Raja Mesir Bermimpi, Yusuf Dicari Dalam Penjara & Menafsirkan Mimpi Sang Raja.

Live Pagi Rabu 14/01/2026 / 24 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (14) Ayat [43-49]
Full video: https://youtu.be/jDSsgvzWUgs?si=W20cuL8spAJhKP7R
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 43 sehingga ayat 49 dalam juzuk keduabelas.
- Dalam siri ini hanya satu episod sahaja iaitu Allah s.w.t nyatakan kisah Raja Mesir bermimpi.
Mimpinya ialah 7 ekor lembu gemuk memakan 7 ekor lembu kurus, 7 tangkai biji gandum subur & 7 tangkai yang kering.
- Apabila raja bertanya kepada para pembesarnya, mereka mengatakan ia hanya mainan tidur.
Raja tidak puas hati & terus mencari siapakah yang dapat menafsirkan mimpinya yang pelik ini. - Teman sepenjara Yusuf yang bebas, baru teringat akan Yusuf lalu minta izin untuk mencarinya di dalam penjara setelah sekian lama melupakannya!
Yusuf tidak marah kepada kawannya yang lupa kawan tetapi terus menafsirkan mimpi sang raja. - Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Yusuf yang pernah menafsirkan mimpi dua orang kawan sepenjaranya.
Salah seorangnya telah bebas dan bekerja di istana, sebagai penuang air yang dekat dengan raja.
ii- datang ayat ini menceritakan tentang seorang raja Mesir pada zaman Yusuf.
Raja Arab yang dikenali dengan nama Hexus- dia bukan Fir’aun!
Mereka hanya kufur tidak menyembah Allah yang Esa bukan seperti Fir’aun yang mengaku raja.
Pada suatu malam dia bermimpi dan mencari tafsirannya.
Apabila semua tidak dapat menjawab barulah kawannya tadi teringat akan Yusuf & mencarinya!
Akhirnya Yusuf dapat menafsirkan mimpi raja itu yang memuaskan hatinya & tepat sekali tafsirnya!
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَقَالَ ٱلْمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبْعَ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعَ سُنۢبُلَٰتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَٰتٍ ۖ يَٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَأُ أَفْتُونِى فِى رُءْيَٰىَ إِن كُنتُمْ لِلرُّءْيَا تَعْبُرُونَ ﴿٣٤﴾
Ayat 43- {Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”.} (Yusuf 12:43)
- Allah sebut dalam ayat ini Raja Mesir sebagai Malik {ٱلْمَلِكُ} bukan sebagai Fir’aun.
Para penulis sejarah mengatakan dia ialah pemerintah Mesir sebelum Fir’aun.
Iaitu Raja Arab badwi yang dipanggil Hexus atau Hyksos (هكسوس) dari keturunan Arab Amalika atau Kan’an.
[Analisa oleh Ibnu Asyur r.h ].
- Pada suatu hari dia memberitahu para pembesarnya bahawa:
i- dia telah bermimpi melihat: “tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering.”
ii- lalu dia meminta ketua-ketua kaum yang hadir: “terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”.
- Raja kemudian meminta para pembesarnya untuk menafsirkan mimpinya itu jika mereka tahu! Jangan mengarut dan cuba jawab jika tak tahu!
قَالُوٓا۟ أَضْغَٰثُ أَحْلَٰمٍ ۖ وَمَا نَحْنُ بِتَأْوِيلِ ٱلْأَحْلَٰمِ بِعَٰلِمِينَ ﴿٤٤﴾
Ayat 44- {Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu”.} (Yusuf 12:44)
- Tetapi mereka itu tidak pandai & tidak tahu menafsirkan mimpi lalu meremehkan mimpi raja itu dengan mengatakan ia hanyalah mimpi mainan tidur!!
- Padahal mereka tidak pandai pun menafsirkan mimpi cuma tidak mahu mengaku lalu mengatakan mimpi raja itu mimpi yang karut tiada makna!
