Yusuf Terus Berdakwah, Menafsirkan Mimpi & Pesan Agar Sampaikan Kepada Raja.

♥ Live Pagi Selasa 13/01/2026 / 23 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (13) Ayat [39-42]♥
Full video: https://youtu.be/XYEhE5ZQu7g?si=fObg0T9QtoO5ZeZL
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita meneruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 39 sehingga ayat 42 dalam juzuk keduabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Nabi Yusuf a.s terus berdakwah kepada teman yang bersamanya di dalam penjara di Mesir.
*Jadi para pendakwah jangan lupa, jangan lalai, ambil saja kesempatan di mana saja kamu berada- jika ada peluang dan kesempatan untuk berdakwah- sampaikan al-Quran ajarkan Sunnah Nabi s.a.w supaya sampai ke telinga masyarakat perkara yang benar!
Selepas itu mereka nak terima atau tidak; yang penting kita sampaikan dulu!!!
Sebagaimana kata DAAM: Di mana bumi subur di situ benih ditabur! - Selepas itu Nabi Yusuf menafsirkan mimpi dua orang teman sepenjaranya yang ditanyakan kepadanya- iaitu:
i- salah seorang dari mereka akan dibebaskan dari penjara, akan dapat jawatan di dalam istana, iaitu pembuat air (pemerah anggur) dan beri minum pada raja.
ii- Seorang lagi akan dipancung kemudian dipalang dan akan menjadi makanan burung.
*Iaitu seorang dari mereka selamat, dan seorang lagi akan dibunuh. - Kemudian Yusuf berpesan kepada teman yang akan dibebaskan agar sampaikan kepada Raja akan kisahnya yang terpenjara kerana dizalimi bukan kerana bersalah.
Tetapi malangnya kawan itu apabila bebas lupa akan hal Yusuf- duduklah Yusuf beberapa tahun lagi di dalam penjara!!
*Ada ulama’ kata antara 5 hingga 7 tahun tempohnya. - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang nabi Yusuf telah menjelaskan tentang tauhidnya yang murni yang diwarisinya turun-temurun dari bapa, datuk dan moyangnya para nabi Ibrahim a.s.
ii- dalam ayat ini nabi Yusuf terus berdakwah dengan penuh hikmah; dengan mengemukakan soalan untuk membuka minda dua kawan sepenjaranya dengan penggunaan bahasa yang lunak & soalan untuk membuka minda agar berfikir! Bukan untuk menjatuhkan.
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
يَٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجْنِ ءَأَرْبَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيْرٌ أَمِ ٱللَّهُ ٱلْوَٰحِدُ ٱلْقَهَّارُ ﴿٩٣﴾
Ayat 39- {“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?} (Yusuf 12:39)
Nabi Yusuf a.s meneruskan misi untuk berdakwah kepada kedua sahabat sepenjaranya itu dengan menyeru mereka dengan penuh hikmah dan berhemah; iaitu selepas mereka kenal lama akan dirinya dan mereka menunjukkan kerpercayaan & keyakinan kepadanya.
Yusuf bertanya kepada mereka sebagai seorang sahabat agar mereka berfikir apakah agama & sembahan mereka selama ini adalah benar dan memberi kebaikan kepada mereka?
Soalan Yusuf kepada mereka- wahai dua sahabatku yang sepenjara- apakah:
i- perbuatan kamu memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai dan tidak dapat berbuat apa itukah yang lebih baik; yang tidak berkelip tidak bergerak!
ii- atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa- yang tidak ada sekutu dalam sifat & kesempurnaan-Nya, Yang mencipta & mentadbir alam ini- seperti yang dia Yusuf sembah & beriman.
*Inilah uslub dakwah yang lengkap- menyatakan pegangan atau perbuatan mereka itu salah & batil
Kemudian memberitahu apa yang sebenarnya sebagai alternatif untuk mereka ambil.
مَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِهِۦٓ إِلَّآ أَسْمَآءً سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَٰنٍ ۚ إِنِ ٱلْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٠٤﴾
Ayat 40- {Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.} (Yusuf 12:40)
Nabi Yusuf terus berdakwah menerangkan kepada mereka bahawa:
i- apa yang kamu sembah, yang selain dari Allah, itu hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu yang mereka-rekanya, pandai-pandai sendiri! Semua itu nama-nama yang bohong, batil lagi dusta.
