View Categories

(32) Surah Yunus: Ayat 93-95

12 min read

Bani Israil Pasca Fir’aun, Bila Turun Al-Quran Mereka Berselisih & Jangan Ragu Dengan Kebenaran Al-Quran.

Full video : https://youtu.be/IyOK85MWGLI?si=Uog1jTk85Kxk5dnE

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 93 sehingga ayat 95 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang keadaan Bani Israil pasca tenggelamnya Fir’aun.
    Episod ini adalah penutup kepada kisah Nabi Musa & Fir’aun.
  1. Selepas ketiadaan Fir’aun Allah beri banyak nikmat kepada bani Israil dari segi rezeki kekayaan, kuasa & kebebasan sehingga kepada ahli kitab pada zaman Nabi SAW.
    Tetapi malangnya apabila turun al-Quran mereka berselisih tentangnya.
    Yakni apabila datang ilmu yang benar di hadapan mereka; mereka menolak & mendustakannya.
  1. Kemudian Allah nyatakan jangan ragu dengan kebenaran al-Quran.
    Ia bukan rekaan Nabi SAW tetapi ia adalah wahyu yang turun dari Allah SWT.
    Nabi SAW juga tidak ada syak ragu terhadap al-Quran, bahkan menyampaikannya dengan keyakinan untuk baca, tadabbur, faham & beramal dengannya!
    Jangan kamu menjadi manusia yang menentang ayat Allah lalu menjadi manusia yang rugi!!!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kebinasaaan Fir’aun dan kuncu-kuncunya; bani Israil yang bersama nabi Musa AS selamat dan bebas dari kekejaman mereka.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan apa yang dianugerahkan kepada bani Israil daripada nikmat yang baik; kemerdekaan, kebebasan, kekayaan dan juga kemenangan.
    Mereka ini turun-temurun beramal dan percaya kepada Taurat & Injil tentang kedatangan Nabi akhir zaman yang bernama Ahmad serta menunggunya dengan penuh teruja!!

    Tetapi apa boleh buat, tunggu punya tunggu, apabila Nabi SAW muncul di depan mata mereka, mereka menolaknya pula!!!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 93- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENEMPATKAN BANI ISRAIL DI NEGERI YANG BAIK (SESUDAH KAMI BINASAKAN FIRAUN), DAN KAMI MENGURNIAKAN MEREKA DENGAN BENDA-BENDA YANG BAIK. MAKA MEREKA TIDAK BERSELISIHAN (MENGENAI NABI MUHAMMAD MELAINKAN) SETELAH DATANG KEPADA MEREKA PENGETAHUAN (DARI BUKTI-BUKTI YANG NYATA). SESUNGGUHNYA TUHANMU AKAN MENGHUKUM DI ANTARA MEREKA PADA HARI KIAMAT TENTANG APA YANG MEREKA PERSELISIHAN ITU.} (YUNUS 10:93)

  1. Allah menyatakan bahawa telah diletakkan puak bani Israil ini pada satu penempatan (negeri) yang aman & baik sebagai tempat tinggal mereka!
    Begitulah antara ciri-ciri kebahagiaan & ketenangan manusia ialah ada 3 perkara iaitu: tempat tinggal yang baik, keamanan dan berkumpul dengan kaum keluarga.
    Namun ingat nikmat yang paling besar, yang memberi keamanan dunia Akhirat ialah nikmat Islam & iman kepada Allah!
  1. Alhamdulillah negara kita ini aman.
    Tetapi keamanan ini jangan dikacau, tiada orang nak berbalah atas dunia ini kecuali kerana nak cari yang benar, suci & sahih!
    Bagi mereka yang nak mengacau buat fake akaun tuduh orang sana sini, sebar fitnah, kita berdoa kepada Allah agar lindungi kita daripada kejahatan mereka & campakkan balik keburukan ke atas mereka!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)} (Al-A’raf 7:137)
  1. Kemudian Allah juga rezekikan mereka nikmat yang baik dan lengkap seperti makanan & minuman yang baik, halal & banyak dan mencukupi.
  1. Sebagaimana firman Allah SWT:
    {Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.} (Al-Baqarah 2:57)
  1. Hiduplah bani Israil berpegang dengan kitab Taurat & Injil mereka.
    Mereka tidak berselisihan mengenai Nabi Muhammad SAW; iaitu mereka sepakat beriman dan percaya akan kedatangan nabi & rasul akhir zaman yang akan diutuskan sebagaimana yang termaktub dalam kitab itu serta menunggu-nunggu kedatangannya dengan penuh teruja selama 570 tahun jarak dengan Nabi Isa, dengan Nabi Musa lagi jauh!
  1. Tetapi malangnya apabila setelah datang kepada mereka pengetahuan dari bukti-bukti yang nyata & ilmu, mereka mula berpecah, berselisih pendapat & berkelahi tentangnya!
    Ada yang menerima tetapi kebanyakan mereka menolaknya!!!!
  1. Kata ulama’ tafsir : Ilmu itu ialah:
    i- Nabi Muhammad SAW sendiri,

