View Categories

(30) Surah Yunus: Ayat 87-89

11 min read

Arahan Bina Masjid Di Mesir, Nabi Musa AS Doa Ke Atas Fir’aun & Allah SWT Qabulkan.

Full video : https://youtu.be/bwwsQpncN0Y?si=E8iIxgH0iyDkHmJl

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 87 sehingga ayat 89 dalam juzuk kesebelas.
    Ini merupakan episod yang keempat dalam kisah Nabi Musa dengan Fir’aun & dakwahnya bersama Nabi Harun AS.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan perintah-Nya kepada Nabi Musa untuk mengambil tempat atau bina masjid di Mesir, tempat untuk mereka berkumpul sebagai persediaan menghadapi kemungkinan apa tindakan yang akan dibuat oleh Fir’aun selepas pertembungan dengan ahli sihir.
  1. Nabi Musa AS berdoa ke atas Fir’aun & kuncunya selepas menyatakan sebab-sebabnya iaitu sebagaimana yang disebut dalam ayat 88 ini.
  1. Lalu datang ayat 89, Allah SWT nyatakan bahawa Dia telah kabulkan doa & permintaan Nabi Musa itu, tunggu masa perlaksanaannya. Berapa lama jaraknya kita lihat nanti.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas, Nabi Musa AS setelah merasai ancaman Fir’aun semakin kuat setelah ramai yang beriman termasuk para ahli sihir, pastilah Fir’aun terasa kesipuan & malu besar apabila ahli sihir yang ditajanya terus beriman.
    Begitu juga terdapat beberapa golongan pemuda bani Israil berani menzahirkan keimanan mereka.

    ii- Maka datang ayat ini Allah suruh Nabi Musa buat persediaan, mencari tempat berkumpul bagi menghadapi ancaman & tindakan jahat Fir’aun nanti!
    Juga pastilah sumber kekuatan orang beriman adalah solat.
    Serta Allah beri khabar gembira bahawa mereka akan menerima kemenangan.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 87- {DAN (SETELAH ITU), KAMI WAHYUKAN KEPADA NABI MUSA SERTA SAUDARANYA (NABI HARUN): “HENDAKLAH KAMU BERDUA MENDIRIKAN RUMAH-RUMAH DI MESIR UNTUK MENEMPATKAN KAUM KAMU, DAN JADIKANLAH RUMAH-RUMAH KAMU TEMPAT SEMBAHYANG, SERTA DIRIKANLAH SEMBAHYANG DI DALAMNYA; DAN SAMPAIKANLAH BERITA GEMBIRA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (BAHAWA MEREKA AKAN DISELAMATKAN DARI KEZALIMAN FIRAUN DAN KAUMNYA)”.} (YUNUS 10:87)

  1. Allah SWT nyatakan bahawa telah diwahyukan kepada Nabi Musa & Harun untuk memilih satu tempat, membuat penempatan bagi bani Israil untuk memudahkan urusan dan mengambil tindakan.
  1. Kata ulama’ :
    i- Maksudnya mengambil tempat ini adalah tempat untuk pengikut Nabi Musa berkumpul dan duduk bersama.
    Sebelum ini bani Israil sudah ada tempat tetapi tidak terkumpul.

    ii- Kata Ibnu Asyur RHM: Bukan buat binaan dengan batu atau kayu, mungkin yang sementara hanya seperti khemah, mudah untuk berpindah & ditinggalkan jika datang ancaman & bahaya.
  1. Allah juga perintahkan agar mereka menjadikan rumah atau kediaman mereka itu sebagai tempat solat untuk mereka.
    Ini kerana umat terdahulu jika mereka nak solat atau beribadat kena ada satu tempat yang khas seperti gereja, biara atau seumpamanya.
  1. Ini berbeza dengan umat Nabi Muhammad SAW di mana kita boleh solat di mana saja kerana Allah telah jadikan bumi ini suci untuk kita beribadat, inilah keistimewaan umat ini.
  1. Hadis sabda Nabi SAW:
    أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

    Maksudnya: Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku.. (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci.
    Oleh itu, dimana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.
    [HR al-Bukhari: (438)].

