Raja Mesir Minta Yusuf Mengadap, Yusuf Minta Buka Semula Pertuduhan & Isteri Al-Aziz Mengaku Bersalah Ikut Nafsu.

♥ Live Pagi Khamis 15/01/2026 / 25 Rajab 1447H Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Yusuf (15) Ayat [50-53]♥
Full video: https://youtu.be/eOOcu3qmy30?si=TOc9U7UhkRq2TEii
Muqaddimah #
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir kepada Surah Yusuf dengan ayat 50 sehingga ayat 53 dalam juzuk keduabelas.
- Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan Raja Mesir setelah mendengar ta’bir mimpi Yusuf dari penjara, dia meminta Yusuf dibawa mengadap untuk mendengarnya sendiri.
- Yusuf yang berprinsip, tidak terus menerima tawaran itu tetapi minta buka semula pertuduhan dan bersihkan dulu namanya yang telah dituduh.
Mahu disabitkan bahawa dia tidak buat apa yang mereka tuduh itu! - Alhamdulillah semua saksi tampil memberi keterangan bahawa Yusuf seorang yang suci & tidak bersalah termasuklah saksi utama isteri Al-Aziz (dinamakan Zulaikha) yang mengaku bahawa dia yang bersalah ikut nafsu.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan tentang Yusuf yang telah menafsirkan mimpi raja kepada kawannya pemerah anggur tadi- maka raja ingin berjumpa dan mendengarnya dari mulut Yusuf sendiri!
ii- lalu utusan raja datang menjemput Yusuf untuk keluar dari penjara & masuk mengadapnya di istana.
Tetapi Yusuf tidak terus melompat keluar tetapi meminta utusan itu kembali kepada raja, minta raja menyiasat dulu kesnya apakah dia memang bersalah atau dipenjarakan dengan zalim!?
Tafsir Ayat #
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
وَقَالَ ٱلْمَلِكُ ٱئْتُونِى بِهِۦ ۖ فَلَمَّا جَآءَهُ ٱلرَّسُولُ قَالَ ٱرْجِعْ إِلَىٰ رَبِّكَ فَسْـَٔلْهُ مَا بَالُ ٱلنِّسْوَةِ ٱلَّٰتِى قَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ ۚ إِنَّ رَبِّى بِكَيْدِهِنَّ عَلِيمٌ ﴿٠٥﴾
Ayat 50- {Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:” Bawalah dia kepadaku! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: “Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka”.} (Yusuf 12:50)
- Apabila disampaikan tafsiran mimpi yang dibuat oleh Yusuf- Raja berasa sangat gembira & teruja lalu terus memanggil Yusuf untuk masuk mengadapnya di istana!
- Tetapi Yusuf yang benar, tidak segera menyahut pembebasan itu tetapi minta dibuka semula siasatan terhadap pertuduhannya, mahu membersihkan namanya dari segala tuduhan yang menghumbankannya ke penjara dengan zalim!
Agar dipanggil semula saksi dan mereka yang tahu akan kesnya dulu! - Tujuan Yusuf ini ialah agar raja menyiasat dan tahu perkara sebenar serta disebarkan kepada semua orang lain.
Agar semua orang tahu dia keluar bukan hanya kerana pengampunan raja tetapi kerana memang TIDAK bersalah!
Yusuf mahu semua orang tahu bahawa dia sebenarnya tidak bersalah dan dizalimi! - Nabi Yusuf bukan tidak mahu keluar, tetapi dia hendak membersihkan namanya terlebih dahulu.
Ini menunjukkan Yusuf seorang yang tidak tergesa-gesa dan amat bijaksana, dia tidak mahu dikeluarkan tanpa dibersihkan maruah baginda.
Ini penting kerana dia adalah seorang Nabi dan tidak boleh keluar kalau manusia lain sangka dia seorang yang bersalah, bagaimana nak berdakwah menyeru masyarakat kepada kebenaran.
- Inilah manusia yang ada prinsip & tinggi integriti- jangan teruja dengan perlepasan tetapi mesti betulkan keadaan bahawa aku tak buat apa yang kamu tuduh itu!
Ketika inilah peluangnya. - Begitulah hebatnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar duduk tunggu di penjara sehingga namanya dibersihkan, sampai dipuji oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
وَلَوْ لَبِثْتُ فِي السِّجْنِ طُولَ مَا لَبِثَ يُوسُفُ، لأَجَبْتُ الدَّاعِيَ
“… Dan kalau kiranya aku yang ditahan dalam penjara selama itu, tentu aku akan segera menuruti panggilan (untuk keluar) itu.”
