View Categories

(36) Surah Yunus: Ayat 108-109

15 min read

ISLAM AGAMA YANG HAQ, WAJIB MENGIKUTINYA & SABARLAH MENGIKUT AGAMA ALLAH SWT.

Full video : https://youtu.be/gbG8HZ2Bxv8?si=Aodeo72cOcPi_j7y

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yunus dengan ayat 108 dan ayat 109 dalam juzuk kesebelas.
    Ini adalah ayat yang terakhir bagi surah Yunus dan menghampiri akhir juzuk kesebelas juga.
  1. Dalam dua ayat yang mulia ini Allah SWT nyatakan Islam adalah agama yang haq, yang benar & diiktiraf, yang diturunkan Allah SWT kepada semua hamba-Nya.
  1. Maka semua manusia wajib mengikuti agama ini. 
    Siapa yang ikut akan selamat dan siapa yang menolak pastilah celaka!
  1. Kemudian Allah beritahu kepada Nabi SAW agar bersabarlah dalam mengikut dan menyebar agama Allah SWT.
    Tiada yang senang dalam kerja dakwah ini pasti ada musuh yang tidak senang dengan Islam, al-Quran & Sunnah! 
    Pasti ada gangguan dan pengganggunya!
    Jika Nabi SAW pun Allah suruh sabar, apatah lagi kita yang dilempar pelbagai tohmahan & tuduhan juga ini. 
    Marilah kita beramal dengan apa yang diajar oleh Nabi SAW semoga kita selamat di dunia aman di Akhirat.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Ayat ini adalah penutup kepada surah yang agung ini, meringkaskan apa yang terkandung dalam surah ini, ia mengajar kepada kita agar mengikut Syari’ah Allah SWT melalui wahyu dibawa oleh Nabi SAW. 
    Dalam surah ini juga membincangkan dalil tentang keEsaan Allah, dalil tentang nubuwwah, & kebangkitan semula!

    ii- Maka di akhir ayat ini Allah nyatakan jalan untuk selamat, untuk bahagia dan untuk dapatkan ketenangan ialah dengan ikut jalan & agama ini sebagaimana yang telah dibawa oleh Nabi SAW.
    Allah seru semua manusia agar dengar kata & akur kepada perintah Allah jangan keras kepala & buat tak reti bahasa!
    Semua makhluk atas dunia ini dicipta Allah SWT, ditadbir oleh Allah SWT & diperintahkan semuanya untuk beriman kepada-Nya.
    Jika kamu beriman kamu yang dapat kebaikannya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 108- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI SEKAMU MANUSIA! TELAH DATANG KEPADA KAMU KEBENARAN (AL-QURAN) DARI TUHAN KAMU. OLEH ITU SESIAPA YANG MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK (BERIMAN KEPADANYA), MAKA FAEDAH HIDAYAH PETUNJUK ITU TERPULANG KEPADA DIRINYA SENDIRI; DAN SESIAPA YANG SESAT (MENGINGKARINYA) MAKA BAHAYA KESESATANNYA ITU TERTIMPA KE ATAS DIRINYA SENDIRI DAN AKU PULA BUKANLAH MENJADI WAKIL YANG MENGURUSKAN SOAL (IMAN ATAU KEINGKARAN) KAMU”.} (YUNUS 10:108)

  1. Allah perintahkan kepada Nabi SAW untuk sampaikan kepada seluruh manusia tidak kira bangsa apa dan di mana saja mereka berada; Bahawa telah datang kepada mereka kebenaran yang sangat nyata, yang tiada sebarang keraguan padanya iaitu al-Quranul Karim & Islam sebagai agama yang benar!
  1. Allah nyatakan perjalanan agama dalam al-Quran yang telah diturunkan ini serta telah nyatakan serta baik buruk perjalanan hidup kamu adalah berpandukan al-Quran. 
    Bukan apa yang akal kamu kata atau anggap baik.
    Jika ia bercanggan dengan Syari’ah Allah maka ia tidak baik! 
    Maka kewajipan kita belajar al-Quran.
  1. Siapa yang ikut petunjuk al-Quran, iaitu mesti baca & memahami al-Quran, tadabbur & beramal dengannya! 
    Jika baca saja tak faham, tak lengkap & tadabbur saja tak amal tidak sempurnajuga, begitu juga beramal saja tanpa belajar akan sesat juga!!! 
  1. Maka siapa yang beriman & ikut petunjuk, dialah yang selamat, yang dapat manfaat untuk dirinya sendiri dan tiada siapa boleh kacaunya!
    Ini kerana Allah beri hidayah & dia terimanya!!! 
    Yakni jika kamu beriman, buat baik semua manfaat & kebaikan itu kembali kepada diri kamu bukan kata ia memberi kekuasaan atau keuntungan bagi Allah! 
    Tetapi jika kamu kufur kamu cari pasal cari penyakit.
  1. Manakala sesiapa yang sesat, yang mengingkari dan menolak al-Quran- menyalahi jalan yang benar maka dia telah memudharatkan dirinya sendiri!
  1. Kerana itulah Allah namakan orang derhaka kepada Allah ialah orang yang zalim, iaitu menzalimi dirinya sendiri kerana mengundang kemurkaan Allah dan bala bencana ke atas dirinya sendiri! 
    Zalim paling besar ialah syirik manakala dosa-dosa lain lihat kepada jenisnya!
  1. Di akhir ayat Allah kata : {dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingakaran) kamu.}- yakni katakan wahai Muhammad SAW:
    i- Bahawa Nabi bukan boleh paksa iman ke atas mereka & menjaga amal buat mereka,

