View Categories

(35) Surah Yunus: Ayat 104-107

12 min read

ARAHAN IKHLASKAN IBADAT, ISTIQAMAH ATAS AGAMA ISLAM & TIADA SIAPA BOLEH TOLAK KUASA ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/8kSJMCRLsf0?si=0tWc9ByLIsWrD_t1

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 104 sehingga ayat 107 dalam juzuk kesebelas.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan arahan kepada semua manusia supaya ikhlaskan ibadat kepada Allah SWT, buang perbuatan syirik & jangan lagi berasa syak ragu, terumbang-ambing tak tahu nak ikut yang mana.
  1. Allah juga perintahkan agar istiqamah atas agama Islam yang suci & murni ini serta jangan lagi cari yang selain daripada Allah, yang tiada kuasa & daya-upaya. 
  1. Yakinlah tiada siapa boleh tolak mengatasi kuasa Allah SWT maka bersihkanlah diri dari segala syirik, khurafat & bid’ah yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan dalil-dalil tentang keEsaan & keagungan Allah SWT sehingga ke kemuncaknya! 
    Allah kata kamu perhati dan tiliklah kepada langit & bumi sebagaimana sepatutnya!

    ii- Maka datang ayat ini Allah suruh Nabi SAW nyatakan agama, pegangan dan ajarannya agar hilang keraguan & syak dalam perjalanan agama ini. 
    Maka Nabi SAW tegaskan kepada umatnya bahawa dalam agama ini tiada sembahan yang lain kecuali Allah SWT semata-mata.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 104- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI SEKAMU MANUSIA! SEKIRANYA KAMU MENARUH SYAK TENTANG KEBENARAN AGAMAKU, MAKA (KETAHUILAH) AKU TIDAK MENYEMBAH MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMU MENYEMBAHNYA YANG LAIN DARI ALLAH, TETAPI AKU HANYA MENYEMBAH ALLAH YANG AKAN MEMATIKAN KAMU (UNTUK MENERIMA BALASAN); DAN AKU DIPERINTAHKAN SUPAYA MENJADI DARI GOLONGAN YANG BERIMAN.} (YUNUS 10:104)

  1. Allah perintahkan Nabi SAW untuk menyeru seluruh manusia: Jika kamu tak yakin lagi akan agama yang aku seru & dakwah ini; maka ketahuilah dalam agama ini aku tak sembah kecuali Allah SWT semata-mata. 
    Sama ada patung berhala atau kubur dan lain-lain.
  1. Kata Ibnu Jarir RHM : Manusia di sini ketika turunnya ayat ini ialah musyrikin Makkah. Sekarang ini untuk semua kafir di mana saja atas dunia ini!
  1. Aku hanya sembah Allah yang akan mengambil nyawa & mematikan kamu, kemudian membangkitkan semula kamu untuk kembali kepada Allah bagi menerima balasannya
  1. Dalam ayat ini Nabi SAW memperkenalkan kepada puak kafir Allah SWT dengan sifat-Nya yang akan mematikan kamu semua
    { ٱللَّهَ ٱلَّذِى يَتَوَفَّىٰكُمْ}! 
    Hikmahnya kerana manusia ini biasanya dengan mati akan takut, lalu mematikan angan-angan mereka dan tak berapa rakus & jahat lagi!
  1. Dunia ini hanya sesaat (sementara) maka isikanlah ia dengan ketaatan! 
    Apabila mati masuk dalam kubur bermulalah episod azab yang telah dijanjikan kepada orang kafir sebelum ini!
  1. Allah juga suruh Nabi iklankan bahawa aku diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.
    Yakni Allah suruh Nabi SAW menjadi orang beriman yang membenarkan segala wahyu yang diturunkan Allah kepadaku. 
  1. Allah telah janjikan sesiapa yang menurut agama ini, merekalah orang-orang yang selamat daripada azab & akan dapat kemenangan ke atas musuh dan Islam akan kembali mendapat tempat atas dunia ini.

