Nabi Musa AS Menyeberang Laut, Fir’aun Dan Kuncunya Tenggelam & Allah Timbulkan Mayat Fir’aun Ke Pantai.
Full video : https://youtu.be/2fuG287_XGo?si=6ta9RzTxLdgYP1_Y
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 90 sehingga ayat 92 dalam juzuk kesebelas.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan apabila Nabi Musa AS & pengikutnya selamat menyeberang laut, Fir’aun dan tenteranya mengikuti juga mereka ke dalam laut & Allah tutup semula laut Qalzum itu.
- Fir’aun dan kuncunya tenggelam dan ketika hampir binasa itu Fir’aun mula bermunajat & menyatakan dia telah beriman, namun begitu Allah tolak keimanannya kerana sudah tamat tempoh.
- Selepas kejadian itu Allah timbulkan mayat Fir’aun ke pantai untuk menununjukkan bahawa Fir’aun telah benar-benar mati untuk menghilangkan ketakutan orang Islam yang masih trauma dengan kezalimannya & ketaksuban pengikutnya yang masih berharap Fir’aun tak mati.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang al-hiwar atau dialog antara Nabi Musa & Fir’aun.
Kemudian Fir’aun kumpulkan ahli sihir untuk berlawan dengan Musa AS, kemudian Allah nyatakan bahawa ahli sihir & beberapa golongan pemuda yang beriman, menjadikan tekanan makin dahsyat dan zalim.
Lalu Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk membinasakan Fir’aun dan kuncunya yang zalim.
ii- Maka tibalah masanya, saat yang ditunggu di mana Allah realisasikan doa Nabi Musa yang telah dikabulkan itu!
Maka binasalah Fir’aun dan kuncunya yang zalim dan melampaui batas!
Hari Fir’aun mati ialah hari Asyura tetapi tidak diketahui tahun bila.
Inilah episod yang kelima kisah Nabi Musa & Fir’aun dalam surah ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 90- {DAN KAMI BAWAKAN BANI ISRAIL KE SEBERANG LAUT MERAH, LALU DIKEJAR OLEH FIRAUN DAN TENTERANYA, DENGAN TUJUAN MELAKUKAN KEZALIMAN DAN PENCEROBOHAN, SEHINGGA APABILA FIRAUN HAMPIR TENGGELAM BERKATALAH IA (PADA SAAT YANG GENTING ITU): “AKU PERCAYA, BAHAWA TIADA TUHAN MELAINKAN YANG DIPERCAYAI OLEH BANI ISRAIL, DAN AKU ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG BERSERAH DIRI (MENURUT PERINTAH)”.} (YUNUS 10:90)
- Kisah kronologi sebelum ini dalam ayat lain:
Setelah kekejaman Fir’aun yang melampaui batas, Allah perintahkan Musa & pengikutnya dari kalangan bani Israil untuk lari keluar dari Mesir, mereka keluar dengan diikuti oleh Fir’aun & tenteranya dari belakang.
- Lalu akhirnya mereka sampai ke tepi laut (laut Merah/Qalzum, tiada jalan lagi, didepan mereka laut yang luas manakala di belakang mereka tentera Fir’aun yang makin dekat!!!
Ketika itu bani Israil berasa sangat takut & cemas dan seolah tiada harapan lagi!
- Nabi Musa dengan penuh keyakinan sebagai seorang murabbi!
Sekarang adalah waktu untuk melihat setakat mana tawakkal kita!
Musa mengatakan Tuhan tidak akan membiarkan mereka begitu saja, tawakkalnya begitu tinggi kepada Allah SWT!
Lalu Allah memerintahkan Musa memukul laut itu dengan tongkatnya!!!
- Lalu air laut itu terbelah membuka jalan yang luas, airnya membentuk dinding seolah tembok yang tinggi, lalu Nabi Musa dan pengikutnya terus masuk untuk menyeberangi laut itu sehingga selamat tiba ke tebing seberang!
- Ketika itu juga tentera Fir’aun mengikut dari belakang mereka, masuk juga ke dalam laut yang terbelah itu mengikut dari belakang bani Israil.
Tentera Fir’aun mengikut mereka dengan penuh kezaliman kerana nak tangkap dan sekat mereka daripada lari lagi!