- Inilah taqdir Allah yang mahu mengangkat darjat Yusuf- apabila ramai orang yang sepatutnya tahu- tidak tahu- apabila Yusuf tahu & dapat jawab- jadi hebatlah dia!
وَقَالَ ٱلَّذِى نَجَا مِنْهُمَا وَٱدَّكَرَ بَعْدَ أُمَّةٍ أَنَا۠ أُنَبِّئُكُم بِتَأْوِيلِهِۦ فَأَرْسِلُونِ ﴿٥٤﴾
Ayat 45- {Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya)”.} (Yusuf 12:45)
- Apabila mendengar cerita tentang mimpi raja itu yang tiada orang boleh tafsirnya- kawan sepenjaranya yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, baru mengingati akan pesanan Yusuf sesudah berlalu suatu masa yang lama.
Terlalu lama dengan beberapa tahun telah berlalu- ada ulama’ kata hampir 7 tahun telah berlalu!
- Dia lalu pergi berjumpa raja mengatakan dia akan memberi tahu kepada raja tentang tafsirannya mimpi itu!
Tetapi kena beri izin dan hantarkanlah dia pergi kepada orang yang mengetahui tafsirannya. - Raja yang panik & ingin tahu akan mimpinya mengizinkan pelayannya untuk pergi mencari Yusuf di dalam penjara!
- Inilah hikmahnya dengan mimpi itu Yusuf diingati semula oleh kawannya dan juga untuk mengangkat darjat Yusuf apabila tiada orang yang dapat menafsirkan mimpi raja itu kecuali Yusuf!
يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ أَفْتِنَا فِى سَبْعِ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعِ سُنۢبُلَٰتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَٰتٍ لَّعَلِّىٓ أَرْجِعُ إِلَى ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَعْلَمُونَ ﴿٦٤﴾
Ayat 46- {(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.} (Yusuf 12:46)
- Si pekerja itu pun berjumpa Yusuf dan memanggilnya sebagai orang yang benar.
Ini kerana dia kenal & tahu bahawa Yusuf adalah seorang yang mulia & benar pada segala-galanya!
- Dia lalu segera menceritakan kepada nabi Yusuf tentang mimpi raja itu yang meliha:
i- Tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus;
ii- Tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering.
- Dia lalu meminta Yusuf menafsirkan mimpi itu segera, supaya:
i- dia dapat kembali kepada orang-orang yang mengutusnya itu, semoga mereka (raja) dapat mengetahui tafsirannya;
ii- dan juga agar dia dapat menyelesaikan masalah Yusuf yang dizalimi ini.
قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِى سُنۢبُلِهِۦٓ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تَأْكُلُونَ ﴿٧٤﴾
Ayat 47- {Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.} (Yusuf 12:47)
- Yusuf tanpa banyak soal, tanpa memarahi atau mengungkit teman yang melupakannya selama bertahun-tahun itu- terus menafsirkan mimpi raja itu.
- Mengikut Yusuf akan berlaku di negeri Mesir- tujuh tahun yang subur dan pada waktu dia memberi nasihat untuk mereka melakukan hal ini:
i- Hendaklah kamu bersungguh-sungguh bercucuk- tanam tujuh tahun berturut-turut,
ii- Kemudian apa yang kamu ketam (tuai) biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya;
iii- Kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
ثُمَّ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تُحْصِنُونَ ﴿٨٤﴾
Ayat 48- {Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).}(Yusuf 12:48)
- Persiapan menyimpan makanan ini ialah kerana:
Akan datang selepas tempoh subur tujuh tahun itu, tujuh tahun kemarau yang besar,nyang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
- Hadis- Nabi berdoa dalam qunut ketika sahabat dikhianati di Makkah agar ditimpa kemarau seperti zaman nabi Yusuf:
Sahabat meriwayatakan:
Sesudah Nabi S.A.W membaca: “سمع الله لمن حمده ربنا ولك الحمد”,
Baginda membaca doa: “Ya Allah! Selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Salmah bin Hisyam, Iyasy bin Abu Rabi’ah serta seluruh kaum mukminin yang tertindas.Ya Allah! Dahsyatkanlah seksa-Mu ke atas golongan kaum Mudhar. Jadikanlah tahun-tahun mereka itu sebagaimana tahun kemerosotan ( kemarau ) seperti yang pernah dialami oleh kaum Nabi Yusuf.” (HR al-Bukhari & Muslim)
*Ini kerana mereka terlalu jahat & zalim!