AYAT 105- {“SERTA (DIWAJIBKAN KEPADAKU): ‘ HADAPKANLAH SELURUH DIRIMU MENUJU (KE ARAH MENGERJAKAN PERINTAH-PERINTAH) AGAMA DENGAN BETUL DAN IKHLAS, DAN JANGANLAH ENGKAU MENJADI DARI ORANG-ORANG MUSYRIK’.”} (YUNUS 10:105)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah suruh Nabi SAW nyatakan apa yang dia sembah; iaitu Allah SWT.

    ii- Maka dalam ayat ini ialah Allah perintahkan Nabi SAW supaya istiqomah tetap pendirian atas Islam kerana hanya Islam lurus yang dapat menyelamatkan kamu daripada bala bencana! 
  1. Allah SWT juga perintahkan janganlah sesekali kamu termasuk dalam golongan musyrikin sama ada dalam keadaan kamu, amalan ibadat kamu atau aqidah pegangan kamu, jangan buat tak baik! 
  1. Siapa yang buat tak baik maka dialah orang yang rugi di dunia & celaka di Akhirat.
    Kerana mereka telah menggugurkan amalan mereka dengan melakukan syirikk terhadap Allah SWT!
    Inilah mesti istiqomah atas jalan yang benar!

AYAT 106- {DAN JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENYEMBAH ATAU MEMUJA YANG LAIN DARI ALLAH, YANG TIDAK DAPAT MENDATANGKAN MANFAAT KEPADAMU DAN JUGA TIDAK DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADAMU. OLEH ITU, SEKIRANYA ENGKAU MENGERJAKAN YANG DEMIKIAN, MAKA PADA SAAT ITU MENJADILAH ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG BERLAKU ZALIM (TERHADAP DIRI SENDIRI DENGAN PERBUATAN SYIRIK ITU).} (YUNUS 10:106)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah perintahkan untuk istiqomah atas landasan Islam & iman serta jangan sesekali syirik kepada Allah.

    ii- Maka datang ayat ini menegaskan lagi sebab agar jangan syirik, jangan ikut puak kafir!
    Ini kerana semua sembahan selain daripada Allah itu tiada kuasa tidak dapat memberi mudharat atau darurat kepada kamu. 
    Batu yang kamu ukir dan buat itu- mereka yang sepatutnya sembah kamu!
  1. Dalam ayat ini Allah bawa larangan tegas agar jangan sesekali kamu syirik dengan sembah yang lain selain daripada Allah Azza wa Jalla! 
    Jika kamu buat juga maka kamu termasuk dalam golongan yang zalim! 
  1. Ini kerana bahawa semua yang kamu sembah selain daripada Allah seperti berhala, dewa, kubur atau atau apa saja adalah sesuatu yang tidak ada kuasa & daya; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu.
  1. Ingatlah jangan sesekali menjadi dari orang-orang yang berlaku zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu.
    Ini kerana sesungguhnya syirik kepada Allah adalah satu perbuatan zalim yang besar! 
    Kamu sembah saja atas dunia ini adalah perbuatan syirik yang zalim. 
    Zalim kepada diri sendiri kerana akibatnya akan disiksa dalam neraka kelak!