- Lalu apabila mereka semua berada di tengah laut itu, Allah lepaskan semula air menutup jalan itu menenggelamkan mereka semua!!
Ayat ini menceritakan tentang penenggelaman & kebinasaan Fir’aun & tenteranya!
- Dari kitab Tafsir al-Munir:
Di katakan bahawa bani Israil itu bilangan mereka yang lari itu dalam 600 ribu orang, mereka membawa bersama perhiasan emas yang banyak yang asalnya mereka pinjam dari puak Qibtiyyah, bangsa Fir’aun.
- Allah ceritakan ketika saat yang genting itu, kelemasan dan hampir mati itu (sudah lemas kokkak kokkak) Fir’aun tiba-tiba membuat tiga pengakuan:
i- Aku percaya, {ءَامَنتُ},
ii- Bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel
{ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱلَّذِىٓ ءَامَنَتْ بِهِۦ بَنُوٓا۟ إِسْرَٰٓءِيلَ}.
iii- Dan aku adalah dari orag-orang yang berserah diri (menurut perintah)”-
{وَأَنَا۠ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ}
- Fir’aun mengulang tiga pengakuan tetapi dengan satu makna saja iaitu dia telah beriman!
Tetapi apa boleh buat taubat & keimanan pada waktu itu sudah tidak diterima lagi.
Fir’aun yang jahat & zalim itu tetap mati dalam kekufuran.
- Allah telah sebut dalam ayat lain bahawa Fir’aun itu sebenarnya sudah yakin bahawa adanya Tuhan tetapi kerana dia degil keras kepala menyebabkan dia lawan juga Nabi Musa.
Kita pun begitulah jika perkara yang kita tahu yakin, tak perlu tunggu lama untuk yakinkan kita.
Cukuplah kita sudah dengar ayat-ayat al-Quran & Sunnah Nabi SAW untuk kita yakin & percaya!
- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Fir’aun sudah mati & dia mati dalam kekufuran!
- Sebagaimana yang kita telah nyatakan; pandangan ulama’ Islam tentang jarak doa Nabi Musa dan Allah perkenankannya:
i- Kata at-Tobari: Jarak antara Nabi Musa berdoa & Allah kabulkan doanya itu adalah 40 tahun.
ii- Ulama’ kata dari Ibnu Abbas RA : Ada kata-kata ahli sejarah bahawa selepas doa Nabi Musa itu Fir’aun masih hidup lagi selama 40 tahun.
- Jarak ini tidak lama bagi mereka, kerana bani Israil ini mereka sesat di padang pasir saja selama 40 tahun sebagaimana firman Allah ini:
{Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”.} (Al-Maidah 5:26)
- Cuma persoalannya kenapa Allah berikan Fir’aun tempoh yang lama & tidak dikenakan tindakan terus?
Ulama’ tafsir kata : Tempoh itu diberi sebagai istidraj, menjadikan mereka rasa apa yang mereka buat itu betul, maka bertambahlah kekufuran & kejahatan mereka, mereka rasa mereka hebat & kuat.
Tetapi ingatlah apabila Allah ambil tindakan tiada siapa yang boleh lepas & selamat!!!
- Dalam tafsir ada menceritakan sebuah hadis: Rasulullah SAW ada bersabda:
Jibril berkata kepadaku: Seandainya engkau melihat aku; ketika aku mengambil lumpur dari dasar laut lalu aku sumbatkan ke dalam mulut Firaun, kerana aku khuatir rahmat Allah akan mencapainya. (HR at-Tirmizi)
- Syarah hadis: Ketika Firaun melihat kematian semakin hampir pada saat dia sedang ditenggelamkan dia berkata: Aku beriman bahawa tiada Tuhan melainkan Tuhan yang diimani oleh Bani Israil.
Namun Jibril segera menyumbat mulutnya dengan lumpur agar dia tidak sempat mengucapkan kata taubat itu sepenuhnya, disebabkan kederhakaannya, keangkuhannya, dan kefasikannya yang melampau lalu tidak layak untuk mendapat rahmat Tuhan.
AYAT 91- {(ALLAH BERFIRMAN): “ADAKAH SEKARANG (BAHARU ENGKAU BERIMAN), PADAHAL SESUNGGUHNYA ENGKAU DARI DAHULU TELAH KUFUR DERHAKA, DAN ENGKAU TELAHPUN MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN?} (YUNUS 10:91)
- Apabila mendengar pengakuan Fir’aun itu Allah menjawab dengan tempelak kepada Fir’aun:
i- Apakah sekarang kamu beriman??