(Sahih Bukhari No. 4694 dan Muslim No. 151) - Berkata Ibnu Hajar : Yakni akan segera sahut panggilan keluar dari penjara.
Tetapi Nabi s.a.w juga seorang yang berprinsip dan mempunyai integriti yang tinggi- cuma ayat ini menunjukkan sikap tawadhuk Nabi s.a.w. serat Baginda s.a.w mahu memuji Nabi Yusuf a.s. - Apabila mendengar permintaan Yusuf ini- Raja menerimanya dan terus memanggil tribunal- membuka fail & siasatan semula kesnya!
- Nabi Yusuf memberikan cara untuk mencari maklumat tentang apa yang terjadi dengan minta Raja selidik dan siasat tentang apakah sebab wanita-wanita itu mengerat jari mereka dalam satu majlis?
Maka dia suruh raja buat siasatan tentang kes itu dahulu sebelum memanggil isteri al-Aziz.
قَالَ مَا خَطْبُكُنَّ إِذْ رَٰوَدتُّنَّ يُوسُفَ عَن نَّفْسِهِۦ ۚ قُلْنَ حَٰشَ لِلَّهِ مَا عَلِمْنَا عَلَيْهِ مِن سُوٓءٍ ۚ قَالَتِ ٱمْرَأَتُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْـَٰٔنَ حَصْحَصَ ٱلْحَقُّ أَنَا۠ رَٰوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ وَإِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ ﴿٥١﴾
Ayat 51- {Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: “Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?” Mereka menjawab: JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf”. Isteri Al-Aziz pun berkata: “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar.} (Yusuf 12:51)
- Lalu yang pertama dipanggil adalah para wanita yang pernah melukai tangan mereka dalam majlis madam al-Aziz dulu.
Mereka dipanggil dalam perbicaraan kes Yusuf ini- untuk memberikan keterangan & persaksian!
- Para wanita itu terus mengaku di hadapan raja dan mereka menjawab: JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf.
Yakni mereka bersaksi bahawa tiada keburukan atau kejahatan Yusuf yang mereka tahu samada dosa besar atau kecil!
Mereka mengakui dia adalah seorang yang baik akhlak dan sifatnya!! - Setelah para wanita itu memberi keterangan mereka baru muncul Isteri Al-Aziz pula tampil untuk memberi keterangan, dia mengakui:
i-Sekarang ternyatalah kebenaran yang selama ini tersembunyi,
ii- akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya tetapi ia telah menolak;
iii- dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar. - Inilah penting pembersihan nama & diri daripada pertuduhan yang kita tak buat- kita tak boleh duduk diam!
Orang yang benar-benar tidak bersalah tidak akan sanggup biarkan dirinya dilitupi dengan tuduhan buruk & fitnah jahat walaupun dibebaskan.
- Begitulah setelah berlalu tempoh masa yang lama baru Yusuf berjaya bersihkan namanya dan bebas dari penjara.
Hikmahnya Allah nak angkat darjat Yusuf, dia dicari saat Raja yang bermimpi dan memerlukan tafsir.
Dan tafsirannya berjaya menepati hati Raja.
Jika dia keluar awal mungkin tidak akan dikenali seperti sekarang.
ذَٰلِكَ لِيَعْلَمَ أَنِّى لَمْ أَخُنْهُ بِٱلْغَيْبِ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى كَيْدَ ٱلْخَآئِنِينَ ﴿٢٥﴾
Ayat 52- {“(Pengakuanku) yang demikian supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.} (Yusuf 12:52)
- Isteri al-Aziz berkata lagi: Pengakuan ini supaya suaminya mengetahui, bahawa dia tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir bersama di sini.
Yakni walaupun dia cuba menggoda Yusuf tetapi tidak sampai melakukan perbuatan keji (zina & seumpamanya) kerana Yusuf menolak & menjaga maruah dirinya!
- Ulama’ membahaskan tentang kata-kata isteri al-Aziz ini dia tujukan kepada siapakah????
Ada dua tafsiran yang menarik:
i- pandangan pertama- ini adalah kata-kata isteri al-Aziz yang ditujukan kepada Yusuf.
Bahawa dia telah mengakui dosanya bahawa dia yang goda Yusuf bukan sebaliknya.