AYAT 107- {DAN JIKA ALLAH MENGENAKAN ENGKAU DENGAN SESUATU YANG MEMBAHAYAKAN, MAKA TIADA SESIAPA PUN YANG AKAN DAPAT MENGHAPUSKANNYA MELAINKAN DIA; DAN JIKA IA MENGHENDAKI ENGKAU BEROLEH SESUATU KEBAIKAN, MAKA TIADA SESIAPAPUN YANG AKAN DAPAT MENGHALANGI LIMPAH KURNIANYA. ALLAH MELIMPAHKAN KURNIANYA ITU KEPADA SESIAPA YANG DIKENDAKINYA DARI HAMBA-HAMBANYA, DAN DIA LAH YANG MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI.} (YUNUS 10:107)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang pertama (106) Allah sebut sifat berhala yang kamu sembah itu tidak memberi manfaat & darurat! 
    Yakni tiada kuasa apa.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa berhala atau sembahan itu tidak dapat menghalang jika Allah nak timpakan kamu dengan sesuatu yang membahayakan atau jika Allah nak berikan kamu kebaikan. 
    Yakni tak dapat beri mudharat & kebaikan kepada kamu.
    Kita boleh beli ubat tetapi tak boleh beli kesembuhan!
  1. Dalam ayat ini Allah menegaskan kuasa-Nya yang tidak dapat dihalang atau disekat oleh sesiapa atau satu apapun:
    i- Jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, {وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ} maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia.
    Iaitu Allah beri ujian seperti bala, kesakitan, kemiskinan dan seumpamanya, tiada siapa yang dapat menghalangnya dari kamu kecuali Allah yang Esa yang tunggal yang berhak disembah!

    ii- Dan jika Allah menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan {وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍۢ}, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya.
    Yakni jika Allah nak beri kamu rahmat kebaikan tiada siapa di kalangan hamba & makhluk yang dapat menyekatnya!!!
  1. Ingatlah makin kita dianiayai, difitnah, dituduh dengan tuduhan jahat & palsu, insya’ Allah makin naik darjat kita, makin banyak pahala kita.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.} (Fatir 35:2)
  1. Hadis riwayat dari Ibnu Abbas RA berkata:

    كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ: يَا غُلاَمُ! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ.
    وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ.

    Aku pernah berada di belakang Rasulullah SAW (atas haiwan tunggangan) pada suatu hari, lalu baginda bersabda: Wahai anak muda! Sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa kalimat:
    Jagalah Allah niscaya Dia menjagamu,
    Jagalah Allah niscaya kau menemui-Nya di hadapanmu,
    Apabila kau meminta, mintalah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah.
    Ketahuilah bahawasanya jika manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, tidaklah mereka dapat memberi apa jua manfaat kepadamu melainkan apa yang telah Allah taqdirkan bagimu,
    Dan jika (manusia) berhimpun untuk memberikan sesuatu mudarat ke atasmu, tidaklah mereka dapat memberi apa jua mudarat ke atasmu melainkan apa yang telah Allah taqdirkan ke atasmu.
    Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering
    . [HR at-Tirmizi]
  1. Hadis Ibnu Abbas ini ajarlah kepada anak-anak kita, pasaklah ke dalam hati pelajar-pelajar kita, kerana ia dapat mengawal kita daripada terjebak dengan khurafat & percaya kepada perkara-perkara karut! 
  1. Allah kata, Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya dan beri kemudharatan kepada sesiapa yang Dia kehendaki juga!
    Tiada siapa boleh halang & boleh sekat!
  1. Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa:
    i- Dia lah yang Maha Pengampun; Yakni Allah Maha Pengampun kepada hamba-Nya yang bertaubat dan menghapuskan dosa-dosa mereka.

    ii-Lagi Maha Mengasihani, Allah sangat kasihan-belas terhadap hamba-Nya yang beriman!
    Ya Allah jadikan kami sebagai orang beriman & yang sentiasa bertaubat kepada-Mu.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 104- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekamu manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran agamaku,…}-


    Allah menyeru kepada semua manusia, asalkan dia orang atau manusia yang ada akal!
    Dalam ayat ini Allah kata {Sekiranya kamu menaruh syak},
    Lalu ulama’ tadabbur buat ulasan : Ayat ini ditujukan kepada puak kafir, sedangkan mereka adalah puak kafir yang bukan hanya syak tetapi menolak & tidak terima terus ajaran Nabi SAW maka syak ragu apa lagi??

    Jawapan:
    Sebenarnya puak kafir ini bukan tak terima sangat ajaran Nabi SAW tetapi syak ragu-ragu memikirkan apakah benar ajaran Muhammad ini?? 