    Malangnya kita hari ini, mereka yang solat pun tidak memberatkan solat jemaah.
    Contoh di perhentian RnR atau musolla, para musafir lebih senang solat sendirian seorang diri tanpa cuba mencari jemaah, satu kerugian yang besar.
  1. Ada juga ulama’ tafsir kata : Maksudnya untuk hadapkan rumah itu ke arah kiblat sebagai satu persediaan menghadapi bahaya.
    Yang penting ramai ulama’ kata : Ia bermaksud jadikan rumah kamu sebagai masjid tempat solat.
  1. Kemudian tunaikan solat pada waktunya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah.
  1. Kemudian Allah perintahkan Nabi Musa untuk memberi khabar gembira kepada orang yang beriman bahawa mereka akan mnedapat kemenangan nanti.
    Kita dalam perjuangan ini ada dua: Sama ada kita dapat kemenangan & kekuasaan atau jika kalah kita akan dapat pahala.
  1. Perhatikan beberapa perkataan yang digunakan dalam ayat ini; terdapat perbezaan dari segi sighah nahunya, ada mufrad, muthanna & jamak.
    Kita tungu perbincangannya dalam fawaid nanti!

AYAT 88- {DAN NABI MUSA PULA (MERAYU DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI! SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAH MEMBERIKAN KEPADA FIRAUN DAN KETUA-KETUA KAUMNYA BARANG-BARANG PERHIASAN DAN HARTA BENDA YANG MEWAH DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI. WAHAI TUHAN KAMI! (KEMEWAHAN YANG ENGKAU BERIKAN KEPADA MEREKA) AKIBATNYA MENYESATKAN MEREKA DARI JALANMU (DENGAN SEBAB KEKUFURAN MEREKA). WAHAI TUHAN KAMI! BINASAKANLAH HARTA BENDA MEREKA DAN METERAIKANLAH HATI MEREKA (SEHINGGA MENJADI KERAS MEMBATU), MAKA DENGAN ITU MEREKA TIDAK AKAN DAPAT BERIMAN SEHINGGA MEREKA MELIHAT AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (YUNUS 10:88)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa Nabi Musa telah beri khabar gembira kepada orang yang beriman iaitu Fir’aun akan binasa.

    ii- Kemudian datang ayat ini Nabi Musa nyatakan kejahatan Fir’aun & sebabnya iaitu kuasa pangkat & harta kemewahan dalam hidup mereka.
    Lalu Musa berdoa agar Allah SWT hilangkan semua sebab yang menjadikan Fir’aun jahat, angkuh & takabbur dan menyesatkan orang lain juga!!!
  1. Allah SWT ceritakan kisah ini kepada kita kata-kata Nabi Musa ini agar kita tahu, kita reti bahawa sesiapa yang zalim jika kita nak doakan ke atas mereka nyatakan sebabnya.
  1. Maka pada awalnya Nabi Musa menyatakan kejahatan Fir’aun kepada Allah kemudian dinyatakan sebab atau punca kejahatan itu:
    i- Mereka diberi barang-barang perhiasan dan harta benda, kekayaan & kemewahan yang melampaui batas atas dunia ini.

    ii- Kemewahan itu akibatnya menyesatkan mereka dari jalan Allah dengan sebab kekufuran mereka.