Dia juga mahu Yusuf tahu bahawa dia tidak pernah mengkhianati Yusuf semasa Yusuf berada di dalam penjara, dia tak kata Yusuf buat perkara tak baik- dia hanya diam sahaja!
ii- pandangan kedua kata-kata isteri al-Aziz juga tetapi ditujukan kepada suaminya- bahawa dia tidak pernah melakukan kecurangan dan buat benda keji dengan Yusuf- ini kerana Yusuf tidak pernah menyentuhnya!
Hanya perasaannya sahaja, kegilaan dia seorang saja- secara fizikal tidak ada kerana dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja!
- Ada juga pandangan ketiga: Kata-kata ini adalah dari Yusuf yang ditujukan kepada tuannya bahawa dia tidak pernah mengkhianatinya!!
Tuannya yang telah berjasa membeli dan membelanya, maka dia tidak sesekali pernah mengkhiantinya!
*Tetapi ulama’ kata pendapat ini agak janggal!
- Nota [401] Yakni Zulaikha menegaskan:
i- bahawa ia berterus-terang mengakui kesalahannya di hadapan raja Mesir supaya Yusuf mengetahui bahawa ia (Zulaikha) tidak mengkhianatinya dengan kata-kata dusta yang memburukkan nama baiknya walaupun Yusuf tidak hadir bersama.
ii- Atau pengakuannya itu supaya suaminya mengetahui bahawa ia tidak melakukan zina, hanya dia terdorong memujuk Yusuf dan Yusuf telah menolak.
iii- Ada ahli Tafsir yang mengatakan bahawa yang berkata demikian ialah Yusuf a.s. sendiri.
Yakni setelah Zulaikha mengakui kesalahannya di hadapan raja, pergilah utusan raja menyampaikan hal itu kepada Yusuf, pada ketika itu Yusuf berkata: Permintaanku yang demikian supaya perkara tuduhan yang dilemparkan kepadaku disiasat lebih dahulu, supaya suami Zulaikha yang telah memeliharaku di rumahnya sekian lama, mengetahui bahawa aku tidak mengkhianatinya dengan mencerobohi isterinya semasa ia tidak ada di rumah.
iv- Dan supaya ia mengetahui bahawa Allah tidak menjayakan rancangan jahat orang-orang yang khianat (yakni Zulaikha dan perempuan-perempuan yang bersyubahat dengannya).
Demikian juga apa yang tersebut pada ayat 53 ialah pengakuan Nabi Yusuf sendiri.
وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ ٱلنَّفْسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣٥﴾
Ayat 53- {“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”} (Yusuf 12:53)
- Munasabah ayat:
i- dalam ucapan yang lepas menunjukkan kata-kata membersihkan diri- aku tak buat, aku tak khianat!
Yakni wanita itu tak buat dosa yang tersembunyi terhadap Yusuf yakni tak khianat belakanng Yusuf atau tak khianat di belakag suaminya.
Dia tak pernah buat pun perbuatan keji kerana Yusuf menolak.
ii- maka datang ayat ini ulama’ kata ini adalah kata-kata wanita isteri al-Aziz lagi bukan kata-kata Yusuf!
- Wanita itu mengakui lagi bahawa dia tidak berani membersihkan dirinya, mengakui salahnya yang telah digoda oleh syaitan dan telah menurut ajakan nafsunya yang sangat menyuruh melakukan kejahatan!
*Yakni permohonan maaf yang ditujukan kepada suaminya!
Ramai ulama’ tafsir mengambil pendapat ini.
- Ada juga pendapat yang mengatakan ini adalah kata-kata Yusuf- yang walaupun dia tidak pernah buat dosa atau kejahatan itu tetapi dia mahu membersihkan dirinya dengan Allah dan mengakui kelemahan dan kesalahan dirinya jika ada.
*Kita tidak pilih pendapat ini- kerana tidak mungkin Yusuf pernah melakukan dosa, Yusuf tidak bersalah.
- Di akhir ayat dia berkata: Tiada siapa yang akan selamat kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Ini menunjukkan dia percaya kepada Tuhan, tiada siapa akan selamat kecuali dengan rahmat Tuhan dan mengembalikan penyesalan dan taubatnya kepada Tuhan.
Sebagaimana yang telah kita bincangkan tadi Raja Mesir & penduduknya pada zaman itu percaya ada Tuhan Pencipta alam ini cuma mereka melakukan syirik, menyembah pelbagai sembahan yang lain juga!
Bukan seperti Fir’aun yang mengaku dia Tuhan.