    ii- Dan al-Quran muncul di hadapan mereka.
    Kata Ibnu Asyur RHM : Ikhtilaf ini berlaku di kalangan yahudi yang ada pada zaman Nabi SAW.
    Ketua besar mereka yang beriman ialah Abdullah bin Salam & tak ramai.
    Tetapi kufur ramai lagi seperti Huyai bin Akhtab dan lain-lain ketua-ketua yahudi di Madinah.
  1. Yakni mereka berkelahi setelah Nabi SAW datang, sedangkan sebelum itu mereka sedang menunggu-nunggu kedatangannya.
    Kita ini begitu juga kadang-kadang, waktu tak belajar banyak tak kelahi, tetapi bila banyak mengaji mula nak berbalah!
    Sepatutnya bila dah belajar banyak lagi luas kita punya ilmu, tetapi ini tidak; makin luas ilmu makin sempit pula pemikiran, pemahaman & otak!
    Kita jangan seperti yahudi yang selepas datang al-Quran terus berkelahi!!!
  1. Allah kata tak mengapa, Sesungguhnya Tuhanmu Akan Menghukum di antara mereka yang bertelagah di kalangan yahudi ahli kitab ini pada hari Kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.
  1. Kata ulama’ & ramai dari kalangan ahli tafsir : Yang khilaf ini ialah yahudi ahli kitab yang hidup pada zaman Nabi SAW.
    Merekalah yang menolak, mendusta & tak terima Nabi SAW.
    Inilah peliknya, patut apabila Nabi SAW & al-Quran muncul, mereka tengok sifat Nabi SAW yang sama seperti yang termaktub dalam kitab mereka, merekalah yang pertama berimannya!
  1. Inilah nasib malang & tidak beruntung walaupun telah berjumpa Nabi SAW tetap tidak beriman!
    Yang pastinya Allah akan putuskan siapa akan ke syurga dan siapa akan ke neraka!
    Pastilah yang beriman akan ke syurga manakala yang kafir akan ke neraka!

AYAT 94- {OLEH SEBAB ITU, SEKIRANYA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MERASA RAGU-RAGU TENTANG APA YANG KAMI TURUKAN KEPADAMU, MAKA BERTANYALAH KEPADA ORANG-ORANG YANG MEMBACA KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN DAHULU DARIPADAMU (KERANA MEREKA MENGETAHUI KEBENARANNYA). SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADAMU KEBENARAN DARI TUHANMU, MAKA JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU MENJADI DARI GOLONGAN YANG RAGU-RAGU.} (YUNUS 10:94)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan tentang ahli kitab yang berbalah dan berpecah setelah datangnya ilmu & al-Quran.

    ii- Maka datang ayat Allah nyatakan kepada Nabi SAW : {…sekiranya engkau merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadaMu…}-
    Walaupun kata ulama’ : (bukan Nabi SAW yang ragu tetapi kaum musyrikin Quraisy Makkah yang mempertikaikan kebenaran risalah Baginda)- maka katakan kepada mereka yang ragu & mendustakan itu, pergilah kamu bertanya kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu kepadaMu kerana mereka yang jujur pasti mengetahui kebenarannya.

