Table of Contents
MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH & MUNASABAH DENGAN HUD

Full video : https://youtu.be/Dy-Qs9X2IM0?si=FUSk_S5LkjVo_Jgv
MUQADDIMAH SURAH YUSUF (يُوسُفَ) #
- Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada pagi ini kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Yusuf – سورة يوسف, surah yang kedua belas dalam al-Quran & dihujung juzuk yang kedua-belas.
- Surah ini diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah.
Ijma’ ulama’ tafsir mengatakan: Ia adalah surah Makkiyyah, mengandungi 111 ayat.
- Dinamakan surah “Yusuf –يُوسُف” (Perihal Nabi Yusuf).
- Ini kerana surah-surah yang mengandungi kisah & cerita nabi dan umat terdahulu biasanya Makkiyyah sebagai contoh pengajaran bagi memberi motivasi & menenangkan hati Rasulullah SAW dan menguatkan semangat orang Islam yang menghadapi ancaman dan tekanan pada permulaan Islam.
NAMA SURAH #
- Dinamakan Surah Yusuf – سورة يوسف (Perihal Nabi Yusuf) kerana kisahnya memenuhi hampir-hampir seluruh surah ini, dari ayat 4 hingga ayat 101 yang menceritakan kisah mengenai Nabi Yusuf secara penuh.
- Nama Nabi Yusuf ada disebut dua kali lagi dalam surah al-An’am & surah Ghafir, nama saja bukan ceritanya!
- Dalil nama surah ini telah dikenali pada zaman sahabat ialah:
i- Hadis dari Uqbah bin ‘Amir RA: “Aku berkata: Wahai Rasulullah SAW bacakan kepada ku surah Hud & surah Yusuf…”, sehingga akhir hadis. [HR an-Nasaei, Ahmad dan lain-lain].
ii- Dari Ibnu Mas’ud RA: Aku berada di Hims, Syria dan penduduk di sana meminta aku membaca al-Quran, lalu aku membaca surah Yusuf.
Banyak riwayat yang menyebut bahawa surah Yusuf dikenali dengan namanya itu di kalangan sahabat RA.
KEISTIMEWAAN SURAH YUSUF #
- Ini adalah satu-satunya surah yang menyebut tentang kisah Nabi Yusuf tiada disebut ceritanya dalam surah lain, bukan seperti nabi lain, contoh kisah Nabi Musa yang bersiri dan disebut dalam banyak surah.
- Ia berbeza dengan surah-surah lain, kerana kisah Nabi Yusuf AS ini dikumpulkan hanya dalam satu surah ini sahaja bermula dari dia kecil sehingga dilantik menjadi rasul dan kisahnya selepas itu sehingga tamat.
- Hikmahnya kerana:
i- Kisah para anbiya’ lain diulang-ulang kerana Allah mahu puak kafir Quraisy yang ada di depan Rasulullah SAW tidak lupa akan kebinasaan kaum terdahulu.
Sentiasa ada peringatan untuk mereka agar jangan mengulagi perbuatan yang sama seperti kaum terdahulu jika tidak mereka juga akan binasa.
Seperti kaum Ad & Thamud yang mereka kenal & tahu tempatnya.
Sebagaimana firman Allah SWT:
i- {.. dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.} (Al-Anfal 8:38)
ii- {Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?} (Al-An’am 6:6)
iii- Manakala surah Yusuf bukan menceritakan tentang kebinasaan tetapi adalah tentang kesabaran- bagaimana sejak Nabi Yusuf AS diuji dan ditimpa kesusahan, dan Baginda bersabar, kerana Allah nak tunjukkan selepas kesusahan pasti ada kesenangan.
Tentang pembalasan yang mana akhirnya menunjukkan bahawa kebenaran dan kebaikan akan sentiasa berpihak kepada kemenangan.
iv- Kisah Nabi Yusuf lebih kepada kisah kekeluargaan, betapa dalam satu keluarga pasti ada sahaja perselisihan, dengki cemburu dan seumpamanya sesama adik beradik.
Allah beri kepada kita dalam surah ini kesedaran tentang peraturan dalam kekeluargaan.
Jangan berlaku tidak adil dengan tunjukkan kita cenderung mengutamakan atau pilih kasih di kalangan anak-anak!
- Cerita nabi Yusuf adalah cerita yang paling panjang dalam al-Quran:
i- Dibuka dengan 3 ayat yang menyebut tentang mukjizat & kelebihan al-Quran dan kisah-kisah dalam al-Quran.
ii- Kemudian dari ayat ke-4 bermulalah cerita Nabi Yusuf AS dengan lengkap tanpa menyebut pun kisah nabi lain.