- Kesimpulannya cukuplah dengan apa yang Allah ceritakan dalam al-Quran bahawa:
i- wanita itu mengaku dia salah
ii- mengakui Yusuf tidak bersalah.
iii- dia meminta maaf kepada suaminya dan menyatakan tidak pernah melakukan keburukan secara fizikal.
iv- dia mengakui melakukan kesalahan itu dengan sebab terpedaya ikut nafsu buruk!
*Ingat jangan kita mencari & terpengaruh dengan cerita Israiliyyat yang sedap didengar tetapi banyak tokok tambah yang boleh menjatuhkan maruah seorang nabi yang mulia!
Penutup & Faedah #
- Ayat 50- {Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:” Bawalah dia kepadaku!..}- setelah mendengar tafsiran Yusuf raja dengan segera memanggil untuk bertemu Yusuf- keluarkannya segera dari penjara!
Kata ulama’ ini ini menunjukkan akan kelebihan ilmu yang dimilik Yusuf!
Betapa Raja amat ingin bertemu & perlukan kepada Yusuf dengan sebab ilmunya bukan dengan sebab kecantikanya.
*Ini kerana sebelum ini Yusuf digilai dan diminati oleh para wanita kerana kecantikannnya!
Tetapi kali ini Allah jadikan dengan sebab ilmu & kebijaksanaannya Yusuf dibebaskan & dibersihkan daripada tuduhan jahat terhadapnya di dunia & akan lepas juga di Akhirat kelak kerana dia seorang yang ikhlas & jujur!
Dengan sebab kecantikannya Yusuf kena fitnah dan masuk penjara; tetapi dengan sebab ilmunya dia bebas & keluar dari penjara kerana diperlukan oleh negaranya!!!
- Ayat 50- {Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: “Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka”.} – sebagai seorang yang berprinsip, kita mesti berusaha untuk bebaskan diri kita daripada sebarang tuduhan jahat yang dibuat oleh orang.
Sekarang ini waktu untuk membetulkan keadaan & membersihkan diri.
Orang yang mulia tidak akan membiarakannya terpalit dalam skandal atau dituduh sebagai penggoda wanita & perosak rumahtangga orang lain.
Ini termasuk dalam lima maqasid Syari’ah iaitu kewajipan menjaga agama, nyawa, nama/maruah / nasab, harta.
Kata ar-Razi lagi: Yusuf sabar walaupun dia memang mahu keluar dari penjara tetapi dia berani bertegas tidak akan keluar selagi belum dibersihkan namanya!
Inilah yang selayaknya bagi seorang yang mempunyai jiwa yang hebat, akal yang sejahtera & kehormatan diri yang kuat!
Ini kerana jika tidak dibersihkan terus keluar:
i- tohmahan akan terus melekat, namanya orang akan tetap menohmah dan memandang serong kepadanya!!!
ii- Orang akan kata & melabel itu bekas banduan keluar dengan sebab pengampunan raja- jadi Yusuf tidak mahu terus terbelenggu dan dikaitkan dengan kejahatan itu mahu bersihkan namanya dulu baru keluar.
iii- tuntutan Yusuf agar Raja siasat balik kesnya menunjukkan seseorang yang mempunyai jiwa yang murni, kesabaran yang tiggi untuk membersihkan dirinya!
*Ini adalah antara hikmah kenapa Yusuf tidak mahu keluar dari penjara dengan mudah- mudah.
Orang akan kata dia tu jahat bekas banduan tetapi sekarang keluar dari penjara dengan sebab pengampunan raja, kerana pandai tafsir mimpi dan seumpamanya- bukan kerana tidak bersalah sebenarnya!
Ini adalah salah satu maqasid Syariah iaitu menjaga diri atau maruah!
- Ayat 51- { Isteri Al-Aziz pun berkata: “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar.}- isteri al-Aziz mengakui dan membuat pengakuan terbuka bahawa Yusuf tidak bersalah, dia yang ikut nafsu & tertarik kepada Yusuf.
Ini menunjukkan betapa pentingnya pengakuan terbuka, permohonan maaf dan menarik balik tuduhan jahat yang tidak betul dulu!
Kerana itu mahkamah mengarahkan agar pihak yang bersalah menarik balik tuduhan & membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak yang menang!
Isteri al-Aziz berani membuat pengakuan terbuka itu bahawa Yusuf tidak bersalah, tetapi dialah yang berkehendakkan Yusuf, mengajaknya untuk berbuat keji tetapi Yusuf yang benar telah menolaknya!