    Yakni Allah cabar kafir Quraisy untuk pergi bertanya kepada ahli kitab yahudi yang jujur!
  1. Ayat ini khitab Allah kepada Nabi SAW walaupun Baginda SAW langsung tidak ada sebarang keraguan & syak akan al-Quran atau tentang kenabiannya.

    Ayat ini walaupun ditujukan kepada Nabi SAW tetapi sebenarnya Allah suruh Nabi SAW tujukan soalan ini kepada golongan musyrikin yang syak & ragu akan risalahnya, pergilah tanya kepada ahli kitab yang jujur apakah ada maklumat tentang Nabi SAW dalam kitab mereka!

    Jika tanya kepada yang kelentongn pastilah akan dapat auta bukan fakta!
  1. Yakni seolah pukul anak sindir menantu!

    Sebenarnaya Allah nak suruh puak kafir Makkah yang tak puas hati yang syak meragukan kebenaran Nabi SAW untuk bertanya kepada kaum yahudi ahli kitab itu apakah ada sifat & tentang Nabi SAW dalam Taurat & Injil.
  1. Allah bersumpah bahawa telah datang kepada Nabi SAW keyakinan yang jitu
    {لَقَدْ جَآءَكَ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ}
    bahawa Baginda adalah Rasulullah SAW yang menerima wahyu & al-Quran itu turun dari Allah tanpa sebarang keraguan!!

AYAT 95- {DAN JANGAN SEKALI-KALI ENGKAU MENJADI DARI GOLONGAN YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT ALLAH, KERANA DENGAN ITU ENGKAU AKAN MENJADI DARI ORANG-ORANG YANG RUGI.} (YUNUS 10:95)

  1. Allah beri peringatan janganlah sekali-kali kamu menjadi orang yang mendustakan ayat al-Quran, kelak kamu akan menjadi orang yang rugi dan masuk neraka!
    Tahu tapi tak terima yang merugikan kebahagiaan dunia & Akhirat.
  1. Hendaklah sabit, jangan goyah jangan ragu dengan kebenaran al-Quran, yakin dengan keimanan yang mantap tentangnya!!!
    Baca, amal & sebarkan al-Quran.
    Apa-apa yang kita nak belajar nak tahu, nak faham tentang agama; kembalilah kepada al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
  1. Jangan kata kita tak faham al-Quran & hadis, kita ada huraian, tafsiran dan penjelasan para ulama’ Islam yang muktabar, salaf atau khalaf.
    Baru selari dan luas ilmu untuk kita rujuk, jangan mempersempitkan medan ilmu!
    Al-Quran sendiri pula telah dihuraikan melalui Sunnah Nabi SAW.
  1. Jangan jadi seperti ahli kitab yang berpecah selepas datangnya ilmu yang hak kepada mereka!
    Ingat kita umat Islam makin belajar makin banyak ilmu, makin mantap pegangan.
    Tidak sesekali betul tuduhan yang mengatakan kita tidak mahu pakai ulama’.
    Dalam bab feqah atau tauhid kita belajar semuanya pendapat ulama’ yang salaf atau khalaf. Jangan mempersempitkan dunia yang luas.
  1. Senang & mudah je nak tuduh orang ni tapi di Akhirat kelak balasannya amat berat!
    Kata ahli fikir : Siapa yang banyak gali lubang untuk perangkap orang, dia sendiri yang akhirnya akan jatuh ke dalam lubang itu!!!

    Ya Allah jagalah kami dari kejahatan para penggali lubang fitnah ini!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 93- {Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik.]-

    Allah kata Dia telah beri tempat tinggal & rezeki yang baik kepada bani Israil!
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini Allah nak ungkit dab nak ingatkan bani Israil:

    Allah kata Kami sediakan, Kami berikan nikmat yang baik, untuk mengungkit dan menyedarkan bani Israil agar jangan lupa kepada nikmat yang Allah beri kepada mereka yang sebelum ini begitu susah, tertindas terhina dalam kezaliman Fir’aun.

