View Categories

(34) Surah Yunus: Ayat 101-103

12 min read

ARAHAN BERFIKIR, JANGAN TUNGGU BALA DATANG & ORANG MUKMIN AKAN SELAMAT.

Full video : https://youtu.be/3gAbQUsbrpw?si=2INu4smT-IoDA_EV

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 101 sehingga ayat 103 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kewajipan tilik & tafakkur. 
    Iaitu kita tengok kepada tanda-tanda keagungan dan kekuasaan Allah SWT kemudian berfikir kenapa Allah buat begitu begini; semua itu untuk mencari noktah agung iaitu adanya Allah sebagai Pencipta! 
  1. Dalam ayat ini juga Allah nyatakan ancaman & amaran terhadap mereka yang tidak mahu beriman, tidak mahu ikut; bahawa mereka akan dibinasakan! 
  1. Kemudian Allah nyatakan hanya orang mukmin yang akan selamat, selain daripada itu akan dapat penyakit yang dicarinya!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa iman yang betul tidak akan terlaksana kecuali apabila mengakui bahawa semua yang terjadi atas dunia ini adalah dengan kehendak Allah SWT. 
    Dalam kitab tauhid ini ialah beriman dengan qadha’ & qadar. 
    Allah telah tuliskan taqdir dunia ini 50 ribu dahulu tahun sebelum dicipta langit & bumi!

    ii- Maka datang ayat ini perintah untuk kita lihat, tengok, perhati & berfikir kepada makhluk Allah yang ada di langit & bumi! 
    Ini supaya orang yang berakal tahu bahawa takkanlah sebesar ini langit & bumi dan segala yang ada pada keduanya; tidak ada Penciptanya?? Tidak mungkin! 
  1. Ayat ini memberi peringatan yang besar kepada hamba Allah bahawa kita ini bukan robot yang hanya ikut remote control sahaja! Tetapi kita diberi akal, pancaindera untuk mengkaji menilik & betafakkur dengan hati kita bahawa Allah SWT yang Maha Mencipta!
    Ada setengah manusia hanya lihat saja!
    Mazhab manusia hari ini: Tengok, selfie kemudian share!!!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 101- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “PERHATIKAN DAN FIKIRKANLAH APA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI DARI SEGALA KEJADIAN YANG MENAKJUBKAN, YANG MEMBUKTIKAN KEESAAN ALLAH DAN KEKUASAANNYA). DALAM PADA ITU, SEGALA TANDA DAN BUKTI (YANG MENUNJUKKAN KEKUASAAN ALLAH), DAN SEGALA RASUL (YANG MENYAMPAIKAN PERINTAH-PERINTAH ALLAH DAN MEMBERI AMARAN), TIDAK AKAN MEMBERI FAEDAH KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK MENARUH KEPERCAYAAN KEPADANYA.} (YUNUS 10:101)

  1. Allah perintahkan Rasulullah SAW untuk pergi & katakan kepada puak kafir yang datang mencabar Baginda SAW dengan minta tanda kebenaran dakwahnya dengan meminta perkara keduniaan yang diluar logik akal.
  1. Allah nyatakan tak perlu minta yang lain lagi; tengoklah kepada kejadian makhluk Allah yang sudah ada & yang hebat, tengok ke langit itu ada matahari, bulan bintang dan segala cakerawalanya. 
    Kemudian tengok pula ke bumi, ada lautan, bukit bukau, gunung ganang, sungai, pokok & buah-buahan, haiwan yang sebesar-besarnya & yang sekecilnya!!! 
  1. Selepas tengok itu, berfikir dan bertadabburlah, lalu ambil pengajaran kerana semua itu menunjukkan kepada keEsaan Allah SWT dalam Rububiyyah (Ketuanan) dan Uluhiyyah-Nya (Ketuhanan). 
  1. Sempurnanya kuasa Allah & agung sifat-Nya; jika kamu perhatikan semua ini kamu tak perlu lagi kepada yang halus-halus itu. 
    Cukuplah dengan tanda-tanda & bukti yang begitu besar dan hebat ini!!! 
  1. Tetapi malangnya segala tanda & bukti yang menunjukkan kekuasaan Allah yang ada di langit dan bumi, segala rasul yang datang menyampaikan perintah Allah itu, segala amaran yang disampaikan rasul & segala peringatan yang disampaikan para pendakwah; tidak akan memberi manfaat, tidak akan memberi kesan kepada orang yang tidak beriman kepada Allah!
    Yang mereka mahu ialah apa yang nafsu dan kehendak duniawi mereka nak!! 
    Bawalah dalil bukti apapun mereka tak mahu terima! 
    Bawalah rimau gajah pun, tak jadi apa! 
    Jika kita orang Islam tidak boleh bersatu hati, maka kita akan digoreng dan diguna-gunakan oleh puak kafir yang membenci Islam ini!
  1. Nota (333)- maksud ayat ini menerangkan bahawa tugas seorang rasul dan seorang pendidik ialah bukan memaksa orang menerima sesuatu kepercayaan.
    Tetapi tugas mereka menunjuk & mengajak orang ramai supaya memerhati & memikirkan segala bukti yang ada di langit & bukti yang ada di bumi.
    Serta mempelajari dan memahami apa yang dibawa oleh rasul-rasul, demikianlah hendaknya yang diamalkan oleh orang-orang yang hendak menetapkan simpulan iman. 
  1. Yang penting para pendakwah jalankan tugas- kerana nak ubah minda orang bukan mudah!
    Ini kerana minda diubah dengan ilmu, dengan hujjah & makrifah; tidak semata-mata dengan akta & undang-undang! 
    Orang mungkin ikut undang-undang & akta tetapi dengan terpaksa bukan dengan suka & ikhlas!
  1. Hati-hatilah jemaah semua, biarlah kita menjadi orang yang beriman yang ikut firman Allah & sabda Rasulullah SAW.
    Ini kerana ilmu itu adalah berpaksikan kepada dua ini, selain daripadanya akan hanyut!!