    Kemudian Nabi Musa terus berdoa kepada Allah agar membalas kepada Fir’aun dengan:
    i- Membinasakan harta benda mereka yang menjadi punca utama takabbur & kezaliman mereka serta menyesatkan orang lain.

    ii- Dan cop meteraikanlah hati mereka dengan kekufuran sehingga menjadi keras membatu, tidak boleh menerima lagi dakwah ini.

    iii- lalu mereka tidak akan dapat beriman, tidak nampak kebenaran sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
    Kata Ibnu Abbas : Azab di sini ialah tenggelam dalam laut & mati lemas.
  1. Kenapa Nabi Musa begitu keras terhadap Fir’aun ini?
    Kenapa berdoa binasa, tidak mendoakannya agar diberi hidayah?
    Bolehkah kita doakan kebinasaam ke atas musuh???
    Kita lihat jawapannya dalam fawaid nanti insya’ Allah.

AYAT 89- {ALLAH BERFIRMAN: “SESUNGGUHNYA TELAH DIKABULKAN DOA KAMU BERDUA; OLEH ITU HENDAKLAH KAMU TETAP (MENJALANKAN PERINTAHKU SETERUSNYA), DAN JANGANLAH KAMU MENURUT JALAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MENGETAHUI (PERATURAN JANJIKU)”.} (YUNUS 10:89)

  1. Allah berfirman menyatakan bahawa Dia telah menerima doa nabi Musa & Harun ke atas Fir’aun dan kuncu-kuncunya!
  1. Ulama’ tafsir kata : Tempoh antara Nabi Musa berdoa sehingga waktu Allah kabulkan doanya adalah 40 tahun.
    Begitu sabar Nabi Musa menghadapi tentangan & kezaliman Fir’aun dan kuncu-kuncunya!
  1. Allah nak didik & ajar Nabi Musa agar sabar & terus berjuang serta nak banyakkan pahalanya.
    Begitulah yang ulama’ tafsir kata : Tentang antara doa & mustajabnya.

    Kita pula, berdoa hari ini nak Allah kabulkan terus keesokan harinya, nak kun-fayakun!
  1. Allah juga memerintahkan agar Nabi Musa & Harun agar:
    i- Hendaklah tetap teguh menjalankan perintah Allah, yakni tetap istiqomah atas agama ini.

    ii- Juga meneruskan dakwah kepada Fir’aun dan kaumnya, mudah-mudahan Allah buka hatinya atau jika bukan dia akan ada orang lain daripada kalangan mereka yang menerima dakwah ini.

    iii- Dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui peraturan janji Allah, iaitu orang yang jahil, jika tidak kamu akan binasa sebagaimana mereka juga binasa.
    Demikian cerita Nabi Musa yang bergitu menarik.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 87- {Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun):..}-

    Perintah ini Allah perintahkan kepada nabi dua beradik ini sebagai wakil dan utusan Allah kepada manusia pada zamannya itu.
    Dalam ayat ini Allah pelbagaikan cara komunikasi (khitab) dengan dua orang nabi ini:
    i- Mula-mula Allah gunakan sighah untuk dua orang iaitu (مثنى): Allah perintahkan kepada mereka berdua (وَأَوْحَيْنَآ) & untuk kamu berdua mengambil tempat kediaman { تَبَوَّءَا}.

    ii- Kedua untuk ramai dengan sighah (جمع)- dan jadikanlah {وَٱجْعَلُوا۟} & serta dirikanlah {وَأَقِيمُوا۟}-

    iii- Khitab ketiga khas untuk Musa seorang (مفرد)- sampaikanlah berita gembira { وَبَشِّرِ}.
    Kenapa begitu?
    Jawapannya:
    i- Pertama sekali dengan sighah untuk dua orang iaitu (مثنى) kerana: mereka berdua yang menerima wahyu dari Allah untuk mencari penempatan dan kumpulkan bani Israil yang beriman.

    ii- Kedua dengan dengan sighah (جمع)- bila sudah ada tempat, maka kamu berdua dan semua yang ada di situ, jadikan rumah kamu itu kiblat & dirikan solat,perintah untuk semua orang ramai.

    iii- Ketiga dengan sighah (مفرد)- iaitu apabila mereka sudah dengar kata; maka yang layak untuk menyampaikan khabar gembira bagi mereka adalah Nabi Musa AS.

