View Categories

(10) Surah Yusuf: Ayat 30-32

11 min read

Wanita Di Mesir Kutuk Isteri Al-Aziz, Beliau Jemput Datang Jumpa Yusuf & Amaran Yusuf Akan Dipenjarakan.

♥ Live Pagi Sabtu 10/01/2026 / 20 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (10) Ayat [30-32] ♥

Full video: https://youtu.be/BqvKLaLokME?si=ADoypTqJEn26TMMp

Muqaddimah: #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 30 sehingga ayat 32 dalam juzuk keduabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan peristiwa hitam yang berlaku di rumah al-Aziz iaitu isteri menggoda anak angkat mereka sendiri iaitu Yusuf yang menolak dan melarikan diri.

Walaupun kisah ini cuba dirahsiakan- tetapi mulut manusia tetap tidak boleh ditutup lalu virallah kisah ini lalu para wanita di bandar Mesir mengutuk isteri al-Aziz, yang dikatakan sesat dalam nafsunya.

  1. Isteri al-Aziz tidak duduk diam, dia lalu menjemput semua mereka yang mengutuknya datang ke istananya untuk berjumpa Yusuf. Mereka juga kagum & terpesona melihat ketampanan Yusuf.
  2. Isteri al-Aziz juga mengatakan bahawa jika Yusuf tetap menolak ajakannya, dia memberi amaran bahawa Yusuf akan dipenjarakan dan akan menjadi orang yang hina!
  3. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan selepas berlaku insiden yang tidak diingini, isteri al-Aziz menggoda Yusuf, bertembung dengan suaminya di muka pintu, ada saksi yang memberi dalil yang membuktikan bahawa Yusuf tidak bersalah.

Cerita ini cuba disembunyikan tetapi apa boleh buat- mulut tempayan boleh ditutup tetapi tidak mulut manusia!!

ii- lalu viral dan tersebarlah kisah ini di bandar Mesir, para wanita lain mengutuk dan mengata terhadap isteri al-Aziz yang menggoda pemuda peliharaannya sendiri!

Apabila sampai berita kepadanya, wanita itu tidak berdiam diri; lalu membuat tindakan balasan untuk mereka!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِى ٱلْمَدِينَةِ ٱمْرَأَتُ ٱلْعَزِيزِ تُرَٰوِدُ فَتَىٰهَا عَن نَّفْسِهِۦ ۖ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا ۖ إِنَّا لَنَرَىٰهَا فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ ‎﴿٠٣﴾‏

Ayat 30- {Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”} (Yusuf 12:30)

  1. Maka virallah kisah ini di bandar Mesir dan semua orang sibuk memperkatakan hal ini!

Lebih-lebih bagi para wanita isteri pembesar lain, kawan-kawannya dulu- yang mengatakan bahawa isteri al-Aziz itu telah sesat tenggelam dalam nafsunya!

  1. Mereka mengutuk dan mengatanya, kerana jatuh cinta dengan pemuda peliharaannya, yang tidak setaraf & tiada apa-apa keistimewaannya bagi pandangan mereka!

Bagi mereka ini perkara yang memalukan, dia adalah wanita yang berkedudukan tinggi, dan suaminya juga berkedudukan tinggi.
Namun dia tergamak merayu budak peliharaan yang berada di bawahnya.

  1. Lalu mereka menganggapnya berada dalam kesesatan yang nyata, iaitu hanyut dalam nafsu & perasaan yang tidak dapat diselamatkan lagi!

Ayat ini adalah ayat bukan mengata dan mengutuk saja tetapi untuk menjatuhkan isteri al-Aziz!

فَلَمَّا سَمِعَتْ بِمَكْرِهِنَّ أَرْسَلَتْ إِلَيْهِنَّ وَأَعْتَدَتْ لَهُنَّ مُتَّكَـًٔا وَءَاتَتْ كُلَّ وَٰحِدَةٍ مِّنْهُنَّ سِكِّينًا وَقَالَتِ ٱخْرُجْ عَلَيْهِنَّ ۖ فَلَمَّا رَأَيْنَهُۥٓ أَكْبَرْنَهُۥ وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَقُلْنَ حَٰشَ لِلَّهِ مَا هَٰذَا بَشَرًا إِنْ هَٰذَآ إِلَّا مَلَكٌ كَرِيمٌ ‎﴿١٣﴾

Ayat 31- {Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): “Keluarlah di hadapan mereka”. Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”} (Yusuf 12:31)

  1. Apabila isteri al-Aziz mendengar konspirasi para wanita lain {بِمَكْرِهِنَّ} yang cuba menjatuhkannya dengan mengata & mengutuk dibelakangnya!