    Apatah lagi apabila melihat mukjizat Nabi SAW, mereka bertambah syak & ragu, betulkah mukjizat ini??? Atau apakah ini sihir?
    Kerana itu Allah perintahkan Nabi SAW untuk berunding dengan puak kafir; jika kamu syak atau ragu maka marilah aku tunjukkan kepada kamu bukti kebenaran adanya Allah Azza wa Jalla & Allah yang maha berkuasa ke atas setiap sesuatu!
  1. Ayat 104- {… tetapi aku hanya menyembah Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan);}-

    Nabi SAW memperkenalkan sifat Allah yang mematikan manusia ini kepada puak kafir yang syak tadi!
    Apakah hikmahnya????
    Jawapan: Allah perkenalkan kepada orang kafir bahawa Allah yang kamu kena sembah itu ialah Tuhan yang mematikan kamu kerana:
    i- Apabila sebut mati, semua manusia akan mati, dan apabila mati bermulalah episod penyiksaan & ditimpa azab. 
    Jika tak mati, jika masih di atas bumi ini, buatlah apa saja yang kamu nak, mungkin selamatlah selagi hidup.

    ii- Menunjukkan bahawa Allah-lah yang mematikan, semua di bawah kuasa Allah SWT Berhala dan segala sembahan kamu itu tidak ada kuasa apapun, maka tak perlu sembah ia bahkan ia yang kena sembah kamu!!

    iii-Untuk menunjukkan bahawa kehidupan kita ini ada 3 peringkat, hidup-mati, kemudian hidup balik!
    Maka Allah perkenalkan Dia-lah Tuhan yang akan mematikan kamu!
    Kamu nak atau tak nak, sir atau tak sir; kamu tetap akan dimatikan Allah SWT.
    iv- Semua orang takut mati maka apabila disebut amaran tentang mati; diharapkan dapat menakutkan & menyedarkan mereka.

    v- Untuk menyentap puak kafir yang melawan dan mencabar Nabi SAW untuk bawa azab.
    Maka Nabi beritahu kamu tak perlu cabar aku, jika azab datang matilah semua puak kamu ini!
    Inilah faedah Allah sebut sifat-Nya yang mematikan semua makhluk ini!
  1. Ayat 105- {“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘ Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik’.”}-

    Ayat ini Allah perintahkan kita untuk tetapkan pendirian, hadapkan diri kita kepada agama ini.
    Yakni hendaklan kamu istiqomah, tetapkanlah wajah & hati kamu kepada Allah & pegangan kamu dengan agama yang murni ini jangan kafir! 
    Dalam ayat ini Allah nyatakan perintah sedangkan dalam ayat pertama hanya khabar, ini kerana:
    i- Khabar sesuai dengan cerita yang lepas, Allah nyatakan dulu kafir binasa, kaum dulu syirik hancur musnah!

    ii- Manakala jika perintah maka sesuai dengan keadaan sekarang dan akan datang!
    Yakni kamu jika dulu kafir, sekarang ini jangan, hendaklah beriman & istiqomah!
    Maka dalam ayat ini Allah SWT sekali lagi nak didik kita orang yang beriman, orang Islam agar sentiasa istiqomah atas landsan yang benar, agama yang suci ini, jangan sesekali syirik!

    Kita tengok sekarang ini apabila kita beri pengajian & peringatan tentang bahayanya amalan syirik & perbuatan meminta dengan batu kayu atau batu nesan dan kubur; boleh mengundang syirik kepada Allah SWT; tiba-tiba datang mereka yang berselindung di sebalik fake akaun mengatakan inilah golongan pendakwah yang suka mensyirikkan orang, suka mengkafirkan & membid’ahkan orang!!! 

    Kita kata tuan-tuan: Bukalah mata, bukalah telinga dan lapangkan dada!
    Kita kena tahu membezakan antara orang yang mengkafirkan orang & orang menjelaskan tentang ciri-ciri kesyirikan & kekufuran.

