View Categories

(12) Surah Yusuf: Ayat 36-38

10 min read

Yusuf Masuk Penjara, 2 Orang Bermimpi Minta Ta’birkan & Yusuf Berdakwah Kepada Tauhid.

♥ Live Pagi Isnin 12/01/2026 / 22 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (12) Ayat [36-38] ♥

Full video: https://youtu.be/oj-Qnuemllo?si=WngdwTyI5pElj3dD

Muqaddimah #

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 36 sehingga ayat 38 dalam juzuk keduabelas.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Yusuf akhirnya dimasukkan ke penjara dan bersama adalah dua orang pekerja istana, tukang buat air & tukang buat roti.
    Ini adalah taqdir Yusuf agar orang tidak lupakan kisahnya!
  3. Semasa di dalam penjara, 2 orang banduan tadi bermimpi dan kerana mereka lihat Yusuf orang baik mereka minta dia tafsir atau ta’birkan mimpi mereka!
  4. Yusuf mengambil peluang untuk berdakwah kepada tauhid dan menyatakan bukan setakat mimpi tetapi lebih daripada itupun dia tahu; kerana Tuhannya yang mengajar & memberitahunya!

*Inilah kerja pendakwah di mana saja berada jangan lupakan peranan kita untuk berdakwah menyampaikan Islam tak kira di istana atau di penjara!

Itulah peranan Yusuf membawa & mengembangkan ajaran Islam di bumi Mesir.

  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang wanita isteri al-Aziz yang mengancam untuk memenjarakan Yusuf jika tidak mengikut kehendaknya.

Yusuf berkata wahai Tuhanku sesungguhnya penjara lebih aku sukai daripada terjebak dengan tipu-daya para wanita itu!

Pada pandangan wanita itu apabila dipenjarakan Yusuf akan menjadi orang yang hina!

ii- Tetapi Allah nak nyatakan bahawa orang yang dipenjarakan kerana dizalimi bukan satu kehinaan bahkan sebab bagi kemuliaan!

Ini kerana pertama dia telah menjaga prinsip hidupnya tidak mahu tejebak dengan kehinaan mengkar& maksiat.

Yang kedua kerana Allah nak beri peluang kepada Yusuf untuk berdakwah dalam penjara- bukan senang nak masuk ke dalam penjara saja-saja!

Kerana Yusuf sudah masuk maka dia mendapat peluang itu dan berdakwah ajak tauhid kepada Allah Azza wa Jalla.

Tafsir Ayat #

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجْنَ فَتَيَانِ ۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّىٓ أَرَىٰنِىٓ أَعْصِرُ خَمْرًا ۖ وَقَالَ ٱلْـَٔاخَرُ إِنِّىٓ أَرَىٰنِىٓ أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِى خُبْزًا تَأْكُلُ ٱلطَّيْرُ مِنْهُ ۖ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِۦٓ ۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ ‎﴿٦٣﴾

Ayat 36- {Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “. Dan berkata pula yang seorang lagi: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): “Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)”.} (Yusuf 12:36)

  1. Yusuf dipenjarakan mengikut akta yang zalim- walaupun tidak bersalah tetapi dipenjarakan oleh al-Aziz yang mengikut arahan isterinya!
  2. Ditaqdirkan Allah masuk penjara bersama Yusuf dua orang pemuda bekas pekerja istanaraja Mesir- seorang pembuat roti & penuang air raja.
  3. Tidak berapa lama di dalam penjara, mereka berdua bermimpi, mereka lalu menceritakannya kepada Yusuf:

i- seorang darinya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “.

ii- yang seorang lagi berkata pula: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.”

  1. Mereka meminta Yusuf menafsirkan apakah maksudnya mimpi mereka itu!

Ini kerana mereka lihat Yusuf sebagai seorang yang baik dan boleh dipercayai!

*Cara yang betul jika nak minta tolong orang- puji dulu baru minta!

  1. Beberapa tafsiran ulama’ tentang makna:
    { مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ- dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)”.} ini ialah:

i- berbuat baik kepada sesama ahli penjara- suka tolong dan bantu orang.

ii- telah viral bahawa Yusuf ini orang yang pandai tafsir ilmu.

iii- orang yang ada ilmu dan suka buat baik.

