View Categories

(11) Surah Yusuf: Ayat 33-35

11 min read

Yusuf Rela Dipenjarakan, Allah S.W.T Selamatkannya Dari Godaan & Akhirnya Al-Aziz Akur Kehendak Isterinya.

Live Pagi Ahad 11/01/2026 / 21 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (11) Ayat [33-35]

Full video: https://youtu.be/PvdX1LO8VOk?si=DhGcqPuP1vhokl9W

Muqaddimah: #

1. Alhamdulillah pada hari ini kita mulakan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 33 sehingga ayat 35 dalam juzuk keduabelas.

2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa Yusuf kerana nak jaga kesucian, agama & maruah diri rela dipenjarakan. Apabila diancam oleh makciknya Yusuf kata dia lebih rela dipenjara daripada diajak maksiat.

3. Allah s.w.t perkenankan permohonan Yusuf maka Allah selamatkannya dari godaan & fitnah wanita tetapi merengkok dalam penjara dalam 5-7 tahun.

4. Walaupun al-Aziz tahu Yusuf tidak bersalah dengan bukti yang jelas tetapi akhirnya al-Aziz akur kehendak isterinya untuk memenjarakan Yusuf secara zalim! Walaupun mereka nak hinanya- Allah tetap angkat darjat Yusuf.

5. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa tekanan ke atas Yusuf masih berlaku. Sedangkan kekuatan & kemampuan manusia terbatas; nak jaga diri pun tak selamat- maka tidak ada tempat yang paling ampuh & kuat untuk kita minta perlindungan kecuali dengan Allah s.w.t! Yusuf kata jika tidak ada jalan lain untuk dia selamat dari perbuatan yang keji & maksiat ini selain daripada masuk penjara- maka penjara lebih baik baginya! Bukan kata penjara itu baik- tetapi berbanding dengan dua keadaan ini- penjara lebih ringan & lebih baik! Apakah maslahah (kebaikan) & masfadah (keburukan) yang lebih ringan.

ii- maka dalam ayat ini Allah perkenankan permintaan & doa Yusuf itu- yang lebih rela memilih dikurung dalam penjara daripada terpenjara dalam nafsu & perbuatan keji!

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

قَالَ رَبِّ ٱلسِّجْنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدْعُونَنِىٓ إِلَيْهِ ۖ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّى كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلْجَٰهِلِينَ ‎﴿٣٣﴾

Ayat 33- {Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.} (Yusuf 12:33)

1. Apabila diancam dan dicabar oleh wanita isteri al-Aziz: Yusuf merayu dan berdoa kepada Allah s.w.t bahawa dia lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak dia kepadanya yang boleh merosakkan kesucian agama & maruah dirinya.Yakni antara dua pilihan itu penjara lebih baik untuk dirinya.

2. Kemudian Yusuf berserah diri kepada Allah mengatakan bahawa jika Allah tak kawal dirinya & tak palingkan nafsunya dari godaan & tipu-daya wanita itu mungkin dia akan terperangkap, terpedaya & mengikut godaan mereka!

3. Maka jika dia terpedaya & Allah tidak menjaganya- dia akan jadi orang yang rugi & tidak mengamalkan ilmunya yang terjebak dengan perkara mungkar & maksiat!

4. Kita memang kena jaga diri kita, usaha dan ikhtiar yang boleh menyelamatkannya tetapi tanpa pertolongan & jagaan Allah kita tidak akan selamat juga!

فَاسْتَجَابَ لَهُ رَبُّهُ فَصَرَفَ عَنْهُ كَيْدَهُنَّ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ‎﴿٤٣﴾

Ayat 34- {Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.} (Yusuf 12:34)

1. Maka Allah perkenankan Nabi Yusuf memilih mudharat yang lebih ringan iaitu untuk masuk penjara. Maka Allah selamatkan Yusuf dari konspirasi isteri al-Aziz dan para wanita lain yang menyokongnya dari melakukan maksiat kepada Allah!

2. Ini kerana sesungguhnya:

i- Allah jualah yang Maha Mendengar, Allah dengar doa nabi Yusuf ketika dia berdoa. Allah juga dengar doa semua makhluk yang berdoa termasuk kita semua.

ii- lagi Maha Mengetahui- Allah maha mengetahui permainan konspirasi wanita itu & niat murni Yusuf untuk menyelamatkan dirinya iaitu dengan penjara! Semua perbuatan & keadaan yang dilakukan hamba-Nya berada di bawah ilmu pengetahuan Allah.