Satu kisah yang menarik & penuh iktibar dan pengajaran tentang kekeluargaan & kesabaran.
iii- Surah ini ditutup dengan 10 ayat terakhir yang menyebut tentang dalil kesimpulan akan kerasulan nabi Yusuf, kerasulan Nabi Muhammad SAW dan semua nabi-nabi lain.
Serta kedudukan al-Quran sebagai mukjizat dan maklumat ini tiada siapa tahu kecuali Rasulullah SAW dapatnya dari Allah SWT.
Menunjukkan bahawa Baginda menerima wahyu dari Allah!
Alhirnya Allah suruh kita ambil pengajaran & tauladan dari kisah Nabi Yusuf ini!
MAQASID/OBJEKTIF SURAH #
- Menjelaskan bahawa kesudahan yang baik dan kemenangan adalah bagi orang beriman yang bertaqwa & sabar, walaupun diuji dengan pelbagai tribulasi dan kesusahan.
Nabi Yusuf terbuang pada peringkat awal tetapi terbilang pada akhirnya!
- Memberi ketenangan dan penghiburan kepada Rasulullah SAW dan para sahabat, serta menguatkan jiwa mereka dalam menghadapi ujian dakwah.
Mereka yang diganyang & ditindas di Makkah oleh Abu Jahal dan gengnya!
Kerana itu kata ulama’: Siapa mahu mencari ketenangan baca & tadabburlah surah Yusuf yang mengandungi banyak ilmu psikologi, nasihat tentang motivasi, keluargaan, kesabaran & ketenangan dari surah yang mulia ini!
ISU PENTING DALAM SURAH TAFSIR MUHARRAR #
- Cerita Nabi Yusuf lengkap dalam satu surah saja!
Surah & kisah nabi-nabi lain tidak ada yang begini, bahkan ia bersiri di dalam beberapa surah yang terpisah.
Ada ulama’/penulis seperti Syeikh Dr Solah al-Khalidi yang mengumpulkan kisah seseorang Nabi yang diambil dari al-Quran.
Tetapi kena ingat kisah dari al-Quran adalah kisah benar untuk pengajaran bukan kisah novel.
- Apa yang terserlah keistimewaannya adalahnya detail & lengkapnya kisah dalam ini surah ini:
i- Dalam 3 ayat pertama dinyatakan kelebihan al-Quran yang menunjukkan keagungan al-Quran dan keindahan gaya penceritaan (القَصَص) serta bukti kemukjizatannya.
ii- Menceritakan mimpi Nabi Yusuf, dia bermimpi dan diceritakan kepada ayahnya. Kemudian hasad dengki saudara-saudaranya yang membuat komplot dan konpirasi perancangan mereka terhadapnya untuk memisahkan Nabi Yusuf AS dari bapanya.
iii- Kedatangan kafilah/rombongan perdagangan yang menjumpai Nabi Yusuf dan membawanya balik ke Mesir dan menjualnya!
Nabi Yusuf dibeli & diperlihara oleh al-Aziz dan membesar dirumahnya apabila dewasa Perjalanan hidup Yusuf di rumah al-‘Aziz, godaan isteri al-‘Aziz, peristiwa kebenaran yang terbongkar, dan bukti kesuciannya daripada fitnah.
iv- Nabi Yusuf akhirnya dipenjarakan walaupun dia tidak bersalah, untuk menutup malu pembesar al-Aziz.
Tetapi Yusuf bukan seorang yang mudah koyak- beliau terus berdakwah di dalam penjara kepada tawanan lain, mengajak kepada seruan tauhid & ketuhanan Allah swt.
Juga tafsiran mimpi mereka, yang terbukti benar.
v- Tafsiran mimpi raja, bagaimana Yusuf dikeluarkan dari penjara, dibersihkan namanya dan diberi kedudukan dalam kerajaan.
Raja Mesir bermimpi melihat 7 ekor lembu kurus makan 7 ekor lembu gemuk.
Raja minta para pembesar tafsir mimpinya tetapi tiada siapa yang dapat menafsirkannya.
Kawannya bekas ahli penjara tadi teringat kepada Yusuf yang menafsirkan mimpinya dengan tepat.