Apakah di saat genting ini kamu baru mengaku & bertaubat???
Iaitu setelah tamatnya tempoh untuk bertaubat & beriman!
ii- Sedangkan kamu dulu telah kufur derhaka, degil keras kepala, lawan sungguh-sungguh sebelum datangnya azab ini!
iii- Dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan atas muka bumi dengan syirik, mengaku Tuhan, menzalimi orang yang lemah & menyesat serta menyekat mereka daripada jalan Allah!
- Maka dengan pakej kekufuran, derhaka, syirik, kejahatan & kezaliman yang cukup lengkap ini- tak layaklah untuk kamu bertaubat, beriman & mendapat pengampunan Tuhan!
AYAT 92- {“MAKA PADA HARI INI, KAMI BIARKAN ENGKAU (HAI FIRAUN) TERLEPAS DENGAN BADANMU (YANG TIDAK BERNYAWA, DARIPADA DITELAN LAUT), UNTUK MENJADI TANDA BAGI ORANG-ORANG YANG DI BELAKANGMU (SUPAYA MEREKA MENGAMBIL ITIBAR). DAN (INGATLAH) SESUNGGUHNYA KEBANYAKAN MANUSIA LALAI DARIPADA (MEMERHATI DAN MEMIKIRKAN) TANDA-TANDA KEKUASAAN KAMI!”.} (YUNUS 10:92)
- Setelah peristiwa ini orang Islam dari kalangan bani Israil masih tidak percaya, kecut perut dan fobia akan Fir’aun- apakah benar Fir’aun telah mati, atau apakah masih hidup dan akan datang mencari mereka lagi??
- Maka Allah beri jaminan dan bukti bahawa sesungguhnya Fir’aun telah mati, tak perlu kamu takut lagi wahai bani Israil!
Allah menyatakan bahawa Dia selamatkan jasad Fir’aun daripada musnah dan hantar balik mayatnya ke pantai dan dijumpai orang ramai sebagai bukti yang nyata!
- Utuhnya jasad Fir’aun ini juga untuk menjadi iktibar, tanda pengajaran bagi orang yang terkemudian selepas mereka. begitulah mayat Fir’aun sehingga ke hari ini belum masuk kubur, menjadi bahan kajian dan ujikaji manusia!
- Kuasa Allah untuk membinasakan sesiapa saja maka janganlah kita angkuh takabbur atas muka bumi ini!
- Nota (330): Demikian kesudahan Fir’aun yang derhaka kepada Allah SWT dibinasakan di tengah-tengah laut Qalzum (laut merah) dengan hinanya!
Semasa dia hampir tenggelam barulah dia menyatakan keimanannya setelah dia putus asa untuk mendapatkan bantuan bagi menyelamatkannya.
Tetapi imannya itu sudah terlambat dan tidak berguna lagi kerana sudah habis tempoh.
- Iktibar yang boleh diambil daripada kisah Fir’aun ini ialah orang-orang yang berada dalam maksiat & segala perbuatan dosa janganlah menangguhkan taubat & amalan baiknya ke saat terakhir.
Kerana saat terakhir itu bukan saja tidak diketahui datangnya tetapi jika bertaubat pada waktu itu pun tidak berguna lagi!
- Maka kita orang beriman jangan menagguh-nagguhkan taubat, kerana melengahkan kebaikan, lupa kematian & lalai daripada peringatan akan mengundang bala yang besar!!
Kita orang beriman jangan buat perkara yang tidak sepatutnya kerana nanti kita diambil tindakan oleh Allah maka kita tidak akan ada tempat untuk berlindung lagi!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 90- {Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah,…}-
Dalam ayat ini Allah berfirman: Kami bawakan bani Israil ke seberang laut!!
{وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ}
Yakni jika kata bani Israil nak pergi sendiri tak akan lepas dah!
Kerana di depan mereka laut manakala di belakang mereka Fir’aun & tenteranya yang mengejar mereka dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan ke atas mereka!