3. Apabila kita yang sudah belajar tentang nama-nama & sifat Allah: kita tahu kita berada di bawah ilmu, muraqabah pemerhatian Allah maka kira tidak akan berani buat dosa maksiat kepada Allah! Kerana itu kita belajar & menghayati sifat Allah untuk menambahkan keimanan & taqwa kita kepada Allah bukan sebaliknya!!

4. Tanpa kesedaran & penghayatan ini kita akan kecundangn & hanyut! Maksiat di depan mata kita tidak terasa apa & manusia semuanya tak segan silu lagi melakukannya.

ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّن بَعْدِ مَا رَأَوُا الْآيَاتِ لَيَسْجُنُنَّهُ حَتَّىٰ حِينٍ ‎﴿٥٣﴾

Ayat 35- {Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.} (Yusuf 12:35)

1. Memang jelas & zahir bagi pembesar al-Aziz dan semua yang bersamanya bahawa Yusuf tidak bersalah dengan bukti yang nyata, yang mereka lihat sendiri.

2. Tetapi mereka tetap buat keputusan yang keji untuk memenjarakan Yusuf sehingga reda isu ini dan orang lupa! Inilah konspirasi jahat mereka terhadap Yusuf.

3. Kata Ibnu Kathir rhm: Para pembesar itu bermesyuarat dengan para penasihat & AGnya lalu memutuskan untuk memenjarakan Yusuf untuk mejaga nama isteri al-Aziz & agar masyarakat menuduh & yakin Yusuf yang bersalah!

4. Hatta selepas 5 atau 7 tahun selepas itu- apabila raja panggil untuk Yusuf keluar penjara bagi menafsirkan mimpinya- Yusuf menolak untuk keluar begitu saja selagi tidak dibersihkan namanya daripada tuduhan yang menyebabkannya di penjara! Iaitu pertuduhan palsu bahawa dia yang menggoda dan berniat buruk terhadap isteri al-Aziz.

5. Inilah sifat Yusuf yang mantap, mempunyai prinsip & harga diri yang tinggi- tidak terus menerima tawaran untuk dibebaskan selagi namanya tidak dibersihkan, maruahnya tidak tercalar! Bahawa dia masuk penjara akibat kehendak al-Aziz yang ikut kata isterinya!

6. Inilah bahaya & buruknya apabila seorang suami hilang kekuatan sebagai ketua, tiada sifat cemburu terhadap isteri dan hanya menurut kata isteri tanpa menghiraukan benar atau salah. *Inilah antara sebab rosaknya sebuah negara & kekuasaan apabila isteri masuk campur dalam pemerintahan & suami tidak dapat mengawalnya!!

Penutup & Faedah: #

1. Ayat 33- {Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya.}- nabi Yusuf a.s berdoa minta kepada Allah agar menyelamatkannya dari godaan & ajakan buruk perempuan-perempuan itu! Bahkan dia mengatakan penjara adalah lebih baik baginya daripada yang mereka ajak kepadanya!!! Yakni Yusuf minta selamat tetapi masuk penjara- inilah prinsip!!!

Demikian sepatutnya seorang hamba Allah:

i- apabila diuji dengan dua perkara iaitu samada kamu buat maksiat dosa kepada Allah atau kamu kena hukum dunia!

ii- hendaklah dia memilih untuk dihukum atau kena tindakan atas dunia oleh sesama manusia daripada melanggar perintah Allah dan mendapat azab siksa Allah pula yang panjang & berat di Akhirat!

Antara tanda-tanda orang beriman ialah dia akan memilih yang ringan tetapi dia tidak akan buat yang mungkar dan keji!Tanda kemanisan Iman:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas bin Malik r.a, dari Nabi S.A.W, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman:*Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya.*Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. *Dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka”(HR Bukhari No: 15)