قَالَ لَا يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ تُرْزَقَانِهِۦٓ إِلَّا نَبَّأْتُكُمَا بِتَأْوِيلِهِۦ قَبْلَ أَن يَأْتِيَكُمَا ۚ ذَٰلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِى رَبِّىٓ ۚ إِنِّى تَرَكْتُ مِلَّةَ قَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ كَٰفِرُونَ ‎﴿٧٣﴾‏

Ayat 37- {Yusuf menjawab: “(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.} (Yusuf 12:37)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas apabila dua orang ini memberikan gelaran sebagai orang yang baik, menampakkan mereka sudah cenderung dan perrcaya kepadanya, maka:

ii- dalam ayat ini Yusuf mula menyampaikan nasihat & pengajaran dakwahnya!

**Begitulah teknik dakwah yang berhikmah jangan main rempuh masuk, jumpa orang tak kenal terus ajak bersyahadah!

Kita buat baik dengan orang, tunjukkan akhlak & sifat yang baik sehingga orang percaya & nampak kebaikan barulah mula menyampaikan dakwah!

  1. Apabila dua orang teman penjara ini sudah nampak jinak & percayakannya barulah Nabi Yusuf menceritakan kepada mereka tentang kebolehan dan ilmunya- sesuatu yang pelik.
  2. Yusuf mengatakan kepada mereka:
    i- Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu,

ii- bahkan aku juga ada ilmu tentang menu makanan yang diberikan kepada kamu tiap-tiap hari dalam penjara, aku dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya.

  1. Kemudian dengan segera Yusuf menjelaskan semua itu adalah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku.

Ilmu adalah wahyu dari Allah s.w.t bukan sesuatu ilmu yang karut atau sihir.

  1. Yusuf juga mengakui bahawa beriman kepada Allah Yang Esa & telah meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.

وَٱتَّبَعْتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْحَٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشْرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَىْءٍ ۚ ذَٰلِكَ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ عَلَيْنَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ ‎﴿٣٨﴾

Ayat 38- {“Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.} (Yusuf 12:38)

  1. Yusuf terus berdakwah dan menyatakan bahawa dia mengikuti agama datuk neneknya- yang empat keturunannya terdiri dari para nabi- Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim a.s. Masya’ Allah amat mulia & istimewanya!
  2. Hadis dari Abu Hurairah r.a ia berkata:

سُئِلَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أيُّ النَّاسِ أكْرَمُ؟ قالَ: أكْرَمُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ أتْقَاهُمْ
قالوا: ليسَ عن هذا نَسْأَلُكَ قالَ: فأكْرَمُ النَّاسِ يُوسُفُ نَبِيُّ اللَّهِ ابنُ نَبِيِّ اللَّهِ، ابْنِ نَبِيِّ اللَّهِ ابْنِ خَلِيلِ اللَّهِ، قالوا: ليسَ عن هذا نَسْأَلُكَ، قالَ: فَعَنْ معادِنِ العَرَبِ تَسْأَلُونِي قالوا: نَعَمْ،
قالَ: فَخِيَارُكُمْ في الجَاهِلِيَّةِ خِيَارُكُمْ في الإسْلَامِ إذَا فقِهُوا

“Rasulullah صلى الله عليه وسلم pernah ditanya, ’Siapakah orang yang paling mulia?’
Rasulullah berkata; ‘Yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertakwa di antara mereka.’

Mereka berkata, ‘Bukan itu yang kami tanyakan.’
Baginda صلى الله عليه وسلم berkata, ‘Manusia yang paling mulia adalah Yusuf, nabi Allah, anak dari Nabi Allah, anak dari nabi Allah, anak dari kekasih-Nya.’

Mereka berkata lagi, ‘Bukan itu yang kami tanyakan.’
Baginda صلى الله عليه وسلم berkata, ‘Apa dari keturunan Arab?’
Mereka menjawab, ‘Iya betul.’