*Berhala sembahan itu mempunyai nama-nama rekaan mereka sendiri seperti al-Lata, al-Uzza, Ya’uth, Yaguth dan sebagainya yang kebanyakannya diambil nama orang soleh yang sudah mati!
ii- apa yang kamu buat bukan apa yang Allah perintahkan dan Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkan perbuatan kamu itu!!!
Yakni tiada hujjah yang membenarkan apa yang kamu sembah itu & bukan yang Allah wahyukan dari langit!
Perbincangan ulama’ kenapa Allah gunakan perkataan jamak (plural) {تَعْبُدُونَ } dalam percakapan Nabi Yusuf dengan dua orang temannya ini sedangkan mereka hanya berdua saja.
i- Kata Ibnu Jarir r.h: Ini kerana tujuannya kamu semua itu bukan hanya mereka berdua tetapi ditujukan kepada semua penduduk Mesir yang syirik itu!
ii- kata al-Baghawi pula: Maksudnya kamu semua itu ialah kamu berdua & semua ahli penjara.
Nama-nama berhala itu hanyalah apa yang kamu dan datuk nenek kamu reka sendiri.
Inilah yang perlu kita lakukan memberi pengetahuan & kesedaran kepada masyarakat apalah yang tidak betul itu!
Sebenarnya hukum yang menentukan amal ibadat hanyalah bagi Allah.
Yakni para ulama’ hanya mampu mengambil hukum dari ayat al-Quran yang diturunkan Allah atau hadis dari Nabi s.a.w kemudian mereka cuba usaha instinbat bawa keluar hukum darinya.
Ulama tidak boleh mereka-reka hukum, hanya boleh menjelaskan hujum-hukum Allah.
Tidak boleh rempuh masuk hak Tuhan dengan buat hukum sendiri undang-undang yang bertentangan dengan Syara’.
Allah telah memerintahkan manusia seluruhnya agar kamu jangan menyembah melainkan Allah dan jangan syirik kepada-Nya! Allah nyatakan yang demikian itulah Agama yang betul!
Kemudian Allah nyatakan juga bahawa kebanyakan manusia tidak mengetahui bahawa tauhid kepada Allah itulah agama yang betul, yang Allah perintahkan hamba-Nya!
Dengan sebab kejahilan itu mereka telah syirik kepada Allah s.w.t!!!
يَٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجْنِ أَمَّآ أَحَدُكُمَا فَيَسْقِى رَبَّهُۥ خَمْرًا ۖ وَأَمَّا ٱلْـَٔاخَرُ فَيُصْلَبُ فَتَأْكُلُ ٱلطَّيْرُ مِن رَّأْسِهِۦ ۚ قُضِىَ ٱلْأَمْرُ ٱلَّذِى فِيهِ تَسْتَفْتِيَانِ ﴿١٤﴾
Ayat 41- {“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu”.} (Yusuf 12:41)
Selepas berdakwah & menerangkan bahawa tauhid kepada Allah adalah agama yang sebenar barulah Yusuf menjawab soalan mereka sebelum itu- iaitu tentang ta’bir mimpi mereka berdua.
Munasabah ayat:
i- Setelah memberi pelbagai peringatan dan berdakwah kepada dua sahabat sepenjaranya; habis tazkirah dah;
ii- maka Yusuf pun menjawab persoalan asal mereka tentang tafsir mimpi mereka berdua.
Kamu terimalah apa yang telah kamu tanya dan apa yang akan aku tafsirkan ini!
Mengikut Yusuf, salah seorang akan jadi juru buat air dan beri minum pada raja, dapat jawatan istana.
Seorang lagi mengikut tafsir Yusuf, akan dipalang, dipancung, menjadi makanan burung. Maka seorang selamat, dan seorang dari mereka akan dibunuh.
Yusuf menyatakan mengikut tafsirannya:
i- salah seorang dari kamu yang bermimpi melihat dirinya memerah anggur; tidak akan mati bahkan kamu akan selamat dibebaskan dan kembali bekerja di istana sebagai pemberi minum arak kepada tuannya (raja).
ii- Ada pun yang seorang lagi, yang bermimpi melihat dirinya menjunjung roti atas kepalanya, yang sebahagiannya dimakan oleh burung; akan dibunuh kemudian mayatnya akan dipalang, serta burung pemakan bangkai pula akan makan dari kepalanya.
*Kerana itulah adabnya jika bermimpi buruk jangan ceritakan kepada orang!