Kisah kedua- maksiat akan melahirkan maksiat: Seorang ahli ibadat diuji dan diberi pilihan untuk buat salah satu ibadat ini: minum arak, berzina atau membunuh…Ada sebuah riwayat daripada Al-Haris yang telah mendengar Sayyidina Usman R.A berkata:Jauhilah arak. Sesungguhnya ia adalah ibu segala maksiat. Dahulu, ada seorang lelaki yang sangat kuat ibadah. Lalu, ada seorang perempuan (penzina) yang amat tertarik kepadanya. Perempuan itu telah menghantar seorang hamba perempuan untuk memanggil ahli ibadah itu datang ke rumah. Hamba itu berkata: “Kami mahu menjemput engkau untuk menjadi saksi.” Lalu, ahli ibadah itu bersetuju dan mengikut hamba itu. Apabila sampai, dia memasuki beberapa pintu yang ditutup satu demi satu. Kemudian, dia bertemu dengan seorang wanita yang cantik. Di sebelahnya ada seorang kanak-kanak dan sebekas arak.Wanita itu berkata: “Demi Allah! Aku menjemputmu bukan untuk menjadi saksi. Aku menjemputmu agar engkau berzina denganku atau engkau boleh pilih untuk minum arak atau engkau perlu membunuh kanak-kanak ini.”Ahli ibadah itu berkata: “Berilah aku minum arak ini segelas.” (kerana dia menyangka itu paling ringan). Lalu, dia diberikan minuman itu. Kemudian, beliau berkata lagi: “Tambahkanlah untukku.”Dia tidak berhenti minum sehingga akhirnya dia berzina dengan perempuan itu dan membunuh pula. Oleh itu, jauhilah arak kerana demi Allah, sesungguhnya iman tidak dapat menyatu dengan khamar (arak) dalam dada seseorang melainkan harus keluar salah satunya.” (HR An-Nasaei, no. 5669. Disahihkan oleh Al-Hafiz Abu Tahir)

Inilah namanya dosa akan melahirkan dosa- maka jangan sesekali kita memilih untuk melakukan apa jenis dosa sekalipun! Jangan bermudah-mudah dengan dosa walaupun nampak kecil atau ringan! Untuk menyelamatkan diri jangan pilih maksiat- sebagaimana Yusuf a.s rela pilih penjara daripada maksiat!

Kata para ulama’: Sesiapa yang sanggup menghinakan diri semata-mata kerana nak jaga hak Allah maka Allah akan muliakannya dari terjebak dengan mungkar & maksiat. Sebagaimana Yusuf yang sanggup masuk penjara untuk menjaga iman kemudian Allah angkat darjatnya menjadi orang yang perpangkat dan mulia di bumi Mesir, dicari oleh semua orang pada musim bencana kemarau.Orang yang diuji kerana Allah akhirnya akan mendapat kemenangan dan kejayaan yang besar. Manakala orang yang teruji dengan dosa & maksiat- ikut nafsu maka hanya akan gembira pada awalnya saja kemudian akan mendapat balasan samada ditangkap dihukum atau sebagainya!Ingat baik-baik- dosa akan melahirkan dosa!

2. Ayat 33- {Yusuf berkata:… Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya”.}-

Yusuf berdoa memohon kepada Allah untuk menyelamatkannya! Yusuf kata jika Allah tak haga dirinya, tak palingkan nafsunya pasti dia akan terjebak kepada godaan mereka dan akan menjadi orang yang jahil! Kata ulama’: Begitulah juga kita apabila melihat ada tanda-tanda atau dalam keadaan gawat & genting, atau tanda-tanda maksiat; mesti terus kembali bergantung kepada Allah & jangan lupa’ teruslah kita minta perlindungan dengan Allah. Sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh:

i- nabi Yusuf a.s apabila digoda oleh Zulaikha menolaknya & minta pertolongan dari Allah: ( مَعَاذَ ٱللَّهِ )- “Ia berkata: Aku berlindung kepada Allah…”}ii- juga yang dilakukan oleh Sayyidah Maryam apabila melihat tiba-tiba ada seorang lelaki (malaikat yang menyamar manusia) di dalam biliknya; terus dia minta perlindungan dengan Allah: {إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَـٰنِ مِنكَ}.- {Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan)mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.} (Maryam 19:18)

Dalam saat genting & gawat jangan sesekali kita lupa untuk memohon perlindungan Allah! Sesiapa yang betul-betul minta perlindungan dengan Allah- Allah akan melindunginya pada saat tiada siapa yang boleh melindunginya!Kerana itu nabi Yusuf memilih untuk masuk penjara dan dia nyatakan dia rasa tiada kekuatan dan tenaga kemampuan untuk menyelamatkan diri dari godaan ini kecuali dengan perlindungan Allah!Jangan tunjuk atau rasa kita kuat, over-confident, boleh jaga diri kita sendiri dengan iman kita yang kuat, belajar situ sini- akhirnya kita akan terhumban tersungkur dengan sendiri! Nabi Yusuf apabila dia minta pertolongan merayu kepada Allah- maka ketika itu Allah selamatkannya!

3. Ayat 33- {Yusuf berkata:… dan aku menjadi dari orang-orang yang jahil, tidak mengamalkan ilmunya”.}-Apakah maksudnya jahil (جهل) ini?

i- orang jahil ialah orang yang tiada ilmu.

ii- ada ilmu tetapi tiada kesabaran juga dikira jahil- tidak sabar dengan godaan dosa & maksiat lalu buatnya- itu dikira jahil.

iii- orang yang sanggup buat dosa & maksiat walaupun dia tahu, dia ada ilmu tetap dikira jahil! Walaupun professor dalam bidang tasauf tetapi bila dia buat dosa & maksiat tetap dikira jahil! Bukan jahil itu semata-mata tidak ada ilmu- tetapi jika ada ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya tetap dikira jahil.