*Dikatakan konspirasi mereka {بِمَكْرِهِنَّ} kerana mereka juga berniat untuk melihat Yusuf yang menjadi punca kontroversi itu lalu buat provokasi itu!!

  1. Dia pun membuat persediaan untuk membela dirinya dengan mengadakan satu majlis besar-besaran mengajak mereka semua wanita yang mengutuknya itu ke istananya!
  2. Dalam majlis itu, dia menyediakan bagi setiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dikatakan untuk memotong buah-buahan atau makanan lain.
  3. Sedang mereka asyik memotong buah atau makanan itu- isteri al-Aziz menyuruh Yusuf keluar dalam majlis di hadapan para wanita itu! Dia mahu memperlihatkan Yusuf kepada mereka.
  4. Maka apabila Yusuf keluar & mereka mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar telah melukakan tangan mereka sendiri akibat terpegun!!!
    Ketika mereka sedar, barulah merasakan sakitnya luka itu!
  5. Lalu mereka berkata: “Maha Sempurna bagi Allah! Jauhnya Allah dari kekurangan!

Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!”

Yakni dek terlalu tampan Yusuf, bukan seperti manusia atau lelaki biasa; mereka mengatakannya seperti malaikat yang mulia!!

  1. Maksud perkataan {حَـٰشَ لِلَّهِ}:
    i- Allah ini maha sempurna- kerana ciptaan-Nya pun sudah begitu indah pastilah Allah itu sendiri Maha Sempurna lagi jauh dari sebarang kekurangan!

ii- Yusuf itu Allah jaga daripada kekurangan & keburukan dan sifat kejadiannya amat cantik sempurna!

  1. Hadis- Ketika peristiwa Israk Mikraj- Nabi صلى الله عليه وسلم naik ke langit dan ketika di langit ketiga Baginda berjumpa dengan Nabi Yusuf ‘Alaihissalam.

Setelah turun ke bumi dan berjumpa dan berkata dengan para sahabat, Baginda صلى الله عليه وسلم berkata:
“Aku berjumpa dengan Nabi Yusuf di langit ketiga dan aku melihat ketampanan Nabi Yusuf seolah-olah keindahan separuh bumi ini diberikan kepada Nabi Yusuf.
Begitu indah begitu tampan Nabi Yusuf ‘Alaihissalam.” [HR Muslim].

قَالَتْ فَذَٰلِكُنَّ ٱلَّذِى لُمْتُنَّنِى فِيهِ ۖ وَلَقَدْ رَٰوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ فَٱسْتَعْصَمَ ۖ وَلَئِن لَّمْ يَفْعَلْ مَآ ءَامُرُهُۥ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ ٱلصَّٰغِرِينَ ‎﴿٢٣﴾

Ayat 32- {(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”} (Yusuf 12:32)

  1. Isteri al-Aziz berkata kepada mereka para wanita tetamunya:

“Itulah orangnya yang menyebabkan kamu mencela aku kerana aku tertarik kepadanya. Kamu baru sekali pandang telah melakukan hal itu, maka terlebih lagi diriku yang serumah dengannya & setiap masa melihatnya.”

  1. Setelah kaum wanita itu menyaksikan sendiri & mengakui ketampanan fizikal Yusuf a.s, isteri Al-Aziz menceritakan kepada mereka sifat-sifat baik yang dimiliki oleh Yusuf a.s. (yang tidak terlihat oleh mereka) iaitu seorang yang baik jiwa & nafsunya, memelihara kehormatannya di samping ketampanan yang dimilikinya.
  2. Yakni dia masih membela kebaikan Yusuf & dia mengakui: “Sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya kepadaku, tetapi dia menolak ajakanku.”
  3. Yusuf telah berlindung diri dengan Allah, menjaga maruah dan kehormatan dirinya menolak segala godaan dan tekanan buruk ke atasnya!
  4. Kita pun sentiasa memohonlah kepada Allah agar kita sentiasa dipelihara daripada segala keburukan dan fitnah:

اللَّهُمَّ اعصمني وأهلي مِنَ الْفِتَنِ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ ظُلْمِ الظَّالِمِينَ،
وَكَيْدِ الْفَاجِرِينَ، وَشَرِّ الشَّيَاطِينِ.