Tiada bot atau perahu untuk mereka lari naiki dan mereka menyangka mereka akan binasa dibunuh Fir’aun pada waktu itu, tiada harapan untuk selamat lagi!
Tetapi dengan pertolongan Allah, dengan jagaan Allah bani Israil boleh lepas, menunjukkan bahawa yang menyelamatkan ialah Allah sendiri.
Ini untuk mengajar & mendidik kita apabila sesuatu urusan berada di bawah pimpinan dan jaminan Allah, jangan bimbang & takut insya’ Allah kita akan selamat dengan kehendak & jagaan Allah.
Firaun yang sombong dan angkuh apabila melihat Musa & bani Israil di tepi laut mereka ingat sempatlah mereka kejarnya!
Tiba-tiba mereka masuk dalam laut dan menyeberangi laut yang terbelah menjadi jalan untuk mereka!
Apabila tiba di tepi laut, tentera pengikut Fir’aun pada awalnya tidak mahu ikut masuk ke dalam laut kerana takut dan merasai keajaiban peristiwa itu!
Tetapi Fir’aun yang sombong & angkuh tidak mahu menunjuk lemah & mengaku kalah, dengan degil & angkuh tetap mahu ikut bani Israil menyeberangi Laut Merah, mengatakan mereka lebih berhak kepada laut itu daripada bani Israil!
Apabila mereka semua masuk, Allah tutup kembali laut yang terbelah tadi dan akhirnya mereka semua mati tenggelam didalamnya!!!
Itulah akibat & pengakhiran manusia yang sombong & angkuh kepada Tuhan!
- Ayat 90- {… apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”.}-
Apabila hampir mati kelemasan, Fir’aun mengaku beriman dengan tiga kali ulang pengakuan, beriman kepada Tuhan bani Israil dan akan menjadi orang yang taat akur kepada perintah!
Iman itu terbahagi kepada dua:
i- Iman secara ghaib, ini iman yang diterima. Iaitu seperti kita sekarang ini yang beriman kepada Allah walaupun kita tak tengok Allah semata-mata keyakian kita bahawa Allah wujud, yakin akan keEsaan & kekuasaan Allah SWT!
Ini iman yang sahih & diterima!
ii- Iman musyahadah, beriman apabila sudah nampak bukti seperti tengok kebinasaan di depan mata; tidak akan diterima oleh Allah bahkan cukup bahaya!
Seperti Fir’aun yang sewaktu nabi Musa berdakwah dia tidak terima, tetapi apabila hampir nak tenggelam {أَدْرَكَهُ ٱلْغَرَقُ} yakni dah nak mati baru nak percaya dan mengaku beriman!
Maka kata ulama’ : Iman Fir’aun itu adalah iman musyahadah yang tidak akan diterima lagi kerana pintu taubat baginya sudah di tutup!!
Banyak juga manusia hari ini yang menangguhkan taubat & tidak insaf- apabila kena bala baru nak taubat, tetapi jika bala itu kecil, tak sampai nyawa di halkum mungkin diterima!
Maklumat:
Kisah pakar bedah Peranchis, Maurice Bucaille yang diberi tugas untuk bedah siasat mayat Fir’aun dan mendapati ada air garam dalam paru-parunya yang menunjukan bahawa Fir’aun mati lemas dalam laut.
Kawan-kawannya, para saintis Islam ketawa dan mengatakan perkara itu bukan penemuan baru kerana orang Islam semenjak 1400 tahun dulu sudah tahu perkara ini melalui al-Quran!
Mendengar ini Dr Maurice buat kajian lagi tentang Islam lalu menjumpai banyak lagi keajaiban dan kebenaran al-Quran, akhirnya mendapat hidayah dari Allah untuk beriman, alhamdulillah.
Bukunya yang terkenal adalah: The Bible, The Qur’an and Science.
- Ayat 90- {… apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”.}-
Apabila hampir mati kelemasan- Fir’aun membuat 3 pengakuan dan mengulangnya:
i- Aku mengaku beriman {ءَامَنتُ},
ii- Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan tahun yang disembah oleh bani Israil
{أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱلَّذِىٓ ءَامَنَتْ بِهِۦ بَنُوٓا۟ إِسْرَٰٓءِيلَ}.
iii- Aku mengaku akan taat menurut perintah {وَأَنَا۠ مِنَ ٱلْمُسْلِمِينَ} !!!