AYAT 102- {MAKA ORANG-ORANG YANG TERSEBUT TIDAK MENUNGGU MELAINKAN (AZAB ALLAH) SEBAGAIMANA KEJADIAN-KEJADIAN YANG BERLAKU KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR YANG TERDAHULU DARIPADA MEREKA. KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “TUNGGULAH, SESUNGGUHNYA AKU JUGA BERSAMA-SAMA KAMU DARI ORANG-ORANG YANG MENUNGGU”.} (YUNUS 10:102)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan bahawa semua yang ada di langit & di bumi menjadai dalil akan keEsaan & kekuasaan Allah SWT.

    ii- Maka datang ayat ini menyatakan orang yang telah melihat segala dalil dan bukti tetapi tetap tidak mahu beriman.
    Inilah mereka yang degil keras kepala- bawa apa bukti & dalil tidak akan beri kesan kerana baginya segala yang ada di dunia ini untuk kegunaannya- tidak berfikir akan adanya Tuhan Pencipta sekelian alam ini!
    Maka ayat ini sebagai peringatan dan amaran kepada mereka jangan lagha & lalai dengan pemikiran karut itu!
  1. Sesungguhnya puak kafir itu hanyalah menunggu kedatangan azab & bala bencana dari Allah! 
    Sebagaimana yang telah ditimpa ke atas umat dahulu yang binasa semuanya! 
    Mereka yang lawan yang derhaka semua telah mati kering atau mati lemas seperti Fir’aun dan gengnya, umat Nabi Nuh, Lut dan seumpamanya! 
    Maka kamu kafir Quraisy jangan kerasa kepala dan rasa hebat! 
  1. Allah suruh Nabi SAW katakan lagi kepada mereka: Maka tunggulah kamu wahai kafir & aku juga akan menunggu bersamamu.
    Kita lihatlah benar atau tidak apa yang telah dijanjikan Allah ini!
    Mungkin mereka terselamat dan terlepas atas dunia ini tetapi azab di Akhirat tetap menanti!
  1. Ingatlah kebinasaan akan terjadi sebagaimana yang dijanjikan Allah, cepat atau lambat duduk di bawah ilmu & kehendak Allah.
    Kita lihat tempoh atau jarak azab ini datang pada ketika Nabi SAW mula berdakwah kemudian kejahatan mereka ke atas Nabi SAW sehingga Baginda berdoa kepada mereka.
    Tetapi mereka tidak terus binasa, masih lagi melawan dan menentang sehingga dalam Perang Badar barulah binasanya Abu Jahal dan lain-lain- iaitu lebih kurang dalam masa 10 tahun.