Yusuf berkata lagi kepada mereka: Telah selesailah dan tetaplah taqdir Tuhan- soalan kamu telah jawab maka akan berlakunya perkara yang kamu tanyakan itu, tak boleh ditukar atau undur balik- terimalah taqdir kamu berdua!
قَالَ لِلَّذِى ظَنَّ أَنَّهُۥ نَاجٍ مِّنْهُمَا ٱذْكُرْنِى عِندَ رَبِّكَ فَأَنسَىٰهُ ٱلشَّيْطَٰنُ ذِكْرَ رَبِّهِۦ فَلَبِثَ فِى ٱلسِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ ﴿٢٤﴾
Ayat 42- {Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu”. (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.} (Yusuf 12:42)
Yusuf berpaling dan berpesan kepada kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu iaitu aku kena penjara kerana dizalimi- kena penjara dengan sebab baik bukan dengan sebab jahat!
Setelah orang itu dibebaskan dari penjara maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan hal Yusuf kepada tuannya.
Yakni orang yang bebas itu lupa untuk memberitahu kepada raja akan keadaan Yusuf yang dizalimi itu!
Kawan lupa kawan; apabila dia selamat lupa kepada kawan yang masih terpenjara!!
Ada tafsiran kedua yang agak berat:
Mengatakan kerana Yusuf yang dilupakan oleh syaitan untuk menyebut atau berzikir kepada Tuhan; maka dia pun terus berada di dalam penjara buat beberapa lama lagi.
*Kita pilih yang pertama lebih sesuai dengan Yusuf sebagai seorang nabi yang mulia.
Dengan sebab itu tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.
Kebanyakan ahli tafsir kata 7 tahun & ada yang kata 5 tahun.
Kerana itu kita kata minimumnya 5 tahun & maksimumnya 7 tahun.
Penutup & Faedah: #
Ayat 39- {“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?}- nabi Yusuf a.s meneruskan dakwahnya di dalam penjara!
Kata ulama’: Begitulah kita kena sentiasa sembah Allah dan berdakwah ketika senang atau susah!
Nabi Yusuf juga tidak gopoh- dia hanya berdakwah selepas mereka itu nampak jinak & percaya kepadanya!
Bukan kata terus berdakwah kepada orang yang tidak dikenali atau baru kenal!
Begitu juga kita para pendakwah jangan gopoh- jika orang kafir, buat baik dulu biar mereka kenal & percaya kepada kita barulah berdakwah tentang agama.
Tetapi jika orang sudah Islam yang tahu akan agama- boleh terus menyampaikan amar ma’ruf & nahi mungkar.
Ayat 40- {Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya.}-
Yusuf memberikan mereka pilihan untuk berfikir- agar terbuka minda mereka!
Yusuf cucuk dalam fikiran mereka; apakah patung berhala sembahan mereka yang banyak-banyak serta bermacam bentuk itu, yang tidak boleh berkelip, bergerak itu lebih layak disembah daripada Allah Pencipta alam semesta ini?????
Patung-patung itu tidak ada kuasa apa untuk memberi manfaat atau darurat!
Bahkan jika mereka ada kuasapun pasti huru-hara kerana pasti masing-masing akan berbalah dan bererebut kuasa & nak jadi watak paling utama!!!
Ini menjadi dalil bahawa boleh kita gunakan kedua-dua dalil aqli & naqli-dalam berdakwah bagi mendapat perhatian dan agar orang berfikir.
Dalam ayat ini Yusuf bawa bukti dan tunjukkan dalil bahawa batil dan tak betulnya agama & pegangan yang mereka ikuti itu!
Dengan cara soal, tunjukkan kesalahan mereka dan nyatakan yang sebenarnya, inilah merupakan uslub dalam berdakwah.
Ayat ini mengajar salah satu cara untuk berdebat melawan antara pertembungan yang haq dengan yang batil:
i- iaitu pertama menerangkan biar mereka faham & buktikan apa yang mereka buat atau sembah itu adalah salah & tidak betul-
ii- kemudian tunjukkan bandingannya- apakah yang sebenar & benarnya!
Sedangkan nama-nama berhala yang kamu sembah itu kamu yang reka sendiri kemudian beri kepada mereka- jadi macamana mereka boleh berkuasa daripada kamu???
Allah s.w.t itu ada nama & siaft-Nya sendiri- inilah yang patut kamu faham, yang patut kamu tahu.