Baginda bersabda, ‘Yang terbaik di antara kalian di masa jahiliyah adalah yang terbaik dalam Islam jika dia itu fakih (faham agama).”
(HR. Bukhari no. 4689)

  1. Maka tidaklah sepatutnya bagi kita jadikan sekutu sesuatupun dengan Allah dalam ibadat atau ketaatan.

Allah yang cipta kita, bagi rezeki kepada kita maka ini adalah salah besar & satu kesesatan yang nyata yang tidak boleh dibiarkan!

  1. Dakwah kepada tauhid – mengesakan Allah ialah salah satu hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia beriman yang lain seluruhnya!

Kata ulama’: Manusia yang bahagia atas dunia ini ialah orang yang beriman dan berdakwah kepada orang lain!

Tujuan untuk tauhid dan ajak orang untuk murnikan aqidah & tauhid kepada Allah yang Esa!

  1. Allah akhiri ayat ini dengan menyatakan bahawa: Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
  2. Nota [393]: Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kita dengan panca Indera & akal fikiran untuk kita memerhatikan & memikirakan tanda-tanda dan bukti yang menunjukkan keEsaan Allah s.w.t, kebijaksanaan & kekuasaan-Nya.

*Yakni Allah beri kepada kita dilalatul-fitrah iaitu panca-indera kita ini boleh berfikir- ini betul yang ini salah- ini tauhid ini syirik- kena fikir jangan buat tak tahu saja!

  1. Tetapi malangnya ramai manusia yang tidak beriman!

Betapa pengikut para anbiya’ itu sedikit saja berbanding dengan orang kafir pada zaman masing-masing!

Hatta pada zaman Rasulullah s.a.w orang Islam tidak seramai orang kafir!

  1. Maka kita bersyukurlah kerana kita termasuk dalam golongan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh, yang mengikut al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w bukan cerita yang pelik dan karut marut yang tidak memberi faedah.

Penutup & Faedah #

  1. Ayat 36- {Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja…}- telah masuk ke dalam penjara bersama Yusuf dua orang pekerja istana yang dituduh meletakkan racun dalam makanan raja.

Mereka ini duduk bersama Yusuf buat beberapa lama kemudian bermimpi.

Kata ulama’ tadabbur: Inilah ayat dalil kepada bahawa mimpi itu boleh ditafsirkan!

Tetapi kena ingat bukan semua orang mampu tafsir mimpi dan bukan semua mimpi boleh kita ceritakan kepada orang!

Adab atau SOP mimpi:
i- jika kita mimpi buruk jangan ceritakan kepada orang & lakukan sebagaimana yang diajar oleh Nabi s.a.w. – minta perlindungan dengan Allah kemudian ludah sebelah kiri 3 x atau bangun.
insya’ Allah tidak akan jadi.

ii- jika mimpi baik pula- boleh ceritakan kepada orang yang kita percaya & sayang.

Tetapi jangan ceritakan kepada semua orang takut jadi hasad dengki pula!
Juga jangan cerita dan minta orang tafsirkan sesuka hati.

  1. Ayat 37- {Yusuf menjawab: “(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu…}- sebelum menjawab soalan mereka, Yusuf menerangkan kepada mereka akan hakikat pegangan & agamanya.

Dari faedah ayat ini juga para pendakwah kena peka akan suasana & bijak menangani masalah- dengan mengambil kesempatan untuk berdakwah.

Sebagaimana nabi Yusuf yang asalnya ditanya tentang mimpi; tetapi dia menerangkan dulu kepada mereka tentang kelebihannya sebagai seorang Islam dan ilmu yang didapati itu adalah dari Allah yang Esa. tentang agamanya yang ikut tok neneknya!
Bijaknya Nabi Yusuf a.s.

Tetapi ingat jangan gopoh- hanya bila kita tengok orang dah mula percaya & cenderung dengan kita baru mula berdakwah!
Kita hidup atas dunia ini pasti ada Pencipta & Pengaturnya.

Yusuf telah ambil kesempatan untuk berdakwah dengan soalan mereka; kamu dengar dulu apa yang aku ceritakan ini sebelum aku menjawab soalan kamu- maka dua pemuda itupun dengarlah dulu apa yang diterangkan oleh Yusuf kerana nak tahu jawapan tentang ta’bir mimpi mereka!