- Yakni boleh kita mendoakan keburukan ke atas orang yang zalim sebagaimana yang kita doakan ke atas yahudi yang menzalimi Palestin sekarang!
Jika tidak melampau doalah agar mereka diberi hidayah!
ثُمَّ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ ٱلنَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ ﴿٩٤﴾
Ayat 49- {“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.} (Yusuf 12:49)
- Setelah selesai menafsirkan mimpi raja iaitu akan berlaku tujuh tahun zaman subur kemudian diikuti dengan tujuh tahun zaman kemarau & kekeringan yang sangat teruk sebagaimana mimpi raja itu- barulah negara Mesir kembali pulih semula.
- Yusuf kemudian membuat analisa mengatakan selepas habis tempoh 14 tahun sebagaimana mimpi raja itu:
Akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya.
*Pada waktu itulah Yusuf berdakwah menyampaikan Islam.
- Kata Ibnu Jarir: Apa yang diceritakan oleh Yusuf ini bukan lagi tafsir mimpi raja tetapi ilmu Yusuf yang menunjukkan akan kebenarannya, mujizat, dia mendapat ilmu & wahyu dari Tuhan!
Penutup & Faedah #
- Ayat 43- {Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat:….}- raja Mesir menceritakan bahawa dia bermimpi.
Kata ulama’: Mimpi raja ini menjadi sebab Yusuf diingat semula lalu dicari & dikeluarkan dari penjara!
Allah nak angkat kedudukannya di sisi raja apabila diangkat menjadi orang kepercayaan raja!
Inilah kelebihan yang Allah beri kepada Nabi Yusuf.
Ini juga ayat usul (dalil) bahawa:
i- mimpi boleh ditafsirkan!
ii- juga boleh kita tafsirkan mimpi orang kafir.
iii- orang kafir juga boleh dipanggil raja (ٱلْمَلِكُ).
- Ayat 44- {Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu”.}- para pembesar itu meremehkan mimpi raja.
Mereka mengatakan mimpi itu hanyalah mainan tidur raja yang bercampur-aduk.
Ini kerana mimpi terjadi mungkin kerana sebab terlalu memikirkan tentang sesuatu atau penat dan sebagainya!
Para pembesar dalam istana tidak boleh jawab belaka hatta apabila dipanggil tok bomoh & tukang nujum & tilik semuanya tidak dapat jawap atau beri tafsir yang dapat memuaskan hati raja!
Apabila semua orang yang sepatutnya tahu- lemah & tidak boleh jawab- ketika itulah Allah munculkan Nabi Yusuf a.s yang menyelamatkan keadaan menafsirkan mimpi dengan penuh terperinci menyebabkan raja jadi ingin kenal dan puas hati!
Maka apabila kita dapat jawab sesuatu yang tidak dapat dijawab oleh ramai orang dan orang pula yang besar lagi tinggi kedudukan maka pastilah akan nampk hebat.
- Ayat 46- {(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)!..}- teman sepenjara Yusuf dulu memanggilnya sebagai: {Yusuf, Wahai orang yang benar- } – apabila kawannya itu masuk penjara dan berjumpa Yusuf dia memanggil Yusuf dengan gelaran wahai seorang yang benar:
{ يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ}!
Temannya itu boleh menggelar Yusuf sebagai seorang yang benar berdasarkan pengalamannya beberapa lama bersama Yusuf di dalam penjara dulu dan dia memang kenal Yusuf sebagai seorang yang jujur, ikhlas dan baik bukan kaki kelentong atau seumpamanya!
Begitulah jika kita nak puji orang biarlah betul orang itu orang yang terpuji!
Kita puji bukan sebab nak bodek atau ampu!
Kita puji dengan sebab dia memang terpuji!
