yang beriman & bertawakkal pula hendaklah menjawab bagi menunjukkan penerimaannya dengan berkata: Kepada Allah jualah kami berserah & bertawakkal.
Ilmu tentang tawakkal ini sangat penting bagi kita untuk mengetahuinya.
Dalam ayat ini dua kali Nabi Musa menyeru kaumnya supaya bertawakkal kepada Allah:
i- … Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah- إِن كُنتُمْ ءَامَنتُم.
ii- … jika betul kamu orang-orang Islam- إِن كُنتُم مُّسْلِمِينَ.
Iman & Islam ini jika ia bersatu (duduk bersama) ia berpisah, kerana iman dalam hati, Islam itu yang zahir.
Tetapi jika berpisah maka ia menjadi satu, iaitu apabila disebut orang Islam sahaja, pastilah dia juga orang yang beriman.
Jika tidak kata-kata Nabi Musa menjadi ayat berulang sedangkan ia tidak.
Ayat ini menyatakan iman & tawakkal ini menjadi asset besar walaupun bilangan kita sedikit.
Sebagaimana keadaan umat Islam di Gazzah, di mana kekuatan iman & tawakkal mereka mengatasi kekuatan tentera & kecanggihan senjata yahudi.
Kekuatan iman & tawakkal, apabila Allah tolong jangan kamu cuba menganggu dan guna kuasa & pangkat yang kamu ada untuk membuat bisikan & fitnah jahat ke atas orang Islam.
- Ayat 85- {Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.}-
Dalam ayat ini mereka yang beriman menyebut kami bertawakkal dulu sebelum mereka berdoa.
Allah ajar untuk sebut tawakkal dulu sebelum berdoa, kerana antara ciri mustajabnya doa ialah kena letakkan tawakkal hati sepenuhnya kepada Allah, maka pintu langit akan terbuka waktu itu. Yakni kena tawakkal dulu baru berdoa, buat amalan yang baik dulu, puji Allah dulu baru berdoa!!!
Orang yang beriman meminta & berdoa kepada Allah:
i- Yang utamanya agar mereka selamat daripada fitnah agama kerana ia akan membawa ke neraka dan pastilah lebih dahsyat!
ii- Yang kedua minta selamat daripada fitnah orang yang zalim & kejam atas dunia ini.
Manakala fitnah orang zalim mungkin boleh membawa ke kubur (mati) atau ke penjara!!
Keduanya berat tetapi pastilah fitnah agama lebih dahsyat!
Doa kita di akhir solat:
للَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ،
وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْآخِرِ، فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ،
وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Jika salah seorang di antara kamu selesai tasyahud akhir (sebelum salam), mintalah perlindungan kepada Allah dari empat perkara: (1) azab neraka jahannam, (2) azab kubur, (3) penyimpangan ketika hidup dan mati, (4) keburukan al-Masih ad-Dajjal.” [HR Muslim no. 588].
- Ayat 86- {“Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”.}-
Orang beriman juga minta Allah selamatkan mereka daripada kezaliman kaum kafir.
Dinamakan orang kafir itu sebagai orang yang zalim kerana mereka syirik kepada Allah SWT!
Kerana syirik itu adalah kezaliman yang paling besar dalam kehidupan manusia!
Kezaliman itu dalam dua bentuk:
i- Zalim kepada diri sendiri kerana syirik kepada Allah
ii- Zalim kerana melakukan maksiat kepada Allah- keduanya zalim kepada diri sendiri kerana menjerumuskan diri ke dalam dosa & murka Allah!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Sedikit peringatan sempena hari ini:
Tidak harus bagi orang Islam untuk menghadiri perayaan orang kafir dalam bentuk kesyirikan mereka kepada Allah.
Seperti mereka percaya hari itu hari kemenangan dewa sembahan mereka dan seumpamanya.
Ini mengikut yang disebut oleh para ulama’ dari empat mazhab. Wallahu a’lam.
Wallahu A’lam.