Iman Fir’aun ini iman yang terpaksa dan untuk menyelamatkan diri!!
Bukan iman yang ikhlas dan menerima kebenaran sepertimana imannya ahli sihir yang menyaksikan kebenaran Nabi Musa.
Iman ahli sihir itu ikhlas dan spontan sebagaimana yang digambarkan Allah SWT dalam firman-Nya ini:
{Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,
Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.} (Al-A’raf 7: 120-122)
Iman yang jitu dan sebenar kerana mereka yakin dengan tanda-tanda keagungan & kekuasaan, qudrat Allah di depan mata mereka!
Fir’aun pula mengaku beriman semata-mata untuk menyelamatkan dirinya apabila tiada jalan lain lagi yang boleh menolongnya, mengulang kata-kata beriman supaya nampak lemah & Tuhan kesian kepadanya!!
- Ayat 91- {(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?}-
Ayat membalas dengan ayat yang sentap begitu dahsyat!
Apakah sekarang ini baru kamu nak beriman setelah kamu lihat kematian di depan mata, sedangkan dahulu kamu kufur & menolak dengan begitu dahsyat!!!
Tiada siapa akan menerima taubat & iman kamu, dan engkau adalah di kalangan orang-orang yang jahat!
Kata ulama’ : Ayat ini nak menolak pandangan sebahagian orang yang mengatakan Fir’aun mati dalam keadaan beriman!
Kerana ada dalam kitab-kitab pandangan yang mengatakan Fir’aun beriman dengan sebab kata-katanya tadi!
Kita katakan tidak, Fir’aun tidak beriman dan Allah sendiri telah menolak rayuan & pengakuannya itu!
Pandangan ulama’ Islam seperti at-Tobari mengatakan : Ketika menafsirkan ayat ini: Kata-kata atau pengakuan Fir’aun itu tidak memberi manfaat lagi setelah dia kufur & Allah juga membantah di sini.
Maka para ulama’ telah memutuskan bahawa Fir’aun telah mati dalam kafir.
Sebagaimana hadis tadi, malaikat Jibril sendiri menceritakan kepada Rasulullah SAW bahawa Fir’aun mati tanpa sempat diterima keimanannya!
Cukuplah dengan ayat al-Quran ini & hadis Nabi SAW bahawa Allah telah menolak pengakuan Fir’aun untuk beriman itu & dia mati dalam kufur!
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebut bahawa Fir’aun sekarang di azab di dalam barzakh (kubur) walaupun jasadnya tidak masuk dalam kubur. Wallahu a’lam.
- Ayat 92- {“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar).}-
Maka pada hari ini Allah selamatkan jasad Fir’aun supaya menjadi tanda-tanda kekuasaan Allah & menjadi ibrah bagi orang yang datang selepas ini.
Antara hikmah Allah selamatkan jasadnya kerana Allah nak nyatakan bahawa:
i- Fir’aun memang telah betul-betul mati, jangan kamu takut lagi wahai bani Israil.
ii- Untuk menghina Fir’aun, sehingga ke hari ini jasadnya tidak masuk kubur lagi.
Mayatnya di usung, di arak orang ke sana sini untuk dibuat kajian dan eksperimen!
Begitulah balasan bagi orang yang jahat lagi zalim, angkuh & takabbur hidup atas dunia ini, akhirnya menjadi bahan kajian yang hina.
Kita semua jangan buat zalim kepada manusia, di zaman canggih ini untuk buat zalim kepada orang dengan sebarkan fitnah & tuduhan mudah saja!
Habis orang lain pakat kutuk dan keji, memberi pahala percuma kepada orang yang kena fitnah, orang kata apa yang dia tak buat atau kata.
Ingatlah para penzalim kamu boleh buat apa saja atas dunia ini, menuduh, memfitnah orang lain, Fir’aun yang begitu angkuh & zalim berkuasa dulu pun sudah mati & tidak terlepas dari hukuman Allah apatah lagi kamu yang kecil!
Kita ambil pengajaran sebagaimana kata ahli fikir:
Orang yang hebat menjadikan orang lain sebagai pengajaran, manakala orang jahat & celaka dia dijadikan bahan pengajaran & iktibar sebagaimana Fir’aun ini!!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