    Maka sekarang ini kamu sudah ada tempat tinggal, rumah kediaman, rezeki yang banyak, maka apa lagi kamu nak, kenapa kamu buat tak sedar, buat tak ingat & tak syukur.
    Begitulah manusia ini kadang-kadang mudah lupa nikmat; ketika susah baik, senang aje terus lompat tak sedar diri!!!
    Begitulah bani Israil, apabila lupa nikmat maka apabila datang ilmu yang sahih, yang benar mereka berpecah, berselisih dan berbalah sesama mereka pula!

    Al-Quran ada di depan mata tak mahu terima bahkan berbalah sesama dia pula.
    Inilah fitnah yang melanda golongan agama, iaitu fitnah berbalah berpecah sesama sendiri, tuduh menuduh, orang ni sesat, orang ni tak betul dan lain-lain.
    Kata ulama’ : Apabila syaitan ini tak mampu nak hasut manusia nak suruh tinggal agama & kufur, mereka lagakan sesama ahli agama nak suruh mereka sibuk berbalah saling tuduh menuduh.

    Lalu mereka berjaya melaga-lagakan umat Islam agar berpecah, sibuk berbalah bukan nak cari titik persamaan dan kesatuan.
  1. Ayat 93- {Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.}-

    Di Akhirat kelak Allah akan jatuhkan hukuman atas apa yang kamu berbalah atas dunia dulu.
    Ketika atas dunia ini kita tak nampak dan tak tahu siapa yang benar & betul apabila masing-masing bawa hujjah, mendengar ada bukti.
    Jika hanya mendengar atau tiada dalil bukti yang jelas tak dapat buat hukuman kecuali orang yang ada akal yang murni.
    Sekarang ini fiqhul-mizan, feqah menimbang mana yang betul mana yang salah, kita dengar hujjah kedua belah pihak, jangan senget dengar sebelum pihak pula.

    Kemudian kita berpandukan kepada al-Quran & hadis Nabi SAW serta pandangan ulama’, mana yang betul.
    Atas dunia ini boleh la jatuhkan orang dengan buat tuduhan & fitnah sana sini, reka situ reka sini berselindung di sebalik fake akaun atau nama samaran.
    Tetapi di Akhirat kelak kita yakin Allah akan jatuhkan hukuman-Nya, kita mungkin tersiksa sekejap atas dunia tetapi kita yakin keadilan Allah akan terzahir di Akhirat kelak.
  1. Ayat 94- {Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu…}-

    Allah kata: Jika kamu tak yakin dengan apa yang kamu dapat maka pergilah tanya kepada ahli kitab.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menjadi peringatan, sesiapa yang rasa ragu, tak faham, tak jelas molek dalam bab perjalanan agama; jangan tanya sama kita atau yang tidak banyak mengaji!

    Tetapi pergi tanya ahli ilmu yang luas ilmunya, yang tidak fanatik pada fahamannya & terbuka perbincangannya insya’ Allah kita akan jumpa jawapan yang sahih.
    Kerana itu dalam pengajian kita, kita buka ilmu sebaiknya untuk mencari yang sahih & yang benar dari Allah, dari Rasulullah SAW dan dari para ulama’ yang muktabar.
    Ini supaya masyarakat tidak dikongkong dengan fahaman yang sempit & rigid.
    Agama ini luas, ilmu ini luas tetapi jika kita persempitkannya kita akan jadi manusia yang sempit dada, sempit akal & sempit dunia!

    Buatlah akta atau peraturan tidak akan terjadi kerana rujukan kita ialah ilmu yang ada dengan kita iaitu al-Quran, hadis dan para ilmu yang sentiasa meneliti mengkaji setiap masalah yang ada!
  1. Ayat 94- {Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu,…}-

    Allah kata jika kamu syak…
    Ulama’ berbahas panjangan di sini :
    Apakah Nabi SAW syak & meragukan apa yang diturunkan kepadanya??