Kata ulama’: وكل من عصى الله فهو جاهل

Setiap orang yang derhaka kepada Allah dikira jahil! Yakni walaupun dia ada ilmu tetapi kerana ilmunya itu tidak dapat menghalangnya daripada keburukan dia dikira jahil! Ilmu yang bermanfaat ialah makin kita belajar; makin dekat kita dengan Allah, makin yakin dengan pertolongan Allah & makin jauh dengan dosa maksiat! Orang jahil ialah orang yang ada ilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya- belajar banyak tetapi tidak beramal dengan ilmunya.

4. Kelebihan Nabi Yusuf a.s- yang telah Allah selamatkannya dari godaan ini ada beberapa kelebihan yang besar!Allah beri kepada nabi Yusuf sifat sabar yang jarang orang dapat kecuali dengan anugerah Allah s.w.t! Terdapat 12 perkara keadaan Nabi Yusuf a.s seperti yang disenaraikan dalam sebuah kitab al-Muharrar ini. Nabi Yusuf cukup syarat untuk melakukan maksiat tetapi Allah peliharanya.

Apakah syarat itu:

i- Yusuf seorang lelaki mesti suka kepada wanita!

ii- seorang pemuda yang biasa nafsunya sedang bergelora.

iii- belum pernah berkahwin- jika orang nak test boleh saja.

iv- Yusuf berada di negeri yang tiada orang kenalnya- tak tahu anak cucu siapa. Begitulah hakikat orang berani buat maksiat di luar negara!

v- perempuan yang menggodannya ada kedudukan & kecnatikan

vi- perempuan itu yang mulakan dulu bukan Yusuf kacau.

vii- di dalam ramahnya sendiri, meraka bebas.

viii- Yusuf tak takut dituduh kerana bukan dia yang mula.

ix- Yusuf bebas keluar masuk rumah itu tanpa dicurigai!

x- Wanita itu telah guna pelbagai helah untuk goda Yusuf.

xi- Akhirnya wanita itu guna akta- ancam untuk penjarakan Yusuf.

xii- Suaminya seorang yang tidak bermaruah. Dia lansung tidak menunjukkan cemburunya atau marah kepada isterinya! Bahkan ikut tekanan isterinya untuk memenjarakan Yusuf walaupun jelas terbukti Yusuf tidak bersalah!

Dengan 12 sebab ini yang memang cukup syarat untuk buat keburukan itu; tetapi Yusuf tetap tidak terjebak dengan perkara tidak baik kerana Yusuf meletakkan keredhaan Allah & takutkan Allah di hadapannya.

5. Ayat 35- {Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.}- pembesar Mesir dan pegawai-pegawainya berkonspirasi untuk memenjarakan Yusuf. Walaupun jelas & terbukti nyata bahawa Yusuf tidak bersalah- para pembesar itu tetap memenjarakan Yusuf!

Ini kerana mereka mahu:

i- apabila berlalu beberapa masa orang akan lupa tentang peristiwa ini.

ii- masyarakat akan nampak & tuduh Yusuf yang berbuat jahat kerana itu dipenjara- bukan perempuan itu!

Inilah permainan undang-undang dunia ini- dimainkan oleh orang yang mempunyai kuasa- para Menteri dan pembesarnya- mereka boleh bebaskan siapa yang mereka perlu, boleh penjarakan juga siapa yang mereka mahu!!!!

Tetapi jika penguasa yang takut kepada Allah mereka tidak akan buat kerana sesiapa yang jatuhkan hukuman ke atas orang dengan nafsu maka besarlah dosanya di Akhirat kelak. Kita berdoa agar Allah selamatkan kita & keluarga kita semua daripada kezaliman ini! Ingatlah hari silih-berganti- hari ini kamu berkuasa tetapi besok belum pasti lagi- di mana kamu hendak sembunyikan diri apabila jatuh!Kita berhenti dulu setakat ini siri kita kali ini.

Semoga mendapat manfaat & kefahaman dari tadabbur al-Quran kita ini!

Wallahu a’lam.


#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Ahad 11/01/2026 / 21 Rajab 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di

Link: https://www.youtube.com/playlist?list=PLC16EIfOI4LB5pTvpjtYrLIqXUv5JJJCa

Semoga Bermanfaat!

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/18ogMFSHu6/

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top