Kemudian Allah nyatakan Dia adalah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa!
Inilah sifat Tuhan yang patut kita sembah & takut!
Bukan batu atau kayu yang tidak bergerak pun itu- apa faedahnya!
Insya’ Allah akan terbuka minda mereka untuk memikirkannya kecuali yang terlalu tepu & toksid akalnya!
Ayat 39- {“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?}- kata ulama’ tafsir ayat ini menunjukkan bahawa Raja Mesir dan rakyatnya pada waktu itu, iaitu pada zaman nabi Yusuf percaya bahawa Dunia ini adanya Tuan atau Penciptanya.
Tetapi mereka tetap syirik kepada Allah dengan menyembah Tuhan yang banyak & pelbagai; yang mereka reka-reka & namakannya sendiri!
Manakala Fir’aun pada zaman Nabi Musa tidak percaya kepada Tuhan bahkan Fir’aun mengaku bahawa dia adalah Tuhan!
Ini menunjukkan raja Mesir ini bukan semua Fir’aun dan banyak tahapnya- ada hanya kafirr biasa ada Fir’aun kafir melampau mengaku Tuhan & tak pecaya Tuhan lain.
Kerana itulah Allah nyatakan bahawa pemutus segala hukuman ini hanya terserah kepada Allah tak boleh kta sendiri!
Para ulama’ tidak boleh berani-berani buat undang-undang & hukuman sendiri!
Tidak kiralah dewan yang mulia atau dewan yang mana; jika perkara itu menghalalkan sesuatu yang haram; maka haram bagi umat Islam & wakil-wakilnya menyokong!
Ayat 41- {“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah):…}- Yakni selepas berdakwah barulah Nabi Yusuf menjawab soalan mereka berdua tentang ta’bir mimpi mereka!
Tafsirannya tentang mimpi mereka ialah:
i- Bahawa salah seorang daripada mereka yang bermimpi memerah anggur; akan selamat dan bebas dari penjara dan bekerja pula di istana sebagai pemberi atau penuang air minuman raja!
ii- manakala yang seorang lagi yang bermimpi dipatuk burung akan roti di atas kepalanya; akan mati disalib.
Begitulah walaupun hasil yang akan berlaku ada baik & ada yang buruk- mereka tak boleh buat apa lagi, nak elak atau tarik balik tidak boleh lagi!
Ini kerana mereka telah bertanya kepada Yusuf makna mimpi mereka dan Yusuf telah menafsirkan apa yang akan berlaku berdasarkan ilmunya!
Kena terimalah dan bertaubat segera jika sudah tahu akan mati!
Ayat 42- {Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu”.}- Yusuf berpesan kepada kawannya yang akan dibebaskan itu.
Agar jangan lupa menyebut tentangnya kepada raja, bahawa dia dipenjarakan kerana dizalimi bukan kerana dia bersalah!!
Tetapi apa boleh kawan lupa kawan- akibat dilupakan oleh syaitan- kawan Yusuf itu lansung tidak ingat membawa kes itu ke pengetahuan raja semula!
Bahawa ada orang mulia yang dizalimi dan merengkuk dalam penjara tanpa hak!
*Ada pendapat yang mengatakan Yusuf yang dilupakan oleh syaitan daripada mengingati Tuhannya maka beradalah dia di dalam penjara buat beberapa tahun lagi!
Tetapi kita ambil pendapat pertama yang lebih baik & lunak!
Ayat ini menjadi isyarat bahawa lupa akan perkara baik itu adalah hasil hasutan syaitan!
Maka sentiasa kita bezikir dan ingat kepada Allah!
Pengajarannya- kita jangan lupa akan kawan yang susah apabila kita sudah senang & ada jawatan.
Kita kena sayang kepada kawan sesama Islam barulah Allah akan sayang juga kepada kita!
Kata DDAAM: Untuk kenal kawan samada setia atau tidak- lihat apabila dia senang iaitu ketika kaya & ada jawatan!
Kita berhenti dulu setakat ini siri kita kali ini semoga mendapat manfaat & kefahaman dari tadabbur al-Quran kita ini!
Wallahu a’lam.
#UAM✎Catatan Kuliah Subuh Selasa 13/01/2026 / 23 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Nota Kuliah: https://www.facebook.com/share/p/1DE8kbg7y9/
Semoga Bermanfaat!