Kita bukan puji bukan sebab nak sesuatu- jika tidak ia hanya akan jadi mengampu, membodek, mengarut atau menjilat seperti istilah budak-budak sekarang- ini adalah satu adab yang buruk!
Tukang air itu memuji Yusuf kerana berdasarkan pengalamannya bersama Yusuf serta kerana tafsiran mimpi Yusuf memang tepat & menjadi sungguh!
Jika tidak dia tidak akan berani nak cadangkan kepada raja untuk cari Yusuf sebagai penafsirnya!
Kalau tak jadi kena penggal kepala nanti!!
Keperibadian Yusuf memang terpuji & jujur kerana itulah dia boleh puji Yusuf sebagai seorang yang benar- {يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ}.
Begitulah adabnya jika kita nak minta pertolongan dari orang pujilah kebaikannya dulu, cakaplah jikalah kebaikan itu boleh dipanjangkan lagi eloklah! tetapi pujian mesti ikhlas & benar bukan kerana ada tujuan lain!
- Ayat 46- {(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah).}- raja itu tetap dalam menceritakan mimpinya tidak berubah dan konsisten ceritanya!
Ini menunjukkan bahawa jika kita nak minta orang tafsirkan mimpi- kena jelas mimpi itu dan satu persatu keterangannya!
Jika tidak susah untuk menafsirkannya!
Yusuf pula memberi tafsiran huraian yang tepat dan terus memberi solusi penyelesaian bagi masalah itu dengan jelas pula & satu persatu arahannya dengan detail lagi.
Diajarnya satu persatu cara menghadapi musim kemarau yang akan menyerang dengan ilmu dan maklumat yang jelas & tepat!
Pengajarannya: Jika tak pandai jangan mengaku pandai dan buat-buat pandai!
Rosak dunia ini jika mengaku pandai apa yang kamu tidak ada ilmu & kepakaran.
Akhirnya membawa kerosakan yang lebih besar!
Jangan seperti tikur yang membaiki labu!
Begitulah rosak agama ini dengan orang yang tidak tahu dia buat tahu- cukup bahaya!
Jangan biarkan mereka ini bercakap tak tentu hala, buat-buat tahu- akan punah perjalanan agama ini!
- Ayat 49- {“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.}- selepas selesai Yusuf tafsir mimpi raja iaitu akan berlaku ujian 7 tahun fasa subur & 7 tahun fasa kemarau- selepas itu akan datang waktu keamanan, kesuburan dan hasil makanan yang banyak.
Yusuf boleh membuat satu perancangan dan strategi bagi menghadapi bencana alam itu dan memberi penyelesaian yang amat baik!
Ini adalah analisa yang dibuat oleh Yusuf berdasarkan wahyu dari Allah s.w.t bukan lagi hasil dari tafsir mimpi raja!
Iaitu selepas berlalu 14 tahun- 7 tahun senang 7 tahun susah sebagaimana mimpi raja- akan datang 7 tahun keamanan dan kesuburan bagi negeri Mesir yang mana akan menjadi terkenal dan tumpuan orang sekitar mencari bantuan.
Ini adalah mukjizat & kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi Yusuf a.s bagi menunjukkan kebenaran & ilmu kebijaksanaannya.
Inilah pentingnya kita membawa solusi penyelesaian yang boleh memberi jaminan ketenangan & kedamaian kepada masyarakat!
Jika kita nak membantu teruskan sehingga selesai bukan setakat membongkar saja cari orang susah atau tolong separuh jalan saja- kerana boleh menyusahkan orang lain dan menjatuhkan orang lain juga!
Kita berhenti dulu setakat ini siri kita kali ini semoga mendapat manfaat & kefahaman dari tadabbur al-Quran kita ini!
Wallahu a’lam.
#UAM ✎Catatan Kuliah Subuh Rabu 14/01/2026 / 24 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
nota https://www.youtube.com/playlist…
Nota Kuliah: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=855073110676544&set=pb.100085215893583.-2207520000&type=3
Semoga Bermanfaat!