    ii- Tugasnya hanya menyampaikan perintah Allah (البلاغ), memberi berita gembira (بشير) bagi orang yang taat & beriman.
    Serta memberi amaran {نذير} bagi mereka yang kufur ingkar tentang balasan neraka.
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {(Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu”.} (Al-An’am 6:104)
    Maka sesiapa yang ambil dalil kebenaran dari Tuhan itu untunglah dirinya manakala sesiapa yang buta menolaknya maka celakalah dia & Nabi Muhammad SAW bukanlah penjaga mereka!
  1. Semua ayat ini menunjukkan bahawa tugas Nabi SAW hanyalah menyampaikan, memberi khabar gembira & memberi amaran!

AYAT 109- {DAN TURUTLAH APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAMU SERTA BERSABARLAH (DALAM PERJUANGAN MENGEMBANGKAN ISLAM) SEHINGGA ALLAH MENGHUKUM (DI ANTARAMU DENGAN GOLONGAN YANG INGKAR, DAN MEMBERI KEPADAMU KEMENANGAN YANG TELAH DIJANJIKAN), KERANA DIA LAH SEBAIK-BAIK HAKIM.} (YUNUS 10:109)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat-ayat yang lepas telah banyak Allah sebut kepada kita nasihat & peringatan supaya beriman kepada Allah, mengikut Rasulullah SAW dan hidup berpandukan al-Quran.

    ii- Maka datang ayat ini sebagai penutup surah ini, Allah SWT beri arahan kepada Nabi SAW bahawa tugas Baginda hanya ikut taat kepada wahyu dan perintah yang Allah sampaikan.
    Manakala sesiapa yang terima dakwahnya akan selamat & sesiapa yang ingkar menolak akan kerugianlah!!! 
  1. Allah berfirman kepada Nabi SAW bahawa semua yang Allah wahyukan kepadanya daripada al-Quran ini, kamu terima & percayakannya semuanya, beramal dengan seluruh hukum yang ada di dalamnya! 
    Jangan pilih-pilih yang kamu nak saja!
  1. Antara tindakan terpilih umat Islam ialah perbezaan yang sangat ketara dalam hukum riba & rasuah; sedangkan kedua-duanya adalah dosa besar dalam al-Quran!!! 
    i- Allah sebut tentang riba beberapa kali dalam al-Quran serta hukum pengharamannya sangat keras iaitu perisytiharan perang dengan Allah & Rasul-Nya bagi sesiapa yang ambil riba! 
    Tetapi hakikatnya hari ini orang Islam ambil riba tiada siapa yang peduli- dikira dosa peribadi tanpa ada tindakan atau hukuman!