Raja lalu mengutuskan untuk dipanggil Yusuf, tetapi Nabi Yusuf tidak mahu pergi kecuali dibersihkan dulu namanya bahawa tuduhan terhadapnya dulu adalah palsu & tidak benar!
Akhirnya terserlah bahawa Yusuf dizalimi bukan kerana dia seorang yang jahat!
Inilah prinsip yang perlu kita pegang, dalam hidup bersihkan nama kita jika kena fitnah.
vi- Peristiwa kedatangan saudara-saudaranya ke Mesir, Nabi Yusuf bertemu dengan saudara-saudaranya tanpa mereka mengenalinya.
Kisah helah Yusuf terhadap mereka serta ujian ke atas mereka.
vii- Pertemuan kedua Yusuf dengan saudara-saudaranya, terbuka rahsia dan kelembutan hati Yusuf yang memaafkan, tidak sebut kisah telaga dan kembalinya mereka kepada bapa mereka.
Nabi Yusuf meminta saudaranya bawa semua keluarga mereka seperti ibu ayah ke istananya di Mesir.
Sebagai tanda Yusuf kirim bajunya lalu bapanya yang telah buta akibat menangis kesedihan kerana kehilangan anaknya telah celik kembali!
vii- Pertemuan semula keluarga Nabi Ya‘qub dan Nabi Yusuf di Mesir.
Apabila semua keluarga berangkat dari Syam ke Mesir, tiba diistana dan Yusuf letakkan ibubapanya di atas takhta dan semuanya bersujud sebagai penghormatan kepada Baginda dan kurniaan Allah ke atas mereka.
ix- Penegasan bahawa kisah ini benar-benar wahyu daripada Allah, bukan rekaan.
Dalam 10 ayat terakhir Allah bawa ayat untuk kita berfikir, bahawa al-Quran ini adalah datang dari Allah!
Ia menjadi bukti kenabian Rasulullah SAW & kebenaran dakwah tauhid; takkan kisah yang begitu unik ini boleh direka oleh Rasulullah SAW yang tidak membaca & tidak menulis.
INTISARI KANDUNGANNYA (PIMPINAN AR-RAHMAN) #
- Menerangkan kebenaran Al-Qur’an dan menegaskan bahawa Al-Qur’an diturunkan dalam bahasa Arab untuk dibaca, difahami, diamalkan perintah-perintahnya, dan disampaikan kepada seluruh umat manusia.
- Dengan tujuan memberi semangat kepada Junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang sedang menghadapi ujian pertentangan keras dari kaum kafir musyrik.
Allah Ta’ala menceritakan kepadanya kisah Nabi Yusuf AS yang telah mengalami berbagai penderitaan dan menempuh berbagai-bagai ujian tetapi akhirnya ia telah selamat dan berjaya disebabkan kesabarannya, kejujurannya, dan imannya yang teguh.
- Kisah Nabi Yusuf bermula ketika ia masih kecil.
Ia bermimpi melihat matahari dan bulan serta sebelas bintang tunduk memberi hormat kepadanya.
Setelah ia memberitahu tentang mimpinya kepada ayahnya, ayahnya menasihatinya supaya ia jangan menceritakannya kepada saudara-saudaranya, kerana dikhuatiri mereka akan menaruh iri hati kepadanya.
- Tetapi apa yang dibimbangkan oleh ayahnya itu telah berlaku.
Saudara-saudara Yusuf (yang berlainan ibu) telah membawanya ke tempat yang jauh dan membuangnya ke dalam perigi.
- Yusuf kemudian diambil oleh ahli perniagaan yang singgah mengambil air di situ, lalu dijual sebagai hamba abdi dan akhirnya dibeli oleh seorang pegawai tinggi di Mesir.
Yusuf yang masih budak mentah telah dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh pegawai itu hinggalah ia besar panjang sebagai seorang pemuda yang tampan dan cantik parasnya.
- Zulaikha, isteri pegawai itu, jatuh hati kepadanya dan cuba menggodanya tetapi Yusuf tetap menolak.
Akhirnya Yusuf, dengan angkara dan fitnah Zulaikha, telah dipenjarakan.
- Oleh kerana Yusuf dapat mentadbirkan mimpi raja Mesir, raja itu tertarik hati kepadanya lalu diperintahkan supaya ia dibebaskan dan dibawa mengadap.
Tetapi Yusuf tidak segera menerima pembebasan itu bahkan memohon supaya Zulaikha dan perempuan-perempuan yang bersyubahat dengannya disiasat lebih dahulu.