Begitulah antara keajaiban hukuman Allah s.w.t atas dunia;
i- orang yang sama, wanita itu sebagai seorang yang dulunya menuduh dan memfitnah Yusuf secara terbuka di hadapan suaminya dan para ahli rumah al-Aziz dulu; sekarang telah buat pengakuan sendiri sebaliknya- dia yang khianat kepada Yusuf!
ii- adik beradik Yusuf yang mencampakkannya ke dalam telaga dulu- dengan tangan yang sama mereka memohon meminta bantuan dari Yusuf yang telah menjadi pembesar di Mesir.
Kerana itu ingatlah dunia ini kecil- orang yang berkuasa tidak semestinya sentiasa di atas, akan ada hari yang dia jatuh dan akan melutut kepada orang yang di bawahnya dulu!
Kerana itu semasa ada kuasa jangan sombong dan menindas orang!
- Ayat 52- {“(Pengakuanku) yang demikian supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.}- wanita itu nak beritahu bahawa dia tak pernah khianat kepada Yusuf di belakangnya yakni tak pernah mengata atau buat tuduhan semasa Yusuf di dalam penjara!
Yusuf adalah seorang yang suci & baik!
Atau kata-kata itu ditujukan kepada suaminya- dia mahu menjelaskan kepada suaminya bahawa antaranya Yusuf tidak pernah terjadi apa-apa perbuatan yang tidak baik, Yusuf tidak pernah menyentuhnya!
Hanya dia seorang yang tergila-gilakan Yusuf, hanya bertepuk sebelah tangan!
Kemudian dia sendiri menjatuhkan hukuman bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.
Begitulah atas dunia ini sesiapa yang khianat kepada manusia lain- tidak akan dapat petunjuk Allah s.w.t & tidak akan selamat! Mungkin mereka akan berkuasa buat beberapa ketika tetapi akhirnya mereka akan jatuh!
Maka sabarlah wahai para pencinta kebenaran & pejuang Sunnah- apa tuduhan yang dilemparkan kita sabarlah dulu menghadapinya!
Insya’ Allah suatu hari nanti Allah akan dedahkan kebenarannya!
- Ayat 53- {“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,..}- inilah kata-kata isteri al-Aziz yang mengaku salahnya- tetapi semua itu terjadi kerana digoda nafsu buruk yang menyuruhnya melakukan kejahatan!
Begitulah setiap orang akan menyatakan sebab atau memberi alasan kenapa keburukan itu berlaku.
Tetapi kita usaha dan perbetulkan keadaan jika dah tahu salah!
Jangan nak menyalahkan orang lain atau nafsu saja kerana yang buat jahat itu adalah kamu sendiri!
Ingat walau apa sekalipun hujjah kita, apa sekali sebabnya apabila kita dah tahu apa yang kita buat itu salah & berdosa kita tetap bersalah dan wajib bertaubat kepada Allah atau jika berkait sesama manusia; kena meminta maaf kepada orang yang dikhianati atau dizaliminya!
Tetapi bukan semua orang yang digoda nafsunya terjebak dan buat ikut nafsunya kerana ada juga orang selamat iaitu mereka yang dijaga & diberi rahmat oleh Allah s.w.t!
Kita tutup perbincangan ini dengan doa yang diajar Nabi s.a.w, iaitu doa agar dikurniakan akhlak yang baik:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي لِأَحْسَنِ الْأَخْلَاقِ لَا يَهْدِي لِأَحْسَنِهَا إِلَّا أَنْتَ
وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لَا يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya : “Ya Allah! Tunjukkan kepadaku terhadap akhlak yang terbaik dan tidak ada yang dapat menunjukkan terhadap akhlak yang terbaik melainkan Engkau. Dan palingkan daripadaku akhlak yang buruk dan tidak ada yang dapat memalingkanku daripada akhlak yang buruk melainkan Engkau.” [HR Muslim (771)].
*Ia juga salah satu bacaan dalam doa iftitah solat yang dibaca oleh Nabi s.a.w.
Kita berhenti dulu setakat ini siri kita kali ini semoga mendapat manfaat & kefahaman dari tadabbur al-Quran kita ini!
Wallahu a’lam.
#UAM ✎Catatan Kuliah Subuh Khamis 15/01/2026 / 25 Rajab 1447H
Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Yusuf 2026 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
Link:
https://www.youtube.com/playlist…
Link Nota: https://www.facebook.com/share/p/1GRZLQk7hZ/
Semoga Bermanfaat!