    Kita hanya menyatakan perbuatan itu boleh membawa kepada syirik, mengundang kekufuran, terjebak dengan bid’ah dan khurafat juga boleh jadi kemungkaran jika dilakukan! 
    Berbeza dengan orang yang menjatuhkan hukum syirik & kafir ke atas orang lain!
    Di hadapan tuan-puan ada alat ada pelbagai gajet, ada video ada tulisan; lihatlah baik-baik dengan hati yang terbuka dan nilaikanlah sendiri dengan akal & fikiran yang waras, siapakah yang buat masalah dalam dunia sekarang ini soo yang mengkafirkan orang sebenarnya! 
  1. Ayat 106- {Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu.}-

    Allah memberi amaran agar jangan sembah patung berhala dan apa saja selain Allah! 
    Jika kamu sembah juga akan syiriklah kamu dan akan menjadi orang yang zalim!
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW maka menunjukkan bahawa betapa bahayanya syirik ini kerana sesiapa saja pun tak kira orang besar atau nabi sekalipun; jika terlibat dengan syirik akan gugur segala amalannya!

    Maka menjadi tugas para pendakwah & agamawan untuk menyatakan batasan antara iman & kufur, batas antara Sunnah & bid’ah dan batas antara kebaikan & kemungkaran! 
    Wajib kita kena berkerja menasihati umat ini daripada terjebak dengan dosa yang berat ini, kerana syirik adalah dosa yang tidak diampunkan Allah.
  1. Ayat 107- {Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan;… … dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan,…}-

    Dalam ayat ini Allah mulakan dengan berfirman jika Allah nak timpakan ke atas kamu bahaya dulu kemudian barulah jika Allah nak beri kepada kamu kebaikan pula.
    Ulama’ buat kajian, timbul persoalan kenapa berbeza antara kena yang buruk & dapat yang baik:

    i-Jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan;
    {وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ}

    ii- Dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan,
    {وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍۢ}

    Jawapan, kata ulama’ :
    i- Kerana., mudharat itu sesuatu yang nampak yang boleh dilihat seperti fitnah, musibah dilanda banjir, gempa dan seumpamanya: kerana itu Allah guna kalimah menimpa atau kena ke atas kamu { يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ}.

    ii- Manakala kebaikan kadang-kadang nampak kadang-kadang tidak. 
    Seperti Allah beri kepada kita iman, tak nampak kerana ia di dalam hati. 
    Begitu juga kegembiraan, ketenangan, kesedihan dan lain-lain yang tidak nampak.
    Kerana itu Allah kata Aku nak beri kepada kamu kebaikan { يُرِدْكَ بِخَيْرٍۢ} maka kebaikan itu yang bermacam-macam & pelbagai jenis yang ada!

    Jadi bila nak beri kebaikan Allah guna ayat yang lembut, dan bila ujian agak keras dan berat kerana Allah nak sentap kita agar sedar. 

    Sebagai pendakwah kita kena tenang dalam semua keadaan dan ujian yang datang. 
    Contoh jika ada yang menjadi tetamu walaupun kafir atau orang yang dianggap jahat, kita terima sebagai tuan rumah:

    i- Jangan terlalu menunjukkan kebencian & penghinaan kepada mereka, kerana kita nak mereka datang & keluar dengan melihat kebaikan Islam dan mendapat hidayah bukan keluar sebagai mayat!

    ii- Tetapi jangan terlalu menunjukkan kegembiraan & keterujaan yang melampaui pula, berpada-padalah!
    Jangan sampai mengguriskan perasaan saudara Islam kita yang dizalimi dan ditindas oleh mereka puak kafir yang jahat itu.
    Semoga Allah sembuhkan segala penyakit kita, jaga kita dari segala kejahatan, hilangkan segala tuduhan dan fitnah jahat orang yang hasad & busuk hatinya.

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top