    Allah beri autoriti kepada Nabi Musa untuk sampaikan berita gembira kerana nak membesarkan dan memuliakan kedudukannya kerana dialah watak utama dalam kisah ini manakala Nabi Harun sebagai pembantunya!
  1. Ayat 88- {Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini.}-

    Nabi Musa mengadu kepada Allah tentang keadaan Fir’aun yang penuh dengan kekayaan & kemewahan, harta dan perhiasan yang banyak & pangkat kuasa yang tinggi begitu juga kuncu-kuncunya kaya yang menyebabkan mereka sombong atas dunia.

    Kata ulama’ tadabbur : Sebelum kita mendoakan untuk seseorang kita kena sebut dulu sifat atau wataknya!

    Di mana kaum Fir’aun ini bila ada harta dan kekuasaan, pangkat & pengikut- mereka bukannya beriman seperti sepatutnya, tetapi mereka semakin kufur dan zalim melampaui batas!!!
    Selepas itu barulah Musa mendoakan kebinasaan ke atasnya.
    Doa Nabi Musa ini teratur dan spesifik; tertentu kejahatan mereka & sebab kejahatan itu dan cara untuk dibinasakan.

    Sama seperti kita nak berdoa dalam qunut nazilah hari ini, apabila kita nak mendoakan ke atas yahudi di Palestin, kita sebut dulu siapa musuh itu dan kejahatan mereka itu yakni sifat mereka lalu barulah doakan kebinasaan mereka.
    Inilah cara berdoa yang betul.

    Kenapa Nabi Musa doakan agar Allah binasakan harta mereka?

    Ini kerana dengan harta itulah mereka menjadi zalim angkuh takabbur & dengan harta itu juga mereka gunakan untuk kejahatan seperti menyekat orang daripada kebenaran & dakwah kepada Islam.
  1. Ayat 88- {Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu)…}-

    Nabi Musa mendokan untuk kebinasaan Fir’aun dan harta kemewahannya.
    Timbul persoalan; Ulama’ kata : Macam mana boleh Nabi Musa berdoa untuk kebinasaan Fir’aun, kenapa tidak doakan agar dia berubah, dapat hidayah dan beriman??

    Jawapan:
    Mana-mana Nabi tidak boleh mendoakan kebinasaan ke atas kaumnya kecuali setelah mendapat lampu hijau & keizinan dari Allah, seperti Allah beritahu bahawa tidak akan ada lagi orang yang beriman.
    Contohnya sebagaimana kisah Nabi Nuh:
    i- Allah nyatakan bahawa:
    {Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.
    Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan. (Hud 11:36)

    ii- Apabila mendapat maklumat bahawa mereka tidak beriman barulah Nabi Nuh berdoa ke atas mereka:
    {Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!} (Nuh 71:26)

    Begitu juga Nabi Musa AS setelah Fir’aun angkuh sombong dan buat pelbagai kejahatan & kezaliman melampau, tiada harapan dah untuk menjadi baik & Allah wahyukan bahawa dengan kengakuhannya itu Fir’aun tidak akan terima kebenaran; barulah Nabi Musa AS mendoakan kebinasaannya!
    Kita pun beringatlah bukannya mudah-mudah nak doakan binasa ke atas orang.
    Bukan kata bila kita berbalah atau tak setuju dengan seseorang lalu terus mendoakan kebinasaan ke atasnya!!
    Sepertimana doa Nabi SAW ke atas penulis sahifah iaitu surat perjanjian Quraisy untuk memboikot Rasulullah SAW serta bani Hasyim & bani al-Muttalib, lalu Allah binasakan tangannya.

    Seperti juga pemilik-pemilik fake akaun dan para cyber trooper yang dok sebar fitnah dan tuduhan jahat ke atas orang; kita doakan dulu agar Allah sekat kejahatannya agar tidak tersebar dan memberi mudharat ke atas kita serta beri kesedaran kepada mereka!