    ii- Berbeza dengan rasuah yang ada akta khas untuknya, ditubuhkan badan pencegahan rasuah serta hukuman yang keras ke atas pengamalnya!
  1. Inilah yang dikatakan hukuman terpilih dalam al-Quran, diambil yang dia nak & ditinggalkan yang tak nak, yang setuju dengan nafsu diambil yang tak setuju dibuat tak tahu! 
    Perintah untuk beramal dengan al-Quran adalah untuk melaksanakan seluruh undang-undangnya! 
  1. Contoh lagi kita dapat lihat orang kaya yang suka pergi menunaikan haji atau umrah, hampir saban tahun, tetapi di luar waktu ibadat itu tidak pula menutup auratnya!!! 
    Bahkan ada yang bukan sekadar jemaah biasa saja, tetapi pengendali umrah & haji lagi syarikatnya! 
    Allahu al-Musta’an!
    Inilah yang dikatakan agama memilih-milih apa yang dia nak saja!
  1. Maka datang ayat ini untuk beramal & istiqomah dengan seluruh hukum-hakam dan undang-undang Syari’ah Islam; jangan dipilih-pilih. 
    Semua yang diwahyukan oleh Allah kita ikut, yang dilarang ditinggalkan, yang diperintahkan diambil-buat, yang kesamaran dijauhi & yang buruk dihapuskan, barulah kita selamat insya’ Allah.
  1. Allah SWT perintahkan kepada Nabi SAW & kepada kita semua, dalam kerja dakwah ini jangan bermudah-mudah, berusahalah dengan bersungguh serta bersabarlah dalam perjuangan mengembangkan agama Islam.
  1. Yakni kamu bersabarlah ketika berpegang, beramal dan menyebarkan apa yang diwahyukan Allah SWT kepada kamu serta terhadap penentangan puak kafir! 
    Sehingga Allah putuskan hukum antara kamu & mereka. 
    Pada waktu itu penyesalan yang kufur tiada guna lagi, silap & ruginya tidak ikut Nabi & Islam. 
    Bak kata pepatah: Nasi sudah menjadi bubur, sudah terantuk baru terngadah!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
    {Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.} (Al-Nahl 16:127) 
  1. Yakni bersabarlah wahai Nabi SAW, kesabaran itu kerana kamu telah berdakwah pada jalan Allah, kamu jangan sedih atas kekufuran kaum-mu, yang mendustakanmu, kerana kamu telah menunaikan tanggungjawab dengan menyampaikan dakwah & bimbingan kepada mereka! 
    Kerana mereka menolak tak mahu beriman, merekalah yang rugi serta ingatlah hidayah taufiq itu hanya milik Allah & di bawah kuasa-Nya.
  1. Ini kerana Dia-lah sebaik-baik Hakim, Allah sebaik hakim yang memutuskan hukuman antara orang yang berkelahi & Allah akan jatuhkan hukuman di antara Nabi SAW & orang yang menyalahinya.
  1. Kata ahli tafsir : Nabi SAW telah taat & ikut 100% perintah Allah SWT dan tetap pendirian di atas jalan yang benar sehinggalah Allah putuskan hukuman antara Baginda & penentang-penentangnya!
  1. Akhirnya segala penentang-penentang Nabi SAW semuanya mati & dijatuhkan hukuman.
    Ada juga yang tak mati & sempat masuk Islam, itu adalah nikmat yang Allah anugerah ke atas mereka.
  1. Kita orang teruskan buat kerja berdakwah menyebarkan Islam; berjaya atau tidak itu bukan kuasa kita. 
    Jika berdakwah kena berjaya baru betul, maka nyayalah kerana ramai nabi yang berdakwah tetapi sikit yang ikut mereka, maka seolah tak berjayalah!
  1. Alhamdulillah kita akan ikut apa yang diperintahkan Allah SWT walaupun kita disakiti dan dituduh macam-macam, kerana dunia ini hanya seketika. 
    Selepas ini kita akan bertemu di hadapan Allah SWT.
    Di Akhirat kelak adalah hari didedahkan segala rahsia! 
    Alhamdulillah tamatlah tafsir surah Yunus ini dan sekarang kita mencari 5 faedah darinya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 108- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekamu manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu.}-

    Telah datang kepada kamu kebenaran {ٱلْحَقُّ} iaitu al-Quran kitab yang benar, yang diturunkan oleh Allah kepada kita untuk kita baca, amal & ikut.
    Bukan sekadar kitab untuk jadi perhiasan, sebagai upahan, pertandingan dan dilagukan saja! 
    Bukan sekadar dilagukan saja tetapi kena seiring baca, tadabbur, faham dan amal!!! 
    Sudah bertahun al-Quran dijadikan musabaqah tetapi tiada ada undang-undang al-Quran digubalkan untuk diamalkan secara rasmi!!
    Maka dalam ayat ini Allah kata al-Quran turun dari Tuhan kamu {مِن رَّبِّكُمْ}- bukan kata dari Allah.
    Hikmahnya kerana Rabb adalah Tuhan Pentadbir, Pengatur & Pendidik yang menunjukkan kepada Dia-lah Tuhan yang mencipta kamu, menyusun-atur kamu & mendidik kamu. 
    Yakni kata ulama’ : {مِن رَّبِّكُمْ} Ini kamu kena yakin Allah yang turunkan Quran, Allah yang perundangkan al-Quran, jadi jika kamu benar-benar beriman ikutlah apa yang ada dalam al-Quran!

    Jadi apa boleh buat kita hanya ambil separuh jalan tinggal separuh jalan; bab ibadat kita ambil tetapi dalam bab perundangan diketepikan, tak ambil dengan alasan belum sampai masa lagi!