Setelah disiasat, Zulaikha mengaku akan kesalahannya, dan jelaslah kebenaran Yusuf, kesuciannya serta kejujurannya.
- Semenjak itu Yusuf mendapat kedudukan yang tinggi sebagai perdana menteri.
Dalam masa inilah saudara-saudaranya yang telah menganiayakannya datang ke Mesir meminta bantuan kerana negeri mereka (Palestin) ditimpa kebuluran.
Mereka tidak mengenalinya tetapi Yusuf kenal mereka dan menyembunyikan hal itu.
Yusuf memberikan bantuan yang diperlukan dan akhirnya mereka dan kedua ibubapanya dibawa berpindah ke Mesir.
- Dalam pertemuan yang menggembirakan itu, Yusuf diberikan penghormatan yang selayaknya oleh kedua ibubapanya dan sebelas orang saudaranya menepati sebagaimana yang telah dilihatnya dalam mimpinya dahulu.
(Ia melihat matahari dan bulan serta sebelas bintang tunduk memberi hormat kepadanya).
- Pada saat itu Nabi Yusuf bersyukur kehadrat Allah ‘Azza wa Jalla sambil memohon akan “Husn’ul-Khaatimah” (kesudahan yang baik, mati dalam Islam) sesudah ia dikurniakan dengan berbagai-bagai nikmat yang tidak ternilai.
- Pada penutupnya Allah Ta’ala menerangkan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa jika kisah Nabi Yusuf itu tidak diceritakan di dalam Al-Qur’an yang diwahyukan kepadanya tentulah ia tidak mengetahuinya; dan apa yang telah diceritakan mengenainya itulah sahaja yang benar.
Di samping itu diperintahkan supaya baginda menjalankan apa yang diperintahkan di dalam Al-Qur’an dan bersabar serta tetap teguh dalam perjuangan mengembangkan Islam.
MUNASABAH ANTARA SURAH YUSUF NI DENGAN SURAH HUD SEBELUMNYA #
- Surah Yusuf datang selepas Surah Hud:
i- Dalam surah Hud terdapat kisah tujuh orang anbiya’ & kaumnya yang binasa; bermula dari Nabi Nuh AS, Nabi Hud AS, Nabi Soleh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Lut AS, Nabi Syu’aib AS dan Nabi Musa AS dengan uslub gaya bahasa yang berbeza dan plot cerita yang hampir sama.
ii- Dalam Surah Hud, pengajaran disampaikan melalui kisah ramai para nabi dan umat yang dibinasakan kerana ingkar, sifatnya ancaman, peringatan, dan ketegasan (تخويف).
Tujuannya sebagai ancaman dan peringatan juga untuk kaum kafir Quraisy yang setiap masa ada saja menentang Nabi SAW.
B- Surah Yusuf pula:
i- Surah Yusuf pula lengkap kisah tentang Nabi Yusuf dari awal hingga akhirnya yang tiada dalam surah lain di dalam al-Quran.
Ini juga untuk menjawab tohmahan (jika ada) bahawa kisah dalam al-Quran tidak lengkap & terutus-putus; maka lihatlah kisah Yusuf dalam surah ini yang lengkap kisahnya dari awal sehingga akhirnya sejak kecil sehingga dewasa Nabi Yusuf AS.
Inilah mukjizat al-Quran, Allah pelbagaikan cara kisahnya ada yang lengkap ada yang pendek-pendek.
ii- Dalam surah ini pengajaran disampaikan melalui satu kisah yang panjang dan lengkap, sifatnya penghiburan, ketenangan, sabar dan harapan (تسلية وطمأنينة).
- Kerana itu kata ulama’ tadabbur: Allah sebut kisah-kisah dalam al-Quran berulang tetapi dalam plot & uslub yang berbeza menunjukkan akan:
i- Ketinggian bahasa (balaghah al-Quran).
ii- Allah nak nyatakan kamu duduklah dari awal sehingga akhir-kisah ini hanya satu saja tidak bercanggah bahkan bersambung & ada kesinambungan!
Kerana itu dikatakan al-Quran seperti buah kurma- makin dikunyah makin terasa kemanisannya!
PENUTUP #
- Alhamdulillah inilah muqaddimah, intisari kandungan dan pengenalan kepada surah Yusuf ini.
- Insya’ Allah besok dalam siri berikutnya kita akan mula baca ayat & tafsirannya bermula dari ayat 1.
Tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 30/12/2025 / 09 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1CfyHRB81G/
Semoga Bermanfaat