AYAT 103- {AYAT 90- {KEMUDIAN KAMI SELAMATKAN RASUL KAMI DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN. DEMIKIANLAH JUGA, SEBAGAI KEWAJIPAN KAMI, KAMI SELAMATKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG MENURUTMU).} (YUNUS 10:103)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Nabi SAW diarahkan kata kepada kafir bahawa mereka akan sama-sama menunggu azab Allah, Nabi SAW & orang-orang kafir! 

    ii- Datang ayat ini menjelaskan jika turun azab, Nabi SAW & orang yang beriman akan selamat!
    Hanya orang kafir yang akan kenanya walaupun sama-sama menunggu!!
    Yakni walaupun sama-sama menunggu azab tetapi tidak sama antara orang beriman & orang kafir!
  1. Allah nyatakan bahawa Dia akan selamatkan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. 
    Yakni Allah yang beri jaminan ini!
    Bila nak turunkan azab, biasanya Allah akan hantar malaikat untuk memberi amaran kepada orang beriman agar selamat & melaksanakan azab itu ke atas orang kafir!
    Contoh: Nabi Nuh diperintahkan untuk bina bahtera, Nabi Lut diperintahkan keluar segera meninggalkan tempat itu bersama mereka yang beriman sebelum ditimpakan azab.
  1. Demikianlah janji Allah bahawa orang beriman & rasul mereka akan diselamatkan.
    Maka begitu jugalah Allah akan lakukan kepada Rasulullah SAW dan semua mereka yang beriman bersamanya- mereka akan diselamatkan semuanya; ini suatu hak atau janji yang Allah telah tetapkan ke atas diri-Nya.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah:
    {Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)} (Ghafir 40:51)
  1. Banyak lagi ayat-ayat yang menunjukkan janji Allah bahawa orang beriman akan selamat, kita yakinlah akan janji Allah ini!
  1. Insya’ Allah kita akan selamat, tetapi ingatlah, kemenangan & pertolongan Allah tidak akan datang begitu saja, tidak “kun fayakun”! 
    Ia datang dengan perjuangan & pengorbanan.
    Kata orang; pejuang tidak disambut dengan hamparan permaidani merah tetapi mungkin disambut dengan darah yang merah!
  1. Jadi untuk mendapatkan pertolongan Allah, kita kena berusaha, berjuang, kita kena buat kerja sungguh-sungguh; barulah kita akan mendapat pertolongan dari Allah! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan,…}-

    Dalam ayat ini Allah suruh tengok kepada apa yang ada dilangit dan di bumi!
    Tetapi bukan tengok saja tetapi tengok sambil berfikir, bertafakkur, mengkaji, menyelidik dan menganalisa kepada segala makhluk ciptaan Allah yang besar ini!
    Tujuan utamanya adalah untuk sedar & mengakui bahawa adanya Tuhan Pencipta Yang maha Agung!
    Trend manusia hari ini suka pergi healing sana sini, tempat yang susah pun mereka sanggup pergi! 
    Tetapi rugilah jika ada kemampuan untuk pergi melihat segala keajaiban dan keagungan ciptaan Allah tetapi tidak masuk ke dalam hati mereka untuk berfikir bahawa semua itu haiwan & fenomena yang pelik itu ada Penciptanya yang Agung! 
    Kita orang beriman, pergilah ke mana sekalipun atas dunia ini, tetapi hujung pangkalnya wajib kaitkannya dengan Pencipta al-Khaliq, barulah menambahkan lagi keimanan yang mantap kepada Allah! 
    Jangan hanya healing sana healing sini, habis usia & harta begitu saja tanpa memberi manfaat untuk Akhirat kita, amatlah merugikan!
    Inilah peranan kita sebagai manusia- kena lihat & tafakkur! 
    Apakah bahan untuk kita lihat & tafakkur itu??? Lihat faedah seterusnya.
  1. Ayat 101- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan,..}-

    Allah suruh kita lihat kepada apa yang ada di langit & bumi!
    Yakni jika tidak boleh lihat apa yang ada di atas, tak ada teropong nak lihat kepada langit yang jauh, maka lihatlah kepada yang dekat dengan kita!!
    Iaitu lihatlah kepada yang ada di bumi yang dekat dengan kita. 
    Bahkan Allah suruh kita lihat juga kepada kejadian diri kita sendiri! 
    Cuba bayangkan jika tiba-tiba ada orang bawa duit berjuta-juta minta nak beli mata, telinga atau mana-mana anggota badan kita yang baik semuanya ini! 
    Pastilah kita tidak akan sanggup & mahu menjualnya!!! 
    Kita manusia mungkin tidak sanggup jual anggota badannya tetapi malangnya, sanggup jual prinsip dan maruah diri, sanggup buat maksiat derhaka kepada Allah kerana tidak fikir siapakah kita!
    Manusia sanggup jual maruah diri & prinsip hidup dengan harga yang murah semata-mata kerana nak ambil healing atas dunia, ikut hawa nafsu nak puaskan hati dan kejar duniawi, sanggup derhaka kepada Allah! 
    Yang penting kita tengok kemudian fikirkan betapa hebatnya ciptaan Allah SWT yang menujukkan bukti keagungan & keEsaan Allah SWT!
  1. Ayat 101- { Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.} –