    Kita orang Islam mengharapkan agar undang-undang Islam dapat dilaksanakan!
  1. Ayat 108- { Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri;…}-

    Allah kata siapa yang dapat hidayah dan ikut jalan yang dinyatakan Allah, ikut apa yang diperintahkan Allah SWT; itulah orang yang akan mendapat kebahagiaan untuk dirinya sendiri!
    Jangan kata diri kita seolah robot yang hanya akan menerima apa saja taqdir yang telah ditetapkan ke atas kita! 
    Sebagai firman Allah SWT :

    {Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.

    Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).} (Al-Insan 76: 2-3)
    Allah kata Dia telah tunjukkan kepada kita jalan yang betul maka kamu pilihlah. 
    Tak boleh kata kita macam-macam robot yang tiada pilihan kerana Allah telah pasang kepada kita akal, yang dengan akal kita berfikir, mengkaji & menyelidik!

    Maka Allah bagi tawaran; siapa yang ikut maka dia akan bahagia dirinya!

    Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menunjukkan telah datang kepada kita jalan kebenaran, kamu ambil kamu akan akan selamat, kamu tak ikut kamu akan celaka- yakni kita ada pilihan di tangan sebagai manusia!!!!
  1. Ayat 108- {… dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri…}-

    Siapa yang sesat, pilih jalan buruk tak ikut jalan al-Quran, tak ikut Sunnah Nabi SAW, tak ikut yang Nabi ajar ikut cara yahudi atau Nasrani, maka kesesatan itu akan naik ke atas kepalanya sendiri! 
    Maknanya kamu sendiri yang pilih jalan yang salah, jalan yang tak betul!

    Atas dunia ini tiada siapa tahu lorong yang selamat untuk ke Akhirat kecuali lorong yang mengikut al-Quran & Sunnah.
    Sama seperti kita nak ke mana-mana ikut waze atau google map, jangan terlalu percaya bulat & ikut seperti buta, kena guna juga pengetahuan & pengalaman yang kita ada atau pengalaman orang lain yang telah melaluinya! 
    Jangan sampai sehingga kita di bawa ke dalam hutan bukit atau ke dalam sungai dan kubur! 

    Begitulah jangan kita percaya sangat & ikut kepada orang putih (kafir) dengan menganggap mereka hebat!
    Maka sesiapa yang sesat dia sendiri yang cari penyakitnya! 
    Jadi sekarang ini pilihan ada di tangan kita, macamana nak pilih?

    Jangan lupa kita ada di depan kita al-Quran & Sunnah Nabi SAW. Nabi SAW sebut dengan jelas dalam hadis, berpegang & ikutlah Sunnahku.

    Mereka yang paling layak dan berautoriti untuk menafsirkan Sunnah Nabi SAW ialah para sahabat, kemudian mereka yang ikut sahabat.
    Maka kita baliklah kepada kurun yang terawal, apakah tafsir mereka kepada agama ini!
    Kita balik ikut apa yang diperintahkan Allah SWT insya’ Allah kita akan selamat!

    Kerana itu di akhir ayat ini Allah kata- {… dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu“.}- yakni Nabi SAW kata dia bukan penjaga atau wakil mereka, tugas Nabi SAW hanya menyampaikan, ini jalanku, sama ada kamu nak ikut atau nak kufur kamu cari pasal!!
  1. Ayat 109- {Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu.}-

    Ayat ini jelas sekali maksudnya.
    Perbincangan ulama’:
    i- Kata ulama’ tadabbur : Dalam ayat ini Allah guna sighah present tense (مضارع)- bagi perkataan {yang diwahyukan- يُوحَىٰٓ}- jika nak kira wahyu itu telah diwahyukan lama dulu bukan sekarang, sepatutnya guna sighah telah lepas, past tense (ماضي).

    Hikmahnya kata ulama’ tafsir : 
    Allah mahu kita rasa seolah wahyu itu baru turun sekarang, sentiasa hidup wahyu itu bukan sesuatu yang lepas dan kering, telah lama turun 1400 tahun dulu lagi! 