    Jawapan:
    TIDAK!!! Nabi SAW tidak sesekali sayak atau ragu, dan Baginda SAW tidak akan pergi tanya kepada ahli kitab tentang agamanya ini!
    Baginda ada malaikat Jibril yang turun menyampaikan wahyu dari Allah kenapa nak tanya ahli kitab.

    Kata ulama’ : Setiap hukum yang berkait dengan satu syarat
    (“الحكم معلق بشرط”) tidak akan berlaku kecuali adanya syarat itu.

    Dalam kes ini: Jika Nabi SAW ragu & syak, pergilah tanya kepada ahli kitab.
    Tetapi kerana Nabi SAW tidak syak maka tidak perlu pergi tanyalah!

    Yakni dalam kes ini:
    i- Syaratnya ialah (jika kamu ragu atau syak) pergi tanyalah, maka kerana tiada syarat ini,

    ii- Nabi SAW tidak ragu mahupun syak maka tak perlu pergi tanya!

    Contoh mudah: Jika kamu lapar pergi makanlah.
    Oleh kerana kita tak lapar tak perlu pergi makanlah!

    Maka Nabi SAW tidak akan pergi tanyalah.
    Cuma untuk puak musyrikin Makkah, jika kamu ragu & syak kamu pergilah tanya ahli kitab.

    Mereka pergi tanya sungguh, lalu ahli kitab beri mereka soalan untuk ditanya kepada Nabi SAW bagi mengujinya & Nabi SAW dapat memberikan jawapan yang tepat bagi semua soalan itu!
    Tetapi apabila hati sudah tertutup, degil keras untuk menerima kebenaran maka mereka tetaplah tidak beriman!!!
    Royatlah rimau gajah pun mereka tetap tidak akan percaya!!
  1. Ayat 95- {Dan jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah, kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.}

    Dalam ayat ini sekali lagi Allah SWT nyatakan kepada kita bahawa turunnya ayat al-Quran ini membawa beberapa faedah:
    Untuk mempelbagaikan uslub:
    i- Jika syak pergi tanyalah!

    ii- Nabi tidak syak maka tidak perlu pergi tanya.

    ii- Orang lain yang syak pergilah tanya!

    iii- Nak tanya kepada siapa?
    Jika bab agama; sudah pasti orang yang paling dalam agama ini ialah Nabi SAW kerana dia adalah rasul Allah.

    iv- Tetapi jika nak tanya tentang maklumat umum boleh tanya ahli kitab tentang nabi akhir zaman, akan dapat jawapannnya.
    Oleh kerana ramai di kalangan ahli kitab ini yang mendustakan ayat-ayat Allah, mendustakan Nabi SAW; maka Allah suruh pergi tanya kepada mereka.
    Yakni jika mereka memberi jawapan yang benar & tepat, maka lagi semangat kita akan Nabi SAW.

    Ini kerana kebenaran itu akan lebih terserlah apabila musuh yang mengakui kita adalah benar!
    (الحق ما شهد به الأعداء)
    Jadi jika ada di kalangan kitab yang kebanyakannya menentang dan mendustakan Nabi SAW itu; jika ada yang jujur & benar menyatakan kebenaran berdasarkan kitab mereka; maka lagi mantap & kuat serta terserlah hujjah Nabi SAW!

    Alhamdulillah walaupun ramai ahli kitab yang menentang tetapi kebenaran Islam terserlah apabila ketua ahli kitab yahudi iaitu Abdullah bin Salam sendiri yang jujur mengakui dan menerima Islam & Nabi SAW.
    Jika kita cari kebenaran, carilah orang jujur dengan ilmu, berdakwah kepada Allah & Rasul, berdasarkan al-Quran & Sunnah.
    Jangan cari ahli kitab atau ahli ilmu yang penunggang agama takkan jumpa jawapannya.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top