  1. Ayat 37- {Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.}- apabila Yusuf cerita benda pelik seperti tahu menu makanan yang akan datang- dia terus kerat dan jelaskan sebelum orang menyangka dia ahli sihir atau apa-apa yang karut.

Yusuf boleh cerita pelik tetapi semua itu kerana itulah ajaran Dari Allah. Bukan dia pandai-pandai sendiri!

Allah memberikan ilmu dan hikmah kepada Yusuf a.s- pandai agama & ilmu firasat lihat orang.

Tetapi Allah beri kepada Yusuf bukan hanya ilmu agama & Syari’ah tetapi termasuk juga ilmu lain, seperti ekonomi & ilmu integriti.

Kerana itu kerajaan Mesir melantik Yusuf jadi Menteri atau pembesar negara dalam bidang ekonomi!

In menunjukkan Yusuf seorang yang bijak & layak menangani masalah negara ketika menghadapi kemarau & kemerosotan ekonomi.

Oleh itu jangan sesekali diberi tanggung-jawab dengan melantik orang yang tidak ada ilmu & kepakaran dalam bidangnya- jangan percaya kepada orang dalam bidang tugas kecuali dia ada ilmunya!

  1. Ayat 37- {Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.}- yakni kaum yang tidak beriman & tidak menyembah Allah.

Jika dilihat ayat ini seolah Yusuf ini pernah berada dalam agama syirik kemudian dia tinggalkannya!

Jawapannya tidak sesekali!

Yusuf ini adalah anak kepada seorang nabi yang merupakan anak & cucu kepada seorang nabi terkenal sebagai bapa tauhid yang murni aqidahnya!

Pastilah mereka akan turunkan agama dan aqidah yang murni kepada anak cucunya- pastilah Yusuf ini seorang yang beriman sejak dari kecil lagi!

Maka kata ulama’ maksud tinggalkan di sini ialah Yusuf lansung tidak terlibat dengan syirik atau agama mereka itu!

Yakni tidak terlibat dengan puak yang tidak beriman itu!

Yusuf berada di atas landasan yang betul- dia tinggalkan, dia tidak terlibat dengan mereka. Sekarang dia mula nak berdakwah kepada mereka!

  1. Ayat 38- {“Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah.}-

Yusuf berdakwah dan memperkenalkan siapakah dirinya yang sebenar.

Yakni walaupun sekarang dia berada di dalam penjara tetapi dia bukan orang yang 5jahat atau bersalah- tetapi asalnya seseorang dari keturun mulia tetapi dizalimi!

Yusuf menceritakan bahawa dia anak kepada seorang nabi, cucu seorang nabi dan cicit kepada seorang nabi juga- empat keturunan nabi-nabi yang bersambung terus nasabnya!!

Begitulah kita ini kadang-kadang pelru juga memperkenalkan diri kita- ada waktu kena beritahu siapa kita jika nampak orang kurang endah!

Bukan setiap waktu kena tonjolkan diri kita itu angkat ekor pulo!

Hanya ketika waktu perlu saja; Seperti waktu kita jatuh, dihina orang atau menghadapai tuduhan fitnah- kena tunjukkan kepada orang siapa kita sebenar agar orang nampak & celik mata!

Maka kesimpulan yang kita dapat dari uslub dakwah Yusuf ini:

i- Nabi Yusuf mengambil peluang berdakwah;
ii- ketika berdakwah dia juga memperkenalkan dirinya supaya orang lebih menerima dakwah yang dibawanya!

Kita berhenti dulu setakat ini siri kita kali ini semoga mendapat manfaat & kefahaman dari tadabbur al-Quran kita ini!

Wallahu a’lam.


UAM✎Catatan Kuliah Subuh Isnin 12/01/2026 / 22 Rajab 1447H

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link:
https://www.youtube.com/playlist…

Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/14UKqS5GZRe/

Semoga Bermanfaat!

Powered by BetterDocs

Leave a Reply

Scroll to Top