    Bila kita baca barulah rasa segar & sentiasa hidup wahyu itu.

    ii- Tetapi kenapa dalam ayat lain apabila disebut tentang Nabi SAW di guna sighah telah lepas (ماضي) pula? 
    Seperti firman Allah ini: 
    {Telah datang kepada kamu seorang rasul- 
    لَقَدْ جَاۤءَكُمْ رَسُوْلٌ}
    Jawapannya: 
    Nak cerita bahawa jawatan Nabi yang terakhir sudah ada dan confirmed di depan mata kamu, kenapa kamu tak mahu ikut?? 
    Jawatan Nabi itu sudah tetap tiada siapa boleh pertikaikannya.
    Manakala wahyu yang ada ini adalah kitab yang hidup & mukjizat yang kekal sehingga ke hari Kiamat. 
    Tiada siapa boleh pertikaikan dengan mengatakan al-Quran adalah sebuah kitab lama! 
    Kitab & mukjizat yang kekal abadi.
    Bukan seperti buku kita yang setiap kali dicetak pasti ada penambahan atau pembaikian dan berubah bertukar rupanya!
  1. Ayat 109- {Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar,)..}-

    Allah perintahkan Nabi SAW agar bersabar atas segala kesusahan dan ujian yang dihadapi dalam berdakwah mengembangkan agama ini sehingga Allah putuskan hukuman antara kamu & mereka.
    Jika kita baca kitab Sirah Nabi SAW betapa jahat dan kuatnya pengkhianatan musyrikin Quraisy terhadap Nabi SAW, Nabi SAW telah bersabar & menanggung kesusahan bertahun-tahun! 

    Baginda dan kabilahnya bani Hasyim & bani Muttalib diboikot putus hubungan oleh kaum & keluarganya sendiri selama 3 tahun hidup dalam kesusahan & keperitan yang amat zalim.

    Adalakanya orang sabar juga mengambil tindakan, di mana Nabi SAW telah mendoakan keburukan ke atas BAGHIDH penulis surat perjanjian boikot itu sehingga lumpuh tangannya.
    Maka para pendakwah yang dituduh orang & disenarai burukkan oleh mereka yang keluarkannya, insya’ Allah jika tak lumpuh tangan penulis & penyebar fitnah itu atas dunia ini pun, kita bertemulah di Akhirat kelak! 

    Kita pun sakit kepala juga dengan tuduhan itu!!! 
    Kita sabar sama ada Allah tunjuk atas dunia mereka atau Allah balasnya di Akhirat kelak!

    Kita sabar & padahnya kembali kepada mereka! Kita doakan semoga Allah hidayahkan kepada kita jalan yang benar, jalan yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. 

    Masalahnya mereka telah buat satu istilah yang buruk, tuduhan seperti sesat dan tuduh Allah seperti makhluk & istilah itu diletakkan atas kepala orang dituduh!
    Bermakna secara direct dia mengkafirkan & menyesatkan orang yang dituduh itu!!!

    Maka siapa tumpang sama share, forward menyokong tuduhan itu bermakna dia juga tumpang sama menyesatkan senarai orang yang dituduh itu dan senarai itu tidak sedikit.
    Panjang senarai itu nak boleh ke lepas perhitungan penuduh dengan sorang-sorang yang dituduh; lama masanya nak lepas di Akhirat kelak nak selesai sama ada ke syurga atau neraka!!!

    Kita sabarlah, dakwah ini bukan sekadar boleh hanya dihentikan dengan fake akaun yang buat tuduhan, sedangkan Nabi SAW diboikot sehingga tiada makanan. 

    Pengkhianatan yang dibuat oleh Quraisy kepada Nabi SAW sebelum hijrah amat dahsyat! 
    Bacalah kitab Sirah, ia bukan buku novel yang dibaca sekadar untuk suka-suka.

    Kitab Sirah Nabi SAW untuk kita hayati perjuangan Nabi SAW yang penuh dengan duri, air mata & darah. 
    Bukan dihampar dengan permaidani indah & tarian yang melaghakan! 

    Alhamdulillah kita telah khatam surah Yunus dengan sebanyak 36 siri pada pagi ini.

    Doa:
    Ya Allah dengan nama-Mu yang maha indah & sifat-Mu yang maha tinggi, curahkanlah ke dalam hati kami cinta kepada Allah & Rasulullah, tanamkan dalam hati kami cintakan al-Quran dengan tadabbur & memahaminya, cintakan Sunnah Nabi SAW dengan mengamal & menyebarkannya.

    Ya Allah sebagaimana Nabi bersabar dalam menghadapi ujian dan penentangan kaumnya, berilah juga kami kesabaran untuk menyampaikan apa yang benar daripada al-Quran & Sunnah ini. 

    Ya Allah bukakanlah pintu hati saudara-saudara kami supaya mencintai al-Quran & Sunnah, benci kepada bid’ah & mungkar, menjauhi fitnah, dosa dan maksiat serta semua yang tidak baik! 
    Ya Allah berilah kepada kami semangat untuk terus belajar al-Quran ini sehingga khatam dengan memahami & beramal dengannya!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya. 

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top