Maksudnya: Ya Allah, peliharalah kami dan ahli keluarga kami dari segala fitnah — yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Aku berlindung kepada-Mu daripada kezaliman orang zalim, tipu daya orang jahat, dan kejahatan syaitan.

  1. Ini kerana syaitan tidak akan biarkan kita selamanya, yang budak cara budak, yang muda cara tua, hatta yang tua cara tua pun tidak akan dilepaskannya.
    Maka banyakkan doa kita agar Allah selamat!
  2. Kemudian isteri al-Aziz mahu tunjukkan kekuasaan di hadapan para wanita kawan-kawannya lalu dia berkata dengan angkuh bahawa: “Sesungguhnya jika dia tidak menaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan, dan nescaya dia akan menjadi orang yang hina.

*Disebutkan dalam riwayat, bahawa kaum wanita itu menyuruh Yusuf a.s. mentaati makciknya agar selamat dari penjara.

Penutup & Faedah: #

  1. Ayat 30- {Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya…}- para wanita lain di bandar Mesir mengutuk & bercakap tentang isteri pembesar al-Aziz.

Ayat ini merupakan ayat menghina bertujuan menjatuhkan maruah & martabat isteri al-Aziz itu- yang gilakan & berkehendakkan kepada pemuda peliharaan suaminya yang dibeli di pasar.

Yakni perbuatan yang tidak sepatut & setaraf dengan kedudukannya sebagai isteri pembesar al-Aziz.

Mereka juga menggunakan sighah masih berlaku (مضارع- present tense)-
{تُرَٰوِدُ فَتَىٰهَا}- sedangkan peristiwa itu sudah berlalu.

Iaitu mereka memperkatakannya seolah masih & sedang berlaku perkara aib itu, tak insaf-insaf sedangkan suaminya sudah tahu hal tersebut!

Pengajaran: Apabila menyayangi & suka kepada seseorang jangan terlalu melampaui- kena berpada-pada!

Ini peringatan untuk sesiapa saja walaupun anak angkat kita jangan berlebihan hingga mendatangkan kemudaratan dan boleh bawa fitnah.

Hormat & sayangkan guru jangan melampaui batas hingga boleh jatuh fitnah, kena berpada-pada, sayang dengan hormat bukan sayang dengan sebab lain pula!

Kerana itu juga jika nak belajar apatah lagi belajar agama atau al-Quran kena cari sama jantina, bukan sebaliknya kerana nanti bukan ilmu & pahala yang dapat tetapi fitnah & bala yang dapat!

Kerana syaitan sentiasa akan ambil peluang masuk dan takkan duduk diam!

Ayat ini mengajar kepada kita untuk berpada-pada dalam mahabbah.

  1. Ayat 31- {Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka,…}- kata-kata mereka itu memang satu konspirasi untuk menjatuhkan & mengaibkan perempuan al-Aziz.

Patutlah Allah gunakan perkataan { بِمَكْرِهِنَّ} iaitu tipu-daya mereka di sini!

Kerana itu bukan percakapan atau perbincangan biasa!

Mereka juga bukannya hendak menasihati atau menenangkan kawan mereka itu tetapi percakapan untuk menjatuhkan & mengaibkan di samping mengumpat dan mengata di belakangnya!!!

Mereka kata tidak sesuai seorang wanita isteri pembesar gilakan seorang budak, anak angkat yang dibeli oleh suaminya!

Bukan kata jatuh hati kepada lelaki yang berjawatan besar atau berkuasa juga!!

Begitulah ayat-ayat al-Quran ini mengandungi pelbagai maksud yang mendalam, dibawanya kepada kita ayat-ayat ini untuk ditadabbur & memahaminya dengan sempurna insya’ Allah!

  1. Ayat 31- {Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada – tiap seorang di antara mereka sebilah pisau.}- apabila dengar cacian dan umpatan mereka- isteri al-Aziz buat rancangannya pula untuk membalas tohmahan mereka!