    Yakni segala bukti, dalil, ayat-ayat & tanda-tanda dari Allah ini tidak akan memberi faedah manfaat apa kepada orang yang tidak beriman!!! 
    Ulama’ kata : Orang yang tidak beriman ini ialah orang yang tidak berakal!! 
    Ada akal tetapi tidak guna untuk berfikir & menerima kebenaran!
    Yakni segala dalil itu tidak berguna bagi orang tidak beriman kerana mereka tidak gunakan akal mereka, akal mereka tidak berfungsi untuk berfikir & mengambil kebaikannya!
  1. Ayat 102- {Maka orang-orang yang tersebut tidak menunggu melainkan (azab Allah) sebagaimana kejadian-kejadian yang berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka.}–

    Kamu tunggulah apa yang akan terjadi atas dunia sebagaimana umat nabi yang terdahulu menungu! 
    Kita sama-sama tunggu dan lihat akhir kesudahan manusia ini; kehancuran, kebinasaan yang terjadi kepada sesiapa yang tidak beriman kepada Allah Azza wa Jalla.
    Kita yakin bahawa Allah memang suruh cabar kafir di sini, kamu tunggu dan aku juga menunggu! 
    Ini kerana kita orang beriman sudah yakin dan percaya bahawa Allah telah memberi pertolongan kepada para nabi-Nya, Allah akan beri pertolongan kepada orang beriman!
    Tetapi dengan syarat kita orang beriman kena bersatu hati & kuatkan semangat, rapatkan hubungan dengan Allah, tinggalkan maksiat; insya’ Allah kita akan berada di bawah rahmat Allah Azza wa Jalla.
  1. Ayat 103- {Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman.}-

    Allah kata; kemudian {ثُمَّ} Allah akan selamatkan Rasulullah SAW dan orang yang beriman!!!
    Sebagaimana kita bincangkan dalam siri sebelum ini,
    Ulama’ kata : Jarak antara doa Nabi Musa supaya Fir’aun binasa sehingga Allah turunkan azab-Nya & tenggelamkan Fir’aun ialah selama 40 tahun.
    Kita juga telah buat sedikit analisa, binasanya Abu Jahal & Abu Lahab selepas berlalunya tempoh lebih kurang 10 tahun. 
    Hampir separuh masa itu kerana tempoh dakwah Nabi SAW hanyalah selama 23 tahun.
    Itulah ketentuan Allah SWT, pertolongan tetap akan datang & diberi kemenangan! 
    Kita sabar buat sementara!
    Kita yakin & sabar kerana apabila Allah telah berjanji & beri jaminan, kita tunggulah dengan yakin bahawa janji Allah itu benar. 
    Kita yang nak menegakkan agama & Sunnah ini kadang-kadang difitnah diberi tuduhan yang buruk, dimomokkan dengan cerita yang tidak benar oleh yang tidak baik hatinya sehingga orang pun terpengaruh dan membenci lihat kita!!! 
    Mengatakan kita bukan nak ajar al-Quran tetapi nak memecahkan masyarakat, bukan nak ajar Sunnah Nabi tapi nak memadamkan amalan-amalan lama yang sudah ada! 
    Kita kata tidak, kita tiada niat nak memecah-belahkan masyarakat dan supaya orang berkelahi, niat kita hanya nak ajak orang kepada al-Kitab & as-Sunnah berdasarkan kepada fahaman ulama’ yang muktabar, kita nak selamat dunia dan di Akhirat! 
    Para jemaah semua, ayat ini, kamu tengok & fikir, kamu dengar dan nilailah sendiri! Jika orang hantar sebarkan apa-apa berita yang karut, fikirkanlah apakah logik & betul tuduhan bodoh begini??
    Jangan terus ambil telan!
    Kerana itu kata orang: Jangan bersahabat dengan orang bodoh; kerana berapa ramai orang yang bijak tetapi tersungkur jatuh kerana kawannya yang bodoh!!
    Jika ada orang jahil atau bodoh datang nak berlawan dengan kita, jangan dok layan & katakan: Salaman, good bye! 
    Buatlah kerja kamu kerana hanya orang yang bodoh seperti kamu juga yang akan percaya- orang yang cerdik tidak akan terpengaruh! 
    Kita sabarlah kerana walaupun ibadat kita tidak banyak tetapi Allah nak beri pahala kepada melalui orang yang menuduh memfitnah kita ini!!! 
    Kita sedang tidur pahala masuk akaun insya’ Allah! 

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top