    Tetapi jika mereka terlampau jahat dan melampaui batas kita doakan agar Allah ambillah tindakan yang sepatutnya ke atas mereka, bukan minta binasa terus juga!

    Kesimpulan: Nak doa qunut nazilah kena ada intro dulu, kena spesifik, supaya kita tahu ke mana hala tujunya.
    Kita kena mulakan dengan sebut kejahatannya, ke atas siapa kita nak tuju bukan mudah-mudah terus mendoakan kebinasaan orang!
  1. Ayat 88- { Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.}-

    Nabi Musa AS berdoa ke atas Fir’aun dengan tiga permintaan:
    i- Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka

    ii-Dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu),
    Kata ulama’ tadabbur : Dua doa ini dalil bahawa kita boleh doakan ke atas penzalim secara spesifik iaitu khas ke atas kezalimannya itu sahaja.
    Seperti ya Allah ambillah tindakan ke atas orang yang rampas hartaku, yang buat fitnah dan tuduhan ke atasku dan seumpamanya!

    iii- Maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
    Doa Musa ini berlaku sungguh; iaitu apabila telah tenggelam dan air laut telah penuh dalam mulutnya baru Fir’aun sedar & nampak kebenaran lalu mengaku nak beriman kepada Tuhan Musa & Harun.
    Tetapi ketika itu pintu taubat telah ditutup & tidak diterima lagi akuan imannya!
    Malaikat yang runsing jika taubat Fir’aun diterima terus menyumbat tanah ke dalam mulutnya agar Fir’aun diam tidak dapat bercakap lagi!
    Ini kerana malaikat itu kenal Allah yang rahmat-Nya luas.
    Doa yang ini kita tidak boleh mintanya kerana kita bukan nabi Allah yang ada wahyu yang kita tahu bahawa mereka tidak ada hak dah untuk dapat hidayah.
    Kita kena doakan agar mereka dapat hidayah petunjuk serta minta agar Allah sekat kejahatan mereka itu!

    Kata ulama’ tadabbur : Harus kita mendoakan agar Allah ambil tindakan ke atas orang yang zalim atas kezalimannya itu!
    Tetapi kita tidak boleh mendoakan kebinasaan mereka secara menyeluruh.
  1. Ayat 89- {Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua;…}-

    Allah kata Dia telah menerima doa mereka berdua- iaitu Nabi Musa & Harun.
    Persoalan: Kenapa Allah kata Dia terima doa mereka berdua { أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا} sedangkan yang berdoa hanya Nabi Musa seorang?
    Jawapan:
    Kata ulama’ : Ini kerana sesiapa yang mendengar & mengaminkan doa itu dikira seolah berdoa sama juga!
    Nabi Harun bersamanya ketika Musa berdoa maka dikira doa itu daripada mereka berdua!
    Kerana itu para imam atau sesiapa saja; jika berdoa dalam majlis dan ada jemaah bersama kena bunyikan doanya agar orang dengar doa itu untuk turut sama mengaminkannya.
    Bagaimana kita nak aminkan jika kita tak tahu apa yang didoakannya!
    Kerana itu juga jangan kita menyokong perbuatan zalim dan maksiat, walaupun kita tak pergi tempat maksiat, cuma duduk atas masjid tetapi jika jiwa menyokong maka akan terpalit sama dosanya!
    Maka Allah perkenankan doa Nabi Musa agar Fir’aun mati tanpa sempat beriman, {mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.}

    Kata ulama’ tadabbur lagi : Ini dalil bahawa Fir’aun mati dalam keadaan dia kafir.
    Ini kerana ada sebahagian ulama’ yang kata : Fir’aun mati dalam keadaan beriman!

    Fahaman ini bahaya sebagaimana yang kita bincang dalam siri yang lepas- ditakuti ahli maksiat akan bermudah-mudah dengan berterusan dalam maksiatnya sehingga akhir.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top