Dia mengadakan majlis jamuan & menjemput semua wanita circlenya yang mengata dan mengutukanya sebelum ini untuk datang.

Tujuan agar mereka lihat sendiri Yusuf yang digilainya- bagaimana keadaan mereka!!!

Dan mereka beri setiap seorang dari mereka sebilah pisau untuk memotong makanan!

Mereka ini apabila melihat Yusuf berseru dengan kuatnya bahawa Yusuf ini amat tampan seolah bukan manusia biasa bahkan seumpama malaikat yang turun dari langit!

*Malaikat adalah lambang kecantikan sebagaimana syaitan lambang keburukan/kejahatan!!

Mereka juga tidak sedar telah melukai tangan masing-masing dengan pisau yang dipegang; akibat terpegun, terpesona melihat Yusuf!!

*Kerana itu jika nak buat sesuatu seperti tidur dan seumpamanya jangan ada alat-alat tajam dekat kita- bahaya!

  1. Ayat 32- {(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya;…}- apabila melihat keadaan mereka yang seolah tidak sedar apabila terpegun melihat ketampanan Yusuf sehingga melukakan tangan mereka dengan pisau yang sedang digunakan;
    Isteri al-Aziz lansung berkata: Inilah orangnya yang kamu dok kutuk aku gila & ikut nafsu- sekarang apa jadi- kamu yang baru sekali melihatnya sudah tidak sedar diri dan melukai tangan kamu sendiri!!!

Pengajarannya: Jika ada orang berbuat kesalahan jangan terlalu memarah & menyalahkannya sehingga kita mengaibkannya kerana takut nanti kelak Allah akan timpakan perkara yang sama ke atas kita!

Isteri al-Aziz juga adil dalam memuji Yusuf- mengakui bahawa dia yang menggoda Yusuf tetapi akui juga bahawa Yusuf orang yang baik, yang soleh yang jaga prinsip & maruah dirinya dengan menolak ajakannya itu!

Yang penting kita kena insof & adil dalam menyatakan kesalahan orang apabila mereka tersilap melakukan kesalahan!

Mengkritik orang lain perlu adil bukan mengikut emosi, jangan menyalahkan & mengaib semua sekali- hanya kritik apa yang dia salah- jangan pukul rata!

Jadi hati-hatilah dalam mengata orang nanti kembali ke atas kepala kita!

  1. Ayat 32- {… dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”}- isteri al-Aziz mengancam mengugut Yusuf di hadapan para tetamunya!!

Iaitu:
i- jika Yusuf tidak mahu melakukan apa yang dia suruh;

ii- Yusuf akan dipenjarakan,

iii- dan akan menjadi dari orang-orang yang hina!

Ini kerana apabila orang besar apabila masuk penjara dianggap sebagai satu kehinaan!

Tetapi hakikatnya penjara bukanlah tempat yang hina; berapa ramai ulama’ besar yang dipenjarakan akibat tidak mahu ikut perintah pemimpin yang tidak suka dengan ajaran atau pandangan mereka!

Contoh: Imam Ahmad, Imam Syafei dan lain-lain!

Tetapi dalam masa yang sama bukan kata penjara itu menjadikan seseorang itu mulia- ada orang anggp apabila masuk penjara keluar nanti jadi orang besar!

Bukan begitu- kena lihatlah kepada sebab apa seseorang itu dipenjarakan!

Ramai juga orang yang masuk penjara kerana mereka memang salah!!

Kata ulama’ lagi- dalam semua ayat ini Allah gunakan dengan lafaz taukid belaka-
{ لَيُسْجَنَنَّ & وَلَيَكُونًۭا}- iaitu dia akan dipenjarakan!
Dia akan menjadi orang yang hina! Kerana bagi dia penjara itu satu kehinaan!

Tetapi sebenarnya orang yang masuk penjara kerana prinsip seperti Yusuf itu bukan satu kehinaan kerana bukan jahat tetapi kerana dizalimi.

Maka kita kena bezakan masuk penjara kerana dizalimi dengan masuk penjara kerana hukuman atas kejahatannya sendiri!

Kita berhenti dulu setakat ini & kita lihat apa yang Yusuf akan jawab apabila berhadapan dengan ancaman dan ugutan ini dalam siri yang akan datang insya’ Allah!

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Sabtu 10/01/2026 / 20 Rajab 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top